Sunday, February 20, 2011

Siri III: Isu Melayu, Berdepan Atau Mengelak -Saifuddin Nasution

pas convention shah alam 190211 crowd story image

Sambungan Siri II: Cadangan Pada Realiti PAS -Wong Chin Huat

Seorang lagi anggota panel, Saifuddin Nasution berkata, PAS kini perlu memilih sama ada untuk berdepan dengan Umno dalam isu-isu melibatkan kaum Melayu atau terus mengelak daripada membicarakan soal berkenaan.

Setiausaha agung PKR itu berkata, PAS perlu membuat pilihan itu memandangkan Umno akan terus mendapat kelebihan apabila isu seperti itu dibangkitkan.

Isu berkenaan akan terus menghantui PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya tidak dihadapi.

"Kalau elak, belum tentu sokongan bertambah. Tapi kalau berdepan, belum tentu akan kurangkan undi Melayu," katanya lagi dalam sesi perbincangan sama.

Jelasnya, PAS perlu menggariskan strategi bagi "memusnahkan" dogma berhubung slogan Ketuanan Melayu sekiranya parti itu memilih untuk berdepan dengan Umno dan "NGO lain seirasnya" dalam soal melibatkan kepentingan masyarakat itu,

"Risikonya besar," kata Saifuddin lagi yang menegaskan bahawa, PAS perlu mempunyai strategi bagi menghadapi isu yang berbentuk emotif seperti itu.

PAS juga perlu mengenalpasti kumpulan sasarannya untuk menjelaskan isu berkenaan. Kumpulan yang paling terkesan dari sudut emosi berhubung isu seperti ini ialah golongan muda dan masyarakat Melayu berpendapatan rendah.

Dalam usaha itu, PAS perlu menghadapi NGO yang terdiri daripada golongan menengah seperti PERKASA yang menjuarai isu tersebut, kata Saifuddin lagi.

Terdahulu, satu lagi kertas kerja bertajuk 53 Tahun Merdeka-Hak Melayu Terhakis telah dibentangkan oleh seorang lagi pemikir, Professor Abu Bakar Abdul Hamid.

Ia turut dibincangkan oleh dua ahli panel – ahli jawatankuasa PAS pusat Datuk Kamarudin Jaffar dan juga presiden Teras Pengupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid. (IH/Sumber: PAS bentuk piagam untuk upayakan Melayu-Malaysiakini)

Selesai.

Siri II: Cadangan Pada Realiti PAS -Wong Chin Huat

pas convention shah alam 190211 nik abdul aziz nik mat at podiumSambungan Siri I: Piagam Upayakan Melayu -Abdul Hadi

Pembentangan itu turut dibincangkan oleh anggota panel yang mengulas hujah Abdul Hadi daripada sudut pandangan berbeza.

Salah seorang anggota panel itu, Wong Chin Huat berkata, PAS perlu berhadapan dengan dakwaan seperti itu dalam menempuh realiti baru dalam lanskap politik semasa.

Katanya, perubahan lanskap politik ini boleh dilihat berdasarkan pencapaian PAS di kawasan-kawasan yang ditandingi parti itu sejak tahun 1955.

Sejak tahun itu, PAS sentiasa menang di kawasan yang majoriti pengundinya dibentuk oleh masyarakat Melayu-Islam, kata Wong.

Namun, realiti kini menunjukkan bahawa kawasan parlimen yang mencatat prestasi paling baik ketika pilihan raya umum 2008 ialah kawasan Kota Raja di mana majoriti pengundinya terdiri daripada bukan Islam.

Katanya, PAS boleh menangkis persepsi seperti itu dengan menjadi sebuah parti Islam demokrat.

Jelasnya, melalui pendekatan itu, PAS perlu menjamin nilai-nilai konservatif yang sesuai dengan nilai daripada agama konservatif lain.

Isu-isu seperti pengambilan arak, kegiatan maksiat dan judu, umpamanya, perlu dijelaskan dengan alasan yang munasabah mengikut fahaman lain.

Kesannya, PAS akan mendapat manfaat dalam menyebarkan nilai Islam dan juga bagi meraih pengaruh daripada golongan muda.

"PAS masih belum kuat dalam generasi muda. Masih belum ramai generasi muda yang dapat bercakap dalam bahasa yang sama dengan PAS.

"Orang muda ini lebih suka dipujuk dan bukannya dipaksa," katanya lagi.

Penjelasan Wong itu dipercayai berhubung pendekatan yang sering diambil PAS dalam menangani kegiatan anak muda seperti bantahan yang dilakukan oleh sayap pemuda parti itu ke atas penganjuran konsert dan juga sambutan Hari Valentine. (IH/Sumber: PAS bentuk piagam untuk upayakan Melayu-Malaysiakini)

Siri I: Piagam Upayakan Melayu -Abdul Hadi

pas convention shah alam 190211 panelists

SHAH ALAM, 19 Feb 11: PAS hari ini membentuk satu piagam yang menggariskan jaminan parti itu ke atas komitmen mengupayakan bangsa Melayu.

Jaminan berkenaan dikemukakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kertas kerja yang dibentangkan terdahulu dalam satu konvensyen di Shah Alam hari ini.

Kertas kerja itu menumpukan jaminan PAS dari sudut kedudukan politik, kedudukan ekonomi dan kedudukan agama Islam.

Konvensyen hari ini juga diadakan bagi melaksana strategi serampang dua mata PAS, mengukuhkan sokongan pengundi tradisi Melayu-Islam dan meraih sokongan pengundi baru dari kalangan warga muda.

Dalam kertas kerja itu, Abdul Hadi menekankan "penyahan prejudis" terhadap PAS serta usaha untuk menjelaskan "cita-cita murni" parti itu dan juga menghadapi persepsi yang tergambar ke atasnya.

Abdul Hadi menyatakan, persepsi itu termasuk "PAS kononnya luntur dalam perjuangan Islamnya kerana diperkudakan rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya DAP" (IH/Sumber: PAS bentuk piagam untuk upayakan Melayu-Malaysiakini)

Malaysia Baru: 12 Resolusi Jaminan PAS



SHAH ALAM, 19 Feb 11: PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.

Dua belas jaminan ini terkandung dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar. PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:

1. PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;

2. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;

3. PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu;

4. PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;

5. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;

6. PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;

7. PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;

8. PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga kepimpinan komuniti;

9. PAS tetap mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan ekonomi Melayu;

10. PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;

11. PAS tetap mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan dan;

12. PAS akan terus berusaha memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang. (IH)

Kalau Tegakkan Melayu Memang Tak Selamat -Abd Hadi

SHAH ALAM, 19 Feb 11: Kalau tegakkan Melayu memang tidak selamat, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau juga menegaskan nasib orang Melayu di negara ini akan terjamin sekiranya berpegang teguh kepada ajaran Islam bukannya Ketuanan Melayu yang dilaungkan Umno-BN.

Beliau (gambar) berkata Islam tidak mengamalkan konsep Ketuanan Melayu seperti mana yang dibawa Umno.

“Kalau orang Melayu nak selamat, mesti tegakkan Islam baru selamat.

“Kalau tegakkan Melayu memang tak selamat,” kata beliau pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS hari ini. Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Islam yang diturunkan Allah SWT merupakan satu amanat kepada orang Melayu.

“Islam namakan kepimpinan sebagai amanat, sebab itu kepimpinan Islam tidak amalkan konsep menghambakan orang.

“Selain itu, kepimpinan Islam tak semestinya didokong hanya orang Islam, Islam tidak fokus hanya kepada kaum tertentu sahaja,” katanya. (IH)

Artis Pasangan Siti Norhaliza Wakaf Masjid RM1.7J


WAJAH ceria Khalid dan Siti Nurhaliza selepas majlis perasmian Masjid Al-Khalidiah di Sungai Petani semalam.

HALAMAN HIBURAN

Siti bersama suami

SUNGAI PETANI: Setahun selepas beliau berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 2006, penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah menyatakan impiannya untuk membina masjid.

Impiannya itu tercapai semalam apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir di sini.

Masjid berwarna putih dengan kos keseluruhan termasuk kelengkapan bernilai RM1.7 juta itu siap sepenuhnya pada Ogos tahun lalu hasil pembiayaan Yayasan Nurjiwa, badan kebajikan yang diilhamkan oleh pasangan berkenaan pada 2006.

Majlis perasmian itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Johan Qari Negeri Kedah 2010, Othman Azumi Ahmad.

Siti Nurhaliza bersyukur kerana proses pembinaan masjid itu selesai dengan majlis perasmiannya semalam yang kebetulan sama dengan tarikh lahir yang ke-52 suaminya.

“Apabila kami berurusan dengan pejabat Istana, tarikh yang Tuanku pilih adalah hari ini (semalam) iaitu 19 Februari. (Kosmo)

Bahrain: Pendemo Kembali Ke Dataran Pearl


BEBERAPA penunjuk perasaan meraikan kejayaan mereka sejurus tentera Bahrain berundur dari Dataran Pearl di Manama semalam.

MANAMA - Polis Bahrain menembak gas pemedih mata semalam untuk menyuraikan tunjuk perasaan anti-pemerintah di Dataran Pearl, di sini, sejurus tentera berundur dari kawasan tersebut. Tindakan itu dilakukan selepas ratusan penunjuk perasaan kembali ke dataran tersebut dengan menaiki kereta dan berjalan kaki.

Polis kemudian dilihat menaiki bas-bas yang membawa mereka dan berundur dari dataran tersebut. Beberapa jam sebelumnya, deretan kereta kebal dan lain-lain kenderaan tentera dilihat berundur dari Dataran Pearl di sini bagi memenuhi tuntutan pihak pembangkang.

Pengunduran itu dilakukan selepas pihak pembangkang menegaskan bahawa mereka hanya akan berunding dengan pemerintah Bahrain, Raja Hamad Isa al-Khalifa, mengenai konflik politik yang melanda negara itu, jika tentera diundurkan.

"Tentera akan berkawal di luar Manama dan polis akan bertugas mengembalikan ketenteraman awam," kata seorang pegawai keselamatan.

Kelmarin, beribu-ribu orang, termasuk pengikut Sunnah dan Syiah, berhimpun di Dataran Pearl untuk menyingkirkan keluarga diraja Bahrain dan mengembalikan pemerintahan awam. Dalam demonstrasi besar-besaran itu, empat orang terbunuh manakala 85 orang cedera selepas polis menembak peluru hidup ke arah para penunjuk perasaan.

Tindakan polis itu berakhir dengan tentera dikerahkan untuk mengawal Dataran Pearl bagi mengelakkan demonstrasi daripada berulang. - Agensi

E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails