Monday, September 14, 2009

B/Pinang: PR 'Menyerang' -Datuk Halim Abdul Rahman.



Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, Sept 14 — Walaupun berdepan dengan peratus undi pos yang terlalu tinggi di Bagan Pinang, Pakatan Rakyat (PR), PAS dan Pakatan Rakyat akan mengambil pendekatan menyerang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider. Ia turut disahkan juga oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Salahuddin yakin kedudukan Pakatan Rakyat cukup mantap dan menyifatkan keupayaan pakatan berada di posisi menyerang bakal mencerminkan aspirasi rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Selain itu PRK Bagan Pinang dianggap sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam proses transformasi penentuan landskap politik negara.

Salahuddin turut menegaskan PR akan membawa momentum PRK Kuala Terengganu di mana ketika itu PR juga berada di posisi menyerang berdepan dengan BN dan Bebas ke Bagan Pinang bersama hujah konkrit bagi menangkis isu dibangkit pihak lawan.

“Persefahaman dalam Pakatan serta isu bersama akan lebih meyakinkan kita untuk menghadapi pilihan raya di Bagan Pinang nanti,” katanya kepada wartawan The Malaysian Insider ketika ditemui di pejabatnya.

PRK Dun Bagan Pinang merupakan PRK ke sembilan selepas Permatang Pasir. Ia bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor. Dalam pilihanraya umum lalu Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333.

Umum menyifatkan satu sejarah tidak pernah berlaku dalam negara PRK diadakan sebanyak sembilan kali dalam tempoh lebih kurang setahun bermula di Permatang Pauh sejak Ogos tahun lalu.

Sepanjang lapan PRK dilangsungkan sebelum ini PR dua kali menghadapi kerusi yang dimenangi lawan iaitu di Kuala Terengganu dan Batang Ai. Keputusannya, di KualaTerengganu PR melalui calon PAS, Abdul Wahid Endut berjaya menundukkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dengan majoriti berganda namun Batang Ai terus dikuasai BN.

Di Bagan Pinang PR sudahpun bersetuju akan menurunkan calonnya dari parti PAS di samping BN akan menampilkan calonnya dari parti Umno.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berpersepsi PR yang berada di posisi menyerang tidak akan terganggu oleh sebarang kesan berbanding dengan BN yang berada di posisi bertahan.

“Walaupun BN menang ia tidak akan memberi apa-apa indikator kerana ia berada di posisi bertahan. Tetapi kalau sebaliknya, landskap politik kerajaan BN akan terus tercalar,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin semangat perjuangan PR tidak pernah lemah walau terpaksa berdepan dengan apa jua keadaan demi rakyat.

Kata Guan Eng, walaupun dari segi teori kemampuan menawan Dun Bagan Pinang hanya 40 peratus tetapi usaha bagi memastikan kejayaan PR tetap diteruskan hingga ke titik terakhir. Selebihnya berserah kepada tuhan, katanya.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, semasa mengulas kekuatan status partinya menjelang PRK tersebut dilaporkan tidak boleh memberi jaminan kemenangan dalam setiap pilihan raya kerana dikhuatiri hilang semangat kerjasama selain daripada membantutkan usaha menarik undi.

Tajuk Asal: PR Ambil Pendekatan Menyerang.(AK)

DUN B/Pinang: Penamaan Calon 3 Okt, Mengundi 11 Okt.


Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 September lalu. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam sidang medianya pagi Isnin berkata, pihaknya memberi jaminan pengundian secara pos akan dilakukan secara telus. "Tidak mungkin akan ada penipuan dalam pengundian pos memandangkan syarat-syarat ketat yang dilaksanakan semasa proses pengundian," ujarnya.

Info pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang: Pusat penamaan calon dan pejumlahan rasmi undi: Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. Tempat proses pengeluaran dan pengiraan undi: Bilik mesyuarat pejabat daerah Port Dickson. Tarikh daftar pemilih dikemas kini: 4 September 2009 Jumlah pemilih berdaftar: 13 664 orang. Jumlah pemilih biasa: 9060 orang. Jumlah pemilih pos: 4604 orang. Jumlah pusat mengundi: 8. Jumlah saluran mengundi: 18. Jumlah petugas SPR: 275 orang. (AK)

Tahniah PAS Titiwangsa, Semoga Belakang Mati Tidak Mati Lagi..



BLOG Ibnu Hasyim mengucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Titiwangsa atas kejayaan mengadakan program bersama 'Semarak Ramadzan' dengan Ibupejabat PAS Jalan Raja Laut.

"Itulah keistimewaan dan keunikan program PAS yang diberi nama Semarak dan Semerak Ramadan PAS yang berlangsung buat julung kalinya petang semalam di belakang bangunan pejabat agung PAS Jalan Raja Laut. Ia berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan sambutannya yang cukup luar biasa dan luar jangka." Tulis Azamin Amin Harakah hari ini 'PAS santuni, dekati penghuni 'belakang mati', sila layari terus..

Juga sila layari tulisan berkaitan....

Kg Buah Pala II, Kerajaan Negeri Perlu Campurtangan?


.
PENDUDUK Kampung Tanjong Tokong menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemaju, UDA Holdings Berhad yang telah mengistiharkan rumah-rumah penduduk kampung sebagai setinggan, menurut web Dewan Pemuda PAS Sarawak hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tokong, Mohd Salleh Yahya berkata, persatuan penduduk kampung nekad untuk mendapatkan semula hak-hak sebagai pemilik tanah.

“Masalah yang belum selesai selama penglibatan UDA 35 tahun di kampung ini yang pertama pihak UDA tidak dapat menyempurnakan projek pembangunan semula Tanjung Tokong dalam jangka masa tiga dekad.. Keduanya sepanjang penglibatan UDA di dalam kampung telah mengistiharkan dan mengklasifikasikan semua penempatan penduduk termasuk yang bernombor adalah penempatan setinggan,” katanya.

Jelas Salleh, UDA yang merupakan salah satu agensi penempatan semula bagi kaum Melayu di bandar terutamanya Pulau Pinang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila menghentikan projek pembangunan kampung selama hampir dua dekad bermula dari tahun 1990 sehingga 2008. Beliau mengingatkan semua pihak bahawa pembangunan di perkampungan ini harus dibuat atas dasar sosial dan kemasyarakatan dan bukan keuntungan komersil semata-mata.

Ini kerana perkampungan ini dibangunkan menerusi peruntukan langsung dari kerajaan pusat dan bukannya menerusi UDA Holdings yang lebih menjurus ke arah komersial. Salleh menjelaskan status setinggan yang diklasifikasikan oleh UDA itu telah menyebabkan penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai apa-apa hak lagi.

Walhal, kata Salleh, tanah yang seluas 54 ekar itu diperolehi atas nama pembangunan semula Tanjung Tokong. Daripada 300 buah rumah, 270 daripadanya mempunyai nombor rumah sendiri manakala 30 buah rumah lagi tidak mempunyai nombor.

“Sebagai setinggan kami tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas rumah yang kami duduki. Oleh itu, kami merayu kepada pemilik rumah bernombor untuk mempertahankan hak mereka dengan cara menjadikan Tanjung Tokong sebagai zon warisan Melayu di Pulau Pinang.

“Jadi kita merayu kepada menteri yang bertanggungjawab tentang UDA Holdings dapat membuat keputusan yang jelas tentang pembangunan kerana rekod 35 tahun pihak UDA tidak dapat menyelesaikannya, kampung ini terbiar dan bilangan yang tidak mempunyai rumah mencecah hampir 1000 kali kerana tidak ada penyelesaian masalah dan tidak ada projek sepanjang 20 tahun,” katanya.

Kampung Tanjong Tokong telah wujud di Tanjung Tokong selama lebih daripada 200 tahun di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light. Penduduk kampung tersebut pernah memohon bagi mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk mendapat balik tanah ini daripada UDA Holdings. Surat aduan telah dihantar berulang kali sejak tahun 2006 kepada Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi tiada sebarang jawapan.

Bagi Salleh, projek segera bagi menyelesaikan masalah penduduk juga harus dibuat di kawasan baru dan bukannya di kampung asal iaitu Kampung Tanjong Tokong. Beliau mendakwa UDA Holdings pernah berjanji dengan penduduk untuk memberikan surat pampasan sah dan mempamerkan pelan pembangunan keseluruhan Tanjung Tokong di pejabat cawangannya di Prima Tanjung.

“Tanpa sebarang perjanjian yang diikat antara pemaju dan penduduk, pihak UDA Holdings tidak mempunyai apa-apa ganti rugi dan pampasan sama ada berbentuk kewangan atau pun rumah ganti ke atas rumah-rumah penduduk. Persis seperti skandal tanah Kampung Buah Pala, tawaran yang dijanjikan kepada penduduk sememangnya lumayan tetapi tiada perjanjian secara hitam putih dibuat melalui kedua-dua pihak,” katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tragedi Kampunag Buah Pala telah berulang, kali ini di Tanjong Tokong Pulau Pinang pula? Melibatlkan penduduk Melayu bandar yang telah wujud sejak lebih 200 tahun lalu. Apakah kerajaan Negeri perlu campurtangan untuk dapat balik tanah ini daripada UDA Holdings? Tawaran lumayan yang dijanjikan tetapi tiada hitam putih macam kes Kampung Buah Pala sebelumnya? (Sumber DPPP Sarawak/AK)

Sunday, September 13, 2009

Orang Melayu Sri Lanka, Nak Lawati Mereka?


GAYA lelaki Melayu Sri Lanka pada awal kurun ke-19. - Foto NSTP  

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
Imej yang berkaitan

PAGI ini saya dapat e-mail dari seorang kawan. Rupanya dia sudah tahu saya akan ke Sri Lanka November ini, selepas pulang dari Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Itupun kalau berkesempatan seperti yang dirancang bersama kawan-kawan lepas Hari Raya ini. Mungkin saya ke Sri Lanka seorang diri, tiket penerbangan pun dah ada.

Kalau ke Sri Lanka jenguk-jenguklah bangsa kita di sana!" Dia berpesan dalam e-mail itu. Menurutnya, ada kira-kira 50,000 rakyat Sri Lanka berketurunan Melayu kini menghadapi cabaran besar dalam usaha memelihara agama dan adat resam. Khususnya bahasa Melayu yang menjadi warisan nenek moyang mereka serta simbol penting jati diri mereka dalam masyarakat pelbagai keturunan di negara itu.


Saya pun terfikir juga, tentu susah bagi masyarakat Melayu Islam yang terpaksa menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan bersama etnik minoriti lain, iaitu Tamil, Moor dan Burgher (keturunan Serani), di negara yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk kebanyakannya berketurunan Sinhalese itu.

Teringat saya belasan tahun lalu cerita Ustaz Halim Arshat semasa beliau menjadi Setuausaha Agung PAS sebelum Ustaz Nasaruddin Mat Isa menggantinya. Beliau menceritakan bagaimana beliau berjumpa orang Melayu Sri Lanka semasa beliau hadir dalam suatu seminar gerakan-gerakan Islam sedunia di Colombo waktu itu.

"Seorang tua Melayu naik basikal puluhan kilometer datang berjumpa kami, bila tahu kami orang Islam Malaysia bangsa Melayu datang berseminar di tempatnya itu." katanya. "Inilah peluang mereka untuk berjumpa bangsanya sendiri.. semata-mata datang bersusah payah naik basikal begitu jauh nak jumpa kami saja.." Itu sebab Allah menyebutkan, dijadikan munusia supaya kenal-mengenal dan berkasih sayang, bukan berfikiran asobiah sempit.

"Apa yang dia beritahu?" Saya tanya Ustaz Halim.

"Dia memberitahu dengan sedih, bagaimana budaya dan bahasa Melayu sedang terhakis terkikis dan terhapus. Anak-anak muda mereka sudah ramai yang tidak tahu bahasa Melayu lagi, terutama di kawasan bandar di mana orang lebih banyak menggunakan bahasa Singhalese dan Inggeris. Anak-anak gadis sudah lebih selesa memakai 'sari', dan mereka tidak ber'baju kurung' lagi. Ramai yang tak tahu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu hanya digunakan di rumah sesama anggota keluarga oleh datuk nenek mereka di luar bandar saja." Jelas beliau.


Melihat kepada catatan sejarah orang Melayu datang ke Sri Lanka semasa pemerintahan Belanda dan British antara akhir kurun ke-17 hingga ke-18, terutama dari kepulauan Indonesia. Mereka datang sebagai anggota tentera, pekerja atau dibuang negeri. Pentadbiran British pula mengambil orang Melayu dari Negeri-negeri Selat untuk berkhidmat dalam pasukan infantri tempatan. Sebahagian besar orang Melayu tinggal di Colombo dan di kawasan paling selatan negara pulau itu.
Menurut kenyataan Iqram Cuttilan, Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka (SLMA) yang nenek moyangnya berasal dari Jawa kepada Bernama kira-kira setahun lalu (May 04, 2008), masyarakat Melayu di sana menghadapi masalah untuk mengembangkan bahasa ibunda mereka kerana kekurangan bahan bacaan dalam bahasa itu, di samping ketiadaan kesungguhan untuk memperjuangkan penggunaan bahasa itu dalam urusan rasmi.

"Dulu, makalah dan akhbar kami sebahagian besarnya menggunakan bahasa Melayu, tetapi kini semakin berkurangan dan digantikan dengan bahasa Singhalese serta Inggeris. Persatuan ini cuba menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan menyediakan kelas bagi membolehkan pelajarnya cuba bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu," kata Iqram.

Didorong oleh kekuatan semangat untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu, SLMA mendapatkan bantuan kedutaan Indonesia dan Malaysia di sana, untuk meluaskan penggunaan bahasa itu bagi mengelaknya lenyap di negara yang mempunyai pelbagai etnik ini.

"Kami adakan kelas dan cuba mengajar asas bahasa Melayu, ayat dan perkataan mudah bagi membantu mereka memperkayakan perbendaharaan kata. Kami sedang berbincang (dengan SLMA) untuk menubuhkan sebuah pusat bagi memelihara bahasa ini dalam kalangan orang Melayu di sini," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Rosli Ismail kepada Bernama waktu itu.

SLMA ditubuhkan pada 1922 dan merupakan cawangan kepada Kelab Kriket Melayu Colombo yang diasaskan pada 1872. Bangunan lamanya, yang masih tersergam megah, menjadi mercutanda penuh bersejarah tentang sumbangan penting masyarakat Melayu di negara Asia Selatan ini. Sebuah badan dikenali sebagai SLMA Rupee Fund turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu di negara ini.


Itu setahun lalu. Bulan November ini saya akan ke sana, dan cuba korek-korek balik ceritanya. Kalau tuan-tuan nak ikut, kita boleh rancang betul-betul buat majlis dan perbincangan untuk mereka di sana. Mereka sangat mengalu-alukan orang Melayu dari sini, supaya menziarahi mereka.


Berminat sila e-mail: Ibnuhasyim@gmail.com
Catatan Santai Ibnu Hasyim
Sept 13 2009

KL.

Lihat lagi..

E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
Bab I: Sebelum pergi..

Bab II: Catatan Perjalanan.. Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..

Arak: Pemuda PAS, MB Kedah, Selangor & Mirzan Mahathir.

ALOR SETAR Ahad September 13, 2009 : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak mengetahui mengenai cadangan kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti dibangkitkan oleh Dewan Pemuda Pas, menurut Bernama hari ini.

"Semalam saya bermesyuarat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat tapi tiada yang membangkitkan perkara ini. Saya kena dapatkan maklumat mengenainya terlebih dahulu," katanya ketika ditanya mengenai cadangan dewan berkenaan. Azizan berkata beliau tidak melihat cadangan itu sebagai satu keperluan mendesak memandangkan Kedah sudah ada undang-undangnya sendiri berhubung kaedah penjualan arak.

"Di sini hanya kedai-kedai tertentu sahaja yang diberikan lesen penjualan arak kerana ada penganut agama lain yang minum arak kerana agama mereka tidak mengharamkannya.. Saya rasa tiada masalah bagi orang Islam kerana mereka tahu memang haram minum arak," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim, Lim Soo Nee sebagai anggota Exco Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, di sini Ahad.

Azizan bagaimanapun melahirkan rasa terkejutnya mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam. "Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," kata Azizan. Timbalan Pengerusi Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani berkata semalam mereka akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak itu.

Sementara itu, menurut Harakah, ketika kerajaan negeri Selangor melalui Exco agamanya berusaha keras untuk menghalang umat Islam di negeri itu dari terjebak dengan ketagihan arak, anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah dalam syarikat pengeluar arak terbesar Filipina. Mirzan, sebagaimana suratnya kepada laman web The Malaysian Insider selepas berita mengenai perlantikan beliau dalam San Miguel Corp (SMC) disiarkan oleh laman web itu menyebutkan, beliau sedang berusaha agar penglibatan SMC dengan arak hanya akan tinggal 15 peratus sahaja tahun depan.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran beer Filipina. Syarikat ini telah mengeluarkan San Miguel Beer sejak lebih 100 tahun lalu. Beer ini dibuat di Filipina, China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia. Ia dijual di 60 negara di seluruh dunia, lapor laman webnya.

Menurut Mirzan dalam suratnya itu, syarikat itu sedang berubah haluan ke infrastruktor, kemudahan awam dan tenaga yang diperlukan oleh negara Filipina. Dengan apa yang dilakukan oleh Mirzan, ia lebih besar kesannya berbanding ketagihan arak secara individu kerana Mirzan akan menyumbangkan tenaga, wang dan fikirannya untuk memajukan perniagaan arak ini.

Namun Mirzan, anak sulong Dr Mahathir ini dalam suratnya menolak perkara itu. "Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu membantu San Miguel membina pendekatan baru dan harapan saya apabila ianya berjaya akan memberikan kesan baik kepada negara dan rakyat," kata Mirzan. (AK)

DPJepun: Berkarat 5 Dekad Pun Jatuh, 4 Perkara Untuk PAKATAN.

Perdana Menteri Jepun Taro Aso ambil tanggungjawab, kalahan teruk parti LDP di dalam pilihan raya umum Jepunbari-baru ini.

By NIK NAZMI NIK AHMAD
Setiausaha Politik MB Selangor

BARU-BARU ini Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya umum Jepun menewaskan Parti Liberal Demokrat (LDP) yang memerintah Jepun hampir terus-menerus selama lima dekad.

DPJ sebuah parti muda, yang dibentuk kira-kira sedekad lalu dan menghimpunkan suatu gabungan besar terdiri daripada bekas anggota LDP dan beberapa parti kecil sosok kiri dan tengah yang lain.

Di Asia, sejarah sama turut tercipta beberapa kali — kekalahan Parti Kongres kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1998 di India; kekalahan Parti Kuomintang kepada Democratic Progressive Party di Taiwan pada 2000; kekalahan Grand National Party kepada Millennium Democratic Party di Korea Selatan pada tahun 1997; dan kekalahan Golkar di Indonesia pada 1999.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat di Malaysia, kemenangan tersebut diikuti dengan dekat kerana persamaan senario di Malaysia dan Jepun: UMNO, seperti LDP telah mentadbir negara lebih lima dekad; Pakatan Rakyat, seperti DPJ lahir dari gerakan politik sedekad lalu (apabila Keadilan ditubuhkan dan turut sama dengan PAS, DAP dan PRM menubuhkan Barisan Alternatif) dan menghimpunkan gerakan politik dari pelbagai kumpulan sosok tengah dan kiri.

Coraknya sama — parti memerintah yang lama dan memainkan peranan dalam pembinaan negara pada peringkat awal mula kelihatan lemah serta ketandusan idea selepas sekian memegang kuasa. Perjuangan mula dilupakan dan rasuah mengambil tempat. Di sesetengah negara seperti Indonesia, Korea dan Taiwan, pemerintahan parti tunggal menyempitkan ruang demokrasi.

Malah di negara-negara lain pun, kemenangan besar atau pemerintahan yang lama semuanya menyumbang kepada kealpaan pemerintah — sama seperti pemerintahan George W. Bush bagi Parti Republikan di Amerika dan Parti Konservatif di Britain antara 1979-1997 dan kini digantikan Parti Buruh.

Sebab itu sistem demokrasi memberikan ruang untuk rakyat menukar tampuk pemerintahan, sebagai usaha menyegarkan suasana politik. Walaupun parti yang lama memerintah cenderung mencari jalan mengukuhkan kedudukan mereka dan menyempitkan ruang demokrasi, tetapi mereka tidak dapat menentang kuasa rakyat selama-lamanya.

Maka selepas perubahan lanskap politik negara menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008, ramai yang menantikan PRU 13 sama ada Pakatan Rakyat mampu menewaskan BN di peringkat Persekutuan.

Baru-baru ini Mohd Khuzairi Ismail dalam rencana “Revolusi Politik Jepun” di Utusan Malaysia mengulas kemenangan DPJ di Jepun. Walaupun mengakui proses pertukaran kerajaan malah gelombang 8 Mac di Malaysia sebagai sebahagian proses kematangan sesebuah demokrasi, beliau berhujah bahawa Malaysia belum bersedia kerana kita belum mencapai negara maju. Kerajaan sedia ada perlu kekal bagi membasmi kemiskinan.

Hujah ini agak pelik memandangkan sekiranya sesebuah kerajaan gagal menyelesaikan masalah kemiskinan selepas lebih 50 tahun memerintah, bukankah itu menggambarkan kita perlu kerajaan baru? Negara-negara seperti Taiwan dan Korea semuanya dahulu berada pada tahap ekonomi kita pada tahun 1960, tetapi sudah pun memintas kita. Hujah ini mirip pandangan bahawa kerana di dalam beberapa aspek sasaran DEB belum tercapai, maka kita terus memerlukan DEB. Saya fikir hujah yang lebih kuat adalah kita perlu pendekatan baru bagi mencapai sasaran tersebut kerana jelas pendekatan sedia ada tidak berjaya.

Kita juga boleh melihat contoh India, demokrasi terbesar di dunia yang juga mempunyai ramai penduduk miskin. Pertumbuhan ekonomi India hari ini diasaskan oleh Manmohan Singh sebagai Menteri Kewangan daripada Parti Kongres pada 1991. Sekalipun Kongres tewas kepada BJP tujuh tahun kemudian, pertumbuhan ekonomi India berterusan, dan masih lagi kukuh hari ini selepas Kongres mengambil alih semula pucuk pimpinan India dan Manmohan menjadi Perdana Menteri. Masyarakat miskin India jauh lebih ramai berbanding Malaysia, tetapi pertukaran politik sebanyak dua kali masih mengekalkan pertumbuhan ekonominya yang mengkagumkan.

Kerajaan yang waras akan mengekalkan dasar yang bermanfaat untuk negara, dan memperbaiki kelemahannya, tanpa mengira parti. Di Selangor contohnya, projek-projek pembangunan berterusan tetapi dasar pembangunan negeri diimbangi dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor bagi membolehkan rakyat Selangor berkongsi kekayaan. Kita meningkatkan garis kemiskinan bagi membolehkan pihak yang perlukan bantuan memperolehnya.

Daripada banyak perubahan yang berlaku di seluruh dunia, ada beberapa pengajaran penting untuk Pakatan Rakyat:

a. Perpaduan: Kejayaan Tony Blair pada 1997 dan kini David Cameron di Britain adalah kebolehan mereka menyatupadukan parti mereka yang sebelum ini berpecah-belah. Oleh itu Pakatan Rakyat mesti mengurangkan beberapa insiden kebelakangan ini yang memberi gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat tidak bersatu-padu. Persetujuan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dapat dihayati oleh ahli dan pemimpin setiap peringkat agar benar-benar berkesan.

b. Agenda yang jelas dan diyakini: DPJ di Jepun menawarkan agenda yang jelas kepada rakyat Jepun. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dasar tersebut bersifat populis, tetapi pendekatan mereka menangkap imaginasi rakyat. Keadilan pada 2008 menawarkan lima janji Anwar yang juga populis dan berkesan, tetapi cabaran pada PRU 13 dengan adanya Pakatan Rakyat adalah agenda bersama Pakatan Rakyat yang jelas. Kelebihan kita berbanding dahulu adalah adanya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang boleh dijadikan contoh perbezaan kita berbanding BN. Agenda tersebut mestilah melangkaui ideologi sempit, tetapi mudah difahami rakyat.

c. Meyakinkan pihak terlibat (stakeholder): Perubahan kepada kerajaan yang lama memerintah pasti merisaukan pihak terlibat sama ada kakitangan awam, institusi kerajaan mahupun golongan peniaga. Parti Konservatif di Britain misalnya memberi jaminan akan mempertahankan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain bagi menolak imej ekstrim kanan mereka. Ketua DPJ, Yukio Hatoyama menulis esei di New York Times bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa tentang agenda DPJ yang dilihat anti pasaran dan anti Amerika. Pakatan Rakyat perlu menjelaskan kepada institusi kerajaan dan kakitangan awam tentang tekad memelihara muafakat Perlembagaan serta hubungan baik dengan golongan pelabur dan peniaga.

Kita juga boleh mempertimbangkan cadangan Dato’ Nazir Razak di the Edge agar diperkenalkan pengampunan bagi rasuah, cuma saya merasakan garis pemisahnya bukan hanya masa tetapi saiz rasuah tersebut. Dengan ini anggota institusi kerajaan yang risau akan kedudukan mereka akan dapat diyakinkan bahawa sekiranya kesalahan mereka kecil, mereka tidak akan diburu dan dihukum dengan syarat selepas tarikh yang ditetapkan mereka tidak lagi mengulangi perkara tersebut.

d. Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa: Kelemahan parti yang terlalu lama memerintah ialah wujudnya kabilah-kabilah yang berkepentingan dan tokoh-tokoh lama yang membolot kuasa, lantas memberikan imej yang hambar. Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa memberi imej segar, sebagaimana DPJ di Jepun, Parti Buruh di Britain pada 1997, MDP di Korea dan juga Pakatan Rakyat pada PRU 12. Namun di sebalik kejayaan tersebut, kita juga melihat beberapa calon yang kurang kredibiliti turut menang. Justeru pada PRU 13 Pakatan Rakyat mesti terus mencari calon-calon baru yang muda di samping memastikan mutu calon jauh lebih baik berbanding sekarang.

Saya percaya empat pengajaran ini penting bagi Pakatan Rakyat melakari perubahan sama seperti di Jepun, Korea, India , Taiwan dan Indonesia. Rakyat Malaysia usah risau, sekiranya kita gagal, sistem demokrasi yang digunakan untuk memenangkan kami juga boleh menghukum kami. Di Korea, India dan Taiwan, parti-parti lama kembali merampas kuasa. Itulah realiti sistem demokrasi.

Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.Tajuk asal 'Kemenangan DPJ di Jepun: 4 Pengajaran Untuk Pakatan. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails