Friday, April 16, 2010

Tentera AS Ramai Mati Bunuh-diri Dari Berperang -Time


APRIL 16: Laporan media AS menbongkar jumlah tentara AS yang bunuh diri lebih banyak dari jumlah tentara AS yang terkorban dalam pertempuran di Irak dan Afghanistan. Time menyebutkan, 817 tentara yang bunuh diri, sedang yang terkorban dalam pertempuran hanya 761 orang, menurut statistik rasmi tentera.

Time menambahkan, hal ini menunjukkan kegagalan militer AS dalam menghadapi isu bunuh diri, meskipun AS telah menghabiskan jutaan dolar untuk mengubati perilaku menyimpang ini.

"Kami melatih tentara gunakan kekerasan yang tersusun, untuk mematikan dan melakukan aksi kekerasan terhadap reaksi emosional... serta untuk mengatasi rasa kesakitan fizikal mental dan mengatasi rasa takut cedera bahkan mati.. Namun semua ini tidak mampu menekan meningkatnya kelajuan ingin bunuh diri oleh tentara..." Kata pakar pelatih tentera tersebut.

Akhirnya sebuah kajian baru-baru ini menyimpulkan bahawa banyaknya penempatan pasukan AS di berbagai tempat, mengarah kepada meningkatnya jumlah yang bunuh diri. Bahkan merumuskan bahawa satu-satunya solusi untuk menghindari insiden tersebut ialah dengan mengurangi jumlah tentara yang dikerahkan dan jumlah waktu yang dihabiskan oleh tenteranya di barisan hadapan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sebab itu perjuangan dalam Islam digariskan dalam 5 dasar yang terpahat dalam jiwa Mulmin iaitu ..

  • Allah matlamat kami
  • Rasul pemimpin kami
  • Al-Quran perundangan kami
  • Jihad jalan kami &
  • Syahid cita-cita kami.
Jadi, tidak ada erti kalah dalam perjuangan Islam, samada menang atau syahid. Musuh-musuh Allah boleh menjajah bumi, negara, bahkan jasad umat Islam, tetapi tidak pada jiwa dan perjuangan Islam. Perjuangan Islam tetap akan berterusan hidup sehingga hari kiamat, pasti akan menang dan menguasai muka bumi, kerana itulah janji Allah dalam Al-quran. Itulah pegangan dan pahatan di jiwa Muslim sejati yang menjadi rahsia kemenangan Islam... Yang tidak ada pada askar Amerika, musuh-musuh Allah dan kuncu-kuncunya.

Allahu Akbar! (2MA)

Kes Tuan Muda: Sedia Tarik Balik. Patut Semak Dulu.


APRIL 15 10 - KUANTAN: Pihak Istana Pahang bersedia menarik balik laporan polis terhadap seorang remaja berumur 17 tahun yang menyamar sebagai Tuan Muda Pahang. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda sendiri telah melihat laporan polis yang dibuat dan mengambil kira kenyataan remaja terbabit terhadap pihak berkuasa.

"Jadi saya ingin mengatakan saya tidak akan buat satu tindakan susulan kalau dia mohon maaf dengan saya, keluarga saya dan buat akujanji dan bersetuju mendapatkan rawatan kaunseling dalam tempoh yang akan ditentukan polis," titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat Zarina Wahab, wanita yang menjadi mangsa simbahan asid, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini. Titah Tengku Abdullah, jika remaja tersebut bersetuju memenuhi syarat berkenaan, kes itu akan ditarik balik namun sekiranya perkara itu berulang, laporan kes terbabit akan dibuka semula memandangkan perbuatan remaja itu mencemarkan nama Istana Pahang selain turut menjejaskan kredibiliti pihak yang terlibat.

Perbuatan remaja itu tetap salah daripada segi undang-undang namun baginda turut mengambil kira tujuan remaja itu yang dipercayai ingin mengambil tahu hal ehwal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"(Kejadian) ini ada sedikit sebanyak kelucuan dan saya berharap budak itu akan insaf dengan perbuatannya," titah baginda.

Berhubung kelemahan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam membuat pengesahan berhubung identiti remaja itu, Tengku Abdullah bertitah pihak berkenaan sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata kes itu akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya. Jumaat lepas, remaja yang berasal dari Bera, Pahang itu ditahan polis di rumah saudaranya di Pekan, ekoran aduan daripada pihak Istana Pahang mengenai kes penyamaran itu.

Remaja terbabit yang merupakan pelajar pintar, dipercayai memperdaya seorang exco kerajaan negeri Pahang dan Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah. Tempoh reman remaja terbabit berakhir hari ini. - BERNAMA

Kesnya: Seorang remaja ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes penyamaran sebagai "Tuan Muda Pahang", Remaja berusia 17 tahun itu yang disifatkan polis sebagai "budak pintar" ditahan setelah polis menerima aduan daripada Istana Pahang. Suspek memperdaya seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sepucuk surat rasmi palsu Tengku Puan Pahang yang direka telah dihantar ke Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating untuk memaklumkan bahawa suspek akan mengadakan lawatan ke kem berkenaan. (AK)

Thursday, April 15, 2010

Besok Perang Demo Bantah APCO. Tolak Pengganas..

PM Najib bertemu kepala penjenayah.

KL, 15 April: Dewan pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan himpunan aman esok bagi membantah pembabitan firma rundingan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia. Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru sejurus selesai solat Jumaat.

"Kita menyeru kepada semua umat Islam dan warga prihatin untuk membantah penglibatan syarikat Israel (APCO Worldwide) dalam komunikasi negara.

"Penglibatan mereka akan mendedahkan maklumat penting negara," katanya yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.

Selain itu menurutnya, bantahan esok juga bagi menuntut kerajaan menamatkan serta merta khidmat firma perunding terbabit yang dilat tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

"Kita menuntut khidmat firma perunding ini ditamatkan serta merta, bukan tunggu bulan Ogos.

"Kerajaan perlu teliti dan berhati-hati melantik syarikat luar kerana Israel ini saban hari membunuh dan menindas umat Islam di Palestin," tegasnya.

Selain itu, himpunan sama juga dijangka turut diadakan di seluruh masjid negeri di seluruh negara esok.

Blog Ibnu Hasyim menemui beberapa peniaga-penianga pasar malam Taman Melawati mengenai demontrasi tersebut, antaranya menyebutkan..

"Menteri JPM, Nazri Aziz mengakui kerajaan bayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, konon sumbangan memperbaiki hubungan Malaysia dengan Amerika. Tapi, wang itu adalah wang rakyat.." Kata seorang peniaga pasar malam Tuan Junoh Tuan Lembut (46). "Kenapa kita biarkan? Ianya wajib dibantah!"

Seorang lagi yang namanya tidak mahu disebutkan, berkata, "Mengapa wang rakyat diambil untuk membela pengganas dan penjenayah dunia yang membunuh rakyat Palestin??" (AK)

Tangan Hantu Di Belakang KEDA. -Datuk Dr Mohd Hayati



KL, 15 April:
Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) mendakwa wujudnya 'tangan yang menghalang' di belakang Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dalam urusan pembangunan rakyat.

Dr Hayati (gambar) sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, kewujudan 'tangan' itu disedari apabila terdapat kes seorang penduduk yang pembinaan rumahnya terhenti, dipercayai dihalang pihak tertentu walaupun telah diluluskan Keda sebelum ini.

"Kejadian berlaku terhadap Sobri Mohd Rotin dari Kampung Telok Yan. Rumah sudah dirobohkan, kontraktor telah datang membawa batu bata dan pasir tapi ada tangan-tangan yang saya tak tahu, sebab itu saya tanya berhubung dengan JKKKP kali ini.

"Ada tangan-tangan di atas menghalang kontraktor membuat rumah dan sampai sekarang dia belum lagi mendapat rumah tersebut. Jadi saya harap pihak menteri dapat memberi jawapan berhubung masalah ini kerana ia merupakan rakyat miskin dan perlukan bantuan daripada Keda dan Keda telah luluskan. Kalau tidak luluskan, lain cerita," katanya.

Beliau turut mempersoalkan kuasa di antara Keda dan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dalam urusan pembahagian elaun.

"Siapa yang lebih berkuasa, adakah JKKKP dengan pegawai Keda yang menjalankan tanggungjawab?" soalnya.

Menjawab dakwaan tersebut, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek meminta supaya bukti mengenai kes yang didakwa itu diserahkan kepada kementerian bagi memudahkan pihaknya menyelesaian masalah yang timbul.

Sebelum itu, Dr Hayati meminta kementerian itu menyatakan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Keda untuk membayar elaun KKKP di Kedah pada pembayaran elaun bagi tahun 2008 dan 2009.

Menteri dalam jawapannya memberitahu, penyaluran elaun-elaun bagi JKKKP negeri Kedah adalah diselaraskan melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) manakala Keda hanya berperanan sebagai agensi pembayar.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tentu 'tangan hantu' yang mengganggu rakyat, bukan 'tangan malaikat'...

'Khalid Samad tidak beriman - Mufti'. Tarik Balik! -Khalid

KL, 15 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menarik balik atau menafikan kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Selangor Kita di bawah tajuk ‘Khalid Samad tidak beriman - Mufti’.

Bercakap dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, Khalid berkata, beliau memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Harussani untuk membuat penjelasan berhubung kenyataan itu sebelum tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

"Sekiranya kenyataan ini bukan dari dia dan tidak tepat, maka saya minta dia untuk menafikan. Sekiranya dia tidak nafi, saya minta dia tarik balik.

“Kalau dia tidak tarik balik, maka dalam tempoh tujuh hari saya akan mulakan tindakan undang-undang terhadap dia kerana ini merupakan satu kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab dan tidak layaklah seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan yang seperti ini dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Khalid turut menegaskan, jika benar Harussani membuat kenyataan itu, beliau seharusnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu.

"Lebih-lebih lagi dia tidak ada menghubungi saya untuk mendapat apa-apa penjelasan, nampak seolah-olah mufti membuat fatwa berdasarkan kepada laporan surat khabar dan khabar angin.

"Kalau nak buat satu pandangan seharusnya dia bertanya pada saya apakah sikap dan pendirian saya, tapi tidak menghairankan, dia mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana berhubung jawatankuasa antara agama pun dia terus membuat fatwa tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian itu sendiri. Ini satu budaya yang perlu dicegah kerana ia menimbulkan imej buruk kepada Islam itu sendiri," tegasnya.

Menurut Khalid, Harussani membuat kenyataan itu berdasarkan pandangan Khalid mengenai Enakmen Undang-Undang Islam Negeri Selangor. Beliau menyatakan pandangan bahawa undang-undang itu boleh dipinda kerana ia satu pentadbiran dan peraturan berhubung matlamat-matlamat tertentu dan cara mencapainya menurut Islam.

"Isu yang ditimbulkan ialah berhubung dengan isu enakmen undang-undang Islam Negeri Selangor. Undang-undang Islam Negeri Selangor ini ialah undang-undang pentadbiran. Ianya bukan hukum qat'ie. Ianya merupakan pentadbiran, peraturan yang berhubung matlamat-matlamat tertentu, cara nak capai matlamat itu seperti mana yang ditentukan oleh Islam. Caranya itu ada kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Ia bukan satu peraturan yang ditetapkan oleh Al-Quran. Sebab itu saya cakap ia boleh ditegur dan dipinda," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai akhbar Selangor Kita, Khalid memberitahu, ianya diedarkan di kafetaria ahli Parlimen untuk bacaan umum. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akhbar berkenaan akan diedarkan di Hulu Selangor untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat sempena pilihan raya kecil.

Akhbar berkenaan mula disedari kewujudannya apabila diedarkan sewaktu Sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor, Februari lalu.

"Ada satu lagi surat khabar yang dikeluarkan, kita rasa yakin ia dikeluarkan oleh Umno Barisan Nasional khususnya Umno Selangor dan diberi nama Selangor Kita. Tapi pihak Umno menafikan ianya dikeluarkan oleh mereka tapi kita yakin ianya dikeluarkan mereka sebab tidak ada orang lainlah yang nak lawan kita macam ini kecuali mereka. Tapi biasalah, baling batu sembunyi tangan ini memang dasar Umno.

"Akhbar ini diedarkan di kafetaria ahli Parlimen untuk dibaca oleh MP. Tidak mustahil ia juga akan diedarkan di Hulu Selangor.

"Kita tidak tahu akhbar ini daripada siapa sebab tidak ada sebarang maklumat yang dipamerkan kecuali syarikat yang mencetaknya iaitu Penerbitan Darul Ehsan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, beliau berkata tidak akan melakukan demikian. "Ini isu politik, tak payah report polislah. Polis pun sudah banyak kerja. Ini isu poliik, jadi kita lawan cara politik," katanya.

Turut bersama beliau pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah, Muhammad Husain (Pasir Puteh), Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai) (AK)

Tiba-tiba ADUN Bakar Arang Keluar PKR, Mengapa?

KL. APRIL 15 10: Tiba-tiba sahaja Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan PKR hari ini. Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu. Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Mengapa agaknya?

Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu kerana dipermain-mainkan oleh pemimpin partinya.

"Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai, tapi yang saya pandai, boleh buat atau tak boleh buat dan mahu buat atau tak mahu buat... itu saja saya tahu.

"Saya cuma tahu bercakap benar, tak seperti orang lain bermuka dua dan lidah bercabang," katanya yang membacakan kenyataannya.

Wei Shu juga berkata dia akan menjadi Adun bebas dan berjanji akan terus berkhidmat seperti biasa dan berusaha memenuhi kehendak rakyat. Pada akhir kenytaannya, Wei Shu berkata pengundurannya itu tidak ada kena mengena dengan perlucutan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Kedah. (AK)

Hulu S'gor: P Kamalanathan disahkan calon BN

APR 15, 10: MIC

dilaporkan bersetuju supaya ketua penerangannya, P Kamalanathan diletakkan sebagai sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.

Sebelum ini, Barisan Nasional dilaporkan menghadapi jalan buntu mencari calon yang sesuai.

Ini kerana MIC mahu timbalan presidennya, Datuk G Palnivel diletakkan sebagai calon tetapi permintaan itu ditolak oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku timbalan pengerusi BN.

Penyokong akar umbi, khususnya dari Umno sejak kematian ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu secara terang-terangan menolak Palanivel.

Mereka mendakwa beliau tidak cekap dan gagal membangunkan Hulu Selangor meskipun menjadi ahli parlimen selama empat penggal.

Sebaliknya, mereka yang menentang Palanivel mencadangkan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan sebagai gantinya.

Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor tetapi pemimpin atasan MIC tidak merestui cadangan itu.

Ini kerana tidak ramai pemimpin atasan MIC memegang jawatan ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri dan jika Mugilan menang dia akan mempunyai kelebihan.

Pada mesyuarat tergempar jawatankuasa pusat MIC yang diadakan malam tadi, MIC berkeras mahukan hanya Palanivel sebagai calon mereka.

Jawatan senator, timbalan menteri

Mesyuarat itu juga mengambil keputusan untuk memecat timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan sekiranya dia dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Samy Vellu berjumpa dengan Muhyiddin awal pagi ini di pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya tetapi Muhyiddin dikatakan terus tidak berganjak dan menolak timbalan presiden MIC itu.

Sebagai kompromi, difahamkan Palanivel akan dilantik sebagai senator dan timbalan menteri kerana bersetuju memberi laluan kepada Kamalanathan.

Kamalanathan, adalah ketua perhubungan awam Beras Jati Sdn Bhd, sebuah syarikat peruncitan beras.

Beliau dipertanggungjawabkan oleh pemimpin MIC untuk menjenamakan semula parti itu selepas pilihan raya umum 2008 yang keputusannya memalukan mereka

Kamalanathan juga adalah seorang blogger, yang seringkali dijemput menghadiri rancangan ehwal semasa dan juga pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta.

Meskipun bukan anak tempatan Hulu Selangor, Kamalanathan menetap di Rawang, sebuah pekan yang tidak jauh dari kawasan pilihan raya itu. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails