Friday, April 06, 2012

Apartmen 25 Tingkat Ganti Tapak Pasar

Takiyudin melihat model apartmen yang akan dibina
KOTA BHARU, 5 April 12: Lot 1910 Seksyen 54, yang dahulunya terdapat sebuah pasar yang dikenali Pasar Kubang Kerian, bakal berubah wajah apabila satu unit apartmen 25 tingkat yang bernilai RM115 juta siap kelak.

Projek berkenaan diurus Syarikat Sentosa Jaya Development Sdn Bhd dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Sehubungan itu, majlis perjanjian usahasama itu masing-masing ditandatangani Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat dan Pengarah Urusan Syarikat Sentosa Jaya Development Sdn Bhd, Datuk Razali Daud.

Menyaksikan majlis perjanjian usahasama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, yang mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apartment ini mengandungi 321 unit rumah kediaman, 11 unit pejabat, 10 unit kedai perniagaan, satu unit surau, satu unid dewan serbaguna, kolam renang dan kawasan riadah. Projek ini dijangka menarik perhatian masyarakat di negeri itu memandangkan kedudukannya yang begitu strategik dengan kadar harga yang berpatutan antara RM160,000 hingga lebih RM300,000.

Fauzi ketika berucap pada majlis itu memberitahu melalui pembangunan projek pusat komersial itu, MPKB-BRI bakal memperolehi pulangan langsung pelaburan RM5.17 juta.

“Keuntungan itu diperolehi dari projek RM3.87 juta dan bayaran in-kind secara tunai bagi pembinaan pasar baru sebanyak RM1.3 juta,”ujarnya.

Selain itu, tambahnya MPKB-BRI turut mendapat pulangan tidak langsung sebanyak RM433,000 setahun. (Hrkh)

Thursday, April 05, 2012

Ni, Pakai Pakaian, Macam Tak Pakai..





Berpakaiaan beginikah yang disifatkan oleh Nabi Muhammad SAW, pemimpin umat manusia, sebagai 'berpakaian tetapi bogel'? Pakaian yang dilarang oleh tabi'e manusia berbudaya dan berakhlak mulia..

(IH)

Wednesday, April 04, 2012

'Duduk Bantah’ Di Dataran Merdeka 28 April Ini

Pemimpin-pemimpin pertubuhan Bersih menunjukkan poster perhimpunan ‘Duduk Bantah’ semasa sidang media di Kuala Lumpur pada 4 April, 2012. – Foto oleh Jack Ooi Pemimpin-pemimpin pertubuhan Bersih menunjukkan poster perhimpunan ‘Duduk Bantah’ semasa sidang media di Kuala Lumpur pada 4 April, 2012. – Foto oleh Jack Ooi

KL, 4 April 12: Pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 hari ini mengesahkan mereka akan mengadakan perhimpunan ketiga atau Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih pada 28 April ini.

Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang di Dataran Merdeka itu turut akan dijalankan di seluruh negara termasuk juga di beberapa negara di seluruh dunia dengan anggaran seramai 500,000 peserta. Perhimpunan yang bertajuk “Duduk Bantah” itu masih lagi mengekalkan lapan tuntutan daripada perhimpunan sebelumnya pada 9 Julai tahun lalu. Antara tuntutan mereka adalah:
  • membersihkan sistem pilihan raya,
  • pembaharuan pengundian pos,
  • penggunaan dakwat kekal,
  • akses media yang adil,
  • 21 hari tempoh berkempen,
  • pengukuhan institusi awam,
  • hentikan rasuah politik,
  • dan hentikan politik kotor.

Perhimpunan itu juga adalah lanjutan daripada ketidakpuasan hati pertubuhan tersebut terhadap laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya yang telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat semalam tanpa dibahaskan.

Pemimpin Bersih ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini berkata, untuk perhimpunan kali ini, pihaknya akan memberikan keutamaan penuh kepada keselamatan peserta.

“Keselamatan peserta akan menjadi keutamaan kami. Malah kami juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tahap keselamatan yang paling tinggi ketika perhimpunan berlangsung,” kata Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sasterawan Negara, yang juga Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A. Samad Said, yang turut hadir ketika sidang media tersebut menuntut ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas mereka kepada rakyat.

“(Ketua-ketua) SPR perlu letak jawatan. Mereka bukan bekerja untuk kerajaan, tapi untuk rakyat.

“Kes-kes penipuan terus berlaku, seperti yang kami jelaskan membuktikan kerajaan hari ini tidak bercita-cita mengadakan pilihan raya dengan adil dan bersih,” tegasnya yang yakin Pilihan Raya Umum ke-13 ini akan menjadi medan pilihan raya paling kotor.

“Rakyat akan terus membantah kerana tiada komitmen menambah baik sistem pilihan raya sebelum PRU13,” tambahnya lagi.

Untuk perhimpunan kali ini, Bersih turut menerima penyertaan daripada Himpunan Hijau dan kumpulan mahasiswa, wakil Bersih dari Sabah dan Sarawak, termasuk 84 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai matlamat yang sama.

Selain itu, mereka turut melancarkan laman web www.pru13.info bagi membolehkan rakyat memantau proses pilihan raya bermula dari saat pembubaran Parlimen hingga proses pembuangan undi yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Ambiga turut menegaskan, pihaknya akan menghantar laporan mingguan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Geneva berhubung proses menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu. (Sumber MI)

Ambiga berkata PSC seakan-akan tidak mengendahkan tuntutan Bersih 2.0. — Gambar oleh Jack Ooi

Phahrolrazi, Dr Ismail Angkat Sumpah Exco Esok.

Al-hamdulillah, selesai.. Moga-moga tiada lagi suara-suara songsang kedengaran..

KL 4 Apr 12: Selesai sudah, desas-desus songsang di negeri Kedah. Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah 1, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata beliau dan Datuk Dr Ismail Salleh akan menghadiri upacara angkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai exco kerajaan Kedah di Istana.

Satu langkah yang dilihat akan meredakan kemelut politik yang melanda pentadbiran negeri itu. Upacara angkat sumpah jawatan exco itu akan berlangsung di Istana Anak Bukit pada jam 9 pagi esok.

Phahrolrazi ketika dihubungi Malaysiakini berkata, surat jemputan tersebut telah diterima oleh pembantunya pada hari Ahad, dan diserahkan kepadanya pada hari Isnin. Bagaimanapun, portfolio yang bakal diberi kepada ADUN Pengkalan Kundor dan Alor Mengkudu itu masih lagi menjadi tanda-tanya.

Sebelum ini, Phahrolrazi dan Dr Ismail timbalan pesuruhjaya dua PAS negeri, enggan dilantik semula Februari lalu kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

PAS pusat kemudiannya campurtangan bagi menangani krisis kerajaan negeri Kedah itu dan mengarahkan Phahrolrazi, Dr Ismail menerima semula pelantikan exco. Sebuah jawatankuasa pemandu turut ditubuhkan memantau pentadbiran dan menyelesaikan krisis politik tersebut untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Azizan juga sebelum itu dilaporkan berkata, kedua-dua exco tersebut masih berpeluang dilantik semula selepas tamat tempoh khidmat. Semoga tiada lagi suara-suara songsang kedengaran. Mudah-mudahan. (IH)

Ibubapa Perlu Sedar Gerakan Liberal Mahasiswa.



"SECARA ringkas, liberalisme adalah seruan yang menuntut kebebasan manusia dan memperjuangkan kefahaman egalitarian atau dalam bahasa yang lebih mudah; seruan kesamarataan. Seseorang yang liberal juga mendokong hak kebebasan beragama serta mengamalkan apa yang dipercayai selaras dengan prinsip rasional seseorang."

Demikian tulis Luqman Abd Hamid, AJK Kajian dan Informasi PEMBINA, dalam Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, salah satu platform atau gerakan yang semakin menapak di kalangan mahasiswa adalah‘OccupyDataran’.. Berakar-umbikan ideologi liberal, kini telah mencetuskan satu ‘pandemic’ baru dalam kalangan mahasiswa.

Secara ringkas, Occupy Dataran adalah satu kesinambungan Occupy Movement yang terinspirasi dari protest di Tahrir Square.Terkenal dengan cara pemakaian topeng Guy Fawkes, mereka adalah generasi yang mengimpikan demokrasi dalam konteks lebih luas. Seruan dilaungkan gerakan ini supaya mencetuskan satu budaya politik melebihi bangsa, ideologi, kepercayaan, jantina serta afiliasi politik.

Menurut sumber, Occupy Dataran bukanlah satu bentuk organisasi tetapi sebuah platform yang tidak punyai pemimpin dan ahli. Tiada siapa punya autoriti kepada yang lain. Kesemuanya sama rata, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Masing-masing bebas meluahkan rasa dan bebas membuat keputusan ketika sesi persidangan berlangsung.

Menurut Luqman lagi...

"Apa yang parahnya adalah apabila terdapat unsur liberalisasi dalam banyak hal. Kata mereka sebagai contoh, keputusan yang diputuskan pada sesi persidangan adalah hasil perbincangan yang punya hujah yang konkrit. Namun begitu, keputusan yang dibuat melalui hujah konkrit tetapi tanpa dasar ilmu yang kuat bukanlah suatu keputusan yang benar dan haq.

"Selama persidangan, keputusan yang dibuat hanya berdasarkan logik akal semata, emosi dan perasaan, pembacaan yang tiada kesahihan sumber, dan hanya berasaskan suara majoriti. Semakin bahaya apabila keputusan yang dibuat tanpa mereka perlu bertanggungjawab ke atasnya kerana ahli “syura” boleh daripada sesiapa sahaja yang hadir serta boleh keluar dan berlepas tangan daripada menjadi ahli “syura” tanpa ada apa-apa kebertanggungjawaban daripada dirinya.

"Kesemua ini adalah LIBERAL!! Bahkan ia tidak terlepas daripada kecelaruan yang sangat serius, iaitu ia merupakan satu platform yang tiada kejelasan agenda. Masing-masing boleh mengisi agenda tanpa ada saringan fikrah dan kredibiliti. Andai yang menetapkan agenda adalah mereka yang ingin memusnahkan Islam, yang ingin menghancurkan ummat, membawa fikiran dan aqidah yang salah malahan sesat, adakah ummat Islam akan membiarkan sahaja perkara begini?

"Analogi mudah, seperti membiarkan “butang” melancarkan bom nukleur yang diletakkan di dataran merdeka yang bebas untuk ditekan oleh sesiapa sahaja. Pada penglihatan saya adalah sesuatu yang membahayakan jika arus ini dibiarkan begitu sahaja.

"Setelah umum mengetahui terdapat gerakan mahasiswa yang diketuai oleh individu yang berkefahaman syiah, mampukah gerakan mahasiswa arus liberal yang dibawa oleh ‘Occupy Dataran’ ditangani oleh mahasiswa Islam? Adakah mahasiswa Islam kini mahu menoleh kebelakang dengan mendokong kefahaman sekular yang dibawanya dengan menjemputnya dipelbagai demostrasi dan forum mahasiswa? " Jelas beliau lagi.

Bahkan menurutnya, penglibatan Fahmi Reza (pendokong kuat gerakkan ‘Occupy Dataran’) dalam ‘Punk Forum :Apakah Peranan Punk Dalam Masyarakat’ dan tayangan filem ‘Taqwa Core: The Birth of Punk Islam’, menimbulkan lagi persoalan, adakah Fahmi mahu mendidik masyarakat mengikut acuan barat? Fahmi merupakan seorang designer yang dahulunya menuntut di USA..

Akhirnya, tulis Lukman, jika ditanya apakah jalan penyelesian kepada kemelut ini, maka tiada jawapan lain yang dapat beliau unjurkan melainkan dengan memahami ungkapan ‘Al-Islam huwa al-hal’ (Islamlah satu-satunya penyelesaian).

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ibubapa kena sedar mengenai trend buruk ini, mengawasi perkembangan remaja masa kini, mengenengahkan Islam sebagai satu-satunya jalan penyelesaian, termasuk poitik, ekonomi dan kehidupan sosial. (IH)

Pelajar Cemerlang K'tan Dapat RM500


KOTA BHARU, 4 April 12: Kerajaan Kelantan akan meneruskan sumbangan kepada semua pelajar cemerlang negeri ini bagi kali keempat sebanyak RM500.

Keputusan itu telah diluluskan pada mesyuarat exco hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangun Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar), berkata semua pelajar cemerlang dalam tiga peperiksaan SPM, STPM dan STAM yang mengambil peperiksaan di negeri itu layak menerima.

“Selain itu, anak Kelantan yang belajar di luar Kelantan juga layak menerima sumbangan kerajaan negeri,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat exco.

Sambungnya, mana-mana pelajar yang layak menerima mesti mendapat 9A ke atas dalam peperiksaan SPM, STAM (mumtaz) dan STPM (4P) ke atas.

Jelasnya, mana-mana pelajar yang layak mesti mendapatkan borang khas yang dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan (Yik) minggu hadapan yang dilantik sebagai urusetia dalam program itu.

“Saya minta rakan-rakan pelajar sekolah termasuk sekolah kementerian atau ibu bapa sendiri memaklumkan perkara ini pada kawan atau anak masing-masing.

“Kita tidak mahu ada yang tercicir macam sebelum ini, dah lepas lama majlis siap baru ada yang datang memohon,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar cemerlang yang terlibat menghubungi Yik bermula minggu hadapan. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kelantan terus prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Bekas Perajurit Dapat Tanah, Lagi K/Kebajikan PAS


KOTA BHARU, 4 Apr 12: Para bekas perajurit negara yang berasal dari Kelantan akan mendapat durian runtuh tidak lama lagi apabila bakal diberikan 2 ekar tanah setiap seorang.

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan hari ini. Bagi melaksanakan perkara ini, satu jawatankuasa khas dibentuk bagi merangka mekanisma pelaksanaan keputusan ini.

Tempat tanah ini juga akan dikenalpasti tidak lama lagi, kata Datuk Mejar (B) Anizam Abd Rahman (gambar), Exco Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Kelantan.

Jawatankuasa khas mekanisma ini akan menentukan kelayakan dalam pelbagai sudut bagi menentukan pesara tentera layak menerima tanah tersebut sama ada untuk tapak rumah atau pertanian.

“Kita akan meminta laporan dari Kementerian Pertahanan juga bagi mengenal pasti status bakal penerima,”ujarnya.

Menurutnya lagi, mesyuarat pertama jawatankuasa ini akan diadakan seberapa segera yang mungkin. Sambungnya, hadiah tanah untuk tentera diberikan oleh kerajaan negeri sebagai menghargai tugas mereka selama ini dalam menjaga keamanan negara sejak sekian lama.

Tegasnya yang diberi tanggungjawab sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu, ada di antara pesara tentera yang tidak berpencen akibat pencen awal, ada yang tidak berpendapatan tetap dan sebagainya. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Biar rakyat Kelantan dapat tanah, bukan macam di Teregganu, pemimpin-pemimpinnya yang diberi (sebenar ambil sendiri atau rampas) tanah. Itulah contoh muqaddimah kerajaan kebajikan PAS.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails