Sunday, September 15, 2013

T/Presiden PAS: Siapa Patut Disokong? -Khalid Samad

Ulasan Khalid Samad berkenaan Pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS

Ada yang bertanya kepada saya, “siapa patut disokong untuk jawatan Timbalan Presiden?”

Saya jawab, “Lihat pada yang ada. Bagaimana prestasinya? Baik atau tidak baik? Memuaskan atau tidak memuaskan? Kalau baik kekalkan. Kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberi prestasi yang lebih baik, maka tukarlah.”

Maka ditanya balik, “Bagaimana soal ulama’ atau tidak ulama’?” Saya jawab lagi, “jawatan ini bukan sebagai suatu ‘penghormatan’, iaitu yang dihormati sebagai ulama’ maka diberi jawatan tersebut. Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu. Hendak diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggung-jawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut. Iaitu kepimpinan, ‘kepengurusan’, kebijaksanaan berpolitik, mampu membaca strategi lawan, keberanian, ketangkasan, keamanahan dan lain-lain yang perlu sebagai Timbalan Presiden.

Bukan kemampuan membuat hukum. Untuk buat hukum dan kawal perjalanan parti dari sudut dasarnya, sudah ada Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’. Di situ keahliannya mesti ‘ulama’. Akan tetapi untuk Timbalan Presiden perlu dipilih orang yang boleh memenuhi ciri tersebut. Ciri ini mungkin ada pada ulama’, seperti Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor, TGNA dan juga TGHH. Dan ia mungkin juga ada pada yang bukan ulama’. Yang penting yang dipilih mesti atas dasar siapa yang lebih mempunyai ciri ini di kalangan barisan calon yang diketengahkan.

Memilih Timbalan Presiden sesebuah parti politik adalah seperti memilih panglima perang yang akan memimpin tentera dalam medan perang. Khalid Al-Walid bukan yang paling alim ketika dilantik menjadi panglima. Bahkan semasa perang Mu’tah beliau baru sahaja memeluk Islam. Namun setelah Zaid, Jaafar dan Abdullah Ar-Rawahah gugur, Khalid yang dipilih untuk memimpin tentera Islam kerana kemahirannya memimpin walaupun ada yang lebih ‘alim fiid-dinn darinya. Begitu juga semasa kempen di bilaadil Syams. Khalid Al-Walid menjadi panglima utama sehingga digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah atas arahan Umar kerana terlalu berjaya sehingga dianggap menjejas I’tiqad ummat Islam!

Dalam soal memilih Timbalan Presiden, kita memilih Panglima memimpin ‘perang’ di ‘medan perang’ politik.

Maka saya harap, jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama’ ataupun bukan. Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama’. Jangan menyokong seseorang kerana semata-mata dia bukan ulama’. Jangan juga menolak seseorang semata-mata kerana dia bukan ulama’!

Pilih seseorang kerana dia mampu memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden secara yang terbaik! Memimpin parti mengharungi liku perjuangan politik melalui lembah fitnah dan tribulasinya, meredah paya penipuan dan kejahatan lawan serta menggalas cabaran ketinggian puncak kemenangan dan kejayaan. Orang yang tidak mudah dikelirukan dengan fitnah dan tribulasi, malahan mampu membacanya dan menangkisnya sebelum ianya melanda. Orang yang tidak mudah termakan kata memuji dan janji kosong malah mampu membaca kejahatan disebalik kata manis itu. Orang yang mempunyai wawasan kemenangan yang jelas dan kaedah realistik untuk mencapainya.

Pilihlah orang seperti Sallahuddin Al-Ayubbi atau Muhammad Al-Fatih, atau Nuruddin Az-Zanggi atau Saifuddin Qutus. Mereka bukan dari golongan Juhala’ walaupun bukan juga dari golongan ulama’ namun mereka merupakan pimpinan yang mendepani cabaran zaman mereka dan mengatasinya dengan bantuan seluruh alim ulama’ dan cendiakawan Islam serta dokongan ummat dan rakyat mereka.

Atau pilih orang seperti Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim atau Shah Wali Allah Delhi. Mereka ulama’ mujtahidiin wa mujahidin, yang mampu memutuskan hukum tetapi pada masa yang sama mempunyai ketangkasan dan kepimpinan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Dan kepimpinan mereka berserta dengan ketajaman bacaan politik mereka menyebabkan mereka dilihat sebagai ulama’ mujahid yang memberi inspirasi kepada ummat Islam sepanjang zaman.

Pilihlah, bukan atas dasar klasifikasi dan kelompok, tetapi atas dasar kesesuaian dan kemampuan seseorang itu untuk jawatan yang mencabar sebegini rupa, iaitu Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia!”

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
(IH/GP)



Lihat Sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

Tangani Pemikiran Syiah & Liberal -Datuk Harun Taib

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib

ALOR SETAR - Ulama dalam Pas perlu mengkaji pemikiran haddamah (perosak) untuk mengekang penularan anasir itu dalam masyarakat. Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, mereka yang berkebolehan dan berilmu wajar membuat kajian membantu Majlis Penyelidikan Dewan Ulamak Pas menyediakan maklumat kepada umum.

“Pemikiran ini semakin berleluasa, jadi kita hendaklah tangani secara ilmiah termasuk pemikiran Syiah dan Islam liberal yang menjadi anutan dan pegangan segelintir umat Islam di Malaysia,” katanya, semalam.

Harun berkata, Muktamar Dewan Ulama Pas lalu, meluluskan resolusi berkaitan pemikiran haddamah yang memerlukan pelan tindakan agar tidak menular dalam masyarakat. Sehubungan itu, peranan dan kedudukan ulama dalam parti itu perlu diperkukuh sebagai golongan penting  memperjuang Islam didokong Pas.

Ulama Pas juga disaran menambah ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam aspek kepimpinan dan pengurusan agar memenuhi tahap kompetensi sewajarnya. Harun berkata, Akademi Latihan dan Kepimpinan Ulamak akan memperkasa tahap kompetensi ulama melalui latihan berbentuk soft skill yang akan ditawarkan kepada ulama agar seiring perkembangan semasa.

"Program tarbiyah setiap peringkat perlu diperkukuh menerusi pelan tindakan berkesan," katanya.

Tambahnya, kebanjiran ahli jamaah lain dialu-alukan tetapi mereka perlu mematuhi garis panduan silibus usrah dan pengisian dalaman parti. (Hrkh)

Tempuh PAS Berpecah Sudah Tiba -Mohd Sayuti Omar




Ketua Dewan Urusan Ulama PAS Datuk Harun Taib membuat cadangan supaya PAS mengkaji semula kerjasama (tahalus syiasi) dengan PKR. Beliau dilaporkan mengemukakan cadangan itu semasa merasmi Mutlaqa Ulamak se-Malaysia yang berlangsung sehari suntuk di Kedah hari ini.

Alasan itu katanya kerana banyak perkara menerusi tahalus syiasi itu boleh melemahkan PAS. Beliau tidak menyebut apakah bentuk kelemahan-kelemahan secara specifik dan ilmiah, hanya menyebut salah satu kelemahannya menyebabkan sokongan Melayu terhadap PPAS berkurangan berdasarkan kepada pilihan raya lepas.

Tentunya andai ini silap sebab tahalus syiasi itu bukan bersifat macam ayam mengawan tetapi bersifat angin berjimak (lama). Pandangan Harun ini adalah subjek yang akan menggemakan muktamar PAS yang akan berlangsung di Shah Alam pada November depan.

Sudah tentu muktamar akan datang akan memberi fokus kepada cadangan itu dan ia akan menjadi agenda utama muktamar. Apabila Harun melontarkan isu itu, ia menjadi isyarat kepada ahli-ahli PAS terutamanya golongan merasakan diri mereka 'ustaz, hafiz atau mendapat pendidikan Timur Tengah dan lebih bangsa 'Melayu' akan membahas perkara berkenaan.

Apa yang dapat dibayangkan di sini, sekiranya agenda itu dibahas dan diterima sudah tentu PAS akan mempamerkan satu langkah baru yang lama dan sekaligus PAS akan menunjukkan ia dikuasai oleh 'pedagang-pedagangan' politik Islam.

Kemungkinan yang boleh disuluh di sini PAS akan mencari rakan politik baru dalam projek 'tahalul syiasinya' untuk masa depan bagi meletakkan PAS sebagai sebuah parti dominan seperti diharap Harun.
Bolehkah PAS menjadi dominan dengan pendekatannya tanpa menuruti sungai peralihan kerana politik itu sendiri bersifat pragmatik?

Mungkin di sini PAS akan berpaling tadah bekerjasama dengan Umno atas alasan untuk memperkuatkan Melayu dan Islam. Tetapi selalu yang disoalkan, apakah Umno akan bersikap jujur dan ikhlas dengan PAS? Dan sejauh manakah PAS menyakin Umno memperjuangkan Islam dan Melayu sedangkan dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar perlembagaan PAS.

Cadangan untuk mendekati Umno ini tidak menghairankan kerana agenda Unity Government masih berjalan tetapi dengan sedikit perubahan dan bertukar pemainnya. Kalau dahulu ia dimainkan oleh bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan beberapa yang lain, tetapi kini ada watak lain yang mengambil alih baton kerajaan perpaduan itu dengan melarikannya dalam kabus.

Sekiranya muktamar menerima cadangan itu; PAS memutuskan kerjasama dengan PKR khasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak ia akan menjejaskan PAS dari segi kepercayaan umum. Orang akan melihat PAS tidak konsisten didalam akidah politiknya (kerjasama) atau berbuat sesuatu tanpa berfikir. Golongan muda profesional tentu akan tergencat menyebabkan mereka menarik diri dari PAS.

Pemansuhan kerjasama itu juga boleh menyebabkan orang Cina konfius dengan PAS dan hilang kepercayaan. Kerusi-kerusi bandar yang dimenangi PAS atas sokongan pengundi Cina akan hilang. Implikasi ini kena diterima, sumbangan orang Cina juga dalam hubungan kerjasama ini tidak banyak sikit menguntungkan PAS.

Secara umumnya cadangan Harun agar dikaji semula kerjasama itu tidak boleh dikesampingkan begitu saja dengan syarat ia dibuat secara menyeluruh. Kajian itu bukan saja melihat kelemahan atau pun kenegatifan PAS dengan kerjasama itu sahaja, sebaliknya kaji juga mengenai kesan positifnya seperti salah satu dinyatakan di atas tadi.

Kalau hendak buat kajian jangan melihat cemarnya PKR sahaja, tetapi kena juga lihat kelemahan PAS itu sendiri serta kesalahan-kesalahan dilakukan PAS disepanjang tahalul syiasi itu sendiri. Sebab PAS juga parti yang tidak sesuci namanya dari segi amlinya. Bila ditengok memang PAS menjadi terlalu toleransi dan anjal dalam aspek-aspek yang perlu dipetegakkan, misalnya mengenai soal agama dan bangsa, tetapi siapa yang salah. Apakah PKR yang menekan PAS agar bersikap begitu atau siapa?

Misalnya dalam layanan liberalisasi keagamaan PAS menjadi tersangat baik dan terbuka sampai Presiden dan Mursyidul Am sendiri sanggup masuk ke gereja demi menarik perhatian dan simpatis politik? Apakah pemergian presiden dan mursyidul am itu atas paksaan PKR atau Anwar? Jawabnya tidak. Ia adalah kehendak dan ijtihad mereka sendiri. Jadi dalam hal ini PKR atau DAP tidak boleh disalahkan atas toleransi keterlaluan itu sehingga menyebabkan Pas rugi melainkan kesalahan kepada PAS juga.

Bagaimana pun, cadangan Harun itu juga dilihat bakal menjadi polemik baru didalam PAS. Cadangan itu sudah tentu akan bertentangan dengan pandangan (pola fikir politik) Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melihat tahalus syiasi dengan PKR itu memberi ruang baru kepada PAS sendiri untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Perwujudan Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) PAS sedikit sebanyak ia bertolak dari roh tahalu syiasi. Sebelum mengkaji kebehasilan tahalus syiasi itu kaji dulu apakah untung dan rugi DHPP PAS itu.

Boleh jadi juga isu itu akan digunakan untuk muktamar November nanti untuk menyingkir mereka yang tidak sebulu dan sepasukan dengan mereka, iaini golong merasakan mereka alim ulamak. Golongan profesional yang selama ini membawa anjakan baru dalam politik PAS; mempolitikan ulama dan mengulamakan politik, telah membawa perubahan besar kepada pentadbiran dan sistem politik PAS serta memecahkan 'bongol-bongol' pejal dalam rangka kepelbagaian citarasa politik berversiasi negara ini.

Seharus dikaji dengan mendalam dan panjang lebar. Penolakan kerjasama dengan PKR itu sudah tentu ia akan membawa kepada penolakan kerjasama dengan DAP juga dan menolak kerjasama dengan mereka yang benci kepada UBN. Penerimaan itu nanti menyebabkan orang ramai khasnya generasi baru merasakan PAS mundur ke belakang semula. Pandangan itulah yang dimahui Umno bagi melihat Pakatan Rakyat yang kini menguasai suara majoriti menjadi lemah 'kumbali'. Umno sedang berdoa siang dan malam dengan mendupakan asap kemeyen Islam dan bangsa bagi mempengaruhi PAS.

Apakah langkah dewan ulamak yang ingin membawa PAS kembali ke belakang dalam tribulasi ini kerana mereka sudah termakan cacing dalam mee Umno? Nauzubaliah. Paling menakut dan membimbangkan gara-gara cadangan Harun Taib dan begitu ghairahnya golongan merasakan mereka alim itu menyebabkan PAS akan berpecah dua.

Peristiwa yang berlaku penghujung 1982 menyebabkan Mohd Asri Muda dan rakan-rakan meninggalkan PAS kemudian menubuh Hamim tahun 1986 disebabkan diperlakukan demikian rupa dan kejinya, perlulah disedari dan diambil iktibar. Tempoh untuk PAS berpecah juga sebenarnya sudah sampai selepas, iaini PAS tenang selama 30 tahun. Perhatilah PAS sudah tidak berpecah dan kalut sudah 30 tahun setelah kekalutan terakhirnya 1982. - 14 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider atau Weblog Ibnu Hasyim.

Lihat Sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

8 Resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia



ALOR SETAR: Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, hari ini menekankan tentang hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.

Berikut ialah resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia.

Tema Multaqa Ulamak Se-Malaysia ‘Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam’ yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut menekankan tentang hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.

Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang bersidang pada 14 September 2013 mengambil beberapa resolusi yang terkandung di dalam ucaptama dan perbahasan seperti berikut:

1- Ulamak Haraki hendaklah memposisikan diri mereka dengan lebih berkesan sebagai pemimpin politik yang menyambung tugas para nabi-nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam.

2- Multaqa Ulamak Se-Malaysia juga mengajak para ulamak haraki PAS bagi melakukan pengukuhan gerak kerja, antaranya:

i-  mengukuhkan gerak kerja tarbiyah
ii- mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulamak yang menjadi tunjang utama kepada PAS
iii-memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan.

3- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan untuk bersama-sama menangani dan menghadapi pemikiran yang merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam.

4- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan mencadangkan kepada PAS Pusat supaya melakukan analisa yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisa bagi tujuan untuk menilai prestasi PRU13 untuk lonjakan PRU14.

5- Multaqa Ulamak Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah.

6- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyarankan kepada semua kerajaan negeri di bawah PR supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulama haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.

7- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

8. Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia. (Hrkh)

Kaji Balik Tahalus Siasi Dengan PKR -Datuk Harun Taib

 Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.


Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib (gambarbawah) mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dibuatnya dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Cadangan itu dikemukakan beliau melalui ucaptama kepada Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.
Sebelum ini, tiga muktamar PAS berturut-turut meluluskan usul agar hubungan dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan.Dalam pilihan raya lalu PAS menang 21 kerusi Parlimen dan hilang kerajaan negeri Kedah berbanding PRU-12 menang 23 kerusi Parlimen dan menang di Kedah.
Bagi melaksanakan kajian ini Harun dalam kertasnya itu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR.
"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," kata Harun. - 14 September, 2013. (MI)

Lihat Sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

Premis Urut Tawar Seks Di Jalan Bukit Bintang..

KUALA LUMPUR - Premis urut di Jalan Bukit Bintang yang menggunakan wanita sebagai peraih pelanggan di kesan turut menawarkan khidmat urutan badan meskipun lesen yang dikeluarkan hanya membenarkan khidmat urutan kaki.

Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menerima aduan berhubung kegiatan khidmat tambahan membabitkan seks. Penolong pengarah jabatan perlesenan dan pengurusan penjaja DBKL, Irwan Shafari Wahab berkata, kehadiran wanita-wanita dengan imej menjolok mata ditambah dengan cara mereka meraih pelanggan, menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung.

“Biasanya peraih-peraih urut ini akan menarik pelanggan khususnya pelanggan lelaki meskipun ketika itu individu berkenaan berjalan bersama pasangan mahupun keluarga, tidak kira warga asing mahupun tempatan,” katanya selepas mengetuai Ops Peraih Urut di Jalan Bukit Bintang, malam kelmarin.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati empat premis menjalankan perkhidmatan yang melanggar syarat lesen apabila menyediakan khidmat urutan badan.

“Premis-premis ini  hanya dibenarkan menjalankan khidmat urut kaki. Tetapi tempat urut yang disediakan menggambarkan khidmat urut badan juga ditawarkan di samping terdapat pelanggan yang sedang melakukan urutan badan ketika pemeriksaan.
“Ada premis yang kita kompaun kerana beroperasi tanpa lesen. Untuk makluman, lesen urut kaki dan urut badan telah dibekukan sejak 2009 jadi kita tidak benarkan sebarang lesen baru bagi aktiviti urut badan,” katanya.

Irwan berkata, mana-mana premis yang didapati terlibat dengan pelanggaran syarat pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk kepada pengusaha dan akan dibawa kepada jawatankuasa pembatalan lesen.

“Ia merupakan amalan kepada pengusaha yang terus berdegil setelah beberapa peringatan dan pelbagai usaha dibuat tapi tiada perubahan, kita akan batalkan lesen,” katanya.

Jelasnya, turut dikenakan tindakan dalam operasi bermula jam 10 malam itu, ada terhadap premis urut yang beroperasi lebih masa iaitu melebihi jam 12 malam.

“Tindakan diambil selaras dengan Undang-undang Kecil 24 Establishment Kecantikan dan Kesihatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003, jika sabit salah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya. (SH)

Lepas Berzina, Mati.. Oh Negaraku, Senangnya Berzina..





Muar: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita yang baru dikenalinya di sebuah hotel bajet di Jalan Meriam di sini, semalam.

Lelaki berusia 66 tahun itu yang juga seorang pekebun dikatakan tidak sedarkan diri di bilik di hotel bajet terbabit pada kira-kira jam 10.20 pagi. Sumber memberitahu, mangsa sebelum ini kerap mengunjungi hotel bajet itu untuk tujuan sama. Katanya, sekitar jam 10 pagi, warga emas itu dilihat memasuki sebuah bilik di situ untuk bertemu seorang wanita.

“Bagaimanapun, kira-kira 20 minit kemudian, warga emas itu pengsan sebaik selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita terbabit.
“Wanita terbabit yang panik segera memaklumkan majikannya yang kemudiannya menghubungi ambulans untuk bantuan kecemasan,” katanya.

Mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia ketika diperiksa kakitangan perubatan. Difahamkan, lelaki itu yang berasal dari Kampung Baru Estet Kim Kee, Bukit Pasir, dekat sini, itu masih bujang dan tinggal sendirian. Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian terbabit.

“Mangsa disahkan mati di hotel berkenaan dan mayatnya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat.
“Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. (myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tanpa perhitungkan agama dan kaum, memang negara umat Islam Malaysia adalah lokasi yang baik untuk penajis-penajis zina.. Malaysia, oh tanah airku..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails