Tuesday, January 22, 2008

PRU Ke 12: Tukar Presiden Jika PAS Kalah...




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

“KALAU menang, PAS janjikan sebuah ‘Negara Kebajikan’. Antara kebajikannya, ialah kurangkan harga petrol sekurang-kurangnya 30 sen (seliter) dari harga biasa (Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia mendedahkan di mana kenaikan harga minyak sudah tak dapat ditahan lagi dan kerajaan terpaksa menanggung subsidi hampir RM35bilion)… dan PAS nak hapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang menzalimi rakyat.”

Kata seseorang, sambil di tangannya memegang akhbar popular lidah kerajaan Malaysia. Berita ini dirojok daripada ucapan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, di majlis ‘Ceramah Perdana Bersama Presiden PAS’ di Madrasah As-Saadah Kuantan pada 20 Januari, malam tadi seperti yang siarkan.

Sambungnya lagi, “PAS juga tawarkan sistem pembelanjaran percuma (tanpa apa-apa bayaran tambahan di sekolah-sekolah rendah dan menengah) bagi semua aliran, dan juga memastikan supaya khidmat kesihatan di hospital kerajaan tetap masih percuma. (Mengikut laporan, kerajaan BN sedang merancang untuk menswastakan semua hospital kerajaan pada Ogos ini). Begitu juga dalam masalah menangani rakyat miskin, contohnya warga emas akan diberi oleh PAS elaun sara hidup tiap bulan, tidak mengira kaum.”

“Mengapa PAS tak buat sejak perintah Kelantan dan Terengganu dulu? Sekarang dah tersepit dekat pilihan raya umun baru janji macam-macam!” Temannya membidas.

“Manifesto BN pun macam tu juga, mengapa masih janji-janji lagi sedangkan dia sudah pegang kerajaan? Kuasa di tangan mereka?! Yang mereka tak berani janji ialah penurunan harga minyak, pasal politik mereka cuma politik tahi minyak!!” Dia jawab balik. “PAS walaupun pegang negeri, tetapi kuasa penuh sebenarnya masih dalam kuasa Kerajaan Persekutuan, yakni kuasa di tangan mereka. Contohnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan masih dalam kuasa penuh Kerajaan Persekutuan, bagaimana kerajaan negeri nak beri kepada rakyat percuma kalau Kerajaan Persekutuan tak setuju atau sekat bantuan?? Walaupun begitu PAS masih banyak buat kebajikan kepada rakyat sekadar kuasa terhad yang masih ada padanya...”

“PAS atau BA (Barisan Alternatif) boleh menang ke?”

“Eh brother, you baca ni…” Dia macam naik berang sambil menunjukkan muka sama akhbar tersebut. “PAS yakin dapat pertahan Kelantan dan rampas semula Terengganu. Tawan Kedah dan beberapa kerusi ‘panas’ di Pulau Pinang dan Selangor. Akan berlaku kejutan lebih dari pilihanraya 1999 dan 2004!! Begitu kata Presiden PAS.”

“Kalau menang bagus le. Tapi ingat jangan ulangi kesilapan yang lepas-lepas. Menyindir pedih kawan-kawan se pembangkang, seperti menyebutkan pemimpin yang ‘expired date’ dan sebagainya lagi. Penasihat-penasihat pemimpin PAS perlu berhati-hati betul. Cari penasihat yang pandai sikit.” Sindir temannya lagi. “Tapi kalau tak menang macam mana, berani presiden PAS letak jawatan atau ditukar presidennya??”

“Maaf brother! PAS bukan macam BN. Saya ada hal, cukup setakat ini, lain kali kita bincang lagi. Untuk dapat penjelasan lanjut, sila baca akhbar ‘Harakah’. Itupun permitnya 2 x sebulan, lambang keganasan BN yang merampas hak bersuara rakyat!”

Itulah, sembang-sembang PRU 12. Wallahu aklam.

Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-01-08. KL

Monday, January 21, 2008

Ustas Hadi Perlu Belajar Bahasa Cina.




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

SYABAS dan tahniah kepada Saudara Herman Samsudeen, Ketua Pasukan Kerja Penerangan DPP Wilayah Persekutuan, kerana berjaya melahirkan laman web PAS berbahasa Cina dan Inggeris. Menjadikan 3 bahasa, iaitu Bahasa Malaysia :
http://dppwp.wordpress.com/, Bahasa Inggeris : http://dppwpe.wordpress.com/ dan Bahasa Cina : http://dppwpc.wordpress.com/. Selangkah lagi kedepan.

Mengenai bahasa, saya tertarik dengan pandangan seorang pengurus dan pemilik beberapa hotel termasuk Hotel Adamson Hotel KL Ir Hj Zamani Adam dalam pertemuan baru-baru ini. Menurutnya, antara kelebihan orang bukan Melayu dengan orang Melayu di Malaysia ini ialah orang bukan Melayu lebih bahasa. Biasanya masuk saja mereka ke sekolah jenis kebangsaan di Malaysia, mereka sudah tahu 3 bahasa iaitu Inggeris, Cina dan Melayu.

Dengan itu, awal-awal lagi orang Melayu sudah kalah, kecuali mereka yang mengambil dua aliran, mereka lebih bahasa Arab dalam aliran agama. Untuk bisnes, kelebihan bahasa Cina buat masa ini memberi ruang dan peluang besar lagi, bagi orang Cina mendahului orang Melayu. Menyebabkan orang Melayu rata-rata terpaksa mengikut di belakang orang Cina dalam bisnes, walaupun pada asalnya pihak kerajaan nak suruh orang Cina amal bahasa Melayu atau ikut orang Melayu melalui sekolah jenis kebangsaan.

Dari sudut politik dan pilihan raya pula, saya pernah dengar penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu berceramah di Ijok tahun lalu depan pengundi-pengundi Cina, memulai awal ucapannya dalam bahasa Cina. Walaupun beIiau bercakap dua tiga patah, beliau mendapat sorakan dan tepukan bergemuruh, kerana orang Cina bangga ada pemimpin bukan Cina menggunakan bahasa Cina. Apalagi kalau boleh berceramah fasih dalam bahasa Cina.

Waktu mula-mula saya buka blog saya Ibnu Hasyim (sebenarnya kawan saya yang tolong bukakan, terima kasih kepada beliau!), artikal pertama yang saya tulis ialah, ‘CATATAN SANTAI, Pilihan Raya Kecil Ijok: Mampukah PAS Perintah Malaysia?’ Saya ada cadangkan, untuk perintah Malaysia, pendekatan kepada masyarakat Cina atau bukan Islam perlu disegerakan dari sekarang. Antaranya…

Pertama: Oleh kerana kaum Cina atau bukan Islam adalah pengundi yang hampir menyamai orang Islam atau Melayu, maka program-program percambahan dan pengkayaan idea (ke arah mendekati orang Cina) perlu diperbanyakkan.

Kedua: Cari jalan selesai bagaimana hendak menarik pengundi Cina menyokong PAS. Antaranya.. A. Banyakkan program kebajikan untuk orang Cina atau bukan Islam. B. Seminarkan semula mengenai cadangan-cadangan seperti Ahli PAS bukan Islam. Cina atau bukan Islam boleh jadi calun PAS dalam pilihan raya. Bukan Islam boleh jadi Presiden PAS. Buka Pusat Kebudayaan Cina atau Masjid Cina Muslim. Buat hubungan dengan individu, organisasi, atau kerajaan di negeri China. Cari jalan supaya orang PAS boleh belajar atau mengajar di negeri China. Atau projek anak angkat di China. Begitu juga pemimpin-pemimpin PAS kena pandai berceramah atau bercakap bahasa Cina.

Itulah pandangan saya waktu itu. Cuba anda bayangkan kalau Ustaz Haji Abdul Hadi selaku Presiden PAS, atau Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan boleh berceramah, bersoal jawab, berkomunikasi atau berkuliah dalam bahasa Cina… Pada saya Dr Mujahid sebagai Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang masih muda lebih wajar lagi. Dalam Al Qur’an pun ada dikisahkan Nabi Sulaiman AS boleh bertutur banyak bahasa, termasuk bahasa binatang seperti semut. Dan ada kata-kata yang menyebutkan ‘Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina’…

Pernah seorang bekas peguam Benggali bukan Islam (sekarang saya tak pasti sudah masuk Islam ke belum?) di Pulau Pinang mencadangkan supaya Ustaz Abdul Hadi belajar bahasa Cina. Menurutnya, beliau belajar mengenali bahasa Arab bersungguh-sungguh dalam masa 3 bulan sahaja. Kalau Ustaz Abdul Hadi belajar mengenali bahasa Cina dengan kemudahan dan ketokohan yang dimiliki, beliau yakin lebih cepat lagi.

Oleh itu, wajarkah demi kepentingan masa depan Islam saya sebagai ahli PAS dengan rendah hati mencadangkan supaya pemimpim-pemimpin tertinggi PAS belajar bahasa Cina sehingga boleh bercakap dengan fasih? Dimulai dengan Presidennya dulu…

Wassalau’alaikum.

Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-01-08. KL

Tok Guru Nik Aziz Lebih Licik Politiknya Dari Anwar Ibrahim?


Posted on Monday, January 21 @ 11:39:05 MYT by SongkokPutih

Oleh TARMIZI MOHD JAM


SRI GOMBAK: Kesediaan PAS Kelantan untuk bertanding sendirian tanpa melibatkan PKR dalam pilihanraya ke 12 kali ini, dilihat sebagai strategi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengembeling dan memfokuskan jentera pilihanraya PAS Kelantan menentang BN sepenuh hati. Dengan cara ini, kata penganalisis politik, Dr. Mohd Hasyim, segala isu dalaman dapat diketepikan bagi menghadapi musuh, Umno Barisan Nasional. Beliau berkata demikian dalam pertemuan singkat kali pertama Ahli Jawatankuasa Grop Universiti Ulu Klang di Sri Gombak, semalam sejak ia ditubuhkan.

Katanya, walaupun kenyataan itu cukup "pedas" tetapi Mursyidul Am PAS itu berjaya mengikat kembali sokongan ahli dan penyokong PAS seluruh Kelantan agar bekerja lebih kuat setelah PKR membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi Dun dan Parlimen dalam pilihan raya esok lusa. Isu ugutan PKR yang akan memindahkan jentera pilihanrayanya ke Selangor dan Pulau Pinang, kata Dr. Mohd Hasyim telah berjaya membangkitkan rasa tanggungjawab seluruh jentera pilihanraya PAS di Kelantan bagi meningkatkan gerakerja parti.

Sehari sebelum Tok Guru Nik Abdul Aziz mengejutkan politik Malaysia dengan kenyataan "pedasnya" itu, Dr. Mohd Hasyim yang juga penulis prolifik telah membayangkan dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh Web Tranungkite bahawa PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi. Kata Dr. Mohd Hasyim, kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Beliau yakin, strategi Tok Guru Nik Aziz ini adalah percubaan untuk membendung beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, yang dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini. Sebagai pemimpin yang sarat dengan pengalaman politik, Menteri Besar Kelantan itu ujarnya, tidak mungkin mencetuskan "kegawatan" dengan sengaja. Sudah tentulah terkandung "maslahat" tersembunyi bagi menyelamatkan PAS Kelantan dari merudum jatuh seperti kontroversinya amarann agar Dr. Syed Husin Ali tidak bertanding di Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya ke 11 yang lalu.

"Saya yakin, tidak ramai yang nampak di sebalik kontroversi ini. Ada orang kata, Nik Aziz sudah nyayuk. Sudah tua. Pada saya, seni politik yang cuba dipamerkan Tok Guru cukup karismatik dan dia sebenarnya lebih licik dari Anwar Ibrahim," tegas beliau yang juga mantan Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Pulau Pinang.

Berkatalah Sheikh Teluk Intan...


Friday, January 18, 2008

Ibnu Hasyim Bertanya:
Teman Menjawab

Sebelum solat jumaat, teman menerima panggilan telefon dari Ibnu hasyim. Dia tanya samada teman sudah membaca posting terbarunya, yang bertajuk 'Saya Tegaskan Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya '.

Lalu, teman jawab 'sudah'.

Dia tanya lagi , adakah tulisannya boleh membuat ahli Pas marah. Teman jawab, tidak ada sebab ahli Pas marah. Kalau ada yang marah, biarkan saja. Dan teman beritahu dia, tulisannya boleh dikatogerikan sebagai sebuah peringatan.

Dia juga menyuarakan kerisauan, kalau-kalau tulisannya sedikit sebanyak mencederakan Pas. Teman jawab, tulisannya ditahap biasa sahaja dan yang hebat adalah tajuk yang digunakan: bunyinya agak mengemparkan.

Dia ketawa senang hati. Teman tahu, dia begitu sayangkan Pas. Teman pun sepertinya, sayangkan perjuangan Pas. Musuh teman jelas. Musuh Ibnu hashyim pun jelas. Siapakah lagi, kalau bukan UMNO dan Barisan Nasional laknatullah!

Dalam perbualan kami, teman sempat memberitahunya, bahawa setiap kali Pilihanraya Umum, Kerajaan Pas Kelantan memang dalam keadaan bahaya. UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah tidur dan sentiasa mencari jalan walau dengan apa cara sekalipun untuk menawan Kelantan dari tangan Pas.Pada pilihanraya Umum nanti, entah berapa lori duit yang akan dibelanjakan untuk membeli undi rakyat Kelantan. Sesungguhnya duit tak jadi masalah pada UMNO. Tokeh judi boleh sediakan. Tokeh arak boleh sediakan. Kontraktor-kontraktor yang diberi beberapa projek besar pun tak kedekut untuk keluarkan duit. Ah, tak payah cerita panjang-panjang tentang hal ini kerana kebanyakkan penduduk bumi dan langit tahu dan teramat tahu , dari sumber mana duit mengalir untuk memenangkan UMNO /BN.

Mati dan hidup UMNO / BN adalah kerana duit.Sebelum kami berhenti berbual, sempat Ibnu hasyim bertanya dengan nada bergurau pada teman " apakah bunyi niat pemimpin UMNO semasa hendak mula mendirikan solat".

Teman pun jawab secara berseloroh: "Sahaja aku sembahyang zohor empat rakaat kerana duit".


Posted by sheikh teluk intan at 1/18/2008 11:31

Saturday, January 19, 2008

Kasihan Tok Guru Nik Aziz, Nampak Makin Letih...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TULISAN saya yang lalu, ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ menyebab seseorang menelefon saya, katanya, “Kesian Tok Guru Nik Aziz, nampaknya beliau makin letih… Takde ke yang nak ganti?”

Saya tanya balik, “Adakah letih kerana umurnya, atau kerana semangat dan kerjabuatnya?”

Sebelum dia jawab, saya ulas dulu. “Memang dari segi umur (saya agak sekitar 70 tahun) dan tubuh zahirnya nampak macam letih atau lemah. Bahkan dari dulu lagi pun..”

Teringat saya, waktu sebelum PAS tawan Kelantan (1990) … saya dan kawan-kawan pernah bermalam bersama-sama Tok Guru di Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang, KL. Beliau khabarnya waktu itu pun sudah terpaksa mandi air suam pagi hari kerana mengawal kesihatan. Beliau sentiasa tidur awal berbanding dengan kami yang muda-muda tidur lewat hinnga menjelang pagi.

Kadang-kadang waktu Tok Guru nak melangkah ke bilik air beberapa jam menjelang subuh, beliau secara diam-diam membantu tutup aurat antara kami yang bergelimpangan sedang nyenyak tidur tak sedar aurat terbuka atau kain terselak. Begitu, sifat rendah diri beliau. Saya sendiri pernah tersedar beberapa kali sebelum subuh melihat beliau sentiasa asyik bertahajjud dengan khusyuk…

Nampaknya, beliau yang dianggap lemah rupanya kekuatan rohaninya amat gagah melebihi kami. Walaupun kami berbadan tegap kuat dan ada yang macam ahli gusti. Kekuatan rohani rupanya mempengaruhi kekuatan jasmani beliau. Itu dulu, apalagi sekarang setelah jadi pemimpin tertinggi umat, telah teruji dengan pelbagai cubaan dan tribulasi. Semangatnya tidak letih bahkan lebih kuat dari yang muda-muda. Itu yang saya ingat kalau tidak salah.

Dalam politiknya pun begitu. Beliau begitu tegas dan keras dalam menegur pemimpin kerajaan pusat. Mula-mula perintah Kelantan, dalam kes Pergau. Kes yang melibatkan pengambilan tanah Kelantan oleh kerajaan Pusat. Kerajaan pimpinannya begitu tegas dengan Kerajaan Persekutuan, pertahankan hak rakyat Kelantan, sehingga menang total. Tidak seperti dalam kes perampasan royalti minyak di Terangganu, kerajaan Terengganu pimpinan PAS memilih jalan diplomasi lembut, yang akhirnya tinggal serabut.

Begitu juga dalam menegur dan memecat pimpinan dibawahnya. Beliau mampu merubah, menukar atau memecat, meletakkan yang ahli pada tempatnya, walaupun pimpinan itu pernah membantu menaikkan beliau atau menanam budi pada beliau. Hingga kawan dan lawan beliau sendiri yakin dan percaya pada keikhlasan (bertindak kerana amanah Allah) beliau. Yang disingkir pun pernah dinaikkan semula bila tiba masanya yang sesuai. Tiada dendam dan kesumat.

Begitu juga ketegasan dalam cara hidup sederhana beliau. Beliau mempelopori cara hidup sederhana dalam kerajaan pemerintahannya, mulai dengan dirinya, yang agak berbeza dengan pimpinan PAS memerintah Terengganu. Mungkin itulah salah satu sebab kerajaan pimpinannya boleh bertahan lama berbanding Terengganu.

Saya pernah dengar ceramah dalam keset pengajiannya, beliau memilih cara hidup sederhana seperti seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Zar orang Ghifar. Ciri-ciri hidup yang sama dengan Khalifah Islam ke II Umar bin Khattab atau pemimpin Bani Umaiyah Umar bin Abdul Aziz. Beliau tetap pertahankan prinsip gaya hidupnya sejak dari jadi guru agama hingga ke jadi Menteri Besar sampai sekarang.

Bukan macam setengah-setengah ustaz, sebelum dapat kuasa memuji cara hidup Umar Abdul Aziz, lepas dapat kuasa tiada lagi pujian-pujian seperti itu… Mungkin setelah ada kuasa dan harta, mereka pilih cara hidup Muawiyah bin Abu Sufian, pimpinan pertama dari Bani Umaiyah yang seakan-akan memilih gaya hidup mewah.

“Kalau begitu Tok Guru tak perlu diganti lagi le?” Kawan saya itu tanya lagi.

“Memang tak perlu diganti selagi tenaga beliau masih diperlukan, tetapi kena siapkan pengganti atau pelapis. Seperti sahabat-sahabat Nabi SAW memilih pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Iaitu memilih orang yang menjadi imam sembahyang mengganti beliau sewaktu beliau sedang gering, hampir wafat. Maknanya Nabi tidak pencen setelah tua. Begitu juga sahabat-sahabat beliau seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain yang mati dalam perjuangan. Tidak timbul soal kasihan. Yang patut kita kasihan ialah orang yang mati bukan dalam perjuangan menegakkan Islam. Na’auzubillah!”

“Jadi, tak boleh kesian ke?”

“Kalau kasihan kepada Tok Guru, cari orang suruh undi PAS!!”. Wallaku aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-01-08. KL.

Thursday, January 17, 2008

Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”

“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.


Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.

BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.

Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.


Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).

Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.


Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.

Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?


Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.


Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.


Itulah secara ringkas jawapan saya.


“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.

“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.

“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.
“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”

“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”

“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08. KL.
Ibnu Hasyim

Benarkah PAS & Kerajaan Kelantan Dalam Bahaya?





By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.Kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Demikian analisa penulis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas menubuhkan “Grop Universiti Hulu Klang” dekat sebuah restoran di Danau Kota, tidak jauh dari sini malam tadi.

Katanya, dengan kelebihan satu kerusi Dun dan kelebihan dua undi majoriti keseluruhannya, PAS Kelantan sebenarnya berada dalam zon bahaya tetapi kerja keras para pemimpin dan jentera pilihanrayanya amat diutamakan buat masa ini bagi mempastikan kerajaan negeri tidak terlepas ke tangan BN.Selain itu, ujar Dr. Mohd, pelbagai isu yang timbul samada dari dalam PAS mahupun dari Umno, telah mengundang pertikaian rakyat terhadap wibawa dan akauntibiliti kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz sekarang.

Jika ini gagal dibendung, beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini.Dr. Mohd yang juga seorang penganalisis politik tetap percaya, kegagalan PAS Kelantan menguar-uarkan pengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar jika ditakdirkan berkuasa semula telah mengurangkan selera keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS.

“Husam bukanlah tokoh yang boleh disifatkan sebagai Tok Guru Nik Aziz II. Dari segi latarbelakang, mungkin dia tidak disokong penuh oleh kawasan dalam Kelantan,” tegas beliau sambil menyifatkan ketokohan Tok Guru Nik Aziz telah menyatukan rakyat Kelantan untuk terus bernaung di bawah PAS sejak 1990 lagi.

Sehingga kini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz jika Mursyidul Am PAS itu berundur. Mereka ialah Datuk Abdullah Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang; Datuk Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan dan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails