Tuesday, June 15, 2010

Hiasan Lucah Budaya Tidak Bermoral

JOM KREATIF

LIHAT gambar-gambar hiasan ini. Membangkitkan ingatan kepada seks. Segala-galanya kerana seks seperti khayalan kepala otak saintis filsafat Sigmen Frued?






Memang hiasan lucah ini, budaya tidak bermoral, amat tidak sesuai untuk budaya masyarakat Malaysia.
Perlu dijauhi..





(sumber: http://feedproxy.google.com/)

Jutawan Segera , Punca Jadi Mangsa Mat Afrika

PENGGUNA

Helah ganda wang kantoi

KL JUN 15, 10:
Tembelang empat warga Afrika yang mendakwa kononnya ahli perniagaan yang cuba memperdayakan seorang suri rumah dengan menawarkan wang tunai jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) tidak berhasil apabila semua mereka dicekup dalam satu serbuan di Ampang, Khamis lalu.

Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila suri rumah berusia 55 tahun itu membuat laporan polis apabila pelaburannya sebanyak RM17,000 tidak berhasil untuk digandakan. Sebaliknya, sindiket terbabit mendesak mangsa memasukkan lebih banyak wang konon bakal mendapat keuntungan berlipat ganda.

Menurut sumber, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Cheras menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 27 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah di pangsapuri di Bandar Baru Ampang, dekat sini, kira-kira jam 11 malam.

“Dalam serbuan itu, tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan dan polis menemui beratus-ratus not kertas tempatan dan dolar Amerika dipercayai palsu dalam beg yang cuba dicampak warga Afrika berkenaan sebaik mengetahui rumah mereka diserbu,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit cuba memperdayakan mangsa supaya membuat pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit bagi ditukarkan dengan wang palsu bernilai AS$3.5 juta (RM11.2 juta).

"Awal Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek yang menawarkan pelaburan menggandakan wang menyebabkan mangsa ghairah untuk menjadi ‘jutawan segera.’

“Pada mulanya mangsa diminta melabur RM5,560 dan selepas menerima wang itu, sindiket terbabit mencari helah supaya mangsa melabur dengan jumlah yang lebih banyak. Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis lelaki Afrika itu kemudian membuat pelaburan kali kedua sebanyak AS$3,550 (RM11,360),” katanya.

Bagaimanapun, helah sindiket itu akhirnya dapat dihidu mangsa apabila dia diminta memasukkan lebih banyak wang menyebabkan dia membuat laporan polis.

“Semua suspek berusia 24 hingga 30 tahun memasuki negara ini sebagai pelajar dengan seorang daripadanya mendakwa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu,” katanya. (Sumber: myMetro/AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tamak untuk jadi jutawan segera tanpa usaha yang menasabah antara penyebab wanita suri rumah 55 tahun itu menjadi mangsa. Berhati-hatilah, dengan trend baru penipuan ini. Sebagai bentengnya, perlu ingat sumber 'halal-haram' dalam kehidupan, dan kembali kepada agama. Bukan senang menjadi senang.

Mengenai tamak, pantun Melayu menyebutkan..

Dalam semak ada duri
ayam kuning buat sarang,
Orang tamak selalu rugi
bagai anjing dengan bebayang.

Imbauan 9: Hassan Shukri Sifu & Guruku.

Ibnu Hasyim: Catatan Santai

Allahyarham Ustaz Hassan: Mengadap kamera 2 dari kanan.. & gambar bawah..

PETANG semalam, lepas zohor hampir asar, saya dapat berita tentang perginya Ustaz Hassan Shukri ke rahmatullah. (Lihat Ustaz Hassan Shukri Kembali Ke Rahmatullah) Saya pun terus ke rumah beliau dengan seorang kawan saya.

Rumah Allahyarham di Pusat Tarbiah PAS Taman Melewar, Selangor. Se sampai di sana, kereta sudah penuh, susah dapat tempat parking. Di dalam rumah pula sudah tiada ruang lagi untuk kami masuk. YDP PAS Batu, Ishak Surin tersenyum bersama orang kuatnya Sdr Tarmizi Md Jam, menyambut kami. Kami bersalam-salaman dan berdiri di luar.

Nakhaie Hj Ahmad bekas Naib Presiden PAS yang lompat masuk UMNO beberapa tahun lalu pun ada. Maklumlah, rumahnya berjiran dengan dengan rumah Allahyarham Ustaz Hassan. Dan ramai lagi orang-orang PAS ada di luar tidak dapat masuk dalam rumah. Khalid Samad, Kamaruddin Jaafar antara pemimpin-pemimpin PAS ada di dalam, yang saya tahu.

Kenangan lama kini menghimbau kembali bersama Ustaz Hassan Shukri. Saya akui beliau adalah sifu dan guru saya tidak secara langsung, terutamanya dalam berpolitik. Saya masuk PAS sekitar awal tahum 80an, di Pejabat Agung PAS. Sewaktu saya mula menggerakkan PAS, beliau, Osman Razak dan Allahyarham Uthman Hamzah (bekas pimpinan Hizbul Muslimin, gerakan Islam sebelum PAS yang diharamkan penjajah) sama-sama menbantu menubuhkan PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar (sekarang PAS Kawasan Bukit Bintang). YDP pertamanya Ustaz Osman Razak dan saya dipilih sebagai Ketua Pemuda pertama.

Pada pertengahan tahun 80an, saya dan kawan-kawan ingin menghidupkan kembali PAS di Balik Pulau, Pulau Pinang. Ustaz Hassan waktu itu sebagai Setiausaha Agung PAS banyak membantu memberi khidmat nasihat sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Kampung Perlis dan Kawasan Parlimen Balik Pulau, yang menjadi kontraversi agak panas di Perhubungan Negeri Pulau Pinang masa itu.

Terkenang juga, bagaimana Allahyarham berusaha menbina pusat tarbiah, di Melewar ini. Dibelinya sekeping tanah, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan kepada pembeli-pembeli orang PAS. Tapak yang depan sekali dibuat pusat tarbiah, dan pernah dijadikan pejabat agung PAS. Selepas itu rumahnya, rumah Nakhaie (yang waktu membeli itu jadi pemimpin PAS), dan seterusnya.

Bila kesuntukan wang, allahyarham cari saya, "Mat! (nama gelaran saya), ada apa-apa nak derma tak? Aku perlu beberapa lori pasir dan beberapa bantal simen.. Kita nak siap cepat markas kita ni.." Rayunya. "Korek-korek duit zakat harta atau niaga kalau ada, yang akan datang pun boleh bayar sekarang. Kita perlu sangat ni.. Muktamar dah dekat." Begitulah caranya mengumpulkan wang untuk bina pusat tarbiah di samping kutip derma melalui ceramah umun dan lain-lain.

Pernah Allahyarham mengajak saya raund Semenanjung Malaysia ziarah mangsa-mangsa bekas tahanan ISA, membantu dan beri derma kepada mereka dengan menaiki kereta saya. Begitulah cara berpolitik menarik hati orang-orang kampung, terutama di negeri Selangor dan Perak waktu itu. Sehingga beliau naik ke puncak pimpinan PAS memegang jawatan Timbalan Presiden PAS, sebelum Ustaz Nasaruddin yang memimpin sekarang.

Begitu, secuit imbauan angin dingin masa lalu bersama sifu dan guruku Allahyarham Ustaz Hassan Shukri. Al-fatihah! ...............

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL.
15 Jun 2010.


Sila lihat imbauan kenangan lama sebelum ini...

Monday, June 14, 2010

Nik Aziz Mahu Anwar Jadi PM, Kalau PR Tawan Putrajaya?


KOTA BHARU, 14 Jun 10: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tok Guru Nik Aziz sokong Anwar Ibrahim sebagai orang no 1 dalam PR. Bererti PR jika PR tawan Putrajaya, Anwar yang akan jadi PM Malaysia. Apakah itu maksud Tok Guru? Dan perlu diketahui juga, orang yang layak dilantik memimpin ialah orang yang tidak gila merebut jawatan pemimpin itu. (AK)

Ustaz Hassan Shukri Kembali Ke Rahmatullah

KL, 14 Jun 10: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahdi Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan. (HarakahDaily.net/AK)

Pelawak Pesta Ganja Dicekup, Siapa?



Pelawak berusia 41 tahun itu diserbu di sebuah apartmen di PJS7, Subang Jaya, kira-kira jam 10 malam. Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Subang Jaya itu membawa penemuan dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 40 gram bersama enam suspek.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang dihubungi berkata, ketika serbuan, selain daripada pelakon terbabit, terdapat lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang semuanya berusia 20 hingga 30-an. Zainal Rashid berkata, serbuan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat awam dan hasil intipan polis.

“Ketika serbuan, terdapat enam penghuni termasuk lima lelaki dan seorang perempuan di dalam sebuah apartmen yang dipercayai milik pelakon komedi terkenal itu yang membintangi beberapa filem besar tanah air.

"Serbuan itu menemui beberapa peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 40 gram dan siasatan awal berdasarkan kuantiti dadah terbabit ia untuk kegunaan sendiri,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing dan hasil ujian mendapati mereka positif ganja. "Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kini direman sehingga 16 Jun bermula hari ini (semalam), mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Difahamkan, pelawak terbabit pernah dikaitkan dengan kes sama sebelum ini apabila penyebaran gambarnya menghisap dadah melalui Internet dan telefon bimbit, bagaimanapun perbuatan itu dinafikan. Sebelum ini, beberapa artis pernah ditahan pihak berkuasa kerana terbabit penyalahgunaan dadah, termasuk kes terbaru seorang pelakon yang juga anak seniwati terkenal Azean Irdawaty, Benjy serta penyanyi popular Ameng Spring. (myMetro/AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Siapa? Akan tahu juga akhirnya.

Cari 1/2 Juta, jika mahu kekal S'ngor-Kedah -L/P'raya PAS


KOTA BARU, 14 Jun 10— PAS Selangor dan Kedah perlu melipatgandakan usaha memikat minimum 50 peratus daripada 1.2 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi baru di negeri itu jika mahu Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan tapak kuasa di kedua-dua negeri tersebut.

“PAS perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi baru... kerana kini ada kira-kira 700,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pengundi di Selangor dan 300,000 orang lagi di Kedah.

“Jadi, kita perlu meletakkan sasaran untuk mendaftarkan separuh daripada mereka jika mahu menarik pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya,” kata Ketua Lajnah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ketika dihubungi, menurut The Malaysian Insider.

Sambil menegaskan ia sebagai satu peringatan serius menghadapi pilihan raya umum akan datang, Abdul Halim memberitahu, sasaran itu perlu dicapai menjelang hujung tahun ini. “Kita (PAS Selangor dan Kedah) tiada pilihan, kena capai sasaran ini sebelum hujung tahun ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

PAS dijangka akan mengadakan ‘retreat’ bulan depan bagi menyiapkan pelan komprehensif menghadapi pilihan raya umum sebelum September ini. Kelmarin, Muktamar Tahunan PAS Ke-56 telah meluluskan pelan 15 strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebahagian daripada usul yang diluluskan parti komponen PR ini.

Ditanya sebab meletakkan sasaran itu di atas bahu PAS sahaja sedangkan Selangor dan Kedah diterajui bersama oleh PR, Abdul Halim menjelaskan, usaha menarik pengundi harus digerakkan oleh parti, bukannya kerajaan. “PAS sebagai parti komponen Pakatan perlu menggerakkan usaha ini, parti kena ke depan... sebab itu saya mengatakan pesuruhjaya PAS dan ketua kawasan kena tingkatkan usaha mereka,” katanya lagi.

Abdul Halim juga berkata, berbanding PAS rakan mereka DAP lebih ke depan dalam mendaftar pemilih baru di Selangor. “Di Kedah usaha mendaftar pengundi baru ada tetapi tidak agresif... jadi saya telah meminta pesuruhjaya PAS kedua-dua negeri agar melipatgandakan usaha pendaftaran pemilih baru ini,” kata beliau.

Dalam ucapan penggulungan muktamar pagi semalam, Abdul Halim melontarkan kejutan dengan menegaskan kedua-dua kerajaan negeri itu berada di “ambang keruntuhan” jika kepimpinan PAS negeri tidak mempergiatkan pendaftaran pengundi baru dalam jumlah yang besar.

Dengan mengambil kira prestasi PR ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Selangor, Abdul Halim berkata, PAS perlu mempergiatkan usaha mendaftar pengundi-pengundi baru.

“Berdasarkan (prestasi ketika) pilihan raya kecil Hulu Selangor, saya hendak ingatkan pesuruhjaya PAS dan Yang Dipertua PAS kawasan di Selangor, kita kena tingkatkan pendaftaran pemilih... di Hulu Selangor kita kehilangan enam peratus pengundi Melayu dan 10 peratus pengundi India.

“Kalau kita tidak daftar pengundi muda yang baru, Selangor di ambang keruntuhan. PAS ‘out’, cuma boleh dapat dua kerusi,” katanya.

“Kedah pun kena tambah pengundi-pengundi baru, kalau tidak Kedah pun di ambang kejatuhan,” kata Abdul Halim.

Pelan tindakan 15 strategi PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 menyasarkan strategi mendapatkan sejuta pengundi baru. Muktamar yang berakhir hari ini banyak memberi tumpuan ke arah persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.

Pandangan Abdul Halim muncul ketika Umno Kedah meletakkan sasaran untuk menambah sekitar 100,000 pengundi baru dalam usaha merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

Dalam temu bual telefon dengan The Malaysian Insider bulan lalu, Setiausaha Umno Kedah Datuk Ir Nawawi Ahmad tidak menolak perkara itu tetapi enggan memberikan angka tepat pengundi yang mereka sasarkan.

Beliau mengakui ada memberikan pendekatan dan strategi mereka untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. “Kami sasarkan sekitar 10 peratus daripada jumlah (pengundi) yang ada sekarang,” kata beliau.

The Malaysian Insiden difahamkan sasaran itu dijanjikan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada pertemuan ‘retreat’ Umno di Janda Baik dekat sini awal bulan lalu. Pemimpin-pemimpin Umno bahagian membentangkan laporan KPI enam bulan mereka kepada Perdana Menteri pada pertemuan itu.

Bagaimanapun Nawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Kuah memberitahu, pihaknya dalam proses menggerakkan usaha menambah keahlian parti dan pada masa yang sama mahu menjadikan mereka sebagai pengundi.

Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa secara umumnya, semua organisasi parti termasuklah jentera pilihan rayanya perlulah diperkemaskan di semua lapisan peringkat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13.

Dengan pendaftaran pengundi yang menyeluruh, kata PAS, tumpuan serius dan sistematik perlu diberikan termasuk melancarkan gerak kerja khas pendaftaran pemilih, terutama pemilih baru, secara besar-besaran.

Ketua Dewan Pemdua PAS Nasrudin Hasan al-Tantawi menyasarkan untuk memberi tumpuan ke atas 2.2 juta pengundi muda. Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 319,000 warga Kedah dan 799,000 lagi di Selangor, yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mengundi sebagai pemilih. Keseluruhannya seramai 4.44 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pemilih. (The Malaysian Insider/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails