Tuesday, October 13, 2009

Dubai, Bertemu Pemuda Dari Lembah Swat..



Gambar-gambar di Lembah Swat & Afghanistan.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim Di Iran 4

NEW York Times edisi Minggu (11 okt) dulu semalam telah menurunkan laporan tentang kegagalan Amerika Syarikat(AS) dalam mencapai sasaran awamnya di Afghanistan. Umpamanya gagal benteras rasuah dalam pemerintahan Afghan, gagal wujudkan sistem hukum yang berfungsi dan gagal melatih polis. Juga dengan keadaan institusi awam yang buruk, seburuk keamanan di sana, sejak Presiden Barack Obama mengerahkan 17,000 pasukan tambahan ke Afghan 7 bulan lalu.

Sehingga kini AS sudah menempatkan sekitar 100,000 pasukannya di sana tetapi belum juga mampu mematahkan perlawanan Taliban. Sementara data PBB menyebutkan, dalam 6 bulan pertama tahun 2009 jumlah warga awam Pakistan terkorban sudah mencapai 1,500 orang. Yakni meningkat 24 % dibandingkan tahun lalu dalam periode yang sama. Sudah tentu ia melibatkan penduduk di Lembah Swat, di Pakistan. Sila lihat tulisan-tulisan lalu mengenai Lembah Swat dalam blog ini, antaranya..

1..Pakatan Pakistan-Afghan & AS-NATO Lenyapkan Ketenangan...
2..AS Paksa Pakistan Khianati Janji Damai Dengan Rakyat...
3..Ketenangan di Lembah Swat, Membuat AS Tidak Tenang...

Hal ini mengingatkan saya sehari dua lepas waktu pulang dari Iran, singgah transit di Dubai selama 13 jam. Masa ini akan saya gunakan untuk meng'update'kan Blog Ibnu Hasyim yang sudah 2 minggu tersadai, kerana kesuntukan masa. Tiba-tiba saya disapa dalam bahasa Melayu, "Encik dari Malaysia?"

"Ya!"

"Saya dari Peshawar Pakistan. Dari Swat Valley..." katanya.

Terdengar saja Swat Valley, teringat saya kepada tulisan seorang penulis dari Bangkok Dan Kardarron, menggambarkan Swat Valley sebelum perang dulu...

'Menerjang arus derasnya, danau, kebun buah-buahan dan lereng gunung yang berhias bunga merupakan sebuah lembah yang sangat indah. Kaya akan sejarah masa lalu. Ia digambarkan sebagai "Udayana" (kebun) di dalam epik kuno orang Hindu di mana Alexander Macedon bertarung dan memenangkan beberapa pertempuran sebelum menyeberang melewati daratan Pakistan. Swat dalam buaian Agama Buddha, di mana pada satu waktu lebih dari 1,400 buah biara tumbuh berkembang. Merupakan pusat sekolah Gandhara yang mana semua seni pahat mengekspresikan gaya Graeco-Rome digabungkan dengan seni pahat tradisional Buddha.'

Saya pun bersalaman dengannya. Namanya Humayon, pemuda anak jati Swat Valley. Kami rupanya sehaluan menuju Malaysia sebentar lagi. Saya ajak dia minum dan bertukar-tukar fikiran, sama mencari surau dan bersolat sebelumnya..

Lembah Swat memiliki luas kurang lebih 10,360 Km persegi. Suhu normal maksimumnya 21.11 celsius (7 F) dan minimum 7.22 Celsius (45~ f) . Musim pelancung datang adalah sepanjang tahun. Kota utama lembah Swat adalah Saidu Sharif terkenal dengan muzium arkeologi yang ditemui dan digali di daerah ini. Lembah yang terletak 100 mil barat laut Islamabad itu disebut juga “Swiss Pakistan”, memiliki sejarah yang kaya. Tempat ini menjadi saksi datang dan perginya berbagai kebudayaan, agama, dan masyarakat selama lebih dari 2000 tahun.

Di sinilah tempat beberapa relik Buddha tersimpan, termasuk barang-barang peribadi dan abu kremasinya. Alexander Yang Agung diyakini menyeberangi Sungai Swat pada 326 SM untuk menaklukkan orang-orang di selatan.
Lembah Swat terletak di perbatasan Pakistan-Afghanistan. Lembah ini jatuh ke tangan puak Thaliban pada awal April 2009 lalu. Presiden Pakistan Asif Ali Zardari mengesahkan berlakunya hukum Syariat Islam di Lembah Swat.

Saya pun mengambil peluang mengorek-ngorek cerita perlaksanaan hukum Islam di situ, dari lidah beliau yang baru semalam masih di sana. "Bagaimana pandangan anda mengenai perlaksanaan tersebut?"

Katanya, "Sebenarnya keputusan ini melegakan hati kaum Muslimin. Dulunya di sana, rata-rata pro Taliban yang masih tetap bersama Pakistan. Namun seperti biasa, perlaksanaan Syariat Islam di Lembah Swat mendapat respon negatif dari Rumah Putih, Washington. Melalui jurucakapnya Robert Gibbs, AS mengatakan, 'Kami kecewa kerana parlimen (Pakistan) tidak mengambil kira pandangan awan dan Hak Asasi Manusia.' Kalau kita baca laporan Times edisi online, berjudul 'Sharia In Swat Valley', disana nampak jelas sangat kebencian media itu kepada penerapan Syariat Islam di lembah Swat. Mereka seperti biasa melakukan kebohongan media dengan menyebut fakta-fakta bombastik."

Hal ini hampir sama dengan pemerintah Indonesia yang memberi kuasa hak otonomi kepada Aceh untuk melaksanakan Syariat Islam. Mengapa syariat Islam tidak berlaku secara keseluruhan di Aceh, itu soal lain. "Mengapa Amerika selalu negatif dengan perlaksanaan Syariat Islam?" Saya tanya dia.

"Oo. Jawabnya sederhana sahaja. Sebab ahli politik dan pemikir di Amerika, mereka telah ratusan tahun mempelajari Syariat Islam. Di mata mereka, 'kunci kebangkitan peradaban, ada di Syariat Islam.' Kalau diumpamakan sebagai rumah, Syariat Islam adalah geran rumah itu. Bagaimana se sebuah keluarga akan hidup tenang, damai, dan aman, kalau sepanjang masa hanya menumpang di rumah orang yakni rumahnya masih bukan miliknya (tiada geran) sendiri?

Seideal-ideal kaum Muslimin, hidup di bawah hukum sekuler masih tidak lebih baik dari mereka hidup di bawah payung hukum Islam sekalipun kualitinya buruk. Pembangunan ekonomi, pendidikan, birokrasi, sosial, budaya, dan lainnya tidak akan pernah selesai, sebelum hukum Syariat itu berdaulat di negara mereka sendiri. Ini yang Amerika sangat tahu tentang 'kunci' tersebut. Mereka akan tetap menghalang kewujudan perlaksanaan Hukum Syariat di negara umat Islam sendiri." Jawabnya dengan tenang.

"Kunci kebangkitan peradaban, ada di Syariat Islam? Ini suatu pandangan yang menarik. Realitinya, apa tanggapan umat Islam terhadap Syariat dan perundangan Islam masa kini?" Saya mengorek lagi.

"Ada 3 tanggapan di mata kaum Muslimin sendiri.." Menurutnya.

"Pertama: Sikap curiga kepada Syariat Islam. Biasanya rasa curiga itu terfokus pada masalah kebebasan. Ramai orang takut jika Syariat Islam berlaku, mereka akan segera dipasung kemerdekaannya.

Kedua
: Ketakutan luar biasa di hati rakyat jika nanti mereka tidak mampu memikul amanah Syariat Islam itu. 'Bagaimana aku boleh terus menerus solat. Belum sedia pakai pakaian tutup aurat. Belum sedia tinggalkan riba, zina, mabuk-mabuk dan lain-lain'. Semua ini adalah godaan was-was syaitan yang biasa ditiupkan di hati orang-orang yang selama ini jauh dari tuntunan agama.

Ketiga
: Tanggapan ianya suatu kejutan luar biasa. Ketika ketakutan tiba-tiba berubah menjadi harapan, rasa tenang, kegembiraan, rasa aman, serta rindu untuk selalu bersamanya. Hal ini muncul ketika prasangka buruk masyarakat kepada Syariat Islam tidak terbukti, justru mereka menyaksikan pengaruh besar dari penerapan Syariat itu sendiri baik bagi kehidupannya. Bertemu pada suatu titik, di mana mereka telah rasakan betul-betul manfaat Syariat Islam, mereka merindukannya, rindukan kemanisan iman dan tidak ingin lepas darinya lagi."

Kira-kira 1 jam tadi, seorang gadis Indonesia duduk 'tumpang dengar' percakapan semeja dengan kami. Dia sedang menunggu teman-teman untuk sama-sama pulang ke Indonesia, dari Dubai ke Hongkong dan Jakarta. Kami duduk di sebuah restoran milik orang Filipina, yang dua dari pekerjanya adalah seorang 'cewek' dan 'cowok' Indon.

"Boleh aku tanya sikit Pak?" Dia pula tanya Humayon, pemuda dari Lembah Swat itu. "Boleh ceritakan bagaimana kehidupan wanita di kampungmu? Bolehkah hidup bebas macam kami di sini, di Indonesia atau Malaysia?"

"Oo. Terus terang saya katakan, seumur hidup saya yang sudah 25 tahun ini, walaupun saya nampak tua kerana berbadan besar, saya belum lagi pernah duduk berdepan dengan perempuan yang bukan muhrim seperti ini selama masa kira-kira 1 jam ini.. Apa lagi dengan wanita yang berpakaian seperti anda. Di sana wanita berpakaian menutup seluruh tubuh! Tidak ketat, tidak keluar berseorangan dan sembarangan. Maaf, kalau tersentuh.." Kata Humayon kepada wanita yang berpakaian serba ketat itu, walaupun bertudung tapi agak seksi.

"Habis, bagaimana nak berkahwin, tiada kenal-kenal dulu? Hee, takut aku hidup begitu. Tak lakulah cewek-cewek seperti aku!" Dia membantah.

Tetapi, belum sempat Humayon balas balik dia sudah pergi kerana kawan-kawannya sudah datang mengambilnya. Menurut Humayon, ada seorang gadis dari Malaysia berkahwin dengan orang kampungnya yang berkerja di Malaysia, dan kini pulang ke kampung suaminya di kampungku. Mereka sudah 5 tahun menetap di Swat, tiada masalah apa-apa pun! Itulah antara contoh-contoh dari 3 tanggapan atau pandangan seperti yang disebutkan.

Sikap dan respon Washington pula mengenai Lembah Swat, sila lihat berita terbaru dari Utusan Malaysia ini, 'Pakistan berbalas serangan dengan Taliban'.

PESHAWAR 12 Okt.2009 - Sekurang-kurangnya 41 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh apabila seorang pengebom berani mati menyerang konvoi tentera dekat sebuah pasar yang sesak dengan orang ramai di barat laut Pakistan, hari ini.
Pengebom itu meletupkan dirinya ketika konvoi berkenaan melepasi satu pusat pemeriksaan keselamatan dekat sebuah bazar di pekan Alpuri di Shangla, sebuah daerah berdekatan Lembah Swat, kata seorang jurucakap di Pusat Media Swat kendalian tentera.

"Seramai 41 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam dan selebihnya anggota pasukan keselamatan," kata Mejar Mushtaq Khan. Sebanyak 46 orang termasuk enam askar turut cedera dalam serangan itu.
"Letupan berpunca daripada seorang pengebom berani mati yang berjalan kaki," kata pegawai itu. Lembah Swat menjadi sasaran serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh tentera pada April lalu, dan tentera mendakwa telah mengusir pemberontak Taliban dari lembah tersebut.

Serangan berani mati di Alpuri itu berlaku selepas sebuah pesawat tentera Pakistan menyerang kubu kuat Taliban di selatan Waziristan berhampiran sempadan Afghanistan, ketika kerajaan mengumumkan serangan darat ke atas kumpulan militan itu akan dijalankan tidak lama lagi.
Pesawat tersebut menyerang kubu kuat militan lewat malam tadi, beberapa jam selepas komando menyerbu sebuah bangunan pejabat dan menyelamatkan 39 tebusan berikutan serangan Taliban ke atas ibu pejabat tentera.

"Pesawat berkenaan menyerang dan memusnahkan dua daripada tempat persembunyian mereka di Makeen dan Ladha, dan kira-kira 16 anggota militan telah terbunuh,'' kata seorang pegawai perisik Pakistan di wilayah itu.
Militan Taliban yang mempunyai jaringan dengan al-Qaeda telah melancarkan banyak serangan terhadap kerajaan Pakistan dan mensasarkan rakyat asing sejak beberapa tahun lepas, mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban. Pihak tentera telah melancarkan serangan udara dan meriam di selatan Waziristan selama berbulan-bulan, sementara tentera yang mara menyekat wilayah tersebut dan cuba mematahkan puak militan.

Namun, serangan darat, yang mungkin menjadi ujian terbesar buat tentera sejak militan menyerang negara itu, masih belum dimulakan.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik memberitahu Reuters dalam satu wawancara di Singapura bahawa serangan tentera akan dilaksanakan tidak lama lagi. "Tiada belas kasihan untuk mereka kerana azam dan tekad kami adalah untuk menghapuskan mereka. Mereka tidak akan mempunyai tempat lagi di Pakistan, itu janji saya,'' katanya.

Malik berkata, anggota militan Taliban Pakistan dan al-Qaeda disyaki terlibat dalam serangan ke atas ibu pejabat tentera kelmarin di Rawalpindi, berdekatan Islamabad, selepas pengebom berani mati pada minggu yang sama meletupkan diri di Islamabad dan Peshawar, sehingga mengorbankan lebih 50 orang.
Menurut beliau, serangan darat ke atas militan itu di selatan Waziristan bukan lagi satu pilihan. "Ini bukanlah isu mengenai komitmen. Ia telah menjadi suatu desakan kerana kami menerima permintaan daripada puak tempatan bahawa kami perlu melaksanakan operasi ini,'' ujar beliau. -Agensi

Begitulah keganasan yang dilakukan ke atas negara-negara umat Islam, walaupun bunyinya seolah-olah dilakukan oleh negara umat Islam itu sendiri. Sebenarnya merekalah biang keladinya. Bak kata pepatah orang tua, walaupun mata kapak itu dari besi pejal untuk menebang pokok kayu, namun ia tidak akan berjaya kalau tidak mengenakan ulu kapak yang daripada kayu juga.

Kini Humayon sudah berada di Malaysia. Insya Allah akan bersambung lagi kisah-kisah perjalanan selanjutnya.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim.

e-mail Ibnu Hasyim: ibnuhasyim@gmail.com

Sila lihat Catatan Perjalanan di Iran..

MCA Buang Pemimpin Tak Bermoral Tapi UMNO... Nik Aziz


KOTA BAHRU, 13 Okt : Umno disaran mempelajari cara berpolitik dari MCA, iaitu menolak pemimpin yang tidak mempunyai moral dan terlibat dengan pelbagai skandal. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selama ini orang cina lebih pandai berpolitik berbanding dengan cara politik orang Melayu Umno.

"Cara MCA berpolitik lebih pandai berbanding dengan Umno, dengan menolak Presiden dan Timbalan Presidennya kerana terlibat dengan rasuah dan skandal dengan wanita.. Saya puji MCA, cara mereka menyelesaikan masalah dengan mengadakan mesyuarat jawatankuasa dan tidak mengunakan kekerasan," katanya.

"MCA buang pemimpin yang tidak bermoral tetapi Umno masih memilih pemimpin yang terlibat dengan masalah moral (rasuah)," katanya lagi.

Ujarnya, keadaan ini sangat memalukan lebih lebih lagi sebagai parti orang Melayu dan mengaku beragama Islam, Umno sepatutnya lebih memahami nilai-nilai murni agama berbanding MCA. MCA ujarnya walaupun sebuah parti kaum Cina, faham dan tahu membuat penilaian untuk kepentingan parti mereka.

"Umno yang mengaku bahawa Isa Samad terlibat dengan rasuah tetapi Umno masih pilih lagi dia sebagai calon dan menang dengan majoriti yang banyak, jadi di mana duduknya moral politik Umno?," soalnya.

Tuan Guru menambah, selepas krisis dalam MCA selesai, mereka akan berasa jijik untuk bersama dengan Umno, kerana Umno bersama dengan parti yang menerima bulat-bulat pemimpin yang tidak bermoral. "Mana boleh orang bersih duduk sekali dengan orang yang kotor. Kalau sayalah, bersih nak duduk sekali dengan orang, busuk mana boleh. Kalau MCA ada mNaioral dia tak boleh berkawan dengan Umno Umno yang tak bermoral," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui oleh wartawan di Bilikan Gerakan Negeri, Kota Darul Naim, semalam.

Ekoran EGM MCA: Cina Perlu Ambil Peluang Ini -Nik Aziz.



KOTA BHARU, 13 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi berkata, orang Cina di negara ini perlu mengambil peluang untuk memimpin negara ini dengan mengkaji, menyertai dan seterusnya memimpin Islam. Ini kerana, orang Cina jelas cerdik dalam berpolitik dan patut memimpin orang Melayu.

Beliau merujuk kes perwakilan MCA yang menolak kedua-dua pemimpinnya yang dikira salah laku dan rasuah dengan memberikan isyarat kedua-duanya tidak layak memimpin orang-orang Cina dan MCA. Dalam persidangan luar biasa (EGM) MCA itu, perwakilan meluluskan undi tidak percaya kepada Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat. Perwakilan juga menolak usul untuk melantik semula timbalan presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dipecat oleh Lembaga Disiplin parti itu. Namun perwakilan menerima beliau sebagi ahli parti.

Bagi Nik Aziz, keputusan ini melambangkan kebijaksanaan orang Cina berpolitik. Sehubungan itu, beliau menawarkan sekali lagi agar mereka mengkaji, menyertai dan memimpin Islam kerana mereka adalah kaum yang cerdik dan layak memimpin Islam berbanding orang Melayu sendiri. Demikian menurut sumber Harakah.

Sementara itu menurut Bernama, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membantu MCA menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu 'di belakang tabir' agar tidak menyentuh sensiviti mana-mana pihak, yang ditemui pada majlis pelancaran Buku Amanat Ucapan Presiden Umno.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Dr Mahathir menyifatkan tindakan Datuk Onn berundur diri apabila cadangannya (agar Umno membuka pintu keahliannya kepada bangsa lain) ditolak oleh Umno ketika itu, adalah tindakan seorang lelaki budiman dan merupakan antara sumbangan terbesar Allahyarham kepada Umno.

"Beliau sepatutnya jadi Perdana Menteri yang pertama, tapi cadangan beliau tak dapat diterima oleh Umno, maka beliau dengan rela hati tarik diri. Ini sumbangan terbesar Datuk Onn... Apabila kita dah tak popular atau pendapat kita tidak lagi diterima, kita jangan timbulkan masalah, tapi undur diri dengan cara terhormat," katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pada Tok Guru Nik Aziz, keputusan persidangan luar biasa (EGM) MCA itu, adalah melambangkan kebijaksanaan orang Cina berpolitik. Sedangkan pada Dr Mahathir bekas Presiden UMNO, PM perlu campur tangan dari 'belakang tabir', seolah-olah politik orang Cina tiada kebijaksanaan, walaupun dalam kes Datuk Oon dianggap sebagai 'lelaki budiman'. (2MA)

Monday, October 12, 2009

Politik: Bila Ku Renung Bulan Mengambang Di Iran..


Banglo di lereng gunung musim salji di Iran.

Antara jalan menuju ke sana.
Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim Di Iran 3

MALAM bulan mengambang penuh. Dari celah-celah pohon epal, palm, cherry dan entah apa-apa lagi, cahayanya luruh menimpai susuk wajahku, bersama kawanku orang Iran itu. Saya dan tiga lagi kawan dari Malaysia baru sampai ke kampung itu waktu hari sudahpun gelap. Kawan kami pemandu teksi dari Tehran beserta seorang pembantu, dan seorang keluarga-jauhnya, asal kampung itu mengiringi kami pulang ke kampungnya dari Tehran.

Kampung itu terletak jauh ke utara Tehran beberapa jam perjalanan. Bermula dari selepas subuh, melintasi gunung-gunung tinggi yang gondol. Melintasi lurah yang terdapat sungai, sebagai perairan kewujudan kebun-kebun hijau subur, dan penempatan kampung. Sekali sekala ternampak puncak gunung bersalji walaupun masa itu masih musim panas. Terasa kedinginan menggigit tubuh, apalagi kami yang sudah terbiasa dengan suhu khatulistiwa. Di situlah terletak kampung 'Quen' di Talegan.

Taleghan. Dulunya, semasa revolusi aku pernah dengar nama itu.. "Ayatullah Taleghani. Kawan rapat Imam Khomeini. Sama-sama meniup api revolusi membangunkan semangat perlaksanaan perundangan Islam di Iran. Dia anak daerah ini." Kata kawanku orang Iran yang juga anak daerah ini dalam perjalanan tadi. "Ayatullah Taleghani lebih hebat lagi, istimewanya beliau boleh diterima oleh semua golongan, termasuk puak Islam, nasionalis, liberal dan komunis." Jelasnya dengan bangga.

Di kampung inilah, kini saya sedang mencari kayu bersama pembantu pemandu teksi itu di perkebunan dekat rumah, sedang kawan-kawan lain menyiapkan makanan di dalam rumah. Dapatkan ranting-ranting mati sebagai bahan bakar untuk berdiang wujudkan api dalam rumah. Rumah yang dikosongkan penghuninya semata-mata untuk kami berehat.

"Buat apa renung bulan itu lama-lama, jom kita angkat kayu ini ke rumah, mungkin mereka sedang kedinginan perlukan kayu bakar.." Kata Haji Mahmud kawanku itu, dalam bahasa Inggeris. "Rindu kampungkah? Kalau nak renung lebih baik duduk berehat di atas anjung itu.." Sambil jarinya menunjuk arah anjung rumah banglo yang kami tumpangi.

Terdengar juga suara serigala bersahut-sahutan mengiringi bulan yang sedang mengambang penuh, terasa seolah-olah sedang menonton sebuah filem seram.

Kini, Iran selepas revolusi sudah dapat negara berdasarkan Islam, hasil perjuangan revolusinya. Maka Iran dilebelkan sebuah negara teokrasi dipimpin oleh ulama' dan agama rasminya ialah Syiah Islam, mazhab Imam Jaafar iaitu Usuli. Lepas revolusi, politik Iran terancam. Perang yang dipaksakan dengan Iraq, rebut kuasa dan ekonomi yang teruk terjejas. Penawanan kedutaan Amerika di Teheran keruhkan suasana dan hingga hari ini Switzerland yang jadi wakil Amerika di Iran. Tiada kedutaan Amerika di sini.

Pemimpin Tertinggi Iran bertanggung jawab sepenuhnya. Dialah ketua tentera dan berkuasa isytihar perang, ketua hakim, ketua rangkaian radio-tv, dan berkuasa melantik 6 dari 12 ahli Majlis Wali Iran. Pemimpin Tertinggi atau Pemimpin Agung itu dilantik oleh Majlis Pakar dan majlis ini juga berkuasa memecat beliau. Selain itu, Majlis Pakar juga bertanggung jawab mengawasi kerja Pemimpin Agung itu. Menurut Perlembagaan Iran, Presiden adalah orang kedua tertinggi dalam kerajaan.

Presiden Iran dilantik melalui pilihan raya umum dan akan menjalankan tugas selama 4 tahun. Semua rakyat berumur 18 tahun dan keatas berhak mengundi untuk presiden. Setiap calon presiden perlu dapat kelulusan daripada Majlis Wali Iran tadi. Tanggung jawab presiden ialah memastikan perlembagaan Iran dilaksanakan dan melaksanakan kuasa eksekutif kecuali bidang kuasa terus dengan Pemimpin Agung. Presiden juga mempunyai kuasa melantik dan mengawasi ahli-ahli kabinet, membuat keputusan bagi pihak kerajaan, dan meluluskan sesuatu sebelum dibawa ke badan perundangan. Badan perundangan Iran adalah berbentuk tunggal.

Begitulah kira-kira struktur politik Iran. Ahli Parlimen atau yang disebut Majlis e-Syura Eslami terdapat 290 orang. Dilantik menerusi pilihan raya setiap 4 tahun sekali. Apa yang penting kesemua ahli-ahli parlimen perlu mendapat kelulusan Majlis Wali Iran. Begitulah powernya Majlis Wali Iran. Majlis Wali yang terdiri daripada 12 pakar undang-undang termasuklah 6 ulama yang dilantik oleh Pemimpin Agung. Enam pakar undang-undang lain diundi oleh parlimen Iran di mana keenam-enam mereka dicalonkan oleh Ketua Kehakiman Iran. Majlis ini menafsirkan perlembagaan Iran dan berhak menolak rang undang-undang yang diluluskan parlimen jika dianggap tidak sesuai dengan perlembagaan atau undang-undang Syariah.

Hal inilah yang tidak ada dalam undang-undang sekular, hatta di negara yang disebut negara Islam sekalipun. Rang undang-undang ini kemudiannya akan dirujuk semula di parlimen. Jika berlaku perselisihan antara Parlimen Iran dengan Majlis Wali Iran, maka Majlis Penyesuaian Iran bertanggung jawab menyelesaikannya. Ia bertindak sebagai badan penasihat kepada Pemimpin Agung dan secara tidak langsungnya menjadi badan yang paling berpengaruh dalam pentadbiran negara. Mahkamah di Iran terbahagi dua kumpulan, iaitu Mahkamah Awam yang mengendalikan kes-kes jenayah umum, dan kedua ialah Mahkamah Revolusi yang mengendali kes-kes mengenai keselamatan negara. Keputusan Mahkamah Revolusi adalah tetap dan tiada permohonan semula dibenarkan.

Terdapat juga mahkamah untuk ulama yang melanggar undang-undang negara. Majlis Pakar pula, ahlinya adalah kumpulan ulama yang dilantik oleh rakyat Iran untuk berkhidmat selama 8 tahun. Berdasarkan undang-undang Iran, calon untuk majlis ini perlulah menjalani sebuah ujian bertulis untuk menguji kemampuan mereka dalam ijtihad. Majlis ini berkuasa melantik pemimpin agung dan juga berkuasa untuk memecat beliau pada bila-bila masa sahaja. Begitulah besarnya kuasa agama dalam sebuah negara seperti Iran.

Sambil mengumpul dan mengangkat ranting-ranting kering bawah pokok epal itu, kataku, "Bila ku renung bulan, aku teringat di negaraku, ada sebuah parti Islam yang berlambang bulan penuh seperti ini. Parti yang sudah 50 tahun berjuang untuk menegakkan Negara Islam tetapi masih tidak berjaya. Dari asalnya penduduk tanah airku yang hampir semuanya Islam, kini sudah mengecil hingga tinggal kira-kira 50% sahaja Islam sekarang, tambah menyulitkan untuk Islam dapat memerintah. Menyebabkan seolah-olah masih bertambah jauh dari kejayaan, Kerana yang menang dan memerintah sekarang adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan dan asobiah sempit."

Teringat aku Ayatullah Taleghani yang dikatakan boleh diterima oleh semua golongan, termasuk puak Islam, nasionalis, liberal dan komunis. Bagaimana pemikirannya, mungkinkah agak sesuai di Malaysia? Agak-agak sama ke dengan pemikiran Dr Mujahid Yusuf Rawa dengan Kelab Penyokong PASnya bagi mendapat sokongan atau undi dari masyarakat berbagai agama?

"Sekarang, kami pun sokong pembangkang!" Kata Haji Mahmud.

"Eh..Kenapa? Bukankah Presiden Ahmadenejad diterima ramai? Dalam Pilihan Raya12 Jun 2009 lalu, Suruhan Pilihan Raya Iran mengesahkan Mahmoud Ahmadinejad menang besar dengan 69 % rakyat Iran mengundi beliau?" Aku tersentak macam terperanjat.

"He is a trickyman!" Jawabnya, mengatakan liciknya Ahmadinejad.

Sambil bercerita, pada hari itu pengundian diadakan bermula jam 8 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia) hingga 6 petang. Seramai 46 juta pengundi dari 30 wilayah di Iran, Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa rakyat keluar mengundi dengan % tinggi. Presiden Mahmoud Ahmadinejad ditentang sengit oleh 3 calon lain iaitu bekas Perdana Menteri Iran Mir Hossein Mousavi, Mehdi karroubi dan Mohsen Razaee. Empat calon ini membentuk dua blok aliran pemikiran politik. Ahmadinejad dan Mohsen mewakili Kumpulan Konservatif manakala Moussavi dan Karroubi mengetuai kumpulan Reformis.

"Kami bersetuju dengan Kumpulan Reformis! Kumpulan reformis menjurus kepada polemik setempat seperti pemulihan ekonomi serta kebebasan hak-hak wanita dan kerajaan." Kata Haji Mahmud.

"Mir Hossein berumur 67 tahun. Kami diharap beliau mungkin dapat meredakan ketegangan Iran-Barat. Contohnya berhubung Program Nuklear Iran, dialog dengan Presiden AS berikutan ucapan Barack Obama di Universiti Kaherah memberi inspirasi baru di Iran supaya lebih sederahana. Mir Hossein adalah pejuang kebebasan hak rakyat, utamakan kepentingan negara dan terbuka dengan dunia luar.Beliau mendapat sokongan daripada tokoh berpengaruh Iran, Mohamed Khatami dan cuba membetulkan corak pentadbiran Ahmadinejad yang sehingga kini telah dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa. Khatami semasa menjadi Presiden Iran pernah melawat Washington dan mewujudkan dialog dengan AS." sambungnya.

Patutlah dalam perjalanan saya di Iran kali ini, kami sempat menemu ramah dengan 16 orang rakyat dari segenap lapisan hampir di seluruh Iran, tiada seorangpun yang memuji dan merestui tindak tanduk Presiden Ahmadinejad. Bolehjadi kerana pihak kami hanya mampu menguasai bahasa Inggeris, maka kumpulan yang kami dekati itu adalah bukan kumpulan rakyat majoriti atau penyokong-penyokong mullah atau ayatullah, bahkan kami jumpai golongan sederhana, liberal dan yang mahukan reformis semula selepas revolusi.

Terakhir yang kami temui ialah dengan seorang yang bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris di Tehran, setelah dia mengecam Ahmadinejad, katanya, "Kalau anda mahu mencari Islam sebenar yang sesuai dengan zaman ekonomi masa kini, ianya tidak ada di Iran, tapi lihatlah di Malaysia!"

Terkejut kami. "Pada saya, inilah kesan dari ucapan seorang PM Malaysia semasa saya berada di London satu masa dulu, bahawa Malaysia adalah negara Islam, kerana mengamalkan 2 jenis perundangan. Satu perundangan sivil dan satu lagi syariah, dengan tidak menerangkan taraf sebenar mahkamah syariah yang jauh lebih rendah dari dari mahkamah sivil. Suatu kenyataan penipuan dari seorang PM!" Kata kawan saya mengulas kenyataan tersebut.

Begitulah kisahku merenung bulan, mengimbas kembali kisah perjuangan parti bulan di Malaysia, yang tidak hanya perlu menunggu kelahiran Islam dalam pemerintahan, bagai 'Bulan Jatuh Ke Riba'.. Akhirnya selepas mengangkat kayu api, aku naik ke anjung rumah itu pula, melihat bulan. Bulan di Iran adalah sama dengan bulan di Malaysia, kerana pemilik dan penciptanya adalah sama!"

Tehran: Kemelut pilihan raya lalu. Gambar Bawah: Presiden Ahmadinejad & Mir Hossein Mousavi

Insya Allah bersambung lagi kisah-kisah perjalanan di Iran.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim.
e-mail Ibnu Hasyim: ibnuhasyim@gmail.com

Sila lihat Catatan Perjalanan di Iran..

Tuhan Datang Ke Stadium River Bantu Kami -Maradona

SUKAN
JURULATIH Argentina, Diego Maradona berterima kasih kepada penyerangnya, Martin Palermo dan anak buahnya selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Peru untuk mencerahkan peluang merebut slot automatik ke Afrika Selatan tahun depan.

"Turun ke padang dan tamatkan permainan ini. Selepas itu, Palermo mempamerkan keajaiban untuk menghidupkan peluang Argentina beraksi di pusingan akhir nanti," akui Maradona ketika memasukkan Palermo pada separuh masa kedua perlawanan, semalam.

Palermo menghadiahkan kemenangan yang amat diperlukan Argentina pada lewat permainan selang beberapa minit selepas Peru menyamakan kedudukan. "Tuhan datang ke Stadium River untuk membantu kami," kata Maradona.

Kemenangan itu membolehkan Argentina naik ke kedudukan keempat kumpulan dan kemenangan ke atas Uruaguay Rabu ini akan melayakkan mereka ke Afrika Selatan menerusi slot automatik. Maradona turut ditanya mengenai aksi anak buahnya termasuk bintang Barcelona, Lionel Messi yang sekali lagi beraksi hambar.

"Saya tidak mahu komen mengenai prestasinya. Ia mengimbau kembali aksi saya di padang ini dengan keadaan hujan dan berangin. Ia menyukarkan pemain untuk beraksi dengan baik. Saya amat memahami keadaan dialami Messi. Saya akan terus menurunkannya. Tetapi saya tidak sesekali akan menurunkan Palermo dan Gonzalo Higuain beraksi bersama. Apa yang pasti, Palermo dan Higuain serta pemain lain jika keadaan terdesak," katanya.(AK)

Keputusan N31: Permulaan Perjuangkan Undi Pos Bersih -Salehuddin

TPM Tan Sri Muhyiddin bersama-sama MB Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) mengangkat tangan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad setelah diumumkan menang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, malam ini. foto BERNAMA

Salehuddin Ayub di depan berbaju putih.

TELOK KEMANG, 11 Okt: PENGARAH Jentera Pilihan raya PAS Bagan Pinang, Salehuddin Ayub yang sebelum ini yakin, N31 bakal memangkin gelombang ketiga Rasuah Musuh No.1 Negara, konsistan menjelaskan, keputusan pilihan raya hari ini akan mempercepat gelombang itu. Tegasnya N31 juga bakal dijadikan medan permulaan Pakatan memperjuangkan senarai undi pos bersih, menurut Harakah hari ini.

Beliau antara pemimpin PAS yang mengulas keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang dalam sidang media mereka jam 9 malam tadi. Turut serta dalam sidang media itu ialah Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Zulkefly Mohamad Omar, calon PR Bagan Pinang dan Pengarah Operasi Pilihan rayanyai, Dr Dzulkefly Ahmad serta pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR mengumumkan, calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad menang besar dalam pilihan raya kecil ini mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Omar dengan majoriti majoriti 5,435 undi. Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi. Dalam pilihan raya lalu, calon BN, Azman Mohd Nor mengalahkan calon PAS dengan majoriti 2,333 undi. Pilihan raya ini diadakan ekoran kematian Azman.

Sementara itu menurut BERNAMA, PAS menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang hari ini, namun menyatakan undi pos sebagai antara faktor parti itu gagal merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu. Naib Presiden PAS yang juga Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, mendakwa kekalahan parti itu juga disebabkan rasa takut terhadap 'gangsterisme' yang menyukarkan PAS mendekati 13,664 pengundi di kawasan itu.

"PAS terima keputusan ini tapi terus iltizam perjuang sistem undi pos lebih telus," katanya kepada pemberita di Markas Induk PAS di sini sejurus keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails