Saturday, May 29, 2010

Tahaluf PAS-DAP, Jangan Guna ISA - Amanat Nik Aziz


KOTA BHARU MEI 28:Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu telah membuat kajian ketika menyertai BN sebelum ini dengan mengambil kira tindakan Nabi Muhammad SAW dalam membuat perjanjian dengan penduduk Yahudi Madinah.

Kontrak yang dikenali dengan nama Perjanjian Hudaibiah itu "lebih teruk kerana Nabi banyak beralah," kata menteri besar Kelantan itu ketika menyampaikan amanat di kongres Angkatan Muda Keadilan di Kota Bharu hari ini. Namun, demi menjaga keselamatan, baginda tetap menyetujui perjanjian bertulis tersebut, kata Nik Abdul Aziz lagi.

"Kita berkongsi dulu dengan BN, (kita) dapat tubuh kerajaan. Dengan (Semangat) 46 dulu pun dapat buat kerajaan dan sekarang dalam Pakatan pun dapat buat kerajaan.

"Oleh itu gangguan yang dibuat oleh Melayu Umno terhadap PAS tentang unity government memang ada asas.

"Tapi BN jadi bengong bila kita tahaluf dengan DAP... Sedangkan DAP pun Cina, MCA pun Cina," katanya lagi.

Dalam ucapan ringkas selama kira-kira lima minit itu, beliau turut mengambil peluang mengkritik BN kerana sering menggunakan undang-undang ISA dalam memenangi persaingan politik. "Tapi jangan marah, jangan guna ISA. Guna ISA ini tanda orang mati akal," katanya lagi. (AK)

Friday, May 28, 2010

Berbelanja AS$50,000 -1 Malam.. Ada Kaitan Dg PM?



KOTA BHARU MEI 28, 10:
Ketua pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa supaya seorang pemuda Malaysia yang dilaporkan sering berbelanja mewah di luar negara disiasat. Pemuda tersebut, Taek Jho Low sebelum ini mencuri perhatian apabila dilaporkan oleh akhbar New York Post sebagai rakyat Malaysia yang berbelanja ratusan ribu ringgit untuk mendampingi selebriti Hollywood.

Mengikut New York Times, Jho Low didakwa membelanjakan AS$50,000 semalaman untuk berhibur dan menghadiahkan 200 botol arak berjenama bernilai AS$1,000 sebotol kepada pelakon Hollywood, Megan Fox.

Shamsul Iskandar mendakwa beliau menerima maklumat bahawa pemuda berkenaan juga berhubungan akrab dengan seorang daripada anak kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan dasarnya di kongres AMK di Kota Bharu hari ini, beliau meminta siasatan sama ada Jho Low adalah individu yang terlibat dalam pembangunan komersil tanah lapangan terbaang Sungai Besi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuala Lumpur.

"Tolong siasat, anak muda ini berbelanja sakan, apa kaitannya dengan Malaysia. Apa kaitannya dengan Big Ma?," soalnya.

Beliau berkata, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor perlu memberi penjelasan berikutan lelaki berusia 28 tahun itu memiliki kekayaan melimpah ruah hingga berita kekayaan Jho Low dikaitkan dengan keluarga Perdana Menteri.

Dalam ucapannya itu, Shamsul Iskandar juga mahu siasatan dijalankan ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan penyelewengan wang, seperti yang didedahkan penulis Barry Wain.

Selain itu, beliau turut mendesak supaya 'Private Khairy Jamaluddin' disiasat berhubung kaitan ketua pemuda Umno itu dengan firma perundingan Apco.

"Kerana maklumat yang kita terima, rakan baik (Khairy) yang beri cadangan supaya guna Apco," katanya lagi.

Dalam sidang medianya selepas itu, Shamsul Iskandar mendakwa Taek Jho Low juga merupakan seorang penasihat bagi pihak berkuasa pelaburan bagi negeri Terengganu yang kini dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad.

Katanya, maklumat itu diperolehinya daripada pihak yang tidak senang dengan perkembangan berkenaan.

Tambahnya, beliau pasti Jho Low mempunyai harta bernilai berbilion ringgit jika mampu berbelanja sebanyak 50 hingga 60 ribu setiap malam dan tinggal di apartmen mewah.

"Saya minta (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) SPRM supaya siasat," katanya yang mempertikaikan bagaimana seorang pemuda seperti Jho Low mampu berbelanja seperti itu. (AK)

Nabi Berpolitik Di Masjid & Rakyat Buat Sendiri -Nik Aziz

BACHOK, 28 Mei: BIARPUN penggunaan masjid sebagai gelanggang politik terus menjadi pertikaian di kalangan sesetengah pihak namun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS akan tetap meneruskan agenda tersebut di dalam pentadbirannya di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik di zaman pemerintahan baginda.

"Nabi Muhammad sendiri berpolitik di masjid, kalau tak percaya, cakap di mana Nabi Muhammad buat ucapan-ucapan lantik pegawainya kalau tidak di masjid.

"Lantik pegawai di dalam masjid, menyusun strategi perang di dalam masjid, berdamai dalam masjid, berubat orang sakit dalam masjid termasuk terima rombongan luar pun di masjid," katanya selepas majlis perasmian Masjid Abdul Rahman, di sini semalam.

Beliau membidas golongan yang berpendapat masjid tidak boleh dijadikan tempat untuk berpolitik sebagai cara orang Eropah tetapi bukan cara Nabi Muhammad s.a.w.

Sementara itu, beliau juga mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak pernah berhasrat untuk membina masjid sebaliknya ingin melihat rakyat sendiri yang berbuat demikian.

"Saya beritahu Exco kerajaan tak usah buat masjid, kerajaan hanya bantu yang rakyat buat sebab kita nak tengok rakyat Kelantan sendiri buat masjid, biar walau harga paling murah sekalipun ia tetap masjid yang dibina oleh rakyat.

"Contoh Nabi Muhammad sendiri sewaktu sampai di Madinah, Nabi Muhammad sendiri derma untuk beli tapak Masjid Madinah yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil sikap demikian semata-mata untuk melihat rezeki yang diraih oleh rakyat Kelantan dapat dicairkan melalui kerja-kerja kebajikan.

"Kita mahu lihat orang Kelantan cari duit bukan saja untuk beli beras tetapi menderma sebagai contoh derma untuk bina masjid.

"Ini bererti dengan rezeki yang kita dapat itu kita juga membeli pahala," tambahnya. (2MA)

Tahniah, Bertindak Kurangi Kelucahan Dalam Internet.


TAJULZAIRI yang didapati bersalah menggunakan aplikasi lucah melalui Internet didenda oleh Mahkamah Sesyen Klang semalam.


KLANG MEI 28 10- Seorang kerani bank yang merupakan individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah melalui Internet bagi tujuan komersial didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Tajulzairi Tajuddin, 31, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Off Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang pada pukul 5 petang, 10 Jun tahun lepas.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Tajulzairi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SKMM, Badius Zaman Ahmad bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam berikutan kes itu telah menyumbang kepada statistik kesalahan jenayah seksual.

Beliau berkata, Tajulzairi yang merupakan individu pertama didakwa mengikut akta itu telah mengaut keuntungan secara haram dengan menyalahgunakan Internet untuk membekalkan perisian lucah bagi tujuan komersial atau dijual.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Orang ramai patut diberi tahu sejauh mana takrif lucah. Adakah Islam menjadi kayu ukurnya? Walaupun begitu, tahniah kepada pihak berwajib kerana mengurangi kelucahan dalam internet. Sila korek-korek lagi! (AK)

Thursday, May 27, 2010

Dr M: Petua Awet Muda, Termasuk Kritik Kerajaan?


KL. MEI 27, 10: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi petua menjalani kehidupan yang sihat ketika usianya telah mencecah 85 tahun.

Beliau berkata, "tidak berhenti daripada membuat kerja" dan sentiasa senyum merupakan rahsia yang diamalkan perdana menteri keempat itu.

"Jika kita rasa gembira, kita akan kelihatan muda, dan bila anda sudah tua, tolong jangan berhenti daripada bekerja. "Buatlah apa-apa kerja. Fikirlah apa-apa yang boleh anda fikir. Tulis apa-apa yang boleh anda tulis tetapi jangan berhenti dari membuat kerja. "Ia akan membantu anda untuk kelihatan muda," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir bersama beliau isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Selain itu Dr Mahathir turut memberitahu supaya melakukan perkara yang digemari supaya sentiasa kelihatan muda dan sihat. Tidak bersukan "Sebagai contoh, saya menggemari politik, saya sentiasa fikir yang saya boleh melakukan sesuatu yang lebih bagus dari orang lain. Sebab itu saya mengkritik orang dan ini membuatkan otak saya sentiasa bekerja," katanya secara berseloroh.

Beliau juga turut berkongsi mengenai amalan pemakanan yang dinasihati emaknya sewaktu beliau masih kecil."Mak saya pernah berpesan kepada saya, jika sedang enak menikmati sesuatu makanan, berhentilah segera. Ia memang sesuatu yang susah, tapi saya telah melatih diri saya untuk berhenti ketika sedang menikmati makanan," katanya.

Ironinya, beliau mengakui tidak melibatkan diri dalam sukan. Baginya, aktiviti itu boleh menyebabkan anggota badan tercedera. Perkara itu, tambahnya, tidak elok untuk masa akan datang. "Saya sekarang sudah agak tua, tetapi saya tidak memerlukan tongkat untuk berjalan dan saya bebas berjalan ke mana sahaja. "Tapi kalau anda seorang yang gemarkan sukan, abaikan nasihat saya," katanya berjenaka.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Terima kasih Dr M. Banyak petua-petua awet muda dari Dr M. Antaranya...
1.. Tidak berhenti buat kerja.
2..Sentiasa senyum.
3..Berfikir dan mengkritik.
4..Menulis.
5..Amalan makan.
6..Tidak bersukan berlebihan.

Mengenai amalan makan, beliau mengambil nasihat ibunya yang sama dengan amalan Nabi Muhammad SAW, 'tidak akan makan kecuali merasa lapar, dan akan berhenti sebalum kenyang'. Yang menarik Dr M juga kata, "... saya mengkritik orang dan ini membuatkan otak saya sentiasa bekerja.." Bukan sahaja beliau mengkritik orang lain, bahkan kerajaan yang pernah beliau pimpin pun dikritiknya. Jadi kritik kerajaan pun jadi petua awet muda?

Lihat lagi antara lain..

M'sia Bankrap 9 Tahun Lagi.. Siasat, Kerana Subsidikah?

KL MEI 27 10: MALAYSIA menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara. Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan. "Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata.

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun. Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global. "Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi. Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland. "Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi. Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan. Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat. (Sumber Malaysiakini).

Komen Blog Ibnu Hasyim: Jika subsidi berterusan Malaysia akan bangkrap 9 tahun lagi. Kenyataan ini membuktikan harga minyak tetap akan naik. Sedangkan banyak negara yang memsubsidikan rakyatnya, ekonominya masih stabil. Cuba siasat, sebenarnya bukan subsidi yang menyebabkan sesebuah negara bankrap. (AK)

Aceh: Muslimat Dilarang Pakai Jeans Ketat, Skirt Mini. Wajarkah?

Muslimat Acheh Barat dilarang pakai jeans ketat, skirt mini

JAKARTA, 27 Mei 10— Jika anda seorang wanita Islam yang gemar memakai seluar jeans yang ketat atau skirt mini, maka daerah Acheh Barat, Indonesia bukan tempat sesuai untuk anda. Bermula semalam, pihak berkuasa syariah daerah atau Wilayatul Hisbah, mula menahan wanita yang mengenakan seluar jeans yang ketat.

“Bermula Rabu (semalam) kami memulakan langkah ini dan wanita yang memakai seluar ketat atau jeans akan diberikan skirt panjang untuk dipakai manakala jeans mereka akan disita,” kata ketua daerah Acheh Barat Ramli Mansur. Kira-kira 20,000 skirt panjang telah didermakan oleh kumpulan-kumpulan yang turut menyokong undang-undang kecil itu melarang pemakaian seluar pendek oleh kaum lelaki.

Namun, keberkesanan langkah ini hanya akan dapat dilihat apabila ketua daerah mengumumkan lokasi sesuai penguatkuasaan untuk undang-undang tersebut. “Selepas perasmian, kita akan mulakan operasi ini di tiga lokasi di ibu kota Meulaboh. Operasi ini akan dijalankan di Kaway XVI, Arongan Lambalek dan Nagan Raya,” kata beliau dipetik The Jakarta Globe.

Tetapi jika terdapat wanita Acheh Barat yang berharap undang-undang tersebut tidak akan berkesan, mereka perlu menunggu tempoh yang lama. “Saya harap orang luar yang datang ke Acheh Barat akan menghormati undang-undang kita di sini,” kata Ramli.

“Saya buat begini kerana itu adalah perintah Islam untuk menegakkan prinsip-prinsip Islam dalam keseluruhan Acheh terutamanya Acheh Barat,” kata beliau lagi.

Ramli berkata di bawah undang-undang itu, semua wanita perlu memakai baju kurung iaitu pakaian tradisional yang menutupi sebahagian besar tubuh dan mengenakan tudung. Beliau juga meminta supaya kedai-kedai di daerah itu supaya menggentikan penjualan pakaian ketat bagi wanita.

“Saya melakukan ini sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada Allah atas apa yang telah saya lakukan bagi rakyat Acheh Barat,” katanya.

Wanita yang menolak untuk menyerahkan jeans atau mengulanginya akan dihukum. “Kami akan menahan mereka,” kata beliau tanya menyatakan tempoh tahanan yang bakal dikenakan.

Undang-undang syariah telah dijalankan di Acheh bagi mengukuhkan Islam - satu-satunya wilayah di mana undang-undang ini dilaksanakan di negara Islam terpadat di dunia. “Kami akan melaksanakan ia dengan yakin sehingga kami mencapai peringkat di mana tidak ada yang memakai pakaian ketat,” kata Ramli.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Awal-awal lagi menurut laporan BBC, terdapat wanita di Acheh Barat yang membantah undang-undang tersebut dengan mengatakan ia melanggar 'hak peribadi dan sosial'. Sedangkan di barat 'hak peribadi dan sosial' orang Islam memakai pakaian Islam dirampas, mereka membisu? Maka musah-musuh anti Islam pun terus mengambil kesempatan menyerang dan memburukkan perundangan Islam.

Konon undang-undang di Aceh tersebut 'hanya untuk orang Islam'. Tetapi sebenarnya, 'bukan hanya untuk orang Islam' kerana orang bukan Islam diberi peluang memilih sesuai dengan agama masing-masing. Contohnya undang-undang Islam di negeri Kelantan tidak melibatkan orang bukan Islam, walaupun 'hudud Islam' masih disekat oleh Kerajaan Pusat Kuala Lumpur untuk dilaksanakan. Begitu juga muslimat di Arab Saudi atau iran, tiada masalah apa-apa pun?

Sedangkan di barat orang Islam tidak diberi peluang begitu, walaupun negaranya bertopengkan 'demokrasi' dan 'hak asasi manysia'. Orang Islam tidak diberi hak melaksanakan agamanya sendiri. Begitu yang berlaku di negara bukan Islam dan kuncu-kuncu atau baruanya. (2MA)

Sebelum ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails