Monday, February 15, 2010

Hamzah Fansuri: Penulis Pertama Menulis Syair B/Melayu

CATATAN PERJALANAN MEDAN-ACEH 4

Peletakan Batu Pertama (Pembangunan Universitas Hamzah Fansuri)


PERJALANAN saya dari Sibolga, Sumatera Utara ke Aceh selatan melalui suatu tempat bernama Barus atau Panchor. Kereta yang saya tumpangi berhenti makan tengahari di situ, depan sebuah masjid, kira-kira 1 kilometer dari Masjid Fansur yang berhampiran Hatel Fansuri. Di situ juga terdapat makam penyaer terkenal Hamzah Fansuri.

Menurut Wikipedia, Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara itu. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya 'Oud en Nieuw Oost-Indie' (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Ia menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

Hamzah Fansuri adalah pengembang tarekat Wujudiyah. Fahaman ini beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud daripada zat Allah. Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini, terkesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan faham Ibn Arabi, ahli tasawuf yang masyhur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.

Bagaimanapun, tarekat Wujudiyah ini kemudiannya ditentang hebat oleh Nuruddin ar-Raniri yang mengatakan Tuhan kekal tidak terjejas dari ciptaannya. Tidak diketahui secara pasti tarikh hasil karyanya itu ditulis kerana tidak ada catatan tentangnya. Yang diketahui ialah bahawa Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya itu pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 M.

Tetapi beberapa tahun lepas, menurut rekomendasi Dewan Kesenian Aceh (DKA) dalam Rapat Kerja dan Musyawarah Syeikh Kesenian Tradisi se-Aceh, yang berlangsung di gedung DPR Kota Subulussalam (27 Oktober 2008), menyebutkan Kota Subulussalam dinilai layak menyandang gelar 'Bumi Syekh Hamzah Fansuri'. Untuk selengkapnya silahkan baca SERAMBI NEWS.COM

Mengenai riwayat hidupnya, sarjana berbeda pendapat, selain dari pandangan di atas ada juga yang mengatakan Hamzah Fansuri hidup pada abad ke-16 saat Aceh dibawah pemerintahan Sulthan Alaiddin Riayat Syah Sayyidil Mukammil (997-1011 H/1589-1604 M). Dikatakan ia berasal dari Barus, kampung kuno seperti yang saya jelaskan. Bila diterjemahkan nama belakangnya dalam bahasa Arab, akan menjadi 'Fansur'. Sebagaimana tertulis dalam syairnya 'Burung Pingai';

Hamzah Fansuri di Negeri Melayu
Tempatnya kapur di dalam kayu
Asalnya manikam tiadakan layu
Dengan ilmu dunia di manakan payu.

Kapur’ ini sama maknanya dengan ‘Barus’. Dari sinilah tercipta kosa kata majemuk “kapur barus”.

Menurut Taufiq Ismail, dalam sastera Indonesia..

"..yang cikal bakalnya adalah dari bahasa Melayu, posisi Hamzah Fansuri begitu urgensi karena dialah penyair pertama yang menulis bentuk syair dalam bahasa Melayu empat abad silam. Kontribusi besarnya bagi bahasa Melayu adalah fondasi awal yang dipancangkannya terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa keempat di dunia Islam sesudah bahasa Arab, Persia, dan Turki Utsmani."

Hamzah Fansuri banyak mendapat asupan ilmu di Zawiyah/Dayah Blang Pria Samudera/ Pasai, Pusat Pendidikan Tinggi Islam yang dipimpin oleh Ulama Besar dari Parsi, Syekh Al-Fansuri, nenek moyang Hamzah. Kemudian Hamzah Fansuri mendirikan Pusat Pendidikan Islam di pantai Barat Tanah Aceh, iaitu Dayah Oboh di Rundeng, Subulussalam. Kedalaman ilmu yang dimiliki telah mengangkatnya ke tempat kedudukan tinggi dalam dunia sastera Nusantara.

Prof Dr Naguib Al-Attas menyebutnya sebagai “Jalaluddin Rumi Kepulauan Nusantara", yang tidak terbawa oleh arus roda zaman.
Ulama dan pujangga Islam Nusantara yang tersohor. Hamzah Fansuri meninggal pada akhir pemerintahan Sulthan Iskandar Muda Meukuta Alam (1607-1636 M). Dimakamkan di kampung Oboh Kecamatan Rundeng Kota Subulussalam di Hulu Sungai Singkil.

Dalam Rapat Kerja dan Musyawarah Syeikh Kesenian Tradisi se-Aceh, yang berlangsung di gedung DPR Kota Subulussalam tersebut (27 Oktober 2008) langsung dihadiri oleh Ketua DPR Aceh, Sayed Fuad Zakaria juga berkesempatan untuk meletakkan Batu Pertama Pembangunan Universitas Hamzah Fansuri di atas tanah seluas lima hektar, Desa Buluh Duri Kecamatan Simpang Kiri Kota Subulussalam.

Dikatakan juga karya-karya Hamzah Fansuri tercipta pada awal abad ke-17. Ia menghasilkan beberapa buah syair dan prosa. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan Syair Perahunya ini:

Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan

Dengan penggunaan bahasa indah dan perumpamaan yang sederhana, 'Syair Perahu' ini pada suatu masa menjadi sebutan orang ramai. Ia digunakan oleh ibu bapa untuk menasihati anaknya agar mentaati ajaran Islam.

Karya Hamzah Fansuri..

1. Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
2. Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
3. Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
4. Syair Si Burung Pingai
5. Syair Si Burung Pungguk
6. Syair Sidang Fakir
7. Syair Dagang
8. Syair Perahu

Demikian imbasan yang mencuit kenanagan apabila terlihat maqam penyair hebat Hamzah Fansuri penulis pertama yang menulis syair dalam bahasa Melayu empat abad silam.

Perjalanan diteruskan.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Tapak Tuan, Aceh.
Feb 10, 2010

Catatan perjalanan sebelum ini...

Nik Aziz & Wardina: Salaherti Konsep Hiburan, Jadi Negatif

HALAMAN HIBURAN
Tok Guru bersama toko seni & hiburan

KOTA BHARU, 15 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam tidak pernah menghalang hiburan memandangkan fitrah manusia itu sendiri memerlukan hiburan.

Menurutnya, apa yang berlaku kini penganjur itu sendiri yang menyalah ertikan konsep hiburan pada masyarakat dengan membawa sesuatu perkara negatif dengan wajah hiburan.

Dalam pada itu, penulis novel Ayat-Ayat Cina, Habiburrahman Al-Syirazy dan pengacara, Wardina Syafiyyah, mengunjungi beliau tengah hari semalam. Mereka berpeluang mengunjungi Tuan Guru di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10, sempena majlis ‘Bicara Selebriti’ anjuran kerajaan negeri yang akan diadakan di KB Mall pada petangnya.

Turut diundang pada bicara selebriti yang julung kali diadakan itu seorang pengacara, Farah Adeeba. Program bicara berkenaan dipengerusikan Amin Idris. Wardina memberitahu, beliau melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kesempatan itu sehingga dapat bertemu dengan Menteri Besar itu secara dekat.

Menurutnya, sebelum ini beliau hanya mengenali Tuan Guru dari jauh. “Namun secara peribadi saya ingin nyatakan bahawa Tuan Guru begitu mengagumkan saya, kerana personaliti Tuan Guru yang begitu hebat,” ujarnya. Beliau diiringi suami, Ikhwan Johari. (Harakah/AK)

Pembuat Filem M'sia Takut Tonjolkan Seni Islam

HALAMAN HIBURAN

INDUSTRI perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.

Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

"Saya merasa di Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.

"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman," katanya berfalsafah. -Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tak hairan mengapa jadi begitu, kerana kerajaan dan kementerian penerangannya tidak memberi memberi galakan ke arah filem dan hiburan berlandaskan Islam. (AK)

Sila lihat sebelum ini..
"Ibnu Hasyim: Ulasan Filem: Ketika Cinta Bertasbih."








Ayat-Ayat Cinta Part 2 - Watch the top videos of the week here

Nik Aziz Kunjungi Pemimpin Tionghua, Guan Eng Dikunjungi..

Gambar atas sekali Tok Guru di Kelantan, bawah Lim Guan Eng di pulau Pinang.

KOTA BHARU, 14 Feb: Sempena Tahun Baru Cina hari ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut mengunjungi beberapa orang pemimpin masyarakat Tionghua.

Bagi menzahirkan seorang pemimpin Islam yang memimpin pelbagai lapisan masyarakat dan lapisan kaum, pagi tadi beliau mengunjungi beberapa buah pemimpin masyarakat itu di negeri ini. Kira-kira pukul 10.00 pagi, beliau meluangkan masa ke rumah pemilik Syarikat SBJ, Datuk Tan.

Kemudian beliau ke rumah Kenny Chia pula. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dan lain-lain pemimpin kerajaan. Para tamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti sate dan roti jala. Kenny mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru serta timbalannya yang sudi mengunjungi rumah beliau sempena Tahun Baru Cina, tahun ini.

“Moga dengan semangat muhibah yang ditunjukkan oleh kedua orang pemimpin berkenaan akan menambahkan lagi keharmonian dalam negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu di Georgetown Pulau Pinang, rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di laluan pejalan kaki Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum, berlangsung penuh harmoni dan warna warni.

Tetamu terhormat Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas dan isterinya tiba sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, Dr Mansor Othman dan P Ramasamy yang sedari awal berdiri sambil melayan tetamu yang tidak putus-putus menghulurkan tangan tanda semangat pada Tahun Harimau yang membawa maksud ketangkasan, licik, waja dan berketerampilan.

Selain Yang Dipertua negeri, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husain dan ketua-ketua jabatan kerajaan. (AK)

Sunday, February 14, 2010

Gong Xi Fa Cai -Tok Guru Nik Aziz

Oleh
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS,

SAYA ingin mengucapkan kepada semua masyarakat berbangsa Tionghua dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Febuari 2010. Selamat Tahun Baru.

Perayaan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang penting di kalangan masyarakat Tionghua dan mengikut kalendar Cina tahun ini adalah tahun harimau.

Harimau melambangkan keberanian, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih ke hadapan di dalam apa jua bidang.

Sesungguhnya masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India.

Kita telah bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.

Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan takwa.

Lantaran itu, mewakili pimpinan kerajaan Kelantan, saya sentiasa ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa Islam yang menjadi dasar pemerintahan kerajaan tidak akan sama sekali menjadi penyebab berlakunya ketidakadilan dan diskriminasi, bahkan akan sentiasa menjadi penyelesai kepada masalah dengan dasar yang adil dan saksama.

Semoga masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan khususnya terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya.

Akhir kata, Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan/Mursyidul Am PAS
Kota Bharu 14 Feb 2010

Akhbar Norway Hina Islam, Di M'sia Tak Rasa Ke?

Sebahgian penunjuk perasaan menunaikan sembahyang Jumaat di Dataran Universiti, Oslo, kelmarin sebelum menyambung bantahan penerbitan karikatur Nabi Muhammad. - AP

OSLO 13 Feb. - Kira-kira 2,500 rakyat Norway beragama Islam, berarak di jalan-jalan dekat pusat bandar Oslo dalam satu tunjuk perasaan semalam bagi membantah tindakan sebuah akhbar Norway yang menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW dengan menggambarkannya sebagai babi.

Penunjuk perasaan turut melaungkan 'Allahuakbar' selain mengibarkan sepanduk yang meminta akhbar harian Dagbladet diboikot.

Akhbar tersebut pada 3 Februari lalu menyiarkan sekeping gambar menunjukkan seorang lelaki sedang duduk di hadapan komputer dengan menggambarkan Nabi Muhammad sebagai babi.

Gambar tersebut turut disertakan dengan satu artikel yang mengatakan pengguna internet menyiarkan kenyataan menyakitkan hati tentang Islam dan Yahudi di halaman Facebook milik polis keselamatan Norway.

Ketua editor Dagbladet, Lars Helle memberitahu The Associated Press, dia tidak kesal kerana mencetak gambar yang menyinggung perasaan itu, malah mengalu-alukan tunjuk perasaan yang diadakan semalam.

"Ia adalah satu ujian untuk masyarakat Norway sama ada ia akan jadi satu bantahan aman atau sebaliknya," katanya lagi.

Ujar Helle, Dagbladet juga tidak menerima sebarang ancaman secara langsung sejak ia menerbitkan karikatur tersebut.

Katanya, seorang penggodam dari Turki telah mengakibatkan laman web akhbar tersebut terganggu selama dua jam pada malam Rabu lalu, namun dia tidak pasti adakah pencerobohan itu mempunyai kaitan dengan penyiaran karikatur berkenaan.

Penunjuk perasaan berkata, mereka mahu menunjukkan kepada media Norway bahawa umat Islam sangat-sangat tersinggung dengan penyebaran gambar seumpama itu.

Islam mengharamkan sebarang imej yang menggambarkan Nabi Muhammad walaupun ia memaparkan sisi baik baginda kerana bimbang ia boleh membawa kepada pemujaan. - AP

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kita di Malaysia tak terhina ke?

3,564 Penipuan Internet E-perbankkan Meningkat 68%. Awas!

PENGGUNA

Cybersecurity: Penipuan siber e-perbankan meningkat di Malaysia

KUALA LUMPUR, Feb 14 — Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kaji selidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri, berkata menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran e-mel dengan menggunakan soalan yang menyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

“Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi e-mel,” katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program ‘CyberSAFE’ di mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat e-mel cyber999@cybersecurity.my This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it . — Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Awas dan sama-sama jaga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails