Monday, January 10, 2011

Sabar Hadapi Serangan Lawan -Abdul Hadi


SHAH ALAM, 10 Jan 10: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor agar bersabar menghadapi segala bentuk serangan pihak lawan yang mahu merampas negeri itu.

Beliau ketika menyampaikan pidatonya di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi berkata, apa yang menimpa Selangor hari ini bukan perkara baru, malah PAS sudah menghadapinya sejak tahun 1959 lagi.

"Kita mesti bersabar dan kami dalam PAS telah lama alami keadaan ini.

"Kita berpengalaman sejak tahun 1959 apabila kerajaan PAS Terengganu diguling sebelum kita ambik balik pada tahun 1999," katanya yang menjelaskan terpaksa bersabar lebih 40 tahun sebelum dirampas pula pada tahun 2004.

Beliau berucap demikian dihadapan lebih 30 ribu hadirin yang hadir pada Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana di sini malam tadi. Ianya dianjurkan PAS Pusat ekoran beberapa insiden terbaru melanda Pakatan Rakyat, khususnya percubaan rampasan kuasa di Selangor dan isu penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan dari Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi, pengalaman sama turut menimpa kerajaan PAS Kelantan, apabila diguling pada tahun 1978 dengan menggunakan akta darurat pada waktu itu. Namun PAS Kelantan kemudiannya bangkit semula mengambil Kelantan pada tahun 1990.

Dan terbaru pula jelasnya, rakyat dipertonton dengan tragedi rampasan kuasa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, mahu rakyat tahu bahawa tindakan merampas negeri secara zalim, adalah strategi orang yang lemah.

"Cara begini bukan kekuatan, menipu ini satu kelemahan, tindakan tidak bijak dan tidak pandai.

"Dan sekarang mereka tunjuk lagi perangai itu," katanya.

Namun apa yang penting tegasnya, Pakatan Rakyat perlu melangsungkan perjuangan dengan konsisten dan bersabar. Perjuangan tersebut tambahnya, perlu dibuat pada landasan yang betul dan jangan terpesong atau mengikut golongan yang tidak mengerti.

"Ini bukan janji PAS, bukan Keadilan, tapi ini janji Allah dalam al-Quran.

"Teguhkan ikatan ini, perbetulkan cara bertindak kita. Insya Allah, Tuhan akan memberikan kemenangan kepada kita dalam pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Turut berucap pada malam tadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. (Harakah)

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

Tidak Wajar Kuasa Sultan Diambil UMNO -MB


SHAH ALAM, 10 Jan 11: Menteri Besar Selangor berkata, adalah tidak wajar kuasa Sultan Selangor diambil alih oleh Umno demi memperkukuhkan kuasa persekutuan ketika krisis Perlembagaan Persekutuan 1993.

Kerajaan negeri Selangor mengesyorkan pindaan perlembagaan negeri bukan sahaja untuk menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tetapi juga mahu “membetulkan kesilapan” awal 1990-an, kata Tan Sri Khalid Ibrahim malam tadi.

“Umno yang mengambil alih kuasa . . . tetapi apabila dimaklumkan bahawa Sultan tiada kuasa (pelantikan), kami dikatakan jangan bertindak menderhaka,” kata beliau pada perhimpunan di Stadium Malawati di sini.

Majlis malam ini dimulakan dengan solat hajat. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir sama. “Siapa yang menderhaka? Pada 1993, mereka (Umno) sudah pun melakukan derhaka,” kata beliau lagi.

Khalid juga menekankan bahawa kerajaan Selangor akan membuat beberapa usul akhir bulan ini untuk memastikan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri — Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri kembali ke tangan Sultan dan kerajaan Selangor.

Malah beliau juga mencabar Umno menentang pindaan perlembagaan yang bakal dibawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat. “Kita akan lihat belang mereka yang sebenar, jika benar mereka mendukung Sultan (mereka wajar sokong),” kata beliau disambut tepukan gemuruh.

Khalid berkata “drama (semasa) akan berterusan” sehingga kuasa untuk melantik pegawai-pegawai kanan terbabit kembali kepada negeri. Semalam, Khalid juga mencabar Umno menyokong pindaan perlembagaan jika ia benar-benar ikhlas dalam menjunjung institusi diraja, yang dialung-laungkannya selama ini.

“Umno (mengatakan bahawa) ia memandang tinggi (kedudukan) Sultan. Mereka (mengatakan) mereka yang mempertahankan raja,” kata beliau sambil menggesa Umno menunjukkan keikhlasan jika benar parti teras Barisan Nasional itu mempertahankan institusi diraja.

Dalam ceramah malam itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir sama itu berkata, kontroversi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah “isu kecil.”

“Isu SUK adalah isu kecil yang mampu kita tangani, kita punyai mandat untuk menjayakan kepentingan rakyat.

“Ini yang akan kita teruskan, Umno tidak kuat jadi kita kena lawan,” kata Ketua Umum PKR ini.

Beliau juga menggesa supaya kepimpinan kerajaan negeri Selangor, diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim supaya “menyerang” dengan agresif serangan dibawa Umno-Barisan Nasional (BN).

“Selangor dianggap mutiara bagi Umno, sudah ada kuasa pusat tapi masih resah. Mereka fikir macam-macam nak rampas seperti kes terbaru (isu SUK), ia adalah drama.

“Kita kena pertahankan Selangor dan pastikan pentadbiran berjalan dengan baik, kuasa ada di tangan kita.

“Kita juga kena lawan, serang semula Umno... kenapa mesti bertahan? Pendirian Pakatan Rakyat adalah pertahankan Perlembagaan (Persekutuan), tak perlu kita jelaskan kepada Umno,” katanya.

“Kalau Umno halang, jangan bertahan... kita serang. SUK bukan masalah,” kata Anwar yang bulan lalu digantung selama enam bulan daripada menghadiri Parlimen.

Beliau turut menyifatkan Umno-BN sudah “tiada keyakinan” sehingga terpaksa mengadakan pertemuan dengan dengan semua ahli Parlimen gabungan 13 parti komponen itu. Sejak Datuk Mohd Khusrin Munawi diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid tidak bersetuju dengan pelantikan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Menteri Besar merancang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas hujung bulan ini bagi menyelesaikan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru. Sidang itu akan membincangkan pindaan perlembagaan negeri. Pakatan Rakyat mempunyai 35 anggota di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 56 kerusi. Pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan. (IH)

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

Pertemuaan 24 Dis, Kerjasama PolitikUMNO-PAS -Anwar

Pemandangan di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi sempena program Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS. - Foto oleh Choo Choy May

SHAH ALAM, 10 Jan 11: Pertemuan 24 Disember dikatakan menyentuh soal kerjasama politik PAS-Umno dan ia bukan kali pertama soal itu muncul sejak negara menyaksikan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penasihat PKR itu berkata, Umno sudah tidak mempunyai “modal” untuk menyerang Pakatan Rakyat. “Umno dah habis fikiran, dah guna macam-macam perkara, diserang begitu kuat dalam Utusan Malaysia, mereka dah habis ikhtiar.

“Ingat Umno kuat? Tidak... Umno hidup kerana menyemarakkan api sentimen perkauman.

“Kalau kita boleh jawab, Umno dah lama habis. Umno juga hidup dengan slogan, tanpa Umno habis orang Melayu,” katanya.

Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak hanya boleh “bermimpi” sekiranya mahu bergabung dengan PAS, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk kepada isu di sebalik pertemuan 24 Disember. Selain PAS, Pakatan Rakyat turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Najib boleh bermimpi kalau nak ajak PAS (bergabung),” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

“Umno sudah ditimpa mala petaka,” kata Anwar ketika menyampaikan ceramah pada program Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Perhimpunan malam, yang dikatakan sudah dirancang lebih awal, diadakan ketika Pakatan Rakyat berhadapan dengan isu kontroversi pertemuan 24 Disember dan juga krisis perlembagaan negeri Selangor. (IH)

Sunday, January 09, 2011

Pertemuan Tertutup Anwar-Abd Hadi, K/Perpaduan (UG)?

KL, 9 Jan 11: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengadakan pertemuan petang ini, langkah yang dilihat bertujuan menjernihkan hubungan Pakatan Rakyat (PR) yang bermula dengan siri isu sejak awal tahun ini.

Pertemuan tertutup itu akan diadakan beberapa jam sebelum majlis solat hajat dan ceramah perdana di Shah Alam malam ini. Kedua-dua Hadi dan Anwar (gambar) akan disertai Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi memperlihatkan solidariti pemimpin-pemimpin PR.

Agenda utama perjumpaan Ketua Pembangkang dan Presiden PAS itu dijangka memfokus pertemuan 24 Disember bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena majlis santapan di Istana Terengganu di sini.

Majlis itu yang diadakan atas undangan Yang di-Pertuan Agong dilihat bertujuan memulihkan kerjasama politik antara PAS-Umno atas nama perpaduan Melayu-Islam meskipun kedua-dua Najib dan Nik Aziz enggan mengulas agenda dan hasil pertemuan itu.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin PR jika perlu.

Pertemuan 24 Disember juga disentuh pada mesyuarat hari ini, kata beliau.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider, pertemuan itu akan diadakan untuk mengatasi beberapa isu didepani perikatan tiga parti tersebut sejak awal tahun ini.

Selain isu perundingan kerjasama perpaduan, kemelut ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri juga dikatakan agenda utama memandangkan ia membabitkan istana dan sokongan pengundi Melayu. (Ibnu Hasyim)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pertemuan tertutup Anwar-Abdul Hadi seperti yang disebutkan di atas bertujuan...

  • '...bertujuan memulihkan kerjasama politik antara PAS-Umno atas nama perpaduan Melayu-Islam'
  • '... isu perundingan kerjasama perpaduan'
NONEDan.. Malaysiakini pula sebentar tadi melaporkan pertemuan Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan penulis blog dan pengguna Facebook pro-Pakatan Rakyat 15 Januari ini, dijangka dipanaskan dengan isu pertemuan mursyidul am PAS itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Seorang peserta program dialog di Kuala Lumpur itu berkata, pengguna media baru yang menentang idea kerajaan perpaduan berhasrat menuntut penjelasan lanjut Nik Aziz kerana masih terdapat kekeliruan berhubung perkara itu.

"Kita hendak tahu cerita sebenar kerana masih terdapat banyak kekeliruan. Antaranya, kenapa undangan kepada Tok Guru (Nik Aziz) disampaikan melalui bekas timbalan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bukannya setiausaha atau wakil istana sendiri.

"Dan, kalau betul (undangan) dari istana, kenapa tidak dibuat terus kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS?" kata penulis blog terkenal itu yang merupakan antara 25 orang yang didatangkan khas dari Kelantan.

Sementara itu, jurucakap program dialog itu Tarmizi Mohd Jam memberitahu, program pada hari Sabtu depan itu akan diadakan di Hotel Grand Seasson Kuala Lumpur melibatkan 180 penulis blog dan Facebook.

Ertinya, isu kerajaan perpaduan hidup lagi.

Turki: Tahun 2011, Tahun Bebas Berhijab.

Istambul: 9 Jan 11: Tahun 2011 menjadi tahun 'bebas berhijab' di intitut perguruan tinggi di Turki. Barulah wanita Islam bebas melaksanakan agamanya di negara sendiri. Mahasiswa Muslim Turki bebas masuk ke perguruan tinggi dengan mengenakan hijab, purdah atau disebut juga jilbab. Situs Mufakkirah al-Islam melaporkan, perguruan tinggi Turki menyatakan telah mencabut larangan berhijab bagi para mahasiswa muslimah di lingkungan kampus

Oktober 2010 yang lalu, lembaga peradilan Turki telah mengeluarkan peringatan kerasnya kepada pemerintah Turki yang didominasi partai berhaluan Islam tentang upaya mencabut larangan berjilbab di lingkungan pendidikan. Mahkamah agung Turki menyatakan berjilbab di pusat pendidikan bertentangan dengan doktrin sekularisme dan perundangan Turki.

Sebelumnya, pada tahun 2008 Mahkamah Perlembagaan Turki menghapuskan ketetapan parlemen yang mencabut larangan berjilbab di lingkungan pusat pendidikan. (Ibnu Hasyim)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Berhijab adalah pakaian wanita Islam. Lihat gambar di bawah ini, komen mengenai pakaian wanita-wanita islam di Malaysia yang melakukan kesalahan seperti 'gambar C' di bawah.

Ceramah Di Premis Persendirian, Polis Serbu Tiada Permit?

Eizat, salah seorang ahli Pemuda PAS Titiwangsa telah dikasari sehingga pakaian beliau koyak rabak

KL 9 Dis 11: Ceramah yang diadakan pada malam tadi tidak mendapat permit polis walaupun ceramah akan diadakan di kawasan premis persendirian dan tidak mengikut peraturan. Demikian alasan dari pihak pois.

Salah seorang polis yang mengetuai operasi itu, Azman pula mengatakan bahawa ceramah boleh diteruskan dengan syarat ia dibuat di dalam Pejabat Pusat Khidmat dan tidak boleh menggunakan pembesar suara kerana kononnya akan mengganggu orang lain.

Kerana itu, belum pun sempat Pentas Pemuda yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Titiwangsa bermula, lebih kurang 20 orang anggota polis terus menyerbu Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa kira-kira jam 7 malam tadi. Eizat, salah seorang ahli Pemuda PAS Titiwangsa telah dikasari sehingga pakaian beliau koyak rabak hanya kerana enggan memberikan kad pengenalan kepada pihak polis tanpa sebab. Beliau yang pada masa itu berseorangan, cuba melepaskan diri tetapi ditangkap dan dicekup dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Walaubagaimanapun ceramah akhirnya dapat diteruskan seperti biasa selepas wakil peguam PAS, ZulHazmi berunding sendiri dengan OCPD Zulkarnain. Eizat juga akhirnya dibebaskan kira-kira jam 9 malam dan ketibaan beliau dengan baju yang koyak rabak di sambut dengan laungan takbir oleh pemuda-pemuda PAS.

Antara pemidato yang memberikan ceramah pada malam tersebut dengan tema Masa Untuk Berubah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi, Ahli Parlimen padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria, Ustaz Firdaus Jaafar (MP Jerai) dan Suhaizan Kaiat. Suhaizan dalam ceramah beliau juga turut menegaskan bahawa ceramah pada malam itu sah dan tidak perlu mendapatkan permit polis kerana diadakan di dalam kawasan premis persendirian.

"Kalau ini pun tak boleh, masjid pun tak bolehlah azan, tak bolehlah solat berjemaah sebab tak dapat permit," seloroh beliau.

Eizat dan Pemuda PAS Titiwangsa juga dijangka akan membuat laporan polis di atas tindakan polis yang tidak bertamadun tersbut. "Polis sudah melampau, sepatutnya kejadian seperti ini tidak akan berlaku sekiranya polis bertindak profesional," kata Suhaimi, Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangssa. (Sumber harakahdaily)

Menteri Rogol Amah: PakLah Nafi Arah Tutup Kes


KL, 8 Jan 11: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan beliau pernah mengarahkan supaya menutup insiden pembantu rumah Indonesia, didakwa dirogol oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, empat tahun lalu.

Abdullah (gambar) juga berkata beliau tidak tahu-menahu insiden seumpama itu ketika era pentadbirannya.

Laporan semalam juga menyebut pembantu rumah berkenaan menafikan dia diperkosa oleh Rais, yang turut berada dalam Kabinet Abdullah ketika itu.

“Saya tidak tahu (perkara itu). Saya tidak fikir adanya kejadaian itu,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Kuliah Peringatan Abdullah Yusuf Ali di Kolej Universiti Mahsa di sini.

Dakwaan itu muncul dalam blog pro-Umno bulan lalu mendakwa Rais merogol pembantu rumah berkenaan pada 2007 ketika Abdullah masih merupakan perdana menteri.

Abdullah melepaskan jawatan perdana menteri pada April 2009 dan beberapa blogger menuduh beliau menutup kes tersebut.

Kes itu didawa didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Indonesia Migrant Care.

Laporan Migrant Care yang mengandungi temu bual dengan pembantu rumah berkenaan juga diedarkan menerusi internet.

Abdullah yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah” juga berkata, Rais telah pun mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut.

Sehubungan itu kata beliau, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat dakwaan ke atas Rais jika didapati tidak betul.

Laporan media Indonesia semalam memetik wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Rais selama lapan tahun sehingga 2007 menafikan dakwaan bahawa dirinya pernah diperkosa oleh bekas majikannya itu.

Menurut laporan portal berita detik.com, wanita itu menafikan dakwaan tersebut ketika ditemui empat petugas Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) Semarang.

Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia.

Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Jumhur Hidayat telah dilaporkan memberitahu detikcom mengenai pertemuan ini berdasarkan laporan empat petugas BP3TKI itu.

Sehubungan itu Jumhur menegaskan bahawa kes kononnya berlaku pemerkosaan terhadap pembantu rumah itu oleh Rais, tidak pernah terjadi.

Rabu lepas, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya. (The Malaysian Insider)

Robengah, 46, (kanan), bekas pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang diambil dari laporan portal berita detik.com, di Kuala Lumpur. Gambar itu diambil oleh wartawan di rumahnya di Desa Pagelak, Kecamatan Madukara, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, Jumaat. Robengah menafikan dirinya diperkosa menteri Malaysia itu yang telah menjadi majikannya dari tahun 1999 hingga 2007. Beliau juga membantah keterangan Migrant Care dan media Malaysia dalam temubual bersama BERNAMA semalam.

-------------------------------------------------------------------

Dari Ibnu Hasyim..
E-Buku IH-24: Menteri M'sia Rogol Amah Indonesia? . klik gambar
E-Buku IH-24: Menteri M\

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails