Sunday, June 05, 2011

Usul-Usul Muktamar PAS 57

1. Himpunan BERSIH 2 (PAS Pusat)

• Menyedari ruang demokrasi semakin terhimpit oleh kerajaan BN, walaupun negara hampir mencapai kemerdekaan negara 54 tahun.

• Menyedari BN takut bertarung secara anak jantan di gelanggang yang sama rata dengan memperalatkan SPR.

• Menyedari tuntutan BERSIH 1 belum dilaksanakan,

1. Akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik
2.Melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.
3.Memansuhkan sistem undi pos
4.Umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Menggesa seluruh rakyat Malaysia daripada berbagai peringkat menyertai BERSIH 2 pada 9 Julai 2011 di Bandaraya Kuala Lumpur.

• Menggerak semua organ parti dan semua lapisan pimpinan parti Pas, PR dan NGO untuk menjayakan himpunan tersebut.

2. Usul Mengutuk Fitnah Menggunakan Video (Dewan Ulamak)

• Menyedari bahawa fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seorang.

• Menyedari bahawa tindakan ini adalah tindakan yang tidak bermoral setelah tidak mampu berhadapan dengan hujah fakta dan data.

• Menginsafi bahawa tindakan. menggunakan video dan media baru sebagai saluran untuk menyebarkan fitnah untuk kepentingan politik adalah lambang keruntuhan tamaddun sebuah negara dan bangsa.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah di dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.

• Mengutuk sikap membisu di kalangan ulamak rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka.

3. Usul Pemalsuan Kad Pengenalan (Dewan Pemuda)

• Menyedari bahawa Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bakal menjadi medan pertarungan paling sengit dalam sejarah politik Malaysia di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

• Menyedari bahawa UMNO/BN sepertimana track record yang lalu, akan sanggup menggunakan apa jua cara by hook or by crook, untuk mengekalkan kuasa di tangan mereka terutama selepas mereka dilanggar tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008.

• Menyedari bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini, sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutamanya kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari ianya bukan satu rahsia lagi bahawa komplot dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui 'Projek I.C' pada tahun 1980 an dan 1990 an bagi menumbangkan Kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pada ketika itu di mana ratusan ribu pendatang tanpa izin dan penduduk tetap diberikan hak kerakyatan dan kad pengenalan dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil unholly alliance antara UMNO/Barisan Nasional dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa.

• Menyedari bahawa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

• Menyedari bahawa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara ini.

• Menginsafi bahawa jika perkara ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan tegas diambil, ianya bakal menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat tewas teruk termasuk terlepas negeri-negeri yang dikuasai dalam Pilihanraya akan datang.

• Menginsafi bahawa keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai ini akan juga terancam jika pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran untuk tujuan politik ini tidak dihentikan,

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

Mengambil ketetapan bahawa:
a. Mendesak supaya satu Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat perkara ini ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di mana ahli-ahli suruhanjaya tersebut dilantik dari kalangan mereka yang berwibawa, bebas dan berkecuali.

b. Menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga Jabatan Pendaftaran Negara khususnya mendedahkan secara terperinci statistik berapakah jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

c. Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku.

d. Sekiranya keadaan mendesak, PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil satu tindakan undang-undang diambil terhadap JPN dan/atau SPR dan pada masa yang sama memohon satu perintaah injunksi sementara diambil bagi menggantung segala proses pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

e. Memasukkan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini sebagai salah satu tuntutan di dalam agenda Bersih 2.0 yang akan mengadakan perhimpunan Bersih 2 pada 9hb Julai 2011.

4. Usul Dewan Muslimat PAS Pusat (Usul Pendidikan)

• Menyedari hampir keseluruhan umat lslam hari ini keliru dan terpedaya dengan kemilau sinar pendidikan yang berbentuk sekularisme hasilnya kita sedang menyaksikan insan yang berperibadi terpisah (split personality) , separa sedar (sub-conscious) hilang daya tahan dan daya juang

• Menyedari senario keruntuhan akhlak yang amat parah di setiap peringkat umur, malah yang lebih menakutkan ialah mereka yang terpelajar tetapi berani melawan perintah Allah SWT dan tidak yakin dengan balasan akhirat.

• Menyedari Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1989 dengan meletakan TAUHID sebagai asas terulung kepada falsafah dan struktur pendidikan Negara. Konsep Bersepadu di antara aqidah, ilmu, kemahiran, akhlak, nilai-nilai murni, aspek local dan global serta dunia dan akhirat menjadi wasilah dalam pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara.

• Menyedari Subjek Pendidikan Islam dan Moral telah menjadi subjek teras di setiap peringkat persekolahan kerana subjek Pendidikan Islam adalah satu-satunya subjek yang mampu membangunkan diri manusia secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.

• Menyedari Sistem Pendidikan Negara berorientasikan peperiksaan, maka matapelajaran Pendidikan Islam sekadar matapelajaran teras untuk dipelajari sahaja dan dijawab oleh pelajar di dewan peperiksan semata-mata, maka pengajaran dan pembelajarannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia tidak dianggap penting sama sekali terutama dalam menentukan syarat pensijilan bagi setiap tahap peperiksaan (UPSR, PMR dan SPM), malah ia dianggap subjek yang tidak langsung mempunyai nilai ekonomi dan keperluan pasaraan kerja. Hasilannya tidak seorang pun boleh menafikan kegagalan Sistem Pendidikan Negara dalam melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada 1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011 mengusulkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan

1. Meminda syarat pensijilan di peringkat UPSR, PMR dan SPM dengan menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai syarat asas pensijilan bagi pelajar-pelajar beragama Islam.

2. Meneruskan matapelajaran j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.

3. Mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran kepada semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR, dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.

5. Usul Mengenai Membantah Pengurangan Subsidi (Pandan Selangor)

• Menyedari tanggungjawab kerajaan ialah khadam rakyat yang dipertanggungjawab untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

• Menyedari bahawa tugas kerajaan perlu memikirkan untuk kebajikan rakyat, bukan menekan rakyat.

• Menyedari bahawa hasil negara yang begitu banyak yang Allah anugerahkan kepada negara ini, malangnya telah berlaku penyelewingan dan rasuah sehingga pemimpin BN mengambil jalan pintas mengurangkan subsidi untuk rakyat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Membantah tindakan kerajaan BN yang mengurangkan subsidi sehingga memberi kesan kepada rakyat. Apabila kerajaan menaikkan harga petrol dan letrik ia akan memberi kesan kepada rakyat walaupun kerajaan cuba bermain silap mata kononnya 75% rakyat tidak terjejas dengan kenaikan tarif letrik seolah-olah rakyat tidak membeli barang keperluan dapur yang menggunakan pengangkutan dan industri yang menggunakan letrik. Semua bebanan ini akan ditanggung oleh rakyat melalui "kesan berantai".

• Mengutuk tindakan kerajaan BN menarik subsidi gula RM116.6 juta sehingga berlaku kenaikan harga sebanyak 20 sen. Untuk 27 juta rakyat ditarik subsidi, sedangkan untuk PERMATA yang bukan sebuah kementerian diberi sebanyak RM111 juta.

6. Usul Kebajikan Bekas Anggota Tentera (Tenggara Johor)

• Menginsafi anggota tentera yang banyak menyumbang bakti kepada negara sehingga anasir surversif tidak boleh bermaharajalela di negara ini.

• Menginsafi banyak kebajikan bekas anggota terabai, sedangkan mereka pernah menyabung nyawa untuk keamanan negara samaada ketika aman atau dharurat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011 mengusulkan,

• Supaya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menubuhkan Sekretariat Kebajikan Tentera Dan Veteran Malaysia (KERABAT) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri untuk memastikan kebajikan bekas pasukan tentera terjamin.

(IH)

Zina Sekitaran Begini, Masih UMNO Tak Salah?

SESAL... Azy (kiri) dan Laili mencerita kesilapan lalu mereka.
SESAL... Azy (kiri) dan Laili mencerita kesilapan lalu mereka.

KL 5Jun 11: Pengajaran dan peringatan buat ibu bapa apabila seorang gadis mengaku melakukan hubungan seks sehingga lima kali seminggu dengan teman lelaki seusia di rumah kedua-dua keluarga mereka ketika masing-masing baru berusia 14 tahun.

Lebih mengejutkan, Azy, kini berusia 16 tahun, mengaku pernah ‘tidur’ dengan lapan lelaki sepanjang dua tahun terbabit dalam hubungan terlarang itu. Menurut gadis berasal dari Pantai Timur itu, kali pertama dia melakukan seks di rumah teman lelaki seusia dengannya dan sejak itu sering melakukannya apabila ada kesempatan.

“Dalam seminggu, boleh dikatakan empat hingga lima kali saya melakukan hubungan seks dengannya.

“Lokasinya juga tidak tentu. Oleh kerana saya tinggal berdua di rumah nenek, ada masanya saya bawa teman lelaki pulang atau melakukannya di rumah teman lelaki apabila ibu bapanya tiada,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Azy berkata, sejak mengenali seks pada usia 14 tahun, lapan lelaki ditiduri untuk memuaskan nafsunya. Katanya, sebagai pelajar yang sering ponteng dan melepak bersama rakan, bertukar teman lelaki adalah kebiasaan.

“Bila sudah tidak suka teman lelaki pada masa itu, saya cari yang lain dan tak susah mendapat teman baru.

“Cukup dengan menawarkan diri untuk ditiduri, senang-senang saya dapat teman baru,” katanya yang melahirkan anak tidak sah taraf, baru-baru ini.

Walaupun sering bertukar pasangan dan melakukannya dengan rakan rapat lain, Azy mengakui tidak pernah hamil anak luar nikah, dan ini kali pertama dia mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya yang tinggal berjiran.

“Sejak pertama kali tahu mengenai seks, kami tidak pernah guna kondom atau pil pencegah hamil. Saya juga tidak pernah terfikir akan hamil kerana hanya tahu seronok melakukannya,” katanya.

Menurut Azy, sebelum disahkan mengandung, ibu bapanya tidak tahu dia terbabit dalam gejala sosial dan antara pelajar bermasalah di sekolah. Katanya, oleh kerana melakukannya bersama rakan lain, setiap perbuatan dilaporkan berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Biasanya, bila saya ditahan polis seperti bergaduh atau cikgu mengadu kepada ibu bapa... kawan menjadi penyelamat.

“Saya dan rakan berpakat untuk mereka cerita lain hinggalah ibu bapa kami percaya kami tidak bersalah. Sama seperti bila ditahan kerana bergaduh, kami berpakat bahawa kami bergaduh untuk mempertahankan rakan yang dibuli pelajar lain,” katanya.

Menurut Azy, dia disahkan hamil ketika pemeriksaan di klinik selepas neneknya mengadu mengenai perbezaan bentuk tubuhnya kepada ibunya.

“Sebenarnya, keluarga tak tahu saya terbabit dalam perlakuan tidak bermoral kerana di rumah, saya lebih banyak mendiamkan diri dan membantu keluarga bila disuruh melakukan kerja rumah.

“Semua perkara buruk itu saya buat bila ponteng sekolah dan keluar pada waktu malam,” katanya.

Mengakui terkenal sebagai antara pelajar bermasalah kerana kerap ponteng dan bergaduh hingga beberapa kali ditahan polis, Azy turut mengakui sering bersembang dan menonton cerita lucah dengan rakan lain.

“Asalnya, saya bersama teman lelaki dan rakan hanya bersembang mengenai perkara lucah. Namun, lama-kelamaan ia bertukar menjadi tabiat.

“Ada antara kami mengaku pernah melakukan seks dan mengajak rakan lain mencubanya. Bermula daripada situ, kami belajar mengenai seks selain kerap bertukar video lucah,” katanya.

Laili Qalid (bukan nama sebenar), 20, pula tidak menyangka akan hamil selepas kali pertama melakukan hubungan terlarang dengan teman lelaki. Dia yang juga berasal dari Pantai Timur melahirkan anak di rumah teman lelakinya di ibu negara tanpa diketahui ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, bayi pasangan itu berjaya diselamatkan selepas beberapa jiran yang terdengar jeritan bayi menghubungi ambulans yang terpaksa memecah masuk rumah berkenaan bagi menyelamatkan bayi terbabit.

“Saya hampir tidak sedarkan diri ketika itu dan hanya melihat teman lelaki menyambut kelahiran bayi kami, malah dia tidak ubah seperti bidan sebelum memotong tali pusat bayi.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu kerana nyawa bagai di hujung tanduk, maklumlah hanya kami di situ dan tiada pengalaman menyambut kelahiran.

“Saya tidak sangka keseronokan sementara yang diperoleh ketika melakukan hubungan terlarang, walaupun hanya sekali, bakal membawa derita sepanjang hidup, malah kami mungkin tidak disatukan kerana mendapat tentangan keluarga,” katanya yang melahirkan anak, 24 April lalu. (myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Zina dalam suasana persekitaran di atas. Inilah hasil semaian didikan dan tarbiah UMNO sepanjang 30 tahun merdeka, masih UMNO sikit pun tidak salah? UMNO masih tidak mahu bertanggungjawab? Masih letakkan kesalahan pada orang lain dalam mewujudkan persekitaran seperti di atas? Pirrah!!!

Rangka Pelan Menang PRU 13 -Husam Musa


KL, 5 Jun: Naib Presiden PAS yang baru terpilih, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya akan merangka satu pelan kemenangan bagi menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Ia adalah antara rangka untuk merealisasikan tema muktamar PAS kali ini, 'Membangun Negara Berkebajikan'.

Ketika ditemui sejurus selepas diumumkan menang naib presiden, Husam berkata perkara tersebut akan diperincikan di peringkat semua dewan-dewan sesuai dengan peranan masing-masing.

"Kita akan adakan pelan kemenangan di mana setiap dewan yang akan diberikan peranan dan tugas masing-masing seperti Dewan Pemuda yang dicadangkan agar lebih fokus kepada daftar pemilih pengundi muda secara berstrategi," katanya di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, Gombak baru-baru ini.

Gabungan Selatan, Timur dan Utara

Mengulas mengenai kemenangan beliau pada pemilihan kali ini, beliau menganggap ianya adalah kemenangan yang bersifat kolektif.

"Kemenangan ini turut memperlihatkan bahawa tidak timbul isu ulama terhakis kerana dalam PAS tidak berlaku perbezaan dan kami tidak merasakan ada keganjilan. Isu ini sengaja diada-adakan pihak luar yang ada agenda," ujarnya.

Husam yang juga exco kanan kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai satu pasukan yang baru muncul untuk membantu Presiden PAS.

"Kami semua adalah satu pasukan yang mahu bersama Presiden kerana kelebihan dan kekuatan pasukan ini adalah performance atau prestasi mereka sebelum ini. Mahfuz dari Utara, Salehudin dari Selatan dan saya dari Timur.

"Kita perlukan pembetulan kerana PAS mempunyai tanggungjawab yang besar dan ia satu pasukan yang boleh diterima - saya berharap kita mempunyai kesempatan untuk berbincang di semua peringkat untuk membantu kemenangan," katanya.

Perkasa media

Beliau menekankan peranan dan kemampuan media dalam memastikan pelan kemenangan itu terlaksana.

"Saya lihat perlu ada peningkatan kemampuan seperti media secara gagah dan perkasa untuk bersaing dengan Umno.

"Jika ia boleh berlaku bermakna PAS boleh diharap untuk membawa Malaysia kembali kepada landasan yang baik," ujarnya lagi.

Ketika diminta bercakap mengenai gambaran gerak kerja PAS dalam menghadapi PRU-13, beliau menyatakan ia merupakan penekanan yang diberikan secara serius.

"Fokus segera kita adalah PRU-13 kerana keadaan politik negara kini berada di persimpangan rejim yang korup daripada semua aspek.

"Kita kena meningkatkan kemampuan parti seperti media secara gagah dan perkasa untuk bersaing dengan Umno-BN," katanya lagi.

Menyentuh ucapan dasar Presiden PAS, beliau merasakan tawaran Negara Berkebajikan adalah munasabah bagi rakyat untuk diterima dan membandingkannya antara tawaran PAS dan Umno. (IH)

AJK PAS Sesi 2011-2013:-Kedemokrasian PAS


Gombak 5Jun 11: Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasharudin 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin. Salahudin mendapat (753) undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding. Saya sendiri yakin, team ini boleh membantu Presiden memperkukuh parti, terutama dalam mendepani PRU Ke-13.

Tidak timbul soal golongan ulama atau professional yang menang, justru semua yang menang itu telah dipilih oleh perwakilan dengan penuh pertimbangan dan kewarasan. Bagi para pemerhati, jika team ini memperlihatkan prestasi yang baik, mereka akan menjadi pewaris kepimpinan PAS masa depan.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani Shamsuddin (579)
10) Datuk Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Datuk Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)

Ringkasnya..
  • Muktamar PAS Ke-57 ini memperlihatkan tingginya disiplin warga PAS, dari pucuk pimpinan di atas pentas, para perwakilan hingga kepada para pemerhati yang ribuan banyaknya.
  • Para wartawan dari pelbagai media mendapat layanan mesra dari semua pimpinan, bukan saja dari pemimpin yang menang, mahupun yang kalah.
  • Ini memancarkan mesej keterbukaan pimpinan PAS walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
  • Tiada Politik Wang.
Kesimpulan dari Weblog Ibnu Hasyim: PAS semakih kukuh dan pemilihan kali ini akan memperkukuh lagi Pakatan Rakyat. Apalagi dengan mensasarkan serangan PRU 13. Inilah lambang keterbukaan kedemokrasian PAS. (IH)

Ceramah Malam Tadi: Nik Aziz Ulas Mat Sabu Menang


GSuasana dalam dewan ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan ceramahnya sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewarm Gombak malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 5 Jun — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperakui kemenangan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden baru sambil menyifatkan pemimpin vokal itu menang dengan “undian sah” perwakilan yang yakin kerana kepimpinannya.

Mohamad atau dikenali sebagai “Mat Sabu” menang kerusi nombor dua itu dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan majoriti barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Dilihat merujuk kepada dakwaan pendaftaran pengundi kalangan rakyat asing menjelang pilihan raya umum, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Mohamad mencapai kejayaannya menerusi undian sah daripada perwakilan PAS.

“Dia (Mat Sabu) bukan menang sebab undi MyKad, bukan undi dari Bangladesh tetapi undi daripada PAS sendiri.

“Perwakilan PAS yakin dengan kepimpinan Mat Sabu. Oleh sebab itu mereka mengundinya,” kata beliau pada ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS di sni malam tadi.

Mohamad memperoleh 420 undi. Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Jelas Nik Aziz, Mohamad telah melibatkan diri dalam politik khususnya bersama-sama PAS sejak di peringkat universiti.

Ujarnya, ketika Mohamad masih belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), beliau sudah terlibat dengan PAS.

“Itulah kelebihan Mat Sabu sebenarnya,” ujar Nik Aziz lagi.

Selain itu, beliau juga menyatakan rasa bangga apabila musuh-musuh politik membenci presiden dan timbalan presiden PAS — yang dilihat merujuk kepada serangan Umno dan BN terus-menerus dan ia meningkat menjelang pemilihan parti itu.

“Itu perkara bagus pihak lawan benci jawatan utama dalam PAS.

“Saya hanya mendoakan dia (Mohamad) diambil Allah kerana ketaqwaannya,” ujarnya lagi.

Nik Aziz menambah, Mohamad rapat dengan umat Islam, bukan Muslim serta bukan ahli-ahli PAS kerana cara dan perwatakan beliau.

“Dia lebih rapat dengan orang bukan Muslim disebabkan dia mudah mesra.

“Saya pun tidaklah rapat sangat sepertimana Mat Sabu rapat,” ulas Nik Aziz lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin Mohamad boleh memainkan peranan segera untuk memikat golongan bukan Islam dan bukan ahli PAS menyokong parti itu dalam pilihan raya umum.

“Kita sudah ada pemimpin yang rapat dengan orang sekeliling. Ini akan memudahkan PAS menarik undi,” tambah Nik Aziz.

Dalam ceramahnya, Naib Presiden PAS baru Datuk Paduka Husam Musa pula berkata, mandat diberikan perwakilan merupakan satu tanggungjawab besar.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, beliau berharap barisan kepimpinan 2011-2013 mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

“Rumah Umno sudah hampir runtuh. Kita perlu tunjangi PAS dan melalui sebuah proses demokratik dengan adanya barisan kepimpinan ini.

“Kita tak pindah dari konsep kepimpinan ulama walau sedetik kerana kita dididik oleh ulama dan kepimpinan tertinggi PAS juga merupakan golongan ulama,” katanya.

Menyentuh mengenai Himpunan Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, Husam beranggapan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umpama petanda Putrajaya akan “jatuh.”

“Hal ini kerana Najib memberi amanat kepada generasi muda agar mempertahankan Putrajaya pada hari tersebut.

“Dalam ucapan Najib tempoh hari, nampak seperti Putrajaya ingin jatuh. Saya nak tanya, Putrajaya memang nak jatuh kah, sampai perlu mengumpul sehingga beribu-ribu belia dan memberi amanat?

“Kalau Umno di ambang kejatuhan... apa tunggu lagi. Takkan nak tunggu sampai rumah runtuh baru nak lari. Saya harap rakan dalam Umno juga boleh sama-sama kami berjuang untuk ke Putrajaya kerana rumah mereka sendiri sudah nak runtuh dah,” katanya lagi.

Selain Husam, dua lagi naib presiden ialah Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang mempertahankan kerusi mereka.

Selain kedua-dua mereka, ceramah turut disampaikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad, Salahuddin dan Mahfuz.

Kelab Taat Suami. Apa Pandangan Anda?

RAWANG, 4 Jun 11: Kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing akan membantu mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur .

Mesej ini yang hendak disampaikan oleh Kelab Taat Suami, yang dilancarkan hari ini untuk mengatasi masalah sosial di seluruh dunia.

Ia dilancarkan di Kelab Golf Perangsang Templer di sini dan bercadang memperluaskan sayapnya ke negara-negara lain seperti Indonesia pada 19 Jun ini.

Malah ia juga bercadang memperluaskan cawangan ke negara-negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman. Kelab itu diperkenalkan oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam terbuka kepada isteri-isteri semua kaum dan tidak kira kepercayaan. Ia mendakwa mempunyai kira-kira 1,000 ahli buat masa sekarang dengan 200 daripadanya di Johor sejak dilancarkan di negeri itu 1 Mei lalu. Baki 800 ahli datang dari seluruh negara.

Menurut kelab itu, 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek. Ketika ditemui wartawan, naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamad (gambar, kanan) berkata, kaum wanita seringkali lupa bahawa sebagai “isteri yang baik” mereka juga perlu memenuhi keperluan suami di bilik tidur.

“Jika anda melihat di dunia sekarang, wanita dilayan sebagai objek seks ... dalam majalah, TV ... mengapa tidak mereka jadi objek seks kepada suami mereka? Ia adalah sah dan diharuskan oleh Tuhan.

“Seorang isteri yang baik adalah pekerja seks yang baik bagi suami mereka,” katanya lagi.

Pemimpin wanita sayap kanan Global Ikhwan Sdn Bhd itu juga berkata, selain menggalakkan wanita melayani suami, kelab itu juga akan mengadakan aktiviti seperti sesi kaunseling kepada ahlinya.

“Kita buka ahli kepada semua orang tidak kira bangsa dan agama. Kita akan adakan kaunseling kepada isteri, suami, dan kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Rohaya juga menerangkan kelab itu ditubuhkan bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suami, tetapi memenuhi tuntutan agama. Katanya, seorang isteri yang solehah perlu memenuhi empat kriteria yang digariskan dalam Islam iaitu sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan diri dan taat kepada suami.

“Kenapa kita tidak mahu buat apa yang disuruh oleh Tuhan? Taat kepada suami. Untuk menjadi isteri yang baik perlu memenuhi keempat-empat kriteria ini. Malah dalam hadis Nabi sendiri ada menyebut, ‘tunaikanlah walau di belakang unta’. Ini apa yang disuruh oleh Allah dan Nabi, jadi kita ikut,” katanya.

Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.

“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.

“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.

Rohaya juga berkata, apa yang kelab ini cuba sampaikan adalah sesuatu yang telah dipraktikkan oleh ahli-ahli Global Ikhwan sendiri. Beliau juga memberitahu, walaupun kebanyakan ahlinya berpoligami tetapi peratusan penceraian di kalangan ahli itu adalah sedikit.

Malah, ibu kepada lapan orang anak dan isteri ketiga daripada empat itu juga berkata, 30 peratus daripada ahli Kelab Taat Suami juga merupakan pasangan berpoligami dan hampir 50 peratus ahlinya juga datang daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Sementara itu, salah seorang daripada 10 pasangan pengantin itu, Hawari Hamid, 45, yang berkahwin untuk kali kedua bersama pasangannya Nurul Asyikin Sanusi, 22, berkata, beliau menyambut baik kelab tersebut demi keharmonian rumah tangga.

Selain itu ketika ditanya adakah dengan isterinya membenarkan beliau berkahwin dua merupakan salah satu tindakan ‘taat’ seorang isteri, beliau yang juga pengurus syarikat berkata, “dalam Islam dibenarkan suami berkahwin sehingga empat orang.”

“Ini juga salah satu cara untuk isteri tunjuk taat dengan membenarkan suami berkahwin lain. Isteri saya membenarkannya dan Insya-Allah dia seorang yang taat. Dia juga yang membuat urusan perkahwinan saya ini,” katanya.

Hawari yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangag dan hanya dikurniakan seorang anak dengan isteri pertamanya juga berkata, tujuan beliau berkahwin adalah ingin menambah zuriat selain mengikut sunah Nabi. (Sumber The Malaysian Insider)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Difahamkan, mereka adalah bekas pengikut Al-Arqam yang melancarkan kelab mereka. Apa pandangan anda?

DHPP, Apa Pandangan Hu Pang Chaw?



KL, 4 Jun: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mencadangkan PAS menubuhkan kumpulan "think tank" (pemikir) yang membabitkan pelbagai kaum untuk memperoleh pemikiran dan persepsi berbeza mengenai PAS.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, untuk memperkasakan parti, PAS memerlukan perkongsian dan lontaran pandangan dan cetusan idea yang berkualiti serta perancangan gerak-gempur yang menepati sasaran.

"Pembentukan “think tank” ini nanti, akan menjadikan PAS sebagai satu wadah perjuangan yang cekal, mesra dan beriltizam murni dalam mengharungi abad ke 21," kata beliau sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar PAS kali ke-57 hari ini.

Beliau mencadangkan Adun Lubuk Merbau, Perak, Mohd Zainuddin bin Mohd Yusuf menerajui think thank ini berdasarkan pengalaman dan kewibawaannya.

"Beliau bukan sahaja berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam, pernah menghadiri pelbagai kursus dalam dan luar negara, beliau banyak memberi sumbangan idea dalam banyak projek pembangunan Melaka semasa bertugas sebagai Pengarah JPJ Melaka," katanya.

Dana RM10 juta


Selain itu, beliau turut mencadangkan PAS mewujudkan dana RM10 juta bagi memastikan segala program membabitkan latihan, kursus serta kebajikan ini berjalan secara terurus dan lancar selari tema muktamar tahun ini “ Membangun Negara Berkebajikan.

"Dana ini mampu menjadi penggerak kepada kita dari segi kewangan yang mantap bagi menarik lebih ramai golongan yang dikenalpasti sebagai “the best brain” untuk berkhidmat dalam parti.

"Kita mahu memastikan hasil daripada jentikan dana ini akan menjana kekuatan untuk PAS bergerak ke depan," katanya.

Tambahnya, dana yang besar sahaja tidak akan memberikan sebarang impak besar, jika ia tidak diurus secara bijak dan teliti, oleh itu pengurusan dana ini amat perlu diketuai seorang ahli ekonomi yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rusli Yakub menguruskan dana tersebut.

"Beliau pernah bertugas sebagai senior officer di Bank Negara Malaysia dan bertugas sebagai penasihat ekonomi di Negara Arab dan Bangladesh," katanya.

Beliau juga berkata, PAS kini wajar bergerak dengan lebih proaktif, progresif dan dinamik tanpa tergelincir daripada matlamat perjuangan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Ini bermakna, menerusi DHPP, inti perjuangan PAS dilebarkan tumpuannya ke arah memantapkan ia sebagai parti yang mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat majmuk di Negara ini, sejajar semangat “Pas For All”," katanya.

DHPP tekad tarik lebih ramai bukan Melayu

Selain itu beliau menyatakan komitmen DHPP untuk bersama-sama kaum Melayu menegakkan keadilan dalam Islam.

"Kami mahu buktikan bahawa DHPP , salah satu sayap PAS adalah terdiri daripada kaum bukan Melayu dan bukan Islam sesungguhnya amat prihatin tentang masa depan kaum Melayu.

"Kita mahukan orang Melayu maju bersama PAS kerana perjuangan PAS adalah berlandaskan Islam yang sebenarnya , perjuangan bagi menegakkan keadilan sebagai addin dan Islam adalah untuk umat manusia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa," katanya.

Tegasnya, DHPP akan terus menggembleng tenaga menarik lebih ramai bukan Melayu untuk menyokong perjuangan PAS, bukan sekadar menghantar wakil dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh PAS semata-mata.

"Di sini ingin saya menyarankan agar PAS di semua peringkat tidak keberatan menjemput DHPP turut serta dalam semua mesyuarat supaya kita semua dapat berkongsi idea demi merancangkan sesuatu yang terbaik untuk semua," katanya.

Perluas peranan Harakah

Sementara itu, beliau mencadangkan peranan Harakah diperluas termasuk menerbitkan majalah dan buku-buku yang akan membuka minda rakyat dan menyampaikan ilmu dalam semua bidang.

"Ini kerana katanya Harakah memainkan peranan cukup memberansangkan dalam “melayan” karenah parti lawan serta menyebar info parti, menerusi akhbar bercetak mahu pun porta web.

"Keuntungan daripada penerbitan wajar juga diperuntukan bagi meningkatkan pengetahuan staf dan wartawan, termasuk hantar mereka ke luar negara untuk mendapat lebih banyak ilmu media , idea-idea baru serta corak penulisan yang lebih segar dan menarik perhatian.

"Saya tidak hairan kalau suatu hari nanti kita mampu wujudkan pejabat perhubungan di luar Negara, sekaligus menjadi medan interaksi yang berperanan mengeratkan hubungan antara PAS dengan kalangan rakyat Malaysia di negara terbabit," katanya. (Sumber Harakah)

Lihat sebelum ini..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails