Thursday, April 17, 2008
Kisah Di China & Rusia: Perkenal Islam Melalui Makanan Halal..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
BARU-BARU ini, saya berada di rumah kawan saya seorang bangsa Cina di negaranya di Ning Siang dalam kawasan bandar Chang Sha di China. Dia bukan Islam. Dia menyiapkan makanan halal untuk saya sebagai tetamunya yang beragama Islam.
“Mengapa perlu dibeza-beza makanan Islam dan bukan Islam?” Tercetus pertanyaan darinya.
“Kami orang Islam berada dalam agama kesatuan yakni agama yang percaya Tuhan itu Satu (La ilaha illalah). Setiap gerak kerja hidup kami adalah kerana Tuhan Yang Satu itu (Allah). Pernah seorang kawan kepada pemimpin kami Nabi Muhammad SAW, kira-kira 15 abad silam sedang bertarung pedang dengan seorang musuhnya demi mempertahankan Islam… Beliau berjaya merebahkan lawannya. Semasa berada di atas badan musuhnya dan hendak membunuh, tiba-tiba mukanya diludahi lawannya itu. Dia berhenti tak jadi membunuh.
Mengapa kau tak terus bunuh aku? Musuhnya bertanya. Jawab beliau, aku tidak mahu bunuh kamu kerana semata-mata menurut perasaan marah! Yakni orang Islam tidak mahu bertindak sesuatu kalau bukan kerana tuntutan agama. Bukan kerana nafsu marah, dendam dan sebagainya, tetapi membuat sesuatu kerana Allah sahaja! Dalam permakanan pun begitu. Contohnya, Allah cuma benarkan makan makanan atau binatang ternak yang disembeleh mengikut syarat-syaratnya.
Kalau nak makan sup ekor, tidak boleh potong terus ekornya sedang badan induknya masih hidup. Yakni tidak boleh menzalimi binatang itu walaupun binatang itu memang makanan kita. Mesti ikut peraturan menyembelih, seperti mesti gunakan senjata tajam dan cepat mati,.. Yang penting sembelihan itu mesti dengan menyebut nama Allah atau kerana Allah semata-mata. Begitu juga dalam berkahwin, ada syarat-syaratnya.” Saya jawab, paling ringkas.
Itulah yang saya cuba terangkan konsep tauhid melalui pertanyaan permakanan halal. Nampaknya dia boleh terima. “Oh. Teliti sungguh agama kamu!”
Begitu juga apabila saya berada di Rusia, beberapa minggu selepas itu. Di Rusia saya tinggal bertamu di rumah sebuah keluarga Kristian Katholik, di mana saya pernah membantu mereka sewaktu mereka berada di Malaysia tahun lepas. Mereka datang ke Malaysia kerana meraikan anak gadis mereka yang mendapat Johan Pemidato Terbaik dalam Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun tersebut. Gambarnya terpampang di muka depan akhbar bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia masa itu.
(Sila lihat tulisan Ibnu Hasyim ‘Bertemu Gadis Rusia Bernama Olga..’ dalam blognya pada 3 Julai 07).
Saya dan Olga nama anak gadis itu beserta teman perempuan sebayanya, pada suatu hari keluar berjalan-jalan di bandar St Petersburg, iaitu kira-kira ratusan kilometer dari Moskow. Kami mencari kedai makan orang Islam. Dalam mencari-cari itu, kami bertemu 2 gadis bertudung. Rupanya mereka beragama Islam, seorang keturunan Rusia dan seorang lagi keturunan kacukan Rusia-Turki, sedang 2 gadis bersama saya ini masih belum Islam. Memang biasanya di sana orang-orang keturunan Turki beragama Islam.
Islam adalah agama kedua terbesar sesudah Kristian Ortodoks. Kebanyakan suku Rusia beragama Ortodoks. Lain-lain agama termasuk berbagai aliran Protesten, agama Yahudi, Katolik Rom dan agama Buddha. Biasanya agama seseorang bergantung kepada etnik masing-masing. Mereka 2 gadis bertudung ini juga sedang mencari kedai makan Islam seperti kami. Sesudah bertanya-tanya kami diperkenalkan dengan sebuah kedai makan milik orang Islam.
“Di sini ada dua jenis makanan yang berasingan. Satu untuk bukan Islam dan satu untuk orang Islam.” Kata tuan kedai itu.
Kami lihat ada terhidang daging babi di bahagian yang bukan Islam. Kami tak jadi nak makan di situ, “Hii, aku tak yakin. Apa lagi tiada tulis makanan Islam atau tanda halal, walaupun yang jual itu orang Islam!” Kata salah sorang dari gadis Islam itu. “Jom kita cari tempat lain!” …dan memang akhirnya bertemu juga. Rupanya, kerana makanan halal kami dapat kawan se agama.
Begitu juga dengan kisah saya mula-mula sampai ke rumah Olga. Saya datang secara tidak dirancang dan tidak memberitahu lebih awal. Saya sampai ke kampung itu dan tiba di depan rumahnya pihak polis Rusia sedang menanya-siasat saya. Olga dan keluarga terkejut bila saya sampai, dan polis itu pun pergi. Keluarganya menyiapkan makanan Rusia, masakan khas kerana menyambut kedatangan saya. Malangnya saya tidak dapat makan, kerana makanan tersebut bercampur daging yang tidak disembeleh.
Ibu Olga sangat kecewa. “Apakah tidak boleh berlebih kurang dan cincai-cincai dalam soal permakanan ini?”
Maka terpaksalah saya menerangkan bersungguh-sungguh seperti di atas sehingga mereka faham. Rupanya perbincangan mengenai Satu Tuhan itu amat menarik perhatian mereka, dan mungkin akan diperbincangkan dengan lebih luas. Mereka menyiapkan makanan untuk saya sekali lagi, “Kali ini tentu halal!!” Kata Olga.
Demikanlah kisah ‘makanan halal’ menjadi pembuka laluan ke arah perkenalkan Islam di negara asing.
Perhatian: Kisah ini sebenarnya bukan kisah saya Ibnu Hasyim. Tetapi kisah kawan saya seorang anak muda yang aktif mengembara keluar negara sambil berniaga. Perkataan ‘saya’ dalam watak pencerita itu bukan saya, tetapi ‘dia’.Begitu, ceritanya pada saya. Saya tuliskan cerita-cerita begini untuk sama-sama berkongsi pengalaman. Jika pelayar-pelayar blog ini ada cerita-cerita menarik begini dan berminat untuk siarkan, sila kirim ke alamat e-mail di bawah. Sekian, wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-04-08. KL.
Wednesday, April 16, 2008
Bahasa Melayu Kedah Di Selatan Myanmar
Ibnu Hasyim CATATAN PERJALANAN
BARU-BARU ini keluar berita mengenai ramai pendatang-pendatang Myanmar tanpa izin mati di dalam kontena telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand, di kawasan Ranong dalam negara Thai. Ranong adalah sebuah bandar pelabuhan bersempadan dengan Thai-Selatan Myanmar…
Hal ini mengingatkan saya kepada pengalaman melintasi sempadan melalui laut dari Ranong ke Victoria Island sebuah pulau, di hujung bawah selatan dalam negeri Myanmar. Saya juga pergi-balik ke situ Thai-Myanmar dengan tanpa izin, iaitu tidak menggunakan pasport atau istilahnya secara haram. Tongkang kecil yang saya tumpangi sarat muatan kira-kira 30 penumpang melayari laut biru yang tenang masa itu.
Sahabat saya orang tempatan menasihatkan supaya membuka cermin mata yang saya pakai, biar nampak macam orang tempatan yang biasanya nelayan-nelayan tidak pakai cermin mata, bila melalui pusat kawalan sempadan di pertengahan jalan. Hal ini dilakukan supaya saya tidak ditahan imigresen kerana tidak tunjukkan pasport, menunjukkan betapa mudahnya menyeberang sempadan laut dari Myanmar.
Tongkang kami terus membelah lautan kecil itu hingga ke distinasinya. Dari jauh nampak kesibukan penghuni-penghuni pulau kecil itu. Ramai orang Islam di situ. Menarik, bila sampai, saya lihat pekerja-pekerja kontek yang lelakinya mengangkat batu-bata cuma pakai kain pelikat, disenteng ke paras lutut sahaja.
Mereka lihat saya sebagai orang luar beragama Islam dengan begitu mesra. “As-salamu ‘alaikum?” Sapa saya.
“Wa’alaikumus salam warahmatullah!” Jawab salah seorang dari mereka.
Saya pergi solat sunat ke sebuah masjid di situ. Keluar dari masjid, tiba-tiba seseorang memberi salam dan bertanya saya dari mana…
“Dari selatan Thai.” Jawab saya.
“Heiyy.. Hang habak betui-betui, Aku tengok cara hang pun aku tau.. hang dari Malaysia.” Jawabnya dalam bahasa loghat utara. Kami bersalaman. “Jangan takut.. Di sini aman. Tak dak kacau-kacau. Jom kita jalan sama-sama.”
Begitulah, sesudah kami berjalan-jalan sekitar pekan itu, dia perkenalkan ramai kawan-kawannya, yang semuanya berbahasa Melayu loghat Kedah. Saya seolah-olah berada di negara sendiri, bukan di Myanmar lagi. Saya melawat beberapa kedai yang berderetan. Ada sebuah kedai berisi biji gajus, juga disebut ‘janggus’, yang penuh di dalamnya. Mungkin dari situlah dieksport ke Thailand. Banyak juga kedai yang menjual batu-batu permata dari Myanmar.
Begitu juga gelas-gelas dan barangan kaca mungkin buatan China. Ada peti besi bertulis ‘Made in Malaysia’ macam yang pernah digunakan oleh nenek saya di kampung Pulau Pinang dulu. Sakarang dah tak ada lagi. Ada minyak atar atau minyak wangi cap ular, juga sekarang sudah tak nampak lagi digunakan di Malaysia, kerana dulunya memang termasyhor. Ada minyak panas berjenama terkenal di Malaysia dulunya, iaitu ‘Tiger Balm’.
Di situ sempat pula seorang wanita muda jelita bertudung kepala, mungkin anak taukeh kedai itu bertanya saya, “Encik dari Malaysia? Boleh tolong dapatkan maklumat bagaimana saya nak masuk ke Unversiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara encik?” Begitu, anggapan dan harapan mereka terhadap perkembangan Islam di negara kita. Lepas itu dalam perjalanan pulang, saya singgah di sebuah pulau bernama Pinggai, erti bahasa Melayunya ‘Tempayan Pecah’. Pulau tersebut walaupun bersempadan dengan Myanmar tetapi masih dalam negara Thai.
Rumah orang Islam di Pulau Tuntung berhampiran Pulau Pinggai
“As-salamu ‘alaikum? Selamat datang ke Pulau Ping Gai!” Kata pengulu pulau itu, semasa saya sampai di jeti pelabuhan dan berkenalan dengannya.
Ahli keluarganya yang bernama Tok Adam mula-mula meneroka pulau itu kira-kira ratusan tahun lalu. Adam berasal dari negeri Kedah, Semenanjung Tanah Melayu. “Tu pasai kami di sini semua cakap bahasa Kedah. Semua penduduk di sini beragama Islam. Takdak sekoq pun kapiaq Siam dok di sini. Macam tu jugak di Pulau Tongtong di sempadan balik sana.. di Myanmar. Semuanya Islam, cakap Kedah belaka. Depa pun kawan-kawan kita jugak.” Katanya lagi.
“Al-hamdulillah!”
“Jom ke rumah saya. Kita makan-makan. Lepas tu, kalau nak jalan-jalan melawat pulau ni boleh la. Hujung sana ada sebuah masjid, sekolah taman bimbingan Islam, cikgunya mai dari Pattani dan ada juga sebuah pusat kesihatan kecik kerajaan…”
Dari jeti saya diiring ke rumahnya. Di perjalanan anak mereka sedang mandi-manda di air laut yang sedang pasang. Berbogel.. dan terjun, menyelam, berkejar-kejaran. Ikan-ikan kecil berlarian di air yang bagaikan cermin jernihnya. Se sampai di rumahnya, isterinya terus masak nasi tengahari dengan ikan besar yang baru di tangkap dari laut sebagai lauk. Bila dimakan jelas terasa lemak manis dan sedapnya. “Al-hamdulillah! Allah pertemukan saya dengan mereka yang se agama di sini, tidak disangka-sangka!” Kotak fikir bergolak.
“Kalau nak jalan-jalan di pulau ni, silakan! Nak tidur dan bermalam di sini pun takpa, rumah saya sentiasa terbukak!!” Katanya ikhlas mempelawa saya. Saya sempat melawat sekitar pulau itu dan akhir singgah solat di masjid.
“Maaf. Saya memang suka tidur di sini, tetapi saya sudah berjanji dengan seseorang untuk tidur di rumahnya di bandar Ranong malam ini.” Saya jelaskan.
“Oh, kalau lagu tu takpa. Takpa nu. Kalau ada umuq lain kali kita jumpak lagi, insya Allah!!”
Masih terngiang-nyiang di telinga saya, pesanan akhir darinya sewaktu menghantar saya di pelabuhan. Katanya, “Bila hang sampai di Malaysia jumpak orang Kedah, kalau ada kesempatan kirim salam kat depa nu, kata kat dia… Nun jauh hampiaq ribu-ribu batu dari negeri hampa di ujung selatan Burma sana, ada sekumpulan manusia yang sama keturunan dengan hampa sama-sama Kedah, sama-sama cakap Kedah sedang teringat dan rindu kat hampa. Mai la ziarah kami, bila-bila masa saja, kami sentiasa tunggu dengan gembira! Mai la!!”
Hal ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu. Bersambung.. Insya Allah.
Catatan Perjalanan ibnuhasyim.
e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
15-04-08KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-12: Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim
Sunday, April 13, 2008
Isytihar Peluk Islam: Group Univ UK Sokong MACMA
BY ASYOK KUMAR
KERAMAT PERMAI 13 April – Group Universiti Ulu Klang menyokong penuh kenyataan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka. Demikian kenyataan yang dibuat oleh Presidennya Dr Mohd Hasyim semasa di temuramah di suatu Majlis Makan Malam di sini malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MACMA, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam. Menurut Ridhuan banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam.
MACMA sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing. Hal ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad, menurut Ridhuan lagi.
Dr Mohd Hasyim mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari. Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti MACMA sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.
“Pengalaman MACMA dan ahli-ahli yang memeluk Islam perlu diambil kira dan dirujuk. Kebanyakan mereka yang ingin memeluk Islam biasanya akan mendapat tentangan dari keluarga. Apakah ini akan menyusahkan atau melewatkan pengislaman seseorang? Apakah peraturan yang sama juga akan dilaksanakan kepada seseorang Islam yang ingin menukar agama?” Tanya Dr Mohd Hasyim.
“Bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat. Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Ini adalah fakta..”
Ketika diberitahu tujuan kerajaan adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, “Perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini, Kerana seekor dua nyamuk, kelambu yang dibakar!'' tambah beliau.
KERAMAT PERMAI 13 April – Group Universiti Ulu Klang menyokong penuh kenyataan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka. Demikian kenyataan yang dibuat oleh Presidennya Dr Mohd Hasyim semasa di temuramah di suatu Majlis Makan Malam di sini malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MACMA, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam. Menurut Ridhuan banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam.
MACMA sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing. Hal ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad, menurut Ridhuan lagi.
Dr Mohd Hasyim mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari. Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti MACMA sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.
“Pengalaman MACMA dan ahli-ahli yang memeluk Islam perlu diambil kira dan dirujuk. Kebanyakan mereka yang ingin memeluk Islam biasanya akan mendapat tentangan dari keluarga. Apakah ini akan menyusahkan atau melewatkan pengislaman seseorang? Apakah peraturan yang sama juga akan dilaksanakan kepada seseorang Islam yang ingin menukar agama?” Tanya Dr Mohd Hasyim.
“Bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat. Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Ini adalah fakta..”
Ketika diberitahu tujuan kerajaan adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, “Perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini, Kerana seekor dua nyamuk, kelambu yang dibakar!'' tambah beliau.
Saturday, April 12, 2008
Kisah Pengemis Jalanan & Pencopet Profesional..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
“SAYA kenal mereka ini…” Kata pemilik Hotel Adamson Ir Hj Zamani Adam, semasa kami sedang minum-minum di perkarangan hotel tersebut, bawah khemah kantinnya.
Mereka adalah seorang wanita separuh umur berkaca mata hitam (difahamkan seorang yang buta) bertongkat, dipimpim oleh seorang lelaki tidak buta sedang mengunjungi pengunjung-pengunjung kantin tersebut, perlahan-lahan dan jalan berhati-hati, meminta derma dari meja ke meja.
“Ada orang nampak, bila sampai di tempat gelap, tiba-tiba yang buta itu boleh berjalan laju meninggalkan yang celek. Mereka berkejar-kejar menuju kepada sebuah kereta yang sedang menunggu, untuk membawa mereka mengutip derma ke tempat lain pula.” Sambung Ir Hj Zamani lagi.
“Itu pula…” Dia menunjuk kepada beberapa pemuda berkupiah putih pakaian Afghanistan sedang makan-makan capati, “Mereka juga kutip derma, konon untuk jihad di Afghanistan, dengan menunjukkan pelbagai surat pengesahan. Kalau diberi derma seringgit dua, dia macam tak layan. Kadang-kadang mereka datang tukar wang hasil kutipan antara RM300 ke RM400 sehari. Naik kapal terbang pergi-balik ke negeri mereka hampir tiap bulan.”
“Ha! Hebat sungguh Malaysia ni. Peminta sedeqah pun boleh balik negeri naik kapal terbang setiap bulan!!” Seorang kawan saya meningkah.
“Bagaimana dengan orang Islam Thai minta derma untuk pembinaan masjid dan sekolah-sekolah agama mereka di sana? Ada nama, alamat, nombor telefon dan gambar bangunannya di sana? Betul ke?” Ada lagi yang bertanya.
Masing-masing diam, tak jawab.
“Bukan itu saja, bahkan sami-sami luar negara ada yang datang kutip derma di sini untuk kuil-kuil mereka, kadang-kadang menghadiahkan kalungan patung kecil kepada penderma-penderma!” Kata yang lain pula.
“Ada lagi yang lebih menarik. Beberapa tahun lalu, ada seorang pemuda yang tiada kerja...” Kata saya. “Pagi-pagi dia keluar dari rumahnya berpakaian seperti orang kerja pejabat. Kerjanya bergayut di pondok telefon awam, pura-pura telefon. Bila ada orang lalu lalang dekatnya, dia minta wang kecil kerana tiada tukaran, kononnya. Sesudah beberapa jam, dia pindah bergayut di pondok telefon lain pula kerana bimbang dikenali. Begitulah dilakukannya hingga petang.. dia dapat kira-kira RM10 ke RM20 sehari untuk belanja. Dia tidak mencuri, tetapi dia minta. Itulah kerjanya hari-hari. Salahkah??”
“Dia tidak mencuri tetapi menipu, lebih kurang macam pengemis buta tadi.”
Saya bercerita lagi, “Ada lagi, kisah seorang pencopet antarabangsa. Dia tinggal di Malaysia Timur. Dia keluar pagi-pagi berpakaian kemas bagaikan ahli perniagaan, naik pesawat ke KLIA Malaysia Barat, atau ke Singapura dan petang pulang ke rumahnya di Malaysia Timur. Hidupnya nampak agak mewah, hari-hari naik kapal terbang. Jiran dan kawan-kawan kagum dengan bisnes dan ke’profesional’an kononnya. Apa bisnesnya dan profesionnya?
Akhirnya baru diketahui, apabila keluar berita di akhbar dia ditangkap kerana menjadi penyeluk saku di dalam bilik air Airport Antarabangsa KLIA (beberapa tahun lalu). Sesampai di dalam kawasan lapangan terbang dia menukar pakaian dan menyamar sebagai pencuci bilik air. Di situlah dia mencopet beg duit ramai mangsa yang sedang buang air. Untuk mengesan hingga tertangkapnya juga memakan masa lama, kerana dia sering bertukar-tukar operasi di beberapa lapangan terbang antarabangsa.”
Inilah catatan santai saya kali ini, mengenai corat-corit manusia di KL dan sekitarnya… . yang boleh diambil iktibar oleh kita dan kerajaan dalam menanganinya dengan baik, adil, sesuai dengan kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri. Umpamanya dalam menangani masalah pengemis tadi. Sekian.
Wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 12-04-08. KL.
.
Wednesday, April 09, 2008
Bila Belakang Mati Akan Dibangunkan? Dr Mohd Hasyim
BY MEGAT ALI MEGAT ALANG
CHOW KIT Road: April. Pihak DBKL perlu jelaskan segera bila projek membangunkan Lorong Haji Taib di Jalan Haji Taib atau Belakang Mati akan dilaksanakan seperti jaminan yang diberikan Ketua Pengarah DBKL, pada Januari lepas. Demikian dinyatakan oleh Dr Mohd Hasyim selaku Presiden Group Universiti Ulu Klang, dalam pertemuan ringkas semasa lawatan kesatuan tersebut di Belakang Mati malam tadi.
Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup pada masa itu memberitahu (Utusan Malaysia 26-01-08), DBKL berasa terkilan kerana kegiatan maksiat di Jalan Haji Taib bertambah kronik sehinggakan berleluasa di siang hari (biasanya dilakukan pada waktu malam sahaja). Dengan itu beliau memberi jaminan, imej di Jalan Haji Taib yang sinonim dengan sarang maksiat akan dibersihkan dan berharap orang ramai dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan itu.
Sebelum itu menurut sejarawan Profesor Datuk Dr Ramlah Adam (Utusan Malaysia 17.01.08), kegiatan yang berlaku di jalan tersebut nyata tidak bersesuaian dengan kesohoran nama Haji Muhamed Taib sendiri. Menurut Profesor Madya Dr Kamarulzaman Yusuf dari UKM (Utusan Malaysia 17.01.08), nama baik Haji Taib seharusnya dipelihara dengan menukar kawasan itu kepada kegiatan yang berkonsep kekeluargaan.
Dr Kamarulzaman mencadangkan semua pihak berusaha sedaya mungkin menjaga nama baik Jalan Haji Taib, agar masyarakat tahu bahawa tokoh itu adalah membawa banyak kejayaan kepada orang Melayu di Kuala Lumpur. Katanya lagi, hanya pihak berkuasa yang mampu mengubah keadaan itu dan apa yang perlu kini ialah ketegasan dalam menjayakan usaha itu.
Dalam menyambut pelawaan pihak DBKL, “PAS Wilayah sedia beri kerjasama dengan pihak DBKL demi ‘suruh yang baik dan mencegah mungkar’ seperti yang diperintahkan Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Kami sentiasa mengalu-alukan! Apalagi bila ibupejabat PAS sekarang berada di Jalan Raja Laut berhampiran kawasan ini. Tanggungjawab itupun adalah tanggungjawab kami.” Kata Cekgu Ishak Surin seorang pemimpin PAS Wilayah”
Menurut Cikgu Ishak lagi, sekarangpun PAS beri makanan percuma kepada fakir miskin tak kira bangsa dan agama tiap hari Jumaat petang di situ. Pejabat PAS pun sentiasa terbuka bagi orang-orang Islam yang nak tumpang sembahyang atau mendengar kuliah zohor yang sering diadakan.
Menurut Presiden FBI (Forum Blogers Independent ), Saudara Tarmizi Mat Jam, “Pertemuan MP-MP Wilayah Persekutuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini mungkin tidak menampakkan kaitan dengan perlaksanaan pembangunan tersebut. Saya cadangkan pihak-pihak tertentu perlu wujudkan surau, buka kelas-kelas agama dan adakan kegiatan-kegiatan sosial yang sihat. PAS juga perlu beri kerjasama dengan menerbitkan risalah-risalah dakwah dan tubuhkan cawangan… buat kebajikan untuk semua!”
Monday, April 07, 2008
PAS Akan Hancur Jika Lari Landasan.. Dr Mohd Hasyim
BY MEGAT ALI MEGAT ALANG
UK Perdana: 7 April. PAS akan hancur jika lari dari dasar perjuangan Islam, kerana perjuangan PAS adalah lanjutan dari perjuangan para rasul dan nabi-nabi. Bermula dari Adam AS, hingga ke Nabi terakhir Muhammad SAW. Disambung oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Khalifah-khalifah Bani Umayah, Bani Abasiah dan yang terakhir sekali kerajaan Uthmaniah di Turki. Maka ulama-ulama pewaris para Nabi memegang amanah dan meneruskan perjuangan tersebut.
Demikian dinyatakan oleh Dr Mohd Hasyim selaku Presiden Grop Universiti Hulu Klang, dalam pertemuan ringkas selepas majlis dialog bersama-sama ahli group tersebut malam tadi. Menurut beliau lagi, perjuangan PAS yang bertolak dari kalimat ‘La Ilaha Illallah’ secara seluruhannya berdasarkan kepada Al-Qur’an, As-sunnah dan tokoh-tokoh Khulafa Ar-Rasyidin. Di situ titik-titik pertemuan dalam perjuangan antara PAS dengan gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia.
“PAS adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan pada Ogos 1951 diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 adalah bertujuan atau bermatlamat perjuangannya ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.” Demikan ujar Dr Mohd yang juga seorang penulis dan penganalisis politik.
Menurut beliau lagi, “Apalagi bila kita melihat kepada kepada ‘janji Allah’ pada firman-firman dalam Al-Qur’an...
- ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’ Surah Al-Mujadalah ayat 22.
- ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.
- ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.
- ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.’ At-taubah ayat 32 & 33.
Maka jika PAS lari dari pejuangan Islam, sudah pasti PAS akan hancur. PAS telah memilih pendekatan kebangsaan (bukan asabiah) dan kemerdekaan di peringkat awal tahun 50an. Pendekatan Kepimpinan Ulama dan negara Islam awal 80an hingga akhir 90an. Kini Negara Kebajikan... Namun dasarnya tetap Islam.
Mengulas tentang kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan supaya Karpal Singh tokoh DAP yang sering pertikaikan perlaksanaan Islam di negara ini supaya melawat Kelantan adalah sesuatu yang wajar. “Karpal dan DAP sepatutnya lebih berhati-hati bila membuat kenyataan demi kesetia-kawanan Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama.” Tegas beliau yang juga seorang ahli PAS.
Sunday, April 06, 2008
Sejarah PAS 12: Pembunuhan Pertama Mencabar ...
IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 12
MENURUT Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, “Pernah Dr Burhanuddin menasihatkan saya dan rakan-rakan yang lain seperti Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Abdul Wahab Nor dan Ibrahim Hassan yang telah menjadi ahli PAS supaya tabah hati, sabar dan tegas dalam mengembangkan PAS serta mencapai cita-citanya untuk memperjuangkan negara Islam di tanahair kita sebagai sambungan perjuangan Hizbul Muslimin.”
Persahabatan mereka sangat karib, terutamanya kerana Dr Burhanuddin sering ke Semanggul melihat anaknya yang pada masa itu dalam peliharaan Ibrahim Hassan… Menyebabkan akhirnya beliau setuju sertai PAS, melalui PAS Johor Bahru. Borangnya dikirim dari Gunung Semanggul kira-kira 3 bulan sebelum Muktamar Agung Tahunan PAS ke 5 tahun 1956 di Kuala Lumpur. Dalam muktamar itu beliau dicalonkan oleh PAS cawangan Gunung Semanggul sebagay Yang Dipertua Agung parti tersebut.
Ustaz Zulkifli Muhammad pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua. Tetapi, menurut kenyataan dalam suratnya dari Kolej Islam Malaya, Klang, pada 21 Januari 1957 kepada Pengarang Utusan Melayu dan Warta Negara, ianya berbunyi…
“Berkenaan dengan pencalonan dan pemilihan saya sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Islam Se Malaya baru-baru ini, maka dukacita dimaklumkan bahawa saya tiada dapat menerima jawatan itu kerana kedudukan saya sebagai seorang kakitangan College Islam Malaya. Keputusan saya ini diambil kerana memandang kepada maslahat college dan menurut keputusan-keputusan Majlis College Islam yang tidak membenarkan anggotanya mengambil bahagian yang cergas di dalam politik.”
Walaupun begitu, regu Dr Burhanuddin-Zukifli terus mengambil-alih tugas tersebut dengan mengemaskinikan pentadbiran Pejabat Agung. Langkah pertamanya melantik Encik Abdullah Zawawi Hamzah sebagai Setiausaha Agung. Abdullah Zawawi berasal dari Kuala Kangsar, sekampung dengan Ustaz Zulkifli. Beliau yang berkebolehan bahasa Arab, Inggeris dan agama adalah bekas Setiausaha PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) dari Singapura, juga seorang wartawan.
Beliau ditugaskan untuk menyusun gerakan penerangan dan perhebatkan ke seluruh pelusuk tanah air. Di Kelantan pula selepas tahun 1955, perkembangan PAS membuka lambaran baru dengan kepulangan Mohd Asri. Mohd Asri diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.
Ketokohan Mohd Asri dikatakan boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme hingga berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Kesannya PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung
Saudara Amaluddin Darus dengan regunya Mohd Asri hanya berehat cuma seminggu sahaja selepas kekalahan 1955, mereka terus menggerakkan jentera penerangan, ceramah dan rapat-rapat umum. Di mulai dengan kawasan yang dipertandingkan hingga ke seluruh negeri tiada henti-hentinya. Inilah antara sebab-sebab kemenangan PAS dalam pilihanraya 1959 merebut 28 dari 30 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.
Di akhir tahun 1958, Amaluddin Darus dipanggil ke Kuala Lumpur memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat, bagi menggiatkan penerangan mengelilingi tanah air. Di samping itu beliau menjawat jawatan Penolong Pengarang suara rasmi PAS iaitu Suara Islam. Regu-regu tersebut bercantum di peringkat Pusat. Dalam pilihan raya 1959 tersebut, PAS berjaya menggema suaranya dengan lantang di parlimen Malaya apabila mampu merebut 13 dari 104 kerusi parlimen.
Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah:
1. Masalah rupa bangsa atau nationality bagi Malaya yang masih belum ditetapkan.
2. Islam sebagai agama rasmi yang amat terbatas kuasanya (PAS hendakkan yang lebih menyeluruh).
3. Gagasan Maphilindo (Malaya, Philipina dan Indonesia).
4. Kewujudan Malaysia.
5. Kemasukan Singapura dalam Malaysia.
Semuanya menjadikan PAS sebagai pembangkang yang mendapat perhatian hebat dari rakyat. Antara wakil-wakil PAS ialah:
1. Ustaz Zulkifli Muhammad.
2. Haji Hasan Adli.
3. Haji Ahmad Abdullah Perai.
4. Abdul Samad Gul Ahmad.
5. Haji Othman Abdullah.
6. Datuk Raja Mohd Hanifah.
7. Dan lain-lain.
Ini menyebabkan ramai umat Islam, terutamanya bekas ahli PKMM menyertai PAS, yang akhirnya menyebabkan PAS disabotaj dengan tragedi pembunuhan ke atas Ketua Pemuda PAS waktu itu, iaitu YB Abdul Samad Gol. Ketua Pemuda sebelum itu ialah Abu Bakar Hamzah, Haji Hasan Adli dan Haji Othman Abdullah. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5. Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I di bawah).
Inilah pembunuhan pertama berlaku dalam sejarah perjuangan PAS yang melibatkan Ketua Pemudanya. Menurut cerita-cerita yang saya (penulis buku ini) kutip, Allahyarham dikapak di lehernya dengan kapak siam (kapak kecik) semasa hendak memasuki kereta di depan orang ramai selepas berceramah malam hari. Gambarnya dengan darah membahasahi baju diiringi beberapa pengiring PAS ada dipamerkan di Majlis Sambutan Perayaan 40 tahun PAS, di Muassasah Darul Ulum Kedah, pada 20 September 1991. Tapi saya sendiripun belum melihatnya.
Menurut Ustaz Uthman Hamzah lagi…
“… yang dipercayai satu pembunuhan politik yang dirancang begitu rapi hingga tidak dapat dikesan pembunuhannya oleh pihak yang berkuasa.”
Apakah ini boleh dikatakan satu perubahan di era kebangkitan PAS peringkat kedua ini? Ataukah ‘pembunuhan’ ini satu evolusi atau revolusi yang mula tercetus dan menyerlah, tetapi cuba disekat dan diempang?? Walau apapun yang terjadi namun regu Burhanuddun-Zukifli sudah mula menampakkan kekuatannya dan mula tercabar.
Seperti kata Ustaz Uthman Hamzah lagi…
“Jika ini hendak dikatakan suatu perubahan yang dibanggakan oleh PAS dalam dekad-dekad pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, memanglah suatu pencapaian dan kejayaan beliau berserta Timbalannya Ustaz Zulkifli Muhammad, yang masing-masing berkelayakan mewarisi kepimpinan Islam, yang menghargai rakyat biasa, orang-orang kampung dan menghormati orang-orang atasan, yang sentiasa tegas dengan dasar atau konsep perjuangan mereka sebagai pemimpin harakah Islam.”
Tambahan I:
Kerana Ini... Pak Lah Jadi Anak Derhaka.
Posted on Tuesday, March 04 @ 01:08:11 MYT by greenboc. Oleh ibnuhasyim (Siaran dalam Tranungkite Net)
AYAH Pak Lah Haji Ahmad Badawi Abdullah adalah antara penaja penubuhan PAS pada tahun 1951. Salah satu sebab penubuhan tersebut ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu membenarkan judi dan loteri. Yang jelas Tuan Haji Ahmad Fuad, Haji Abdullah Fahim (dari Seberang Prai) dan Haji Fathullah Suhaimi (dari Singapura) telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya hal tersebut. Merekalah antara pengasas-pengasas penubuhan PAS.
Rupanya, begitulah UMNO dahulu, sekarang dan selamanya, tetap tidak berubah dengan dasar perjuangan kebangsaannya. Apabila anaknya, Pak Lah Ahmad Badawi memimpin UMNO, industri judi dan arak terus subur membangun bersama Islam Hadhari ciptaannya. Dalam Islam Hadhari minyak dan air rupanya boleh dicampurkan. Cuba anda bayangkan jika Syurga dan Neraka pun dicampurkan... Itulah simboliknya.
Sebenarnya, Perdana Menteri Pak Lah Badawi tidak lepas dari tanggungjawab meluluskan lesen kepada syarikat-syarikat arak dan judi ini... Antaranya:
Nama Syarikat & Jenis Perniagaan:
1. Genting Bhd : Kasino.
2. Resort World : Hiburan & Judi.
3. Magnum Corp. : Loteri.
4. Metroplex Bhd : Subic Bay Casino judi atas kapal.
5. Laisure man : Nombor ekor.
6. Lumba Kuda : Nombor ramalan.
7. Berjaya Sport Toto : Empat nombor ekor.
8. Guiness Anchor Bhd : Minuman keras.
9. Tanjong Public Limited Co : Nombor ramalan.
10. Carlsberg Brewery Bhd : Arak.
Kajian badan bebas Amerika Syarikat, National Gambleng Impact Study Commision mengenai kesan negatif industri perjudian merumuskan:
1. Ada kaitan antara judi dengan penagihan dadah.
2. Pertambahan penceraian, 5 kali ganda dari biasa.
3. Pertambahan potensi dalam kes-kes jenayah.
4. Pertambahan hutang peribadi yang besar.
5. Merosakkan hubungan antara kawan dan keluarga.
6. Pertambahan kes bunuh diri.
Hasil pendapatan kerajaan dari beberapa industri arak dan judi adalah melalui cara berikut:
1. Cukai korporat sebanyak 28%.
2. Cukai perkhidmatan sebanyak 5%.
3. Perlesenan.
4. Melalui syer.
Kementerian Kewangan memaklumkan pada 2005, kerajaan Malaysia memungut RM924 juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat judi. Manakala jumlah wang yang dibayar firma judi kepada mereka yang menang bertaruh adalah RM4.8 bilion. Menurut Mufti Perak Dato’ Harussani Zakaria tahun lalu, mendedahkan di mana orang Melayu membelanjakan RM 4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi. Sejumlah 75% yang tikam ekor adalah orang Melayu.
Oleh itu, Pak Lah bukan sahaja derhaka kepada perjuangan Islam ayahandanya bahkan juga derhaka kepada Allah SWT, seperti firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90..
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, undi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar anda dapat untung.”
Sebenarnya kita semua akan beruntung jika tiada industri judi dan arak. Untung yang paling besar ialah kita tidak menjadi penderhaka kepada Allah SWT, bukan macam Pak Lah dan kuncu-kuncu sekandang dengannya. Nak tahu bagaimana Pak Lah derahaka kepada ayahnya mengenai aurat wanita, sila lihat tulisan dalam blog saya Disember 2007 ‘Hari Raya: Saya Cabar Pak Lah, Apa Alasan Biarkan Isteri Tak Tutup Aurat??’.
Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallhu aklam. Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 03-03-08. KL
Ulasan GB (greenboc) Tranungkite Online sekadar untuk makluman dan rekod:
Golongan agama di dalam UMNO telah bertindak keluar sehingga lahirnya PAS pada tahun 1951 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.
Di antara jawatankuasa penaja Parti Islam SeMalayia adalah:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota (ayahanda PM Abdullah Badawi)
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
dan dua tiga orang ulama lain yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.
* Datuk kepada Dato Seri Abdullah, Haji Abdullah Fahim adalah calon Presiden PAS yang pertama? Beliau dicalonkan bertanding dengan Haji Ahmad Fuad. Ditakdirkan beliau tewas. Dan beliau menjadi pengasas pula kepada Dewan Ulama PAS. Haji Ahmad Badawi pula terpilih menjadi ahli jawatankuasa agung dan ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.
Alangkah deritanya roh datuk dan ayah Abdullah Ahmad Badawi yang mengetahui cucu / anaknya kini menjadi Presiden sebuah Parti yang ditentang oleh mereka yang meneruskan ciri-ciri kemungkaran yang yang kini menjadi penentang kepada Parti Islam SeMalaysia yang datuk dan ayahnya telah asaskan.
Subscribe to:
Posts (Atom)