Thursday, June 27, 2013

Mike Tyson Pilih Islam, Mengapa Menangis Di Masjid Madinah?

mike
 Mike Tyson 

NAMA lengkap Michael Gerard Tyson.  Lahir di New York City, Amerika, 30 Jun 1966. Tyson memeluk Islam ketika dipenjara pada pertengahan tahun 1990an. Secara rasmi, tahun 1995, selepas keluar dari penjara di Indiana, Tyson mengumumkan penghijrahannya ke agama Islam yang telah dipelajarinya selama berada di dalam penjara, dengan nama baru Malik Abdul Aziz.

Lihatlah saudara-saudariku seagama, tiada kepuasan dalam kehidupan melainkan dengan Islam, kita tidak akan melakukan maksiat, apabila kita melakukan maksiat kepada Allah SWT tentu hidup kita tidak akan tenteram kecuali apabila kita telah ditipu oleh Syaitan. Jika seseorang yang dapat merasakan Allah SWT sedang melihat perbuatan maksiatnya, pasti dia tidak akan tenang selagi tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Manusia yang bernama Mike Tyson pun mencari ketenangan di Masjid dan Raudhah. Marilah kita bersyukur kerana hidup kita umat Islam mempunyai matlamat hidup kita penuh berharga dan bernilai di sisi Allah SWT, semua gerak-geri kita Allah SWT bayar dengan pahala dan Syurga.

Tyson yang pernah menjadi juara heavyweight dari 1986 hingga 1990 tiba di Madinah bersama Persatuan Dakwah Kanada bagi menunaikan ibadah itu. Beliau dijangka menziarah Makkah selepas melawat bandar suci Madinah dan bercadang melawat beberapa bandar Saudi lain. Selepas dipenjarakan, Tyson cuba untuk kembali bertanding dalam sukan tinju tetapi gagal merampas kembali gelaran juara dan akhirnya menamatkan karier sukan tinju pada 2005.

Bekas petinju yang pernah menggigit telinga lawannya dan dipenjara atas kesalahan merogol seorang pragawati mengakui dia amat takut kepada Allah. 

“Saya amat takutkan Allah. Saya sudah melakukan banyak kesalahan dalam hidup dan sering berfikir akan ke neraka kerana dosa saya. Saya berdoa memohon keampunan Allah setiap hari,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Tyson menangis di Raudah 

Di Madinah, bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, kelihatan menangis ketika berada Raudah semalam dan menganggap dirinya bertuah kerana berada di satu daripada taman syurga. Lawatan Tyson ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah ditemani Ketua Persatuan Dakwah Kanada, Shahzad Muhammad.

Kata Shahzad, Tyson menjadi begitu emosional ketika mengucapkan salam kepada Rasulullah (SAW) 

“Dia menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Nabi sambil mengangkat tangannya.

“Tyson terus berada di kawasan Raudah selama beberapa jam untuk bersolat, membaca al-Quran dan berzikir,” katanya, semalam.

Dia kemudian menukar pakaian untuk mengenakan ihram sebagai persediaan mengerjakan umrah. Sementara itu, kedatangan Tyson menarik perhatian orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihatnya dari dekat. Sesetengah pihak sanggup menunggu berjam-jam di hotel didiaminya berhampiran Masjid Nabawi semata-mata mahu mengambil gambarnya.

Malah, dia terpaksa diiring pengawal keselamatan untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur kerana orang terlalu ramai berada di laluan berkenaan. Tindakan Tyson mengenakan tutup kepala bagi mengelak daripada dikenali juga gagal dan dia terus diekori peminatnya. 

Tyson berkata, dia memang gembira diterima baik orang ramai di Tanah Suci.
“Cuma, saya harap tidak diganggu dan biarkan saya menikmati pengalaman beribadah di sini,”katanya.

Selain Masjid Nabawi, Tyson turut meluangkan masa menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) dan Universiti Islam Madinah. Tyson memeluk Islam ketika di penjara selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang model kulit hitam.

Mike Tyson insan gagah dan bengis semasa dalam gelanggang tinju. Tetapi di Masjid Nabawi tunduk menitis air mata semasa melihat kubur Rasulullah SAW.

KEHEBATAN MIKE TYSON DI GELANGGANG 

Inilah pengalaman yang amat berguna buat Mike Tyson sehingga menyentuh perasaannya semasa melakukan ibadat umrah dan melawat Madinah Munawwarah. 2 Julai 2010.

Beliau sempat memberi ceramah kepada pelajar Universiti Islam Madinah.
Kunjungannya ke Arab Saudi adalah anjuran Asosiasi Dakwah Kanada (CDA),CDA merupakan Pertubuhan dakwah yang banyak menguruskan selebriti yang baru memeluk Islam melawat ke Arab Saudi untuk tujuan melaksanakan rukun Islam.

Biodata beliau: 

Nama Penuh : Michael Gerard Tyson
Nama Samaran: Kid Dynamite,Iron Mike, The Baddest Man on the Planet
Kategori: Heavyweight
Tinggi: 5 ft 10 in (178 cm)
Jangkaun : 71 in (180 cm)
Warganegara: Amerika
Tarikh lahir: June 30, 1966 (age 46)
Tempat lahir :Brooklyn, New York City, New York, U.S.
Rekod Tinju
Jumlah Perlawanan: 58
Menang: 50
Menang dengan KO : 44
Kalah: 6
Seri: 0

(IH/Pelbagai sumber) 

Lihat sebelum lnl...
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam

Anak Pelacur Dikahwinkan Beramai-Ramai..

DI INDIA, kegiatan pelacuran telah menjadi sebuah kegiatan ekonomi yang terbesar di negara tersebut..  Berikutan itu, masalah sosial yang lain turut berlaku iaitu lambakan anak-anak hasil kegiatan pelacuran ini.. Oleh itu, bagi menyelamatkan nasib anak-anak malang ini, sebuah tindakan drastik telah pun diambil.. 

Anak-anak luar nikah atau hasil dari najis zina tidak salah, mereka bersih. Yang salah ibu bapanya tidak bertanggung jawab, termasuk kerajaan dan pemimpinnya yang tidak cekap memegang amanah Allah SWT, rakyat dan negara.

Meh, baca kat bawah ni.. 

Satu majlis besar-besaran perkahwinan dan pertunangan telah diadakan di sebuah kampung di negeri Gujarat India untuk anak-anak perempuan pekerja seks di bawah pelan untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi pekerja seks.Acara ini dianjurkan oleh Vicharta Samuday Samarthan di Manch(VSSM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan masyarakat terpinggir nomad.

Jurucakap VSSM berkata tiada siapa sebelum ini yang mahu mengahwini seorang gadis dari Vadia kerana orang-orang lelaki di kampung ini dikenali kerana membuat duit melalui kerja pelacuran wanita.Aktiviti sosial yang dianjurkan ini menelan belanja 900,000 rupee ($ 18,000) dan dikatakan bakal menamatkan perdagangan wanita di kampung Vadia.

Tujuh pasangan yang telah dikahwinkan dan 15 yang lain terlibat dalam acara pertunangan pada hari Ahad di kampung Vadia dalam daerah Banaskantha. Vadia sering dipanggil "kampung pelacur".Pengantin selalunya berumur 18 tahun ke atas.Acara pertunangan pula untuk mereka yang berumur 18 ke bawah.Setelah berkahwin, perempuan-perempuan ini tidak boleh dipaksa melacur.

Sebelum ini, gadis-gadis yang datang dari masyarakat Saraniya (gadis asal Vadia) tidak berkahwin dan bekerja sebagai pelacur di bandar-bandar yang berdekatan.




(IH/Sumber: MalaysianTabloid (2012)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-64: Rogol Di India
E-Buku IH-64: Rogol Di India

Ada Yang Patah Kaki Semasa Berdemo? YB Husam Melawat..


Ada yang patah kaki semasa berdemo? YB Husam sempat melawat peserta demo.. Semoga cepat sembuh untuk melawan kezaliman pemerintah...(IH/Kerabu Bersuara)

Lihat kisah-kisah Datuk Husam sebelum ini..
E-Buku IH-74: Detik-Detik Datuk Husam Diseret Ke Mahkamah
E-Buku IH-74: Detik-Detik Datuk Husam Diseret Ke Mahkamah

Dakwat: Tadi Kata Tiada Bahan Kimia, Sekarang Ada -Dr Mohd Hatta

KUALA LUMPUR: Jawapan bercanggah kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin menimbulkan keraguan banyak pihak. Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikai jawapan berbeza menteri kepada wakil rakyat yang berbeza pada hari yang sama mengenai dakwat kekal.

Menurut beliau, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mendedahkan bahawa dakwat kekal yang digunakan hanya mengandungi pewarna makanan dan bukannya bahan kimia Silver Nitrate. Namun pada hari yang sama, menteri memberi penjelasan berhubung peratusan Silver Nitrate yang terkandung dalam dakwat yang digunakan.

"Semalam kita dengar jawapan kepada Ahli Parlimen Segambut bahawa dakwat tidak ada bahan kimia tetapi mengandungi pewarna makanan.
"Hari yang sama SPR menjawab melalui menteri kepada saya atas soalan mengapa kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan raya Umum ke-13 di bawah paras 1% sedangkan piawaian asal yang ditetapkan ialah 4%.
"Isunya, tadi menteri kata tiada bahan kimia sekarang ada bahan kimia pula, jawapan diberi pada hari yang sama kepada wakil rakyat yang berbeza," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menjawab soalan beliau itu, menteri memaklumkan bahawa mengikut prosedur operasi standard (SOP) tidak menetapkan sebarang piawaian bagi peratus Silver Nitrate dalam dakwat kekal bagi digunakan dalam PRU13.

"Semakan SPR mendapati kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal adalah berbeza-beza mengikut negara.
"Mengambil maklum akan pengalaman Kementerian Kesihatan yang menggunakan Silver Nitrate dalam rawatan untuk penyakit kulit tanpa memudaratkan pesakit ialah sebanyak 0.5 hingga satu peratus.
"Atas dasar mengutamakan kesihatan pengundi yang pertama kali menggnakan dakwat kekal, SPR mengambil pendekatan melalui prinsip penggunaan bahan kimia pada paras terendah seterusnya memutuskan kandungan Silver Nitrate satu peratus bagi penggunaan dakwat kekal dalam PRU yang lalu," kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Hatta.

Hatta yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS juga berkata, dakwaan bahawa penggunaan Silver Nitrate boleh mengakibatkan penyakit sangat tidak masuk akal kerana pengundi hanya menggunakannya dalam kuantiti yang sedikit dan bukan digunakan setiap hari.

"Baru-baru ini SPR ada menyebut dalam temu bual di televisyen bahawa dakwat kekal ini yang mengandungi Silver Nitrate bahaya dan boleh menyebabkan kanser dan buah pinggang.
"Kalau kita guna secara berterusan dalam kuantiti yang banyak mungkinlah boleh sebabkan penyakit tapi kita mencalit sedikit sahaja atas kuku dan mengenai kulit lima tahun sekali.
"Jadi di mana logiknya bahaya dakwat kekal ini?" soalnya. (Hrkh)

Al-Fatihah Untuk Allahyarham Dr Rahman: Husam & Penimpin PAS.

 Husam membacakan Alfatihah untuk Allahyarham Dr Rahman

 Jenazah Dr Rahman disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bayu

BESUT: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, antara pimpinan tertinggi PAS yang turut menziarahi jenazah allahyarham anggota exco kerajaan Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, 55 yang meninggal dunia pagi semalam.


Selain Husam turut merakamkan ucapan takziah kepimpinan PAS Kawasan Besut yang diketuai Yang Dipertuanya Wan Azhar Wan Ahmad tengahari semalam. Kunjungan Adun Salor itu juga, membuatkan isteri allahyarham Azizah N. Omar merasa terharu serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian Husam menziarahinya.

Husam ketika memberitahu Harakahdaily selepas kunjungan itu berharap keluarga Adun Kuala Besut itu juga bersabar menghadapi ujian yang begitu memilukan itu.

“Kematian adalah sesuatu yang pasti, kita berharap keluarga allahyarham serta anggota keluarga bersabar menghadapi ujian ini.
“Moga allahyarham mendapat tempat terbaik di sisiNya,”ujarnya semalam.

Allahyarham meninggal dunia meninggal  pukul 10.18 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat kegagalan pernafasan selepas seminggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu. Beliau meninggalkan isteri Azizah dan empat anak iaitu Mohd Zaihan, Mohd Razhan, Mohd Zaffuan dan Nurul Najihah.


Pada pilihan raya umum ke-13 bulan lepas, beliau mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS Napisah Ismail. Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam barisan exco kerajaan negeri Barisan Nasional.

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru  selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu petang semalam. (Hrkh)


Lihat kisah-kisah Datuk Husam sebelum ini..
E-Buku IH-74: Detik-Detik Datuk Husam Diseret Ke Mahkamah

Pusat Hiburan Atau Pusat Maksiat? 19 GRO Vietnam Ditahan.

19 GRO warga Vietnam ditahan
Gadis Vietnam yang disyaki sebagai GRO dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut.
19 GRO warga Vietnam ditahan
Seramai 19 GRO ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke, di Sitiawan

HALAMAN HIBURAN
SITIAWAN - Seramai 19 gadis ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah pusat karaoke, di sini, semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Perak, Deputi Superintendan Hasbullah Ali berkata, bertindak atas maklumat awam, serbuan dibuat pada jam 12 tengah malam ketika pelanggan berhibur dengan pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya berjaya menahan 19 gadis warga Vietnam berumur antara 18 hingga 34 tahun dipercayai GRO yang sedang melayan pelanggan mereka di pusat karaoke berkenaan.

“Apabila serbuan dibuat, didapati ada sebilangan pelanggan dan juga GRO berkenaan dalam keadaan pelik disyaki telah mengambil dadah.

“Memang sebelum ini sudah terdapat aduan daripada penduduk setempat berkenaan aktiviti GRO ini apabila mereka dilihat sering keluar masuk ke tempat ini,” katanya, menurut Sinar Harian hari ini. (IH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Pusat Maksiat bertopengkan Pusat Hiburan? Betulkan balik konsep hiburan di Malaysia, sesuai dengan agama rasmi negara.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor Pres PAS 6 - 11 Tahun Berlalu




Latar Belakang Almarhum Ustaz Fadzil Noor

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir. Beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. 

Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah Illahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir Illahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu. Beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. 

Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanahair.

Perkahwinan


Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. 

Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.
Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. (Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu ).

Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. 

Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau:

"Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda.
Rasulullah menyebut dalam hadisnya : "Golongan mudalah yang membantu perjuangan dakwah"

Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan, mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan.

Inilah cita-cita kaum Quraisy, dalam kebingungan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan.

Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini, ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda. Inilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.

Russia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ustaz Fadzil menyedari ulama mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.

" Peranan ulama seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.

Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam."

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi

Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). 

Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah dimana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. 

Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. 

DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS.

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. 

Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan , beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. 

Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu.

Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar.


Perjalanan akhir yang memilukan

Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.
Dicatat oleh

Lihat sebelum ni..  
E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6
E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails