Monday, January 28, 2013

Bukan Awek Saya, Masalah Rempit Belum Selesai.

The 350: The national flag-bearing Rela motorcycle convoy arriving at Putrajaya from Shah Alam. — Bernama The 350: The national flag-bearing Rela motorcycle convoy arriving at Putrajaya from Shah Alam. — Bernama (Gambar ini hanya  hiasan sahaja)

‘Dia bukan awek saya’

“Dia bukan awek (teman wanita) saya...baru jumpa dia tadi. Saya ambil dia di tepi jalan,” kata seorang remaja berusia 19 tahun yang cuba lepas tangan selepas ditahan anggota Unit Khas Trafik Bukit Aman, awal pagi semalam.

Remaja berkenaan sanggup tidak mengaku remaja perempuan berusia 16 tahun yang membonceng motosikalnya adalah teman wanitanya semata-mata mahu melepaskan diri apabila ditanya anggota polis mengenai hubungan mereka.

Dia bersama teman wanitanya itu ditahan ketika menunggang motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Tanah Putih, di sini, jam 1.30 pagi semalam.
Remaja perempuan yang mendakwa berasal dari Ampang, Selangor dan pulang bercuti di rumah neneknya di FELDA Chini itu kelihatan terkedu tatkala mendengar pengakuan teman lelakinya dan hanya mampu menundukkan kepala.

Kedua-dua remaja berkenaan antara 10 individu ditahan dalam satu operasi pencegahan kesalahan lalu lintas selama empat jam bermula jam 1 pagi itu.

Semua yang ditahan itu dikesan melakukan kesalahan berlumba secara haram dan membawa kenderaan secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman’ yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada pengguna lalu lintas lain.
Apa yang menghairankan, kumpulan mat rempit itu turut berani berlumba serta melakukan aksi berani mati di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang terletak di Jalan Mahkota.

Selain dua remaja terbabit, anggota polis turut menahan seorang mat rempit yang berlagak samseng dengan cuba menendang orang awam melintas jalan ketika kumpulan berkenaan berlumba di Jalan Besar.
Namun, remaja berusia 19 tahun itu hanya menunjukkan wajah selamba apabila ditahan pihak berkuasa malah dengan beraninya menyalahkan orang awam kerana memasuki ‘litarnya’.

Sementara itu, jurucakap unit berkenaan yang didatangkan khas dari Bukit Aman bagi membanteras kegiatan mat rempit di bandar ini berkata, pihaknya menggunakan pendekatan sedikit berbeza dalam operasi kali ini iaitu dengan meletakkan beberapa anggota di kawasan tertentu untuk menahan mat rempit dan pemandu kereta yang memandu secara berbahaya di jalan raya.

“Kami tidak melakukan sekatan jalan raya seperti sebelum ini sebaliknya kami bertindak secara diam-diam dengan melakukan pemerhatian dan mencekup mereka tanpa disedari oleh pengguna jalan raya lain.

“Turut ditahan, tiga individu termasuk penumpang kereta yang terbabit dalam lumba kereta di Jalan Mahkota dan Jalan Besar tadi (semalam),” katanya.

Semua 10 individu yang ditahan termasuk pembonceng motosikal dan penumpang kereta dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati empat penunggang motosikal serta seorang pemandu kereta disahkan positif dadah.

Katanya, lima motosikal dan dua kereta yang diubahsuai disita kerana membuat pengubahsuaian tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya manakala pembonceng motosikal dan penumpang kereta didakwa di bawah Seksyen 11(1) akta yang sama kerana bersubahat melakukan kesalahan lalu lintas.(nyMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Masalah moral mat rempit masih belum selesai. Di mana salahnya?

Serawak: Gadis Dipukul, Dibogel Dituduh Mencuri..



Kuching: Seorang gadis bukan saja dibelasah dengan batang besi, malah gambar separuh bogelnya dirakam pemilik sebuah rumah sewa apabila dituduh mencuri dalam satu kejadian di Bandar Baru Batu Kawa di sini, semalam.

Perbuatan melampau lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan sebagai hukuman dan pengajaran kepada mangsa yang dituduh mencuri barangan dalam rumah sewa berkenaan. Mangsa yang berusia 21 tahun dan berasal dari Sibu itu dimalukan lelaki terbabit di depan beberapa lelaki lain termasuk rakan lelaki mangsa sendiri apabila pakaiannya dilucutkan secara paksa sehingga separuh bogel sebelum gambarnya dirakam.

Menurut sumber, mangsa dikatakan tiba di bandar raya ini dua minggu lalu untuk mencari pekerjaan sebelum bertemu rakan lelakinya yang berusia 20-an di Malihah.

“Mangsa kemudian ditawarkan pekerjaan di sebuah kedai kopi dekat MJC Batu Kawah dan memutuskan untuk tinggal berhampiran tempat kerjanya dengan menyewa sebuah rumah sewa.
“Pemilik meminta gadis terbabit membersihkan rumah terlebih dulu sebelum masuk. “Namun, tidak berapa lama kemudian, lelaki itu berang apabila mendapati beberapa barang dalam rumah itu hilang lalu memanggil mangsa. (myMeto)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perlukah menteri hal-ehwal wanita campur tangan?

N/Aziz Lawat Karpal,Thaipusam & Program PPg


PENUH KECERIAAN ... Tg Nik Aziz memotong kek harijadinya ke 82 di rumah Karpal Singh dengan diperhatikan keluarganya

JELUTONG, 28 Jan 13: Bagi menyatakan kesatuan dan hubungan erat dalam Pakatan Rakyat, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam  mengunjungi pengerusi DAP Karpal Singh di Pulau Pinang.

TG Nik Aziz tiba di kediaman Karpal pada kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam, di Jalan Scotland, lapor wartawan Malaysiakini di Pulau Pinang, Sosan Loone. Tuan Guru Nik Aziz dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang untuk memenuhi beberapa program anjuran PAS di negeri itu.

Dalam kunjungan itu, Nik Aziz turut memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulangtahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, PAS dan PKR. Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata beliau terkejut kerana pemimpin PAS itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.
"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, sikap positif yang ditunjukkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh disambut air mata gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat.

Ini kerana, bagi mereka hubungan erat antara pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat akan menambahkan keyakinan rakyat untuk mentadbir negara dengan baik apabila Pakatan berjaya ke Putrajaya nanti. Petang semalam, Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi Karpal Singh di Gelugor Pulau Pinang dalam suasana perayaan Thaipusan sedang meriah di kawasan kediaman Karpal itu.

Tuan Guru Nik Aziz dengan ditemani Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man, disambut gembira oleh Karpal dan keluarganya. Tuan Guru Nik Aziz kemudiannya memotong kek hari jadinya yang ke 82 di rumah anggota Parlimen Bukit Gelugor di Jalan Scotland itu.

Karpal ketika mengulas kunjungan ini berkata, "Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," kata Karpal kepada media selepas kunjungan itu. (IH)

Lihat sebelum ini..

Ahli PAS Wajib Undi Calon DAP -S/U DUP

Karpal menyambut kedatangan TG Nik Aziz di rumahnya - foto Malaysiakini

KL 28 Jan 13: Setiausaha Dewan Ulamak, Ustaz Khairudin Aman Razali ketika menyambut baik berita Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengunjungi pengerusi DAP Karpal Singh di Pulau Pinang. Tok Guru juga.meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam, di Jalan Scotland.

Ustaz Khairudin berkata, beliau pernah membuat kenyataan sebelum ini, bahawa ahli PAS wajib mengundi calon DAP di kawasan mereka. "Ia perlu sekiranya ia membantu untuk menjatuhkan kezaliman dan menegakkan kebajikan," katanya. (IH/Sumber Harakah)

Batu Asas Menara Masjid Bt Uban PP Dihancurkan.



 


Pulau Pinang 27 Jan 13: Batu asas pembinaan menara Masjid Jamek Batu Uban, Pulau Pinang yang akan dirasmikan oleh TG Nik Aziz telah dipecah dan dihancurkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.

Ketika menghubungi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim beliau sendiri mengesahkan tanpa memberitahu siapa punya angkara.

"Pagi tadi sebelum subuh salah seorang anak qariah ternampak batu asal yang siap dibina selepas Insyak semalam runtuh. 
"Ia adalah permainan individu yang tidak senang dengan kehadiran Datuk Nik Aziz untuk melawat Masjid tertua di Pulau Pinang.  Apa pun kami sedang menyiasat," tegasnya.

Menurut Iszuree,  pembinaan menara masjid amat penting sebab selama ini masjid berkenaan tidak mempunyai menara. Sempena lawatan Tuan Guru Nik Aziz ke Pulau Pinang untuk berceramah pada malam ini di Sungai Nibung bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, maka pihak masjid menjemputnya untuk makan tengahari di samping bertemu rakyat Batu Uban.

Mereka berada dalam dilema kerana terpaksa pindah akibat pembangunan oleh sebuah syarikat kroni Umno untuk projek perumahan.

Sementara itu mempelawa rakyat negeri Pulau Pinang melawat Kelantan yang didakwa terlalu miskin oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). (Sumber Harakah)

Tiada Masalah Sunni-Syiah, Tubuh Univ. Bersama


Gabenor Van, Munir Karalıoğlu (Tengah) dan Menteri Iran, Arsalan Ghorbani Iran (Kiri) bersidang di Van untuk membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama universiti - Photo: AA, Ali Ihsan Öztürk

ANKARA: Pegawai dari dua universiti menandatangani protokol untuk mengasaskan sebuah universiti bersama di wilayah timur Van, yang bersempadan dengan Iran, selepas perbincangan pelan yang panjang  dalam mesyuarat Sabtu lalu.

Pegawai dari Van Yüzüncü Yıl University dan University Iran Tabriz akan bekerjasama untuk menubuhkan universiti bersama Turki dan Iran. Turki dan Iran memberi tanda tahun lepas bahawa mereka akan menubuhkan sebuah universiti bersama untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pendidikan peringkat tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Pelajaran Turki, Ömer Dinçer dan Menteri Pelajaran Iran, Hamid Reza Haji Babai menandatangani satu perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan pada 19 Jun 2012.  Selepas perjanjian itu telah diluluskan oleh Kabinet Turki pada Dec 12, ia disiarkan dalam Warta Rasmi pada 23 Januari. Butir-butir perjanjian turut disiarkan.

Perjanjian itu secara automatik akan diperbaharui setiap tahun melainkan terdapat bantahan. Walaupun perjanjian itu pada dasarnya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan pendidikan antara kedua-dua negara, ia juga merangkumi aktiviti kurikulum bagi orang-orang muda termasuk kanak-kanak di tadika.

Menurut perjanjian tersebut, program pertukaran guru, pakar dan pelajar akan dilancarkan; kedua-dua negara akan menjemput satu sama lain dalam majlis-majlis pendidikan seperti festival seni, persidangan, seminar, acara saintifik dan acara sukan. Kedua-dua negara telah bersetuju untuk memudahkan pertukaran pendidikan dengan memudahkan pelajar-pelajar dan guru-guru menghadiri acara-acara di kedua-dua negara.

Selain itu negara akan berkongsi data dan sumber yang mensasarkan semua peringkat dari tadika ke universiti serta perhatian khusus kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Perjanjian tersebut turut membayangkan kemungkinan mengadakan pesta buku, pameran, teater serta bengkel bersama dengan penyertaan pakar-pakar dari kedua-dua negara mengenai isu-isu termasuk pengurusan krisis selepas gempa bumi.

Ia juga merancang untuk menubuhkan sebuah kumpulan pelajar mewakili Turki yang akan terlibat dalam aktiviti-aktiviti biasa dengan kumpulan setara yang dibentuk di Iran. Salah satu artikel dalam perjanjian adalah untuk menghubungkan 10 sekolah tinggi di Turki dengan 10 sekolah tinggi di Iran untuk membuka jalan untuk perkongsian ilmu.

Penerbitan dari kementerian pendidikan kedua-dua negara akan dikongsi, dan pendidik akan dibantu dalam mendapatkan permit kediaman bagi pertukaran pendidikan di kedua-dua negara. (Hrkh)

Isu Nasha: Gugur Majlis Syura, Biasa.-Tuan Ibrahim


SHAH ALAM - Keputusan Majlis Syura Pas menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu dilihat tidak akan memberi kesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, keputusan Majlis Syura adalah mengikut prosedur dan semua pihak telah maklum mengenai perkara itu.

"Ini adalah prosedur biasa, semua orang maklum mengenainya dan tindakan yang dikenakan pun berikutan beberapa peraturan yang dilanggar oleh beliau (Nasharuddin)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Majlis Syura Pas hari ini mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan Nasharuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.
“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya.

Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang jawatan. Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat. Mengulas lanjut keputusan Majlis Syura itu, Tuan Ibrahim menegaskan, tindakan pengguguran itu diambil selepas mendapati Nasharudin gagal memberikan komitmen terhadap tugasnya sebagai anggota Majlis Syura.

Katanya, disebabkan kegagalan Nasharudin menjalankan tugas beliau maka Pas akan menggantikan tempat beliau kepada calon yang lebih komited dan layak.

"Siapa calon penggantinya itu biarlah Majlis Syura yang tentukan pada mesyuarat yang akan datang dan akan diumumkan sendiri oleh Mursyidul Am Pas... tunggulah," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan Nasharudin tersenarai lagi untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada pilihan raya akan datang,  Tuan Ibrahim juga enggan ulas lanjut.

"Maaf ya, saya tidak dapat komen sama ada beliau akan terus disenarai atau tidak.
"Keputusan mengenai calon, semuanya bergantung kepada Presiden Pas," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Sinar Harian Online turut cuba mendapatkan respons Nasharudin berhubung perkara ini tetapi gagal.(SH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails