Monday, June 21, 2010

Ditahan Polis, Bukannya Masuk Neraka -Saiful Apek


Pelakon komedi popular, Mohd. Saifulazam Mohd. Yusof, 41, atau Saiful Apek

KL. 21 10: 'SAYA cuma ditahan polis, bukannya masuk neraka'. Kata pelakon komedi popular, Mohd. Saifulazam Mohd. Yusof, 41, atau lebih terkenal sebagai Saiful Apek.

Selepas empat hari dia dibebaskan dengan jaminan polis atas dakwaan satu kes penyalahgunaan dadah, dia menganggap dirinya tidak layak dianggap sebagai ikon atau idola masyarakat. Katanya, seperti manusia lain, beliau juga mempunyai kelemahan dan tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Namun, Saiful Apek yang baru muncul dengan filem Kecoh Betul itu tidak mahu masyarakat terlalu cepat menghukum kerana kesnya itu masih dalam siasatan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Masih ada jalan kembali ya Saiful. Tidak ada dosa yang lebih besar, kecuali syirik kepada ALLAH SWT. Salam buatmu dan rakan-rakan, Saiful!

Tugas EXCO: K'tan Terus Mantab Patut Jadi Contoh..

KOTA BHARU, 20 Jun 10: Kerajaan Kelantan terus lebih mantab hari ini, apabila secara rasmi melantik 13 orang timbalan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri bagi membantu exco melaksanakan tugasan. Majlis Angkat Sumpah jawatan siang tadi dilakukan di hadapan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang diadakan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Mereka yang dilantik, Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awan, Pembangunan Tanah dan Wilayah. Untuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, dua timbalan exco dilantik iaitu Adun Demit, Muhammad Mustapha dan Adun Gual Periok, Muhammad Awang.

Bagi portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, dua timbalan dilantik iaitu Adun Kadok, Azami Mohd Nor dan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun. Sementara itu Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.

Adun Ayer Lanas, Ustaz Abdullah Yaacob dan Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamad pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri. Sementara itu, Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapha pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawtankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, manakala Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, sukan dan NGO.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim pula sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, manakala Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mahmood, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri.

Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi negeri. Perlantikan jawatan berkenaan berkuat kuasa 1 Januari lalu dan kerajaan negeri menurut Tuan Guru, akan membayar kesemua tunggakan gaji bermula tempoh kuatkuasa itu.

Tuan Guru ketika memberitahu media juga berkata kerajaan negeri memahami tanggungjawab exco yang banyak dan mahu timbalan yang baru dilantik turut membantu.

“Kita tahu bebanan yang ditanggung oleh anggota exco kita terlalu banyak, siang datang ke pejabat, malam pula keluar bertugas lagi untuk berceramah.

“Kerja sebegini bukan calang-calang orang boleh buat, kadang-kadang kena ziarah kematian, kenduri kendara,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini timbalan anggota exco telah pun dilantik, namun ianya tidak secara rasmi sebagaimana hari ini. Beliau juga berharap kesemua 13 timbalan exco yang baru dilantik itu dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Melihat tugas dan tanggungjawab exco yang berat itu, ianya patut dijadikan contoh bagi negeri-negeri lain di Malaysia. Kerja siang malam demi kelicinan dan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap.

Skandel Seks S/usaha Tenaga Britain, Poligami Jalan Selesai?

Setiausaha Tenaga Britain, Chris Huhne dan isterinya Vicky pada 2005.

Setiausaha Tenaga Britain terjebak skandal seks

LONDON -Baru beberapa minggu mentadbir negara, Kabinet Britain terus dicemari skandal apabila Setiausaha Tenaga, Chris Huhne mengumumkan bahawa dia menceraikan isterinya kerana seorang wanita simpanan, lapor sebuah akhbar semalam.

Hubungan sulit Huhne dari parti Liberal Demokrat bersama seorang penasihat media, Carina Trimingham (gambar) merupakan skandal kedua menggegar kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri David Cameron dalam tempoh tiga minggu.

Rumahtangga Huhne selama 26 tahun dengan pegawai kerajaan, Vicky Pryce, 57, berakhir setelah beliau mengesahkan menjalin hubungan sulit dengan Trimingham, 44, apabila didesak oleh wartawan kelmarin.

"Saya menjalin hubungan serius dengan Carina Trimingham dan dalam proses menceraikan isteri saya," katanya.

Isterinya hanya mengetahui tentang hubungan sulit itu setelah berita mengenainya disiar media tempatan. Lebih malang buat isterinya, hubungan sulit suaminya dengan Trimingham, seorang janda yang juga kenalannya, berlaku tanpa pengetahuannya di sebuah rumah mereka di Eastleigh, Hampshire, selama lebih setahun.

Hubungan sulit itu bermula pada Mei 2009, dua tahun selepas mereka berkenalan semasa Trimingham bekerja dalam pasukan kempen politik Huhne. Sementara itu, nasib Huhne, 55, dalam kabinet akan ditentukan oleh Cameron. Tetapi sudah timbul ura-ura bahawa beliau akan diarah untuk meletak jawatan susulan skandalnya.

Pada bulan lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan David Laws meletak jawatan setelah media Britain mendedahkan beliau membayar elaun rumah kedua miliknya sebanyak £40,000 (RM192,975) kepada pasangan lelakinya. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mungkin sampai masanya, negara-negara Eropah kembali kepada dasar negara beragama. Fikir kembali sistem poligami sebagai jalan penyelesaian mengenai masalah di atas.

Sunday, June 20, 2010

Dr Asri Masuk UMNO Jumaat Ini, Dakwah Dari Dalam?

KL JUN20 10: BEKAS mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menjelaskan bahawa beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik. "Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini," tulis beliau dalam blognya.

Mohd Asli membuat penjelasan tersebut ekoran laporan dalam Umno Online yang menyebut Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk PhD akan menyertai Umno Jumaat depan. Laporan itu memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof yang menyebut bekas mufti Perlis itu dan ulama yang lain akan menyertai Umno menerusi Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Umno Online memetik Ab Rauf memberitahu demikian ketika berucap di mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang semalam.

Menulis dalam blognya, Dr Mohd Asri berkata perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. "Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini. "Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas," tambahnya. Dalam laporan tersebut, Ab Rauf yang juga ketua bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.” (AK)

Bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu, dilaporkan memuji usaha Umno Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai parti itu. Ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi, Dr Mohd Asri enggan mengulas lanjut berhubung laporan yang beliau akan menyertai Umno. Sebaliknya beliau, meminta merujuk kepada tulisan di dalam blognya itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Hendak cuba dakwah dari dalam agaknya?

Lihat di bawah ini..

Judi: P/UMNO Nak Cuci Najis Dari Dalam Tong Najis

Di Bawah Serkup Langit..

Catatan Perjalanan: Riau 1 -Dumai

DIBAWAH SKOP SERKUP LANGIT..

DI BAWAH
skop serkup langit
hanya nampak garis pemisah kakinya & air ..
tiada balaman biruan daratan

Tiada terbang helang pusing-pusing
seperti kulihat tadi di pinggir pantai
mengecam mengancam mangsa.
Ikan-ikan juga bermain di dalam air..
berkeliling.. sesudah penat,
lonjak ke permukaan ambil nafas.
Tiba-tiba cakar helang hinggap dibelakangnya
cengkam rampas, terus membawanya pergi.
begitu.. hebatnya strategi si mata helang.

Tapi hebat lagi si otak manusia,
ditangkapnya ikan sekeluarga ramai-ramai
dengan jaring inter net dan pukat..
seperti kumpulan nelayan yang ku lewati tadi..

Ah.. apakah sama hebatnya?
dengan taukeh feri yang ku tumpangi ini?
Indomal Port Klang-Dumai..

Tentu tidak sama dengan 'super power' AS-Israel
yang menyerang ganas insan kerdil tak berdosa,
bukan saja kapal bantuan,
bahkan kapal bumi Gaza itu sendiri..
mahu dijajah ditenggelami.
Kurang ajar AS-Israel!

Jadi.. apa sudahnya??
Tepat kata Tuhan..
Akan rosak binasa bumi kalau tidak berlaku..
pertelingkahan, tolak menolak bahkan peperangan.
Api pertarungan perlu dibesarkan..
Supaya membakar sampah-sampah maksiat,
kezaliman, tak adil, ISA & segala macam busuk..

Apa solusinya?
Tiada lain, melainkan...
'Tiada tuhan melainkan ALLAH'
ALLAHlah pilihan
ALLahlah cara hidup.
Allahlah pemilik serkap serkup langit
pemilik semua skop serkap langit.
'Lailaha iLLAH'!.

Ya..
Lailaha iLLAH'!
Lailaha iLLAH'!!
Lailaha iLLAH'!
!!
(Sebut, sebanyak larat..)

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan Riau 1.

alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Riau, Indonesia.
Jun 17, 10.
Di atas feri perjalanan ke Dumai..

Sila lihat catatan perjalanan di Riau..

'Suka Saya Lebih Dari Susah' -Nik Aziz 20 Tahun MB

KL, 20 Jun 10— “Tiada masa saya tidak susah, cuma suka (hari gembira) saya lebih daripada susah.” Demikian rumusan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas dua dekad kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan. Mengulas lanjut mengenai perjalanan kepimpinannya sejak akhir 1990, Nik Aziz berkata, “susah senang memang hidup saya.”

“Hidup seorang pejuang mesti ada senang, ada susah... tiada masa saya susah, senang campur susah, susah campur senang, saya boleh bertahan,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di Kota Baru baru-baru ini.

Mursyidul Am PAS ini menambah, sebagai seorang Islam beliau yakin bahawa apa yang dibuatnya adalah betul.

“Allah akan bagi restu kepada saya, dunia akhirat, ini kelebihan Islam,” kata pemimpin berusia 79 tahun ini yang sejak dua tahun kebelakangan ini berhadapan siri kritikan termasuk berhubung isu pelantikan anak dan menantunya dalam jawatan agensi kerajaan negeri. Mereka termasuk Nik Abduh dan menantu Ariffahmi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut peringkat awal memimpin Kelantan, Nik Aziz berkata, beliau sudah tentu berhadapan dengan kesukaran jika memimpin tanpa ada pandungan dan pengalaman pemimpin lain sebelum itu.

“Tetapi oleh kerana sebelum saya datang, sudah ada pemimpin, pemimpin yang saya maksudkan ini ialah Nabi Muhammad... Nabi Muhammad adalah pemimpin yang dilantik oleh Allah sendiri,” katanya.

“Kesusahan yang menimpa saya dalam memimpin ini, 101 (peratus sedikit) berbanding dengan Nabi Muhammad, terlalu sikit kerana segala usaha penentangan yang dibuat oleh manusia kepada Nabi, orang yang sama... oleh yang demikian, saya hanya tiru, tiru, tiru ajaran Nabi Muhammad.

“Perkara yang pertama Nabi Muhammad atasi ialah pemikiran manusia, bukannya jalan. Kalau Nabi Muhammad tak ada pun manusia akan buat jalan, saya pergi ke China tiga, empat kali, saya pergi ke London serupa sahaja.

“Sedangkan China komunis, dan Amerika ini demokrasi, orang ini berperang bukan... tapi dari segi jalan serupa sahaja, fizikal serupa, yang penting ialah pemikiran. Nabi Muhammad bawa Islam supaya manusia tumpu pada Allah,” katanya lagi.

Dalam temu bual yang turut diselitkan dengan misalan-misalan prinsip agama, Nik Aziz menambah, oleh yang demikian manusia tidak boleh pandai-pandai bertindak.

“Tak boleh pandai-pandai di atas bumi yang ditumpang ini. Macam saya, walaupun saya menteri besar, kalau saya pergi kampung saya tak boleh masuk dapur.

“Saya menteri besar pun saya menumpang rumah orang,” kata beliau. yang meluangkan setiap Jumaat untuk kuliah pagi di Dataran Ilmu, Kota Baru.

Menggambarkan lagi perjalanan kepimpinananya, Nik Aziz memberitahu, Melayu Umno menggunakan dendam dan kekerasan dalam menghadapi perjuangan PAS.

“Alhamdulillah... dulu dalam 50 tahun dulu, masa mula-mula PAS terima (ditubuhkan) dulu, Oh! bukan sahaja Umno-Melayu ini lawan saya, sampai tok guru agama pun ditangkap ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) oleh Umno, tok guru-tok guru banyak kena ISA kerana Umno tidak boleh jawab.

“Bila kita soal orang, bila dia tidak boleh jawab, dia (akan) guna kuasa, manusia akan guna kuasa selagi dia tidak boleh jawab... macam sekatan jalan, polis buat sekatan jalan, (dan tanya) ada lesen?

“Kalau boleh jawab kita jawab, (misalnya) baru sekejab tadi lesen jatuh dari poket saya, kita boleh jawab. Tapi bila lesen tak ada, pemandu ini guna kuasa dia melarikan diri atau dia merempuh polis.

“Bila dia merempuh polis, bila kita tak boleh hujah kita menggunakan kekuasaan, manusia begitu,” katanya sambil menambah, “begitu juga dengan PAS dan Umno.”

Nik Aziz mempertahankan partinya dengan berkata, PAS berada di jalan yang sebenar sejak ditubuhkan enam dekad lalu.

“Umno tak boleh jawab, maka dia guna ISA untuk mendiamkan, mematikan pemikiran rakyat sendiri,” kata Nik Aziz yang salah seorang anak lelakinya turut ditahan di bawah ISA ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini dendam yang dibuat oleh Melayu-Umno terhadap perjuangan PAS. Anak saya kena ditangkap ISA, tak tahu apa sebab, banyak (lagi) guru-guru agama,” kata Nik Aziz lagi.

Nik Adli ditahan pada 4 Ogos 2001 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan dibebaskan lima tahun kemudian.etika ditanya adakah beliau sedih anaknya ditahan di bawah ISA, Nik Aziz memberitahu, “sedih itu sedihlah.”

Ketika ditanya adakah beliau sedih anaknya ditahan di bawah ISA, Nik Aziz memberitahu, “sedih itu sedihlah.”

“Tetapi saya dah tahu dari awal-awal lagi, lawan Umno ini bukan sebarangan orang, Umno ini ada kuasa,” katanya sekali lagi merujuk kepada pengalaman Nabi Muhammad yang terpaksa meninggalkan Mekah untuk ke Madinah “oleh kerana jahatnya bapa saudara.”

“Jadi saya tahu, bila saya lawan Umno saya tahu benda ini, sedih, sedih lah tapi kita ada Tuhan, kita berdoa,” katanya.

Nik Aziz seterusnya menjelaskan bahawa beliau berpegang pada prinsip semua orang akan mati satu hati nanti.

“Mu (kamu) akan mati aku (saya) akan mati, dia akan mati, mati dah banyak dah... ketua-ketua polis yang kacau itu dah mati habis dah.

“Sebab itu kata saya tadi, walaupun tugas saya berat untuk melawan Umno, tapi saya ada contoh untuk tiru sebelum saya datang iaitu Nabi Muhammad, ada senang ada susah,” kata beliau dengan menambah oleh kerana Umno dari awal-awal lagi sudah menolak Islam dengan menggunakan kebangsaan Melayu, maka tiada contoh kepimpinan untuk mereka jadikan sebagai teladan.

“Dia buat salah, tak erti dosa, sekarang alhamdulillah bukan sahaja Melayu Umno sokong PAS, malah Cina, India... dia sokong dengan adanya Kelab Penyokong PAS, bukan Kelab Penyokong Umno.

“Dia tahu PAS tidak ada apa-apa, tapi ada kebenaran, manusia boleh hidup dengan kebenaran, hati senang,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada gembira dengan pencapaian sebagai Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz menambah:

“Alhamdulillah... saya walau bagaimanapun gembira. Pertama, saya berada di landasan yang betul, ini perkara pokok.”

“Soal orang hendak sokong, orang tidak mahu sokong, itu masalah orang. Saya gembira kerana saya berada di landasan yang betul iaitu Islam.

“Islam datang daripada Allah, bukan daripada Nabi Muhammad, bukan dari PAS tidak,” katanya.

Mengenai kritikan terhadap kepimpinannya, Nik Aziz berkata, isu yang paling banyak dilontarkan oleh Umno ialah tiadanya pembangunan.

“Tetapi sekarang ini dia sendiri boleh tengok pembangunan. Berbanding dengan 10 tahun dahulu sekarang pembangunan banyak (dapat dilihat di Kelantan). Susah Umno sekarang, susah Umno apabila melihat pembangunan di Kelantan dan di Kota Baru.

“Dulu dia kritik tiada pembangunan, sekarang ada pembangunan, baru-baru (kami) menandatangani perjanjian pembangunan Bandar Baru Tunjong,” kata Nik Aziz yang merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Baru Tunjong.

Bandar yang meliputi kawasan seluas 800 hektar itu terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kota Baru dan mula diusahakan pada Februari 2006. Beliau juga menjelaskan, isu pelantikan Ariffahmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

“Saya melantik menantu saya di depan penasihat undang-undang dalam mesyuarat penuh, depan setiausaha kerajaan negeri, dia tak kata apa-apa, dia senyap... dia tak kata apa-apa, diam.

“Dalam Islam diam itu tanda bersetuju... tak salah saya, dia diam, tiada bantahan. Sekarang saya minta dia keluar (berhenti),” katanya lagi (The Malaysian Insider/AK)

Wanita Disaran Tunaikan Solat Jumaat - Nik Aziz


BACHOK, 19 Jun: Kompleks Masjid Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum lelaki selepas siap pembinaannya kelak.

Saranan itu diutarakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Sebenarnya sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, keselesaan ruang masjid yang cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan solat Jumaat. "Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat," katanya.

Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000 manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka siap pada Ogos 2011. Kos pembelian tapak serta binaan adalah daripada sumbangan orang ramai.

Masjid dua tingkat yang kini dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan masyarakat tempatan. Adun Tawang, Hassan Mahmood ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan kompleks masjid berkenaan dilengkapi dengan dewan mesyuarat dan seminar yang mampu menampung 200 peserta dan asrama.

"Kita berharap segala kemudahan yang melengkapi masjid ini seperti dewan dan sebagainya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam menjana generasi masa depan yang bakal mewarisi perjuangan ulama," katanya. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails