Friday, May 30, 2008

Ingatan Pada Wakil Rakyat.. Dari Sumut.


Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan

TENGAHARI tadi saya sembahyang Jumaat di sebuah kampong di luar kota Medan, kira-kira 2 jam perjalanan, melalui lorong tanah merah, melintasi ladang-ladang dan perkebunan. 

Khatibnya agak muda. Antaranya berkhutbah mengulas akhbar di Medan hari ini, katanya..

Seseorang melihat temannya sedang bersedih dan keluh-kesah, “Kenapa kau bersedih?”

“Aku hilang wang Rp 5,000 (kira-kira RM1.50).”

Lalu digantikan oleh temannya itu. Tiba-tiba dia menangis pula. “Mengapa kau menangis pula selepas dapat ganti?”

“Kerana kalau duit itu tidak hilang tentu wang aku sudah ada Rp 10,000…”

!!!!!!!!!!!

Teringat saya pula kepada ucapan Tok Guru Nik Aziz …Tiap makanan yang kita makan, walau macam mana mahal dan sedap pun, hanya sekadar yang boleh diterima oleh perut, dan akhirnya tempat simpannya cuma ditandas sahaja…

Jadi di mana manfaatnya? Manfaat di akhirat ialah harta yang dermakan dan membela rakyat miskin atau untuk jalan Allah, atau buat kebajikan. Itu yang dapat melepasi sekatan tol di akhirat. Pahala kebajikan itulah ‘duit’ untuk melepasi tol tersebut.

Khatib tadi menyeru orang ramai supaya berderma membuat masjid yang sedang diperbaharui, walaupun penduduk-penduduk kampong itu nampaknya tidak se mewah rakyat Kuala Lumpur. Bahkan waktu hendak pulang ke Medan, saya disekat di jalan-jalan raya, bukan oleh polis tetapi oleh mujahidin-mujahidat remaja dari beberapa masjid yang sedang mengutip derma.

Demikianlah di Indonesia, derma untuk masjid antara cara kutipannya ialah melalui derma dipingggir-pinggir jalan melalui sekatan-sekatan jalan raya atau diletakkan tong derma di tengah-tengah jalan. Itulah peluang berbuat kebajikan, samada tenaga dan harta.

Patutkah peringatan-peringatan seperti ini diberitahu kepada wakil-wakil kita yang menang dalam pilihan raya baru lalu?

Sekian, wallahu ‘aklam.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyim
Bingkisan Ibnu Hasyim 
dari Medan Sumut, Indonesia.
30 Mei 2008

Ikutilah Catatan Perjalanan Seterusnya..

E-Buku IH-8 Catatan Perjalanan.'Medan-Tanjung Balai'
Bab I
Bab II
Bab III
Ikutilah sambungannya dalam catatan perjalanan yang lain.

Wednesday, May 21, 2008

Ya, Sekarang Boleh Berniaga Borong & Runcit Barangan China..

Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


“YA, Aku sudah bisa berniaga barang dari Negeri China, samada secara borong atau runcit lepas hadiri kursus ini.” Kata Anhar selepas mengukuti kursus ‘Cara Memborong Barang Dari China’ Anjuran Anzac Consultancy’ dengan kejasama Ibnuhasyim Blogspot.com pada Ahad lepas. Beliau adalah seorang peserta dari Medan Indonesia, antara yang lain-lain dari berbagai negeri di Malaysia.


“Selama ini orang-orang Cina sahaja yang membawa masuk barangan China ke Medan, yang merupakan pintu masuk ke Pulau Sumatera.” Kata beliau yang sentiasa berulang-alik antara Malaysia, Medan, Jakarta dan lain-lain daerah di Indonesia, membawa barangan Malaysia ke Indonesia atau sebaliknya. “Penjelasan yang diberi amat jelas, dengan buku keterangan lengkap, membolehkan aku pergi bersendirian!”


Pertama: Walaupun begitu, pihak penganjur sedang menyusun rombongan perniagaan pergi ke China bersama-sama. Sesiapa yang berminat sila hubungi penganjur segera untuk pemergian pada Jun ini. Kursus lepas agak berjaya (menurut borang kaji selidik yang dilampirkan). Kehadirannya seramai 10 orang seperti yang dihadkan.


Kedua: Kursus akan diadakan lagi awal bulan depan..


Kursus Cara Borong Barang Di China.

Motivator: Dr Mohd Hasyim (Ibnu Hasyim)
Penceramah: Sdr Shahabudeen Jalil.
Seorang Guru mengajar bahasa Cina asas.

Tarikh: Ahad – 1 Jun 2008.
Masa: 9 pagi hingga 4 petang.

Tempat: Akan dipilih tempat yang lebih sesuai lagi di KL.




Peserta dikenakan bayaran sebanyak RM400 seorang. Peserta-peserta yang telah hadir kursus boleh bayar ¼ dari jumlah bayaran di atas.


Sijil dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan makan minum disediakan. Terbuka kepada warga Malaysia atau bukan warga Malaysia. Jika berminat sila hubungi : 017 2517515 (Din) atau email di aucklandwise@gmail.com


Ketiga: Ada juga pesert-peserta terus memulakan perniagaan dengan tidak perlu pergi ke negeri China. Mereka boleh membeli terus seperti yang dijelaskan dalam kursus tersebut. Untuk lebih mudah lagi, baru berniaga kecil-kecilan peserta-peserta boleh membeli terus dari penganjur untuk dipasarkan atau menjadi agen penganjur di negeri masing-masing.


Inilah contoh barang-barang yang disediakan penganjur buat masa ini..


1. Pen Al-Qu’an dan Tasbih Elektronik.

i…Al-Qur'an audio
ii.
Telawah of last 30 Surahs of Qur'an
iii.
Voice of Shaikh Sudaid (Imam Mecca)
iv.
Play, pause, stop and repeat functions
v.
Pen also writes! - Black ink retractable ball pen
vi.
High quality metallic silver casing
vii.
Headphones with attached volume control
iix.
Regular pen size – total portability


Ciri-ciri


i.,,
Audio bacaan Al-Quran
ii..
Mengandungi 30 surah dalam Al-Quran
iii.
Bacaan Oleh Sheikh Sudais (Imam Mekah)
iv.
Terdapat fungsi play, stop dan repeat.
v.
Pen berkualiti yang boleh menulis.
vi.
Berwarna Metallic Silver
vii.
Headphone dengan tempat mengawal suara
viii.
Mudah dibawa ke mana-mana - bersaiz pen biasa.


Specifikasi

i… Diaktifkan dengan 2 LR44 bateri seperti bateri jam (disertakan bersama)
ii...
Dimensi: 13.5 cm x 5 cm (5.2 inch x 2 inch)
iii. Warna: Silver


Harga Jualan RM 99.00. Beli 3 dapat percuma tasbih electronik bernilai RM 39.00.




2… Untuk maklumat lanjut, sila lawati bazar GG EDAR kami di alamat berikut http://www.ggedar.blogspot.com/

Keempat: Menurut Hosni seorang peserta kursus dari Terengganu, beliau sudah membeli minyak wangi keluaran rakan yang dijumpai dalam kursus itu sebagai peluang membesarkan perniagaan beliau. Ustaz Zainuddin pula, seorang peniaga dari Johor mencadangkan supaya diwujudkan Gabungan Usahawan & Peniaga-peniaga Global yang berpusatkan di KL.

Sekian.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 21-05-08. KL.

YB Siti Zailah: Pemerintahan Mengikut Imam Al-Ghazali?


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

BANYAK isu-isu yang dikemukakan oleh Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusof, Ahli Parlimen Rantau Panjang Kelantan, dalam ucapan di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam 8.12 malam, tetapi kita muatkan sebahagian sahaja. Antaranya…


{ “Tuan Yang di-Pertua, saya memetik satu kata-kata daripada Imam Al-Ghazali sebab Perdana Menteri kita, dia berminat untuk mencari Imam Al-Ghazali. Jadi saya mengambil petikan daripada Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa...


Agama itu satu asas. Pemerintah adalah pengawal. Maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.”


Jadi saya ingin penjelasan daripada pihak kerajaan, apakah telah menjadikan satu realiti, satu rujukan, pesanan Imam Al-Ghazali ini dalam pentadbiran negara Malaysia? Apakah pengabaian penggubalan undang-undang murtad walaupun sudah 50 tahun kita merdeka yang sekarang ini sudah ratusan ribu rakyat yang murtad, yang masih tidak digubal undang-undangnya, apakah ini selaras dengan pesanan apa yang disebut oleh Imam Al-Ghazali? Apakah undang-undang yang tidak mengembalikan hak rakyat iaitu bagaimana kezaliman terhadap hak kemanusiaan itu sendiri seperti undang-undang ISA, apakah ini selaras dengan pesanan Imam Al-Ghazali?


Adakah membebaskan perasuah atasan yang tidak didakwa, perasuah ikan bilis didakwa dan diambil tindakan, apakah ini selaras dengan pesanan Imam Al-Ghazali? Menafikan hak per kapita sekolah agama rakyat, apakah ini selaras dengan pesanan Imam Al-Ghazali? Sebagaimana kita tahu bagaimana hak yang diberi kepada artis dan kumpulan orkestra lebih bernasib baik daripada pembelaan kepada sekolah agama rakyat. Begitu juga kita lihat banyak lagi perkara-perkara yang menjatuhkan maruah agama. Di antaranya bagaimana ribuan tempat-tempat judi, kelab-kelab malam yang diberi lesen berleluasa yang boleh membawa kepada keruntuhan, yang membawa kepada masalah bertambahnya masalah sosial dalam negara kita.


Hari ini kita dapat mendengar pelbagai masalah yang sedang berlaku dalam negara. Bermula daripada masalah penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan, pembaziran, gejala sosial, masalah wanita, masalah kesihatan, pendidikan, pendatang tanpa izin, diskriminasi, keselamatan, kenaikan harga barang, kemiskinan dan sebagainya. Semua ini adalah menuntut supaya kerajaan yang memerintah hari ini supaya berlaku adil dan bukan memandang remeh setiap isu yang telah dikemukakan oleh rakyat di Dewan yang mulia ini.”}


Kerana agama itu asas dalam kehidupan, maka pemerintah akan berfungsi sebagai pengawal. Kalau di kalangan petani-petani, pemerintah adalah pagar yang mampu menyelamatkan padi dari serangan musuh. Tetapi kalau pagar itu sendiri sudah makan padi tak boleh diharap lagi, seperti kata pepatah ‘harap pagar, pagar makan padi!’, maka sudah tentu asasnya perlu disiasat. Tentu asasnya yang tidak kukuh..


Di situlah perlunya negara berasaskan agama seperti yang diperjuangkan oleh PAS!. Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 20-05-08. KL.

Tuesday, May 20, 2008

Dr M Keluar UMNO, Antara Pandangan 2 Tokoh..


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


“KEPUTUSAN Tun Dr. Mahathir untuk keluar dari UMNO hari ini mencerminkan krisis Umno yang kian merosot, di mana pemimpin saling berebut dan bercakaran, manakala rakyat semakin tidak terbela. Masalah dalaman UMNO semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih. Walau bagaimanapun, kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin yang rasuah.


Memandangkan masalah dalaman UMNO yang semakin merudum, semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan kestabilan, kemajuan dan perpaduan masa depan negara dijemput menyertai KeADILan dan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan visi bersama untuk bersatu demi memulihkan Malaysia.” Ulasan Anwar Ibrahim 20 Mei 2008


Menurut Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang,20 Mei 2008 “Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari UMNO merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa UMNO kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti.




PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang UMNO sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam. PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan sama ada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak UMNO sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:


1..Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik.
2..Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk.
3..Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua.
4..Proses perubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik.


PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang. PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yangs sedang berlaku dalam UMNO pasca pilihan raya, demi menyusun demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.”


Kalau proses keluar dari UMNO itu terus berterusan, contohnya diikuti oleh Sanusi Junid dan ramai lagi ahli UMNO ianya adalah suatu perkembangan baru, yang boleh jadi macam-macam seperti piliharaya semula dan lain-lain. Tidak seperti keluarnya Presiden-presiden UMNO terdahulu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn dulu. UMNO akan mendapat saingan kuat dari PKR, dan PKR lebih banyak dapat manfaat dari PAS kerana perjuangannya yang hampir sama… PAS boleh fikir bagaimana boleh mengaut keuntungan agama dari tragedy dalam UMNO itu…

Sekian.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 20-05-08. KL.

Monday, May 19, 2008

Dr Siti Mariah: Bunuh Tulisan Jawi, Bunuh Bahasa Melayu..


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


BANYAK isu-isu yang dikemukakan oleh Dr Siti Mariah binti Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, dalam ucapan di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam jam 5.04 petang itu, tetapi kita muatkan sebahagian sahaja. Antaranya…


{ “Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bergerak kepada satu lagi topik iaitu isu bahasa. Saya bekas tenaga pengajar UKM. Pada 18 Mei, UKM akan menyambut sempena 38 tahun penubuhannya. Universiti Kebangsaan Malaysia telah banyak berjasa kepada negara. Di antara matlamat penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Selama 13 tahun saya di sana, saya melihat sendiri dan terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tidak ada satu subjek atau satu kursus pun yang tidak dapat diajar di dalam bahasa Melayu.




Kita ada istilah bahasa untuk semua kursus dan setiap kursus mampu diajar hampir 100% di dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan yang telah diterima oleh semua bangsa di dalam negara kita sebagai bahasa Malaysia. Akan tetapi langkah kerajaan kita meletakkan program pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa Inggeris itu adalah satu bahasa yang penting untuk ilmu dalam dunia yang bersifat global ini. Saya tidak menafikan kepentingannya, namun apabila kita menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, ini bermakna apabila penuntut-penuntut sampai ke peringkat universiti mereka sudah tak ada lagi kemampuan untuk belajar, dan mungkin kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia tidak lagi boleh mengajar di dalam Melayu.


Maka kita dengan sendirinya, UMNO dengan sendirinya seperti apa yang telah mereka lakukan kepada tulisan jawi, telah membunuh tulisan jawi dan kini kita dalam proses untuk membunuh bahasa Melayu itu…. [Tepuk] Yang Berhormat sekalian, kita tidak menafikan bahasa Inggeris itu bahasa yang penting. Saya sendiri sebelum menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia berfikir di dalam bahasa Inggeris kerana saya datang daripada aliran Inggeris, tetapi oleh kerana rasa di dalam hati patriotisme yang kita ada, saya sanggup mempelajari semula semua istilah perubatan di dalam bahasa Melayu dan saya mampu melakukannya.




Jadi saya harap, janganlah kita memberi apa yang dikatakan dengan izin, double whammy atau double jeopardy kepada anakanak kita yang boleh memahami sains dan matematik lebih baik dengan bahasa ibunda. Kajian telah menunjukkan bahawa untuk kita belajar mata pelajaran yang abstrak seperti matematik dan sains, adalah lebih baik kita belajar dengan bahasa ibunda dan bukan bahasa asing, kerana anak-anak kita terpaksa daripada Darjah 1, pertama untuk memahami, kedua menterjemahkan pula bahasa itu di dalam otaknya untuk memahami apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua mata pelajaran ini.


Maka kita telah memberi kesukaran yang amat sangat kepada mereka, tambahan di luar bandar ibu bapa tidak mampu untuk menolong mereka dalam sains dan matematik, apa lagi di dalam bahasa Inggeris. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kalau kita katakan, bahawa kita perlukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran matematik dan sains, supaya sains dan teknologi kita capai kepada satu tahap yang tinggi, maka saya ingin bertanya.. Adakah negara-negara maju lain seperti Germany, Perancis, Jepun, Korea dan banyak lagi negara-negara lain China, Taiwan mengajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris?


Tidak! Kalau kelemahan bahasa Inggeris itu adalah disebabkan oleh kelemahan metodologi pengajarannya, maka perbaikilah metodologinya. Sekiranya kelemahan dalam bahasa Inggeris itu tidak cukup gurunya, maka tambahlah gurunya. Bukan kita mendaulatkan atau membesarkan bahasa Inggeris dan kemudian membunuh bahasa Melayu. Kalau kita tidak melakukan sesuatu dari sekarang, maka dalam 10 tahun lagi anak-anak Melayu, anak-anak Cina, anak-anak India, anak-anak Kadazan tidak akan mengetahui istilah-istilah sains, matematik, fizik dan sebagainya di dalam bahasa Melayu.


Jadi saya mohon Kementerian Pelajaran membuat perubahannya sekarang. Janganlah mengambil 50 tahun seperti yang kita lihat, apa yang berlaku dengan tulisan jawi. Walau banyak mana pun kita bagi naskhah Utusan Melayu dengan percuma, kita tidak dapat menghidupkan kembali tulisan jawi itu sendiri….


Insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi adalah, saya nak sebut sedikit mengenai doktor-doktor ataupun perkhidmatan kesihatan. Walaupun pun, saya mendapat jawapan daripada Kementerian Kesihatan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan, namun tindak-tanduk kerajaan sedikit demi sedikit yang kita tahu telah menswastakan pembekalan ubat-ubatan. Telah menswastakan perkhidmatan kejuruteraan. Telah menswastakan khidmat ambulan dan telah menswastakan kebanyakan perkhidmatan-perkhidmatan hospital. Dan terakhir sekali ialah menswastakan sebahagian daripada perkhidmatan doktor pakar itu sendiri.


Kita telah bermula di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. Jadi kalau kita bayangkan doktor-doktor pakar ini, siapa jadi doktor dia tahu. Kalau dia jadi pakar dia bukan sahaja merawat pesakit, dia juga mengajar doktor-doktor pelatih, dia juga mengajar penuntut-penuntut perubatan. Bila masanya dia hendak melihat pesakit-pesakit swasta ini? Jawabnya, selepas waktu kerja. Dan kita tahu apabila seseorang itu mula bekerja daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang, disambung sampai pukul 7.00 malam, maka dia mesti mengekalkan endurance stamina dia. Maka, apa akan berlaku? Dia akan slow down, dia akan perlahan di dalam aktivitinya daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang.


Tanyalah di sini semua. Itulah sebabnya kita lihat kadang-kadang, pekerja-pekerja kilang ataupun pekerja- pekerja kerajaan juga sedikit masa dahulu buat kerja lambat semasa waktu pejabat kerana hendak ambil overtime kerana overtimenya ada bayaran…. Jadi inilah sinonim atau analogi yang ingin saya berikan. Sekarang ini, saya kena sebut ini, dengan penswastaan ataupun kita mengatakan dengan promosi kerajaan untuk mewujudkan pelancongan kesihatan maka brain drain ataupun dengan izin, doktor-doktor pakar ini akan berhijrah kepada pihak swasta kerana ganjaran di sana lebih baik.


[Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee memberitahu masa berucap untuk Dr Mariah sudah habis.] Baik! Sebenarnya kami telah mengemukakan gerakan membantah perkhidmatan penswastaan. Perkhidmatan kesihatan telah menyampaikan memorandum kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum pilihan raya lagi, minta perkara ini dibincangkan sehalus-halusnya, selumat lumatnya, tetapi Perdana Menteri yang selalu berkata..


“Saya sedia mendengar, telinga saya besar!”


Tidak sekalipun mahu berjumpa gabungan NGO yang mempunyai 60 NGO… Kalau inilah yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kami menangis dahulu bagi pihak tuan-tuan dan puan-puan. Sebenarnya banyak lagi, saya harap kawan saya akan sambung. Wabillahi taufik, wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.”}


Begitulah pandangan, saranan dan keluhan Dr Siti Mariah mewakili rakyat jelata kepada PM yang mengakui sendiri bertelinga besar.. Tetapi apa guna besar kalau tidak mampu mendengar.. Sekian catatan dari Parlimen Malaysia.



Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

3 Isu Dari Teresa Kok


Ibnu Hasyim:

Catatan Santai


KITA pilih pula pandangan Puan Teresa Kok Suh Sim Ahli Parlimen Siputeh Wilayah Peersekutuan dari DAP. Beliau berucap di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam 11.37 malam. yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


{ “ … Oleh kerana kesuntukan masa, yang mana saya hanya diberi 10 minit sahaja untuk berucap, saya ingin terus masuk ke tajuk yang saya ingin bentangkan.


Isu pertama ialah berkenaan dengan projek Government Integrated Radio Network (GIRN). Mesyuarat Kabinet pada 6 Disember 2006 memutuskan bahawa projek Government Integrated Radio Network (GIRN) dianugerahkan kepada Sapura Research Sdn. Bhd. Persoalan saya ialah, adakah proses penganugerahan dibuat secara telus? Kenapa ianya hanya dibuat secara rundingan terus sedangkan agensi-agensi terlibat telah banyak menyoal isu teknikal Sapura. Apakah ini benar bahawa projek GIRN melibatkan kos yang melebihi RM5 bilion bagi tempoh konsesi 20 tahun.


Saya terima maklum balas daripada pengusaha industri tersebut bahawa projek tersebut hanya memerlukan kos yang kurang daripada RM2 bilion sahaja. Beberapa syarikat telah menghantar kertas cadangan skop kerja yang sama dengan Syarikat Sapura kepada EPU tetapi cadangan mereka langsung tidak dipertimbangkan. Apakah ini menunjukkan bahawa berlakunya ketirisan yang ketara dalam projek ini? Tuan Yang di-Pertua, saya difahamkan pada peringkat awal projek ini diberi kepada Special Purpose Vehicle (SPV) yang melibatkan beberapa agensi seperti EPF, Amanah Raya, Koperasi Polis dan LTAT.


Kenapakah ia kemudian dianugerahkan kepada Sapura, sebuah syarikat persendiria? Kenapakah pihak EPU terus menganugerahkan projek ini kepada Sapura tanpa kira tentangan daripada agensi-agensi terlibat, khususnya bantahan daripada Polis Diraja Malaysia yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap projek-projek GIRN kerana ia tidak sesuai bagi mereka. Tuan Yang di-Pertua, dalam jawapan Parlimen yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada saya berkenaan dengan isu ini pada 12 Mei, ia berbunyi…


“Perjanjian penswastaan GIRN telah ditandatangani pada 4 Januari 2007 dengan kos projek yang dianggarkan sebanyak RM2.7 bilion. Jumlah tersebut adalah termasuk kos sewaan rangkaian sebanyak RM1,833 juta dan RM956.1 juta kos penyenggaraan bagi lima tahun pertama untuk tempoh konsesi selama 20 tahun.”


Soalannya, kos RM2.7 bilion cuma untuk peralatan dan kos penyenggaraan selama lima tahun sahaja tetapi konsesi GIRN adalah selama 20 tahun. Bagaimanakah kos penyenggaraan bagi baki 15 tahun berikutnya. Kenapakah kos penyelenggaraan 15 tahun ini tidak dimasukkan ke dalam kontrak nilai tersebut. Apakah ini merupakan kos tersembunyi ataupun hidden cost yang belum didedahkan bagi projek ini. Selain itu, saya juga meragui jawapan tersebut yang menyatakan, tawaran Sapura memberi litupan ke seluruh negara.


Saya difahamkan, dalam Kertas Cadangan Sapura, kawasan liputan Sapura hanya sekitar 60% sahaja manakala bagi PDRM kawasan liputan seluruh negara termasuk liputan yang merangkumi lebih daripada 95%. Soalannya ialah, kenapakah setelah kontrak ditandatangani selama 6 bulan, jumlah base station ditambah dua kali ganda untuk liputan Semenanjung Malaysia iaitu daripada 446 base station kepada lebih daripada 700 base station.


Bukankah ini merupakan kenaikan kos ataupun hidden cost bagi kerajaan. Jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada saya telah menjustifikasikan penggunaan GIRN, juga ia menyebut bahawa..


”Autonomi bagi agensi yang mana setiap agensi dapat mengendalikan kumpulan pengguna masing-masing melalui pengurusan dan pusat dispatch agensi masingmasing.”


Masalahnya mengikut Kertas Cadangan Sapura, Sapura akan mengawal dan menguruskan rangkaian tersebut. Di manakah autonomi bagi pihak agensi kerajaan dan PDRM dalam sistem ini. Selain itu, jawapan tersebut juga..., mengenai sistem, Sapura juga sebut bahawa sistem GIRN mempunyai ciri keselamatan yang tinggi seperti ‘user authentification’, air interface encryption dan end to end encryption bagi menjamin keselamatan suara dan data dari diintip oleh pihak ketiga. Tuan Yang di-Pertua, mengikut Pengurus Industri, teknologi ini tiada kemudahan end to end encryption.


Ini adalah di antara sebab kenapa Ketua Polis Negara ataupun PDRM tidak setuju dengan penggunaan rangkaian radio tersebut yang dikemukakan oleh pihak Sapura. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya ingin minta pihak kerajaan untuk memberitahu Dewan yang mulia ini, siapakah yang membuat penilaian teknikal untuk projek ini. Apakah pihak agensi kerajaan seperti MAMPU terlibat dalam penilaian teknikal ataupun penilaian hanya dilakukan oleh syarikat yang diragui ketelusan.


Selain itu, jawapan diberi oleh Perdana Menteri tersebut berkata bahawa PDRM telah bersetuju untuk menggunakan GIRN. Ini adalah kenyataan yang tidak benar. Saya difahamkan bahawa Ketua Polis Negara pernah menghantar surat bantahan terhadap penggunaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pada 5 Disember 2006 dan kepada Unit Perancang Ekonomi pada 10 Disember 2007. Di antara alasan bantahan yang dikemukakan oleh PDRM ini ialah, sistem GIRN ini tidak dapat memberi autonomi sepenuh kepada PDRM dan kemungkinan akan berlaku kebocoran maklumat.


Oleh itu saya ingin mencadangkan pihak kerajaan melalui EPU dan MAMPU melantik pihak ketiga untuk mengkaji semula Perjanjian Kontrak Konsesi GIRN yang telah dianugerahkan kepada Syarikat Sapura khususnya kajian dari segi kesesuaian teknologi yang digunakan dan juga harga kontrak yang ditawarkan kepada mereka. Ini adalah untuk memastikan tidak berlakunya ketirisan dan tiada hidden cost serta menjamin keselamatan negara.


Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan isu kedua ialah masalah teksi bajet, KLIA dan LCCT. Yang Berhormat Segambut dan saya pernah berjumpa dengan sekumpulan pemandu teksi bajet LCCT yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan LCCT pada bulan lepas. Bantahan para pemandu teksi bajet ini adalah pertama, 70% daripada pemandu teksi di kalangan 20,000 pemandu teksi di Lembah Klang, terpaksa menyewa ataupun membeli teksi daripada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional.


Sedangkan permohonan permit teksi persendirian telah pun dibeku sejak tahun 2006. Jadi soalan mereka ialah, kenapakah pihak kerajaan membiarkan syarikat-syarikat besar untuk mengeksploitasi mereka manakala pemandu teksi yang mencari nafkah dinafikan permit teksi individu sehingga mereka terpaksa menjadi hamba abdi kepada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional yang dikawal oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional. Dan mereka dipaksa membayar sewa teksi yang lebih kurang RM20 lebih tinggi sehari kepada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional tersebut.


Bantahan mereka yang kedua ialah pihak LPKP tidak mengenakan kawalan kereta dalam pasaran pengangkutan awam di lapangan terbang. Sekarang pemandu teksi bajet lapangan terbang terpaksa menghadapi saingan daripada kenderaan lain seperti van, bas AirAsia, bas yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, limousin hotel, limousin KLIA dan juga teksi sapu persendirian. Jadi, pewujudan kesemua teksi dan bas ini menunjukkan para agensi kerajaan seolah-olah hilangnya koordinasi dan seolah-olahnya lebih mementingkan keuntungan syarikat kroni Barisan Nasional daripada pemandu teksi yang mencari makan....


Jadi akhirnya, saya ingin menyeru pihak kementerian untuk mendengar rintihan daripada pemandu teksi bajet sebelum mereka datang protes ke Parlimen, dengan menghentikan pengeluaran permit teksi kepada syarikat kroni Barisan Nasional, tetapi permit teksi harus diberi kepada kesemua pemandu teksi individu.


Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat.... ...Menteri Perumahan..., sedikit sahaja, ..Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru yang mewarisi jawatan daripada adiknya, berkata bahawa... Beliau hanya akan mengkaji kemungkinan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Jadi saya ingin tanya, apakah masalah yang menegah kerajaan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan apakah pihak kementerian telah menetapkan jadual ataupun time-line untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan...


Supaya rakyat boleh memilih Datuk Bandar dan juga Ahli Majlis Kerajaan Tempatan... Dengan menggunakan undinya sendiri. Memandangkan kita sudah lima negeri telah pun dikawal oleh parti yang bukan daripada Barisan Nasional, dari Pakatan Rakyat... Jadi kalau adanya Pilihanraya Kerajaan Tempatan, jadi ahli-ahli politik dari Barisan Nasional juga boleh bertanding. Jadi saya cadangkan untuk kebaikan bagi negara dan juga demokrasi adalah lebih baik kerajaan memulihkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan... Untuk memulangkan undi ketiga kepada rakyat. Sekian, terima kasih.” }


Sekian catatan dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

Sunday, May 18, 2008

Ir Khalid Abd Samad: Bukan Duniawi Sahaja...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

KITA sedutkan pula sebagian dari ucapan Ir Haji Khalid Abd Samad adik kepada Menteri Kabinet Dato’ Sahrir Abd Samad. Beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, berucap di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, semasa membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong bermula pada jam 3.17 petang. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


{“Pada hakikatnya, rakyat menyedari kebenaran dakwaan pihak Pakatan Rakyat kerana seperti mana peribahasa Melayu ‘Ada bau, ada bangkainya’ dan bau dari bangkai rasuah dan pembaziran Kerajaan Barisan Nasional telah memenuhi udara Malaysia sehingga ramai dari rakyat Malaysia telah menyatakan, enough is enough. [Tepuk] Kalau ada yang mengelirukan rakyat Malaysia... ...ianya adalah pihak Barisan Nasional...


...Melalui media yang dikuasai mereka yang mana telah menyelamatkan mereka untuk kali ini buat seketika. Sudah pasti sekiranya Barisan Nasional menghormati rakyat dan menghormati dasar-dasar demokrasi yang mewajibkan media yang adil dan bebas... ...merupakan ucapan sayonara kepada Barisan Nasional. Bagi kami dari PAS... [Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman YB Pasir Salak cuba mencelah] ...sukar diterima adalah pembelaan, penyelewengan dan rasuah ini dengan bertopengkan Islam.


Walaupun Islam Hadhari itu bukan anutan kami, begitu banyak lips service yang diberi terhadap Islam dan usaha-usaha meninggikan syiarnya semata-mata... ...sedangkan apa yang dituntut dan ditegaskan langsung tidak dihiraukan Kerajaan Barisan Nasional. Rasulullah SAW telah bersabda [Membaca sepotong ayat] ‘perasuah dan penerima rasuah di dalam neraka’ yang secara jelas menunjukkan sikap tiada kompromi terhadap amalan rasuah yang ditunjukkan oleh Islam namun rasuah terus ditegakkan dan dipertahankan oleh Barisan Nasional.


Sambil itu ada pula Yang Berhormat Barisan Nasional yang ingin mengambil berat soal murtad yang menimpa umat Islam di negara ini. Tidakkah jelas kepada mereka bahawa di antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya murtad ini adalah kegagalan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional UMNO khususnya untuk menzahirkan corak kepimpinan yang menghayati Islam yang boleh dibanggakan oleh umat Islam? Gejala murtad ini akan dapat ditangani secara lebih berkesan sekiranya pemimpin di kalangan umat Islam menghayati sepenuhnya ciri-ciri kepimpinan Islam seperti adil, telus, amanah, berkebajikan, serta takut akan kemurkaan Allah.


Kemunculan kepimpinan sedemikian akan menambah kukuhnya keyakinan terhadap kebenaran Islam dan kemampuan Islam di kalangan umat Islam itu sendiri. Pentingnya soal pemimpin dalam soal ini jelas mengikut sebuah hadis [Bacaan hadith dalam bahasa Arab] ‘Manusia kebanyakan akan berada atas agama pemimpin-pemimpin mereka.’ Inilah sebab mengapa kepimpinan penting dalam Islam. Bukan sekadar pembangunan duniawi tetapi juga untuk menjaga kepentingan ukhrawi. Sambil itu usaha mendidik umat Islam perlu dijalankan tanpa apa-apa sekatan kepentingan politik.


Sebaliknya Barisan Nasional mengongkong Islam dengan mengenakan sekatan demi sekatan ke atas usaha membangunkan kefahaman Islam yang mantap di kalangan rakyat Muslim demi kepentingan politik UMNO sekolah-sekolah agama terabai, guru-guru agama diskriminasi dengan bayaran gaji yang rendah dan institusi-institusi seperti masjid dan surau dikongkong dan dikekang mengikut kepentingan UMNO. UMNO khuatir sekiranya rakyat Islam celik Islam, mereka akan menyokong PAS. Sebagai contoh sekiranya ingin melihat komitmen UMNO-Barisan Nasional terhadap pengajian Islam…


Bandingkanlah jumlah pelajar hafiz yang dibiayai, yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang melebihi 1,000 pelajar setahun dengan jumlah dihantar oleh Kerajaan Barisan Nasional Selangor sebanyak 84. MasyaAllah ramainya! Sekolah-sekolah tahfiz di negeri Selangor yang berjumlah lebih dari 100 buah selama ini tidak diiktiraf dan tidak juga dibantu oleh Kerajaan Negeri Selangor-Barisan Nasional walaupun satu sen, sehingga naiknya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di negeri Selangor baru-baru ini. Gejala murtad ini adalah gejala krisis keyakinan dan ianya tidak boleh ditangani melalui undang-undang semata-mata.


Undang-undang boleh melambatkan proses ini tetapi ianya bukan penyelesaian. Memilih pendekatan undang-undang memberikan gambaran yang negatif terhadap Islam seolah-olah Islam tidak mampu menangani krisis keyakinan ini melainkan dengan paksaan. Kecenderungan Barisan Nasional ke arah paksaan jelas apabila ISA itu sendiri yang merupakan undang-undang yang zalim dan bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dipertahankan dengan menggunakan hujah-hujah yang meleset dan mengelirukan. Pendekatan paksaan adalah pendekatan golongan bankrap idea, bankrap hujah dan bankrap moral.


Saya ingin menyatakan syabas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah beberapa kali menyatakan hasrat beliau untuk mencontohi corak kepimpinan Umar bin Abdul Aziz. Saya ingin menyatakan dengan izin shame on you kepada UMNO-Barisan Nasional yang walaupun kecoh dengan retorik Islam Hadharinya tetapi hingga hari ini masih gagal menzahirkan kepimpinan seperti yang... [Tuan Yang di-Pertua mengingatkan masa cuma ada dua minit lagi] .....diperlukan oleh umat Islam. Saya doakan semoga kesedaran yang seperti mana yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang akan dihayati juga oleh UMNO.


Saya juga terhibur dan inilah di antara sebab kenapa saya senyum. Yang Berhormat Pasir Salak tidak tahan tengok saya senyum. Dengan tayangan semangat kebangsaan... [Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman dari Pasir Salak mencelah, “Bagilah chance tanya dulu kalau...” tapi dipotong oleh Yang di-Pertua Dewan “Yang Berhormat Pasir Salak sebelum bercakap minta izin dulu!”] Yang berkobar-kobar oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila soalan DEB dibahaskan. Tambah dua minit lagi ya Tuan Yang di-Pertua, kerana dia ganggu!


[Dato’ Haji Tajuddin menjawab, “Dia sebut saya, saya mesti la respons”. Kata Yang di-Pertua Dewan, “Satu minit lagi Yang Berhormat, satu minit. Tidak apalah kawan-kawan, tidak apa. Satu minit lagi Yang Berhormat.”] Saya juga terhibur dengan tayangan semangat kebangsaan Melayu yang berkobar oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila persoalan DEB dibahaskan. Sebenarnya DEB telah lama diabaikan oleh UMNO Barisan Nasional dan telah lama secara senyap-senyap ditukarkan dengan satu dasar lain yang dinamakan DEC atau DEK iaitu Dasar Ekonomi Kroni. Laungan DEB hanya merupakan laungan berkepentingan politik yang bertujuan menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat Melayu dan perasaan saling khuatir mengkhuatiri di antara kaum.




Terakhir, saya hendak gulungkan. Saya hendak bagi tahu untuk makluman Ahli Dewan saya telah berada di sebuah negara kecil iaitu Bahrain pada tahun 2005. Ini pasal hendak ambil seminit. Harga minyak petrol di Malaysia pada masa itu RM1.60 satu liter di Bahrain RM0.80 satu liter. Kerajaan Bahrain menjelaskan bahawa harga minyak di pasaran antarabangsa adalah harga untuk menjual ke pelanggan antarabangsa. Bukan untuk rakyat negaranya sendiri kerana rakyat adalah pemilik sebenar harta negara ini.


Baru-baru ini, tahun ini sahabat rapat saya iaitu isteri saya telah ke Bahrain. Dia menceritakan bahawa bukan sekadar harga minyak di stesen minyak kekal pada harga sama tetapi Kerajaan Bahrain memberikan bantuan kepada rakyat melalui kenaikan gaji sebanyak RM41... [Tuan Yang di-Pertua Dewan menyindir, “Terima kasih Yang Berhormat, lain kalilah kita cerita hal Bahrain.”] Sikit saja, pasal dia ganggu tadi. Terima kasih saya mencadangkan menyokong!”}


Itulah bezanya PAS dengan parti-parti secular lain, perjuangannya bukan semata-mata untuk duniawi semata-mata sahaja, tetapi disegandingkan dengan khidupan akhirat. PAS tidak lepas dari menangani soal murtad, soal ilmu berasaskan Islam seperti tahfiz dan lain-lain.


Sekian catatan dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails