Sunday, April 06, 2008

Sejarah PAS 11: Muktamar ke 5 Yang Menarik..


Senikata Asal Lagu Rasmi PAS digubah oleh Allahyarham Abdullah Bukhari

Gambar atas: Abdullah Bukhari (bercemin mata) dan Dato` Mohd. Asri

Allahyarham Abdullah Bukhari adalah penggubah lagu PAS (mantan conductor orkestra Tala Wijaya) dan senikatanya pula disusun oleh Allahyarham Dato` Mohd.Asri bi Hj.Muda (mantan MB Kelantan) untuk dikumandangkan dalam Mesyuarat Agung PAS ke-5 di Kuala Lumpur. Senikata asalnya diubah sedikit mengikut perkembangan semasa, iaitu 'Selamatlah Persatuan Islam Melangkah' ditukarkan kepada 'Selamatlah Parti Islam Melangkah'


IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 11

BANYAK yang menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5 ini. Muktamar telah menerima sebuah lagu dari cawangan Kota Bharu, dijadikan lagu rasmi PAS. Lagi digubah oleh Abdullah Bukhari yang terkenal di Kota Bharu dan senikata disusun oleh Muhammad Asri. Muktamar telah menerima lagu tersebut. Senikatanya ialah…

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau kalah atau capai kemenangan.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau rebah atau tegak kejayaan.

Berjuanglah wahai ansharullah
Dengan semangat yang tak kenal kalah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan.

Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka
Beramallah wahai roh yang suci
Hingga nyata benarnya janji Robbi.

Ulangan:

Selamatlah Persatuan Islam melangkah
Membimbing umat ke medan siasah
Berpedomankan Qur’an dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan berbuah.

Inilah kali pertama PAS memiliki lagu rasmi… Tapi adalagi yang menarik dalam muktamar ini, iaitu majalah rasmi PAS pula. ‘Suara Islam’ yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan. Pengurus dan pengarangnya adalah saudara Muhammad Asri yang juga menjadi Pesuruhjaya PAS bagi Kelantan dan Terengganu sejak awal tahun 1955 lagi. Beliau menyertai PAS tahun 1953 atas jemputan Saudara Othman Abdullah. Beliau terus berkhidmat sebagai pembantu atau setiausaha kerja dan pegawai tetap di Pejabat Agung PAS.

Waktu itu Setiausaha Agung PAS ialah Encik Ahmad Awang, seorang Guru Besar sekolah Melayu yang masih dalam perkhidmatan kerajaan. Semasa Tuan Haji Ahmad Fuad (Yang Dipertua Agung PAS pertama) keluar PAS, Pejabat Agung PAS terpaksa dipindahkan dari menumpang di Madrasah Masriah Bukit Mertajam (Seberang Perai), kerana Pengetua dan Pengelolanya Tuan Haji Ahmad Fuad sendiri menghendaki begitu. Akhirnya terpaksa menumpang pula di madrasah yang dikuasai oleh Tuan Haji Ahmad Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad Maliki di Kepala Batas (Seberang Perai).

Penolong pengurus atau pengarang Suara Islam itu pula adalah Saudara Amaluddin Darus. Saudara Amaluddin, orang pertama yang membawa masuk PAS ke Kelantan itu baru ambil-alih jawatan ketua atau Yang Dipertua PAS cawangan Kota Bharu dari Encik Muhammad Daud Haji Saleh. Beliau yang dilahirkan di Kedah pada 24 Disember 1927 (sama dengan tahun kelahiran Ustaz Zulkifli Muhammad) juga menjadi Setiausaha Perhubungan PAS bagi Kelantan dan Terengganu.

Semua kerja-kerja yang dibuat oleh Muhammad Asri dan regu penerbitan majalah tersebut tidak pernah dibayar oleh PAS. Suara Islam isu pertama diterbitkan pada 17 Disember 1956. Antara kandungannya ialah sedutan ceramah Ustaz Zukifli Muhammad, Ahli Jawatankuasa Politik PAS waktu itu. Iaitu ceramah yang ditujukan khas kepada pegawai-pegawai dan jentera parti. Mari kita lihat antara kandungan dan pandangan Ustaz Zulkifli…

Mengenai tujuan dan cita-cita Ustaz Zulkifli mengatakan:

“Kita adalah umat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat hukum-hukum Allah itu dapat dilaksanakan di bumi Allah ini. Kalau dulu cita-cita Islam itu dapat dilaksanakan, maka tidak ada sebab mengapa kita ketinggalan. Maka dengan dorongan ini, dan dengan kepercayaan bahawa hanya dengan ajaran Islam, dengan dasar hidup Islam itu sahajalah kita boleh selamat, maka inilah sebabnya kita percaya kepada pergerakan kita, kepada persatuan kita sendiri.”

Mengenai kemerdekaan beliau mengatakan:

“Kita mahu merdeka sama seperti orang lain, kita mahu makmur sama seperti orang lain, kita mahu samarata seperti orang lain. Akan tetapi semuanya itu kemerdekaan kita, kemakmuran kita, dan samarata kita, semuanya kita mahu dilingkungi oleh hukum-hukum Islam, oleh kebijaksanaan yang dipesan oleh Allah SWT dan oleh Nabi Muhammad SAW”

Tugas menerang dan memberi kefahaman kepada rakyat, kata beliau:

“… kita merasa adalah penting bagi kita sendiri memperjuangkan, hingga fahamlah orang bahawa saloran hidup yang kita perjuangkan ini adalah pembawa bahagia bagi mereka. Perhatilah, bahawa kalau semuanya fikiran-fikiran yang benar ini menang, maka tentulah dunia ini aman, tentulah dunia ini dipenuhi oleh kebenaran dan keadilan. Tetapi yang kita lihat adalah sebaliknya.”

Mengenai perjuangan dan pertarungan melalui medan domokrasi, beliau begitu menekankan soal aktiviti, kegiatan dan susunan kerja:

“Demokrasi, kata pakar-pakar politik, adalah satu cara pemerintahan yang bukan pemerintahan orang ramai. Sebaliknya ialah pemerintahan mereka yang rajin dan giat dari orang ramai. Ya, kalau orang Islam dan umat Islam yang berjiwa Islam itu lebih ramai, tetapi tidak giat, tidak rajin, maka pastilah faham Islam itu akan tenggelam. Kerana sebenarnya siapa yang rajin, yang berkerja, dan yang bergiat, itulah yang mendapat tempat dalam masyarakatnya. Dalam perkara ini, susunan kegiatan itulah yang penting dan inilah pula yang penting kita perhatikan.”

Beliau yakin akan menang:

“Inilah pendirian kita. Kita yakin bahawa kita akan menang, bukan sahaja dalam susunan kerja kita, malah dalam ertikata membawa kemenangan sejati, dan kebahagiaan hidup kepada negeri ini.”

Tetapi beliau memberi amaran:

“…. Ingatlah bahawa tidaklah ada kebenaran yang menang dengan tidak berkerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia berkerja. Merdeka dan Allahu akbar.”

Lebih menarik lagi apabila Muktamar Agung PAS ke 5 ini mendapat liputan dari ‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957. Penulisnya adalah Amaluddin Darus, guna nama ‘Pemerhati’ di bawah jodol ‘Ole ole dari Kongres PAS’.

Begini liputannya:

‘Muktamar Agung PAS ke 5 telah berlangsung 3 hari berturut-turut sejak 23 hingga 25 Disember 1956 yang lalu. Sebagai seorang yang pernah mengikuti dan menghadiri majlis-majlis mesyuarat agung PAS masa lalu, nyata sekali PAS telah mendapat sambutan rakyat di seluruh tanah air. Terbukti dengan adanya wakil-wakil district atau jajahan dari tiap-tiap negeri Melayu, kecuali Melaka.

Apa yang menarik perhatian saya kali ini ialah adanya wakil-wakil badan politik lain turut hadir di dalam rapat umum yang diadakan pada hari pertama persidangan agung itu dibuka. Juga turut hadir dalam rapat umum itu, wakil-wakil dari Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII), iaitu saudara-saudara Anuar Akraman dan Abdul Majid Haryadi. Rapat umum dimulai dengan pembacaan Al-Qur’anul Karim oleh Tuan Haji Abdul Latif dari Kelantan untuk tabarruk.

Saudara Abdul Hajid Haryadi sebelum berpidato telah menyampaikan salam muhibbah dari Tuan Muhammad Nasir, Ketua Umum Masyumi untuk pejuang-pejuang Islam di Tanah Melayu ini. Pesanan Muhammad Nasir yang disampaikan jua oleh saudara wakil GPII itu ialah:

Jangan merasa sombong jikalau mendapat kemenangan dan jangan merasa berputus asa kalau mendapat kekalahan.

Pesanan ini, pesanan yang diminta sampaikan oleh seorang Bapa Perjuangan Islam Indonesia itu sangat besar kesannya mempengaruhi jiwa para perserta mesyuarat agung PAS seluruhnya. Dalam rapat umum PAS itu, turut berucap Tuan Dr Burhanuddin dan Yahaya Nasim wakil Partai Rakyat. Sesudah rapat umum, Kongres Pemuda PAS dijalankan. Pemilihan ketua-ketua dan anggota-anggota dewan pimpinan telah berlangsung dengan baik, yang hasilnya terpilih satu barisan atau jamaah pimpinan Dewan Pemuda PAS yang boleh dipertanggungjawabkan.

Mudah-mudahan, Dewan Pemuda PAS akan berkembang luas dalam tempoh yang sesingkat-singkatnya. Mesyuarat agung PAS dalam keseluruhannya, nampaknya lebih tenang dari masa-masa yang sudah. Para perwakilan dapat berkerjasama hingga perjalanan mesyuarat itu mendapat sepenuh-penuh kejayaan. Dalam memilih pegawai-pegawai dan Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Agung seperti biasa dilakukan secara sulit.

Mulanya ada 3 calon untuk dipilih menjadi Yang Dipertua Agung PAS, iaitu Zulkifli Muhammad, Haji Hasan Adli dan Dr Burhanuddin. Tetapi dengan terpilihnya Hasan Adli menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, maka beliau dengan sendirinya telah menjadi seorang dari Naib Yang Dipertua Agung PAS. Yang demikian hanya tinggal 2 calon sahaja yang akan dipilih oleh para perwakilan dengan tiada sebarang kempen.

Satu jamaah penyelia pilihanraya dilantik oleh jamaah mesyuarat sebelum kertas undi dibahagikan. Jamaah penyelia semuanya seramai 10 orang dan mereka lebih dahulu memeriksa kertas-kertas undi yang mempunyai tanda rasmi serta menetapkan peraturan mengundi. Undi kerana memilih Yang Dipertua Agung dijalankan. Sementara kertas-kertas sedang dihitung, seluruh mata dan telinga menuju kepada penyelia pilihan raya PAS, masing-masing hendak mengetahui keputusan undi itu.

Akhirnya kiraan undi menunjukkan 12 suara memilih Zulkifli Muhammad, 84 suara memilih Dr Burhanuddin. Dan undi rosak sebanyak 4 sahaja. Keputusan ini disambut dengan takbir dan teriakan merdeka oleh para perwakilan. Demikianlah terpilihnya Dr Burhanuddin Al-Helmy bukan dengan kemahuan beberapa orang PAS, tetapi nyata sekali pilihan itu oleh sebahagian besar dari orang-orang PAS.

Sesudah semua pegawai dan AJK Agung PAS yang baru; dipilih, rapat umum penutup diadakan pula. Di mana Tuan Dr Burhanuddin muncul ke hadapan bukan lagi sebagai bekas pimpinan, bukan lagi sebagai tokoh politik bersendirian, tetapi sebagai pemimpin parti politik yang tegas dalam cita-cita perjuangan terhadap kawan dan lawan. Ucapan beliau yang pertama setelah kembali memegang memegang parti politik memakan masa lebih dari 2 jam.

Sebagai tanda gembira dengan terpilihnya Dr Burhanudin, wakil PAS cawangan Bangsar Road, mengkalungkan bunga ke leher Dr, dan Dewan Pemuda PAS menghadiahkan sebuah Al-Qur’an bersama sebuah buku undang-undang dasar PAS dengan satu peringatan supaya sentiasa tunduk kepada ajaran Al-Qur’an. Yang mana itulah satu dasar dan pegangan PAS yang termaktub dalam undang-undang tubuh PAS.

Tuan Haji Ahmad Tuan Husin wakil PAS di Federal Council (wakil rakyat tunggal kawasan parlimen Kerian, Perak) memberi peringatan halus kepada Tuan Yang Dipertua baru. Demikian juga wakil Hilir Perak, Haji Ahmad Haji Ali telah membacakan satu ucapan lengkap, merupakan ucapan taat setia tetapi bersekali dengan amaran keras. Amaran terakhir diberi oleh saudara Uthman Abdullah bekas Ketua Pemuda PAS.

Keseluruhan dari peringatan dan amaran itu, ialah mengingatkan Dr Burhanuddin supaya memperjuangkan cita-cita Islam yang termaktub di dalam undang-undang dasar PAS. Demikian beberapa kejadian yang telah berlaku dalam majlis persidangan PAS baru-baru ini, yang diakhiri dengan bergambar ramai di halaman Sultan Sulaiman Kelab untuk terus menghidupkan kenangan kepada kejadian yang bakal menjadi sejarah di masa hadapan.

Peristiwa yang berlaku dalam mesyuarat agung PAS telah kita ketahui. Satu perkara lagi yang tak patut kita lupakan, ialah kejadian-kejadian yang berlaku di ‘Asrama Mujahidin’, demikian gelaran yang diberi oleh seorang kawan kepada Dewan Masyarakat Kampung Baru Kuala Lumpur, yang telah dipinjamkan kepada PAS untuk tempat penginapan para perwakilan dan pemerhati seluruhnya.

Di sana, pada malam sesudah mesyuarat diadakan majlis membaca Al-Qur’an, yang dibacakan oleh Tuan Haji Abdul Latif, dari Tumpat, Kelantan. Tiap-tiap kali diadakan majlis seumpama itu, derma kilat dijalankan sebagai derma kepada Tabung Kewangan Pejabat Agung PAS. Di antara derma-derma yang diterima selain daripada wang tunai, juga sebutir telur dan sebatang ballpen yang kemudiannya dilelong kepada ramai. Hasil dari ‘Lelong Merdeka’ ini, berjumlah hampir $50.

Derma kilat yang akhir sekali dijalankan ialah kerana menyediakan asas derma tabung pilihan raya. Ini juga mendapat sambutan yang memuaskan. Pada malam akhir sesudah persidanagan, pihak panitia sambutan menyediakan jamuan nasi minyak untuk seluruh para perwakilan. Dan besoknya, pada 26 Disember 1956, semua peserta mesyuarat agung PAS ke 5, mula beredar meninggalkan kota Kuala Lumpur.

Masing-masing kembali membawa oleh-oleh sambil bernyanyi mengingatkan lagu rasmi PAS yang telah dipelajari dari wakil Kota Bharu sepanjang malam perpisahan itu. Saya dan kawan-kawan seperjuangan kembali ke tempat masing-masing dengan kenamg-kenangan dan perasaan baru, dengan tekad baru untuk menghadapi perjuangan yang lebih hebat lagi di masa akan datang.’

Demikianlah liputan Muktamar Ke 5 dalam majalah PAS ‘Suara Islam’ bilangan ke 3. Majalah ini hanya dapat bertahan sehingga menjelang pilihan raya1959 sahaja. Lepas itu tiada kedengaran lagi. Itulah antara perkara-perkara menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5.


Rujukan:

1.‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957.

2.Amaluddin Darus. Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

Saturday, April 05, 2008

Sejarah PAS 10: Prof Dr Burhanuddin


IBNU HASYIM:Fokus Sejarah PAS Siri 10

ERA kebangkitan PAS peringkat kedua pun bermula. Ia bermula apabila PAS menemui seorang pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dalam politik tanahair. Dr Burhanuddin seorang doktor perubatan homeopathy dijemput mengambil alih kepimpinan dari Dr Abbas, juga seorang doktor perubatan allopathy.

Dr Abbas Alias, dengan rasa tawaddhuk dan rela hati menyerahkan amanat yang terpaksa dipikul dari pimpinan pertama dulu, untuk memimpin persatuan yang ia asaskan bersama rakan-rakannya seperti Mohd Asri Haji Muda, Haji Zabidi Ali dari Pulau Pinang dan lain-lain. Muktamar PAS ke 5 pada 23 hingga 25 Disember 1956 di Kuala Lumpur, telah memberi mandat kepada Dr Burhanuddin yang juga seorang professor untuk menerajui kebangkitan PAS seterusnya.

Burhanuddin bin Haji Muhammad Noor yang dilahirkan di Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak, pada 29 Ogos 1911. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behrang Ulu, di Bakap dan Kota Bharu. Waktu di Kota Bharu, beliau mula menulis dan menerbitkan ‘Berita Minggu’, iaitu akhbar mingguan berita di sekitar kampungnya. Pada tahun 1924, belajar agama di Sungai Jambu Sumatra, di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al-Mashor Al-Islamiah di Pulau Pinang.

Dalam tahun 1928, ia mengembara ke India, sambil mengikuti pergerakan Mahatma Ghandi, Mohd Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India. Ia juga menuntut di Aligarh Muslim University dan mendapat ijazah perubatan homeopathy di Ismaeliah Medical College New Delhi, sehingga digelar ‘anak Melayu pertama belajar homeopathy’. Akhirnya, beliau telah memperkenal dan menyebarkan ilmu perubatan tersebut ke seluruh tanah air hingga seperti yang ada sekarang.

Tahun 1935, ia kembali ke tanah air menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura dan aktif dalam pegerakan-pegerakan Islam di pulau tersebut. Dua tahun kemudian, menerbitkan majalah ‘Taman Bahagia’ tetapi satu jam sesudah isu pertama majalah itu diedarkan, iapun ditangkap dan ditahan oleh penjajah British. Kemudian dibebaskan dengan jaminan $1,000 (satu ribu ringgit Malaya). Dikatakan juga beliau ditangkap kerana beliau mengecam dasar Inggeris di Palestin dan membela hak-hak Arab Muslimin (Menunjukkan betapa kuatnya cita-cita kuasa-kuasa barat hendak meranapkan Islam dengan menubuhkan negara Israel (1948) bagai duri dalam daging di tengah-tengah jantung umat Arab).

Pada tahun 1939, Dr Burhanuddin diperkenalkan dengan Kesatuan Melayu Muda atau KMM, yang baru ditubuhkan kita-kira 2 tahun sebelumnya. Tetapi menjelang peperangan Dunia Kedua pada tahun 1940, ramai pemimpin KMM ditangkap termasuk Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Sutan Djenin dan lain-lain oleh British, yang kemudiannya dibebaskan apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Dr Burhanuddin tidak ditangkap mungkin kerana beliau belum begitu aktif dalam KMM.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau memegang jawatan Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu atau Advisor on Malay Custom and Culture, berpejabat di Markas Pentadbiran Jepun, di Taiping. Seperti juga pemimpin KMM yang lain, ia menggunakan jawatan yang diberi oleh Jepun untuk membebaskan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Beliau menganjurkan dua kongres Islam, melindungi dan membantu Maahad Al-Ihya Al-Syarif, pusat pendidikan Islam di Gunung Semanggul, Perak.

Pada bulan Julai 1945, Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin, Onan Siradj dan beberapa pemimpin KMM telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dengan sokongan pemerintah tentera Jepun untuk mengambi-alih pemerintahan Tanah Melayu selepas Jepun menarik diri. Dr Burhanuddin dan Ibrahim Yaakob bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik Indonesia iaitu Sukarno dan Mohd Hatta di lapangan terbang Taiping. Pertemuan sewaktu pemimpin-pemimpin tersebut dalam perjalanan pulang dari perjumpaan dengan pemerintah Jepun di Markas Jepun Asia Tenggara Saigon pada 12 Ogos 1945.

Pertemuan dan persetujuan tersebut berbunyi, ‘Tanah Melayu akan bersama-sama Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945’. Tetapi malangnya, 3 hari sebelum itu apabila pemerintah Jepun di Tokyo telah mengumumkan kekalahannya pada Kuasa-kuasa Berikat, Dr Burhanuddin tidak dapat berbuat apa-apa, kerana kumpulan-kumpulan penentang Jepun telah menguasai keadaan Tanah Melayu. Sedangkan Sukarno terus mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Selepas British kembali ke Malaya, Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam yang sedang kendalikan akhbar ‘Suara Rakyat’ telah menubuhkan PKMM atau Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Ipoh pada 17 Oktober 1945. Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai Yang Dipertua Agung dan Dr Burhanuddin sebagai Naibnya, walaupun beliau tidak hadir dalam perjumpaan itu. Tetapi Mokhtaruddin dikatakan ‘menghilang diri’ beberapa hari selepas dilantik sah dalam kongres ke I PKMM yang diadakan pada 30 November hingga 3 Disember tahun tersebut.

Maka dengan persetujuan pimpinan Dr Burhanuddin mengambil alih jawatan itu, dan tempatnya diganti oleh Ishak Haji Muhammad. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, PKMM bersama-sama badan-badan Melayu lain telah turut menganjurkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, kerana menentang rancangan Malayan Union tajaan British. Walaupun pada awalnya PKMM menyokong dasar ‘kesatuan’ Tanah Melayu itu, tetapi 2 bulan kemudian PKMM terpaksa keluar dari UMNO kerana menentang sikap tolak ansur pemimpin-pemimpin UMNO terhadap penjajah British.

Pada Februari 1947, PKMM bersama API, AWAS dan beberapa badan lain bergabung sebagai satu barisan politik Melayu, diberi nama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), untuk menentang UMNO dalam menentukan corak politik Malaya. PUTERA bergabung dengan All-Malaya Council for Join Action (AMCJA) dengan Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, untuk menguatkan lagi tentangan terhadap British dan UMNO.

Semasa menjadi ketua PKMM, beliau berjaya mengumpulkan kawan-kawannya di Maahad Al-Ihya’ Al-Syarif bagi menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama Se Malaya pada 22 hingga 24 Mac 1947, di mana menghasilkan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya atau PEPERMAS, dan Majlis Agama Tertinggi Se Malaya atau MATA. Tetapi apabila beliau setuju terima jawatan Penasihat Agung PKMM yang baru diwujudkan pada Disember 1947 di kongres Singapura, jawatannya diganti oleh Ishak Haji Muhammad.

Mungkin di situ ada sikit ‘main politik’. Mengikut Ahmad Boestamam ‘proses guling’ tersebut dibuat kerana beliau terlalu ‘lurus dan jujur hingga rugikan PKMM’. Mengikut John Funston, ‘adalah manifestasi rebut-kuasa antara sayap Islam di bawah Dr Burhanuddin dengan sayap kiri di bawah Boestamam dan Ishak.’ Hujung tahun 1947, Dr Buhanuddin mengetuai wakil Malaya ke Inter-Asean Relations Conference di New Delhi, India.

Namun di Malaya sendiri perubahan politik begitu pesat berkembang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan pada Februari 1948, tetapi telah ditentang oleh Parti Komunis Malaya atau PKM secara militan atau bersenjata, menyebabkan parti itu diharamkan. Atas alasan inilah, maka pada Jun tahun itu, pemerintah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat, haramkan PKMM dan menangkap pemimpin politik yang menentang mereka.

Antara yang ditangkap termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam yang baru ditubuh beberapa bulan, di mana PKMM dan Dr Burhanuddin terlibat dalam penubuhannya. Dalam keadaan begini beliau berpindah ke Singpura. Di Singapura dikatakan beliau terlibat dalam ‘kes Natrah’ dan ditangkap pada Disember 1950. Mengapa dengan kes Natrah?

Natrah (ada juga tulis Nadra), nama asalnya Maria Hertogh, adalah anak perempuan seorang soldadu Belanda yang ditahan tentera Jepun di Jawa Indonesia. Untuk selamatkannya, anak itu diberikan oleh ibunya kepada seorang wanita Melayu di Terengganu dari keluarga yang berada. Natrah dibesarkan di negeri Terengganu dalam masyarakat Melayu-Islam, dan akhirnya berkahwin dengan pemuda Islam bernama Mansur Adabi.

Tetapi pada tahun 1950, ibubapa Natrah yang berada di Belanda meminta mahkamah Singapura kembalikan balik Natrah kepada mereka. Walaupun proses penghakiman penjajah telah menyetujuinya, namun ia ditentang oleh Jawatankuasa Bertindak Natrah yang dianggotai oleh Dr Burhanuddin. Beliau dituduh ‘membangkitkan kemarahan orang ramai melalui tulisannya, berakibatkan rusuhan orang Islam menuntut hak secara Islam, yang akhirnya ramai terkorban di pulau tersebut.’ Setahun kemudiannya, beliau dibebaskan.

Pada April 1955 beliau dijemput ke Kongres Pemuda Melayu Se Malaya di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Datuk Onn tetapi dipulau oleh UMNO. Beliau dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang diberi mandat mewakili mereka ke Persidangan Afro-Asia di Bandung. Sekembalinya dari Bandung, beliau melibatkan diri dalam kempen pilihan raya Persekutuan 1955, atas nama Barisan Kebangsaan Melayu yang ditubuhkan oleh Kongres Pemuda Melayu Se Malaya tersebut.

Menurut Professor Means dalam ‘Malaysian Politics’ London, melalui syarahannya dalam pilihan raya, beliau megkritik UMNO dan Parti Negara pimpinan Datuk Onn, serta meragui terhadap pilihanraya itu sendiri. Professor Dr Burhanuddin juga adalah perancang penubuhan Parti Rakyat Malaya, dengan persetujuan Ahmad Boestamam yang baru bebas dari tahanan darurat pada Julai 1955. Beliau akan dilantik sebagai Ketua Umum parti itu yang dilancarkan pada November 1955 kelak.

Tetapi yang terjadi sebaliknya, beliau bersetuju menyertai PAS dan dilantik sebagai Yang Dipertua parti itu, di Muktamar Tahunan ke 5 pada 23 Disember 1956. Dengan itu berakhirlah ucapan yang mempersenda-sendakan PAS sebelumnya, bahawa ‘PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur!’ Kini kepalanya sudah bangun untuk mencabar lawan.

Tambahan I:

PAS & Tuntutan Awal Terhadap Perlembagaan Negara Selepas 1955.
-Laman Web PAS: Kemaskini Terakhir Sunday, 07 January 2007

PILIHANRAYA Persekutuan 1955 di adakan - kemenangan mutlak yang berpihak kepada parti Perikatan (51 daripada 52 kerusi), kerajaan British telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu dengan beberapa syarat yang telah dikenakan. Pada awal Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengetuai satu rombongan ke London bagi membincangkan mengenai masa depan negara khususnya pembentukan Suruhanjaya Bebas untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana parti-parti perkauman yang menganggotai Perikatan (UMNO-MCA-MIC) ketika itu masih mempunyai masalah dalam mencari penyelesaian dan kata sepakat tentang nama negara selepas merdeka, status kerakyatan, bahasa kebangsaan, agama rasmi serta kedudukan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Hal ini sangat rumit kerana adanya kepentingan yang berbeza antara satu sama lain. Cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas ini telah dicadangkan oleh Perikatan dan telah dipersetujui oleh British.
Bagaimanapun, cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas yang dianggotai oleh orang asing itu telah ditentang hebat dan dibantah keras oleh PAS. PAS berpendapat perlembagaan negara ini tidak seharusnya dibuat oleh orang yang lain daripada anggota atau rakyat negara ini sendiri. Adalah suatu perkara yang benar-benar ganjil jika sekiranya Persekutuan Tanah Melayu yang sedang di ambang pintu kemerdekaan ini telah membuat satu suruhanjaya yang meletakkan nasib dan masa depannya sesudah mencapai kemerdekaan kepada beberapa orang yang dijemput khas datang ke negara ini dan mengadakan pula penyiasatan-penyiasatan yang telah ditentukan jalannya untuk menggambarkan tuntutan-tuntutan dan hasrat rakyat negara ini bagi di masukkan di dalam perlembagaan tersebut.

Perbuatan ini selain daripada sesuatu yang ketara keganjilannya, adalah berlawanan dengan asas jatuh bangun dan asas kepercayaan sesuatu bangsa kepada dirinya sendiri.
Bagi PAS, jika sekiranya suruhanjaya tersebut perlu diadakan juga, ia hendaklah diwujudkan dari orang yang benar-benar tahu hal dan selok-belok negara ini. Pada peringkat awal, PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Raja-raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas tersebut. Malah salah seorang daripada Raja Melayu pernah melahirkan kebimbangan beliau terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas itu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Bantahan PAS itu bagaimanapun tidak berkesan. Pada awal Mei 1956 - pembentukan suruhanjaya telah dilakukan dan wakil-wakilnya telah dilantik oleh pihak British dan Perikatan.

Suruhanjaya ini telah dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dengan dianggotai oleh lima orang wakil, iaitu dari England, Pakistan, India, Kanada dan Australia. Empat daripada lima wakil tersebut bukan merupakan daripada kalangan orang Islam.
Sebagaimana disebutkan di awal tadi, perlantikan suruhanjaya ini adalah untuk membuat cadangan perlembagaan bagi mendapatkan pandangan-pandangan yang tidak berat sebelah.

Butir-butir lanjut rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:

1. Mewujudkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat.

2. Menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;
3. Perlantikan salah seorang sultan sebagai Raja Berperlembagaan Bergelar.
4. Suruhanjaya ini telah mengadakan perjumpaan atau sidang pertamanya pada akhir Jun 1956.

Walaupun tidak bersetuju dengan pembentukan suruhanjaya itu, namun sebagai tanda penghormatan PAS kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, maka PAS telah mengemukakan memorandumnya kepada suruhanjaya tersebut pada 14 Julai 1956. Dalam memorandum itu, PAS telah mengingatkan anggota-anggota suruhanjaya itu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu yang telah diakui oleh sejarah dan telah diiktiraf oleh undang-undang. Justeru, peruntukan dalam perlembagaan bagi mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu hendaklah dilihat dari konteks tersebut.

Pada pandangan PAS, sebarang usaha untuk menidakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang.
Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu kedudukan sahaja dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini dan hak kedaulatan mereka ke atas negeri ini adalah mutlak. Oleh kerana itu juga, PAS telah meminta Suruhanjaya Reid untuk menolak kaedah Jus Soli yang dituntut oleh bangsa asing sebagai prinsip dalam pemberian status kerakyatan. Tuntutan itu tegas PAS sekiranya diterima akan sehubung dengan perkara ini. PAS juga mencadangkan agar struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan hak kedaulatan Melayu.

Kebudayaan kebangsaan Persekutuan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu.
Berkaitan dengan itu juga, Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan. Bahasa Inggeris hanya akan menjadi bahasa kedua sahaja dan itu pun untuk tempoh jangka masa lima tahun sahaja. PAS juga meminta agar Bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan pentadbiran. Penggunaan Bahasa Inggeris hanya sekadar yang diperlukan sahaja dan ia mestilah dipastikan tidak menjejaskan perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan. Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangan, PAS dengan tegas mencadangkan agar agama Islam dijadikan agama rasmi negara. Ini adalah kerana PAS yakin dan percaya bahawa ajaran Islam sememangnya berkemampuan untuk memandu kemajuan negara dari segi politik.

Dari segi sistem pemerintahan, PAS bersetuju dengan bentuk sistem Persekutuan yang sedia ada.
Bagaimanapun, PAS menekankan bahawa sistem itu hendaklah tertakluk kepada kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Yang Di Pertuan Besar. Yang Di Pertuan Besar akan dianggap sebagai Raja Berperlembagaan dan Pemerintah Tertinggi bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan agar prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Undang-Undang Kebangsaan British 1948 hendaklah dikekalkan dengan beberapa pindaan dibuat, iaitu:


1. Jangka masa bermastautin yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.

2. Penggunaan prinsip Jus Soli untuk bangsa asing.

3. Hanya Bahasa Melayu sahaja yang digunakan untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan hak kerakyatan.


Selain itu, PAS juga telah meminta supaya dimasukkan dalam perlembagaan bahawa sesiapa yang telah mencapai kelayakan untuk memohon status kerakyatan di negara ini hendaklah membuat keputusan muktamad sama ada mereka berhasrat untuk menjadi rakyat negara ini ataupun tidak.
PAS menganggap pengistiharan ini adalah penting bagi keamanan negara. Ini adalah kerana sekiranya seseorang itu enggan membuat demikian ia akan dianggap sebagai bangsa asing. Disamping itu juga, sekiranya seseorang itu tidak mengemukakan permohonannya dalam tempoh jangka masa tiga tahun selepas kelayakan, ia tidak lagi layak untuk mengemukakan permohonan. PAS juga menuntut agar satu rupa bangsa sahaja diwujudkan di Tanah Melayu, iaitu rupa bangsa Melayu.

Dari segi hak keistimewaan orang-orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang-orang Melayu. Justeru, hak keistimewaan sebagai tuan rumah hendaklah dihormati dan dipertahankan sampai bila-bila masa.
Bagaimanapun, PAS telah memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati seperti yang telah dimaktubkan. PAS juga akan menentang sebarang cubaan oleh kaum asing untuk merampas hak orang-orang Melayu kerana ia bertentangan dengan hak kedaulatan orang-orang Melayu di negara ini. PAS juga menegaskan bahawa sebarang pindaan berhubung dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu, Bahasa Kebangsaan dan Agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-Raja Melayu.

Dapatlah dikatakan di sini bahawa kesemua pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menerima baik saranan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh PAS itu, khususnya mengenai hak ketuanan Melayu dan segala bentuk keistimewaan yang berkaitan dengannya seperti isu bahasa dan agama yang harus dipertahankan dalam Perlembagaan baru itu.

Sejarah PAS 9: P'raya Umum Pertama.

Gambar: mengundi dalam p'raya 1955


IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 9

JAKARTA, menurut Berita APB no 94/th ke 8, pada 22 April 1953, di bawah tajuk ‘Alim Ulama Malaya Dan Soal Pemilihan Umum di Indonesia’. Berbunyi:

“Seluruh alim ulama Malaya dalam satu sidangnya yang diadakan di Selangor dan dikunjungi oleh para alim ulama Malaya dari berbagai tempat telah memutuskan, bahawa penyertaan umat Islam Indonesia di dalam pilihan raya umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya, dan adalah haram jika umat Islam Indonesia tidak ikutserta dalam pilihan raya umum nanti.”

Lebih jauh diterangkan bahawa keputusan alim ulama Malaya itu telah diperkuatkan pula oleh Majlis Syar’iyah atau Majlis Agama Islam di berbagai tempat di Malaya yang kedudukannya persis Mahkamah Islam Tinggi di Indonesia.

Begitu juga fatwa yang diputuskan oleh Muktamar Alim Ulama dan Muballigh Islam Se Indonesia pada 11-15 April 1953 di Medan, dan Keputusan Majlis Syura Pusat MASYUMI, melalui ketuanya K.H.A.Rahman Shihab dan sekretarisnya K.H.M.Saleh Saudi pada 24 Februari 1953 di Jakarta. MASYUMI ialah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam seluruh Indonesia. Untuk detail lanjut tentang fatwa dan lain-lain sila lihat buku ‘Personaliti Muslim’ GG Edar KL (1991).

Sebagai sebuah parti politik yang jelas bercita-cita untuk menegakkan negara Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan rakyatnya, PAS menggunakan landasan pilihan raya sebagai salah satu cara untuk mencapai cita-cita tersebut.

PAS menyertainya, berdasarkan kaedah fiqh yang mengatakan:

“Apabila bertemu dua mudharat, maka hendaklah dipilih yang lebih ringan.”

Tanpa menyertai pilihan raya umat Islam akan lebih mudah dikuasai oleh musuh-musuh Islam dan kuncu-kuncunya, yakni ditimpa oleh mudarat yang lebih besar dan berat. Oleh itu PAS akan tetap menyertai pilihan raya samada menang atau kalah dan belum bercadang akan memboikotnya.

Ada juga yang mengatakan tujuan PAS menyertai pilihan raya persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955, dengan harapan mempercepatkan langkah-langkah kemerdekaan Tanah Melayu sebagaimana yang diperjuangkan oleh UMNO pada masa itu. Hal ini juga berlaku hasil usaha PAS bersama National Convention pada 1954, maka British telah bersetuju supaya pilihan raya diadakan pada 27 Julai 1955 iaitu satu tarikh di antara 1954 yang dicadangkan oleh National Convention dan 1956 cadangan National Conference.

PAS pada 23 Januari 1955 telah membentuk Jawatankuasa Khas Pilihanraya dianggotai Dr Haji Abbas (Pengerusi), Abdul Hamid Sharif (Setiausaha), Cikgu Ahmad Awang, Abdullah Akin, Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman Yunus, Ustaz Abdul Wahab Nor, Ustaz Hassan Adli dan Haji Mansor JP (ahli-ahli) untuk mengendalikan gerak kerja PAS dalam pilihan raya tersebut.

PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Iaitu satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Dua di Selangor, tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South atau Seberang Perai Selatan), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dinding), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan).

Tetapi hasilnya, PAS cuma dapat satu kerusi parlimen sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. (Juga satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.)

Selebihnya di kerusi parlimen, dimenangi oleh Parti Perikatan melalui 34 calon Melayu UMNO, 15 calon Cina MCA dan 2 calon keturunan India MIC (Perikatan adalah gabungan dari 3 parti-parti tersebut). PAS berjaya memperolehi 3.9% undi parlimen dari jumlah 84.46% pengundi yang keluar mengundi. Maka tinggallah Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, sebagai satu-satunya wakil pembangkang tunggal di parlimen, atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan.

Beberapa pandangan sebab-sebab kekalahan PAS dalam pilihan raya itu telah dikemukakan.

Menurut Ustaz Salehuddin Abdullah:

“Adalah disebabkan oleh ketidak upayaannya menembusi kubu UMNO yang sudah begitu kuat, lebih-lebih lagi rakyat pada masa itu sedang mabuk dengan angin kemerdekaan yang secara kebetulan bersesuain dengan isu yang dibawa oleh UMNO.”

Clive S Kessler pula berpendapat:

“Kekurangan organisasi pembangunan yang sampai ke kawasan pendalaman di mana kebanyakan daripada pengundi tinggal. Lagipun, sebagai sebuah parti politik yang baru muncul, PAS belum lagi berkemampuan meluas dan belum mempunyai rancangan dan organisasi yang teratur.”

Ustaz Kheider Khatib pula berpandangan:

“Kekalahannya adalah akibat daripada masalah kewangan.”

Di Kelantan PAS cuba rebut 3 kerusi parlimen atau Dewan Rakyat. Semuanya kalah belaka. Dua darinya hilang deposit, kecuali di Pasir Mas yang calonnya Haji Mokhtar.

Ustaz Amaluddin Darus mengulas:

Dua perkara besar telah dijadikan isu oleh UMNO untuk mengalahkan PAS.
Pertama: ‘Kita pun mahu Islam, tapi merdeka dulu!’ Kedua: ‘Masalah orang Cina yang berkongsi menyokong UMNO, itu adalah syarat Inggeris untuk memberi kemerdekaan pada Tanah Melayu. Kerana itu orang-orang Cina menolong kita, dan apabila kita dapat merdeka, orang-orang Cina kita campakkan seorang demi seorang ke laut’.

Ertinya, UMNO yang berkongsi kuasa dengan parti MCA dan MIC waktu itu adalah kerana terpaksa, sebab Inggeris takkan beri merdeka kalau hanya kepada bangsa Melayu atau yang beragama Islam saja. Inggeris gunakan strategi ‘pecah-pecah perintah’ dengan meniup api perkauman melalui UMNO dengan mudah, apabila mereka berjaya wujudkan ‘kuasa politik’ kepada bangsa-bangsa pendatang yang tak sepatutnya ada kuasa pada waktu itu.

Api perkauman ciptaan penjajah itulah yang ditiup oleh talibarut-talibarutnya, dari dulu sejak pilihan raya umum pertama hingga zaman kemuncaknya berlaku Peristiwa 13 Mei, dan sampai sekarang… Di Selangor PAS cuba merebut 2 kerusi parlimen tetapi gagal juga. Di kerusi Selangor Tengah terjadi pertandingan 3 penjuru. Iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad dari PAS, Hasan Cek Lenggeng dari Parti Negara dan Lee Eng The dari Perikatan. Calon PAS dikatakan berpotensi baik.

Akhbar tempatan ‘Majlis’ 17 Jun 1955, sepuluh hari sebelum mengundi menyebutkan:

“Dengan kemunculan Zulkifli Muhammad seorang muda yang bijak bercakap, dan besar pengaruhnya dalam agama, dan memandang bahawa semua orang-orang Melayu beragama Islam sedang ia masuk di dalam soal itu, kemungkinan pihak Perikatan menag di kawasan itu adalah tipis.”

Tetapi ternyata keputusannya cuma dapat meraih undi sebanyak 1,311 sahaja, berbanding calon Perikatan sebanyak 5,652 dan calun Parti Negara cuma dapat 839 undi sahaja. Ramai orang Melayu Islam mengundi parti Perikatan, di mana calonnya adalah berbangsa Cina dari MCA. Begitu juga di Pulau Pinang, 4 kerusi dipertandingkan iaitu di George Town, Pulau Pinang, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan dalam pilihan raya Persekutuan itu. PAS cuma bertanding satu kerusi sahaja. Itupun, satu lawan satu di kawasan yang jumlah pengundi Melayu ramai.

Dari jumlah pengundi 23,238, pengundi Melayu berjumlah 15,576, Cina 5,027, India 2, 585 dan lain-lain bangsa berjumlah 50 orang. Jumlah pengundi bukan Melayu tidak sampai ½ dari pengundi Melayu. Walaupun begitu calon PAS Haji Zabidi bin Haji Ali kalah di tangan parti Perikatan melalui calon MCAnya berbangsa Cina, Tay Hooi Soo dengan kelebihan undi 12,172, di mana PAS peroleh 3,525 berbanding Perikatan beroleh 15,697. (Sila lihat akhbar Warta Negara 12.6.1055)

Mengapa jadi begitu? Mengikut keterangan Haji Zabidi sendiri, memang awalnya beliau yakin menang, memandangkan pengundinya ramai Melayu. Tapi, last minit baru dia nampak kemenangan di pihak lawan. Antara sebab-sebabnya menurut beliau…

‘…pihak Perikatan sendiri yang berjaya mengadakan satu jentera pilihan raya yang lebih berkesan. Ranting-ranting UMNO boleh dikatakan telah ditubuhkan dan bergerak di kawasan kediaman Melayu. Sumber kewangan Perikatan dan UMNO sendiri lebih kukuh berbanding dengan PAS. PAS pula tidak mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan memandangkan kesulitan kewangan yang dihadapi olehnya.

Ini disebabkan parti PAS baharu sahaja ditubuhkan. Dalam hal ini PAS kekurangan tenaga kerja dan kemampuan untuk mempercekapkan organisasinya. Di samping itu ahli-ahli PAS tidak mahu diri mereka dikenali sebagai ahli PAS kerana pengaruh UMNO adalah kuat dan mungkin mereka dipulaukan sekiranya diketahui mereka ahli PAS.’

Keterangan oleh Allahyarham Haji Zabidi sendiri dalam temutanya di rumahnya pada 25-11-1976. (Sila lihat ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’. Oleh Md Salleh bin Md Gaus. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984).

Di Pulau Pinang juga, timbul isu menarik, khususnya di Seberang Perai, termasuk tempat PAS bertanding (Seberang Perai Selatan), mengenai fatwa dikeluarkan oleh beberapa pemimpin agama. Fatwa yang dikeluarkan bersama oleh Haji Abdullah Fahim iaitu Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Mohd Salleh Masri, Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai dan Abdul Halim Al-Hadi, Guru Besar Daerattul Maarif Al Wattaniah, Kepala Batas Seberang Perai (Warta Negara 27.7.1955).

Mereka dikatakan disuruh oleh golongan tertentu dengan tujuan menyokongnya, bagi menguatkan perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan (Utusan Melayu 25.7.1955 & Warta Negara 26.7.1955). Warta Negara 26.7.1955 menerbitkan sepenuhnya, antaranya menyebutkan:

‘…tiap-tiap pengundi yang beragama Islam lelaki dan perempuan yang mempunyai hak undi menurut undang-undang Pilihan Raya Persekutuan yang telah disahkan, wajib menjalankan hak undinya dengan turun ke tempat mengundi dan membuang undinya pada hari dan waktu yang telah ditetapkan, wajib hanya memilih calon yang terdiri dari orang Islam sahaja, sesiapa juga di antara orang Islam yang memberi hak undinya kepada orang yang bukan Islam adalah dianggap bahawa orang itu telah melakukan satu perkara yang berlawanan dengan kehendak ayat-ayat Allah…’

(Saya petik fatwa ini dari buku ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’ seperti yang disebutkan. Di nota kaki fatwa ini dituliskan,‘Mengenai Fatwa Pilihanraya selanjutnya, lihat lampiran L.’ Tetapi bila saya cari di lampiran L, saya nak lihat ayat-ayat Al-Qur’an selanjutnya, tak ada. Samada kesalahan itu disengajakan atau tidak, wallahu ‘aklam.)

Maka meloncatlah kata-kata setuju dari Ustaz Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua PAS yang menyebutkan, ‘…bahawa fatwa itu dikeluarkan oleh orang-orang yang tidak menyebelahi mana-mana parti… (Lihat Warta Negara 26.7.1955).

Memang betul pun. Tetapi jelas fatwa tersebut tidak menguntungkan UMNO yang meletakkan calon MCA (bangsa Cina) di kawasan majoriti Melayu (pengundi bukan Melayu tak sampai 50% dari pengundi Melayu) untuk menentang calon Islam dari PAS dalam PRU I (1955) tersebut. Maka pemimpin-pemimpin UMNO Seberang Perai terpaksa cuba meyakinkan pengundi-pengundi Melayu-Islam bahawa fatwa tersebut salah. Mereka meletakkan tanggung jawab itu pada pemimpin-pemimpin PAS, yang mereka sifatkan sebagai penipu, pencuri dan buat dakyah palsu untuk kelirukan pengundi-pengundi UMNO di kampong-kampung (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

Mereka menuduh PAS sebagai dalangnya. Mengapa? Kerana ada yang lebih menarik lagi… Lepas itu keluar pula fatwa penafian, juga dari Abdullah Fahim sendiri. Berbunyi:

‘…adalah memilih calon yang terdiri dari orang kafir yang terikat dengan UMNO itu tidaklah menjadi haram, bahkan itulah jalan yang dikehendaki masa dan siasah kerana mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.’ (Warta Negara 25.7.1955)

Lagi, lebih menarik bila dinyatakan sekali bagaimana beliau sampai (boleh tersilap) mengeluarkan fatwa asal itu. Katanya…

‘Surat itu (fatwa asal yang ditandatangani oleh 3 tokoh agama), dibacakan kepada saya kerana katanya hendak menyokong dan menguatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dan sebab itulah mereka datang meminta sokongan saya. Oleh kerana saya percaya di atas bacaannya (seolah-olah beliau tidak membacanya, main percaya saja), maka saya pun menurun tandatangan.’ (Lihat Utusan Melayu 25.7.1955).

Penafian itu tidak disetujui oleh 2 lagi penandatangan fatwa asal iaitu Mohd Salleh Masri dan Abdul Halim Al-Hadi. Mereka menekankan, di mana ayat-ayat dalam fatwa itu cukup terang dan jelas tiada berhajat kepada takwil lagi. (Warta Negara 25.7.1955). Mereka mensifatkan penafian itu terpaksa oleh ‘sesuatu sebab tertentu’. Ada yang menyebutkan penafian itu dibuat oleh orang lain bukan dari Abdullah Fahim, orang yang mahu menjaga kepentingan UMNO.

Menurut keterangan Sheikh Ali Baldram, ada pendapat yang mengatakan, surat penafian itu dibuat oleh Ahmad bin Haji Abdullah, iaitu anak Abdullah Fahim sendiri, atas nama ayahnya. Tujuannya ialah untuk meletakkan tanggungjawab itu ke atas PAS dengan menjaga politik UMNO sendiri.

Kesimpulan mengenai isu tersebut…

Pertama: Kesan dari penafian itu, boleh membantu memulihkan pengaruh UMNO, dan cuba meletakkan keburukannya kepada PAS. Kerana dikatakan Abdullah Fahim sendiri mendakwa orang yang datang menemuinya itu adalah bukan orang UMNO.

Kedua: Melihat kepada surat penafian itu tanpa merojok kepada mana-mana ayat Qu’ran walaupun beliau seorang Mufti yang berwibawa, maka surat itu dibuat bukan dari jabatan atau jawatannya sebagai Mufti, ataupun dibuat secara tergesa-gesa atau seperti yang disebutkan, ‘terpaksa oleh sesuatu sebab tertentu’.

Ketiga: Pada saya, biasa la tu… Memang dalam negara sekular di bawah penjajah, kuasa politik lebih berkuasa dari kuasa agama. Kerana UMNO atau Perikatan adalah parti ‘anak didik’ penjajah, maka penjajah pasti cuba menentukan kemenangannya dengan memperalatkan jawatan atau jabatan agama. Bahkan pemimpin-pemimpin warisan penjajah yang memerintah negara ini pun, otaknya masih berselepet dan berselaput macam penjajah… kadang-kadang berlagak lebih dari tuan penjajahnya itu!

Berbalik kepada kemenangan calon tunggal PAS satu di parlimen dan satu di negeri dalam kawasan Kerian Perak. Bagaimana boleh menang, sedangkan waktu itu jumlah ahli PAS tak lebih dari 100 ahli sahaja? Calon Persekutuan (parlimen) PAS yang menang Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, waktu itu memegang jawatan Bendahari Agung PAS, datang dari Kampung Pokok Sena Kepala Batas, Seberang Perai. Beliau menjadi Tok Guru pondok di kampong tersebut.

Menurut Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, seorang bekas pemimpin Hizbul Muslimin (yang diharamkan pada Ogos 1948) dan petugas di pejabat Agung PAS hingga ke akhir hayat, tidak ada apa-apa rahsia kemenangan YB tersebut kecuali beberapa sebab berikut:

Pertama: Kerana pengundi bangsa asing amat kecil jumlahnya dari pengundi Melayu Islam berbanding di tahun 60an hingga sekarang.

Kedua: Perasaan mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam masih bersih, tidak dijejaskan oleh sebarang kepura-puraan seperti yang disarankan kepada umum sekarang.

Ketiga: Keadaan dan sikap beliau yang begitu sederhana dan tawadhuk. Yang menarik, dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen pilihan raya, kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihan raya. Iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam selaras dengan kehendak rakyat waktu itu, menyebabkan beliau lebih dihormati ramai.

Hal ini berbeda dengan calon Perikatan Tuan Haji Sulaiman Palestin, juga datang dari Seberang Perai tinggal di daerah Bukit Mertajam, dikatakan ‘bersikap bongkak’, ‘bermulut bacul’ dan suka merendah-rendahkan calon PAS. Pernah dikatakan calon PAS itu ‘buta bahasa Inggeris’ sedangkan di Dewan Rakyat hanya guna bahasa Inggeris. Tambahan pula, Tuan Haji Ahmad adalah bekas guru kepada Tuan Haji Sulaiman, menyebabkan ramai pengundi-pengundi bersimpati termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.

Keempat: Dikatakan UMNO pada masa itu, ahli-ahlinya masih belum berani mengugut, belum ‘pandai menipu’ dan belum ada projek-projek yang hendak disogokkan kepada rakyat, samada bersifat keduniaan atau keagamaan.

Kelima: Ialah kerana Tuan Guru tersebut berketurunan Banjar, sesuai dengan jumlah pengundi terbesar di situ adalah suku-kaum Banjar di samping suku-kaum Melayu dan Jawa. Apalagi bila orang Banjar lebih cenderung kepada perjuangan Islam.

Perjuangan Tuan Guru Haji Ahmad adalah perjuangan PAS, kerana kasihnya pengundi-pengundi Kerian kepada beliau menyebabkan mereka juga sokong PAS. Mungkin itu juga sebabnya mereka sokong calon yang dipilih oleh PAS Encik Ahmad Kamal (atau Mohd Kamal Ahmad) di dewan negeri, walaupun pengundi-pengundi itu masih belum jadi ahli PAS. Encik Ahmad Kamal juga menjadi YB tunggal di Dewan Undangan Negeri Perak, antara satu-satunya negeri yang dapat kerusi dalam PRU pertama 1955 di Malaya.

Rujukan:

1.Akhbar ‘Majlis’ 17 Jun 1955.

2.Akhbar Utusan Melayu 25.7.1955.

3.Warta Negara 26.7.1955.

4. Md Salleh bin Md Gaus. ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984).

5. Risalah cenderamata sempena Muktamar Agung PAS ke 38.10-12 April 1987

6. Faridah binti Ali, Sejarah Awal Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di Kelantan 1953-1959, Latihan Ilmiah Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979.)

7. Warta Negara 16.7.1955

Tambahan I:


Manifesto Persatuan Islam Se-Malaya

Siasah (Politik).

1. Menyemak dan menyusun semula perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan hasrat rakyat.
2. Berusaha supaya sekalian ahli-ahli Majlis Mesyuarat, samada Majlis Mesyuarat Persekutuan, Negeri, Jajahan Selat dan Bandaran hendaklah semua sekali dipilih oleh rakyat.
3. Mengakui kedaulatan Duli-duli Yang Maha Mulia sebagai Raja-raja yang berpelembagaan.
4. Berusaha menghapuskan dasar pintu terbuka, yakni menahan kemasukan orang dagang ke Tanah Melayu yang merbahayakan kedudukan anak negeri.
5. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia.
6. Berusaha dengan sungguh-sungguh supaya bahasa Melayu diamalkan benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan.
7. Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan sahaja.
8. Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi menjapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin.
9. Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan-peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksananya cita-cita Islam.

Ikhtisad (Ekonomi).

1. Berikhtiar dengan bersungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk kemajukan pertanian, perusahaan, perniagaan dan pelayaran.
2. Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli).
3. Berikhtiar supaya negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya.
4. Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas membantu perkembangan ekonomi orang-orang Melayu.
5. Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan.
6. Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan negara dengan seberapa kecil yang boleh, dengan memotong segala perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.
7. Berikhtiar mengadakan peraturan-peraturan untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, buruh, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.

Ketenteraan.

1. Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja untuk menjamin keselamatan negara.
2. Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan tempatnya diganti dengan askar-askar kebangsaan sahaja.
3. Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya darurat dapat ditamatkan dan undang-undang darurat dimansuhkan.
4. Berusaha supaya diadakan perkhidmatan negara (Nasional Servise) untuk menjamin keselamatan negara.
5. Menggalakkan supaya rakyat suka mengambil bahagian dalam pertahanan negerinya (civil defence).

Pelajaran dan Pendidikan.

1. Mengambil langkah supaya tiap-tiap kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuai dengan kemajuan.
2. Pelajaran Agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak yang beragama Islam.
3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan seberapa segera terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.
4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah dan pelajarannya sesuai dengan dasar pelajaran.

(Sumber: Faridah binti Ali, Sejarah Awal Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di Kelantan 1953-1959, Latihan Ilmiah Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979.)

Tambahan II:
Manifesto Parti Perikatan: UMNO-MCA-MIC

1. Pentadbiran.

Berusaha mengisi sebahagian besar jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran dengan anak negeri ini dalam masa tempoh perkhidmatan yang pertama. Tidak membenarkan lagi pengambilan pegawai-pegawai berdagang dengan tidak setahu dan seizin Majlis Mesyuarat Kerja Federal. Memberi kemudahan kepada pegawai-pegawai anak negeri berlatih untuk dinaikkan ke pangkat-pangkat yang lebih tinggi. Memberi lebih banyak scholarship-scholarship lagi kepada pegawai-pegawai anak negeri dan kepada penuntut-penuntut yang baru lepas sekolah, dan melindungi hak-hak pegawai yang telah bersara.

2. Tanam-tanaman.

Menanam bahan-bahan makanan cukup untuk keperluan penduduk-penduduk negeri ini. Memperbaiki cara jual beli, jalanraya-jalanraya dan pengangkutan untuk kepentingan petani-petani. Membanyakkan jenis tanaman-tanaman, istimewa mengkaji bagaimana tembakau dan tebu boleh ditanam dengan cara besar-besaran. Memberi pinjaman wang kepada pekebun-pekebun kecil bagi menggalakkan mereka menanam koko, kopi, teh, kelapa dan kelapa sawit. Memberi bantuan kepada petani-petani seluruhnya menerusi bank tanah dan lain-lain alat pekerjaan. Menjamin bank petani-petani itu atas tanahnya dengan mengubah cara memberi tanah-tanah kepada pekebun-pekebun kecil untuk menanam pokok-pokok getah baharu.

Menjamin pekebun-pekebun sayur hak dan tanahnya dengan mengubah cara memberi tanah kepada mereka dan cara mengeluarkan lesen sementara kepada cara geran pajak. Memperbaiki perusahaan kelapa dengan memberi pekebun-pekebun kecil kelapa jenis yang lebih baik dan rancangan taliair yang lebih memuaskan hati. Meneruskan dasar mencegah tanah dari lari dan menambahkan kesuburan tanah seperti memulihkan semula kawasan-kawasan kebun-kebun kelapa yang ditinggalkan oleh tuan-tuannya, dan memperhebatkan penyelidikan tentang tanam-tanaman, dan mendesak kerajaan-kerajaan negeri melaksanakan hasil-hasil penyelidikan itu, istimewa untuk faedah-faedah pekebun kecil.

3. Kewangan dan Ekonomi.

Berusaha supaya kewangan negeri berasaskan atas dasar ekonomi yang tegap dan anggaran belanjawan yang berimbangan. Mengurangkan perbelanjaan dan menambahkan khazanah negeri. Mengenakan cukai yang adil dan samarata pembahagiannya. Memeriksa semula bayaran-bayaran cukai atas barang-barang masuk dan keluar. Menarik modal luar negeri masuk ke dalam negeri ini. Mendapatkan pinjaman wang dari rakyat negeri ini untuk meluaskan rancangan-rancangan kebajikan am.

Mendirikan sebuah bank pusat. Mendirikan sebuah bank tanah. Membanyakkan jenis-jenis tanaman-tanaman dengan bantuan bank tanah. Menggalakkan pekebun-pekebun getah menanam semula dan menanam baharu kebun-kebun getah mereka dengan benih yang mengeluarkan hasil yang banyak. Mengadakan satu dasar yang sama dalam semua negeri-negeri dalam Persekutuan berkenaan cara menguntukkan tanah-tanah bagi dilombong, menggalakkan penanaman modal dan mencari tanah-tanah bijih untuk dilombong dan memperbaiki cara-cara melombong. Menambah kawasan tanah-tanah sawah yang cukup rancangan taliairnya dan bajanya serta menjamin penanam-penanam padi pendapatan yang adil atas jerih payahnya.

Meminda undang-undang cukai pendapatan bagi menggalakkan perusahaan-perusahaan baru ditubuhkan. Berikhtiar memberi kuasa elektrik yang cukup bagi kegunaan perusahaan-perusahaan dan petani-petani seluruhnya. Mengadakan pengangkutan jalan-jalan raya, keretapi dan udara yang murah, cekap dan tahan. Berikhtiar memberi kerja-kerja kepada buruh seluruhnya, memberi kemudahan-kemudahan kepada buruh berlatih bagi menyesuaikan diri mereka dengan kerja yang mereka buat. Menukar kerja-kerja buruh kepada kerja-kerja yang lain pada waktu meleset untuk membantu penderitaan yang mereka alami dan… Mengambil langkah bagi membantu orang-orang Melayu memperbaik kedudukannya dalam lapangan ekonomi.

4. Pelajaran.

Memberi perhatian yang istimewa kepada soal-soal pelajaran. Mengubah corak pelajaran dengan memberikan corak Malaya. Menambah bilangan orang yang tahu membaca dan menulis. Menambah kemudahan-kemudahan pelajaran termasuk mendirikan bangunan-bangunan sekolah yang murah harganya dan memberi pelajaran pada sebelah pagi dan petang. Menambah bilangan sekolah-sekolah menengah moden dan sekolah-sekolah latihan. Memberi bantuan wang kepada sekolah-sekolah agama Islam. Meluaskan perkembangan sekolah-sekolah anak negeri. Menghormati perkembangan sekolah-sekolah, bahasa-bahasa dan kebudayaan tiap-tiap bangsa yang tinggal dalam negeri ini.

Mengkaji semula undang-undang pelajaran tahun1952 dan kertas putih tentang pelajaran Majlis Mesyuarat Undangan Federal November 67 tahun 1954. Mengkaji semula undang-undang melesen dan mendaftar syarikat-syarikat perniagaan dan perusahaan yang dijalankan kuatkuasanya bagi mendapatkan wang untuk pelajaran. Melatih guru-guru dalam negeri ini. Memberi pelajaran permulaan dengan percuma dengan secepat mungkin. Menubuhkan sebuah jenis sekolah kebangsaan yang dapat diterima oleh rakyat ini, yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik rakyat negeri ini ke arah mencipta suatu bangsa yang memakai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menggalakkan geraka-gerakan di sekolah-sekolah seperti gerakan-gerakan pengakap lelaki dan perempuan dan pasukan-pasukan kedet. Menggalakkan perkembangan sekolah-sekolah private dan rakyat. Mendesak supaya diadakan lebih banyak kuliah-kuliah pengajian di Universiti of Malaya di Persekutuan. Menggalakkan perkembangan-perkembangan universiti-universiti dalam negeri ini, dan memberi layanan yang sama kepada seluruh sekolah-sekolah bantuan kerajaan berdasarkan dengan keadaan kewangan Persekutuan.

5. Darurat.

Berusaha menamatkan darurat dengan seberapa segera dengan menawarkan kepada pengganas-pengganas komunis pengampunan beramai-ramai dan kalau tindakan itu tidak berjaya, akan mengumpulkan segenap tenaga dan meminta bantuan dari luar negeri bagi memperhebat perang melawan pengganas-pengganas. Meminta Britian dan Amerika Syarikat bantuan wang yang lebih besar untuk perang melawan pengganas-pengganas, dan… Mengkaji semula undang-undang darurat bagi memansuhkan fasal-fasal yang didapati berlawanan dengan kepentingan rakyat negeri ini.

6. Perikanan.

Mengadakan penyiasatan yang segera tentang kehidupan nelayan-nelayan dengan maksud menambah pendapatan mereka. Berusaha membantu dalam menambah penangkapan ikan dengan cara yang lebih baik. Memberi kemudahan-kemudahan menyimpan ikan-ikan dan pengangkutan bagi perusahaan ikan. Memperbaiki cara jual beli dengan mendirikan lembaga-lembaga jual beli atau syarikat-syarikat kerjasama, dan… Membantu mencarikan nelayan-nelayan pekerjaan dalam musim gelora.

7. Perumahan.

Menggalakkan pembangunan-pembangunan rumah-rumah yang murah untuk dijual atau disewakan kepada orang-orang yang berpedapatan rendah dengan syarat-syarat yang senang supaya membersihkan kawasan-kawasan sesak, dan… Menggalakkan syarikat-syarikat perumahan bukan kerajaan mendirikan rumah-rumah.

8. Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Menggalakkan Jabatan Perkhidmatan Penerangan termasuk bahagian akhbar, penyiaran radio dan filem unit. Menjadikan jabatan itu sebuah jabatan yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan dan mengisi semua jawatan-jawatan yang tinggi dengan rakyat negeri ini. Menjadikan radio Malaya sebuah lembaga seperti BBC di Britian. Berusaha supaya filem unit dijadikan atas dasar perniagaan supaya ia tidak lagi bergantung kepada kerajaan atas perbelanjaannya. Mengadakan suatu jabatan penerangan yang cekap di rumah Malaya, London, dan jabatan itu diketuai oleh seorang rakyat negeri ini. Memberi nasihat dan pimpinan kepada rakyat menerusi bahagian perhubungan raya, dan… Membuat penerangan-penerangan bagi menarik pelawat-pelawat mengunjungi negeri ini.

9. Buruh.

Menjamin buruh mendapat layanan yang adil. Mengadakan kerja-kerja bagi semua buruh. Memberi kemudahan-kemudahan berlatih kepada semua buruh, bagi membolehkan mereka memperbaiki tarafnya. Menukar kerja buruh kepada kerja-kerja yang lain dalam masa meleset. Mengkaji semua undang-undang provident fund buruh dengan maksud membolehkan mereka dapat mengambil wang simpanan mereka dengan segera kalau mereka perlu wang sangat-sangat. Menggalakkan perkembangan-perkembangan kesatuan-kesatuan buruh yang sihat dan kuat bagi membolehkan mereka melindung kepentingan-kepentingan, dan… Menggalakkan kedai-kedai syarikat kerjasama di kebun-kebun getah dan lain-lain kawasan, kalau dikehendaki diluaskan.

10. Tanah.

Mengadakan penyiasatan tanah di seluruh Persekutuan. Membantu petani-petani mendapat tanah bagi bercucuk tanam. Membantu petani-petani menerusi bank tanah dan lain-lain alat kerajaan. Mengubah cara memberi tanah dari cara lesen sementara kepada cara geran pajak. Meluaskan tanah simpanan Melayu kalau didapati tanah-tanah simpanan mereka tidak cukup atau tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Mendesak kerajaan-kerajaan negeri menguntukkan tanah-tanah simpanan itu bagi membolehkan orang-orang Melayu membuka kampong-kampung baru yang moden. Memajukan tanah-tanah orang Melayu yang belum dibuka itu. Mengkaji semula bayaran cukai tanah. Menggalakkan petani-petani menambah jenis tanaman-tanaman dengan menurunkan bayaran cukai tanah kalau perlu dan mengadakan rancangan-rancangan memberi tanah kepada orang-orang yang tidak mempunyai tanah dan mengadakan mata pencarian bagi rakyat dengan bertani dalam masa meleset.

11. Pemerintahan Tempatan.

Menubuhkan majlis-majlis mesyuarat bandaran di bandar-bandar yang sekarang tidak mempunyai majlis-majlis mesyuarat bandaran dan yang difikirkan patut mempunyai majlis-majlis mesyuarat itu. Mempercepatkan perlaksanaan undang-undang memberi hak kuasa kewangan kepada pemerintahan-pemerintahan tempatan. Mendirkan majlis-majlis mesyuarat kampong yang semua ahli-ahlinya termasuk pengerusi-pengerusinya dipilih oleh orang ramai. Mendirikan di tiap-tiap jajahan dua buah majlis mesyuarat, pertama Majlis Mesyuarat Bandaran dan kedua Majlis Mesyuarat Kawasan Luar Bandar.

12. Perubatan dan Kesihatan.

Menjalankan rancangan meluaskan dan memperbaiki perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dan kesihatan secepat mungkin. Menambah perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dan kesihatan di kawasan-kawasan luar bandar. Menambah bilangan hospital-hospital dan memperbaiki kemudahan-kemudahan di dalamnya. Menjalankan gerakan secara besar-besaran terhadap penyakit batuk kering, untut, puru dan kekurangan zat makanan. Mengadakan dari semasa ke semasa kursus latihan semula untuk doktor-doktor istimewa, doktor-doktor saudagar, jururawat, hospital assistan dan bidan-bidan. Menggalakkan kerjasama yang rapat di antara doktor-doktor saudagar dan kakitangan-kakitangan hospital. Menggalakkan doktor-doktor saudagar mendirikan kelinik. Merancang rawatan-rawatan, pakar-pakar perubatan dan kesihatan bagi memberi nasihat tentang kesihatan kepada negeri ini. Berusaha menambah bilangan doktor-doktor tempatan berlatih keluar negeri dalam ilmu kedoktoran yang tinggi. Mengadakan hubungan yang rapat dengan pertubuhan kesihatan dunia bangsa-bangsa bersatu untuk mendapatkan bantuan dan nasihat.

13. Politik.

Mengekalkan dan memelihara kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua-ketua yang berpelembagaan dalam negeri mereka masing-masing. Mendesak supaya sebuah suruhanjaya istimewa yang bebas dilantik bagi menyiasat perubahan-perubahan perlembagaan dengan tidak mengusik kedudukan Raja-raja Melayu dan kepentingan-kepentingan orang Melayu yang istimewa. Mengesyorkan supaya suruhanjaya ini mengkaji soal kerakyatan dalam negeri ini dengan maksud supaya soal ini dapat diselesaikan dengan memuaskan hati. Memeriksa semua soal kemasukan orang-orang dagang dengan maksud kepentingan-kepentingan orang Melayu dan rakyat negeri ini yang bukan Melayu dapat dipelihara.

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam ertikata yang sebenarnya dalam tempoh 10 tahun, dan mendirikan Majlis Bahasa Melayu. Memberi pengakuan bahawa rakyat negeri dan orang-orang yang bukan Melayu boleh memelihara bahasa-bahasa dan kebudayaannya. Mentadbir dua buah dewan undangan. Pertamanya Dewan Orangramai yang semua ahlinya dipilih dan kedua Dewan Pertuanan. Berusahasa supaya Dewan Orangramai yang semua ahli yang dipilih itu didirikan dalam masa tempoh perkhidmatan yang pertama yang melindungi seberapa yang dapat hak-hak dan kepentingan-kepentingan kaum-kaum yang kecil bilangannya.

14. Perkhidmatan Kebajikan Masyarakat.

Memeriksa semua perkhidmatan kebajikan masyarakat yang ada sekarang ini dengan maksud memperbaiki dan meluaskan lagi sesuai dengan keadaan kewangan negeri ini dan keperluan rakyat seluruhnya. Menggalakkan pemuda-pemuda mengambil kecenderungan yang bersungguh-sungguh dalam gerakan yang mendatangkan faedah bagi mereka dan negeri ini. Menyokong pertubuhan-pertubuhan sukarela yang menyumbangkan pekerjaan-pekerjaan kebajikan untuk rakyat dan mengadakan sebuah pertubuhan pusat bagi menasihatkan kerajaan atas soal-soal sosial. Menyusun semula dan memperbaharui alat-alat pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengisi jawatan-jawatan yang tinggi dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan rakyat negara ini. Memberi galakan supaya rakyat cenderung dalam suasana kemajuan masyarakat. Mencegah jemaah-jemaah haji dari kena tipu dengan mengadakan kapal-kapal. Mendirikan sebuah pejabat. Memberi kemudahan-kemudahan kebajikan, kesihatan di Judah dan di Mekah serta di kapal-kapal, mendirikan hotel-hotel dan kantin-kantin di Judah dan di Mekah. Melantik sebuah suruhanjaya bagi mengkaji soal-soal yang berhubung dengan jemaah haji.

15. Merancang bandar dan kawasan luar bandar.

Mengambil langkah dalam mengadakan perancangan bandar-bandar dan kawasan-kawasan luar bandar meliputi seluruh Persekutuan, dan mengadakan satu dewan perancang pusat bagi menyatukan kerja-kerja merancang yang dijalankan oleh pemerintahan tempatan dan mengadakan suatu rancangan kemajuan yang satu bagi seluruh negeri ini.

(Sumber: Warta Negara 16.7.1955)

Tuesday, April 01, 2008

Politik Tetap Politik Juga?



Respon kepada komen pembaca:Dato’ Dr Hasan Ali... Ingat, Mana Janji Mu? Posted on Monday, March 31 @ 02:10:04 MYT by greenboc

Oleh ning


Assalamualaikum..'
Berikut ana lampirkan komen dari pembaca pada artikal ibnuhasyim bertajuk Dato' Dr Hassan Ali...Ingat Mana Janji Mu?

“Re: Dato’ Dr Hasan Ali... Ingat, Mana Janji Mu? (Score: 1)
by su-kj on Saturday, March 29 @ 09:57:29 MYT
(User Info | Send a Message)

Kalau dah politik tu tetap politik juga.
Berkempen ibarat memancing. Kadang-kadang nak pancing ikan tetapi umpannya udang tak semestinya anak ikan. Janji matlamatnya nak dapat ikan. hehehe..j Jadilah macam saya 'bebas'.
Jangan marah na.

ANA tertarik dengan komen ini kerana ian menyatakan "kalau dah politik tu tetap politik".ingin sekali ana bertanya "APA MAKNA POLITIK" Umumnya sebahagian kita faham politik sebagai satu cara mendapat kuasa pemerintahan. Dalam falsafah Aristotle dan Plato politik didefinasikan sebagai satu cara untuk mendapat kuasa pemerintahan dimana semua kaedah yang digunakan untuk mendapat kuasa dihalalkan.

Dengan bahasa yang mudah, matlamat menghalalkan cara. Antara yang dibenarkan oleh falsafah Aristotle dan Plato ini termasuk menaburkan janji sekalipun ianya tidak dapat ditunaikan. Sama seperti yang dilakukan oleh BN dalam PRU ke 11 yang lalu ia itu cemerlang gemilang terbilang dan janji memerangi rasuah. Tidak ada satupun janji ini ditunaikan sehingga hari ini. Begitu juga janji aman makmur selamat serta pembangungan koridor yang sekarang ini menjadi janji baru BN semasa PRU ke 12. Dapat kita jangkakan janji ini juga akan tinggal janji.

Aristotle dan Plato juga menyatakan dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal (THERE IS NO PARMANENT FRIEND AND ENEMY IN POLITIC- dengan izin). Oleh itu bukan menjadi satu yang pelik kalau satu masa ada kawan yang bertukar menjadi lawan dalam politik. Satu yang juga sering berlaku dalam BN. Satu masa dulu TD Mahathir bermusuh dengan Ku Li sekarang mereka menjadi kawan adalah contoh semasa kepada dasar dari kefahaman politik Aristotle dan Plato ini.

Begitu juga falsafah Aristotle dan Plato juga mengasingkan politik dari agama. Politik hanya melibatkan pengurusan dan usaha mendapatkan kuasa pengurusan yang pula berdasarkan pemikiran manusia semata mata dan bebas dari tuntutan serta panduan agama. Akibat dari pemahaman politik Arstoltle dan Plato ini maka timbul berbagai komen termasuk komen dari pembaca di atas. KALAU "POLITIK TU TETAP POLITIK JUGA" merupakan komen yang lahir dari pemahaman politik Aristotle dan Plato.

Ianya diandaikan kepada semua ahli politik termasuk mereka dari PARTI ISLAM. Pada tanggapan golongan yang percaya kepada Aristotle dan Plato ini semua ahli dan parti politik adalah sama. Bergerak dengan konsep yang sama, bermatlamat sama dan mempunyai carahidup yang sama. Seterusnya ana juga tertarik dengan komen pembaca di atas bilamana beliau menyatakan beliau seorang yang bebas serta berkempen kepada kita semua untuk turut jadi bebas macam beliau.

Sekali lagi beliau silap persepsi kerana pegangan falsafah Aristotle dan Plato. Ana tidak ingin mengulas panjang cuma cukup sekadar menyatakan kepada semua bahawa kewajipan yang terdapat dalam garis panduan Islam menuntut kita semua terlibat dalam usaha menegakkan haq dan mencegah kemungkaran yang pula sebenarnya merupakan tanggungjawap politik kita semua.

Seperti kata seorang kawan kalau ada satu jemaah yang mengajak kita semua menubuhkan atau menegakkan carahidup Islam (yakni negara Islam) maka menjadi kewajipan kita semua menyokongnya sekalipun berbagai bagai halangan kelihatan dihadapan kita. Inilah yang dimaksudkan jihad pada juzuk juzuk tertentu yang perlu kita fahami hayati dan sokong semuga kita mendapat rahmat dan barakah dari Allah. Jadi sebagai seorang Islam tidak bijak kita menjadi 'bebas" atau "atas pagar"

Dari TKO

Monday, March 31, 2008

Selamatkan Aqidah Masyarakat Kami..

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“OH. Terasa lama sungguh encik tak datang. Sunyi rasa… Seolah-olah tiada lagi yang nak sembang-sembang..” Kata seseorang. Dia agak berpengaruh dalam Kampung Orang Asli Bukit Kala di Kilometer 24, Jalan Gombak itu, selain pemangku Tok Batin Encik Hussein bin Datuk Panglima Ngah Yin.

Saya, kebetulan sampai ke situ lepas solat Maghrib, dekat nak masuk waktu Isyak. Saya jenguk ke surau yang baru dibuat di belakang dewan, terdapat kira-kira 40 orang sedang belajar agama, lepas solat Maghrib. Surau itu bukan dibuat oleh kerajaan, tapi oleh individu-individu dan badan-badan kebajikan seperti ABIM, kesataun anak yatim atau lain-lain melalui kutipan derma.

Walaupun begitu, ada pihak-pihak menjanjikan bantuan kerajaan lebih baik lagi, tetapi dengan merobohkan surau yang masih belum siap penuh itu. Mujurlah, kerajaan negeri telah bertukar pemerintahan, cadangan itu hilang begitu sahaja. Pihak JAIS ada membantu 4 orang tenaga pengajar fardhu ain, termasuk yang saya nampak sedang mengajar.

Saya masuk terus duduk bersama-sama mereka, terdiri orang tua, antaranya Encik Hussein pemangku Tok Batin sendiri, remaja atau kanak-kanak, Muslimin dan Muslimat. Encik Hussein telah mengisytiharkan pengislamannya lepas Hari Raya baru lalu. Memang dia masuk Islam kira-kira sebulan sebelum itu, cuma belum diisytiharkan lagi.

Yang saya lihat, pendekatan cara mengajar ustaz itu amat sesuai dan menarik sekali bagi mereka yang baru masuk Islam. Terima kasih JAIS! Al-hamdulillah. Lepas itu kami solat Isyak bersama-sama, dan sekarang sedang minum-minum ringan.

“Saya dengan Batin, sikit hari lagi akan pergi umrah di Mekah… Ada le sponsernya.” Dia menyambung perbualan dengan saya tadi.

“Al-hamdulillah!” Sambut saya.

Setelah selesai makan-minum ringan, anak-anak jamaah itupun masing-masing pulang, tinggal cuma beberapa kami dan 2 muslimah, termasuk isteri Encik Hussein yang mungkin menghormati saya sebagai tetamu.

“Maaf encik. Ada suatu yang saya nak minta tolong…” Batin Hussein mengalih pertanyaan kepada saya. “Baru-baru ini kami mendapat bantuan RM10,000 dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, mengarahkan kami membongkar balik budaya ‘Sewang’ di kalangan masyarakat orang-orang asli.”

“Sewang? Apa benda tu..”

“ ‘Sewang’ adalah adalah nama yang diberi oleh kementerian tersebut, kami pun tak tahu dari mana asal perkataan itu. Tapi kalangan kami menyebutnya dengan ‘gabaq’. Ertinya lagu atau nyanyian. Terdapat 6 jenis rentak gabaq. Gabaq popular di kalangan suku kaum Temiar dari kumpulan Senoi.” Jelas Batin Hussein lagi. “ ‘Gabaq’ sebenarnya digunakan untuk berubat. Bacaan mentera yang berbagai jenis, mengikut jenis-jenis penyakit yang diubatnya. Dinyanyikan atau disambut beramai-ramai dengan satu tekong atau ‘tukang karut’nya.”

“Di mana ‘gabaq’ ini dipelajari?” Saya tanya lagi.

“Gabaq dipelajari dalam mimpi. Mereka bermimpi, datang lembaga seseorang lelaki tua atau seorang wanita muda yang cantik, mengajarkan gabaq, suruh hafal lafaz jampi menteranya, kadang-kadang sampai tiga malam berturut-turut bermimpi. Bila terjaga, ia memperolehi 3 perkara. Iaitu sedikit kemiyan (sejenis bau-bauan), ‘buntat’ (batu geliga juga untuk berubat) dan gabaq.

Orang yang bermimpi itu, biasanya orang dewasa tidak tahu baca tulis.. bagaikan peristiwa Nabi Muhammad terima wahyu di Gua Hirak bagi orang Islam. Tetapi lembaga dalam mimpi itu adalah jelmaan makhluk hulus berupa munusia meresap masuk ke tubuh orang yang bermimpi. Ha… Apakah di situ timbul syiriknya? Satu lagi, orang yang bergabaq berlebih-lebihan akan jadi ke’surup’an atau ke’lupa’an dirasuk hantu. Begitu juga doa, apakah perlu pengantara makhluk halus bagi menyampaikan permohonan kita pada Tuhan?” Jelas Encik Hussein lagi.

Teringat saya, bagaimana kerajaan Kelantan pimpinan PAS mengatasi masalah wayang kulit permainan rakyat yang ada unsur-unsur syirik? Memang kerajaan Persekutuan pimpinan BN nak sangat perbesarkan benda yang pelek-pelek atas alasan nak tarik pelancung kunjungi negara ini, biar rosak aqidah rakyat takpe!

“Memang encik, saya suka sangat kalau boleh dijadikan gabaq ini sebagai alat atau media yang amat diminati oleh Orang Asli itu untuk berdakwah. Bahkan perkembangannya akan cepat merebak ke seluruh negara. Tetapi masalahnya, begaimana nak selesaikan masalah syirik ni? Oleh itu saya minta pihak yang rasa bertanggung jawab, terutama dari Jabatan Agama atau Bahagian Agama di negeri Selangor atau individu-individu, parti-parti dan NGO turut membantu dari serba segi termasuk membuat penyelidikan sewajarnya.” Katanya lagi.

“Kepada encik, saya minta tolong gunakan kuasa yang ada pada encik demi menyelamatkan aqidah di kalangan masyarakat kami.” Rupannya itulah pertolongan yang dia minta pada saya.

Sebenarnya bukan pertolongan,.. tetapi adalah kewajipan saya juga. Sekian, wassalam.


Untuk dapat maklumat sebelumnya, sila layari blog saya di bawah judul:

i. Lelaki Asli, Tiup Seruling Dengan Hidung… 27-07-07
ii. Jangan Me‘Melayu’kan Orang Asli.. 28-07-07
iii. Strategi Kristian Menawan Orang Asli? 03-08-07
iv. Orang Asli: Pengkhianat & Serang balas Kristian? 26-10-07

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 30-03-08. KL.

Sunday, March 30, 2008

Lompat Parti Suatu Amal Kebajikan...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


SESEORANG yang mengguna nama ‘Bantai’ pada Rabu 12 Mac 08 memberi komen pada tulisan saya dalam TKO (Tranungkite On Line), ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa bulan lagi..’ berkata, “Kalau MP-MP barisan (BN) itu lompat ke Barisan Rakyat (PKR, PAS & DAP) bukan salah pun, untuk kebaikan rakyat juga, kerana semua manifesto akan dapat dilaksanakan.

1. Minyak akan diturunkan harga.
2. Pendidikan percuma hingga ke universiti.....”

Terima kasih ‘Bantai’ atas komen anda!

Tajuk tulisan tersebut adalah tertinggi antara 5 tajuk ‘Top 5 bulan ini’ seperti yang tertera di laman depan TKO, yang dicatat kira-kira 2.41 pagi awal 30-03-08:
1. Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi.. - 25580 bacaan
2. Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam Ditarik Gelaran Datuk - 25107 bacaan
3. Nizar Pukau Para Hadirin Di Forum - 21817 bacaan
4. PAS umumkan 4 perkara penting - 20885 bacaan
5. Sebab sebenar kenapa DYMM tak suka kat Deris - 20632 bacaan.

Terima kasih juga pada TKO kerana khidmatnya pada pelayar-pelayar web.

Untuk melayakkan Kerajaan BN ditukar kepada kerajaan BR, kira-kira 30 kerusi perlu berpindah dari BN ke BR. Dengan itu ‘Harapan Baru Untuk Malaysia, 5 Janji Saya’ dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari PKR mewakili BR akan dapat ditunaikan, jika dapat memerintah negara ini.

Antara janji-janji itu ialah:

Pertama: Mendirikan Malaysia sebagai Negara Madani yang menjamin keadilan untuk semua rakyat. Menjunjung prinsip perlembagaan. Mengukuh institusi kehakiman. Mengangkat darjat kemuliaan insan, kebebasan dan haknya.

Kedua: Melaksanakan Agenda Ekonomi Malaysia agar ekonomi Malaysaia kembali setaraf dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Ini adalah penting bagi menjamin keadilan sosial untuk semua, agar tiada lagi bumiputera atau kaum yang terpinggir mundur.

Ketiga: Penyusunan semula pasukan polis untuk jadikan badan Pencegahan Jenayah yang berkesan bersama agensi penguatkuasaan lain dan pastikan bebas dari pengaruh politik dan rasuah.

Keempat: Mengurangkan beban hidup rakyat dengan menurunkan harga minyak, tol serta pelbagai tarif lain disamping membekalkan barang keperluan yang mencukupi dan memperjuangkan gaji minimun sebanyak RM1,500.

Kelima: Mencipta Harapan Baru untuk masa depan Malaysia dengan menjamin pendidikan percuma, memastikan mutu pembelanjaran di sekolah, kolej dan universiti di Malaysia adalah yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Oleh itu wahai YB-YB BN! Kali ini melompat parti adalah suatu kerja amal untuk menolong rakyat miskin dan membela keadilan seperti yang dikehendaki oleh agama Islam atau agama-agama lain di dunia. Mungkin inilah satu-satunya peluang terakhir anda untuk berbakti dan merubah cara hidup rakyat secara nasional!! Ya, tunggu apa lagi!?


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 30-03-08. KL.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails