Tuesday, January 11, 2011

Apa Yang Ditakutkan Sangat Buku Dr Mujahid?

Oleh ABD SHUKUR HARUN


SETELAH mendengar pandangan beberapa teman yang sama-sama menjadi pendukung setia PAS selama ini dan berfikir agak lama, saya cuba ‘memberanikan diri’ untuk menyumbangkan sedikit pandangan mengenai isu buku Dr. Mujahid Yusuf Rawa - ‘Menuju PAS Baru’ – Krisis, Peluang dan Dinamisme’ – terbitan Malaysian Insider yang kelihatahnya mulai menjadi polemik di mana pandangan beliau dibantah oleh beberapa pihak di dalam PAS sendiri.

Seperti orang lain yang amat cintakan percambahan fikiran, rasional dan tanpa emosi, saya mengharapkan perbahasan ini – atau apa namapun - biarlah dalam suasana akhlak Islam, terkawal dan dipersembahkan dengan hujah ilmu, bukan emosi.

Pihak yang menentang buku tersebut, mahupun Dr. Mujahid sendiri adalah mereka yang sangat sayangkan PAS dan sama-sama berusaha memperkasa dan memelihara kemurniannya sebagai sebuah jamaah Islam. Pihak yang menentang tentu mempunyai hujah mengapa ia menolak buku tersebut yang mungkin dianggap boleh ‘memudaratkan’ PAS. Demikian pula Dr. Mujahid tentu sekali mempunyai hujah untuk mempertahankan bukunya. Sudah dihuraikannya di majlis pelancaran buku ini dulu bahawa pandangannya itu hanya berupa sebuah ijtihad, boleh saja diterima dan boleh pula tolak. Tidak ada masalah, katanya.

Jika begitu keadaannya maka perbahasan mengenai isu buku ini tentu saja boleh diteruskan, namun perbahasan itu mestilah diuruskan dengan baik, dalam suasana ukhuwah Islamiyah, jauh dari prasangka dan hal-hal negatif. Bukankah berbeza pandangan di dalam Islam itu suatu rahmat, seperti yang ditegaskan oleh hadis Rasulullah s.a.w. di samping banyak contoh lain di dalam sejarah kegemilangan Islam bagaimana berlaku perbezaan pandangan dari kalangan ulama mujtahidin, serta pemikir besar Islam yang lain sejak zaman berzaman di mana hasilnya menjadi warisan tamadun Islam yang sangat berharga.

Dengan itu jika perbahasan mengenai buku ini atau isu-isu lain dalam gerakan Islam diuruskan secara bijaksana, nescaya ia akan memperlihatkan kedinamisme PAS sebagai sebuah harakah Islam kontemporari. Nescaya ia akan dilihat sebagai model terbaik gerakan Islam moden yang sangat terbuka, toleransi, meraikan percambahan idea, bijaksana, sebuah parti Islam yang sangat dinamik. Memang ada sesetengah pihak yang merasa ‘terkejut’ dengan pandangan Dr. Mujahid ini yang mungkin dianggap sebagai suatu ‘penyimpangan’ dari kebiasaan bagi sebuah jamaah Islam.

Mereka tentu saja merasa cemas dan tidak selesa dengan keadaan ini. Sebab itu mereka segera menyanggah apa saja yang meteka lihat sebagai elemen penyimpangan dari perjuangan PAS.
Bagaimanapun, tidak perlulah dikhuatirkan sangat bahawa sebuah buku Dr. Mujahid boleh ‘memecahbelahkan’ PAS. Jika ada tanggapan seperti ini, ia hanya menghantar isyarat seolah-olah dengan sebuah buku boleh ‘menggegarkan’ PAS, justru sepanjang sejarahnya, PAS telah mengharungi gelombang cabaran yang amat jauh lebih besar, namun bahtera PAS tetap utuh hingga kini.

Dalam sebuah perjalanan jauh dan sukar, jamaah Islam seperti PAS akan bertemu dengan pelbagai hal yang tidak diduga dan mengejutkan, dengan cabaran yang tidak putus-putus dihadapinya. Sebab itu, sepanjang sejarahnya sejak ditubuhkan, PAS telah mengalami pelbagai cabaran dan perubahan dalam rentang waktu lebih setengah abad perjuangannya, sehinggalah yang terkini, di mana ia mampu, malah mengisytiharkan, ‘PAS For All’ - langkah yang sangat dinamik dan berhasil meraih sokongan besar dari pelbagai pihak.

Namun betapapun ia sangat terbuka dan toleransi, tetapi PAS tetap berada dalam orbit Islam. Inilah uniknya PAS, sebuah kejayaan luar biasa di bawah pimpinan yang sangat dinamik. Ia tidak lagi memberikan keutamaan kepada form, tetapi kepada substans – tidak kepada label tetapi kepada isi. Kejayaannya ini terserlah dalam tsunami politik PRU Ke-12 2008 dulu. Ini menyebabkan musuh politik PAS ‘kelu lidah untuk berkata’. Inilah hasil keterbukaan dan dinamisme PAS, meninggalkan jauh kebelakang pemikiran politik perkauman yang masih diamalkan oleh musuh-musuh PAS hingga kini.

Namun seperti sebuah kafilah, PAS masih meneruskan perjalanan yang jauh dan mencabar dan sudah pasti pula akan bertemu dengan suasana, iklim politik dan sebagainya yang berbeza disepanjang perjalanan itu. Di sinilah sekali lagi kebijaksanaan PAS dituntut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana baru ini. Di sinilah, saya fikir, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, seakan-akan berdiri dan memberikan isyarat bahawa PAS seharunya mempersiapkan diri dengan suasana baru yang dilihatnya akan ditempuh tanpa berkompromi dengan dasar asasnya.

Tentu saja pemberi isyarat ini bukan musuh PAS, ia adalah rakan seperjuangan yang amat setia, yang hanya mengingatkan kita bahawa di depan itu suatu perubahan yang perlu ditangani secara bijaksana. Ia merasa terpanggil untuk memberikan isyarat kepada jamaah. Oleh itu tidak syak lagi, perbahasan mengenai buku beliau ini bukan untuk menentukan kalah menang, bukan juga untuk melepaskan letusan emosi, tetapi ia sebuah perbahasan yang diharapkan berjalan atas landasan hujah ilmu dan akhlak Islam.

Jika perbahasan ini berjalan seperti yang diharapkan, saya tidak fikir akan menyebabkan perbalahan sesama sendiri di dalam PAS. Bukankah PAS sendiri didukung oleh mereka yang matang dan boleh berfikir, yang disebut di dalam Al-Quran ‘Liqaumin-Yatafakkarun’, mereka yang terpelajar dan amat setia dengan perjuangan parti. Justru jika perbahasan ilmiah mengenai buku ini berlansung, maka hujah kedua belah pihak akan menjadi dokumintasi ilmu dan hazanah warisan PAS yang berharga bahawa di dalam sejarah perjuangan gerakan Islam ini, telah berlaku suatu perbahasan ilmu yang sangat dinamik.

Mungkin saja pelbagai golongan di Malaysia berminat menyaksikan jalannya perbahasan ini – sebuah perbahasan yang tidak mungkin dapat ditemui dalam mana-mana parti sekular - justru perbahasan ini berpaksikan fikrah dan pendekatan Islam. Dan inilah dinamisme Islam yang diserlahkan oleh PAS.

Benar, mungkin ada sedikit kekhuatiran jika polemik ini akan dijadikan senjata oleh musuh politik PAS untuk memecahbelahkannya. Janganlah dikhuatirkan, justru usaha mereka untuk melumpuhkan PAS selama ini tidak berjaya malah PAS bertambah utuh seperti yang saya nyatakan tadi, malah perbahasan ilmu seperti inilah antara ciri-ciri kekuatan PAS untuk berhujah di medan manapun.

Sila lihat secara keseluruhan..

E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'

E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'

Tutup Kedai, Balik India: ADUN Komtar Sedia Letak Jawatan..

Ng Wei Aik

GEORGE TOWN, 10 Jan 10: Setiausaha politik Lim Guan Eng, Ng Wei Aik, yang didakwa berkata “tutup kedai, balik India” terhadap seorang pengusaha restoran nasi kandar di sini, bersedia untuk meletakkan jawatan jika ada bukti beliau mengeluarkan kenyataan berbaur rasis itu.

Minggu lalu, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) mendesak Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar agar memohon maaf berhubung dakwaan beliau mengeluarkan ungkapan seumpama itu 2 Januari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Kimma Pulau Pinang, Faruk Raja Mohamed berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Ng, setiausaha politik kepada Ketua Menteri berbuat demikian dan menarik balik kata-kata unsur perkauman itu.

Laporan media sebelum ini menyebut, Ng mengeluarkan ungkapan itu kepada Syed Kasali Mohamed Aliyar, 42, ketika pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang menjalankan operasi menyita barang-barang kedai.

Ng telah menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menunjukkan rakaman video bagi mempertahankan pendirian beliau.

“Ini jelas satu pembohongan... fitnah dan dakwaan liar yang saya tidak boleh terima,” kata beliau pada sidang media hari ini.

“Jika ada bukti bahawa saya mengatakan kata-kata itu, saya dengan segera akan meletakkan jawatan saya sebagai setiausaha politik,” kata beliau.

Ng juga berkata, beliau akan menghantar surat kepada Kimma meminta mereka memohon maaf dalam seminggu atau berhadapan dengan tindakan susulan.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perbuatan kasar Ng sebagai tindakan yang angkuh.

Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata adalah tidak wajar bagi Ng mencampuri urusan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan sendiri terhadap Syed Kassali.

“Dulu mereka (DAP) tuduh kita sombong, kita (Umno) angkuh, rupa-rupanya mereka yang angkuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas hari ini.

Abdullah berkata Ng sepatutnya hanya perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika beliau mendapati peniaga berkenaan melakukan sebarang kesalahan undang-undang.

“Di mana-mana pun kita tak boleh guna kekuatan sendiri. Kalau tidak merujuk kepada apa-apa peraturan yang telah ditetapkan, tak boleh dan itu tak kena cara,” kata beliau dipetik Bernama.

K/Perpaduan: UMNO Ibarat Anjing Kurus? -Nik Aziz

Shah Alam 11 Jan 11: "Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik." Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengingatkan balik pepatah Arab mengenai sejarah kerajaan campuran UMNO-PAS atau kerajaan perpaduan yang diharap-harapkan oleh UMNO.

Katanya lagi ketika berpidato pada majilis solat hajat perdana di Stadium Melawati, Shah Alam, Ahad lepas. "Oleh yang demikian bila dia (UMNO) minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak," tegas beliau.

Menyentuh pengkhianatan Umno ketika PAS menjadi komponen BN sebelum ini, kata beliau "Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak. "Bila masuk dia tendang kita.." Ucap Nik Aziz.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kontroversi pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu sudah selesai. Katanya, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum.

“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula pada sidang media yang sama berkata pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata ahli parlimen Marang itu.

Sebelum ini, Nik Aziz juga menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi. “Tak ada dah, tutup 'book' (buku) dah,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah UMNO ibarat anjing kurus sekarang? (IH)

Lihat sebelum ini..

Monday, January 10, 2011

Menteri Rogol Amah: Tutup Kes


KL, 10 Jan 11: Kisah Menteri rogol amah, kini sudah tidak jadi perbualan lagi. Setakat ini, boleh tutup kes, kerana..

Satu: Datuk Seri Rais Yatim memutuskan untuk berdiam diri berhubung perkembangan terbaru dakwaan insiden rogol walaupun bekas pembantunya sudah pun menafikan perkara tersebut. Rais (gambar) enggan mengulas apa-apa mengenai penafian tersebut yang dibuat pembantu rumahnya di Indonesia, Jumaat lalu. “Tiada komen. Saya ada perkara lain untuk hadir,” kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Rabu lalu, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya.

Kedua: Dalam kenyataannya Jumaat lalu, wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu selama lapan tahun sehingga 2007 menafikan dakwaan bahawa dirinya pernah diperkosa oleh bekas majikannya itu. Menurut laporan portal berita detik.com hari ini, wanita itu menafikan dakwaan tersebut ketika ditemui empat petugas Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) Semarang.

Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia. “Saya bekerja selama lapan tahun di rumah Datuk. Selama itu baik-baik saja, tidak pernah ada permasalahan, apalagi terkait perlakuan kasar serta tidak senonoh terhadap saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Jumhur Hidayat telah dilaporkan memberitahu detikcom mengenai pertemuan ini berdasarkan laporan empat petugas BP3TKI itu.

Ketiga: Malah Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mempertikaikan mengapa perkara tersebut ditimbulkan sekarang.

Keempat: Kelmarin, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan beliau mengarahkan kes itu ditutup kerana tidak mengetahui kewujudkan insiden sedemikian ketika masih menjadi perdana menteri.

Sekian. menurut weblog Ibnu Hasyim.

Dari Ibnu Hasyim..
E-Buku IH-24: Menteri M'sia Rogol Amah Indonesia? . klik gambar
E-Buku IH-24: Menteri M\

Jadikah Wanita Lawan Wanita Di Tenang?

KL, 10 Jan 11: Jadi atau tidak wanita lawan wanita dalam pilihan raya kecil di Tenang hujung bulan ini. PAS dipercayai telah memutuskan antara Exco Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Johor untuk mewakili Pakatan Rakyat di kerusi tersebut.

Difahamkan kepimpinan parti itu telah menyenaraipendekkan Firdaus Masod dan Normala Sudirman untuk membawa cabaran di Tenang. Firdaus merupakan seorang peguam manakala Normala pula berkhidmat sebagai guru. Masing-masing berusia awal 30-an. Normala juga merupakan exco Dewan Muslimat PAS pusat.

BN dipercayai akan meletakkan calon wanita bagi kerusi itu. BN dipercayai akan meletakkan calon wanita bagi kerusi itu. Menurut sumber, tindakan itu ada kaitan dengan lobi MCA yang dilakukan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga adalah bekas ahli parlimen Labis. Pada pilihan raya umum lalu anak beliau menjadi calon BN dan menang.

Jika dipilih sebagai calon, ini merupakan kali kedua Firdaus bertanding pada pilihan raya. Beliau pernah mencuba nasib di Buloh Kasap, salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Segamat, pada 8 Mac 2008 tetapi tewas di tangan calon Umno-BN Othman Jais dengan perbezaan 4,466 undi.

Normala merupakan anak tempatan yang lahir di Labis. Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Zulkifli Ahmad enggan membayangkan sama ada kedua-dua mereka menjadi pilihan kepimpinan untuk membawa cabaran kali ini.

“Itu tekaan sahaja. Apa pun kami akan meletakkan calon yang boleh membawa kemenangan, itu pertimbangan kami,” kata beliau.

“Kawasan ini mempunyai hampir 50 peratus pengundi Melayu dengan tiga kawasan Felda, jadi semua faktor kena diambil kira untuk membawa kemenangan,” katanya.

Calon pilihan yang muktamad akan diumumkan Ahad ini, kata Zulkifli yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil kali ini. Ia dijangka diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Laporan Harakahdaily menyebut, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, besar kemungkinan menyaksikan pertembungan antara wanita apabila BN dikatakan akan mengemukakan calon wanita manakala PAS juga mempertimbangkan dua calon iaitu antara seorang lelaki dan seorang wanita.

“Mesyuarat (semalam) telah membuat keputusan calon yang akan mewakili PAS tetapi ia hanya akan diumumkan 16 Januari ini di Tenang,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Kerusi Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu. Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di Johor, Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi. (IH)

Lihat sebelum ini...

Blogger 'Langgar Hadi' Dikasari Di Masjid Rusila.

KL 10 Jan 11: Sekumpulan jemaah masjid, dipercayai penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa mengasari seorang penulis blog (antara penggerak kempen "PAS Reform" dan "Langgar Hadi") yang cuba mendapatkan beberapa penjelasan daripada presiden PAS itu.

Khairul Nizam Abd Ghani mendakwa, dalam insiden dekat rumah Abdul Hadi di Marang pada 7 Januari lalu, beliau turut dikurung seketika di pejabat masjid berdekatan dan telefon bimbitnya dirampas. NONE Sehubungan itu, beliau yang terkenal dengan nama pena Aduka Taruna membuat laporan polis di Balai Polis Marang kira-kira jam tiga petang, sejurus selepas peristiwa itu.

"Dalam kejadian itu, kira-kira tujuh atau lapan orang mengepung saya. Saya rasa dipukul daripada belakang dua kali," dakwanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Khairul Nizam mendakwa, kesan daripada itu, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berdekatan kerana telinganya mengeluarkan sejenis cecair.

Menceritakan kembali pengalamannya, Khairul Nizam mendakwa, selepas solat Jumaat di Masjid Rusila dekat rumah Hadi, beliau menghampiri pemimpin itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno yang meletus selepas pilihan raya umum lalu. Oleh kerana tidak dilayan, beliau terus mengikuti pemimpin utama parti Islam itu hingga ke hadapan rumahnya - 15 meter dari masjid - sambil bertanya soalan dan merakamkan pergerakan Hadi menggunakan kamera telefon bimbit.

"Kemudian saya ditahan dalam sebuah bilik sebelum dibebaskan tidak lama kemudian," dakwanya.

Anjur rombongan
Setiausaha politik Abdul Hadi, Dr Samsuri Mokhtar, engggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. "Saya dengar ada laporan-laporan polis dibuat oleh Aduka terhadap kesnya dan (laporan) penduduk Rusila terhadap Aduka.

"Jadi oleh kerana ianya dalam siasatan, saya tidak akan komen," kata Dr Samsuri.

Khairul Nizam merupakan antara penulis blog pro Pakatan Rakyat yang menentang kuat idea kerajaan perpaduan. Beliau juga antara penggerak kempen "PAS Reform" dan "Langgar Hadi". Dalam usaha itu, beliau mahu bertemu dan berdialog dan merekodkannya dalam bentuk video. Percubaan sulungnya di muktamar PAS Jun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan juga mengalami kegagalan, tetapi tidak berakhir dengan kekasaran.

Khairul Nizam mula mendapat perhatian selepas didakwa menghina bekas Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail dalam tulisannya di blog awal pada Januari tahun lalu. Selepas kejadian itu, Khairun Nizam tetap tidak mengalah dan mahu meneruskan usaha menemui Hadi, malah mahu membawa rombongan penulis blog dan pengguna Facebook selepas ini.

"Kami akan cuba mengumpulkan blogger dan Facebooker 'otai' engan blogger dan Facebooker baru, dalam satu tarikh, bersama-sama, bertanya soalan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, di Rusila," tulisnya dalam blog. (Sumber Malaysiakini)

80% Anak Indonesia Berfikiran Negatif

Jakarta 10 Jan 11: Hasil survei Pusat Inteligensia Kesehatan Kementerian Kesehatan menyatakan, mayoritas anak Indonesia berpikiran negatif yang dikategorikan sebagai pola pikir tidak sehat. “Sebanyak 80 persen dari 3.000 responden menggambarkan cara berpikir negatif atau mental block. Ini adalah bentuk kegagalan pertumbuhan otak dari kecil,” kata Kepala Subbidang Pemeliharaan dan Peningkatan Kemampuan Inteligensia Anak Kemenkes Gunawan Bam seusai temu media di Gedung Kemenkes, Jakarta.

Pengaruh pergaulan dunia maya seringkali menjadikan perilaku tak wajar anak

Pusat Inteligensia Kesehatan melakukan survei terhadap anak sekolah, dari tingkat SD hingga SMA, untuk mengetahui kondisi perkembangan otak anak Indonesia. Kondisi pikiran yang serba negatif itu, ujar Gunawan, sebagai salah satu akibat dari “keracunan otak” akibat ulah orangtuanya. “Kondisi yang tidak kondusif. Orangtua pemarah bisa berpengaruh langsung ke kondisi kesehatan otak anak,” katanya.

Ia mencontohkan, jika orangtua berbohong atau marah kepada anak, hal itu dapat menyebabkan otak anak menjadi menyusut. Kondisi semacam itu, jika diteruskan, akan mencegah terjadinya pertumbuhan otak normal. “Ini adalah bentuk kegagalan dari kecil. Sama seperti anak tidak matang dalam merasa, meraba, melihat,” ujar Gunawan. Namun, ia mengatakan, hal itu bukannya tidak dapat diperbaiki. Beberapa perbaikan sensomotorik dapat dilakukan untuk kembali meningkatkan kesehatan dan perkembangan otak.

Kemenkes juga akan melakukan brain assessment kepada pegawai pemerintahan bekerja sama dengan Kementerian Aparatur Negara. “Mudah-mudahan tahun ini akan kita mulai. Paling tidak akan kita awali tahun ini,” kata Kepala Pusat Inteligensia Kesehatan Kemenkes dr Kemas M Akib Aman, SpR, MARS. Tiga instrumen yang diamati dalam brain assessment itu adalah neuro-behaviour, psikologi dan psikiatri.

Metode yang dikembangkan Pusat Inteligensia Kesehatan ini telah divalidasi pada sejumlah responden di sembilan provinsi, yaitu Sumatera Barat, Nanggroe Aceh Darussalam, DI Yogyakarta, Jawa Barat, Bali, Jawa Timur, Jawa Tengah, Maluku, dan Nusa Tenggara Barat. (Sumber)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails