Monday, January 21, 2008

Tok Guru Nik Aziz Lebih Licik Politiknya Dari Anwar Ibrahim?


Posted on Monday, January 21 @ 11:39:05 MYT by SongkokPutih

Oleh TARMIZI MOHD JAM


SRI GOMBAK: Kesediaan PAS Kelantan untuk bertanding sendirian tanpa melibatkan PKR dalam pilihanraya ke 12 kali ini, dilihat sebagai strategi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengembeling dan memfokuskan jentera pilihanraya PAS Kelantan menentang BN sepenuh hati. Dengan cara ini, kata penganalisis politik, Dr. Mohd Hasyim, segala isu dalaman dapat diketepikan bagi menghadapi musuh, Umno Barisan Nasional. Beliau berkata demikian dalam pertemuan singkat kali pertama Ahli Jawatankuasa Grop Universiti Ulu Klang di Sri Gombak, semalam sejak ia ditubuhkan.

Katanya, walaupun kenyataan itu cukup "pedas" tetapi Mursyidul Am PAS itu berjaya mengikat kembali sokongan ahli dan penyokong PAS seluruh Kelantan agar bekerja lebih kuat setelah PKR membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi Dun dan Parlimen dalam pilihan raya esok lusa. Isu ugutan PKR yang akan memindahkan jentera pilihanrayanya ke Selangor dan Pulau Pinang, kata Dr. Mohd Hasyim telah berjaya membangkitkan rasa tanggungjawab seluruh jentera pilihanraya PAS di Kelantan bagi meningkatkan gerakerja parti.

Sehari sebelum Tok Guru Nik Abdul Aziz mengejutkan politik Malaysia dengan kenyataan "pedasnya" itu, Dr. Mohd Hasyim yang juga penulis prolifik telah membayangkan dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh Web Tranungkite bahawa PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi. Kata Dr. Mohd Hasyim, kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Beliau yakin, strategi Tok Guru Nik Aziz ini adalah percubaan untuk membendung beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, yang dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini. Sebagai pemimpin yang sarat dengan pengalaman politik, Menteri Besar Kelantan itu ujarnya, tidak mungkin mencetuskan "kegawatan" dengan sengaja. Sudah tentulah terkandung "maslahat" tersembunyi bagi menyelamatkan PAS Kelantan dari merudum jatuh seperti kontroversinya amarann agar Dr. Syed Husin Ali tidak bertanding di Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya ke 11 yang lalu.

"Saya yakin, tidak ramai yang nampak di sebalik kontroversi ini. Ada orang kata, Nik Aziz sudah nyayuk. Sudah tua. Pada saya, seni politik yang cuba dipamerkan Tok Guru cukup karismatik dan dia sebenarnya lebih licik dari Anwar Ibrahim," tegas beliau yang juga mantan Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Pulau Pinang.

Berkatalah Sheikh Teluk Intan...


Friday, January 18, 2008

Ibnu Hasyim Bertanya:
Teman Menjawab

Sebelum solat jumaat, teman menerima panggilan telefon dari Ibnu hasyim. Dia tanya samada teman sudah membaca posting terbarunya, yang bertajuk 'Saya Tegaskan Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya '.

Lalu, teman jawab 'sudah'.

Dia tanya lagi , adakah tulisannya boleh membuat ahli Pas marah. Teman jawab, tidak ada sebab ahli Pas marah. Kalau ada yang marah, biarkan saja. Dan teman beritahu dia, tulisannya boleh dikatogerikan sebagai sebuah peringatan.

Dia juga menyuarakan kerisauan, kalau-kalau tulisannya sedikit sebanyak mencederakan Pas. Teman jawab, tulisannya ditahap biasa sahaja dan yang hebat adalah tajuk yang digunakan: bunyinya agak mengemparkan.

Dia ketawa senang hati. Teman tahu, dia begitu sayangkan Pas. Teman pun sepertinya, sayangkan perjuangan Pas. Musuh teman jelas. Musuh Ibnu hashyim pun jelas. Siapakah lagi, kalau bukan UMNO dan Barisan Nasional laknatullah!

Dalam perbualan kami, teman sempat memberitahunya, bahawa setiap kali Pilihanraya Umum, Kerajaan Pas Kelantan memang dalam keadaan bahaya. UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah tidur dan sentiasa mencari jalan walau dengan apa cara sekalipun untuk menawan Kelantan dari tangan Pas.Pada pilihanraya Umum nanti, entah berapa lori duit yang akan dibelanjakan untuk membeli undi rakyat Kelantan. Sesungguhnya duit tak jadi masalah pada UMNO. Tokeh judi boleh sediakan. Tokeh arak boleh sediakan. Kontraktor-kontraktor yang diberi beberapa projek besar pun tak kedekut untuk keluarkan duit. Ah, tak payah cerita panjang-panjang tentang hal ini kerana kebanyakkan penduduk bumi dan langit tahu dan teramat tahu , dari sumber mana duit mengalir untuk memenangkan UMNO /BN.

Mati dan hidup UMNO / BN adalah kerana duit.Sebelum kami berhenti berbual, sempat Ibnu hasyim bertanya dengan nada bergurau pada teman " apakah bunyi niat pemimpin UMNO semasa hendak mula mendirikan solat".

Teman pun jawab secara berseloroh: "Sahaja aku sembahyang zohor empat rakaat kerana duit".


Posted by sheikh teluk intan at 1/18/2008 11:31

Saturday, January 19, 2008

Kasihan Tok Guru Nik Aziz, Nampak Makin Letih...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TULISAN saya yang lalu, ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ menyebab seseorang menelefon saya, katanya, “Kesian Tok Guru Nik Aziz, nampaknya beliau makin letih… Takde ke yang nak ganti?”

Saya tanya balik, “Adakah letih kerana umurnya, atau kerana semangat dan kerjabuatnya?”

Sebelum dia jawab, saya ulas dulu. “Memang dari segi umur (saya agak sekitar 70 tahun) dan tubuh zahirnya nampak macam letih atau lemah. Bahkan dari dulu lagi pun..”

Teringat saya, waktu sebelum PAS tawan Kelantan (1990) … saya dan kawan-kawan pernah bermalam bersama-sama Tok Guru di Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang, KL. Beliau khabarnya waktu itu pun sudah terpaksa mandi air suam pagi hari kerana mengawal kesihatan. Beliau sentiasa tidur awal berbanding dengan kami yang muda-muda tidur lewat hinnga menjelang pagi.

Kadang-kadang waktu Tok Guru nak melangkah ke bilik air beberapa jam menjelang subuh, beliau secara diam-diam membantu tutup aurat antara kami yang bergelimpangan sedang nyenyak tidur tak sedar aurat terbuka atau kain terselak. Begitu, sifat rendah diri beliau. Saya sendiri pernah tersedar beberapa kali sebelum subuh melihat beliau sentiasa asyik bertahajjud dengan khusyuk…

Nampaknya, beliau yang dianggap lemah rupanya kekuatan rohaninya amat gagah melebihi kami. Walaupun kami berbadan tegap kuat dan ada yang macam ahli gusti. Kekuatan rohani rupanya mempengaruhi kekuatan jasmani beliau. Itu dulu, apalagi sekarang setelah jadi pemimpin tertinggi umat, telah teruji dengan pelbagai cubaan dan tribulasi. Semangatnya tidak letih bahkan lebih kuat dari yang muda-muda. Itu yang saya ingat kalau tidak salah.

Dalam politiknya pun begitu. Beliau begitu tegas dan keras dalam menegur pemimpin kerajaan pusat. Mula-mula perintah Kelantan, dalam kes Pergau. Kes yang melibatkan pengambilan tanah Kelantan oleh kerajaan Pusat. Kerajaan pimpinannya begitu tegas dengan Kerajaan Persekutuan, pertahankan hak rakyat Kelantan, sehingga menang total. Tidak seperti dalam kes perampasan royalti minyak di Terangganu, kerajaan Terengganu pimpinan PAS memilih jalan diplomasi lembut, yang akhirnya tinggal serabut.

Begitu juga dalam menegur dan memecat pimpinan dibawahnya. Beliau mampu merubah, menukar atau memecat, meletakkan yang ahli pada tempatnya, walaupun pimpinan itu pernah membantu menaikkan beliau atau menanam budi pada beliau. Hingga kawan dan lawan beliau sendiri yakin dan percaya pada keikhlasan (bertindak kerana amanah Allah) beliau. Yang disingkir pun pernah dinaikkan semula bila tiba masanya yang sesuai. Tiada dendam dan kesumat.

Begitu juga ketegasan dalam cara hidup sederhana beliau. Beliau mempelopori cara hidup sederhana dalam kerajaan pemerintahannya, mulai dengan dirinya, yang agak berbeza dengan pimpinan PAS memerintah Terengganu. Mungkin itulah salah satu sebab kerajaan pimpinannya boleh bertahan lama berbanding Terengganu.

Saya pernah dengar ceramah dalam keset pengajiannya, beliau memilih cara hidup sederhana seperti seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Zar orang Ghifar. Ciri-ciri hidup yang sama dengan Khalifah Islam ke II Umar bin Khattab atau pemimpin Bani Umaiyah Umar bin Abdul Aziz. Beliau tetap pertahankan prinsip gaya hidupnya sejak dari jadi guru agama hingga ke jadi Menteri Besar sampai sekarang.

Bukan macam setengah-setengah ustaz, sebelum dapat kuasa memuji cara hidup Umar Abdul Aziz, lepas dapat kuasa tiada lagi pujian-pujian seperti itu… Mungkin setelah ada kuasa dan harta, mereka pilih cara hidup Muawiyah bin Abu Sufian, pimpinan pertama dari Bani Umaiyah yang seakan-akan memilih gaya hidup mewah.

“Kalau begitu Tok Guru tak perlu diganti lagi le?” Kawan saya itu tanya lagi.

“Memang tak perlu diganti selagi tenaga beliau masih diperlukan, tetapi kena siapkan pengganti atau pelapis. Seperti sahabat-sahabat Nabi SAW memilih pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Iaitu memilih orang yang menjadi imam sembahyang mengganti beliau sewaktu beliau sedang gering, hampir wafat. Maknanya Nabi tidak pencen setelah tua. Begitu juga sahabat-sahabat beliau seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain yang mati dalam perjuangan. Tidak timbul soal kasihan. Yang patut kita kasihan ialah orang yang mati bukan dalam perjuangan menegakkan Islam. Na’auzubillah!”

“Jadi, tak boleh kesian ke?”

“Kalau kasihan kepada Tok Guru, cari orang suruh undi PAS!!”. Wallaku aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-01-08. KL.

Thursday, January 17, 2008

Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”

“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.


Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.

BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.

Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.


Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).

Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.


Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.

Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?


Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.


Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.


Itulah secara ringkas jawapan saya.


“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.

“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.

“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.
“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”

“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”

“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08. KL.
Ibnu Hasyim

Benarkah PAS & Kerajaan Kelantan Dalam Bahaya?





By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.Kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Demikian analisa penulis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas menubuhkan “Grop Universiti Hulu Klang” dekat sebuah restoran di Danau Kota, tidak jauh dari sini malam tadi.

Katanya, dengan kelebihan satu kerusi Dun dan kelebihan dua undi majoriti keseluruhannya, PAS Kelantan sebenarnya berada dalam zon bahaya tetapi kerja keras para pemimpin dan jentera pilihanrayanya amat diutamakan buat masa ini bagi mempastikan kerajaan negeri tidak terlepas ke tangan BN.Selain itu, ujar Dr. Mohd, pelbagai isu yang timbul samada dari dalam PAS mahupun dari Umno, telah mengundang pertikaian rakyat terhadap wibawa dan akauntibiliti kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz sekarang.

Jika ini gagal dibendung, beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini.Dr. Mohd yang juga seorang penganalisis politik tetap percaya, kegagalan PAS Kelantan menguar-uarkan pengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar jika ditakdirkan berkuasa semula telah mengurangkan selera keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS.

“Husam bukanlah tokoh yang boleh disifatkan sebagai Tok Guru Nik Aziz II. Dari segi latarbelakang, mungkin dia tidak disokong penuh oleh kawasan dalam Kelantan,” tegas beliau sambil menyifatkan ketokohan Tok Guru Nik Aziz telah menyatukan rakyat Kelantan untuk terus bernaung di bawah PAS sejak 1990 lagi.

Sehingga kini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz jika Mursyidul Am PAS itu berundur. Mereka ialah Datuk Abdullah Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang; Datuk Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan dan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Thursday, January 10, 2008

Jajah Melalui Fikiran, Budaya & Filem...


Ibnu Hasyim
CATATAN PERJALANAN:



BARA api di atas dapur pun membakar garang. Membakar daging-daging pejal sate yang kami pesan. Bila dikipas, meletit-letit. Meletup-letup. Sesekali apinya menyambar, menambah indahnya suasana malam di kedai itu. Manusia mundar-mandir tambah meriahnya lagi. Kedai itu berhampiran panggung wayang gambar dalam bandar Pattani. Bandar dalam kawasan majoriti Islam, dalam negeri Buddha negara Gajah Putih itu.

“Mu semua duduk dulu sementara nak tunggu sate masak, aku nak lihat-lihat di luar panggung tu…” Aku minta diri sebentar.

Kelmarin semasa aku berada di luar pekan Pattani, aku lihat sebuah lori melintas. Dindingnya dipenuhi poster-poster wayang. Besar-besar. Berkeliling bandar dan kampong berdekatan. Iklan juga melalui pembesar suara. Macam juga di kampungku Balik Pulau Pulau Pinang dulu-dulu, waktu aku masih kecil. Apabila ada tayang wayang di pekan Kongsi, kereta seperti itulah round rata kampong mengiklannya. Sekarang dah tiada lagi.

Gambar-gambar yang kulihat kelmarin itulah, yang kini terpampang depan pintu masuk panggung. Gambar wanita tak berpakaian, sama besar dengan manusia. Di samping gambar-gambar lain yang juga menjolok mata. Menjolok perasaan dan nafsu. Tetapi bagi kumpulan dan pasangan anak-anak muda yang ramai menunggu depan panggung di situ biasa saja. Macam juga kumpulan-kumpulan Mat Rempit di Malaysia, bercampur baur lelaki perempuan antara mereka. Pakaian dan gaya, tiru-tiru remaja di negara barat.

Masih terbayang lagi pengalamanku menonton wayang di Karachi Pakistan. Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu. Aku bersama kawanku, seorang pelajar universiti di sana. Dari jauh aku macam tak percaya ada di depan panggung wayang malam itu. “Eh… Panggung wayang ke ni?” Aku bertanya. Sewaktu bertembung dengan penonton-penonton serentak keluar menonton dari panggung.

“Kenapa?” Kawanku seperti tersentak.

“Seperti di masjid.” Balasku pendek, seolah-olah bergurau. Tetapi sebenarnya tidak. Kerana ramai yamg keluar panggung wayang itu macam orang keluar dari masjid. Pakaiannya sama dengan pakaian orang ke masjid. Kadang-kadang ada yang berkupiah. Nampak agak bersopan. Tiada wanita-wanita. Kalau ada pun kebanyakannya bukan Islam. Tiada anak-anak muda berpakaian dan berkelakuan menjolok mata atau tak senonoh.

“Kau tahu, orang-orang di sini rata-rata memakai pakaian tradisi dalam tiap kehidupan harian mereka. Ke masjid, ke panggung, sama saja. Kadang-kadang ada yang berkupiah dan berserban.” Dia menerangkan. “Pakai macam kamu ni… berkemeja dan berseluar tebal, tidak longgar ala koboi… amat asing bagi mereka. Pakaian yang sering dipakai oleh orang-orang Kristian di sini. Jadi tidak heran jika mereka menganggap kamu orang Kristian. Begitu juga kalau ada wanita pakai gaun atau pakaian menjolok mata ala barat, tentu mereka dianggap orang Kristian. Ini, di bandar besar Karachi yang terdedah dengan pengaruh luar, kalau di pekan-pekan kecil dan pendalaman lebih sensitif lagi.”

Pernah terjadi sewaktu aku meminta minuman kepada penjaja tepi jalan, disebuah pekan kecil utara Pakistan. Penjaja itu tidak berapa layan. Tapi bila aku beri salam, dia bertanya, Islam? Aku angguk. Baru dia layan aku dengan mesra. Begitu juga waktu aku berbaris hendak ambil tiket keretapi, ucapan salam boleh beri syafaat percepatkan tanpa ikut giliran. Dhief!, dhief!, mereka layan aku sebagai tetamu kehormat. Semasa aku keluar dengan kawanku orang tempatan, dia suruh aku pakai pakaian seperti mereka. Jangan sampai kamu dianggap orang kafir! Katanya.

“Jom kita menonton?” Aku ajak dia menonton. Kerana aku belum pernah lagi menonton wayang di Pakistan ini. Bila dia bersetuju, aku terus meluru ke kaunter tiket. Ada dua ruang. Satu dipenuhi orang berbaris menunggu giliran. Satu lagi masih kosong. Aku menuju ke ruang kosong itu.

“Nanti!” Jerit kawanku menahan. “Sejak bila kau jadi perempuan? Lihat ni!” Sambil jarinya menunjuk arah tulisan bahasa Inggeris di situ, ‘For Ladies Only’. “Ini ruang jual tiket untuk wanita sahaja!”

Tersipu-sipu aku. Teringat aku semasa menukar wang di Habib Bank kelmarin, juga ada ruang tunggu bertulis, ‘For Ladies Only’. Begitu juga di pejabat pos dan tempat-tempat awam lain. Ada lagi yang anehnya, walaupun bagi orang di sini tidak. Pernah sewaktu aku menaiki bas dari Pesyawar ke sebuah kampong di perdesaan. Aku termasuk kumpulan yang mula-mula naik bas itu. Aku duduk di tempat kosong di hadapan. Bas itu terus berjalan mengutip penumpang.

Apabila ada wanita naik, maka keutamaan tempat duduk akan diberi pada wanita, mulai dari belakang. Jika tidak cukup juga, lelaki terpaksa berdiri. Tiba-tiba bas berhenti lagi, walaupun isinya sudah penuh. Ada sekumpulan wanita bercadur menutup muka macam wanita-wanita lain juga naik. Memang itulah pakaian muslimat-muslimat Pesyawar. Dari jauh nampak macam khemah bergerak-gerak, payah nak pastikan mana depan, mana belakang.

Pemandu bas itu menjerit memberitahu supaya semua lelaki turun. Beri tempat duduk pada muslimat-muslimat hingga memenuhi bas. Perasaanku mulai bimbang dan cemas. Takut tertinggal. Kerana tidak ada lagi tempat kosong dalam bas. Tapi bagi mereka ada lagi tempat kosang. Itulah atas bumbung. Semua lelaki disuruh naik atas bumbung yang memang kuat dan teguh itu. Akhirnya bas yang bertulis di depannya ‘Tawakkaltu Alallah’ itupun berjalan terus tiada berhenti mengambil pemumpang lagi.

Terus membelah merentasi udara kampong berdebu yang hampir tidak pernah hujan. Sesekali penumpang di bumbung menjerit isyaratkan supaya tunduk, takut dirimbas ranting kayu dari pohon besar tepi jalan.

“Eh, Mat! Sate dah siap ni!! Mari…” Suara kawanku berteriak, mengejutkanku dari lamunan yang berpanjangan. Tangannya menggamit-gamit dari dalam kedai, ajak makan bersama. Aku pun menuju ke meja hidangan.

“Asyik betul mu lihat poster-poster wayang tu! Nak menonton ke?” Kawanku bertanya lucu. “Atau nak tengok gambar perempuan bogel…”

“Di sini, gambar-gambar lucah lebih dari itu lagi termasuk blue film pun mudah didapati, walaupun di tepi jalan. Apalagi bila teknologi semakin canggih.” Yang lain seorang ustaz tempatan menyampuk, sambil merentap lidi sate setelah memasukkan daging ke mulut.

“Begini, saudara!” Kataku sambil membetulkan tempat duduk dan mula bercakap. “Aku tengok dari sudut lain. Seperti tulisan seorang ahli bisnes Amerika Syarikat bernama Hendry Ford I, pengasas dan ketua Syarikat Motor Ford dalam bukunya ‘The International Jew’ terbitan 1920, tulisnya, … Panggung wayang gambar sudah lama masuk dalam program Yahudi untuk memandu, mempengaruhi dan menjajah fikiran manusia. Setiap minggu dan malam, panggung wayang akan menjadi teman rapat yang sentiasa utarakan idea-idea kehendak kuasa balik tabir tersebut…”

Mereka terus mengunyah sate perlahan-lahan, sambil menumpukan perhatian kepada kata-kataku. “Di Rusia misalnya, walaupun tiada apa-apa hiburan tetapi panggung wayang masih dikekalkan, disokong dan digalakkan oleh Bolshevis Yahudi. Bahkan perusahaan wayang gambar, perusahaan ke 5 terbesar di AS dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi. Sebab itu, dunia yang bertamaddun perlu tingkatkan lagi tentangan terhadap pengaruh keruntuhan akhlak dalam bentuk hiburan seperti pengurusan sekarang. Menurut Ford lagi.”

“Aah. Orang lebih suka tv.” Ada yang menyampuk.

Tapi ustaz itu menjawab, “Tv tu adalah panggung wayang yang dah dikecilkan. Supaya mudah anak isteri orang Islam atau tok-tok guru pondok yang tak mahu serta malu menonton di bandar, boleh tonton sendiri di rumah dengan bebasnya. Barulah mudah jarum penjajahan dicucukkan atas mangsanya.”

“Betul kata ustaz!” Aku terus menyambung cakapnya. “Sebab musuh-musuh Islam sedar, di mana umat Islam tidak boleh dijajah dan dihambat dengan muncung senapang semata-mata, tapi hendaklah dipisah lebih dulu Islam dari penganutnya. Memisahkan melalui dadah, arak, lagu hiburan, filem-filem, dedah aurat, campur baur lelaki perempuan dan sebagainya. Kadang-kadang radio dan tv kerajaan yang mengaku Islam pun tidak sedar, mereka telah berperanan seperti kemahuan musuh-musuh Islam ini!”

“Adakah ini juga suatu perancangan oleh musuh-musuh Islam?” Muncul satu lagi pertanyaan.

“Tentu! Rahsia tersebut pernah dibongkar oleh kerajaan Bavaria pada 1786 M melalui buku ‘The Original Writings of The Order and Sect of The Illuminati’, mengenai pelan jahat puluhan pendita dan banker Yahudi nak tawan dan jajah dunia. Mereka bergerak melalui akhbar-akhbar, parti politik, pendidikan termasuk teori-teori palsu, kegiatan kebudayaan termasuk filem, pertandingan-pertandingan dan pertubuhan sulit freemason.” Jelasku, sambil memegang sepucuk sate dan mencecah ke kuah.

“Sebab itu, bila orang Yahudi nak telanjangkan wanita kita mereka tak payah datang sini. Petik saja suiz di AS, maka pakaian wanita sini pun terlondehlah!” Jawab ustaz itu.

“Haa! Macam mana tu??” Ada yang tercengang-cengang nak tahu.

“Mudah saja. Mereka cipta ‘pakaian yang bertelanjang’, disalorkan melalui toko-toko fesyen di AS, menjadi pakaian artis-artis mereka, disebar melalui media massa mereka hingga ditiru oleh artis dan muda-mudi kita. Tertariklah adik kakak di kampong, maka ber‘pakaian telanjang’lah keluarga kita, walaupun mulanya malu-malu lagi.” Terang ustaz. Baru yang lain merasa lega.

“Kalau begitu mudah sangatlah orang Yahudi memerangkap dan menelan kita?”

“Ya. Se mudah kita mengunyah dan menelan sate ini!!” Kataku sambil memasukkan se cucuk sate ke mulut. Tertawa kecil mereka, masing-masing terus mengunyah.

“Tapi, ada lagi…” Ustaz itu menambah. “Kecuali bagi orang yang mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup, termasuk menegakkan sebuah negara Islam yang merdeka.”


Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 05-01-2008. KL.

Friday, January 04, 2008

Bantu Anda Bebas Dari Hutang...


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“ANDA terjebak dalam hutang? Sudah karam dalam hutang? Hutang kereta, rumah, hutang belanja kahwin, personal loan, consumer loan, kad kredit, koperasi, hutang keluarga, beli perabut, bil tv berbayar, along, ceti haram atau tak haram dan macan-macam lagi! Kami sedia bantu anda! Bagaimana? Ya, sila lihat ini…”

Katanya sambil memegang dan menunjuk-menunjukkan sekeping kad saiz biasa macam kad kredit, ada ‘logo AmBank’ atas sebelah kiri, tertulis ‘AmBank NexG’ atas kanannya dan di kanan bawah pula tertera 2 bulatan bercantum lambang ‘MasterCard’. Disebut juga ‘AmBank NexG Prepaid MasterCard’. “Kad ini dari AmBank… Siapa tak kenal AmBank di Malaysia? Tak payah diperkenalkan lagi…”

Sambungnya, “AmBank bersama GDI dan XXSB (XX Sendirian Berhad - tidak dipaparkan nama sebenar) ingin bantu anda bebaskan dari hutang!” Dia bercakap dengan gaya ekslusif di depan sekumpulan pendengar-pendengarnya, di dalam sebuah restoran mamak di Setiawangsa KL. Ada beberapa komputer bimbit di depan mereka.

“GDI pula adalah syarikat yang kukuh, maju pernah diiktiraf sebagai syarikat cepat berkembang di Amerika Syarikat (AS), 37 dari 500 syarikat yang terpilih. Pelanggannya menggunakan ‘domain name dan web hostingnya’ termasuk Yahoo, Bank Of America, Intel, Cisco dan banyak lagi!...” Katanya dengan bangga. “…walaupun tujuan kita hanya nak bayar hutang, tapi ini satu peluang perniagaan!”

“Macam mana nak dapat duit bayar hutang? Apa yang kami perlu buat??” Timbul pertanyaan seorang dari mereka. Pertanyaan yang ditunggu-tunggu.

Jawabnya…

Pertama: Cuma kena langgan ‘domain name dan web hosting’ saja. Contohnya ‘www.namaanda ws’, hanya dengan membayar USD10 setiap bulan iaitu RM35. (USD1= RM3.5). Iaitu, membayar RM25 untuk AmBank NexG Prepaid MasterCard dan RM10 yuran buka fail. Pihak XXSB sedia uruskan untuk anda. Anda akan diberi 10 e-mail dan web side percuma.

“Saya sendiri anggap USD10 itu macam ‘overhead’ perniagaan yang dijalankan. Bayaran tiap bulan boleh guna kad debit (kad prepaid), kad kredit atau Paypal.” Katanya lagi.

Kedua: Jika anda sudah jadi ahli kad servis ini, GDI akan beri ganjaran 10% dari USD10, sewa bulanan kawan-kawan yang anda taja, iaitu sebanyak USD1-00 atau RM 3.50 tiap seorang. GDI guna system ganjaran Uni Level hingga 5 level atau 5 tingkat.

Contohnya, anda yang di Level 1 perkenal 5 rakan. Maknanya di level itu, ada 5 orang. Komisyen anda dapat ialah USD5-00 (USD1.00 X 5). 5 rakan itu perkenal pula 5 orang dalam Lebel 2, jadi 25. 25 rakan itu perkenal pula 5 orang lagi, dalam Level 3, jadi 125. Begitulah seterusnya perkenal 5 dan 5, hingga ke Level 5 menjadikan 3,125 orang pelanggan atau ahli yang menyertainya. Komisyen anda terus meningkat kepada USD3,125.

Itu jika rakan anda perkenalkan 5 orang, kalau lebih maka komisyennya lebih lagi. Kita cuma kira 5 saja. Jadi, jumlah seluruhnya dari Level 1 hingga 5 yang cukup syaratnya setelah ditolak dan ditambah apa yang patut, komisyen anda adalah USD3,905 atau RM13,667.50. Kalau nak tahu Level 6 dan seterusnya hingga ‘infiniti’ sila lihat laman web GDI.

Ketiga: Komisyen anda yang tersimpan di Bank AS, akan dimasukkan ke kad prepaid (kad debit) bank anda di Malaysia.

Itulah secara ringkas isi promosinya, samada dalam percakapan, tulisan, animasi movie, DVD dan sebagainya.

Pada saya…

Pertama: Dalam suasana sekarang di mana pemimpim kerajaan yang buminya ada minyak, tidak mampu atau tak larat fikir lagi untuk tahan kenaikan harga tersebut, telah menyebabkan semua barang dan khidmat lain naik. Rakyat miskin dan papa kedana semakin gelisah. Yang cukup-cukup makan pun bajetnya lari, terpaksa menyahut model-model cari wang begini. Apalagi yang sudah karam dan lemas dalam laut hutang, kalau bangkai khinsir busuk hanyut terapung dekat mereka sempat dicapai, mereka mungkin terpaksa berpaut juga!

Kedua: Mengapa masih biarkan api model niaga begini membesar, sehingga berbilion-bilion diangkut keluar negara baru nak bertindak? Mengapa tidak padamkan api itu waktu kecil, tapi nak tunggu padam bila sudah besar membakar bangunan? Atau sengaja nak membuncitkan perut beberapa kerat korperat di atas belakang ramai orang awam yang tertipu menderita. Mengapa perlu dipagut ular berpuluh-puluh kali dari lubang yang sama? Terlalu bodoh sangat kalau ada yang berfikir pihak kerajaan tidak tahu betapa pesatnya perkembangan perniagaan begini.

Ketiga: Kalau Allahyarham Pak Man Telo boleh ditangkap dan dibuang daerah, mengapa syarikat sebangsa Swiss Cash tidak boleh diambil tindakan ke akar umbi dan masih ada yang terlepas? Masih belum ada pembentangan maklumat terpenci mengenainya… Jangan sampai rakyat ragu mengenai ketelusan pemimpin-pemimpinnya!

Keempat: Golongan-golongan agama dalam kerajaan perlu jelas dan tegaskan tentang hukum perniagaan berantai yang menguntungkan golongan paling kecil di atas kebinasaan golongan paling besar dan ramai. Keluarkan fatwa untuk membela keadilan dan menolak kemungkaran.
Mengapa saya kata begitu?

Contohnya seperti perniagaan di atas, kalau nak dapat untung seperti disebutkan itu (USD3,125), seorang peniaga (atau yang berhutang ingin membayar hutangnya) perlu mendapat langganan sebanyak 3,125 langganan. Kalau 1 juta rakyat Malaysia jadi ahli atau sebagai peniaga, mereka perlu beroleh 3,125 juta langganan. Satu pelanggan biasanya cuma guna 1 kad prepaid bank sahaja, sedangkan seluruh rakyat Malaysia pun tak sampai 30juta, nak cari rakyat mana lagi nak bagi cukup?

Bererti syarikat-syarikat model begini tidak boleh bertahan lama, akan mati atau sengaja akan dimatikan sekerat jalan. Cuma seorang berjaya bayar hutang di atas ribuan yang gagal. Yang jelas taukeh-taukehnya saja yang untung. Hal ini suatu penganiayaan yang perlu dibetulkan. Teringat saya kepada cerita dalam filem P Ramlee ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Ada seseorang menelefon Ketua Penyamun menyuruh samun hartanya sendiri. Mungkinkah taukeh-taukeh syarikat begini pun bersikap begitu dengan pihak berkuasa kerajaan??

Cuma bezanya, orang itu menelefon Ketua Penyamun kerana nak lari dari bayar hutang, tak ada harta kononnya tak boleh bayar. Tetapi taukeh-taukeh ini pula, mahu supaya syarikatnya disita oleh pihak kerajaan tak boleh beroperasi, nampak macam dia tak salah, kerana dia sendiri boleh larikan duit orang yang nak bayar hutang!.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
04-01-08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails