Thursday, February 28, 2008

Pak Lah Biadab Pada Pekerja.. Dr Mohd Hasyim



By ASHOK KUMAR

ULU Klang: Kenyataan Pak Lah Pengerusi BN mengatakan Malaysia akan bengkrap kalau diperintah oleh pembangkang adalah suatu kenyataan yang ‘angkuh dan biadap’, bahkan dianggap sebagai cuba mengugut rakyatnya sendiri supaya menyokong BN dalam PRU 12 ini. Kenyataan biadap dan tidak beradap ini tidak sepatutnya keluar dari lidah seorang pemimpin negara yang dikatakan bertamaddun atau berhadhari.

Hal ini dinyatakan oleh seorang penganalisis politik bebas, Dr Haji Mohd Hasyim dalam satu pertemuan ringkas dengan pemberita di sini, baru-baru ini. Menurut beliau bantuan kebajikan yang akan dilaksanakan oleh parti-parti pembangkang jika diberi peluang memerintah negara ini, adalah wajib dilakasanakan, dan kerajaan BN patut berterima kasih, kerana peranan pembangkang cuba menyedarkan dan menutupi hasil kegagalan juga keganasan pentadbiran pemimpin-pemimpin BN.

“Contohnya, walaupun kita sudah 50 tahun merdeka, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang pendapatan bulanannya cuma RM350 sebulan, mengapa pemimpin-pemimpin BN masih tidak peka dan buat-buat pekak??” Kata beliau kepada pemberita selepas satu majlis pertemuan dengan Grop Universiti Hulu Klang malam tadi.

“Saya setuju dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), antara Kesatuan Sekerja terbesar di negara ini (mempunyai 500,000 ahli) yang mahukan kerajaan Malaysia menetapkan gaji minima sebanyak RM900 sebulan bagi tiap pekerja.” Menurut Dr Haji Mohd lagi.

Pada Jun lepas kira-kira 1,000 pekerja berpiket di Bangunan Ibu Pejabat KWSP Kuala Lumpur menuntut hak tersebut. Turut hadir juga pimpinan parti pembangkang seperti Sivarasa Rasiah, Dr Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Dr Nasir. Difahamkan kira-kira 30,000 ahli MTUC turut memprotes hal tersebut di seluruh negara.

“Kita memerlukan akta untuk gaji minima bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk kami (pekerja) dan juga negara.” Kata G Rajasekaran Setiausaha Agung MTUC.

Menurut Syed Shahir Presiden MTUC pula, keputusan kerajaan menolak tuntutan gaji minima RM900 dan COLA RM300 sudah cukup menyeksa golongan pekerja…

Wednesday, February 27, 2008

Samy Vellu, Kalau Tak Betul, Sila Saman Anuar Di Mahkamah...


By ASHOK KUMAR

ULU Klang 27 Feb. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu dicabar supaya menyaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana ucapan Datuk Seri Anwar menyebutkan bagaimana kenaikan tol sebenarnya untuk membiayai rasuah dan rompakan kroni-kroni BN. Ucapan itu dibuat semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) di Port Dickson pada Januari 2007 lalu.

Demikian dinyatakan oleh penulis dan penganalisis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas dengan Grop Universiti Hulu Klang dekat sebuah restoran di Hulu Klang, malam tadi. Katanya, “Kalau tak betul kenapa tak saman?? Sudah setahun lebih berlalu. Mahfumnya, apa yang disebut Datuk Seri Anwar itu bukan tuduhan melulu..”

Datuk Seri Anwar mendedahkan, pada tahun 1997 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu telah meminta untuk menaikkan tol, tetapi beliau selaku Menteri Kewangan masa itu telah menolak, kerana tiada sebab untuk berbuat demikian. Selepas Samy Vellu terus mendesak, Anwar memberitahunya, baik dia terus letak jawatan sebagai Menteri dan berkerja dengan syarikat konsesi tol tersebut.

Kemudian seorang Tan Sri meminta temujanji dengan Anwar, dan mendakwa beliau terpaksa membayar beberapa pihak, dari Perlis hingga ke Johor, yang menyebabkan pendapatan syarikat konsesi jauh melebihi kos pembinaan lebuh raya tersebut.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mambalas, “Anda membayar perompak dan penyangak ini berjuta-juta ringgit. Dan anda mahukan saya selaku Menteri Kewangan menandatangani dokumen ini agar pekerja, guru dan petani membayarnya?” Sebaik sahaja Datuk Seri Anwar dipecat, tol dinaikkan pada September 1998.

Mengulas ucapan Presiden BN, ‘…kalau pembangkang memerintah beberapa tahun lagi negara akan bengkrap..’ dalam kempennya di Berita Tv3 sejam sebelum majlis tersebut, Dr Haji Mohd Hasyim mengatakan, “Itulah cakap-cakap orang yang sombong dan angkuh seolah-olah dalam dunia mereka saja yang pandai, orang lain semua bodoh tak tahu bangunkan negara! Sebenarnya mereka sudah bengkrap idea.”

Dalam berita tersebut juga, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dituduh sombong dan bongkak oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.

Dah Nak Terberak Baru Korek Lubang...



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BANYAK risalah-risalah dan buku-buku kecil diedarkan di majlis-majlis penerangan sekitar kawasan Parlimen Gombak. Antaranya yang sampai ke tangan saya ialah... ‘Buku Panduan Perhubungan Raya Dan Hubungan Inter-Personal (9 Kaedah Bagi Menjadikan Pengundi Selesa Dan Mesra Dengan Aktiviti PAS)’ dan “Buku Panduan Ahli Dan Penyokong Yang Akan Mengundi PAS Dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (Langkah-langkah menggerakkan Jaringan Pendukung PAS Bagi Menjana Kemenangan).

Dua buah buku yang diterbitkan oleh Lajnah Penerangan PAS Selangor dengan kerjasama Jabatan Penerangan PAS Pusat, bertarikh 22 Ogos 2007. Satu lagi buku ‘Buku Panduan Strategi & Teknik Merayu Undi’, terbitan Lajnah Penerangan PAS Selangor dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Gombak, bertarikh 12 Februari 2008.

Pada saya buku ini amat sesuai untuk kader-kader PAS, bukan untuk umum. Kalau kita lihat sejarah perkembangan PAS dari buku Amaluddin Darus ‘Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur dan perbincangan antara saya dengan beliau semasa beliau masih hidup, di mana Ustaz Amaluddin amat menekan soal perkaderan ahli-ahli dalam perjuangan PAS.

Menurutnya, beliau mula memimpin Jabatan Penerangan PAS Pusat mulai 1 Januari 1959 dalam mengharungi PRU 1 selepas merdeka (PRU sebelumnya pada tahun 1955), yang diadakan berperingkat-peringkat tiap negeri dalam bulan Mei 1959. Beliau terus menyusun rapat umum dan kursus perkaderan hampir setiap hari dan malam hingga ke hari pilihan raya.

Pada beliau itulah antara sebab kemenangan PAS menawan 2 buah negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya tersebut setelah berada di bawah kepimpinan baru waktu itu, di bawah dua professor, iaitu Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad. Seperti ucapan Zulkifli Muhammad sendiri kepada pegawai-pegawai dan jentera PAS sebelum itu…

“…. Ingatlah bahawa tidaklah ada kebenaran yang menang dengan tidak berkerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia berkerja.” (Sila lihat majalah rasmi PAS ‘Suara Islam’ isu pertama 17 Disember 1956 diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan).

Cuma bila dilihat tarikh terbit buku keluaran PAS Selangor di atas (22 Ogos 2007 & 12 Februari 2008), nampak macam terlambat. Bayangkan kalau hal-hal tersebut telah dilaksanakan sejak lepas keputusan PRU 11 dulu, mungkin sudah ada ratusan atau ribuan kader-kader PAS yang bergerak dan mampu menumbangkan kerajaan BN Selangor yang ada sekarang. Apalagi bila Pesuruhjayanya adalah seorang ahli motivasi!

Satu lagi kalau tidak menjadi kesalahan, saya ingin menyarankan bahawa semua ilmu-ilmu seperti dalam buku di atas, perlu disusun semula, ditambah lagi mana yang perlu, disokong oleh ilmu-ilmu Al-Qur’an, hadith Rasulullah SAW dan dijadikan satu mata pelajaran khusus untuk ahli-ahli. Kita boleh namakan ilmu itu sebagai ‘Ilmu Politik Pilihan Raya’. Saya pernah ketengahkan pandangan ini dalam buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ terbitan GG Edar 1993.

Antara saranan tersebut adalah seperti berikut…

‘…Oleh itu ilmu pilihan raya perlu diajarkan bersungguh-sungguh kepada umat Islam Malaysia dengan menjadikannya sebagai satu mata pelajaran penting, seperti juga ilmu feqah, sejarah, tauhid dan ilmu fardhu ain yang lain demi menyelamatkan Islam di negara ini.

Perlu diadakan ujian praktikal kira-kira 5 tahun sekali sewaktu pilihanraya umum, dengan mengembeling tenaga ke arah menyokong atau mewujudkan calun Islam (atau calun Parti Islam,walaupun yang bukan Islam) di tiap kawasan pilihan raya. Pelajaran teori dan praktikalnya bermula selepas pilihan raya umum, dengan kaji selidik keperluan dan kehendak rakyat tidak kira kaum, melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada mereka di samping ke arah memperkenalkan Islam, parti dan tokoh secara amali.

Penjelasan-penjelasan isu semasa, isu tempatan, ke arah daftar mengundi, penyemakan dan lain-lain hingga ke penamaan calun dan pilihan raya. Amal kebajikan yang disuruh oleh Islam seperti ziarah, menghaziri kenduri, menolong fakir miskin dan orang dalam kesusahan, adap berjiran dan lain-lain, semuanya boleh disegandingkan dengan kerja-kerja awal pilihan raya.’

Akhirnya saya mohon maaf, kerana saranan ini saya ketengahnya di saat-saat jentera PAS tengah sibuk menghadapi pilihan raya. Tetapi saranan ini adalah saranan untuk jangka panjang, supaya kita jangan jadi macam kata pepatah Melayu, ‘Dah Nak Terberak, Baru Korek Lubang...’

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Bertemu lagi, Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 26-02-08. KL

Tuesday, February 26, 2008

BN Yang Beri Mereka Mabuk...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

MALAM itu kami berada di majlis ceramah pengisytiharan calon-calon kawasan Parlimen P 98 Gombak yang jumlah pengundinya sebanyak 99,153. Terdiri dari Melayu (M) 75.96%, Cina (C) 13.45%, India(I) 9.88% dan lain-lain bangsa (L) 0.71%. Calon PKR dari Barisan Aalternatif (BA) adalah Mohamed Azmin Ali mencabar calon Barisan Nasional (BN) Said Anuar Said Ahmad. Penyandang sebelum ini (PRU 11) ialah Dr Rahman Ismail dari BN yang memenangi dengan majoriti 13,207 undi.

Terdapat 3 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut. Pertama N 16 Batu Caves, tempat ibadat orang Hindu dengan patung besar berdiri megah depan gua, yang sebelum ini disebut DUN Sungai Tua. Pengundinya 25,720, M 62.1%, C14.9%, I 21.9% dan L 1.1%. Amirudin Shari, calon PKR bertanding melawan T.Mohan dari BN dan calon Bebas, Azmi Hussain. Penyandang sebelum ini adalah Datuk V Jagarasah (BN) menang dengan majoriti 1,781 undi.

Kedua N 17 Gombak Setia. Pengundinya 34,979, M 80.3%, C 10.9%, I 8.2% dan L 0.6%. Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali Pesuruhjaya PAS Selangor mencabar penyandang terdahuluYuszahari Mohd Yusoff dari BN yang menang majoriti 2,728 undi mengalahkan penyandang sebelumnya Dato’ Ismail Kamus dari PAS.

Ketiga N 18 Hulu Klang. Pengundinya 38,454. M 81.3%, C 14.8%, I 3.4% dan L 0.6%. Bekas tahanan ISA, Saari Sungib dari PAS melawan Datuk Ahmad Bujang dari BN penyandang terdahulu (majoriti 6,876 undi) yang dari penyandang sebelumnya Mohamed Azmin Ali calon Parlimen Gombak sekarang.

Menurut Mohamed Azmin Ali, “Sekiranya kami diberi amanah memerintah Malaysia kami akan...

- Menurunkan harga petrol, diesel dan gas.
- Menyediakan pendidikan percuma.
- Memberikan khidmat kesihatan percuma.
- Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin
- Mewujudkan kerajaan beramanah, adil, bersih dan berkebajikan.” Seperti yang tercatat
didalam manifesto BA.

Menurut Dato’ Dr Hassan pula, “Antara tawaran kami dari sudut sosial dan kebajikan rakyat sekiranya kami dipilih di Selangor, ialah;

- Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
- Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
- Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra sekolah.
- Memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti.
- Memberi bantuan dan biasiswa kerajaan untuk anak Selangor.
- Memberi bantuan kepada anak-anak muda yang mendirikan rumah tangga.
- Membuka pusat-pusat sukan mini atau reakreasi bagi belia.
- Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
- Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
- Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
- Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
- Mewujudkan institusi menyelaras hal-ehwal agama selain Islam.”

Semasa majlis ceramah dijalankan, tiba-tiba bangun seorang India berkata, “Saya sokong BA! Sudah puluh-puluh tahun saya jadi ahli MIC, duduk rumah setinggan juga. Kerajaan MIC tarak tolong apa-apa, tara offer ini macam, sampai saya susah. Sekarang saya punya rumah pula mahu kena roboh... Itu Sami, kasi buncit dia punya perut jugak!! Ini kali saya pilih BA... Saya pilih BA!!” Dia terus menjerit kuat.

Lepas ceramah dia datang bersama-sama kami duduk se meja minum-minum. “You mabuk ke?” Tanya kawan saya.

“Tarak.. Sikit-sikit.” Jawabnya.

Saya teringat waktu Kerajaan Kelantan larang minum arak di khalayak ramai, seorang wanita India mengadu kepada kami di pejabat PAS, “Saya suka Kelantan tak bagi minum arak. Pasal saya punya laki bila dapat gaji awal bulan, kadang-kadang bagi saya simpan RM60. Tapi bila dia punya wang sudah habis, dia mabuk, dia minta balik... dia minta RM90 pula..”

“Apasal, dia minta balik RM90?”

“Pasal bila mabuk, dia nampak terbalik... angka 6 dia nampak 9!!”

Nampaknya dalam suasana kesusahan rakyat sekarang, BN yang bagi mereka mabuk!!!

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Bertemu lagi, Insya Allah.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 25-02-08. KL

Friday, February 22, 2008

Depa Nak Sembeleh Dr Helmi YB Balik Pulau...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

SAYA kenal Dr Helmi Yahya Ahli Parlimen BN Balik Pulau, Pulau Pinang, seorang yang dikatakan baik peribadinya, berbanding dengan YB-YB UMNO yang lain. Waktu saya bertanding di DUN Bayan Lepas mewakili PAS dalam PRU 1990, beliau bertanding di DUN Teluk Bahang, antara 3 DUN yang terdapat dalam kawasan parlimen Balik Pulau.

Beliau ditentang oleh Dr Sanusi Osman dari PRM (Parti Rakyat Malaysia), yang menjadi rakan se pembangkang bersama-sama PAS. Ketiga-tiga kami adalah anak tempatan Balik Pulau. Rumah beliau di tengah-tengah antara rumah Dr Sanusi dengan rumah saya (rumah ayah saya) yang jaraknya kira-kira 1 kilometer sahaja antara rumah-rumah kami.

Pernah selepas keputusan PRU itu, Dr Sanusi bertanya saya, “Ayah hang (Allahyarham Ustaz Hashim) ada ka hubungan adik beradik dengan ayah Dr Helmi?”

“Dak! “ Jawab saya. “Cuma depa (mereka) berdua kawan agak rapat kerana sama-sama jadi guru agama, sama-sama pakai serban, hidup gaya sederhana, nampak macam se aliran.” Mungkin Dr Sanusi nampak pengundi-pengundi PAS di situ macam undi BN secara diam-diam semasa beliau bertanding itu…

Sebenarnya itulah kelebihan Dr Helmi Yahya. Beliau nampaknya disukai oleh rakyat tempatan. Apalagi bila beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, tempat tumpuan Orang Melayu di sana, ada gaji dan ada peruntukan untuk hamburkan bantuan pada rakyat Balik Pulau. Di situlah saya akui, saya kalah dengan beliau. Kerana saya tinggal di KL, terpaksa berulang-alik KL-Balik Pulau. Saya tiada pendapatan tetap, tiada apa-apa elaun kerana tidak menang dalam bertanding meraup undi itu. Bukan sikit-sikit duit sendiri yang perlu dibelanjakan tiap kali balik ke Pulau Pinang.

Kini Dr Helmi khabarnya akan dihantar bertanding di Permatang Pauh, kubu kuat pembangkang kawasan yang dimenangi oleh Dr Wan Azizah isteri Dato’ Seri Anuar Ibrahim. Mengapa mereka pilih Dr Hilmi?

“Memang depa nak sembeleh Dr Helmi!” Kata seorang ahli kuat UMNO yang saya temui di Balik Pulau baru-baru ini. “Depa hantaq mamak Tanjung mai Balik Pulau, depa paksa Dr Helmi (tak secara langsung) ke kubuq BN di Permatang Pauh… Tak dak ka tempat lain yang selamat??”

Saya fikir-fikir pun betul juga. Dulu Dr Ibrahim Saad pun mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang juga. Peribadinya pun lebih kurang sama dengan Dr Helmi, kerana saya pernah berforum dengan beliau atas tajuk ‘Umat Melayu Pulau Pinang’ di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) awal tahun 1990an anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang di bawah Ustaz Saleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sekarang.

Sehingga ada seorang penyokong PAS berkata kepada saya semasa berforum itu, “Jangan pukui dia kuat-kuat sangat, dia tu baik orangnya…” Begitu juga Ustaz Firdaus Al Hafiz tokoh agama , bekas Imam Masjid Negara pun kecundang juga di tangan Wan Azizah dari Parti Keadilan itu.

Ahli UMNO itu menyambung lagi, “Memang kabinet Pak Lah dah dikuasai oleh puak Raja Mendaliar macam cerita Sejarah Melayu di dalam ‘Kesultanan Melayu Melaka’ dulu. Buktinya boleh dilihat waktu mak Pak Lah meninggal, puak-puak mamak pengampu dah kuasai majlis tersebut… Orang Melayu ketepi.”

“Sapa mamak Tanjung yang nak dihantaq ke Balik Pulau tu??”

“Aku dengaq Tan Seri Nor Mahamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua yang rekod kerjanya pernah dan sedang dipertikaikan. Tak percaya hang tanya la Dr Rosli Yaakop orang PAS yang pernah sama-sama dengannya dalam Abrar Finance, atau Ezam Moh Noor yang cuba membongkar kesnya!!” Jawab si UMNO itu lagi. “Sedangkan Dr Helmi hanya Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan sahaja bawah dia; boleh la dia buli…”

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 22-02-08. KL

Tuesday, February 19, 2008

Mana Jalan Keluar Masalah Media, Radio & Tv PAS?



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BEBERAPA penulis blog telah memberi komen mengenai tulisan saya ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ ekoran dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ pada 15 Januari lepas. Antaranya blogger Syeikh Teluk Intan, Al-Hussein dan beberapa lagi yang bertanya, “Apa dah jadi dengan suara-suara yang nak wujudkan radio dan tv Kelantan dulu??”

Pada hemat saya, salah satu sebab PRU 11 memberi pukulan teruk pada PAS ialah kerana permit media cetak PAS akhbar HARAKAH telah ditarik oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) dari 2 keluaran seminggu kepada 2 keluaran sebulan sejak selepas PRU 10 lagi. Kerana menjelang PRU 10, dikatakan jualan HARAKAH menjangkau hampir 200,000 naskah. Bahkan dilaporkan ada pula HARAKAH cetak rompak…

Waktu itu berita pembangkang macam goreng pisang panas, dengan berita-berita terkini tersebar sampai keakar umbi, atau sampai ke bawah. Tapi sekarang jadi goreng pisang sejuk, kecuali web Harakah Daily yang tidak menyeluruh sampai ke akar umbi rakyat. Kerana tak semua rakyat mampu ambil berita dari internet. Selepas HARAKAH sebulan 2 kali itu, peniaga-peniaga penuh masa jual HARAKAH sudah tidak dapat bertahan lagi.

Ramai yang bungkus, terpaksa cari kerja lain. Bererti banyak saloran sebar maklumat PAS atau HARAKAH sudah tertutup. Apalagi, bila ada usaha-usaha menjadikan HARAKAH hanya untuk bisnes, bukan lagi bergerak dengan semangat perjuangan seperti kebangkitan HARAKAH di peringkat awalan dulu. Bahkan ada yang menyindir sinis,

“HARAKAH dah nak jadi kapitalis, nak saman pekerja dan ahlinya sendiri, tak kira kebajikan pekerja atau pengedarnya… duduk kira duit saja. Tapi kalau untuk tok-tok ketua atau bekas tok-tok ketua mereka, boleh pula??” (Lanjutnya sila lihat tulisan bersiri penulis mengenai sejarah HARAKAH dalam blog penulis ‘Imbaun 1’ hingga ‘Imbauan 7’).

Soalnya, bagaimana nak atasi masalah 2 kali sebulan nak jadikan 2 kali seminggu macam dulu atau lebih kerap lagi. Kalau dulu, sebelum adanya HARAKAH (kira-kira tahun 1987) pernah Jabatan Penerangan PAS menerbitkan risalah isu seminggu sekali. Ianya dinamakan ‘buku’ walaupun saiznya A4 macam bentuk majalah. Kerana ianya tidak tertakluk kepada permit dari KDN seperti majalah dan akhbar, boleh terbitkan sepanjang masa.

Kalau dulu baru nak bina rangkaian edaran, dan tak ada wang, sedangkan sekarang rangkaiannya dah ada, juga wang sudah bukan masalah, dan pembaca pembangkang pun bertambah ramai, sudah tentu lebih boleh lagi. Itu salah satu contoh cara selesainya. Mungkin ada cara lain lagi yang boleh difikirkan. Begitu juga mengenai radio atau tv PAS.

“Sekarang perkembangan dunia jaringan global semakin canggih…” kata seorang Dokter pengendali laman web Sheikh Teluk Intan kepada saya. “Tok Guru berkuliah di Bangunan PAS Kelantan atau Tok Guru Haji Hadi berceramah di Masjid Rusila, kita di seluruh Malaysia boleh melihat dan mendengarnya terus, bahkan boleh bersoal jawab pula. Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut di KL pula boleh membaca atau melaporkan berita semasa kepada ahlinya di seluruh negara. Mengapa hal ini tidak kita usahakan awal-awal lagi?

Belum lagi kita fikirkan untuk wujudkan sebuah setesyen media di peringkat ASEAN, atau dunia contohnya, kalau Malaysia tidak mahu beri kerjasama kepada rakyatnya.”

“Memang sedap teori mata memandang, tetapi bahu memikulnya bagaimana?” Usik saya.

“Tiada kerja yang praktiknya dulu, kemudian baru teori…” Jawab beliau.

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-02-08. KL

Monday, February 18, 2008

Bagaimana Negara Kebajikan Nak Sekat Harga Barang Naik?




Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


“MULA-MULA pegang kerajaan pun sudah nampak Pak Lah (PM sekarang) tak pandai perintah Malaysia. Sikap fikir singkat dan bebalnya sudah mulai terserlah…” Kata mantan pimpinan Kelab UMNO di sebuah universiti di England.

“Apa dia?” Kami tanya beliau dalam satu majlis ucapan dan analisis mengenai ‘Malaysia Sepintas Lalu Di Bawah Pak Lah’, anjuran Grop Universiti Hulu Klang disebuah restoran di Batu Caves baru-baru ini..

“Pertama:

Pak Lah membatalkan banyak projek-projek yang telah diluluskan dan direstui oleh pemimpin-pemimpin sebelum itu, contohnya projek jambatan bengkok Singapura-Johor, jutaan RM wang rakyat dicurahkan ke laut Selat Terberau itu. Bukan senang Dr Mahathir nak dapatkan persetujuan Singapura hingga terpaksa keluarkan perbelanjaan sebelah pihak (Pihak Malaysia) sahaja. Bila Singapura setuju, baru Dr Mahathir bentangkan jambatan bengkok itu. Rupanya, memang menguntungkan Malaysia, apabila kapal boleh lalu merentasi Selat Terberau.

Hal ini amat membimbangkan Singapura, dan boleh menjejaskan pelabuhannya. Itu satu manfaat tersirat bagi Malaysia, yang Pak Lah tak mahu ambil tahu!”

Sambung beliau lagi, “Pada saya ada lagi yang lebih besar manfaatnya… Kita tahu Singapura ikut strategi Israel dalam banyak bidang, termasuk ketenteraan. Strategi menyerang sebelum diserang, menawan sebelum ditawan seperti yang dilakukan ke atas negeri-negeri jirannya, negara Arab. Mereka (Singapura) sedang membeli banyak kereta-kereta kebal sekarang. Paip air bekalan kita kepada mereka pun dikawal oleh tentera. Kalau terjadi hal-hal tidak diingini seperti di negara-negara Arab itu, maka di sinilah perlunya jambatan bengkok seperti rancangan Dr M itu…”

“Apa pandangan tuan mengenai cara nak atasi masalah kenaikan harga barang? Contohnya harga minyak?” Kami tanya lagi.

Kedua;..

Sambung beliau. “Sebelum melihat masalah minyak, kita kena tahu, bahawa sistem ekonomi kita adalah berdasarkan ekonomi kapitalis. Ringkasnya sistem membesarkan yang gemuk dan menguruskan yang kerdil. Tiada kebajikan, dan tiada tolong menolong dalam bisnes. Contohnya mengapa harga gula tidak dapat diturunkan? Jawabnya, kerana cuma 2 saja pemegang lesen import gula, iaitu Robert Koh dan Felda, menyebabkan harga gula terletak di tangan mereka. Itu sebab Robert Koh jadi lebih kaya dan menunjukkan keuntungan yang tinggi tiap tahun.

Begitu juga lesen-lesen import lain seperti kereta, daging lembu, susu dan lain-lain, juga monopoli puak-puak tertentu sahaja. Kalau kita lihat di zaman Mahathir waktu harga simen naik, beliau bukakan lesen import simen seluas-luasnya, hingga harga simen dapat dikawal sampai sekarang. Berbalik kepada bagaimana nak turunkan atau kekalkan harga minyak?? Malaysia adalah negara kaya. Kalau Swizerland, yang tiada apa-apa sumber asli boleh jadi maju, kawal ekonominya, mengapa Malaysia tidak boleh?

Apa susah sangat, sedangkan Malaysia ada minyak, bijih, getah, sawit dan gas asli, contohnya. Kalau kita galakkan rakyat gunakan gas sebagai alternatif, bersaing dengan minyak, sudah tentu harga minyak akan turun atau boleh dikekalkan. Ini tidak, teksi-teksi yang gunakan gas terpaksa menunggu berjam-jam berbaris di KL kerana kedai bahan api tersebut tak cukup. Bahkan di bandar-bandar seperti Ipoh pun dilaporkan tiada satupun kedai bahan api itu.

Apakah hal ini berlaku semata-mata kerana hendak mengekalkan keuntungan besar kepada syarikat-syarikat minyak seperti Petronas? Begitu juga TNB, Indah Water dan sejenisnya.. Itulah dasar ekonomi kapitalis, tiada belas kasihan dalam bisnis.” (Sila lihat juga pandangan penulis ‘ Catatan Santai Ibnu Hasyim: Harga Barang Naik… Atasi Dengan Nuklear’ dalam blog penulis Mei 2007)

Ketiga:

“Saya bimbang Orang Melayu akan menjadi manusia kelas 3 di tanahairnya sendiri. Apa tidaknya? Di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), harga rumah-rumah melambung naik. Jelas rata-rata orang Melayu tidak mampu membelinya. Orang-orang luar dibenarkan memilikinya. Orang-orang Cina dari Singapura akan mencurah-mencurah memilikinya, walau mereka sudah ‘black list’ di institusi kewangan di negara mereka. Bahkan dikatakan ada yang didalangi oleh bangsa-bangsa Yahudi Israel, yang bersedia merampas tanah orang Islam melalui proses undang-undang pula.

Lebih pelik lagi bila ada pemimpin-pemimpin UMNO yang berbangga kerana nilai hartanah di situ sudah naik berkali-kali ganda. Maka tinggallah orang-orang Melayu di luar WPI, di Parit itu dan Parit ini, sedangkan di luar parit dimiliki oleh orang-oraang asing. Kerana mereka tidak mampu membelinya, walaupun nama mereka tidak di’black list’ di negara sendiri. Apakah Melayu hanya layak tinggal dalam parit saja?

Maka jadilah orang Cina yang kebanyakannya kapitalis-kapitalis tempatan jadi manusia kelas 1. Orang India, manusia kelas 2; kerana tuntutan-tuntutannya sedang dilayan baik oleh kerajaan sekarang, dan orang Melayu bakal jadi bangsa Red Indian di Amerika kerana hak-hak istimewanya sudah mulai ditarik seperti sistem biasiswa, pelajaran atau lain-lain, hanyut di kelas 3.”

Keempat:

Kami tanya beliau lagi mengenai Negara Kebajikan’ yang diperjuangkan oleh PAS.
Kata beliau, “Walaupun saya masih ahli UMNO, tetapi eloklah dalam PRU 12 kali ini, Kelantan diberi kepada PAS, kerana itulah satu-satunya lagi negeri benteng Melayu-Islam terakhir di negara ini. Kita lihat Pulau Pinang, walaupun di bawah kerajaan Malaysia, tetapi projek jambatan Pulau Pinang ke 2 baru-baru pun ini akan diberi kepada Negeri Cina. ‘Malaysia Boleh’ ape ke bende ni??

Di Iceland atau England, tiap anak-anak dilahirkan, kerajaannya akan membayar elaun. Bahkan kalau sampai 3 anak, elaunnya sudah melebihi pendapatan seorang ibu biasa yang berkerja. Kalau ibu itu nak berhenti kerja, nak tumpukan kepada penjagaan anak-anak pun sudah berbaloi. Begitu juga dengan elaun kepada penganggor dan sebagainya. Baru-baru ini dalam suatu rancangan agama malam Jumaat (14-2-07) di tv Malaysia, beberapa penceramah agama tak ada kerja lain jadi alat bodek, mengampu dan penjilat kerajaan.

Antaranya mengkritik, ‘kerajaan kebajikan’ kononnya kerajaan yang menyuruh rakyatnya malas bekerja, menyuruh rakyatnya tadah tangan meminta sedekah… Apakah Islam suruh membantu orang susah sama seperti menyuruh orang Islam jadi peminta sedekah? Fasal apa kepala otak penceramah tu bengap sangat? Tak mengaji agama ke? Patutlah kerajaan Malaysia tidak mahu buat kebajikan kepada rakyat, sebab cara berfikir mereka begitu. Rakyat saja yang disuruh buat kebajikan kepada kerajaan. Tetapi kerajaan beri subsidi atau bantuan cuma kepada kapitalis-kapitalis luar negeri!!”

“Ada ke bantuan kepada kapitalis-kapitalis atau konglomerat-komglomerat luar negara?” Seorang dari kami bertanya.

“Apa tidaknya? Konsep FTZ (Free Trade Zone), benarkan buka kilang tanpa cukai satu sen pun, bukankah itu pemberian subsidi juga? Kita nak berniaga goreng pisang tepi jalanpun kena bayar lesen! Konsep WPI sebenarnya adalah FTZ yang dibesarkan, bapa FTZ. Bahkan bangunan pun boleh dimiliki terus oleh orang luar melalui WPI. Begitu juga syarikat-syarikat yang dibayar subsidi awal billion RM untuk mulai operasi. Projek nak beli air Pahang untuk kegunaan rakyat Selangor, apakah tak ada jalan singkat yang menjimatkan kos? Projek beralasan nak naikkan harga air, beri subsidi pada kapitalis dengan menindas rakyat!

Berapa sangatlah bantuan pada rakyat susah… bantuan anak yatim, waga emas, orang kurang upaya, bencana, sakit kronik, pelajaran percuma, ibu tunggal dan lain-lain. Takkan waktu muda dan sihat kamu kerok tenaga mereka habis-habisan, cukai sana sini, bila tua jadi hampas kamu nak tinggalkan begitu saja? Buang sepah sesudah madu dihisap habis? Sebenarnya itu adalah tugas kerajaan melindungi hak rakyat. Kerajaan pimpinan orang kafir pun pandai membuat kebajikan pada rakyat. Tidak seperti kerajaan BN yang tidak bertanggung jawab!!”

Insya Allah Grop Universiti Hulu Klang, akan menjemput pengucap dan penganalisis yang lain pula. Wassalam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-02-08. KL


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails