KL 27 DIS 10: "Ayuh Gomo Kelate gomo..." Tulis
Dr. Syed Azman Syed Ahmad mengenai saman terhadap Petronas meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.
Beliau mengucapkan syabas kepada Tok Guru Nik Aziz MB Kelantan dan rakyatnya yang seharusnya 'menunjukkan kejantanan'nya menentang kezalliman Kerajaan Persekutuan yang sanggup "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.
Menurutnya, apa yang dilakukan kerajaan Persekutuan adalah suatu pencabulan kepada prinsip demokrasi berparlimen, konsep Federalisma serta bertentangan dengan perlembagaan negara kita sendiri. Di mana akhirnya Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, telah memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum diperoleh di luar pantai negeri berkenaan yang tidak dibayar sejak 2004.
Menurutnya lagi, saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan. Antara lain notis sepanjang 47 halaman itu menuntut:
1. Pelaksanaan spesifik perjanjian petroleum Kelantan.
2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.
3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.
4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.
5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.
Malahan menurut beliau lagi, "... dianggarkan kerajaan Kelantan berhak menerima bayaran royalti minyak dari Petronas antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan. Bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum."
Pada 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Parlimen, menyatakan bahawa;
“Tuan Yang di-Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974”. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut perjanjian itu, “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di dalam negeri masing-masing, sama ada yang diperolehi itu dalam perairan ataupun di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”
Maka menurut Dr. Syed Azman lagi, sejak dari tarikh tersebut Kerajaan Negeri Terengganu dan Sarawak telah menerima wang royalti minyak secara langsung dengan tunai tanpa sebarang gangguan dan sekatan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri tersebut. Malah kerajaan negeri Terengganu telah memperolehi wang royalti minyak bernilai hampir RM7 bilion selama 22 tahun.
Namun sebaik sahaja PAS berjaya menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999, pelbagai usaha telah dijalankan bagi menyekat serta menafikan hak royalti kepada kerajaan Terengganu. Maka pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu dan menggunakan kaedah baru yang dikenali “Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan” tanpa menyalur terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum.
Malahan Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”. Lebih malang lagi ada menteri dan pimpinan UMNO negeri Terengganu sendiri yang sanggup mengkhianati hak dan amanah rakyat Terengganu ini serta menyatakan bahawa perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja.
"Begitu juga apakah yang sedang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Kelantan juga boleh dianggap sebagai ‘Ehsan’? Kalangan kepimpinan Umno menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta setahun yang disalurkan terus kepada rakyat Kelantan." Tulis Dr Syed Azman
"Bagi saya apa yang dilakukan adalah suatu lagi kezaliman kepada sebuah Kerajaan Negeri yang mendapat mandat yang sah daripada rakyat melalui sistem demokrasi yang mereka sendiri angung-agungkan. Ini bukan bayaran Ehsan tetapi bayaran diskriminasi ataupun bayaran zalim yang berniat meyiksa rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada kerajaan PAS sepertimana yang telah berlaku kepada negeri Terengganu pada tahun 2001. Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum 1.8 juta rakyat Kelantan yang 96 peratus adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
"Namun apa yang berlaku di negeri Terengganu adalah merupakan suatu pengajaran besar kepada seluruh rakyat Kelantan yang cintakan keadilan. Sepanjang wang royalti Terengganu di rompak oleh kerajaan Persekutuan Umno/BN dan diletakkan di bawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ negeri Terengganu sepatutnya berhak menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.
"Malah jika diperincikan perbelanjaan ‘wang Ehsan’ yang diuruskan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 9 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajan Terengganu, mereka berbelanja semewah-mewahnya melalui projek-projek seperti pembinaan Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, Monsoon Cup serta Stadium baru Sultan Mizan yang runtuh pada tahun lepas.
"Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin seperti nelayan, petani, penarik beca di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan ‘budaya subsidi’ Umno/BN. Rakyat terus dihimpit kemiskinan dan Trengganu mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu 17.3 peratus dengan rakyatnya kebanyakannya hidup merempat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.
"Ya ini ada pengajaran awal kepada seluruh rakyat Kelantan dan syabas kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengenepikan sentimen kepartaian sempit bagi membela rakyat Kelantan. Ya, kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menyeret Kerajaan Persekutuan di bawah Umno/BN ke mahkamah, tetapi ‘Mahkamah rakyat’ yang akan menjadi penentu. Biarlah rakyat yang akan menjadi hakim dan biarlah rakyat yang akan membuat penghukuman terhadap kezaliman-kezaliman pemimpin-pemimpin Umno/BN yang ada sekarang ini."
Kini Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat telah mengotakan apa yang di katakan sebaik sahaja selepas menyempurnakan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan beberapa bulan lalu, “sebagai ketua kerajaan Kelantan yang berdaulat beliau bertanggungjawab menjaga harta kerajaan yang diamanahkan dibawah kepimpinan beliau walau dengan apa cara termasuk melalui rundingan atau proses perundangan”.
Ayuh Gomo Kelate gomo... Ganu kite guane? (IH)