Monday, November 15, 2010

Sosilawati: Belum Selesai, Rayuan Sarawanan 25 Nov


KL 15 Nov 10: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 25 Nov ini untuk mendengar rayuan pekerja ladang K Sarawanan yang dipenjara tujuh tahun bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.Pada tarikh itu juga hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki akan membuat semakan terhadap hukuman itu yang dijatuhkan ke atas Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang U Suresh.

Pada 15 Okt lalu, Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, dihukum penjara tujuh tahun oleh mahkamah majistret Teluk Datok Banting selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, dan tiga rakannya.

Mereka ialah pemandu jutawan itu Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat Banting, sementara Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainudin dan Idham Abdul Ghani, manakala Sarawanan diwakili peguam AS Dhaliwal dan Suresh diwakili peguam M Puravelan.

- Bernama

Ikuti kisah ini dari awal hingga akhir... klik di sini..

Misteri Hilangnya Datuk Sosilawati
E-Buku IH-1: 'Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati'

PKR Diuji Lagi, Zaid Akhirnya Keluar Parti



Zaid Ibrahim

KL, 15 Nov 10: Datuk Zaid Ibrahim akhirnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Isnin lalu, beliau mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan diselubungi kepincangan dan kecacatan. Malah ketika itu beliau juga mengumumkan akan melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan hari ini memutuskan untuk meninggalkan PKR.

“Saya tahu hari saya dalam parti (PKR) sudah dihitung kerana pemimpin — pemimpinnya secara terus-menerus menyerang saya,” kata Zaid yang menyertai PKR 18 bulan yang lalu.

Kata Zaid, beliau mengambil keputusan keluar PKR kerana mahu memutuskan hubungan dengan pembohong dan penipu. Minggu lalu, Zaid turut meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Zaid, penyelaras Pakatan Rakyat, menyertai PKR pertengahan Jun 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak. Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno tidak akan menerima beliau kembali.

Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”

Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang. Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil. Zaid, yang berada dalam Umno selama 23 tahun, sebelum ini merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan anggota Biro Politiknya. Pada April lalu beliau bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PKR diuji lagi, supaya lebih matang.

Sendiket Nikah Diserbu, Mengapa Jadi Begitu?


Antara tetamu yang ditahan pada majlis pernikahan yang didalangi Pak Hashim di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Pasangan nikah sindiket diserbu

KL 15 NOV 10: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Pantai Dalam di sini malam kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, sindiket berkenaan disyaki sedang berurusan untuk menikahkan secara haram satu pasangan kekasih dengan menggunakan khidmat jurunikah palsu. Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa Jawi menahan sepasang kekasih yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap berumur lingkungan 30-an yang berhasrat untuk melangsungkan pernikahan secara haram.

Turut ditahan 25 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita dipercayai warga Indonesia yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan. Pasangan tersebut telah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menikah tanpa kebenaran pendaftar, menikah tanpa jurunikah bertauliah dan gagal memberi penjelasan mengenai lokasi pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang jurunikah yang tidak bertauliah dan lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan gelaran Pak Hashim yang merupakan warga Indonesia. Bagaimanapun, Pak Hashim berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu menerusi pintu belakang rumah tersebut. Pasangan nikah sindiket diserbu. (Sumber Kosmo! Online).

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pihak berwajib kena siasat, mengapa orang yang mahu nikah halal dari sudut agama, terpaksa memilih tidak mengikut peraturan negara ini? Apakah peraturan negara ini bercanggah dengan agama seperti menyusahkan nikah, tidak boleh menghukum orang berzina suka sama suka, walaupun pelakunya mengaku berzina? Kerana hukum khalwat lain, zina lain. Apa lagi tidak hukum Islam sebenarnya seperti hudud dan sebagai.

Sunday, November 14, 2010

UMNO Buta Sejarah Perlembagaan -Guan Eng


IPOH, 14 NOV 10: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuduh pemimpin-pemimpin Umno “buta sejarah, Perlembagaan” dengan mencetuskan perasaan kebencian dan tidak toleransi di kalangan rakyat negara ini.

Sambil merujuk kepada beberapa insiden berkaitan dengan sentimen perkauman sejak kebelakangan ini, Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa pemimpin-pemimpin Umno “melarikan” Perlembagaan Persekutuan dan menggunakannya mengikut kehendak dan kemahuan mereka bagi memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Apabila Umno bercakap mengenai Perlembagaan, mereka hanya bercakap mengenai kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bukannya kepentingan sahih kaum-kaum lain.

“Ini menunjukkan Umno buta sejarah, buta Perlembagaan, dan buta hati. Kita mesti lawan mereka,” kata beliau ketika berucap merasmikan Kongres DAP Perak Ke-15 di sini hari ini.

Lim (gambar) menekankan bahawa Artikel 153 menyebut, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang lain dan kepentingan komuniti-komuniti lain selaras dengan peruntukan perkara ini.

“Tetapi Umno sentiasa merujuk Artikel 153 Perlembagaan mengenai kedudukan orang Melayu sebagai justifikasi pendekatan rasis mereka hanya untuk orang Melayu.

“Mereka juga seringkali gagal untuk menyebutkan kepentingan sahih komuniti-komuniti lain juga mesti dilindungi,” tegas beliau.

Justeru Lim juga berkata, agenda “rakyat Malaysia terlebih dahulu” jelas disemadikan dalam Perlembagaan, malangnya aspek ini tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin rasis Umno.

Lim mendakwa pemikiran rasis yang meletakkan kepentingan perkauman mengatasi kepentingan nasional ditimbulkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa kadar penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah disebabkan rendahnya semangat patriotisme mereka.

Selain itu kata Lim, akhbar keluaran Kumpulan Utusan, milik Umno, yang cuba mencetuskan semula peristiwa 13 Mei 1969 dengan menganggapnya sebagai “hari keramat”.

“Kerajaan mesti mengambil tindakan ke atas Utusan memandangkan ia mengembangkan rasa kebencian dan pelampau, bertindak seolah-olah mereka mahukan satu lagi 13 Mei dengan menyambutnya sebagai hari suci.

“Saya percaya orang Melayu di negara ini bukan macam Utusan Malaysia. Utusan ekstremis Umno,” katanya lagi.

Lim juga menekankan insiden kenyataan rasis yang dikeluarkan oleh dua pengetua sekolah dan pegawai kanan Biro Tata Negara baru-baru ini. Tindakan dilapor telah dikenakan ke atas mereka termasuk menggantung tugas.

“Lihat kenyataan-kenyataan rasis dan menghina daripada pengetua-pengetua yang menimbulkan rasa benci dengan memanggil orang India anjing dan Cina pendatang, yang harus balik ke China atau pegawai BTN yang melabelkan orang India sebagai si botol dan Cina sebagai si mata sepet.

“Atau, pemimpin-pemimpin Umno yang secara terbuka mengatakan mereka tidak memerlukan undi orang India dan Cina,” katanya lagi.

Serentak dengan itu, Lim juga membidas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan bertanya mengapa bukan Melayu di Perak mestik menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Mengapa harus rakyat Perak mesti menyokong seorang pemimpin yang komradnya merasakan mereka tidak memerlukan undi Cina dan India?

“Minta Zambry lihat mukanya di cermin... adakah anda maksudkan anda tidak memerlukan undi orang India?” kata beliau pada majlis yang dihadiri sekitar 1,000 perwakilan.

Lim berkata, pemimpin-pemimpin DAP bukannya antiorang Melayu, anti-Islam ataupun menentang institusi diraja sebagaimana didakwa oleh Umno saban hari.

“Dalam perjuangan kami, kita dipaksa berhadapan dengan banyak dakwaan palsu. Saya ingin menekankan di sini, tidak sesiapa pun harus mempersoalkan kesetiaan kami kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka membuat tuduhan tetapi mereka tidak boleh mencari bukti,” kata beliau.

Kata Lim, perjuangan DAP adalah bersandarkan pada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, parti telah meminda perlembagaannya pada 2006. Justeru kata beliau, parti komponen Pakatan Rakyat itu bergerak seiringan dengan perlembagaan yang membawa kepada kemerdekaan.

Selain itu beliau juga mengingatkan kembali tema DAP “Malaysia Sederhana” yang bersandarkan lima prinsip iaitu agenda “Rakyat Malaysia” terdahulu, hak asasi manusia dan masyarakat madani, peluang yang saksama, keluhuran undang-undang dan integriti dan komuniti bandar yang intelek. Sehubungan itu, Lim meminta rakyat tidak membuat kesilapan kerana pendekatan Malaysia yang sederhana akan memutuskan pakatan mana yang bakal memerintah kelak.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mungkin itu sebabnya PAS mencadangkan di parlimen supaya ditubuhkan Mahkamah Perlembagaan. Cadangan Mahkamah Perlembagaan -Dr Mujahid. (AK)

Lihat ini ada kaitan..

Daftar Pemilih: Tidak Ada Masa.. Ketua DPP



SHAH ALAM, 14 Nov 10
: “Kita sudah tidak ada masa, jadi kita akan giatkan untuk mencari dan mendaftar pengundi-pengundi baru,” kata Nasrudin Hassan at-Tantawi Ketua Dewan Pemuda PAS hari ini.

Beliau sebelumnya, mengakui pihaknya tidak berjaya pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan minggu lalu. Antara lain sebabnya ialah kerana gagal mendaftarkan pengundi baru dalam jumlah yang banyak berbanding langkah Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas mesyuarat bulanannya di sini, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, parti komponen Pakatan Rakyat itu jauh ketinggalan berbanding BN dalam mendapatkan pengundi-pengundi baru di Galas.

“Kita mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas dari perspektif Pemuda PAS, yang mana kita telah kenal pasti faktor kekalahan kita.

“Hasilnya kita mendapati kegagalan kita mendaftarkan pengundi baru dilihat menjadi faktor kekalahan kita yang mana kita hanya mampu mendaftarkan kira-kira 600 pengundi baru manakala BN pula lebih daripada 1,000 pengundi baru.

“Jadi kita masih adalah kelemahan dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru, sebab itu kita kalah kepada BN,” kata beliau selepas mesyuarat hari ini yang turut mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas di tangan BN awal bulan ini.

PAS pusat dijangka akan membentuk satu jawatankuasa untuk menyiasat punca kekalahan di Galas apabila mengadakan mesyuarat bulanan hari ini. Justeru, Nasrudin berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru dalam menghadapi pilhan raya umum ke-13. Pada pilihan raya kecil lalu Galas menyaksikan peningkatan undi baru lebih 1,000 berbanding ketika pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi setelah memperolehi 5,324 undi menewaskan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad yang mendapat 4,134 undi. Tambah Nasrudin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menghapuskan sistem undi pos kerana ia dilihat tidak releven lagi untuk diamalkan.

“Undi pos masih lagi menjadi talian hayat untuk Umno-BN, malah kita tidak nampak releven undi pos dikekalkan.

“Jadi kita minta SPR supaya menghapuskan undi pos kerana ia tidak demokratik dan tidak beri peluang kepada parti bertanding mendapat undi secara adil dan telus.

“Selain itu, undi pos sangat diragui ketelusannya. Jadi ia perlu dihapuskan,” katanya.

Nasrudin juga berkata, dalam usaha untuk menarik pengundi muda menyokong PAS, sayap pemuda parti Islam mahu pucuk pimpinan supaya meletakkan lebih ramai calon yang terdiri daripada golongan muda dalam pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, sudah sampai masa pucuk pimpinan parti memberi ruang kepada calon muda memandang kini ramai pengundi di negara ini terdiri daripada pengundi muda. Malah menurut Nasrudin, keputusan meletakkan calon muda akan memberikan gambaran dan perspektif positif bahawa parti itu sedia berubah untuk menarik pengundi muda.

“Kita harap parti beri ruang yang lebih besar kepada calon-calon muda untuk bertanding mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang.

“Malah kita sudah kenal pasti calon dari Pemuda PAS dan diserahkan kepada pengarah pilihan raya PAS pusat (Datuk Halim Abdul Rahman) untuk dipertimbangkan.

“Jadi kita harapkan parti dapat beri ruang yang besar kepada tokoh-tokoh muda, beri peluang untuk bertanding sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi peluang kepada kita untuk menjadi pelapis,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dalam hal ini, nampaknya Ketua Dewan Pemuda PAS lebih banyak 'cakap tak serupa bikin'.

Sebelum ini..

Ikuti kisah PRK dari mula, seterusnya hingga ulasan-ulasan terakhir.
PRK DUN GALAS

PAS Ubah Pendekatan: Nasionalkan & Ikut P'bagaan?



Pas Perlu Ubah Pendekatan.

SHAH ALAM, 14 Nov 10
: PAS 'baru' dengan pembaharuan dari segi pendekatan tanpa mengubah dasar, amat diperlukan untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU), kata penganalisis politik, Ghazali Mayudin.

Bercakap dalam forum "PAS Sedia Ganti Umno: Harapan dan Cabaran" di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) petang semalam, beliau berkata, senario politik hari ini, hanya PAS baru boleh menggantikan Umno.

"PAS tidak boleh ganti Umno dalam kerangka yang lama. Berdasarkan senario politik semasa, PAS baru dengan pendekatan yang baru, kaedah yang baru mungkin boleh. Tapi PAS yang sedia ada agar sukar untuk menggantikan Umno," katanya.

Beliau juga berkata, PAS harus bersedia berubah mengikut kehendak masyarakat tanpa perlu mengubah dasar Islam yang diperjuangkan. Perubahan tersebut juga perlu menyeluruh, bukan bersifat cebisan sahaja.

"PAS mesti berubah mengikut perubahan-perubahan dan kehendak-kehendak dalam masyarakat supaya diterima umum. Bila kita katakan PAS ganti Umno bermakna kita nak masyarakat Melayu menerima PAS untuk menggantikan Umno.

"Perubahan keadaan bukan bersifat cebisan tapi menyeluruh. Dari segi keahlian juga harus berubah. Bukan sahaja ahli PAS setakat dengar ceramah tetapi haruslah bergerak ke lapangan masyarakat, baru boleh berlaku satu transformasi.

Tambahnya, bagi memastikan PAS diminati, bukan dibenci, parti itu harus tahu menggunakan isu yang relevan mengikut perkembangan dalam masyarakat

"Perubahan yang harus dilakukan ialah dari segi cara kepimpinan, cara memerintah negeri, dan dasar-dasar yang ditekankan.

"Sekarang ini orang menekankan hak asasi, kebebasan, ketelusan dan sebagainya. Jadi agak asing kalau PAS masih memperjuangkan isu-isu yang mengguris dan menyebabkan orang lari daripada PAS," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Shaharudin Badarudin dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wadah, PAS sudah mengalami proses perubahan yang besar sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Dalam empat, lima tahun ini PAS berubah begitu besar. PAS sudah mengalami perubahan itu terutamanya sejak tahun 2001, banyak pembaharuan yang dikemukakan.

"Contohnya isu muslimat boleh bertanding. Walaupun pada mulanya memang dibenarkan dan kemudiannya tidak dibenarkan, ia dibenarkan kembali pada 2003. Begitu juga dengan penubuhan kelab dan seterusnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, tahaluf siasi iaitu pakatan dengan DAP dan NGO sudah mencirikan PAS baru.

Menurutnya juga, PAS telah menunjukkan kelebihan apabila boleh bergerak kerja tanpa mendominasi Pakatan Rakyat, seperti Umno mendominasi Barisan Nasional.

"Kelebihan PAS ialah PAS boleh bekerja dalam keadaan tidak mendominasi parti. Dalam tidak dominan itu PAS mampu melakukan perundingan dan sebagainya dengan DAP dan PKR, apatah lagi jika PAS mendominasi Pakatan, sudah tentu banyak kejayaan yang boleh dicapai," katanya.

Forum dua jam itu dipengerusikan oleh ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat dalam seminar "PAS ganti Umno" anjuran lajnah penerangan dan dakwah PAS Pusat. (Sumber Harakahdaily.net)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Antara perubahan yang dicadangkan 'bergerakkerja tanpa mendominasi Pakatan Rakyat', cara kepimpinan & memerintah negeri, jangan memperjuangkan isu-isu yang mengguris menyebabkan orang lari daripada PAS dan lain-lain. Perlu ditambah lagi, cadangan menasionalkan (men'pelbagaikaum'kan bukan menasobiahkan) PAS, memperjuangkan Islam dalam kerangka perlembagaan Malaysia (Islam agama Persekutuan bukan agama sekular), dan beberapa lagi. Tulisan-tulisan di bawah ini boleh dirujuk.

Pemimpin SIS, Termasuk Sinarai Berpengaruh


Muslim berpengaruh: Senarai Malaysia naik, Nik Aziz bukan lagi 50 teratas

KL, 14 Nov 10: Personaliti dari Malaysia yang disenaraikan dalam buku ”The 500 Most Influential Muslims In The World” meningkat kali ini tetapi kedudukan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam senarai 50 teratas terkeluar berbanding edisi sulung tahun lalu.

Beberapa nama terkemuka lain juga terkelur kali ini.

Dalam edisi 2009, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sejak 1990, berada di tangga ke-42, tetapi tiada rakyat Malaysia yang menduduki senarai 50 teratas kali ini.

Nama-nama baru dari Malaysia yang disenaraikan dalam edisi kali ini ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Angkasawan Negara pertama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Prof Dr Muhammad Afifi al-Akiti.

Muhammad Afifi merupakan anak Melayu pertama dilantik berkhidmat di Universiti Oxford iaitu di Fakulti Teologi.

Pada 23 Julai 2005, beberapa hari selepas kejadian mengebom London, Muhammad Afifi telah menghasilkan penulisan bertajuk “Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians”.

Buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” antara lain menyebut pandangan dan pendapat Mashitah, yang juga pakar motivasi, mengenai isu-isu Islam kontemporari mendapat perhatian luas. Beliau menyertai politik enam tahun lalu dan bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Mengenai Dr Muszaphar pula kata buku itu, penyertaan dalam program angkasawan lepas tiga tahun lalu juga membawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa khusus mengenai tatacara solat ketika berada di angkasa lepas. Beliau menamatkan zaman bujang pada 10 Oktober lalu.

Disenaraikan tahun lalu tetapi tidak dimasukkan dalam edisi semasa ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tahun lalu dimasukkan dalam kategori politik, aktivis Sharifah Zuriah Aljefferi, pemimpin Sisters In Islam, dan tokoh pendidikan Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Pemimpin yang kekal dalam senarai tahun ini ialah Anwar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pengasas Sisters In Islam Zaynah Anwar, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader, Kumpulan Raihan yang terdiri daripada Cge Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza dan pakar ternama dunia dan penulis bidang pengajian perbandingan Islam dan undang-undang moden Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” diterbitkan buat julung kali tahun lalu oleh The Royal Islamic Strategic Studies Center. Personaliti Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam buku itu merupakan kalangan yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan dan membawa perubahan dalam kehidupan. Kategori pemilihan dibahagi kepada 15, antaranya ulama, politik, cendekiawan, wanita, belia, sains, perubatan dan teknologi dan media.

Dalam senarai 50 teratas kali ini termasuklah Raja Saudi Abdullah Abdul Aziz Al Saud, pemimpin Iran Syed Ali Khamenei, Perdana Menteri Turki Recep Tayyib Erdogan, Imam Besar Masjid Al-Azhar dan pemimpin Universiti Al-Azhar Dr Sheikh Ahmad Muhammad al Tayeb, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim Sheikh Yusuf Al-Qaradawi; pendakwah dan aktivis sosial Amr Khaled, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syeikh Mohammad Mahdi Akef dan pemimpin Hamas Khaleed Mishal. (Sumber The Malaysian Insider/AK)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pemimpin SIS seperti Sharifah Zuriah Aljefferi dan Zaynah Anwar termasuk senarai berpengaruh, adakah ia menjadi ancaman kepada umat Islam?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails