Wednesday, July 01, 2009

Ibnu Hasyim Jadi Ceramah Di Tanjong Karang Malam Ini..



Perhatian:

SAYA Ibnu Hasyim jadi berceramah Malam ini, tidak seperti pemberitahuan sebelumnya..

Iaitu difahamkan ceramah bersama, saya (DR HJ MOHD HASYIM), Pengerusi Kelab Penyokong PAS Selangor dan YB IR NIZAR JAMALUDIN pada 1 Julai 2009, di KomPAS Selangor, Insya Allah. Harap maklum.

Ibnu Hasyim KL 1 Julai :10 pagi.

Tuesday, June 30, 2009

Gaduh Di Parlimen, K/P UMNO Salah & Didenda.

Ahli Parlimen Segambut,Lim Lip Eng dan N. Gobalakrishnan (PKR- Padang Serai) cuba meleraikan pergaduhan denga Pemuda Umno Selangor di bangunan Parlimen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR Jun 30 2009: Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mengenakan denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno Selangor yang mengepung Pengerusi DAP, Karpal Singh di Parlimen Februari lalu. Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal. Difahamkan mereka perlu membuat bayaran denda di Parlimen.

"Hukuman yang dikenakan ini adalah hukuman maksimum seperti yang diperuntukkan undang-undang mengikut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Peruntukan itu berbunyi: "menyerang, menghalang atau mencela mana-mana ahli yang datang ke Majlis atau meninggalkan atau kerana kelakukannya dalam Majlis atau berusaha memaksa mana-mana Ahli dengan kekerasan, celaan atau ancaman untuk menyatakan dirinya menyokong atau menentang apa-apa cadangan atau perkara yang belum selesai di hadapan atau dijangkakan akan dibawa ke hadapan, Majlis".

Dalam pada itu lapan anggota Dewan Rakyat termasuk tiga daripadanya ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dikenakan 'hukuman' pencelaan kerana enggan bekerjasama dan menyertai jawatankuasa itu. Selain Karpal sendiri, mereka yang merupakan saksi ialah Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP), Lim Lip Eng (Segambut-DAP), N. Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR), Fong Kui Lun (Bukit Bintang-DAP). Ahli jawatankuasa yang tidak bekerjasama pula ialah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS) dan R. Sivarasa (PKR).

Laporan jawatankuasa itu yang ditandatangani oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pandikar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat. Sementara itu, jawatankuasa tersebut berkata, ia memandang berat tentang keengganan ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa untuk menyertainya dan enggan hadir sebagai saksi dalam prosiding.

"Bagi mengelakkan supaya perkara sedemikian tidak berlaku lagi pada masa hadapan, oleh yang demikian, jawatanlkuasa bersetuju supaya dikenakan pencelaan oleh Speaker kepada ahli-ahli berkenaan," katanya.

Dalam kejadian pada 26 Februari lalu, dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno Selangor 'menunjukkan fizikal kekuatan' dengan bergelut di bangunan berhubung isu Karpal mengeluarkan perkataan 'celaka'. Insiden itu bermula apabila 13 ahli dari Pemuda Umno dari Bahagian Petaling Jaya Utara dan Gombak mengepung Karpal yang baru tiba di pintu masuk utama ke bangunan Parlimen.

Latt Sharizan dan Megat Zulkarnain mengepung Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka. Karpal bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan meminta bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran kawasan tersebut menolongnya. Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila Lim dan Fong cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen. Namun, keadaan panas semula apabila Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda Umno berdepan dengannya.

Petroleum Di BDM: BN Sanggup Susukan Kera ..



KL. Jun 30. Sekiranya Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum mengapa Kelantan disenaraikan dalam Bank Data Malaysia antara salah sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini? Berdasarkan kepada laporan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) bertarikh 16 Mac 2009, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan dalam sektor perlombongan meningkat secara mendadak kepada 22.4 peratus. Sedangkan sebelum itu, sektor berkenaan hanya menyumbangkan sebanyak satu peratus sahaja kepada KDNK Kelantan.

Demikian laporan web Jiwo Kelate. Web itu juga menukilkan kenyataan anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Husam Musa pada persidangan Dun semalam.. “Ini seolah-olah menggambarkan EPU telah menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak sama seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak.. Jadi mengapa ada menteri menyebut Kelantan tiada hak untuk mendapat royalti minyak,”

Isu royalti petroleum menjadi topik hangat ahli-ahli Dewan apabila Haji Abdul Fatah Harun (PAS – Bukit Tuku) membangkitkan perkara itu berikutan soalan asal ditanya Dato’ Noor Zahidi Omar (BN – Pengkalan Kubur). Menghurai panjang lebar perkara itu Husam berkata, Laporan Band Data Malaysia 2007 pada muka surat 187 secara jelas menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum di negara ini sejak 2004.

Data tersebut menyebut nilai pertumbuhan industri petroleum di Kelantan, Sabah dan Terengganu sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak (37.5 peratus). Manakala nilai ouput (pengeluaran) tiga negeri berkenaan iaitu RM46.8 bilion berbanding Sarawak (RM14 bilion). “Kita menuntut royalti daripada bahagian yang diterima Malaysia kerana kawasan pengeluaran minyak terbabit terletak di lokasi tuntutan bertindih dengan Thailand dan Vietnam. Kelantan tidak menuntut bahagian yang diterima Thailand, sebaliknya agihan diterima Malaysia selepas pembahagian dibuat antara tiga negara,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih. Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian persefahaman pada 1979 berkaitan kawasan pembangunan bersama (JDA) yang diteroka kedua-dua negara.

Malaysia dan Vietnam juga bersetuju mengusahakan secara bersama cali gali minyak di kawasan berkenaan. Husam berkata, sekiranya kawasan pelantar carigali minyak dan gas tersebut terletak di sebelah Thailand sudah tentu pelantar tidak dinamakan dengan nama Melayu iaitu Kekwa, Cakrawala, Seroja, Bintang dan Lawen.

“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion.. Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan pusat sewajarnya membayar royalti sebanyak 5 peratus setahun seperti termaktub di bawah Akta Petroleum yang dianggarkan melibatkan sebanyak RM850 juta sehingga RM1 bilion sejak 2004 sehingga sekarang. Beliau juga berkata, Kelantan masih mengharapkan pertimbangan sewajarnya kerajaan pusat bagi membayar royalti petroleum tersebut.

Menurutnya biar pun ada cadangan supaya tuntutan itu dibuat melalui perundangan, namun kerajaan negeri masih memilih menggunakan kaedah rundingan. “Kita berharap ketua pembangkang di Dun Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad membantu menyelesaikan tuntutan tersebut. Sekiranya ia menjadi kenyataan hasrat Adun Paloh, Dato’ Nozula Mat Diah untuk mendapat kenaikan elaun boleh dipertimbangkan,” katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Satu bukti lagi bahawa BN tidak bercita-cita untuk membantu orang Melayu-Islam, hanya kerana menyokong pembangkang.. Sunggup menyusu kera di hutan anak sendiri ditinggalkan! Jadi, isu Kerajaan Perpaduan sebenarnya adalah strategi lapok BN untuk menyekat kebangkitan orang bukan Islam menyokong pembangkang. Nabi SAW berpesan supaya jangan dipagut ular 2 X dalam satu lubang. (2MA)

Sila lihat..

Thursday, June 18, 2009

100 Kasino Internet Judi Haram, Ada Judi Halal?

Indonesia: Judi yang sudah berjalan setahun ini dalam salah satu kamar Apartement Metropolis, Jalan Tenggilis Mejoyo.. Judi haram, sebelumnya halal?

KUALA LUMPUR: Selasa Jun 30, 2009. Menurut beberapa sumber, terdapat lebih kurang 100 kasino yang tidak berdaftar dan ada yang menjadikan kafe siber sebagai tempat untuk menyembunyikan kegiatan perjudian haram yang dijalankan. Kedai ini menyediakan semua jenis pertaruhan 'online' seperi judi, bola golek, pakau dan 'blackjack' melalui persidangan video secara langsung.

Untuk membuktikan bahawa pelanggan sedang bermain secara langsung, setiap kedai menyediakan skrin tv yang menyiarkan rancangan CNN dan juga diletakan TV dibelakang mereka yang memaparkan program yang sama. Bagi membuktikan lagi bahawa permainan tersebut diadakan secara langsung, pelanggan boleh berkomunikasi dengan pemain lain memelalui mod borak yang terdapat dalam perisian komputer.

Wang pelanggan akan ditukar ke dalam bentuk cip siber dan jumlahnya akan dipaparkan di komputer pelanggan sebagai wang yang dipertaruhkan. E-kasino adalah perniagaan yang sangat berjaya di Filipina dan diurus oleh syarikat yang dipunyai kerajaaan, Pilweb corporation. Pada suku pertama tahun ini sahaja syarikat tersebut berjaya memperolehi keuntungan sebanyak 20 juta US dolar.

Tujuan kerajaan Filipina menubuhkan syarikat tersebut ialah meningkatkan dana untuk projek-projek sosial dan membanteras aktiviti perjudian haram. Kasino mini tidak berdaftar (yang disebut ' judi haram') itu kini membanjiri semua tempat di Lembah Klang berikutan dengan adanya perisian yang membolehkan sindiket tempatan berhubung terus dengan sindiket dari Hong Kong dan Filipina. Dengan menggunakan teknologi kamera web, sindiket tersebut akan menyiarkan secara langsung pertaruhan yang dibuat oleh pelanggan menerusi satu program komputer yang khas.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Berita ini baik dan amat sesuai untuk maklumat bagi negara yang tidak mengakui negaranya sebagai negara Islam. Kerana, bila disebut' judi haram' seolah-olah ada 'judi halal'.. Mana ada dalam Islam judi halal? Pihak kerajaan kena betulkan balik penyelewengan dan salahguna istilah-istilah seperti ini. (2MA)

Cuma Milik Senjata Dihukum, Adilkah?


Berita Isnin Jun 29, 2009. Peniaga dipenjara 30 bulan miliki pistol dan peluru tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Minat terhadap senjata api mengundang padah kepada seorang peniaga yang terpaksa berhadapan dengan hukuman penjara 30 bulan kerana memiliki pistol dan peluru tanpa lesen sah.

Koh Aik Hean, 37, yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 30 bulan atas pertuduhan memiliki pistol manakala bagi pertuduhan kedua memiliki peluru selama 15 bulan.

Bagaimanapun, Hakim Zainal Abidin Kamaruddin memutuskan supaya hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh Koh ditangkap iaitu pada 26 Jan 2008.

Mengikut pertuduhan, Koh didakwa memiliki sepucuk pistol Smith & Wesson Auto dan sepucuk Revolver .38 Spl tanpa satu lesen yang sah, di Jalan 2/95b, Cheras, pada 4 petang, 26 Januari 2008.

Koh turut didakwa memiliki 16 butir peluru hidup jenis Calibre 45 Auto dan 17 butir peluru jenis .38 Spl, pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Zainal mengapa Koh melakukan jenayah itu, Koh berkata beliau mempunyai minat terhadap senjata api.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala Koh diwakili peguam Hisham Teh Poh Tek. BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Memiliki senjata suatu kesalahan jenayah, adilkah? Sepatutnya yang salah ialah 'menyalahgunakan' senjata. Di zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW digalakkan berlatih main senjata hingga masjid dijadikan gelanggang permainannya. Peraturan 'salah' menyimpan dan memiliki senjata ini diciptakan penjajah barat untuk membendung kebangkitan rakyat menentang mereka dan mahu melumpuhkan kekuatan hingga ke akar umbi dalam menegakkan keadilan.

Sedang memiliki senjata adalah perkara baik, kalau tidak di'salahguna'kan. Ianya sebagai latihan dalam mencipta benteng kekuatan negara. Seperti juga dadah, banyak dadah dibenarkan, berselindung di balik istilah ubat. Kini internet juga disalahgunakan!. Apakah 'kuasa politik' tidak merbahaya kalau disalahgunakan? Perlukah dihukum orang yang memegang jawatan politik?? Cuba renung-renungkan, apakah tidak ada hukuman lain untuk mengatasi masalah 'salahguna. seperti itu? (2MA)

Sunday, June 28, 2009

Pembangunan Hambat Orang Melayu..

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 2 Ibnu Hasyim(kiri) bersama rakan pembawa motosikal tambang Mohammd Yusuf.

"JOM kita pergi ke pulau Tongtong pula!"

"Pulau Tongtong?" Saya tanya kerana puluhan tahun dulu saya pernah dengar nama itu sewaktu saya berziarah di Pulau Pinggai. "Dulu khabarnya, tiada langsung orang bukan Islam di sana. Sekarang bagimana?"

"Oh.. Sekarang sudah maju. Pulau itu berhampiran Pulau Dua, kerajaan dah buat jambatan ke sana." Jawab temanku yang sedang membawaku. Apabila berjalan beberapa kilometer, kami pun sampai. Kami belok di tepi laut melintasi sebuah jambatan. Bukan jambatan, tetapi tanah yang ditambak, macam Tambak Johor cuma tidak sepanjang Tambak Johor. Tambak tanah merah sahaja berdindingkan batu-bata dan kayu bakau yang dipacak. Hanya untuk motosikal, kereta belum boleh lalu.

Walau naik motosikal, tapi terasa macam naik kuda. Sampai ke 2/3 perjalanan atas jambatan, tiba-tiba jambatan seolah-olah terputus. Rupanya air laut sedang pasang, tenggelam kira-kira sekaki. Namun mosikal kami tetap merempuh dan merentas juga. Kalau tersangkut dan terbalik, ha.. kuyuplah aku! Itupun kena tol lagi!!

Kalau dengar kepada puak-puak UMNO kampung di Malaysia, tentu dia kata, tenguk kerajaan BN lagi baik, buat jalan cantik, walaupun tolnya tinggi. Dia tak tahu ke kerajaan komunis pun pandai jaga kepentingan pembangunan rakyatnya. Kerajaan Thai dah setahun beri pengangkutan percuma rakyatnya naik keretapi dan sebahagian bas-bas di kota.

Sesampai ke dalam pulau, kami melawati kampung-kampung Melayu. Suara azan bergema dari sebuah masjid. Ramai orang Melayu-Islam penduduk asal di sana. Walaupun begitu ramai juga orang Burma atau Myanmar dan yang bukan Islam berpindah tinggal di sana. Hingga ke hujung pulau kerajaannya membuat kawasan peranginan di tepi pantai, kedai makan, rumah dan bilik-bilik sewa.

Semasa berehat di bawah payung atap yang disediakan, saya renung ke laut, nampak perempuan cantik di atas batu dalam laut, berendam tidak bergerak-gerak. Rupanya bukan manusia, patung ikan duyung!

"Di sinilah perempuan-perempuan lacur dibawa dari utara ke mari." Kata kawan saya itu sambil menunjukkan arah rumah-rumah sewa yang tersebut.

"Siapa pelanggan-pelanggannya?"

"Orang-orang dari Yangon dan kawasan diutara daerah ini! Bukan orang luar, pelancung seperti encik. Encik sebenarnya tidak boleh keluar dari pekan Pulau Dua sekitar 3 batu persegi. Pihak polis sentiasa membuat siasat mengejut mencari pelancung yang melanggar perintah. Sebenarnya encik dah melanggar peraturan.." jelas kawan saya lagi.

Saya diam tiada peduli, dia yang bawa saya. "Itulah pembangunan yang menghambat orang Melayu. Mereka cuba menggugat agama orang Melayu. Mereka cuba menutup pengaruh orang luar kepada rakyat tempatan. Memang dulu tiada orang kafir di sini, sekarang sudah diimport ramai-ramai!"

Teringat saya kepada sejarah di Malaysia. Asalnya orang Melayu-Islam ramai dengan peratus yang tinggi, sekarang sudah berkurang, walaupun masih majoriti. Sehingga orang bukan Islam memiliki kuasa penentu dalam politik Malaysia. Teringat juga saya kepada ceramah Prof Dr Zulkifli Muhammad Timbalan atau Naib YDP Agung PAS di zaman Dr Burhanuddin Al-Helmy, antara kata-katanya lebih kurang, 'Orang Melayu (Malaysia) tidak akan dapat dihambat dengan muncung senapang, tetapi dihambat melalui projak-projek pembangunan terhimpit tersepit hingga kebukit... '

Seperti yang dilakukan di Singapura, penempatan orang Melayu dipecah-pecahkan, supaya mudah diperintah. Begitu juga kata musuh-musuh Islam dari Barat (British) dan Timur (Marxis), 'umat Islam tidak akan dapat ditewaskan dengan kekerasan selagi ia berpegang kepada Al-quran, tetapi hendaklah dipisahkan mereka dari agama mereka' melalui arak, dadah, lagu-lagu hiburan, politik asobiah dan lain-lain.

Jom kita teruskan perjalanan.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Sempadan Myanmar-Thailand Ranong
Jun 29, 02.07 petang waktu Thai.

Lihat lagi..
E-Buku IH-12: Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim


E-Buku IH-12: Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim
Orang Melayu Myanmar

Orang Melayu Myanmar.

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 1
Antara rumah Melayu tepi laut di Kampung Melayu 'Dua Batu'..

Salah sebuah masjid di pekan 'Pulau Dua' atau 'Victoria Point'. Di belakangnya macam nenara masjid juga, tetapi rumah ibadat orang Buddha.
Gambar di pelabuhan Ranong Thailand, menuju Myanmar.
SEMALAM selepas menulis pemberitahuan mengenai kemungkinan tidak dapat hadir berceramah di Tanjung Karang Selangaor, jam sudah hampir pukul 10 malam waktu Myanmar, kedai internet yang saya guna dah nak tutup. Saya terpaksa keluar dari situ.

Teringat saya tengahari tadi, waktu mula-mula sampai di Pulau Dua atau Victoria Point dalam daerah Kawthoung, sebuah semenanjung Selatan Myanmar. Semasa berada di pejabat imigresen membuat laporan, pegawainya memberitahu.. "Kami terpaksa simpan paspot anda.. dan anda kena tinggal di hotel yang ditetapkan, yakni cuma boleh di dua buah sahaja di sini. Tidak boleh keluar jauh dari kawasan ini (sekitar 3 kilometer sahaja)." katanya.

"Bagaimana kalau saya nak ke Yangon?" Saya tanya.

"Tak boleh.. kena ada visa khas. Kena minta permit profesional. Kena ada jaminan syarikat perniagaan di sini.."

Saya nak jimatkan masa untuk pulang ke Malaysia cepat. "Sebagai pelancung pun tak boleh?"

Dia menggeleng kepala. "Tak boleh!". Tegas tapi tersenyum. Saya pun bayar wang yang ditetapkan 10 AS dolar, lalu pergi, dan selesaikan masalah hotel pula.

"Saya nak melawat saudara-saudara kita yang beragama Islam! Di mana mereka?" Saya tanya seorang pemandu motosikal tambang. Dia seorang Myanmar beragama Islam. Menurutnya, dia berketurunan bangsa Pusto-Myanmar, yang masuk Islam di zaman remaja puluhan tahun lalu berkahwin dengan gadis Melayu warga Myanmar. Dia pernah bekerja di Malaysia dan pandai bahasa Malaysia, dia memilih nama Muhammad Yusof.

"Jom kita pergi ke kampung Melayu 'Dua Batu'!" Sebenarnya batu ke 2, tetapi begitu sebutan orang di sana. Dari pekan itu kami bertolak dengan motosikal melalui jalanraya hingga ke batu 2 itu, kami turun bukit arah pantai menyusup di celah-celah rumah orang Melayu. Macam rumah-rumah tradisional lama orang Kedah. Berselerak, tidak teratur di atas pasir putih pantai. Melintasi beberapa kawasan perigi tempat mandi, ramai wanita-wanita dan gadis sedang mandi berkemban. Macam budaya orang Melayu di Malaysia dulunya. Tak sampai hati saya nak ambil gambar.. malu.

Apabila mereka tahu saya orang Malaysia, ramai-ramai tunggu di muka pintu rumah masing-masing. Belum sempat saya beri salam, mereka beri salam dulu, dengan senyam ajak naik ke rumah. "Mai minum kopi dulu!" kata mereka dalam bahasa Melayu loghat Kedah atau Satun, selatan Thai.

Saya pun singgah di salah sebuah rumah. Rumah itu berbumbung dan dinding dari atap nipah. Makin ramai yang datang berkumpul. "Ada berapa rumah orang Melayu di sini?"

"Kira-kira 100 buah.. Semuanya Melayu beragama Islam! Hidup ikut budaya orang Melayu. Ajak la kawan-kawan dari Malaysia mai jenguk-jenguk tenguk kami ni!" Jawabnya.

Saya tanya lagi, "Banyak ke lagi kampung Melayu macam ni di Pualau Dua ni?"

"Lebih dari sepuluh kampung!". Begitulah mesranya mereka.. kerana bertemu sesama Islam yang berjauahan dan satu turunan pula. Akhirnya kami berpisah.

"Jom kita ke kampung Melayu yang lain pula. kita jumpa pemimpin dan tok guru mereka pula!" Pelawa Mohd Yusof pemandu motosikal tambang itu.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Pulau Dua Selatan Myanmar
Jun 28,2009. 11.10 pagi waktu Myanmar.

Lihat lagi..
E-Buku IH-12: Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim

E-Buku IH-12: Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim
Orang Melayu Myanmar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails