Thursday, May 20, 2010

Bung Mokhtar: Komen Dr Mohd Asri & PKR.. PAS?

Membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami.

MEI 20 10: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan perasaan simpatinya terhadap Datuk Bung Mokhtar dan isterinya Zizie Izette A Samad yang didapati bersalah menikah tanpa kebenaran oleh mahkamah rendah syariah.

Menurut Dr Mohd Asri (kiri), kedua-dua pasangan sensasi itu terpaksa menerima hukuman "hanya kerana berpoligami".

"Dalam masa yang sama, kita boleh melihat berbagai filem dan aktiviti seni yang berpelukan dan bermesraan atas pentas, ditonton ramai tidak pernah diambil tindakan.

"Jika pun pihak jabatan agama ingin membendung salah laku atau salah guna poligami, buatlah peruntukan undang-undang yang tegas kepada suami yang berpoligami tetapi tidak menjalankan tanggungjawab," katanya.

Semalam, selain dijatuhi penjara sebulan, Bung Mokhtar - ahli parlimen Kinabatangan - didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Isteri keduanya, Zizie - seorang pelakon - pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagaimanapun membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan terhadapnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mohd Asri berpendapat, bagi membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami hanyalah meningkatkan maksiat semata-mata.

"Malanglah, jika yang berkahwin diambil tindakan, tetapi 'ada yang ternama tidak berkahwin' bebas dengan pasangannya yang ternama," kata Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sementara itu Wanita PKR Selangor pula mempunyai pandangan berbeza dengan tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Seragamkan undang-undang, elak kekeliruan

Dalam kenyataannya semalam, sayap wanita PKR negeri itu "mengucapkan tahniah kepada Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad kerana tegas menangani isu berkaitan poligami."

"Wanita Keadilan Selangor memandang serius isu poligami tanpa izin. Perkara ini boleh menjelaskan keharmonian keluarga sekiranya tidak ditangani. Dengan kadar penceraian yang sangat tinggi di Selangor hal ini perlu dipandang serius.

"Pandangan isteri pertama harus diambil kira, kerana jika isteri pertama tidak memahami keperluan poligami bagi suami mereka ia akan menjejaskan institusi keluarga," kata ketuanya Haniza Talha (kiri).

Dalam satu kenyataan semalam, Haniza yang juga timbalan speaker Selangor turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan poligami diseragamkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Jika seorang ahli parlimen (Seperti Bung Mokhtar) boleh melakukan pelanggaran terhadap undang-undang berkaitan poligami mungkin kerana keliru, apa lagi masyarakat biasa yang mungkin tidak jelas dengan undang-undang yang ada," kata ADUN Kampung Medan itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Itu pendpat Dr Mohd Asri & Keadilan. Apa kata PAS pula?

Sebelum ini...

Wednesday, May 19, 2010

Peguam Syarie B/Islam: Pandangan Ust Zaharuddin

MARI kita lihat ulasan Zaharuddin Abd Rahman mengenai perlantikan Peguam Syari'e dari kalangan bukan Islam. Apakah terdapat larangan khusus atau keharusan tentangnya di dalam Islam?

Jawapan beliau...

Saya kira isu ini memerlukan perbincangan lanjut dengan lebih terperinci khususnya yang melibatkan peruntukan undang-undang dan yang berkait dengannya.

Selain itu, perkara berkait nas syarak dan juga kesan positif serta negatifnya juga perlu diteliti. Semua perlu didiskusikan bagi memperolehi satu keputusan paling konkrit dan wajar. Artikel yang saya tulis ini hanyalah sekelumit perbincangan yang berkaitan, ia ditulis dalam bentuk agak ringan untuk pembacaan awam. Ia tentunya tidak cukup untuk menetapkan pendirian terbaik namun saya kira cukup untuk memberikan sedikit jawapan dan rujukan untuk perbincangan yang lebih mendalam dan ilmiah.

Jika kita menelusuri khazanah ilmu Islam terdapat beberapa perkara boleh dijadikan rujukan iaitu:-

1. Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Maidah : 8)

Ayat ini secara jelas mengarah umat Islam mengenakkan keadilan dan kebenaran dalam apa jua penilaian dan hukuman yang dijatuhkan. Justeru menjadi objektif Shariah, apa sahaja perkara harus (yang tiada larangan khusus) boleh mendekatkan kepada keadilan akan turut dibenarkan.

Dalam konteks ini, demi menegakkan keadilan dalam pemutusan hukum Shariah di mahkamah, tentunya Hakim mestilah seorang Muslim, malah mempunyai syarat tertentu tambahan pula. Saya kira, adalah jelas hakim di Mahkamah Syariah MESTILAH dan WAJIB seorang MUSLIM.

Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif sahaja, bukan pemutus. Malah semua hujjahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie. Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas Al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks tersebut, saya melihat tiada masalah bagi seorang peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim.

Ia hampir sama dengan situasi perbankan dan kewangan Islam hari ini yang dipenuhi dengan CEO, pengurusan tertinggi serta eksekutif yang bukan beragama Islam. Namun tentunya, mereka diperlukan mempunyai beberapa kriteria dan kelayakan tertentu untuk menduduki jawatan di sektor kewangan Islam. Khususnya ilmu dan pengetahuan di dalam hal ehwal hukum Shariah di dalam bidang Fiqh Mu'amalat.

Apa yang tidak wajar atau TIDAK DIBOLEHKAN adalah bukan Muslim menjadi ahli Majlis Penasihat Shariah di mana-mana institusi kewangan Islam. Ini kerana jawatan tersebut memerlukan kriteria seperti hakim di mahkamah Shariah yang perlu menghayati Islam dalam ilmu, kehidupan dan keimanan di hati. Alhamdulillah setakat ini, masih belum ada mana-mana individu atau ilmuan bukan Islam yang dilantik menjadi ahli penasihat Shariah.

2) Allah juga mengingatkan :-

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Ertinya : Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka; jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil ( Al-Maidah : 42)

Ayat ini menunjukkan mahkamah Islam sentiasa sedia menerima mana-mana individu bukan Islam untuk mencari keadilan atau mendapatkan hukuman terbaik di atas pertikaiannya berdasarkan ketentuan hukum Shariah. Justeru, dalam konteks memberikan pembuktian, mengemukan hujjah, sudah tentulah individu bukan Islam tersebut BEBAS untuk berhujah di mahkamah (jika dia tidak diwakili oleh mana-mana peguam). Keadaan ini secara langsung menjelaskan bahawa mahkamah Islam menerima hujah dari individu bukan Islam sama ada atas nama pendakwa, tertuduh dan sekaligus peguam yang mewakili anak guamnya.

3. Allah swt berfirman :

إنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًا

Ertinya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat...(An-Nisa : 105)

Menurut para ulama, ayat ini sangat PERLU DAN WAJIB diHAYATI OLEH SEMUA PEGUAM MUSLIM, amat bertepatan dengan kerjaya peguam yang bertugas di mahkamah keadilan. Menurut mufassirin, ayat ini diturunkan ke atas kes seorang Munafiq bernama Tu'mah Ibn Abiraq.

Hasil daripada ayat tersebut, Rasulullah menarik semula hukuman ke atas Yahudi yang dituduh oleh seorang Munafiq bernama Tu'mah ibn Abiraq mencuri baju besi perang kepunyaan Qatadah Bin Nu'man. Padahal Tu'mah yang mencurinya dan menyembunyikannya di rumah lelaki Yahudi yang juga merupakan jirannya. Kes ini berakhir dengan hukuman dikenakan ke atas Yahudi, namun Allah menurunkan satu ayat menunjukkan Yahudi terbabit tidak bersalah iaitu surah An-Nisa ayat 105-109. (Tafsir Ibn Kathir, 1/552 ; Al-Durru Al-Manthur, As-Sayuti, 2/673 ;)

Imam Al-Razi berkata ketika menghuraikan ayat 105 surah an-Nisa di atas:

وكان الغرض من هذا النهي تنبيه النبي عليه الصلاة والسلام على أن طعمة كذاب وأن اليهودي برىء عن ذلك الجرم

Ertinya : Tujuan dari larangan (janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) adalah peringatan kepada Nabi s.a.w bahawa sesungguhnya Tu'mah berbohong dan Yahudi tersebut tidak bersalah atas dakwaan jenayah mencuri tersebut.(Tafsir al-Kabir, 11/28)

Ayat ini juga menjelaskan secara terang bagaimana seorang bukan Islam dari kalangan Yahudi diadili di Mahkamah Islam di zaman Rasulullah. Sebagaimana di atas, tentunya Yahudi terbabit telah diberikan peluang oleh Rasulullah untuk membela dirinya. Namun pembelaannya gagal. Pembelaan bermaksud menjalan tugas seperti peguam. Namun jelas keadilan sentiasa dijamin pemutusan hukuman dalam kes di atas ini telah dipandu oleh Allah ta'ala.

4. Athar

Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali k.w selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Asalnya khalifah Ali kehilangan baju besinya. Tiba-tiba terlihat ia dalam barang jualan seorang Yahudi, lelaki tersebut kelihatan sedang menjualnya di pasar. Apabila dituntut oleh khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi tersebut enggan mengaku dan menegaskan ia adalah miliknya. Ali terus menuntut membawa pertikaian mereka mereka ke penghakiman hakim Muslim.

Hasil dari itu, kes mereka berdua yang berselisih dalam menentukan pemilikan terhadap baju besi tersebut dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi r.a (wafat 78 H). Lalu Syuraih bertanya kepada Ali, apakah kisahmu?

Khalifah Ali : aku mendapati baju besi milikku yang jatuh tercicir pada malam hari berada di dalam barang jualan lelaki ini.

Qadhi Syuraih : bagaimana pula kamu wahai lelaki?

Lelaki Yahudi : Ia adalah milikku dan berada dalam simpananku, aku tidak pula menuduh Ali berbohong.

Qadhi Syuraih : Wahai Ali, aku tidak syak atas kejujuranmu namun kamu mesti mempunyai dua orang saksi. Adakah kamu mempunyai bukti ia milikmu?

Jawab Khalifah Ali : Ya, kedua anakku, Hasan dan Husain menjadi saksi bahawa ia kepunyaanku.

Qadhi Syuraih :Sesungguhnya penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes ini tidak diterima.

Khalifah Ali : Subhanallah!. Adakah lelaki yang dijamin syurga tidak diterima penyaksiannya ( merujuk kepada Hasan dan Hussain yang disebut oleh nabi akan menjadi pemuda Syurga)

Qadhi Syuraih : bahkan wahai Amirul Mukminin, namun aku tidak boleh membenarkan penyaksian anak menyokong bapanya dalam kes ini.

Qadhi Syuraih : Wahai lelaki, ambillah, baju besi itu adalah milikmu.

Lelaki Yahudi berkata :

أمير المؤمنين قدمني إلى قاضيه! وقاضيه يقضي عليه! أشهد أن هذا الدين على الحق، وأشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً عبده ورسوله، وأن الدرع درعك يا أمير المؤمنين، سقطت منك ليلاً.

Ertinya : Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya.! Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah BENAR, lalu beliau terus mengucap dua kalimah shahadah. Kemudian, berkata : Sesungguhnya baju besi tersebut adalah milikmu wahai Amirul Mukminin, tercicir darimu di malam hari. (Hilyatul Awliya, Abu Nu'aim Al-Esfahani, 4/140 ; Tarikh al-Khulafa, As-Sayuti, 1/185 ; Akhbar Al-Qudhah, Waki', 2/200)

Namun kemudiannya Ali terus menghadiahkannya kepada lelaki tersebut.

Jelas sekali lagi dalam kisah di atas bagaimana lelaki bukan Islam Yahudi ini dibenarkan berhujjah untuk dirinya sendiri. Menggunakan peguam adalah sama seperti berhujjah kepada diri sendiri, kerana peguam hanyalah wakil yang mewakili anak guamannya disebabkan kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan undang-undang yang lebih baik berbanding anak guamannya.

KESIMPULAN

Hasil dari ringkasan dalil di atas, buat masa ini saya berpandangan, secara ilmiah, logik dan asalnya, tiada salah mana-mana peguam sama ada dalam kes yang melibatkan harta seperti di atas atau kes kekeluargaan dan sebagainya bertindak selaku peguam bagi anak guamannya. Tanpa mengira agama anutannya, apa yang asas adalah hujahnya mestilah menepati displin ilmu Islam yang ‘valid'.

Namun demikian, perlu saya ingatkan sekali lagi, artikel ini hanyalah ulasan ringkas menjawab soalan yang diutarakan. Justeru, beberapa persoalan lain juga perlu diambil kira khususnya dari sudut undang-undang dan pentadbiran.

Sebagaimana isu penggunaan nama Allah, pemerintah mempunyai kuasa ekslusif untuk menyekat jika diyakini ia boleh membawa mudarat tertentu. Malah jika tiada mudarat sekalipun, Allah memberikan kebebasan. Ini jelas dari ayat kedua yang saya bawakan di atas juga iaitu :

فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ

Ertinya : Sekiranya mereka datang kepadamu, jalankanlah proses hukuman di antara mereka atau kamu boleh berpaling

Imam Al-Baidhawi dan lain-lain mufassirin menjelaskan:

تخيير لرسول الله صلى الله عليه وسلم إذا تحاكموا إليه بين الحكم والإعراض

Ertinya : Ia merupakan pemberian pilihan kepada Rasulullah s.a.w apabila mereka datang meminta hukuman darinya, sama ada untuk menerima atau menolak ( Tafsir Al-Baidhawi, 2/326)

Justeru itu, pendirian Islam dalam hal ini terbuka kepada pemerintah dan hakim Syar'ie. Mereka boleh menerima kes yang melibatkan bukan Islam di dalam mahkamah mereka, atau menolak. Jika demikian, ini bermakna, menurut peruntukan yang jelas dari Allah ta'ala, Mahkamah Islam juga bebas sama ada untuk menerima peguam Syari'e bukan Islam atau menolaknya sebagaimana halnya penerimaan untuk membicarakan kes mereka atau menolaknya. Kedua-duanya dibenarkan oleh Allah ta'ala

Selain itu, pemerintah sama ada atas nama jabatan Agama Islam negeri berkenaan atau lainnya, mereka mempunyai hak untuk menyusun atur kelayakan khusus untuk sesuatu posisi dan jawatan di dalam perkhidmatan. Justeru, jika telah ditetapkan oleh mana-mana negeri, peguam syarie di negeri mereka mestilah dari kalangan mereka yang beragama Islam sahaja, maka hal tersebut adalah ‘valid' dan wajar dipatuhi.

Pada hemat saya, ia adalah undang-undang yang bersifat administrative dan bukan tegahan atas nama ‘agama' atau dari hujah agama' (kerana kelihatan tiada halangan dari sudut agama), ia adalah syarat pentadbiran, seperti mesti menjalani peperiksaan PTK untuk kenaikan pangkat, menghadiri majlis konvokesyen universiti dengan jubah khas. Memasuki sebahagian kawasan hospital dengan pakaian khas dan sebagainya. Jika kita mampu untuk memahami sedemikian, isu pentadbiran seperti itu, tidaklah wajar diperbesarkan.

PRAKTIKALNYA

Secara praktikalnya saya juga kurang setuju bukan Muslim menjadi Peguam Syari'e, namun apa yang saya bicarakan dalam artikel di atas adalah sebahgain aspek dari sudut hukum. Persoalan peguam ini termasuk dalam bab ‘Al-Wakalah bil Khusumah' atau ‘Al-Wakalah Fi Al-Da'wa'.

Ertinya, perlantikan seseorang terhadap peguam untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan. Disebutkan dengan jelas oleh para ulama keharusan bukan Islam untuk mewakili orang Islam dalam apa juga kes melibatkan harta, keluarga, hak pusaka dan sebagainya.

Imam Ibn Qudamah mengatakan :


وإن وكل مسلم كافرا فيما يصح تصرفه فيه صح توكيله سواء كان ذميا‏,‏ أو مستأمنا لأن العدالة غير مشترطة فيه

Ertinya : sesungguhnya jika seorang Muslim melantik wakilnya seorang akfir dalam apa jua perkara yang sah untuknya bertindak, mak sah perlantikannya sebagai wakil (dalam konteks perbincangan kita wakil bil khusumah = wakil pembela atau pendakwa), sama ada kafir itu dari kalangan kafir dzimmi, musta'min kerana keadilan itu tidak disyaratkan (berkait) padanya' ( Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah , Bab Wakalah)

Kerana itu saya katakan, dari sudut hukum Islam, bukan Islam dibenarkan mewakili muslim di mahkamah sama ada mahkamah civil atau mahkamah Syariah (dalam konteks Malaysia). Cuma ia terikat kepada undang-undang administrative yang memerlukan muslim sahaja di mahkamah syariah. Cuma artikel saya lebih kepada mengajak pembaca mendapat info hukum asal, bukan terlalu specific dan menjawab persoalan dalam konteks Malaysia secara khusus.

Adapun hal-hal dan isu seperti ‘kebenaran itu akan menutup peluang kerja muslim', ‘peguam muslim masih ramai', ‘agenda kuffar', ‘aqidah umat islam sedang lemah', ‘agenda murtad bertambah', ‘bagi betis nak peha', ‘kelak nanti memohon menjadi hakim syarie pula' dan sebagainya.

Semua itu adalah faktor-faktor mendatang (li ghayrihi), maka ia memerlukan perbincangan berasingan dan memerlukan berbukti. Maka terbukti, pemeirntah smemeangnya boleh melarang, namun larangan itu bukan atas dari larangan asal yang bersifat (li zatihi) tetapi larangan yang bersifat mendatang. (li ghayiri).

Kita perlu faham satu demi satu dimulakan dengan perspektif hukum Fiqh yang asal terlebih dahulu Sekian.

Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net 18 Mei 2010

Sebuah persembahan awal dari Blog Ibnu Hasyim. Forum ini akan dilanjutkan..

Sebelum ini...

DHPP: Wujudkan Modul Latihan Khas -P/K.Pemuda PAS WP

KL MEI 19, 10: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Penyokong PAS (KPP) yang bakal dinaiktarafkan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hujung minggu ini.

DPPWP melihat bahawa program itu adalah satu langkah bijak pimpinan untuk menarik lebih ramai mereka yang bukan Islam untuk bersama-sama bernaung dibawah kepimpinan PAS. Demikian kenyataan akhbar oleh Herman Samsudeen, Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, kejayaan PAS memecahkan kepercayaan lama masyarakat bukan Islam terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS melalui slogan PAS For All membuktikan bahawa PAS mampu menjadi parti politik yang dinamik dan dominan dimasa depan. Hari ini sahaja kita mendapat begitu banyak permintaan dari mereka yang bukan Islam untuk bersama dengan PAS. Mereka menyertai Kelab Penyokong PAS dan berkerja bersama-sama ahli PAS yang lain.

"Dalam keghairahan ini, DPPWP melontarkan satu lagi pandangan yang harus diambil serius oleh peringkat kepimpinan khususnya dalam Lajnah Perpaduan Nasional dan DHPP. DPPWP berharap agar satu modul latihan diperkenalkan bagi membimbing ahli-ahli DHPP supaya lebih memahami dan menjiwai perjuangan PAS," Menurut beliau lagi.

Perkara ini pernah disentuh dalam ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar tahun lepas. Dalam ucapan itu beliu menyebut;

"....Sebagai satu proses memperkasakan Kelab Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS. "

Menurut Herman, PAS tidak memaksa mereka yang bukan Islam untuk memeluk Islam, tetapi kita mahu mereka belajar cara kerja Islam dalam PAS disamping saling berkongsi cara kerja terbaik dalam masyarakat mereka khususnya bagi kaum Cina dan India supaya boleh memberikan manfaat kepada PAS.

"Jika ahli PAS sedia ada kita galakan menyertai Usrah, Tamrin serta pelbagai program kepimpinan dan latihan lainnya, maka ahli DHPP juga berhak untuk menerima sesuatu dari PAS untuk diri mereka. Kita tidak mahu mereka hanya didaftarkan sebagai ahli tetapi tidak memahami hasrat keseluruhan perjuangan PAS.

Kita tidak mahu mereka hanya terlibat membantu untuk kempen PAS semasa Pilihanraya atau semasa hari-hari perayaan dan program tertentu sahaja. Kita mahu mereka bersama-sama kita disemua tempat termasuk seminar dan kuliah supaya kita dapat saling memperkukuhkan kerjasama.

DPPWP yakin mereka akan lebih seronok bersama PAS jika kita ada satu modul yang serius untuk mereka memahami kenapa mereka perlu bersama PAS dan apa yang PAS boleh berikan kepada mereka. DPPWP mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dalam DHPP diatas sokongan mereka kepada PAS." Demikian tegas beliau yang juga seorang blogger.

Komen blog Ibnu Hasyim: Praktikkan 'PAS for all'!

Sebelum ini...

KPP jadi Dewan Himpunan Penyokong

<div id="" class="yt-alert yt-alert-error yt-alert-player yt-rounded"> <div class="yt-alert-icon master-sprite"></div> <div id="" class="yt-alert-content"> You need Adobe Flash Player to watch this video. <br> <a href="http://get.adobe.com/flashplayer/">Download it from Adobe.</a> </div> <div class="clear"></div> </div>

Forum Ekonomi Islam Ditertawakan -Herman Samsudeen

Salah satu kasino terbesar di Malaysia

KL MEI 19 10: Pakar-pakar ekonomi dan wakil Kerajaan beberapa negara Islam berkampung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini untuk membincangkan isu-isu ekonomi negara Islam. Menariknya, sebelum Forum Ekonomi Islam ini jalankan, minggu lepas Kerajaan Malaysia memperkenalkan satu lagi sumber ekonomi baru negara ini iaitu pengeluaran lesen judi bolasepak piala dunia. Demikian tulis Herman Samsudeen, blogger dan tokoh pemuda PAS.

Menurutnya, keputusan yang cukup kontradik dengan mesej Forum Ekonomi hari ini. Kita menghimpunkan pakar-pakar ekonomi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman terbaik mereka bagi merancangan aktiviti ekonomi kalangan negara Islam.

"Yang pastinya aktiviti itu pastilah atas nama Islam yang halal dan tidak melanggar syariah. Malaysia jadi tuan rumah bagi Forum tahun ini. Tetapi nama Malaysia membusuk di karpet merah para VIP bila mana mereka mentertawakan sikap Malaysia yang ghairah untuk merebut duit haram hasil perjudian.

"Pastinya mereka juga akan tertanya-tanya, adakah duit Kerajaan yang digunakan bagi menjayakan Forum kali ini adalah dari sumber yang halal atau haram. Rakyat berharap agar forum ini membukan mata dan telinga pemimpin negara ini dan seluruh dunia khususnya bahawa dalam ekonomi Islam duit judi, arak dan segala macam yang haram sedikit pun tidak mempunyai keberkatan dan merugikan negara dimasa hadapan." Jelas Herman.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Amat memalukan kerana Forum yang berlangsung hari ini tidak mampu memberikan manfaat kepada kerajaan dan rakyat negara ini. Judi, memang diharamkan oleh Islam dan sebarang bentuk penglibatan dengan unsur judi dalam apa-apa aktiviti muamalah perlu dihentikan segera. Ini kerana harta yang diperolehi daripada sumber judi adalah haram tidak kira bagaimana bentuk perjudian tersebut.

Antara sebab pengharaman judi adalah kerana terdapat unsur penindasan, penipuan, bergantung kepada nasib, mencetus permusuhan dan boleh menjejaskan ekonomi individu, masyarakat dan negara.

Dalil pengharaman judi adalah;


i. Surah al-Baqarah : 219

“Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah olehmu, pada keduanya terdapat dosa yang besar dab beberapa manfaat bagi manusia. Dan dosa keduanya adalah lebih besar daripada menfaatnya”.

ii. Surah al-Maidah : 90-91

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”

iii. Hadis ;

“Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala” Riwayat :Ahmad, Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah..
(2MA)

Protes Campurtangan Politik Di RTM.

KL. MEI 19, 10: Lebih 100 orang yang kebanyakan mereka warga emas dan pelajar hari ini membuat protest terhadap RTM berhubung apa yang mereka dakwa sebagai campur tangan politik dalam media. Lima perwakilan mereka yang diketuai oleh Penyelaras, Kumpulan Bertindak Media 528, Ng Yp Hwa menyerahkan memo bantahan kepada pegawai khas ketua pengarah, penyiaran, Hafizal Hamad, di pagar utama Angkasapuri.

Kumpulan itu termasuk ahli daripada Writer's Alliance for Media Independence dan Centre for Independent Journalism. Mereka tiba dengan bas dan perkhidmatan keretapi Komuter pada jam 11 pagi sambil membawa kain rentang yang antaranya berbunyi “Bebaskan media” dan “Hentikan campurtangan politik”. Setelah memorandum empat perkara yang antara lain meminta RTM memastikan stesen kerajaan itu mematuhi piawaian profesionalisme dan berlaku adil, berlakunya pertengkaran kecil.

Ia bagaima
napun berjaya diselesaikan dengan rundingan oleh Supt Azri Abd Rahman dari balai polis daerah Brickfields yang ditugaskan memantau keadaan. Sehelai kain rentang dirampas dan kumpulan berkenaan bersetuju bersurai secara aman pada kira-kira setengah jam kemudian. Menurut Azri, tugasnya adalah untum memastikan penyerahan memonradum berkenaan dijalankan secara teratur dan aman.

“Tetapi saya tidak akan benarkan demonstrasi di sini, mereka tidak mempunyai permit untuk berbuat demikian,” katanya.

Pada 28 April lalu, menerusi blognya, penerbit dokumentari rancangan "Galeri Mandarin Nasional" di TV2, Chou Z Lam mendakwa rancangan sembilan bahagiannya itu mengenai 'Empangan Bakun' diarah digugurkan.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei lalu. Berikutan pendedahan itu pada 13 Mei lalu, khidmat Chou dengan stesen TV kerajaan itu ditamatkan. (AK)

Bung Dipenjara 1 Bulan, Parlimen K'ngan Kosong?

GOMBAK MEI 19, 10: Ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar hari ini dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dan bersubahat atas kesalahan tersebut.

Beliau juga didenda RM1,000 bagi satu lagi tuduhan. Bung Moktar berhadapan dengan satu lagi hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini.

Isteri keduanya, pelakon Zizie Izette Abd Samad pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan. Zizie juga menghadapi hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini. Hukuman dijatuhkan oleh hakim syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad. Mahkamah sebelum ini mendengar pengakuan salah daripada semua tertuduh.

Semalam, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam kepada dua tertuduh utama Bung Moktar dan Zizie. Rayuan bagi lima lagi tertuduh yang merupakan jurunikah dan saksi bagi kes poligami tanpa kebenaran mahkamah itu juga dikemukakan bersama oleh peguam syarie Amli Embong. Dalam rayuannya terhadap tuduhan yang dihadapi Bung Moktar dan Zizie, Amli berkata mahkamah perlu mengambil kira pengakuan bersalah oleh tertuduh apabila pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir hari ini turut membuat kecoh apabila mereka tidak dibenarkan masuk sehingga ahli keluarga tertuduh dan wartawan masuk dahulu ke kamar mahkamah berikutan tempat duduk yang terhad. Pada perbicaraan semalam NGO yang diterajui oleh kumpulan bertindak untuk kesetaraan gender (JAG) mendesak supaya Bung Moktar mengosongkan kerusi parlimennya kerana melanggar undang-undang ekoran berpoligami tanpa kebenaran.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bagaimana kalau Bung dari parti pembangkang?(AK)

Sebelum ini...

Tuesday, May 18, 2010

Judi: P/UMNO Nak Cuci Najis Dari Dalam Tong Najis


Judi Bola: Tahniah pemuda Umno Kelantan
KOTA BHARU, 18 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri itu di atas keberanian menyatakan pendirian menentang tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia.

Namun bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Latif Abdul Rahman (gambar), pendirian Anuar Safian itu perlulah ikhlas dan konsisten dalam apa jua isu yang dianggap serupa.

“Dewan Pemuda PAS ingin mengucapkan tahniah di atas keberanian tersebut. Pastinya seluruh rakyat Kelantan berharap Pemuda Umno Kelantan konsisten dengan penentangan itu,” ujarnya.

Bagi Abdul Latif, tidak cukup jika Pemuda Umno negeri sahaja menyatakan pendirian itu.

Lebih besar katanya, rakyat seluruh negeri itu mahu mendengar apa pula pendirian Umno negeri berhubung isu sama yang sehingga kini masih membisu.

“Adalah menjadi tanggungjawab Umno Kelantan khususnya Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Seri Mustapha Mohamed untuk menyatakan pendirian mereka berhubung perkara itu,”ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, jika Umno tidak berhasrat menentang tindakan kerajaan pusat itu, bermakna hasrat untuk menawan hati rakyat Kelantan hanya sekadar bermimpi di siang hari.

Biarpun dibantah hebat, kerajaan pada awal Mei lalu tetap meneruskan cadangannya meluluskan lesen judi Bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung Jun ini kepada Kumpulan BERJAYA.

Alasan diberikan kerajaan adalah bagi membendung gejala judi tanpa lesen yang didakwa akan berleluasa jika tidak diberi lesen.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Kelantan mahu kerajaan menarik balik keputusan itu dan menghormati suara bantahan rakyat.

Kerajaan juga digesa melihat kembali kesan perbuatan itu terhadap permasalahan sosial rakyat dan bukan hanya melihat keuntungan semata-mata.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Makin bartambah pemuda-pemuda UMNO bahagian dan negeri membantah taukehnya halalkan judi yang diharamkan Allah, seperti di Perak, Pahang dan Kelantan. Kita bayangkan dan lihat, betapa payahnya seseorang mencuci kereta dari dalam kereta. Lebih mudah cuci kereta dengan menyembur air pencuci atau mencuci dari luar kereta. Bagaimana hendak 'mencuci najis', tetapi duduk dalam tong najis? Kesian pemuda UMNO. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails