Tuesday, December 29, 2009

K'tan, Bukan Melayu Boleh Jadi MB -Nik Aziz


PAS Kelantan Sedia Pinda Undang-Undang Bolehkan Bukan Melayu Jadi MB

KOTA BAHARU: Kerajaan Pas Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendakIslam seperti diperkenalkan Pas sejak memerintah Kelantan pada 1990.

"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi Menteri Besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islamitu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. -BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bukti bahawa PAS lebih memperjuang agama dari taksub kebangsaan, bukan macam UMNO. Kepelbagaian bangsa bukan untuk cari jalan gaduh tapi untuk cari jalan selasai dan berpadu, macam penyatuan wujudkan negara Madinah, walaupun orang Islam waktu itu bukan mojoriti (dianggarkan tidak sampai 30%).

Monday, December 28, 2009

DAP/Karpal Singh Terima Negara Islam -Nik Aziz.



PETALING JAYA, Dis 28 — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa DAP kini sudah dapat menerima rancangan penubuhan sebuah negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Nik Aziz berkata kesediaan pemimpin DAP membawa lambang PAS dalam Pakatan Rakyat ketika ini membuktikan mereka semakin memahami dan dapat menerima dasar perjuangan PAS.

"Saya rasa bangga dan terharu dengan perubahan yang ditunjukkan kepimpinan DAP kini, yang selama ini dengan jelas membantah dasar Islam yang akan dilaksanakan oleh PAS dalam usaha melaksanakan sebuah negara Islam sekiranya berkuasa kelak.

"Lo ini (sekarang) alhamdulillah semua tuduhan yang dilemparkan (DAP) terhadap hasrat PAS untuk melaksanakan dasar negara Islam itu sudah diterima oleh mereka," kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilaporkan berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Kesedaran Wanita Kelantan dekat Temangan, Machang.

Beliau mengakui turut memakai lambang parti DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS untuk membuktikan kesetiaan dan hubungan baik yang dijalin antara mereka dalam Pakatan Rakyat ketika konvensyen sulung mereka di Shah Alam, Selangor 19 Dis lalu.

Kata beliau semua pemimpin memakai baju yang memaparkan lambang tiga parti termasuklah Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis itu tanpa dirancang.

"Apa salahnya menggunakan lambang roket? Dulu DAP menentang PAS pasal hukum hudud, namun sekarang mereka sudah faham mengenai hukum hudud," katanya.

Nik Aziz berkata pemimpin DAP sepatutnya sudah lama menyedari yang penubuhan sebuah negara Islam yang dicadangkan PAS dikuatkuasakan terhadap orang Islam sahaja.

Katanya selain membantah cadangan itu DAP juga pernah menuduh kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinannya menzalimi orang bukan Islam tetapi gagal membuktikan dakwaan itu sehingga kini.

Ketika berucap pada konvensyen itu, Nik Aziz berkata "di dada Karpal ada bulan" merujuk kepada lambang PAS bulan.

Kedua-dua Nik Aziz dan Karpal buat pertama kali bertemu di satu pentas.

Karpal dalam ucapannya pula berkata beliau bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz hari ini tetapi di antara Nik Aziz dan Hadi. (The Malaysian Insider/AK)

Royalti Minyak: Nik Aziz sokong MB Terengganu


KOTA BHARU, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong seratus peratus tindakan yang dilakukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang tetap bertegas meneruskan saman terhadap Petronas berhubung pembayaran royalti minyak kepada Terenngganu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Kelantan mungkin akan meniru cara yang dilakukan Terengganu itu berhubung dengan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan, katanya pada satu majlis di Medan Ilmu di sini baru-baru ini.

Dalam sidang Dun Terengganu baru-baru ini, ketika menjawab soalan lisan PAS Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahmad Said berkata kerajaan negeri menolak jumlah bayaran dari kerajaan pusat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah menjelaskan secara detail kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak betapa perlunya Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal.

Selain itu, Terengganu memutuskan bahawa royalti dibayar terus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri, manakala semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 2000 hingga 2009 adalah dianggap pembayaran royalti kepada Terengganu.

Jumlah royalti yang dituntut Kerajaan Negeri Terengganu bagi 2000 hingga 2009 sebanyak RM2.792 bilion, namun Kementerian Kewangan tetap dengan keputusannya untuk membayar balik wang itu sebanyak RM1.686 bilion saja.

"Selagi perkara itu tidak diselesaikan, (maka) perjanjian (berkaitan) tidak akan ditandatangani.

"Dan kerajaan negeri Terengganu akan menarik balik kes mahkamah jika kerajaan negeri berpuas hati dengan jumlah royalti yang akan dibayar, " tegas Ahmad Said. (AK)

Keguguran Janin: Awas Merebak Ke M'sia.

Remaja Britain kerap gugur anak

LONDON: Remaja menjadikan pengguguran janin sebagai kaedah kawalan kelahiran dan sesetengah mereka melakukan prosedur itu sekurang-kurangnya empat kali sebelum berusia 18 tahun.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan, hampir 1,500 daripada 19,000 remaja wanita berusia kurang 18 tahun yang menggugurkan janin tahun lalu pernah melalui proses itu sebelum ini. Sekurang-kurangnya seorang remaja melakukan prosedur itu sebanyak lapan kali.

Mengikut data 2008, 74 remaja melakukan pengguguran ketiga dan 15 remaja melakukan di antara tiga dan enam kali sebelum berusia 18 tahun. Bagaimanapun, realiti itu tidak disedari kerana kerajaan merahsiakan amalan berkenaan disebabkan kebimbangan terhadap identiti remaja terbabit.

Aktivis masyarakat berkata, angka itu meningkatkan kemungkinan sesetengah remaja tidak menganggap pengguguran janin boleh mengancam nyawa, sebaliknya menyangka ia sekadar kaedah mengelak kehamilan tidak dirancang. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kementerian bertanggungjawab perlu peka, supaya virus ini tidak menyelinap masuk ke negara kita (bahkan mungkin dah masuk pun!), kerana tidak kurang bahayanya dari H1N1. Berlaku pembunuhan dan kematian yang lebih besar bahkan dari dalam rahim atau janin lagi.

"Haram janin sengaja digugurkan,
Sebelum bernyawa hukumnya makruh.
Mubah jika ternyata keuzuran
Ikutlah syariat bersungguh-sungguh."

Pantun hukum dari Mufti Wilayah Persekutuan kira-kira 30 tahun lalu..

London: Tidak Terpedaya Dengan Pandangan Sendiri.

CATATAN PERJALANAN: Menulis terus dari London, sekarang..





SAYA berada di Paddington, London jam 11.33pm waktu tempatan di Shaftesbury Premier Hotel. Harga penginapan 100 pound sehari setelah discount dengan dua buah katil double lengkap dengan tempat memasak air, microwave dan peti sejuk. Suhu 7 darjah tidak begitu sejuk , dikawasan bandar, senang mendapat makanan halal macam di Malaysia. Sekiranya anda ke London, daripada lapangan terbang Heathrow, menaiki Heathrow Connet dengan harga 7.9 pound kePaddington mengambil masa 25minit.

Sekiranya anda menaiki penerbangan Air Asia anda akan sampai dilapangan terbang Standsted dan elok lah menginap di Hilton, Standsted yang harganya lebih kurang serupa diPaddington. Semasa di Paris saya sempat ziarah ke Le Grande Mosquee, di La Monge, sebuah masjid terbesar di Perancis, berusia 100 tahun lebih yang dihadiahkan oleh kerajaan Perancis kepada orang-orang Islam yang membantu kerajaan Perancis didalam satu peperangan. Masjid berkenaan bersebelahan dengan Musium Nasional Perancis terdapat taman didalam perkarangannya.

Apa yang menarik Masjid yang kedua terbesar diEropah ini mempunyai program musim sejuk memberi makanan percuma setiap petang dikelolakan oleh Restoran Masjid dengan jayanya sejak empat tahun lalu bermula setiap Disember dan berakhir pada penghujung bulan bulan Januari. Saya sempat beratur bersama orang ramai dan makan berhidang ba mia, kambing dan kus-kus. Setiap orang juga diberi sebiji apple dan semasa pulang boleh berbekal roti baget (roti panjang, dulu saya suka kata roti Perancis, tapi hampir semua negara Eropah dan negara-negara Arab mempunyai roti tersebut).

Roti Baget ini dibelah dan dimasukkan tuna dan sayuran , inilah yang saya makan di Paris, walaupon keras kena baham juga sebab payah nak jumpa kedai makanan halal di kawasan sekitar Best Western Hotel, Passy. Saya juga menyebut haritu Paris kota serba kemewahan yang menjadi kebanggaan Eropah. Memang Paris mempunyai perkara sama seperti nenas disebut 'ananas', pisang kaki disebut 'kaki' dan mungkin ada banyak lagi perkara seumpama.

Dari segi makanan mereka memiliki ketam, udang yang bersaiz besar dengan harga berpatutan, misalnya lobster yang dibelah dua dengan ramuannya sekali dijual dengan harga 8.30 euro. Tiram hidup dijual mengikut saiz sekilo 8 hingga 14 euro. Sungguh perbezaan matawang euro besar hingga 4/5 ringgit duit kita tetapi pemakaian wang sesuai dengan pendapatan setempat di negara masing-masing. Sebab itu adalah penting nilai wang tinggi. Kejatuhan matawang membantu dalam eksport negara, tetapi kejatuhan yang terlalu lama akan mendatangkan kesan buruk kepada Rakyat.

Kemiskinan juga akan melahirkan kerosakan moral, kecurian dan pecahamanah sepertimana sedang berlaku ketika ini di negara kita. Ada satu perkara ingin saya sebutkan tentang kotaraya besar Paris ke, London ke atau sebelum ini Prague mempunyai satu kesamaan. Masih ujud peminta yang... Inilah perkara yang patut diambil iktibar.

Nabi Muhammad menyebut dalam hadithnya, "Telah datang satu hari nanti orang-orang tidak mahu menerima sedekah.." dimana pada masa itu Nabi menyatakan orang-orang miskin memiliki gudang-gudang yang besar.

Saya ingin berpesan, pada diri dan keluarga saya , tolong lah sesiapa yang susah sebelum ianya sendiri mula meminta-minta, tambah-tambah lagi yang sedang meminta-minta tanpa prasangka.. Bantulah mereka bukan sekadarnya sahaja, tapi kalau boleh selesaikan masalah satu hari mereka, satu minggu dan lebih baik jadikan amalan yang tidak putus-putus. Inilah kebaikan disebalik prasangka aib, sebab apa yang kita perolehi atas usaha kita atau kepandaian kita sebenarnya adalah pemberian Allah supaya kita bersyukur.

Bukan menyombong dan bakhil. Pelajarilah bagaimana mengenali kesusahan dan kepayahan orang lain supaya kita tidak terpedaya dengan pandangan kita sendiri. Sebagai hamba Allah apa ertinya implasi sifar itu dengan kehidupan kita.

Di angkat dari Blog http://bakaryasin.blogspot.com/ di bawah tajuk 'Bukan Kita Sahaja'. Banyak lagi catatan perjalanan kawan lama saya Hj Bakar Yasin ini.. Moga-moga selamat dalam perjalanan.. Teruskan, insya Allah & Alhamdulillah.

Ibnu Hasyim
e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Isnin Dis 28 09.

Bantah Ampangan Mega S'wak, Kerajaan Jahat! -Kaum Penan



Dis 27 09: KAWASAN hutan di Sarawak, seluas republik Singapura, akan tenggalam di bawah takungan air ampangan Bakun, projek berbilion ringgit yang hampir siap selepas bertahun-tahun dilanda kontroversi.

Ampangan tersebut, yang telah memaksa ribuan penduduk meninggalkan tanah nenek moyang mereka, berdepan dengan pelbagai masalah dan kelewatan sejak diluluskanpada 1993, serta kecaman berhubung impaknya terhadap alam sekitar.

Tetapi sebelum kemudahan turbin hidro-elektrik bernilai RM7.5 bilion mula berputar, para aktivis mula menyuarakan kebimbangan mereka terhadap rancangan membina 12 lagi ampangan mega di Sarawak.

Balan Balang, seorang ketua suku kaum Penan mengeluh ketika bercakap mengenai ampangan Murum, satu daripada 12 ampangan mega tersebut, yang bakal dibina di kawasan pemburuan dan perkuburan nenek moyang suku kaumnya.

"Kerajaan ini sangat jahat. Pada masa dulu orang memerangi kami dengan menggunakan kapak atau lembing. Pada hari ini, mereka memusnahkan kehidupan kami dengan hanya menandatangan beberapa keping kertas," katanya.

"Kaum saya tidak mahu meninggalkan tempat kami ini. Kami mahu mati di sini," katanya, yang sebelum ini meredah hutan untuk mendapatkan pertolongan peguam penduduk asal di Miri.

Aktivis hak asasi manusia mahu mengelak berulangnya tindakan pemindahan kira-kira 15,000 penduduk asal dari kawasan Bakun yang tidak gembira hidup di kawasan penempatan baru.

Perkampungan Balan Balang terletak di luar kawasan penempatan Murum, tetapi kira-kira 1,500 orang, sebahagian besarnya suku kaum Penan dan yang lainnya suku kaum Kenyah, akan terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan berdepan dengan masa depan yang belum pasti.

Beliau adalah antara ketua suku kaum yang mendapatkan pertolongan Harrison Ngau, seorang bekas ahli parlimen yang menganggotai rangkaian peguam penduduk asal yang berusaha untuk menegakkan hak-hak suku kaum di Sarawak.

"Semua ampangan ini, mengapa perlukan begitu banyak ampangan di sini? Ia merupakan kad ATM bagi pemimpin politik buat wang," kata Ngau yang pernah dipenjara kerana pendiriannya menentang pembinaan ampangan mega dan pembalakan di kawasan suku kaum Penan. (Malaysiakini.com)

Kartika Saridewi Temui Nik Aziz Lambang Sokongan Kpd Negara Islam.

KOTA BHARU, 27 Dis: Bekas model sambilan, Kartika Saridewi Shukarnor yang pernah mencetus polemik berhubung hukuman sebat atas kesalahan minum arak, hari ini menemui Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau bersama anggota keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al Baroqah, Manjor, Ipoh mengunjungi Menteri Besar Kelnatan itu di kediaman rasmi di JKR 10. Turut bersama anak bongsunya, Kaitlynn Saridewi, 5 tahun.

Kartika ketika ditemui menyatakan beliau sudah lama menyimpan hasrat menemui ulama terbabit. Sebelum ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 20 Julai lalu selepas beliau mengaku bersalah minum arak. Hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 dikenakan.

Bagaimanapun hukuman sebatan tersebut masih ditangguh sehingga sekarang biar pun Kartika beriya-iya menjalani hukuman tersebut. Bagaimanapun ramai pemimpin wanita Umno dan beberapa badan bukan kerajaan mahu Kartika tidak menjalani hukuman tersebut, yang dianggap mereka bertentangan dengan hak asasi manusia.

Hadir sama pada pertemuan tersebut, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar serta anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Seorang ulama pernah mengatakan, "Tidak sempurna iman seseorang itu, selagi negaranya masih belum menjadi negara Islam yang sebenarnya". Negara Islam sebenar ialah negara yang melaksanakan Islam secara keseluruhan (syumul) politik, ekonomi dan sosial, termasuk melaksanakan hukum sebat ke atas peminum arak.

Ertinya rakyat Islam yang faham, mahu perundangan Islam dilaksanakan, terutama ke atas diri mereka sendiri. Amat malang bagi negara seperti Malaysia hanya mengaku negara Islam, tetapi tidak memberi kebebasan kepada umat Islam melaksanakan hukum dan ibadah Islam di dalam negaranya sendiri.

Hanya mereka yang kepala otaknya berselaput berselepet dengan 'otak penjajah' sahaja yang menolak perundangan Islam dengan berbagai alasan seperti menyalahi hak asasi manusia, hukum hudud Islam itu adalah 'hudud PAS', dan sebagainya. Kadang-kadang barua dan talibarut-talibarut penjajah ini lebih berlagak tuan dari 'tuan mereka' iaitu 'kepala bapak penjajah' yang sebenarnya!

Kehadiran Kartika Saridewi menemui Tok Guru Nik Aziz pemimpin parti penegak negara Islam adalah lambang sokongan orang Islam yang mahu kepimpinan Islam di negara ini.

Wallahu 'aklam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails