Thursday, October 07, 2010

Kami Turun Ke Galas Dg 48% Sokongan -PAS

Ustaz Abdul Halim Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS

KL, 7 Okt10: Mengambil kira “fenomena” arah aliran undi pada Mac 2008, PAS masih yakin Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding di kerusi Galas dan pada masa yang sama, parti Islam itu percaya boleh mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Bagaimanapun PAS meletakkan pihaknya sebagai ‘underdog’ dalam menghadapi cabaran pilihan raya kecil DUN Galas yang akan berlangsung akhir bulan ini.

“Kami akan turun di Galas dengan 48 peratus sokongan dan 52 peratus sokongan bagi BN,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman pada sidang media di sini hari ini.

“Kami anggap kami sebagai underdog, walaupun kami optimis akan menang dan mempertahankan kerusi, tetapi oleh kerana ini pilihan raya kecil, kami anggap kami sebagai underdog,” katanya.

Tengku Razaleigh yang bertanding di Gua Musang sejak pilihan raya umum 1969, terus mempertahankan kerusinya dua tahun lalu tetapi beliau tewas dari segi undi diperoleh dari bahagian DUN Galas. Pada 8 Mac 2008, Tengku Razaleigh dicabar oleh calon PAS Zulkefli Mohamed di peringkat saingan kerusi Dewan Rakyat.

Halim yang dilantik sebagai pengarah jawatankuasa strategi pilihan raya kecil DUN Galas berkata, Tengku Razaleigh menerima 3,826 undi dari DUN Galas manakala Zulkefli pula 4,143 undi.

“Maknanya dari segi ini, kalau Tengku Razaleigh jadi calon pun, dari segi... dia sudah kalah di Galas, pengundi di Galas ini... PAS sudah mengalahkan Tengku Razaleigh dengan perbezaan undi 317 undi.

“Jadi fenomena ini, kita tengok tidaklah payah sangat untuk kita tidak pertahankan kerusi ini,” kata beliau yang juga bekas timbalan menteri besar Kelantan.

Halim menjadi timbalan menteri besar selepas PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan 1990, kejayaan yang antara lain disumbangkan oleh kerjasama Tengku Razaleigh ketika itu menerajui Parti Melayu Semangat 46. Tengku Razaleigh kembali ke Umno selepas pilihan raya umum 1995.

Buat pertama kali PAS memenangi DUN Galas, salah satu daripada tiga kerusi negeri dalam bahagaian Gua Musang, dua tahun lalu. Penyandangnya Che Hashim Sulaima meninggal dunia minggu lalu dan ia membawa kepada pilihan raya kecil yang ke-12. Teka-teki sama ada Tengku Razaleigh akan menjadi calon berterusan di sebalik keputusan Umno-BN melantik beliau sebagai pengarah pilihan raya.

Umno-BN menyerahkan kepada bahagian Gua Musang mengemukakan nama calon kepada pucuk kepimpinan untuk pilih. Tengku Razaleigh dijangka akan menjawab spekulasi itu apabila pulang ke tanah air dari London Sabtu ini. Sambil mengakui kedudukan Tengku Razaleigh yang akan mempengaruhi persekitaran pilihan raya kecil kali ini, Halim memberitahu, PAS akan bermula sokongan pada tahap 48 peratus.

“Kita harapkan satu sentuhan yang strategi untuk menghadapi pilihan raya, ini pilihan raya kecil, bukan pilihan raya umum,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini.

“Sekarang kita bermula dengan 48 peratus,” kata beliau.

Mengenai keajaiban yang diharapkan, Halim berkata, pihaknya berharap dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina. “Dan, sebahagian (besar) sokongan pengundi Melayu yang kita peroleh itu kita boleh kekalkan, kita memerlukan satu strategi untuk mengekalkan... kalau kita dapat kekalkan ini, kita rasa dapat mempertahankan kerusi Galas,” katanya lagi.

“Kita menang dengan 600 undi di DUN di Galas, tetapi Tengku Razaleigh kalah 371 undi di bahagian Galas,” kata Halim lagi.

Ditanya sama ada PAS boleh mengekalkan kerusi DUN Galas dengan mudah, Halim berkata, Tengku Razaleigh sangat berpengaruh di kalangan Orang Asli. DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. DUN Galas mempunyai seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Pecahan peratus pengundi adalah Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus. SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai Pusat Penamaan Calon dan Dewan Sivik Gua Musang sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. (AK)

-------------------------------

Lihat analisis PRK DUN Galas secara keseluruhan...

...E-Buku IH-14: P/Kecil DUN Galas

Antara kandungan:
Bab 1
Bab 2
Bab 3
Insya Allah liputannya bersambung hingga selesai pilihan raya kecil ini.
---------------------------------------------

Royalti Minyak: Reaksi Petronas Panaskan Galas?




KOTA BHARU, 7 Okt: Banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti. Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.

Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak. Ia mungkin lebih menarik dan panas lagi, apabila tuntutan kerajaan Negeri Kelantan sudah mendapat reaksi dari Petronas.

Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.

Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri. Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.

"Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.

"Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini," katanya pada satu majlis di sini, semalam.

4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat. Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut. Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu. (AK)

Ann Wan Seng Dituduh Persenda Agama Buddha.

Ann Wan Seng dengan buku karangannya

KL, 7 Okt 10: Pemimpin-pemimpin agama Buddha menggesa pihak berkuasa menyiasat seorang pendakwah Muslim keturunan Cina yang popular didakwa mempersendakan agama Buddha dan kepercayaan kaum Tionghoa dalam satu rakaman video disiarkan menerusi YouTube, menggunakan kata-kata “King Kong”.

Klip itu turut tersebar luas menerusi blog-blog politik tempatan dilihat sebagai respons kepada kritikan kerajaan terhadap seorang paderi yang didakwa menghina Islam, yang turut disiarkan menerusi YouTube, yang disebarkan enam tahun lalu tetapi muncul semula baru-baru ini.

Dengan tajuk “Dialog bekas penganut Buddha”, rakaman video itu menunjukkan rakaman mesej Ann Wan Seng, seorang penganut Buddha yang kemudian memeluk Islam. Dia juga merupakan anggota Perkim, sebuah badan kebajikan Islam, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Subang Jaya Chim Siew Choon berkata, beliau kecewa apabila menonton kandungan rakaman video itu baru-baru ini. “Pihak berkuasa seharusnya melihat perkara-perkara seperti ini. Ia sangat tidak sihat. Perkara-perkara macam ini mencetuskan suasana tidak harmoni,” kata beliau.

Chim berkata mana-mana penganut Buddha yang memeluk Islam kemudian memang mempunyai hak untuk mengulas agama lain tetapi mesej yang disampaikan dengan menghina agama asal dan kepercayaan masyarakat Cina adalah sesuatu yang amat mengecewakan. “Dia kelihatan terkeliru. Mengapa bawa masuk Tua Pek Kong dan Pau Kong? Ia tidak kaitan dengan agama Buddha,” kata beliau.

Chim menambah, tindakan yang disampaikannya itu menunjukkan dia mempunyai pengetahuan cetek tentang Buddha dan kepercayaan orang Cina. Sek Chin Yong, dari Persatuan Penganut Muda Buddha Malaysia (YBAM) bersetuju dengan gesaan Chim agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut.

“Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan menyiasat sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

“Kita tidak perlu kecewa hanya kerana dia mengarut. Kami tidak mahu jatuh dalam perangkap dia,” kata Sek yang turut mempersoalkan motif pihak yang memuatkan rakaman video itu dalam Youtube.

“Ann sebagai seorang Muslim tidak harus mecerca agama lain. Sebagai seorang Cina dia seharusnya menggalakkan nilai-nilai baik bersama untuk dua kumpulan yang berbeza ini memahami antara satu sama lain, bukannya menyebabkan umat Islam atau Melayu memperkecilkan kepercayaan dan kebudayaan Cina,” katanya lagi.

Beliau menambah, menghina atau memperkecilkan agama lain menunjukkan dia sendiri bukan seorang pendakwah yang baik. “Ia juga bukan ajaran mana-mana agama,” kata Sek.

Setiausaha YBAM itu juga berkata, beliau merasakan tidak perlu membuat laporan polis untuk diadakan siasatan, sebaliknya meminta penganut Buddha jangan beremosi. “Secara peribadi saya tidak terasa terhina. Mengapa perlu saya marah atau kecewa dengan apa yang dia kata dalam video? Dia tidak betul,” kata Sek lagi.

Akhir bulan lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu. Dua hari selepas itu, Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung berkata kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menghina mana-mana agama dan jika dibiarkan, perbuatan itu boleh mengugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pemimpin pelbagai agama di negara ini perlu kerap mengadakan perbincangan menerusi Jawatankuasa Antara Agama bagi menjamin keharmonian yang dinikmati selama ini. (Sumber The Malaysian Insider)

Komen Blog Ibnu Hasym: Sila siasat dan buat penjernihan..

Galas: Strategi Guna Rahimi Osman -Chegubard

Rahimi Osman menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung akuan bersumpah ditandatangani Jun 2008 pada sidang media di Klang hari semalaqm, adalah suatu strategi politik UMNO di DUN Galas. – Gambar oleh Choo Choy May

KL 7 OKT 10: Strategi menggunakan Rahimi Osman bekas pembantu Ketua Umum Pakatan Rakyat, dalam pilihan raya kecil Galas sudah mula dihidu beberapa hari lepas. Demikian Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Badrul Hisham Shaharin menjelaskan kepada The Malaysian Insider hari ini. Beliau juga menyifatkan Rahimi melancarkan kempen tersebut bagi pihak Umno hari ini selepas parti dominan BN itu sudah panik dengan kemungkinan pertembungan di kawasan majoriti Melayu.

'Strategi menggunakan Rahimi Osman' tersebut disifatkan oleh Badrul yang turut dikenali sebagai “Chegubard”, apabila peguam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair dalam reaksi segera, menafikan dakwaan Rahimi Osman bahawa dia telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah berkaitan kes liwat akhir Jun 2008.

Sankara berkata, sebenarnya Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu secara sukarela selepas mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Anwar di Quality Hotel dua tahun lalu.

Sankara juga berkata Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya, yang juga salah seorang peguam kes Anwar dalam kes liwat terbaru sekarang ditanggungjawabkan untuk mendapatkan tandatangan Rahimi pada akuan bersumpah yang dimaksudkan. Sedangkan petang semalam, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah dalam kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata beliau telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah itu pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Saiful pula mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Laporan polis telah dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang semalam. Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008.

Cekgubard dalam kenyataan dikeluarkan menerusi blognya, berkata, “Dalam keadaan mereka sedang melakukan perang saraf memaksa semua percaya bahawa Melayu sudah benci Pakatan Rakyat dan mencintai Umno melalui Perkasa yang mendapat hak francais pembakar suhu perkauman, sudah tentu pilihan raya kecil di kawasan Melayu ini mencemaskan mereka.”

“Galas sukar buat Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kerusi tetapi akan cuba yang terbaik.

“BN cemas dan mengarut bermula dengan nak lantik pemimpin yang mereka pinggirkan selama ini, Ku Li sebagai pengarah, Umno panik kerana kalau tewas Galas, maka retorik konon mereka dipuja Melayu akan hancur,” katanya.

Bakal calon kerusi Angkatan Muda Keadilan ini berkata, faktor pengikat Pakatan Rakyat, Anwar kini berada di Itali dan tanpa perlu menantinya serangan dituju kepada ketua pembangkang itu.

“Kempen BN sempena Galas bermula hari ini dengan ‘kick offnya’ dimulakan oleh Rahimi, bekas kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.

"Rahimi ini kononya hari (semalam) ini hadir di ibu pejabat Balai Polis Klang dengan menyatakan dia dipaksa membuat kenyataan bersumpah palsu,” katanya lagi.

Chegubard menambah, strategi menggunakan Rahimi sudah dihidu beberapa hari lepas, kononnya akan membuat aduan polis yang dia juga diliwat.

“Pelik juga sebab strategi itu mudah sangat dipatahkan kerana Rahimi ini pernah membuat akuan bersumpah dan rakaman audio visual menolak semua dakwaan Saiful, malah dia juga yang menimbulkan dan mengaitkan nama Ezam Mohd Nor sebagai orang yang terlibat dalam kes fitnah kedua ini.

Katanya, mungkin ‘perancang jahat’ juga sedar perkara ini, maka Rahimi sekadar mengaku dia dipaksa membuat akuan bersumpah palsu.

“Saya sendiri ada bersama beliau selepas Saiful membuat laporan polis dia diliwat. Rahimi oleh kerana kononnya takut, maka dia diletakkan di sebuah hotel dan beberapa teman saya diminta menjaga dan memenuhi keperluan Rahimi.

“Sepanjang dijaga selama kira-kira enam hari itu, dia bebas gunakan telefon, dia bebas ke sana ke mari termasuk ke Seri Pentas untuk menonton perlawanan bola sepak ketika itu.

“Malah ketika berbual dengan teman-teman yang menemani, beliau diberitahu betapa dia sedih kerana bagaimana Saiful boleh buat sedemikian rupa zalim terhadap Anwar,” katanya.

Badrul atau Cekgubard menyoal, “kalau dia kena paksa kenapa sekarang, kenapa dekat dengan Galas?”

Sementara itu, kedua-dua parti utama yang bakal bertanding di kerusi DUN Galas tidak kisah dengan tarikh pilihan raya kecil yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam. SPR menetapkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November ini manakala penamaan calon pula dijadualkan 26 Oktober. (AK)

Artis Aishah, Isytihar Kahwin Elak Fitnah, Alhamdulillah!

HALAMAN HIBURAN
"Suami saya cakap, kenapa nak tunggu sudah pencen baru nak berubah?"



Semoga selamat dalam keredhaan Allah SWT

KL 7 OKT 10: PERNIKAHAN kali ketiga penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, Aishah, kali ini bersama duda anak enam Faizal Sazali Zulkifli, 44, pada 30 April lalu banyak menimbulkan tanda tanya berikutan pernikahan tersebut dilakukan di sempadan Thailand dan bebas daripada pengetahuan umum.Demikiian Laporan Kosmos! Online hari ini.

Malah, dikatakan sebelum ini, selepas bergelar isteri dan bertemu media dalam beberapa majlis hiburan, Aishah masih enggan membuka mulut. Namun, selepas beberapa waktu, pihak media dapat juga menghidu berita pernikahannya dan Kosmo! menjadi akhbar pertama yang membuat laporan mengenainya secara eksklusif pada 24 Jun tahun ini.

Menurut Aishah yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya baru-baru ini, dia langsung tiada niat untuk menyembunyikan status mahupun suaminya. Juga tiada sebarang rahsia yang disembunyikan sebalik perkahwinannya yang dilakukan di sempadan Thailand.

“Saya tidak sembunyikan perkahwinan kerana kedua-dua keluarga tahu akan pernikahan kami. Cuma pada usia begini dan ini bukan perkahwinan pertama kami berdua, saya rasa tidak perlu untuk saya menghebohkannya. Kami berdua telah fikir panjang sebelum pernikahan dan apa yang penting kami telah bernikah.

“Bezanya tiada publisiti sahaja, selepas bernikah saya tidak sembunyikan status dan suami kerana saya akan memperkenalkan Faizal sebagai suami kerana tidak mahu menimbulkan fitnah,” ujarnya.

Tambah Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, meskipun pernikahannya kelihatan dilakukan secara tergesa-gesa kerana perkenalan selama seminggu di dunia maya menerusi laman sesawang www.muslimah.com itu telah membawa dirinya ke jenjang pelamin, itu bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu.

“Selain waktu yang sesuai, kami bernikah segera di sempadan kerana untuk mengelak fitnah dan suami saya ketika itu masih belum dapat surat cerai. Kalau saya ingin buat di sini dan buat sebuah majlis perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan ia tetap mengambil masa yang panjang untuk persediaan,” tuturnya.

Luah Aishah lagi, dia bukanlah punca suaminya bercerai kerana ketika dia mula berkenalan dengan Faizal, suaminya itu telah pun dalam proses memohon penceraian di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah bermadu dan saya bukan puncanya bercerai kerana ketika baru berkenalan dengannya, dia telah pun dalam proses pernceraian di mahkamah,” balasnya.

Aishah mengakui kehidupannya banyak berubah sejak bergelar isteri kepada Faizal. Kehidupannya lebih tenang dan teratur. Malah, hubungan mereka juga direstui oleh dua orang anak Aishah daripada perkahwinan keduanya, Armand Azhari, 16 dan Azhad Ahlami, 10.

“Anak-anak saya merestui, malah mereka yang menggalakkan saya berkahwin lagi. Kata mereka, jika mereka sudah besar nanti siapa yang akan menemani saya. Anak saya juga memanggil Faizal dengan panggilan ayah walaupun mula-mula mereka memanggilnya uncle,” katanya.

Tanpa berselindung Aishah memberitahu kehidupannya kini merupakan kehidupan yang dicari-cari selama ini.

“Saya selalu tengok pasangan yang berusia balik daripada sembahyang subuh di masjid bersama-sama. Sekarang saya dapat suami yang mampu membimbing ke arah kebaikan dan dapat membimbing anak-anak saya.

“Suami saya cakap, kenapa nak tunggu sudah pencen baru nak berubah. Jadi sekarang kehidupan kami lebih baik dan bermakna daripada dahulu. Anak-anak pun ada contoh yang baik dan lebih kerap ke masjid berbanding dahulu,” ucapnya. (AK)

Wednesday, October 06, 2010

PRK Galas Undi 4 Nov: Awal-awal SPR Diperalat UMNO

KL, 6 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 4 November sebagai hari mengundi manakala 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai PRK Dun Galas di sini, pagi ini.

,PAS telah melantik Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya ini. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Penasihat manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai Ketua Operasinya.

Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, Umno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li) sebagai pengarah pilihan raya, satu pendekatan luar biasa yang tidak pernah dibuat oleh BN sebelum ini. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi BN melantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai pengarah.

Sementara itu di Kota Bharu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.

“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November.

“Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.

Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini. Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya.
Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010.

Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos.
Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.
”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya.

Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi.
”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.

Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas. Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut.

Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri. Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan.

”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.
Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.

”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau. (AK)
-----------------------------------------------
Sila layari dan ikuti PRK Galas dari awal ...E-Buku IH-14: P/Kecil DUN Galas
Antara kandungan:
Bab 1
Bab 2
Insya Allah liputannya bersambung hingga selesai pilihan raya kecil ini.
----------------------------------

Tengok Ni, Atas Tutup (purdah) Paha Buka...



DUBAI (Al Arabiya) Tuesday, October 5, 2010: Dua wanita Perancis mengeluarkan sebuah filem tentang kedua-duanya yang berjalan di tengah-tengah kota Paris sambil memakai burka dan seluar ketat-pendek yang menampakkan keseluruhan kaki, kerana membantah undang-undang baru Perancis yang melarang pamakaian pakaian Islam cara konservatif.

Kedua-dua pelajar perempuan yang berhijab tersebut menggelar diri mereka "the Niqabitches" dan mereka muncul dalam filem yang menunjukkan kedua-duanya berjalan di hadapan bangunan kerajaan dalam keadaan memakai tudung yang hanya menampakkan mata sambil mendedahkan kaki mereka.

Orang ramai yang lalu-lalang nampak keliru dan meminta untuk bergambar dengan pasangan tersebut.

Dalam artikel yang diterbitkan dalam lamanweb berita, rue89, pelajar-pelajar sains politik dan komunikasi berkenaan menulis bahawa filem jenaka tersebut adalah satu cara mengkritik undang-undang yang melarang memakai penutup muka yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam.

"Bukannya susah memakai burka. Jadi kami tanya diri sendiri: 'apa tindakan yang akan diambil pihak berkuasa apabila melihat perempuan memakai burka dan seluar pendek?'" tanya mereka, yang mana salah seorangnya adalah Muslim.

"Kami bukannya hendak menyerang atau merendahkan imej orang Islam konservatif – tapi sebenarnya hendak mempersoalkan ahli-ahli politik yang mengundi undang-undang yang kami anggap tidak berperlembagaan," tulis mereka.

Parlimen Perancis meluluskan satu undang-undang melarang pemakaian burka di tempat awam. Apabila dikuatkuasakan, mana-mana wanita yang melanggarnya akan denda sebanyak Euro 150 (RM634.30) atau terpaksa menjalani kursus kewarganegaraan. Sementara lelaki yang memaksa wanita memakainya pula akan didenda sebanyak Euro 30,000 (RM126,860.65) atau setahun penjara.

Witten by Mustapha Ajbaili/Source: www.alarabiya.net Translated by beritaislamglobal.blogspot.com – English version and Videohere

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails