Tuesday, March 04, 2008

Kebangkitan Kaum Cina & India di Bangi.



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


TERKEJUT saya, tiba-tiba Dr Zubair pengendali blogger Syeikh Teluk Intan menjemput saya selaku Presiden Grop Universiti Hulu Klang menghadiri suatu majlis dialog dengan kawan-kawan bukan Melayu di sebuah kawasan perumahan di Bangi, Selangor, malam tadi.

“Jom kita lihat sebuah kebangkitan orang bukan Melayu dan Islam menolak kerajaan BN di Bangi yang menjadi simbol kepada kebangkitan mahukan perubahan bagi menolak diktator BN di Malaysia.” Katanya.

Bangi terletak dalam kawasan parlimen P.102 Serdang. Pengundi di parlimen Serdang berjumlah 94,877, terdiri Melayu 36.63%, Cina 52.09%, India 10.90% dan lain-lain 0.38%. Pertandingan antara Datuk Hoh Hee Lee (BN) melawan Teo Nie Ching (DAP), bagi menggantikan penyandang sebelumnya Datuk Yap Pian Hon (BN) yang menang dengan majoriti 11,280 undi.

N.26 Bangi (Pengundinya 35,989, Melayu 64.5%, Cina 21.2%, India 13.8% & Lain-lain 0.5%) ditandingi oleh Dr Shafie Abu Bakar (PAS) melawan Datuk Mohd Fathil Daun (BN) bagi menggantikan penyandang sebelumnya Prof Amran Kasimin (BN) yang menang dengan majoriti 3,708 undi. Prof Amran merampas dari penyandang sebelumnya iaitu Dr Shafie sendiri.

Kami sampai disebuah rumah besar milik seorang taukeh Cina. Kira-kira 100 lebih orang bukan Islam sedang menunggu, hampir sama ramai antara bangsa Cina dan India. Mereka bersorak menyambut kami. Setelah saya dan Dr Zubair berucap beberapa minit perkenalkan diri, sampailah kepada sessi berdailog keseluruhannya dalam bahasa Inggeris.

Seorang Cina professional bertanya, apa bedanya kerajaan PAS/BA dengan UMNO/BN?

“Kerajaan PAS perintah, letakkan Tuhan Allah nombor 1 tinggi, lain semuanya rendah… Politikpun kena ikut agama. Itu sebab PAS kena bela keadilan tak kira bangsa. Kena tolong orang susah tidak kira kaum, dan kena buat kebajiakan atau Negara Kebajkan. Islam bukan pengganas.” Jawab Dr Zubair. “UMNO/BN perintah, letakkan politik paling tinggi, lebih tinggi dari semua agama. Itu sebab dia boleh roboh surau, roboh rumah ibadat orang India, hapuskan ciri-ciri agama dalam budaya, makan rasuah, tipu orang, kroni dalam bagi projek, pernah dituduh rogol orang, tembak orang dan macam-macam. Semuanya boleh di‘politik’kan. Itu cirri-ciri pengganas.”

“I ingat masa PAS/BA perintah Terengganu, I ada di sana. Lepas saja PRU 10 tol-tol dan cukai terus dimansuhkan, negeri tak ada bengkrap pun! Banyak anak-anak syarikat kerajaan negeri yang untung walaupun masa BN perintah dulu pentadbirannya rugi. Rakyat minta tanah, cukup senang dapat, bukan seperti sekarang bila BN perintah semula.” Seorang Cina ceritakan penglamannya di Terengganu.

Seorang India pula bertanya, “Betul ke PAS tak benarkan ahlinya undi calon bukan Islam? ...di Kelantan orang bukan Islam tak boleh minum arak?”

“Siapa cakap?” Giliran saya pula jawab. “Tentu ajen-ejen (melalui media ‘kuda tunggang’) BN yang cakap dan kelirukan. PAS ada letak calon wanita muda India bukan Islam di Johor, takkan PAS tak suruh ahlinya undi PAS? PAS juga suruh ahlinya undi DAP.”

“Ya. Ya. Betul” Jawab India itu. “50 tahun kami sokong BN, ini kali saya mahu undi PAS dan BA pula. Disambut oleh tepuk sorak hadirin.

“Di Kelantan, mana ada orang bukan Islam kena tangkap fasal minum arak??” Saya jelaskan. “…kerana orang bukan Islam memang boleh minum arak, walaupun bukan khalayak ramai!”`

Taukeh Cina tuan rumah itu pula bercerita, “Baru-baru ini I ada bekalkan perabut di rumah anak seorang ketua cawangan UMNO di Ipoh bernilai RM500,000. Ayahnya menghadiah rumah itu bernilai RM27 juta dan perabutnya sekali. Itu baru I sorang, banyak lagi pembekal-pembekal lain… sedangkan ayahnya itu cuma seorang kontakter biasa sahaja.”

“Ha! Tengok tu. Mana dia dapat duit bermewah-mewah, kalau dia bukan kroni UMNO?” Sambut yang lain.

“Hal berlaku, kerana mereka tidak meletakkan Tuhan Allah di tempat yang nombor 1 tertinggi dari yang lain.” Jelas Dr Zubair.

“Akhirnya I nak tanya Dr Zubair, mengapa tuan sokong pembangkang sedangkan dulunya tuan adalah pegawai tinggi syarikat pengkoperatan di Malaysia, tidakkah tuan macam kacang lupakan kulit??” Seorang lain bertanya.

“Ya. Demi keadilan rakyat semua kaum seperti yang Tuhan Allah mahu.” Jawab tegas Dr Zubair. “Ya. Mari kita ranapkan BN di Selangor ini, dan naikkan pembangkang PAS, Keadilan dan DAP!!” Disambut dengan tepukan dan jeritan gembira.

Dalam perjalanan pulang, kata Dr Zubair pada saya, “Inilah bunga-bunga awal kebangkitan kaum bukan Melayu menolak kerajaan BN. Aku rasa Pulau Pinang termasuk negeri yang akan jatuh ke tangan pembangkang.”

Insya Allah. Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallhu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 04-03-08. KL.


Monday, March 03, 2008

Kerana Ini... Pak Lah Jadi Anak Derhaka.


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


AYAH Pak Lah Haji Ahmad Badawi Abdullah adalah antara penaja penubuhan PAS pada tahun 1951. Salah satu sebab penubuhan tersebut ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu membenarkan judi dan loteri. Yang jelas Tuan Haji Ahmad Fuad, Haji Abdullah Fahim (dari Seberang Prai) dan Haji Fathullah Suhaimi (dari Singapura) telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya hal tersebut. Merekalah antara pengasas-pengasas penubuhan PAS.

Rupanya, begitulah UMNO dahulu, sekarang dan selamanya, tetap tidak berubah dengan dasar perjuangan kebangsaannya. Apabila anaknya, Pak Lah Ahmad Badawi memimpin UMNO, industri judi dan arak terus subur membangun bersama Islam Hadhari ciptaannya. Dalam Islam Hadhari minyak dan air rupanya boleh dicampurkan. Cuba anda bayangkan jika Syurga dan Neraka pun dicampurkan... Itulah simboliknya.

Sebenarnya, Perdana Menteri Pak Lah Badawi tidak lepas dari tanggungjawab meluluskan lesen kepada syarikat-syarikat arak dan judi ini... Antaranya:

Nama Syarikat & Jenis Perniagaan:

1. Genting Bhd : Kasino.
2. Resort World : Hiburan & Judi.
3. Magnum Corp. : Loteri.
4. Metroplex Bhd : Subic Bay Casino judi atas kapal.
5. Laisure man : Nombor ekor.
6. Lumba Kuda : Nombor ramalan.
7. Berjaya Sport Toto : Empat nombor ekor.
8. Guiness Anchor Bhd : Minuman keras.
9. Tanjong Public Limited Co : Nombor ramalan.
10. Carlsberg Brewery Bhd : Arak.

Kajian badan bebas Amerika Syarikat, National Gambleng Impact Study Commision mengenai kesan negatif industri perjudian merumuskan:

1. Ada kaitan antara judi dengan penagihan dadah.
2. Pertambahan penceraian, 5 kali ganda dari biasa.
3. Pertambahan potensi dalam kes-kes jenayah.
4. Pertambahan hutang peribadi yang besar.
5. Merosakkan hubungan antara kawan dan keluarga.
6. Pertambahan kes bunuh diri.

Hasil pendapatan kerajaan dari beberapa industri arak dan judi adalah melalui cara berikut:

1. Cukai korporat sebanyak 28%.
2. Cukai perkhidmatan sebanyak 5%.
3. Perlesenan.
4. Melalui syer.

Kementerian Kewangan memaklumkan pada 2005, kerajaan Malaysia memungut RM924 juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat judi. Manakala jumlah wang yang dibayar firma judi kepada mereka yang menang bertaruh adalah RM4.8 bilion. Menurut Mufti Perak Dato’ Harussani Zakaria tahun lalu, mendedahkan di mana orang Melayu membelanjakan RM 4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi. Sejumlah 75% yang tikam ekor adalah orang Melayu.

Oleh itu, Pak Lah bukan sahaja derhaka kepada perjuangan Islam ayahandanya bahkan juga derhaka kepada Allah SWT, seperti firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90..

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, undi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar anda dapat untung.”

Sebenarnya kita semua akan beruntung jika tiada industri judi dan arak. Untung yang paling besar ialah kita tidak menjadi penderhaka kepada Allah SWT, bukan macam Pak Lah dan kuncu-kuncu sekandang dengannya. Nak tahu bagaimana Pak Lah derahaka kepada ayahnya mengenai aurat wanita, sila lihat tulisan dalam blog saya Disember 2007 ‘Hari Raya: Saya Cabar Pak Lah, Apa Alasan Biarkan Isteri Tak Tutup Aurat??’.

Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallhu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
03-03-08. KL


Dapat ke BN: Kelantan Baru Jadi Kelantan Barua?


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

“APA jadi kalau BN tawan Kelantan?” Saya tanya beberapa kawan anak Kelantan dan yang baru sampai dari Kelantan.

“Pertama...” Jawab Tuan Junuh anak jati Kelantan. “Sebenarnya, projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu adalah projek merampas tanah-tanah Negeri Kelantan untuk diberi kepada warga asing dalam dan luar negara atas slogan ‘Kelantan Baru Kelantan Maju’ seperti yang sedang dilakukan di Wilayah Pembangunan Iskandar Johor.(Sila lihat Catatan Santai dalam blog penulis bertajuk ‘Bagaimana Negara Kebajikan Nak Sekat Harga Barang Naik?’). Orang-orang luar dapat isi, dan baki-baki keraknya baru dapat kepada rakyat Kelantan.

Kedua... Sudah lama BN berazam nak rampas dan nak hapuskan perkembangan agama Islam (yang kononya tidak Hadhari) seperti yang sedang berkembang pesat di Kelantan. BN ingin menguasai Sekolah-sekolah Agama Rakyat dan Sekolah-sekolah Pondok (sekolah agama tradisional yang sedang dimodenkan) kononnya menjadi sarang atau kubu kekuatan PAS (kalau dalam istilah Amerika disebut ‘sarang pengganas’). Mereka ingin menghancur-leburkan kekuatan Agama, supaya rakyat Kelantan jadi seperti rakyat negeri-negeri lainyang mereka kuasai.

Contohnya rakyat Pulau Pinang yang terpinggir tiada tanah, Wilayah Persekutuan, Melaka, sekarang Johor dan lain-lain. Konon nak maju macam negara-negara barat seperti Amerika yang sanggup menjadikan bumiputeranya merempat bagai pelarian di bumi sendiri, orang Melayu akan menjadi seperti Red Indian di bumi Amerika. ‘Kelantan Baru’ (istilah baru dalam manifesto BN Kelantan) akan menjadi ‘Kelantan Barua’ kepada Kerajaan Pusat yang seterusnya menjadi barua kepada musuh-musuh Islam.”

Ketiga... “Beri le peluang aku nak beri pendapat pula..” Minta Shukri yang isterinya juga orang Kelantan, dan baru sampai dari Kelantan. Semua bersetuju.

Katanya pula, “Sejuk rasanya hati bila berada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Wanitanya rata-rata bertudung dengan sendirinya tidak dipaksa-paksa. Tiada kelab-kelab malam dan tempat-tempat pelacuran macam di Belakang Mati, Bukit Bintang di KL atau di bandar-bandar besar yang di kuasai BN. Tiada berkeliaran mudi-mudi gila rock dengan pakaian menjolok mata. Kerana ada peraturan dalam hiburan dan bersukan. Ertinya masih ada konsert-konsert hiburan dan bersukan yang bersopan.

Tiada artis-artis berpakain macam berkemban disanjung sebagai juara semasa menerima hadiah. Tiada kegiatan tidak sihat bertopengkan ‘hiburan dan kesenian’ yang melanggar syariat dan aqidah (macam wayang kulit). Tiada restoran menghidangkan arak terang-terangan. Tiada kegiatan judi nombor ekor atau TOTO (Tipu Orang Tipu Orang- 2 kali atau berkali-kali tipu rakyat). Begitu tenang aku tengok suasana Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu, apalagi pada hari Jumaat dengan kuliah agama oleh Tok Guru sendiri yang turun padang.

Dan banyak lagi, kalau nak sebut sampai besok pagi pun tak boleh habis. Belum lagi kita lihat gaya hidup sederhana tarbiah dari Menteri Besar Kelantan, hingga tiada pemimpin-pemimpin PAS Kelantan yang diseret oleh Badan Pencegah Rasuah, salahlaku atau tuduhan rogol seperti yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin BN. Belum lagi kita lihat bantuan dan pertolongan kerajaan Kelantan kepada rakyatnya...”

“OK. Cukup! Cukup! Dah takde sebab lagi demo nak tolak Tok Guru Nik Aziz! Lain kali kita sambung lagi. InsyaAllah.” Saya memotong.

Teringat saya semasa berada di bandar Melaka baru-baru ini, kami terserempak beberapa gadis Melayu sedang keluar dari sebuah restoran, sedang menjerit-jerit mabuk. Di tangan mereka tergenggam seorang sebuah tin minuman keras. Meminum sambil berjalan.

Masya Allah! Inilah hasil kerjabuat pemimpin-pimimpin BN. Anda yang mengundi BN pun terlibat dengan ‘dosa minum arak’ itu, seperti yang tertera jelas dalam beberapa Hadith Nabi. Nak tahu lanjut tanya ustaz-ustaz original... Wallahu aklam.

Undilah PAS atau Keadilan... Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 02-03-08. KL


Sunday, March 02, 2008

Shahrizat, Ibu Maksiat...



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


PAGI tadi, terlintas pandang saya di tv, temubual dengan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil calon BN di P.121 Lembah Pantai, di sebuah kedai makan. Seperti biasa BN dengan tidak segan-segan silu dan dengan muka tak malu terus melanyak mass media untuk awam bagi kempen busuk mereka. Lembah Pantai yang pengundinya berjumlah 56,650, Melayu 54.65%, Cina 25.42%, India 19.49% dan lain-lain 0.44%, menjadi medan pertarungan 3 penjuru.

Pertarungan antara Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil calon BN, penyandang yang menang majoriti 15,288 undi, dengan Nurul Izzah Anwar calon PKR, anak sulung kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan calon Bebas Periasamy a/l Nagaratnam.
Menurut Shahrizat, beliau menghargai perjuangan Nurul Izzah membela ayahnya, memang begitu sepatutnya sebagai seorang anak... Dan kerana Nurul Izazah sebaya dengan anak sulungnya, jadi dia tak mahu komen apa-apa.

Tapi ingat bukan mudah untuk membangunkan Lembah Pantai, yang dulunya dipenuhi setinggan-setinggan, katanya lagi. Maksudnya itu bukan kerja kanak-kanak dan menganggap beliau sebagai ibu. Akhirnya kata beliau dengan senyum sinis, “Ingat, syurga di bawah kaki ibu...”

Tiba-tiba terdengar bunyi kuat sesorang menepuk meja di gerai makan itu...

“Tengok! Dia (Shahrizat) perli Nurul Izzah, berjuang kerena kasihankan ayahnya bukan untuk membela keadilan rakyat. Konon dia mengaku ibu kepada Nurul Izzah.. Ibu apa? Ibu maksiat? Pakai tudung pun terjulur rambut keluar, tak macam Nurul Izzah. Rampas dan roboh rumah-rumah orang Melayu tanpa pampasan sewajarnya, atas alasan ‘setinggan sifar’. Bangunkan pusat-pusat maksiat atas nama pembangunan dan bandar baru. Nak tengok perempuan berpakaian telanjang pergilah ke Bangsar malam-malam, dalam kawasan Lembah Pantai. Nak minum arak pergilah Bangsar.. Macam kota maksiat negara kafir... Mengapa tak bawa ulama-ulama Arab ke sana, tunjukkan begini negara Islam Hadhari??” Kata seorang lelaki yang berketayap di kepala.

“Mereka yang mengumpat atau mendedahkan keburukan sesorang siang malam di media massa milik kerajaan Malaysia (bukan milik BN atau UMNO) boleh pula. Baik Pak Lahnya, Timbalannya, dan orang ramai yang ditemuramah (sebenarnya penyokong BN, kalau pembangkang, memang tak keluar berita kecuali yang buruk) semuanya boleh dan sedang mengumpat hari-hari walau ulama-ulama penjilat mereka kata hukumnya ‘haram’ mengumpat...” Saya jawab.

Pada hal menurut Presiden PAS Ustaz Abdul Hadi Awang, mengumpat atau mendedahkan keburukan seseorang bagi tujuan memilih pemimpin adalah dibenarkan dalam Islam. Menurut kitab ‘Hidayatus Salikin’ karangan Imam Ghazali, ada mengumpat yang harus, wajib, haram dan sebagainya. Contohnya menurut Ustaz Hadi lagi, seorang pencuri masuk kampung, wajib kita mengumpat atau dedahkan keburukannya supaya orang kampung itu terselamat.

Kata lelaki itu lagi, “Itu sebab aku kata Shahrizat itu Ibu Maksiat, Ibu Sundal (kerana menaja sarang pelacuran & persundalan) supaya umat Islam sedar dan selamat dari tipuan pencuri-pencuri, barua-barua dan penagih-penagih undi BN!”

Kesimpulannya, UNDILAH BA!! Iaitu, PAS atau Keadilan... Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 02-03-08. KL

Pak Lah Cari Al-Ghazali & As-Shafie, Tapi Jumpa Syaitan..


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


PAK Lah selepas jadi PM, sering mempromosikan lagunya di tv, memperkenalkan dirinya mencari Al-Ghazali dan As-Shafie, seolah-olah beliau seorang yang zuhud dan tidak bermewah-mewah dan membazir. Mungkin itulah, sampai sekarang pun tak jumpa-jumpa lagi. Yang jelas sekarang, beliau telah menjumpai makhluk bernama ‘Syaitan’ atau kawan-kawan syaitan. Siapa syaitan-syaitan itu??

Nabi SAW pernah menyebutkan bahawa orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Kalau kita lihat sejak 4 tahun Pak Lah terajui kerajaan, beliau sudah laksanakan projek-projek mega dengan membazirkan sebanyak RM712 bilion. Mahfumnya, yang sudah beliau temui dan menjadi kawan-kawan dikeliling beliau sekarang, adalah pembazir-pembazir atau saudara-saudara syaitan.

Dato’ Kamal Amir telah menyenaraikan projek-projek membazir tersebut di laman web Malaysia Today:

1. Pembangunan Wilayah Iskandar RM240 billion
2. Pembangunan Koridor Utara RM160 bilion
3. Pembangunan Koridor Pantai Timur RM170 bilion
4. Pembangunan Koridor Sabah RM115 bilion
5. Pembangunan PGCC di Pulau Pinang RM24 bilion
6. Jambatan Pulau Pinang kedua RM3 bilion
Jumlah keseluruhan: RM713 bilion.

Kata Dato’ Kamal Amir lagi, selama 22 tahun Dr Mahathir mantan PM terajui negara telah berbelanja RM350 bilion, sedangkan Pak Lah baru 4 tahun sudah berbelanja RM700 bilion lebih... Selanjutnya beliau menyenarai lagi pembaziran dan penyalahgunakan wang rakyat di bawah Pak Lah...

1. Pembelian 3 lukisan untuk syarikat MAS –RM1,550,000.00
2. Lebih bayar beli peralatan KBBS –RM8,390,000.00
3. Kompleks Brickendonbury di London –RM70,000,000.00
4. Kos memperbaiki MRR2 –RM70,000,000.00
5. Kos perbaiki kerja bangunan Matrade –RM120,000,000.00
6. Pembelian jet baru Abdullah –RM200,000,000.00
7. Hutang tertunggak InventQjaya RM228,000,000.00
8. Bayar pampasan gagal teruskan jambatan bengkok –RM257,000,000.00
9. Kerugian beli saham Agusta –RM510,000,000.00
10. Kos AP anugerah Rafidah @30,000 x 1,800,000 – tidak terhitung.
11. Pembelian 3 buah submarine –RM4,100,000,000.00
12. Skandal PKFZ –RM4,600,000,000.00
13. Skandal OPV (NDSB) –RM6,750,000,000.00

Nak jumpa Al-Ghazali dan As-Shafie macam mana, jet peribadi Pak Lah sendiri pun sudah bernilai RM200 juta hasil dari wang dan keringat rakyat. Di mana nak letak hadith Nabi SAW yang menyebutkan, tidak sempurna iman seseorang itu kalau sekiranya ia tidur dengan kekenyangan sedang jiran sebelahnya dalam kelaparan.

Na’auzubillah. Jenguk-jenguklah cara hidup Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi.

Kesimpulannya, UNDILAH BA. Iaitu, PAS, Keadilan atau DAP!! Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 01-03-08. KL

Saturday, March 01, 2008

Belum Dapat Nak Turun Semua, Yang Dah Dapat Naik Semua...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


BN terus kempen dalam akhbar nasional dan Tv, untuk mansuhkan tunggakan semua jenis cukai kalau dapat rampas Kelantan dari BA atau PAS. Hanya nak hapuskan tunggakan, tetapi masih dalam kajian untuk turunkan kadar cukai. Umpan yang menjadi asas manifesto BN Kelantan itu ialah seperti tunggakan cukai bandar, cukai pintu, cukai tanah dan bayaran letak kereta.

“Kalau betul BN ikhlas nak tolong rakyat miskin, pasal apa tak hapuskan tunggakan di semua negeri yang dia dah perintah. Bahkan makin banyak yang naik??” Rungut seorang pembaca tetap akhbar tersebut. “ Takkanlah rakyat negeri lain semua kaya..”

“Apa yang banyak naik tu??” Tanya kawannya.

“Saya isytiharkan tahun 2008 adalah Tahun Harga Barang Naik. Lebih teruk lagi kalau BN terus naik memerintah! Berbagai agensi makin galak mencongak kenaikan tarif, cukai, bayaran, dan taksiran.” Dia terus membaca fakta-faktanya. Antaranya...

1. Kadar kenaikan tol sudahpun diumumkan pada Rabu 28 November 2007 bagi 6 buah tol yang kenaikannya antara 7% hingga 50% dari kadar sebelumnya. (Berita Harian 29 Nov 2007:1).
2. Harga petrol dan gas juga akan naik, dijangka awal tahun hadapan yang kenaikannya mungkin antara 30 hingga 60 sen seliter. (The Star, 18 Sept 2007: 1, Utusan Malaysia, 18 Okt 2007:8).
3. Tarif elektrik akan turut naik menurut kenaikan harga minyak dan gas dipasaran tempatan dan global. (Utusan Malaysia, 20 Okt 2007:1).
4. Tarif air juga dijangka naik sebanyak 37% (Utusan Malaysia, 10 Okt 2007:14).
5. Caj-caj bagi perubatan dan rawatan di hospital, terutama hospital swasta akan meningkat antara 10% -20% (New Straits Time, 29 Nov 2007: 48)
6. Tambang teksi pula akan turut naik, antara 100% hingga 600% sebagaimana dituntut (Harakah Daily, 4 Okt 2007:1).

Banyak lagi kenaikan yang tidak tersurat yang bakal memerangkap pengguna. Lepas saja pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam dulu, harga barang terus meningkat naik. Contohnya cuba lihat harga sebelum dan selepas Mei dan Jun 2007. Dari beberapa tinjauan dibuat antaranya tepung, naik dari RM1.65 satu kg kepada RM2.80. Bila harga tepung naik, segala makanan yang ada kaitan dengan tepung semua naik. Roti Gardenia naik dari RM1.90 sebungkus (400gm) kepada RM2.10. Kueh dari 3 biji seRM, naik ke 3 biji RM1.20, ataupun harga sama tetapi kueh itu dikecilkan.

Yang naik harga lagi antaranya, kopi segera, susu tepung, milo, sardin, sos cili, bawang, kacang, mee, kordial, susu UHT, margerin, kraker berkrim, krimer manis, biskut, beras wangi dan lain-lain. Kalau ke pasar basah pula barangan yang naik seperti daging lembu dan segala macam ikan-ikan.

“Bukan saja harga barang dan petrol naik, bahkan kadar jenayah pun terus meningkat.” Tambah kawannya lagi.

Fakta kegiatan jenayah dilapurkan makin naik:

Tahun 2000 - 21,604 kes.
Tahun 2001 - 20,390 kes.
Tahun 2002 - 20, 483 kes.
Tahun 2003 – 22,790 kes.
Tahun 2004 – 21,859 kes.
Tahun 2005 – 33,509 kes.
Tahun 2006 – 42,343 kes.
(Lihat‘Kempen 3’ terbitan Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat)

“Kadar rasuah dan projek membazir pun terus naik...”

“Boleh ke di tahan supaya tidak naik atau diturunkan kembali harga barang?”

“Memang boleh. Tapi kena turunkan dulu pemimpin-pemimpin rasuah, yang banyak buat projek membazir, pilih kroni dan tak tahu memerintah itu! Mudah saja. Turunkan pemimpin BN sebagai amaran kepada mereka. Paling sikit, kurangkan kemenangan 2/3 BN di parlimen atau tumbangkan beberapa negeri kepada pembangkang, dengan mengajak sanak saudara dan kawan-kawan mengundi BA, samada PAS, Keadilan atau DAP ”

Kesimpulannya, UNDILAH BA. Iaitu, PAS, Keadilan atau DAP!!

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 01-03-08. KL

Friday, February 29, 2008

Undi BN Kalau Gerai Anda Nak Kena Roboh..




Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

MALAM itu saya lalu depan simpang sebuah jalan di AU3/31, di situ di tanah kosong sebelumnya sudah ada markas UMNO/BN. PRU 11 lalu, tanah itu digunakan sebagai markas Parti Keadilan. Seseorang datang memberi pada saya dua buku kecil, sambil bermanis mulut menjemput ke majlisnya, “Kami cuma adakan majlis ceramah kelumpuk-kelumpuk kecil, datanglah kalau sudi!”

Saya faham, ceramah kelumpuk-kelumpuk kecil ialah ceramah kepada sasaran pengundi. Biasanya mereka yamg sudah dikenal pasti sebagai pengundi di situ yang dijemput. Ucapan kepada mereka adalah ucapan kepada sasaran yang tepat. Bukan macam ceramah umum, ianya macam meriam buluh. Bunyi tembak saja kuat, tetapi tak kena sasaran. Kerana orang yang hadir ceramah, rata-rata bukan orang kawasan situ, atau pengundi yang berdaftar di situ.

Dari sudut pengundian jangka pendek, ianya dianggap membazir sahaja, cuma untuk memberitahu bahawa pasukan kita ada di situ... boleh le. Dua buku kecil diberi kepada saya itu, terbitan Seksyen Makro dan Pengswastaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam. Satunya bertajuk ‘Perlaksanaan Agenda Pembangunan Negeri Selangor Darul Ehsan’ (Tiada tulis penerbit tetapi ada lambang kerajaan Selangor) dan ‘Dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor (DKNS)’. Tentu biayai cetaknya ditanggung oleh Kerajaan Negeri, tetapi digunakan untuk kepentingan kempen BN.

Dalam buku DKNS terdapat 32 dasar kerajaan Selangor. Dasar ke10 ialah Dasar Gerai Haram Sifar. Dalam dasar ini ada disebutkan antaranya ‘menempatkan semula gerai-gerai dan penjaja-penjaja makanan secara haram yang terdapat secara berselerak’ dan ‘menyusun program penempatan semula gerai-gerai tanpa lesen’. Terdapat 4 cara perlaksanaan, antaranya ‘menempatkan peniaga-peniaga tanpa lesen’, melesenkan gerai yang tidak terlibat dengan ‘kacau ganggu....’, ‘memindahkan gerai-gerai’, dan akhirnya ‘tindakan merobohkan gerai-gerai’.

Kesimpulannya, Dasar Gerai Sifar ini adalah dasar yang memberi kuasa penuh kepada pemimpin-pemimpin BN melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menindas habis-habisan peniaga-peniaga kecil terutamanya orang Melayu demi kepentingan politik dan perut mereka. Dengan itu berlakulah penindasan kepada peniaga-peniaga kecil seperti...

1. Peniaga pasar malam terpaksa membayar duit tapak, duit sampah (peniaga pasar malam sebut ‘duit kepala bakung’) dan lain-lain tiap hari, tidak kira samada berniaga hari itu untung atau rugi.
2. Lesen niaga pasar malam amat susah nak dapat. Ikut suka PBTlah bila dia nak bagi, peniaga cuma boleh minta saja.
3. Gerai-gerai pun ikut suka mereka, bila nak diroboh atau tidak. Kalau diroboh berbagai alasan diberi, orang itu komplen, orang ini komplen..
4. Yang jelas kalau di kawasan Sungai Besi, gerai-gerai peniaga Cina masa berniaga letak meja sampai tengah jalan pun boleh. Di kawasan Melayu, letak kaki meja kena tepi jalan sikit pun tak boleh, terus diangkut PBT atau MPAJA kalau di Ulu Klang..
5. Maka tinggallah gerai-gerai tomyan milik warga Thailand, dan gerai-gerai kedai runcit milik orang Aceh berselerak di KL dan Selangor. Anak-anak sendiri ditinggalkan, sedang monyet-monyet di hutan disusukan! Apa punya kerajaan macam ni??
6. Peniaga-peniaga kecil atau yang baru nak berniaga boleh mintalah apa-apa gerai yang dijanjikan, namun jawapannya tetap dalam perhatian. Perhati sampai mati...
7. Apalagi mohon pinjaman, bantuan modal dan lain-lain.
8. Mohon lesen perniagaan gerai, kereta surung dan lain-lain.
9. Semuanya tidak dijelaskan apa-apa kriteria dan syarat. Kalau kroni yang tak boleh pun jadi boleh.
10. Itulah antara kezaliman BN kepada peniaga-peniaga kecil.

Teringat saya semasa PRU 10, Mohamed Azmin Ali menang, ada seorang peniaga di gerai-gerai setinggan Jalan AU3/31 ini, depan markas setinggan UMNO/BN sekarang telah dituduh oleh seorang YB UMNO sebagai pengedar HARAKAH (bukan pengedar dadah), maka seluruh gerai-gerai deretan tersebut dalam kawasan MPAJ itu dirobohkan. Saya tidak tahu di mana dia sekarang, selepas diusir dari surau setinggan berhampiran yang didudukinya beberapa bulan (bersama seorang isteri dan anak-anak), kerana tiada sumber pendapatan dan rumah tempat tinggal.

Begitu juga tapak markas UMNO/BN ini juga dulunya bekas sebuah kedai jahit peniaga Melayu yang dirobohkan oleh MPAJ. Tetapi sekarang semua tapak gerai-gerai itu telah boleh dinaikkan gerai-gerai setinggan semula. Nampaknya tidak ada kriteria dan syarat-syarat tetap yang dipraktikkan MPAJ. Jelasnya mereka pun guna ISA atau Ikut Suka Aku yang diberi kuasa oleh BN untuk menzalimi peniaga-peniaga kecil Melayu. Jadi, Undi BN adalah undi memberi kuasa supaya gerai peniaga-peniaga kecil Melayu dirobohkan atau peniaga-peniaganya dizalimi.

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Bertemu lagi, Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 29-02-08. KL

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails