Monday, September 17, 2007

Politik Ayam: Ayam, Bermacam Ayam!




Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
TERTARIK saya dengan kartun di sebuah akhbar lidah kerajaan semalam.. Menggambarkan 3 macam manusia…

Pertama
, seorang wanita bertudung mungkin maksudnya pengguna-pengguna Islam yang sedang menyambut puasa Ramadzan, bermuka sedih sedang membimbit bakul kecil berisi ayam, di atasnya tertulis, ‘YANG KENA TINDAS: Pengguna’.

Kedua, gambar seorang lelaki bermuka masam macam rupa buntut-buntut ayam yang sebaris di depannya. Dia sedang memotong ayam. Di sebelahnya tertulis tanda, ‘AYAM RM7 sekilo’.. Semua orang tahu harga siling ayam yang sudah diproses diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ialah RM6 sekilogram. Nampaknya orang itu tidak takut undang-undang, dia langgar terus. Dia jual dengan harga lebih RM1 dari yang ditetapkan. Di atasnya tertulis, ‘YANG KENA DENDA: Peniaga’.

Ketiga, gambar sebuah lori ayam sedang berlalu, dengan pemandunya bermulut lebar gembira sambil menyanyi-nyanyi, antara kata-kata lagunya ‘Ayam.. bermacam ayam’. Mungkin lagu yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Salleh Yaakob. Di atasnya tertulis ‘YANG KENA LOTERI: Pemborong’. Maknanya, pemboronglah sebenarnya yang mengaut keuntungan, dapat durian runtuh atau loteri, seperti yang disebutkan.

Kalau kita detailkan makna ‘loteri’ pula, iaitu suatu sistem perjudian yang memberi keuntungan kepada segolongan kecil tetapi merugikan golongan yang besar dan ramai. Ianya ditaja oleh kerajaan Malaysia sejak merdeka lagi, disebut ‘Loteri Kebajikan Masyarakat’. Hingga sekarang terdapat dalam berbagai bentuk seperti TOTO (2 kali TO ertinya 2 kali atau berkali-kali ‘tipu orang’), tawaran-tawaran istimewa atau menjadi jutawan dalam tv melalui SMS, empat nombor ekor dan sebagainya.

Dari segi hukum Islam, perjudian tersebut bukan durian runtuh dan hukumnya adalah ‘haram’. Tetapi dalam hukum kerajaan, boleh. Ianya tidak pelek, kerana Malaysia bukan kerajaan Islam tulin, bahkan kerajaan sekular. Mungkin, sebab itulah harga ayam boleh diekploitasikan. Hingga boleh jadi suatu permainan dan perjudian bagi pemborong-pemborong ayam. Sebab itu kartun tersebut kata 'kena loteri'.

Mengapa saya kata begitu?

Pertama.. Cuba lihat, kenapa harga ayam cuma naik pada bulan Ramadzan dan Hari Raya orang Islam sahaja, tidak pada Tahun Baru Cina? Kalau betul harga terpaksa naik, mengapa harga daging-daging lain seperti lembu, kambing dan lain-lain tidak naik? Harga ayam naik begini, berlaku setiap tahun. Tetapi tidak pada Tahun Baru Cina, bahkan turun pula. Contohnya, pada Tahun Baru Cina awal Januari lalu Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengumumkan penurunan harga ayam di seluruh Malaysia antara 80 sen hingga RM1.06 tiap satu kilogram.

Kedua.. Kenapa kerajaan jadi bengap macam tak boleh buat apa-apa? Tidak menasabah langsung pihak berkuasa sudah takde kuasa, tidak boleh bertindak? KPDNHEP sudah khianati amanah rakyat ke? Atau bahagian pengguna, hanya pegang kuasa tak tahu nak guna? Kalau nak halang ceramah pembangkang seperti yang berlaku baru-baru ini di Terangganu, atau di lain-lain tempat sebelumnya mereka cepat bertindak.

Ketiga.. Adakah mereka tidak bertindak kerana kebanyakan pemborong atau persatuan penternakan ayam adalah bukan dari kalangan orang Melayu? Hingga perniagaan ayam terpaksa dipolitikkan? Kalau bertindak, mereka akan dituduh perkauman, hingga menyebabkan kedudukan parti pemerintah tergugat? Apakah ianya juga seperti yang berlaku pada operasi babi di Paya Mengkuang, Ayer Molek dan Bukit Beruang Melaka baru-baru ini, tidak mampu dilaksanakan walau Unit Simpanan Persekutuan (FRU), rela dan lain-lain dikerahkan ke sana?

Hanya semata-mata kerana 120,000 ekor babi milik orang bukan Melayu? Tetapi kalau kepada setinggan-setinggan Melayu Kampung Berembang Selangor sanggup mereka lanyak habis-habisan? Apakah orang-orang Melayu Islam sudah menjadi warga kelas dua di bumi sendiri??

Akhirnya dalam kes ayam ini, tukang-tukang kipas kerajaan, hanya mampu menyalahkan pengguna-pengguna Islam yang guna ayam lebih di hari perayaan. Itu lagi bengap! Sanggup menyalahkan dan tangkap peniaga-peniaga kecil orang Islam saja. Taukeh-taukeh judi pengekploit harga ayam (pemborong) tak kena apa-apa pun. Inilah jadahnya bila lantik pemimpin-pemimpin yang tidak boleh buat apa-apa.. pemimpin bengap!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 17-09-2007.

Saturday, September 15, 2007

Pertahan Terengganu Dengan Darah?



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

SESEORANG memberitahu saya, “Ana baca tulisan anda dalam Tranungkite।Net, (Pertahan Kelantan Dengan Darah?) Ana nak tegaskan pendapat ana, kita wajib pertahankan keadilan dan kebenaran walau dengan darah sekalipun! Tak kira Kelantan atau Terenggau!!” Katanya dengan penuh bersemangat.

“Kalau ada jalan mudah mengapa pilih jalan susah?” Seorang lagi kawan saya jawab balik।

Menurut kawan saya seorang lagi itu, kita kena tahu bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia perlu mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri। Untuk mendapat suara majoriti, mestilah pula memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan. Untuk memenangi kerusi terbanyak yang dipertandingkan di dalam pilihan raya itu, mestilah dapat undi majoriti. Untuk layak menjadi pengundi, mereka perlu daftarkan diri sebagai pemilih.

Kata kawan saya itu lagi, “Oleh kerana itu, berdasarkan kaedah fiqh, ‘Sesuatu yang wajib tidak sempurna kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib’, jadi mendaftarkan diri sebagai pengundi di Malaysia ini, adalah menjadi ‘wajib’ mengikut hukum syara’। Bila sudah daftar, baru boleh mengundi. Soalnya sekarang, adakah sudah sampai penerangan tersebut kepada masyarakat kita? Mengapa masih ramai peratus yang tak daftar mengundi, tak keluar mengundi atau undi rosak? Mengapa jadi begitu?

Tak tahukah mereka, ulama-ulama samada dari Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij, semuanya bersatu pendapat mengatakan menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib.. maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada imam yang adil.. yang menegakkan ke atas mereka hukum-hakam Allah.. yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah.. yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu? Seperti yang disebutkan oleh Al Faqih Al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi di अतास..

Seperti juga kata-kata ulama yang pernah didengari oleh Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (Faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain [walaupun ada juga satu puak dari Al Khawarij (Al Najdat) tidak bersetuju।]...” Sambil di tangannya membelek-belek beberapa kitab.

Kawan yang bersemangat tadi terus memotong। Kali ini nampak lebih bersemangat lagi. “Masalahnya sekarang, jalan mudah yang anta sebut itu sudah tertutup॥ Pilihan raya kita di selimuti pengundi-pengundi hantu.. Kita wajib sekat hantu-hantu yang mengganggu sistem pengundian negara kita. Itu baru satu hal.. Kedua.. Bukan itu sahaja, bahkan sekarang kita nak berceramah dan nak sampaikan penerangan pun tak boleh! Macam tragedi di Terengganu beberapa hari lepas.. Mereka tembak orang-orang yang nak jayakan ceramah. Mereka sekat penceramah-penceramah, walaupun pembangkang parti yang sah.

Mereka tuduh macam-macam kepada pembangkang, yang tidak diberi peluang menjelaskan hal sebenar। Sedangkan ‘manusia-manusia benteng pertahanan babi-babi’ dalam peristiwa di Melaka sebelumnya, tidak diusek dan dijentik sedikit pun. Mereka bela dan belai babi-babi lebih dari manusia! Apakah mereka sudah jadi babi, tidak ikut pertimbangan manusia lagi??” Kata kawan kita itu dengan sebak bercampur marah.

Pada saya, kalau kita lihat sejarah gerakan Islam selepas Perang Dunia Kedua, ianya bermula dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al-Banna di Mesir। Dikatakan berasal-usul dari ulama modenis Muhammd Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani yang digerakkan bersama Sultan Abdul Hamid dari Turki bagi memulihkan institusi khalifah. Hasil dari gerakan tersebut kalau di Asia Tenggara, dikatakan PAS adalah parti Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan.

Atau juga parti Islam pertama selepas kemenangan Ikhwanul Muslimin di Yaman yang mampu membentuk kerajaan (sekitar tahun 40an), di mana wilayah-wilayah lain di dunia (pertengahan kurun 20) tidak mendapat peluang sepertinya। (Lihat Ibnu Hasyim ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ terbitan 1993). Di mana PAS berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu di Tanah Melayu melalui pilihan raya umum ke 2 tahun 1959. Ertinya, berjaya tubuh kerajaan melalui peti undi.

Itulah proses pertama penubuhan kerajaan Islam tersebut॥ walaupun penguasaannya terus silih berganti। Kedua, penubuhan kerajaan Islam melalui revolusi seperti yang berlaku di Iran pada tahun 1979 kekal hingga sekarang. Dan ketiga, ada lagi satu aliran gerakan Islam yang dianggap sesat, melampau dan disebut-sebut menjadi ancaman kepada dunia. Kononnya secara ‘keganasan’, ditampilkan melalui kegiatan Taliban dan Al-Qaeda. Serangan mereka ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York tahun 2001 merupakan tarikh permulaan kepada aliran ini. Begitu juga Jamaah Islamiah (JI) di Indonesia dan lain-lain. Berjayakah mereka menubuhkan kerajaan Islam?

Yang penting, ada tiga saluran gerakan Islam masa kini, iaitu demokrasi, revolusi dan terorisme। Kalau saluran pertama tertutup seperti di Iran sebelum 1979, ia akan beralih ke saluran kedua. Kalau saluran kedua pula tertutup seperti di Afghanistan dan Iraq, ia akan beralih ke saluran ke tiga. Yang lebih penting lagi, Islam mesti berada di tempat tertinggi seperti yang dikehendakiNya, dan manusia Muslim sebagai KhalifahNya.

Pernah seorang ulama haraki memberi amaran kepada pemerintah-pemerintah sekular dan anti Islam selepas berlaku revolusi Islam Iran, “Kalau tidak mahu berlakunya revolusi rakyat melawan pemerintah, maka janganlah pihak kerajaan menekan, menindas dan menzalimi rakyat, kerana seekor kucing yang jinak pun kalau ekornya dipijak tuannya, dia akan menggigit!! Apa lagi manusia?”

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 15-09-2007.


Monday, September 10, 2007

Imbauan 5: Nak Jadi Pengarang Sufi, Ikut Subky..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SEBUT saja akhbar Harakah, orang akan ingat Subky Latif. Beliau dengan Harakah seolah-olah tidak dapat dipisahkan, menulis dalam Harakah sejak tertubuhnya hingga sekarang. Menjadi penulis terkenal, sehingga ada yang menamakan anak-anak mereka dengan nama Subky Latif bin……. sekian sekian. Ada yang dah dewasa pun sekarang. Kalau penulis lain menganggap Harakah sebagai universiti, maka beliau adalah sebagai pensyarah di unversiti tersebut.

Yang saya ingat, beliau mengisytiharkan berkecimpung dalam politik PAS semasa umurnya menjelangkan 40 tahun. Pengisytiharan bersama Yang Di Pertua atau Presiden PAS waktu itu, iaitu Dato’ Hj Mohd Asri Hj Muda. Dan beliau terus bertanding pada pilihanraya kecil pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979, merebut kerusi Menteri Pengangkutan yang kosong dengan kematian Mendiang Tan Sri V. Manikhavasagam. Disitulah lahir buku ‘Anak Jawa Pelabuhan Kelang’(Jan 1980).

Sebelumnya beliau telah menulis hampir puluhan buku-buku politik semasa dan dikatakan juga beliau adalah pelupor penulisan buku-buku politik semasa. Antaranya buku ‘Suka Duka Politik Tun Razak’ yang dicetak puluhan kali dalam masa singkat. Beliau disebut juga sebagai peneroka ‘new journalism’ di Malaysia. Hj Subky menyertai PAS di saat imej PAS jatuh merudum setelah di tendang keluar dari kompenan Barisan Nasional (BN) dan kalah teruk dalam pilihanraya 1978, dan istimewanya, nama beliau waktu itu sedang melunjak naik!

Beliau yang berketurunan Jawa dari keluarga beragama anak kelahiran Setiawan Perak dilahirkan pada 28 Julai 1940. Berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris. Juga menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. Mengambil Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat. Tahun 1971, mewakili Malaysia dalam Seminar ASEAN mengenai sebaran am di Manila. Pernah dihantar ke Britian, Perancis, Belanda, Denmark, Swirtzerland, Greece, Brussel, Amerika, Mesir dan Indonesia.

Tahun 1974 beliau ditugaskan membuat liputan kunjungan Allahyarham Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia ke Peking bersama Utusan Malaysia. Tahun 1979 beliau diundang mengikuti Persidangan Negara-negara Berkecuali mengenai wanita di Baghdad, seterusnya ke Benghazi Libya. Beliau antara peneroka 3 buah akhbar, iaitu dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka’, serta ‘Harian Watan’. Termasuk juga beberapa majalah seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Tulisannya begitu tajam dan berkesan waktu itu. Pernah beliau mengkritik dalam tulisannya ketiadaan air di Johor, kesannya hingga berlaku demontrasi menuntut air. Membongkar kisah ‘2 Abdul’ yang kononnya pro komunis di bawah dagu Tun Razak hingga akhirnya tertangkapnya ‘3 Abdul’ (Abdullah Ahmad, Abdullah Majid & Abdul Samad Ismail). Hingga akhbarnya digantung KDN (kelulusan Kementerian Dalam Negeri)nya. Waktu itu PAS masih belum ada akhbar suara resminya sendiri, secara sah.

Apa yang penting, beliau tetap mempertahankan pendirian perjuangannya, tidak berubah walaupun kepopularitinya dikatakan menurun apabila beliau menyertai pembangkang. Setelah menyertai PAS dan menjadi penulis di akhbar Harakah, beliau tetap tenang menghadapi gelombang politik dalaman dan luaran parti. Beliau antara pemimpin yang banyak bertanding dalam pilhraya melawan BN, tetapi tidak pernah menang dapat kerusi sekalipun. Pernah bertanding di Setapak, Perak, di Kubang Pasu melawan Dr Mahathir, Jerai, Terangganu dan lain-lain.

Tiada pencen apa-apa pun. Tiada pendapatan tetap kecuali menulis. Tiada hidup mewah. Hidup sederhana dan tiada banyak harta pun. Hidup bagaikan ahli sufi yang miskin harta tetapi kaya jiwa. Pernah suatu masa sewaktu beliau baru pulang dari Terangganu (negeri asal isterinya), masa itu masih belum ada Harakah lagi. Beliau cuba untuk membangunkan bahagian penerbitan di sana.

Saya tanya beliau, “Pulang terus, tak pergi-pergi lagi ke??”

“Ya!” Jawabnya.

“Kenapa?”

“Kalau saya duduk di sana lagi, saya terpaksa bawa tempurung minta sedekah!!” Katanya sambil bergurau.

Beliau banyak mencurahkan ilmu, macam tokoh-tokoh PAS lain.. Tapi tiada kereta dan rumah mewah, kerana beliau bukan penulis komersial.. Mungkin beliau berpeluang mencari harta semasa berbaik-baik dengan pemimpin kerajaan dulu, semasa dalam surat khabar Utusan, tetapi kesempatan itu tidak diambilnya. Bahkan beliau memilih PAS, yakni parti yang boleh mengkibatkan azab sengsara di dunia (pas = parti azab sengsara?).

Saya teringat kisah seorang penulis komersial atau ada juga yang menyebut ‘penulis upahan’, melihat sebuah buku tulisan Subky bejodol ‘Sifir Politik’. Bukunya diterbitkan dalam bentuk majalah tak berkala, sebelum adanya Harakah lagi, dijual dengan harga RM1 sahaja. Penulis itu menggelengkan kepala..

Katanya, “Buku yang begitu menarik, dengan symbol campur-tolak dan dharap-bahaginya, dengan isi melambangkan percaturan metametik politiknya yang hebat, tetapi kenapa dijual dengan harga RM1 saja?? Kalaulah saya.. dengan tokok tambah supaya tebal lagi dan berkulit cantik, apalagi bila ‘ada nama’ atau terkenal macam nama beliau (Subky), tentu saya jual tidak kurang dari harga RM25.”

Itulah Subky yang saya lihat, penulis Harakah yang mewarisi cara hidup sederhana macam Tok Guru Nik Aziz. Ingat, masa Tok Guru mula-mula perintah Kelantan (1990), antara kempennya, ialah cara hidup sederhana. Mungkin itulah antara sebabnya, pengekalan pemerintahan Tok Guru hingga kini. Begitulah cara hidup Hj Subky sebelum Tok Guru perintah Kelantan lagi. Ada orang-orang Harakah atau PAS yang hendak ikut gaya sufi Subky?

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-09-2007.

Friday, September 07, 2007

Tubuh cawangan PAS Di Perkampungan Sarawak..





Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

ANGIN sepoi-sepoi bahasa dari Sungai Sadong atau Batang Sadong menyapu dan mengelap-lap muka kami dengan tenang lagi menyejukkan. Kami singgah di sebuah gerai di pinggir sungai, cuba rasa makanan ringan tempatan sementara menunggu feri sampai. Ada tapai yang manis, goreng pisang dan kueh-kueh.. Beberapa remaja sedang memancing udang galah dari sungai itu..

Nun di seberang sana, dari jauh feri yang bagaikan kotak rokok hanyut terapung-apung sedang menuju kearah kami.. makin dekat, makin nampak besar terus mengarungi gelombang ke mari.. Sesampainya, van kami dan puluhan kenderaan lain dimuati feri, menyeberang ke seberang sungai. Kami sedang menuju ke Sebuyau, antara daerah pendalaman Sarawak, dalam kawasan parlimen Batang Sadong.

“Encik datang dari Semenanjug?” Tanya seorang anak muda bernama Mohd Johari setelah perkenalkan diri. Saya temuinya dalam feri tersebut.

“Apa pandangan saudara, tentang kedatangan kami ini?” Saya bertanya setelah memperkenalkan diri dan tujuan kedatangan untuk menziarahi kawan-kawan PAS di Serawak.

Kami yang keluar kira-kira pukul 10 pagi dari bandar Kuching, setelah singgah makan tengahari di restoran kecil sampai di situ kira-kira pukul 2 petang. Lepas menyeberang sungai tersebut kami meneruskan perjalanan lagi beberapa jam, hingga bertemu sebatang sungai kecil, terpaksa meninggalkan van kami menyeberang dengan sampan kecil sahaja dan berjalan kaki ke tempat distinasi, iaitu di sebuah rumah ahli PAS. Di situlah majlis penubuhan PAS Cawangan Sebuyau diadakan.

“Sepatutnya lebih ramai lagi yang datang kalau diadakan di sebelah malam, waktu nelayan-nelayan atau petani-petani berehat.. sekarang ni ada yang masih di ladang atau di sungai!” Kata ketua penaja cawangan dalam ucapan alu-aluan menyambut kami.

Lepas itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Ustaz Usman Mustafa pula memberi ucapan panjang lebar. Antaranya menerangkan pentingnya berjamaah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, dengan bahasa loghat tempatan, diselangi dengan huraian hadith dan ayat Al-Quran, juga dengan kelucuan yang memikat pendengar. Memang beliau juga adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar. Jumlah yang hazir di majlis itu sudah melebihi berkali-kali ganda dari syarat tubuh cawangan iaitu hanya perlu 25 ahli sahaja.

Antara yang berucap lagi ialah Senator Hajjah Mumtaz bt Mohd Nawi (mengikuti rombongan kami bersama-sama suaminya) dan YB Dato’ Wan Rahim Wan Abdullah Speaker DUN Kelantan (juga bersama pengiring-pengiringnya mengikuti rombongan sama). Dan akhirnya sessi soal jawab. Banyak pertanyaan dihamburkan, antaranya apa yang PAS boleh bantu mereka, mengkritik wakil rakyat BN yang tidak pernah melawat kawasan, beri bantuan pilih kasih dan macam-macam double standart lagi. Antara yang menjawab soalan ialah Senator Mumtaz dan YB Dato’ Wan Rahim, mereka menjawab juga persoalan politik semasa, nasional dan internasional.

“Kami tidak berjanji untuk memberi kebendaan yang melimpah-limpah macam janji BN, tapi kami akan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya! Yang penting kita dan agama kita akan membangun bersama-sama.” Itulah janji Ustaz Usman kepada penyokong-penyokong PAS di Sebuyau.

Itulah juga antara jawapan-jawapan dalam sessi soal-jawab yang agak hangat dan menyegarkan majlis. Jawapan yang hampir sama juga diberikan bila menghadiri ke cawangan seterusnya, iaitu Cawangan Tongkah Melayu. Di Kampung Tongkah Melayu, kami terpaksa sembahyang Asar di rumah ahli di sana dan selesaikan majlis itu sebelum magrib, kerana tiada pengangkutan feri di Batang Sadong apabila lepas jam 8 atau 9 malam. Yang penting, hampir di setiap proses penubuhan cawangan, rakyat akan bertanya mengenai bantuan kebendaan. Bahkan ada di senaraikan barangan keperluan yang mereka kehendaki segera, terpulanglah kepada pemimpin atau parti menyelesaikannya.

Maka tepatlah seperti jawapan anak muda bernama Mohd Johari yang saya jumpa di dalam feri, waktu saya tanya pandangannya mengenai misi kedatangan kami, katanya “Lagi banyak pembangkang lagi baik, kerana kerajaan BN akan melawannya dengan menghamburkan kebendaan lebih banyak lagi. Saya nak beritahu rakyat Sarawak, kalau nakkan pembangunan percepatkan penubuhan cawangan-cawangan pembangkang, bahkan menangkan lebih lagi kerusi pada parti pembangkang. Kalau nakkan pembangunan Islam, menangkan pembangkang Islam di Sarawak ini, baru kerajaan BN ambil berat mengenai Islam, bukan hanya setakat buat masjid sahaja!”

Akhirnya, van kami meluncur keluar dari Kampung Tongkah Melayu di bawah sinaran bulan, walaupun datangnya dengan mentari. Bersebelahan Tongkah Melayu, rupanya ada kampung bernama Tongkah Iban. Dalam imbasan malam di sepanjang perjalanan pulang, masih boleh dilihat deretan rumah-rumah panjang orang Iban, samada yang tradisional atau moden, dengan banyak lampu-lampunya yang menarik. Kaum Iban termasuk yang diklasifikasikan kepada lima kumpulan utama kaum di Sarawak, iaitu Iban, Cina, Melayu dan Melanau, Bidayuh serta Orang Ulu.

Dari segi jumlah penduduk, Iban berjumlah 29.5%, Cina 28% dan Melayu (masyarakat Melayu dan Melanau) kira-kira 27.5 Bidayuh 8 % dan Orang Ulu 6%. Populasi anggaran tahun 2005, jumlah penduduk ialah 2,376,800 dengan kepadatan 19.1 Km. Untuk perjuangan jangka panjang PAS perlu ada pemimpinnya dari kalangan kumpulan utama tersebut. Teringat saya kepada beberapa tahun lepas sewaktu berlaku Tragedi Tsunami di Aceh, antara yang awal datang ke Aceh ialah tentera Amerika.

Mereka dikatakan telah mencuri dan membawa balik kira-kira ratusan kanak-kanak Aceh ke negerinya hingga menimbulkan kemarahan Presiden Indonesia. Mengapa kanak-kanak itu diculik? Mungkinkah mereka itu akan ditarbiahkan mengikut citarasa Amerika dan akan dihantar balik memimpin atau merampas kepimpinan Aceh pada masa akan datang?? Apakah PAS mampu buat begitu?? Tetapi bukan dengan mencuri atau menculik bahkan membantu dan menolong saudara-saudara kita orang-orang Iban atau Cina Sarawak yang telahpun beragama Islam…

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-09-2007.

Wednesday, September 05, 2007

Pertahan Kelantan Dengan Darah?


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“KINI di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, PAS cuma lebih 1 kerusi sahaja, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi sahaja!” Saya mencelah dalam suatu perbincangan kedai kopi di Setiawangsa baru-baru ini. “Bolehkah kita katakan PAS perintah Kelantan dengan kelebihan 2 undi sahaja??”

Hal ini berlaku dalam kawasan Parlimen Macang (P029) di DUN Kemuning (N02935) di mana calun PAS (dapat 6,078) mengalahkan calun BN (6,076) dengan 2 undi sahaja. Undi rosak 190 dan peratus keluar mengundi ialah 77.96%. Di DUN yang dua lagi dalam parlimen Macang juga iaitu DUN Temangan (N02934) PAS (dapat 5,603) mengalahkan calun BN (dapat 5,523) dengan majoriti 80 undi. Undi rosak 145 dan peratus keluar mengundi ialah 82.1%. Begitu juga di DUN Pulai Chondong (N02933) PAS (dapat 5,965) mengalahkan calun BN (dapat 5,760) menang dengan 105 undi. Undi rosak 131 dan peratus keluar mengundi ialah 82.15%.

Kalau dijumlahkan undi PAS mengalahkan BN dalam 3 DUN dalam kawasan parlimen Macang hanya berjumlah 187 undi. Di kesemua DUN undi rosak berjumlah 466 undi. Tetapi amat berbeza dengan undi parlimennya, calun BN (dapat undi 17,464) mengalahkan calun PAS (dapat undi 17,329) dengan majoriti 135 undi. Undi rosak 599 dan peratus keluar mengundi adalah 80.67%. Begitu juga di parlimen Kota Bharu, BN mengalahkan PAS sedang di ketiga-tiga DUNnya di menangi oleh PAS.

“Itulah yang dikatakan telur di hujung tanduk, tunggu masa untuk hancur berkecai jatuh ke bumi!” Sambut seorang kawan kami lagi anak Kelantan di perantauan KL.

“Aku dengar khabar pihak lawan PAS sedang berusaha memasukkan 30,000 pengundi hantu ke Kelantan.. tak hairanlah bila ada yang mengesyakinya dengan terjumpa 70 orang Mynmar berada di pejabat Pendaftaran Negara, Kota Bharu, baru-baru ini.. dan mungkin ramai lagi akan dijumpai selepas ini, termasuk orang Bangladesh, Thailand, Indonesia dan lain-lain!” Kata seorang lagi pula.

“Jadi apa yang boleh kita buat?”

“Kalau perkara itu benar-benar berlaku dan pihak berkuasa (terutamanya Pejabat Pendaftaran Malaysia) sudah tidak mampu menggunakan kuasanya mengawal kebersihan demokrasi, maka rakyat Kelantan (atau rakyat Malaysia umumnya) kena bantu kerajaan mengawalnya dengan apa cara sekalipun hatta dengan darah!!” Kata anak Kelantan di perantauan itu. “Kelantan mesti dipertahankan kebersihan demokrasinya, supaya pilihanraya berjalan lancar, bebas dari pengundi hantu dan yang terpilih benar-benar dari pilihan rakyat!” Sambungnya dengan lantang.

Naik seram bulu roma saya mendengarnya. Bukan kerana takut hantu tetapi nampak kawan kita ini macam ‘naik hantu’ dibuatnya.

Tapi, lepas itu dia nampak tenang balik, katanya dengan sindiran yang cukup tajam, “Sebenarnya, kita rasa sedih, sudah 50 tahun kita merdeka masalah hantu-hantu yang menyelinap masuk dalam bilik undi masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak berwajib. Begitu juga masalah undi pos yang dibantah pembangkang dengan sebab-sebab menasabah. Mereka tidak peka bahkan ‘pekak’kan telinga, jadi telinga kuali. Tanda pentadbiran yang tidak profesional.. sembang saja lebih. Jangan sampai semua rakyat menganggap, merekalah penjamu-penjamu hantu atau bapa-bapa hanturaya itu!”

“Jadi apa tindakan lanjut kita??” Sekali lagi berulang pertanyaaan yang sama.

“Pertama..” Jawabnya ringkas. “Kalau ada adik beradik, sanak saudara atau kawan-kawan kita yang layak mengundi di Kelantan, usahakan supaya mereka dapat mengundi. Yang dah cukup umur atau berada diperantauan. Masih ada masa lagi, kita nak selamatkan Islam di Kelantan, satu-satunya negeri yang dipimpin oleh Tok Guru, seperti juga saranan Dr Mahathir mantan PM Malaysia. Usahakan seberapa banyak yang kita mampu, tak kira berapa orang yang dapat. Isya Allah, amal jariah kita akan dikira di akhirat.
Kedua.. Kalau ada pihak-pihak yang cuba mengimport pengundi hantu dan syaitan ke Kelantan, untuk mengotorkan domokrasi, maka menjadi tugas kita sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia untuk menyekat dan menggagalnya, supaya tidak wujud hantu-hantu yang bertopengkan manusia memerintah negeri Serambi Mekah tersebut. Ini adalah satu pengorbanan yang juga akan dikira di akhirat.”

Itulah sebuah nukilan dialog di Setiawangsa untuk catatan santai buat kali ini, supaya pembaca boleh nilaikan patutkah kesucian demokrasi Kelantan dipertahankan dengan darah??. Wallahu ‘aklam.

Untuk lanjutnya, sila lihat juga catatan ‘Hantu Global Di Belakang Masjid Merah…’ dalam blog saya yang lepas-lepas, juga ada kaitan sikit-sikit mengenainya.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 04-09-2007.

Sunday, September 02, 2007

Imbauan 4: Harakah Sebagai Unversiti.





Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI



“SETELAH membaca tulisan anda, ‘Imbauan Harakah 20 Tahun, Imbauan 2 & 3’ maka saya ingin beritahu anda bahawa pada saya Harakah adalah universiti tempat latihan, mengutip dan mengembangkan ilmu.” Kata seorang bekas pengarang Harakah yang saya temui baru-baru ini. “Anda ingat atau tidak, anda juga ada membantu saya hingga terbitnya buku sulung saya, selepas PAS baru mengambil alih negeri Kelantan 1990, berjudul ‘Kelantan: Mampukah Ulama Mentadbir?’ ”

“Ya, saya ingat! Anda pernah dihantar Harakah untuk membuat liputan menjelang kemenangan ANGKATAN (Angkatan Perpaduan Ummah) di Kelantan, dan saya melihat tulisan anda adalah bahan sejarah yang perlu dikumpulkan dan dijadikan buku. Bila anda mengumpulkan, sayalah yang memilih tajuk dan mengeditnya, walaupun masih belum sempurna dan nampak kelam kabut isinya. Tetapi buku itu masih agak berjaya di pasaran.” Jawab saya.

Beliau adalah saudara Tarmizi Mohd Jam berasal dari Parit Perak. Dalam buku seterusnya, beliau mengucapkan kata penghargaan kepada saya dan mengiktiraf saya sebagai guru kepada penulisannya. Puluhan buku-buku diterbitkannya, akhirnya menjadikan penulisan buku sebagai sumber pendapatan sepenuh masa beliau. Hanya beliau seorang diri menulis, mengedit, menerbit dan memasarnya. Pada tahun-tahun 90an, beliau banyak menerbitkan buku-buku isu berbentuk majalah tak berkala. Mungkin pendapatan waktu itu agak lumayan, hingga boleh pakai kereta mewah.

Saya tak ingat judul-judul buku tulisannya, kerana agak banyak. Seingat saya juga, beliau ada melanjutkan pelajaran penulisannya di Universiti Malaya. Bukan setakat menjadi penulis, bahkan beliau berkecimpung dalam politik PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya di Perak sebagai calun PAS. Saya sedar, banyak wang ringgit dan masa yang dihabiskan untuk perjuangan, kerana sering berulang-alik ke kawasannya, bagi menghidupkan perjuangan PAS di sana. Hal ini kita semua sedia maklum di saat PAS parti yang miskin dan masih belum menang banyak kerusi dalam pilihan raya kecuali Kelantan, amat perlukan sokongan ahli-ahlinya.

Saya juga sedar hal ini kerana saya juga begitu, waktu nak menghidupkan PAS di kawasan saya (PAS Kawasan Balik Pulau di mana saya jadi YDPnya) dari pertengahan 80an hingga pertengahan atau hujung 90an. Banyak pengorbanan yang perlu kita curahkan. Begitu juga saudara Ahmad Lutfi Othman anak Kedah, yang banyak menerbitkan buku-buku dan majalah (termasuk majalah Detik) semasa berkerja atau menjadi pengarang Harakah. Beliau yang dengan beraninya pernah bertembung dan berlawan dengan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri), begitu banyak menerbitkan buku-buku politik.

Semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru dipecat dari UMNO, saya pernah bersama-sama beliau berceramah di Markas PAS Kampung Pandan. Waktu itu ada sebuah buku tulisan beliau begitu laris dan cetakannya dikatakan menjangkau 80,000 naskah, tidak termasuk puluhan syarikat yang mencetaknya secara haram (cetak rompak). Begitu juga Ustaz Mashudi (sekarang masih berkerja di Harakah) walaupun tidak menulis buku, tetapi beliau adalah orang yang awal menulis semula ucapan atau kuliah Tok Guru Nik Aziz dijadikan buku dan diterbitkan oleh pihak Harakah. Sambil menulis beliau seolah-olah sedang belajar agama di universiti..

Begitu juga Saudara Zulkifli Sulong anak Terangganu menulis buku mengenai PAS tawan Terengganu sebelum PAS benar-benar tawan Terangganu, Saudara Rashidi Hassan mengenai perjuangan Islam di Bosnia, Saudara Yusri Yusof anak Kelantan mengenai isu Palestin, Saudara Rahim Kassim buku mengenai UMNO & S46, bekas pelakon L.Man Kadir Shamsi yang memakai nama samara juga pernah berkerja sekejab dengan Harakah, Saudara Zin Mahmud dengan majalah Dunia Islamnya, Saudara Nasir Awang dan ramai lagi yang saya belum ingat semasa menulis artikel ini.

“Soalnya sekarang mengapa ramai juga orang yang asalnya datang untuk berbakti kepada perjuangan Islam melalui Harakah seperti pelajar-pelajar yang baru keluar universiti, terpaksa keluar meninggalkan Harakah seolah-olah lari dari perjuangan? Mengapa orang-orang yang terlatih di Harakah, ramai yang keluar meninggalkan Harakah atau pergi berkhidmat kepada bukan jamaah yang sealiran dengan Harakah? Di mana salahnya tarbiah universiti Harakah seperti yang disebutkan??” Saya pula bertanya Tarmizi.

“Mereka yang baru keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi menganggap universiti Harakah itu sebagai lubuk kegiatan Islam yang bersih dari kekurangan, maka mereka pun terjun kedalamnya. Tetapi apabila sudah bergelumang di dalamnya, baru mereka tahu bahawa masih banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibetulkan, dan harakah Islamiah itu sendiri perlukan pentarbiahan.” Jelas Tarmizi. “Itu sebabnya ada juga hampir berlaku saman-menyaman sesama sendiri dan sebagainya. Mana yang mengalah, tak mahu berlawan atas dasar jamaah terpaksa keluar membawa diri. Kadang-kadang bila keluar dari Harakah mereka jadi lebih terkenal!!”

Contoh seperti Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Wan Johari, JJ Perak, (saya tak ingat nama sebenarnya), Zin Mahmud, Rizal dan lain-lain.

Bersambung, insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 02-09-2007.

Saturday, September 01, 2007

Wajah Tok Guru Halang Calun PAS Dibeli..



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

(Gambar Tuan Adam Ahid: atas tengah di depan markas PAS Serawak & bawah di dalam markas.)


MERDEKA Palace, sebuah hotel di bandar Kucing. Hotel yang dihiasi dan dipenuhi dengan gambar-gambar bersejarah menyambut kemerdekaan. Itulah yang menarik. Di situlah saya menginap hampir seminggu. Di situ saya bertemu ramai pemimpin-pemimpin politik Semenanjung dari parti pembangkang dengan tidak secara langsung, walaupun kadang-kadang mereka tidak menginap di situ. Ada juga yang dari Sarawak sendiri.

“PAS Sarawak akan bertanding merebut 2 kerusi parlimen di negeri ini, dalam pilihan raya umum ke 12 akan datang.” Kata Ustaz Usman Mustafa, Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang saya temui di situ. “Bolehjadi pilihan raya umum akan diadakan selewat-lewatnya antara Oktober atau November ini.”

Beliau selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang juga anak jati Sarawak, datang menjemput pemimpin-pemimpin PAS Negeri Kelantan di hotel tersebut ke majlis anjurannya ‘Liqa Muhabbah Bersama YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan Haji Ahmad Yaakob’ pada 18 Ogos lepas, di sebuah dewan di bandar Kuching..

“PAS sudah bertapak di Sarawak kira-kira 10 tahun lalu dan cawangannya pun sudah memulai proses percambahan ke seluruh negeri.. Kalau anda ada ruang, sila hadir ke majlis proses penubuhan tersebut.” Sambil membelek-belek catatan, katanya lagi, “Dalam minggu ini, hampir setiap hari ada program. Ada waktu siang, ada waktu malam. Anda boleh pilih, bila tarikhnya, kalau nak ikutserta dan melihatnya!”

Sambut pula Timbalannya Tuan Adam Ahid, juga anak jati Sarawak yang berada bersama-sama kami di lobi hotel tersebut, “Dengan bertandingnya PAS di dua kerusi parlimen, seolah-olah PAS mengisytiharkan kepada umum bahawa PAS sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi menegakkan keadilan berasaskan Islam di bumi Kenyalang ini..”

Tuan Adam Ahid pula pernah dua kali menjadi calun dalam pilihan raya. Pertama bertanding merebut kerusi ADUN Serawak pada tahun 2001 dan kedua bertanding merebut kerusi parlimen Sarawak tahun 2004.

“Pada tahun 2001 saya dipilih sebagai calun PAS bertanding di DUN (N18) Sadong Jaya, di mana berlaku pertandingan 3 penjuru antara BN/PBB, PAS dan Bebas. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 71.34% dan undi rosak 91 undi. Pertandingan yang berakhir kemenangan BN diwakili oleh Wan Abdul Wahab bin Wan Sanusi mendapat 3,888, dengan undi majoriti sebanyak 2,901 undi. Saya dapat undi sebanyak 987 dan calun Bebas Shapee Hj Lahat beroleh 388 undi sahaja.” Jelas Tuan Adam Ahid lagi.

Pilihanraya ADUN 2001 pula memaparkan gabungan 4 Parti Kompenen BN iaitu Parti Pesaka Bumi Putera Bersatu (PBB), Sarawak United People Party (SUPP), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dan Sarawak National Party (SNAP). Parti Pembangkang pula terdiri dari Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS).

“Namun saya dari PAS masih tidak hilang wang pertaruhan, dan kalau hilang wang pertaruhan pun, saya masih menganggap menang .. kerana dalam perjuangan tiada ada erti kalah!” Tegas Tuan Adam lagi.

“Bagaimana pula dengan pertandingan merebut kerusi parlimen?” Saya bertanya.

Jika dilihat keputusan pilihan raya parlimen Negeri Sarawak pembangkang cuma menang 1 kerusi sahaja dari 28 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada tahun 1995. Dalam pilihan raya 1999 sebelumnya tiada satu pun kerusi parlimen dapat pada pembangkang. Dalam pilihan raya 2004 yang baru lalu, pembangkang cuma dapat satu saya kerusi parlimen dari 28 kerusi yang dipertandingkan.

“Dalam pilihanraya parlimen 2004 tersebut, saya dipilih sekali lagi bertanding. Tetapi kali ini berlawan dengan tokoh bertaraf Menteri iaitu Dato’ Sri Adenan Satem.” Tegas Tuan Adam. Di sinilah saya digoncang hebat dengan ujian kebendaan.. Walaupun saya dikatakan kalah, hilang wang pertaruhan, tetapi saya tetap menang, tiada kalah dalam beristiqamah kepada perjuangan!”

“Digoncang hebat dengan ujian kebendaan? Apa yang berlaku sebenarnya?”

“Ya! Beberapa hari sebelum dan selepas penamaan calun, ada pihak-pihak tertentu cuba mendesak saya jangan bertanding atau menarik diri dari pertandingan.. Tegasnya cuba membeli saya supaya tiada bertanding melawan mereka..” Jelas Tuan Adam dengan tenang. “Mulanya cuba ditawarkan kepada saya sendiri tetapi saya menolak. Lepas itu kepada anak saya dan seterusnya isteri saya, tidak berjaya juga.. Akhirnya kepada ibu saya yang sudah tua. Hingga ibu saya menangis-nangis merayu kepada saya tidak mahu jadi susah.. apabila ditunjukkan wang tawaran sebanyak RM350,000 kepadanya!!”

“Masya Allah! Apa perasaan anda waktu itu??”

“Menggeletar jiwa dan perasaan saya apabila mendapat tahu hal itu. Terasa seolah-olah Tok Guru Nik Aziz Menteri Besar Kelantan sedang merenung tajam melihat istiqamah saya yang diuji ini. Beliau seolah-olah berada di hadapan saya. Terasa istiqamah saya semakin kuat dengan tiupan renungan Tok Guru itu. Wang tawaran terasa jijik bagaikan longgokan sampah-sarap yang tiada berguna langsung buat saya. Saya berkeputusan tetap menolah tawaran itu, walau apapun yang akan terjadi. Saya sanggup hadapi!!” Kata Adam sambil mengetap gigi dan tangannya menggenggam penumbuk. “Akhirnya saya bersyujud syukur kepada Allah SWT yang menyelamatkan saya dari belenggu nafsu dunia..”

“Alhamdulillah, kini anda sudah lepas ujian melonggarkan istiqamah anda kepada perjuangan Islam. Anda sudah bebas merdeka dari belenggu nafsu dunia! Inilah merdeka sebenarnya, hadiah kepada saya sebagai kenangan 50 tahun merdeka, semasa berada di hotel Merdeka Palace ini.” Kata saya.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. Sempena 31 Ogos 2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails