Tuesday, September 10, 2013

Usahawan: Yang Penting X Class, Bukan Ikhlas!


CATATAN SANTAI

BEBERAPA hari lalu, kawanku bercerita mengenai kawannya.. Kawannya yang sama-sama satu jamaah. Dulu puluhan tahun lalu, zaman muda kawannya itu dihabiskan dalam perjuangan untuk Islam. Tapi kini perniagaannya sudah berjaya, maju, dia sudah jadi hartawan. Bila dia tanya balik tentang perjuangan, jawab kawannya itu..

"Yang penting sekarang, 'X Class' bukan 'ikhlas'!" 

Mahunya, Mercedes X Class. Kereta mewah! Begitulah.

Termenung aku memikirkan.. 

Teringat aku kepada ucapan dan kata-kata Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor Presiden PAS ke 6, pemimpin tertinggi PAS (Parti Islam Se Malaysia) yang pernah dipecat 24 jam dari jawatan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masa itu. Isterinya terpaksa menjual kain batik untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Aku ingat betul antara kata-kata beliau menasihati ahli-ahli PAS..
  • Ujian daripada Allah ada dua, ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Ramai yang berjaya ujian kesusahan tetapi gagal dalam ujian kesenangan.  
  • Kalau di waktu susahsempit kamu tidak sanggup berusaha menderma walaupun sikit, jangan harap di waktu senang kamu akan berderma lebih banyak.
  • Duit PAS ada dalam poket orang PAS, bila PAS mahu PAS minta.
Itu, antara intisari nasihat beliau yang lekat dalam pemikiranku..

Kawanku itu bertanya aku serius, "Apa pendapat kamu, cuba hurai sikit X Class itu?"

Ini Komenku..

Islam mengajar umatnya jadi kaya, sehingga dapat mengguna harta kayanya untuk kebaikan. Antara kebaikannya ialah 'memberi'. Iaitu, kita disuruh membayar zakat dan juga bersedekah, contohnya. Tetapi ada juga si kaya yang tidak 'memberi'

Ada hadis menyebutkan..
  • Orang kaya yang menunda-nunda (mengulur-ulurkan waktu) pembayaran hutangnya adalah kezaliman. (HR. Bukhari)
Antara hutang-hutangnya, termasuk hutang 'hak orang miskin' yang ada di dalam hartanya, di samping hutang-hutang yang lain.
  • Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling mulia? Beliau menjawab: “Sedekah orang yang takde harta, dan mulailah memberi sedekah atas orang yang ramai tanggungan." (Dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Dawud. Hadits shahih menurut Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Hakim)
Pengalamanku, semasa menjadi YDP PAS Balik Pulau mulai pertengahan 1980an hingga awal 1990an, kebanyakan yang membantu kewangan perjuangan PAS itu bukanlah golongan hartawan. Bahkan orang biasa yang memberi sedekah, zakat, fitrah dan lain-lain. Masing-masing ikhlas saling tolong menolong dengan pelbagai cara, walaupun miskin wang.

Tanpa disedari kelopak mataku sudah basah digenangi airmata, mengingatkan kawan-kawan lamaku. Seorang darinya adalah Allahyarham Ustaz Osman Marzuki dari Pokok Sena. Beliau pernah menjadi ADUN Kedah puluhan tahun yang lalu. Pernah ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dituduh P.A.S.(Pasukan Angkatan Sabilullah atau PAS underground). 

Tiba-tiba beliau lari keluar negara, kerana akan ditahan sekali lagi di bawah ISA dalam satu operasi tangkapan borong. Waktu itulah beliau sentiasa menghubungiku dari luar negara, dan secara tidak langsung aku menjadi penghubung antara beliau dengan pimpinan PAS Ustaz Fadzil Mohd Noor. Terakhir Ustaz Fadzil mengutuskan aku menemuinya di Thailand, menyuruh beliau pulang menghidupkan kembali 'Muassasah Durul Ulum' yang terbengkalai kerana campurtangan kerajaan Kedah.

"Ajak dia balik. Dari maklumat yang kita terima, operasi tangkap borong tu dah selesai. Polis tak tangkap dah! Baliklah!" Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata Ustaz Fadhil kepadaku, untuk disampaikan kepada beliau.

Ustaz Osman pulang, mula membangunkan tanah Muassasah, buat 'Pekan Sari' sebelum rumah-rumah dibina. Ustaz Fadhil pernah mempelawa aku bermukim di komplek muassasah sana. Di situlah kami PAS Balik Pulau waktu itu mengambil idea Ustaz Osman menubuhkan 'Projek Pasar Negara' di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Berbalik kepada kisah keikhlasan Ustaz Osman, satu hari beliau berjumpa aku, katanya..

"Mat! Hang banyak tolong aku masa aku lari keluar negara, sampai aku boleh pergi ke Arab Saudi, Brunei dan lain-lain. La ni, aku nak tolong hang balik, tapi aku takdak duit. Cuma aku nak bagitau, aku ada sorang anak murid aku yang cukup baik, bekerja di suatu institusi kewangan di ibupejabat di KL.

"Dia memegang kuasa dan tanggung jawab untuk meluluskan kewangan pinjaman. Aku pikir hang layak, minta pinjam besarkan perniagaan hang. Aku boleh tolong hang, bawa jumpa dia. Aku yakin dia akan tolong. Kerana ini permohonan pertama aku dan mungkin terakhir.

"Kurang-kurang kalau hang berjaya, hang boleh tengok-tengok keluarga aku yang susah bila aku mati nanti, kerana aku tidak banyak harta." katanya dengan penuh harapan.

"Al-hamdulillah. Memang itu yang ku cari!" Sambutku gembira. 

Tetapi, bila ku fikir-fikir, aku rasa ada orang lain lebih layak aku bantu atas dasar perjuangan Islam dan PAS di Balik Pulau. Akhirnya ku serahkan peluang ini kepadanya, setelah berbincang dengan Ustaz Osman. Akhirnya dia berjaya dengan pinjaman awal RM ratusan ribu, tanpa cagaran. Sekarang dia sudah tergolong hartawan atau usahawan yang berjaya, hasil dari ke'ikhlas'an kepada Allah SWT. Ramai kawan-kawan yang turut membantu waktu itu dan turut gembira.

Kalau dia itu kini berjaya memakai Mercedes X Class, logiknya dia tidak akan berjaya memakai X Class kalau tidak ada sikap 'ikhlas' dari kawan-kawan berbagai pihak itu. Jadi, kata-kata "Yang penting sekarang, 'X Class' bukan 'ikhlas'!" itu, amat tidak sesuai dari sudut akhlak Islam.

Memang tepat, apa yang dikatakan oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor Presiden PAS ke 6, seperti di atas, 'Ujian daripada Allah ada dua, ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Ramai yang berjaya ujian kesusahan tetapi gagal dalam ujian kesenangan.'

 

Di Balik Pulau kampungku, waktu aku kecil-kecil dulu ada sawah padi. Berhampiran dengan bendang padi itu, ada hutan bakau berbatasan dengan laut. Di hutan-hutan itu banyak kera-kera yang sering mengganggu tanaman penduduk. Waktu ribut bertiup kencang kera-kera itu berpegang erat pada dahan dan ranting takut jatuh. 

Pokoknya mereka tidak akan jatuh dengan tiupan angin kencang, kecuali kalau dahan-dahan besar itu terbongkar rekah. Tetapi kalau angin yang bertiup itu halus lembut sepoi-sepoi bahasa, mereka bagaikan dibuai mimpi tertidur, tangan terlepas dari pegangan, akhirnya jatuh. 

Mungkin itukah yang terjadi kepada manusia jenis pentingkan X Class dari ikhlas itu?

Sekian komenku, sekadar muhasabah diri... As-salamu 'alaikum.





    Monday, September 09, 2013

    Kajian Lengkap Projek Baru Lebuh Raya Rakyat Siap


     
     
     
     
    KOTA BHARU: Penantian rakyat Kelantan untuk melihat Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bakal menjadi kenyataan selepas mendapat komitmen penuh syarikat dari Emeriah Arab Bersatu.

    Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebuah konsultan, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group sudah menyampaikan kajian lengkap mengenai projek tersebut.

    “Kita akan putuskan secara rasmi dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi selepas mendapat maklumat awal cadangan projek.

    “Selain itu aspek pembiayaan turut dibincang bagi mendapat kerjasama Bank Pembangunan Asia (IDB).

    “Berdasar kepada taklimat mereka 5 September lalu perkembangannya cukup positif. Jadi kita berharap ia sebagai suatu kejayaan,” katanya di sini.

    Lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu sepanjang 68 km dirancang kerajaan negeri ekoran projek berkenaan dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986.

    Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad memberitahu kerajaan negeri melantik konsultan baru pada 26 Julai lalu bagi menyediakan kertas cadangan projek berkenaan.

    Menteri Besar berkata, laporan terperinci daripada Ecobound telah disampaikan kepada kerajaan negeri.

    “Projek berkenaan akan diteruskan melalui sistem wakaf. Insya-Allah projek tersebut akan dimulakan semula tidak lama lagi.

    “Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek Lebuh Raya Rakyat,” ujarnya.

    Pembinaan Lebuh Raya Rakyat telah dimulakan awal tahun ini di tapak Bukit Bakar, Machang. Bagaimanapun kerja-kerja awal tertangguh ekoran syarikat lama menarik diri. (Hrkh)

    Kreatif, Ada Wanita Di Belakang. Iklan Politik PR?

    FotoDARI sudut ini, kelihatan seolah-olah ada wanita diikat di belakang trak.

    JOM KREATIF

    Waco (Texas): Pelekat ditampal pada sebuah trak menunjukkan seorang wanita diikat ke belakang mencetuskan kemarahan di sini. Sekali pandang, pelekat itu begitu meyakinkan bahawa memang ada wanita di belakang trak itu.

    Pelekat itu dihasilkan Hornet Signs, sebuah syarikat pemasaran dan pengiklanan di Waco. Pemiliknya, Brad Kolb berkata, pelekat itu dipasang pada trak seorang kakitangan untuk mengukur tahap realistiknya.

    “Saya tidak menjangka reaksi diterima. Kami juga tidak menyokong sebarang tindakan mengikat wanita di belakang kereta.
    “Tujuan kami hanya untuk melihat siapa yang menyedarinya,” kata Kolb.

    Menurut pemilik itu, seorang kakitangannya secara sukarela menawar diri diikat dan gambarnya dirakam untuk membolehkan pelekat itu dihasilkan. Ia dilekatkan pada trak kakitangan itu sebulan lalu.

    Kolb berkata, pesanan pelekat belakang trak meningkat sejak pelekat itu dipasang, tetapi mengaku turut menerima kecaman orang ramai yang berkata imej itu tidak sesuai. Syarikat itu pakar dalam mengeluarkan iklan kereta dan mengambil keputusan mencuba pelekat belakang trak menggunakan imej luar biasa, termasuk gambar penembak tepat dan zombi.

    Bagaimanapun, paling banyak mendapat tumpuan ialah gambar wanita yang diculik itu. Dalam kaji selidik dijalankan stesen televisyen KWTX, hampir semua reaksi yang diterima negatif. Ada penonton berkata, mereka menelefon polis sebaik melihat pelekat itu kerana menyangka wanita itu berdepan masalah. Seorang penonton berkata: “Penculikan atau keganasan terhadap wanita tidak lucu.” - Agensi
    FotoBRAD Kolb dan di belakangnya, pelekat dengan ilustrasi penembak tepat.

    Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perlukah teknik iklan-iklan begini dibuat di sini, yang kandungannya di'Malaysia'kan? Atau iklan politik dari PR?

    Lihar sebelum ini..
    E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
    E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

    Nik Aziz Mula Bertugas Di Institut Pemikiran Tok Guru


    KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam memulakan tugasnya di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Kota Darul Naim.

    Beliau selaku Penasihat dan Murabbi IPTG dilihat memasuki pejabat di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri itu kira-kira jam 9 pagi disambut Pengarah IPTG, Dr Che Samsudin Mohamed Noor dan kakitangan lain.

    Pengawal Peribadinya, Zakaria Deraman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, Tok Guru berada di situ hampir lima jam sebelum pulang ke rumah selepas Zohor.

    "Dia lakukan rutin sepertia biasa, sama macam sewaktu di pejabat MB dulu la. Dia solat Dhua, kemudian baca surat khabar dan kemudian meneliti beberapa dokumen dan nota.
    "Lepas itu ada sedikit perbincangan dengan pengarah IPTG, dan lepas Zohor kita bawa dia pulang ke rumah untuk beliau berehat" katanya.

     Semalam adalah kali kedua Tok Guru memasuki pejabatnya. Kali pertama beliau melawat pejabat ini adalah pada 4 september lalu.

    IPTG adalah projek yang dicetuskan oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.


    Ianya dipengerusikan Menteri Besar sendiri dan berperanan sebagai sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

    Selain itu, ianya juga berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan. (Hrkh)

    Bertudung Tak Boleh Kerja Sini. Lagi Hina Islam?

    Foto 
    WARTAWAN Harian Metro melakukan penyamaran di salah satu pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

    Kuala Lumpur: Amat mengecewakan apabila wanita Melayu yang memakai tudung menjadi mangsa diskriminasi untuk diterima bekerja oleh segelintir majikan swasta di negara ini yang mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi.

    Isu ini menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna Internet selepas seorang pengguna Facebook (FB) dikenali sebagai Mira Kamil memuat naik status kekecewaannya selepas berulang kali permohonan kerjanya di sebuah butik ternama di sini, ditolak atas alasan dia bertudung.

    Mira Kamil yang pernah menuntut di United Kingdom selama empat tahun dan sedang mencari kerja sementara memuat naik status itu di laman Facebook pada 1.59 petang Isnin lalu yang dikongsi hampir 8,500 pengguna Facebook.

    “Kita memang nak pakai orang, tapi tak nak yang bertudung” dan “sorry, pakai tudung tak boleh kerja sini.” Itu antara kata-kata diterima Mira.

    Bagi mendapatkan kepastian dakwaan Mira, wartawan Harian Metro melakukan penyamaran dengan memohon kerja di beberapa premis berkenaan. (myMetro)

    Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hal ini juga masuk dalam kategori hina Islam?

    Kabinet Bayangan PAS, Nak Jaga Hati Seseorang? -Alhusseyn

    Ini dia bakal Menteri Pendidikan Malaysia jika PR perintah 
    Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Pas telah membentuk Kabinet bayangannya sendiri selain berperanan sebagai penyemak kepada kerajaan sedia ada.

     "Saya telah dilantik sebagai Menteri bayangan Pendidikan. Timbalan Ketua Pemuda Pas dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai Menteri bayangan Kementerian Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli memegang portfolio Menteri Kewangan.

    Beliau tidak pula menyatakan apa pula portfolio yang disandang oleh Tuan Guru Presiden Haji Hadi.Mungkin Nasrudin lebih suka supaya orang ramai berteka teki mengenainya! Mungkin juga nak jaga hati seseorang?

     Aku tertarik dengan pendedahan Nasrudin ini. Terfikir kepada ku, kalau dua orang ahli parlimen yang baru saja dilantik sudah boleh jadi Menteri bayangan Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan, nak tahu bagaimana pula gerangannya dengan mereka yang telah punya pengalaman yang lebih lama lagi; umpamanya Khalid Samad (2 penggal), Mahfuz Omar (3 penggal), Mujahid Hj Yusof Rawa (2 penggal) – sekadar menamakan beberapa nama.

     Dan bagaimana pula dengan kedudukan Timbalan Presiden Mat Sabu? Walaupun beliau kini tidak lagi merupakan seorang Ahli Parlimen, tetapi kita jangan lupa bahawa Mat Sabu juga banyak pengalaman.Takanlah kita nak lupakan jasa Mat Sabu dan meminggirkan beliau begitu sahaja?

     Beliau pernah mewakil parlimen Nilam Puri, Kubang Kerian, dan Kuala Kedah.

     Walau bagaimana pun aku tertarik juga dengan kenyataan Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari Abdul Aziz yang mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddindan juga Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan kerana membangkitkan soal kabinet bayangan di sini
    Diangkat dari http://alhusseyn51.blogspot.com/  
    Lihat sebelum ini.. 
    E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

    PAS: Pemuda Setuju Ulama Jadi Timbalan Presiden

    SHAH ALAM – Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mencerminkan hasratnya untuk menyaksikan ulama mengisi jawatan timbalan presiden parti itu tidak bermakna beliau mengetepikan pihak lain.

    Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan berpendapat, memandangkan parti itu memperjuangkan Islam, maka jawatan tersebut perlu diisi dengan calon yang mendalami Islam.

    “Jawatan presiden dan timbalan presiden adalah tunjang parti. Sebab itu ia perlu digalas oleh mereka yang betul-betul mendalami Islam.

    “Saya setuju dengan cadangan yang beliau utarakan. Tapi bagi saya cadangan itu juga tidak membawa sebarang maksud  memperkecil atau mengetepikan peranan pihak lain yang ada dalam parti,” katanya pada Sinar Harian semalam.

    Katanya, semua pihak, termasuk ulama, profesional dan aktivis, berperanan memperkukuhkan parti itu.

    Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan lebih tinggi atau mahu mempertahankan jawatannya sahaja pada muktamar tahunan Pas kali ke-59, November depan, Nasrudin berkata, beliau belum membuat keputusan.

    “Saya perlu lihat dulu pencalonan lain dan di mana saya diperlukan. Mungkin dalam masa tiga atau empat hari lagi saya maklumkan mengenainya,” katanya. (SH

    Lihat sebelum ini.. 
    E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
    E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails