Monday, September 16, 2013

PAS Tetap Bersama PR -Presiden PAS


ALOR SETAR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulamak Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri,  kita masih tetap bersama.

"Insya Allah itulah yang ada dalam amalan poltik Islam. PAS paling berpengalaman sejak 1951,” ujarnya.

Tegasnya, PAS bertahaluf menuntut kemerdekaaan walau berbeza pandangan dengan Umno dan kemudiannya PAS menjadi pembangkang.

Katanya, PAS juga pernah masuk menjadi kerajaan pada tahun 1970 dan PAS terlibat dalam penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974.

“Tahun 1978 kita dikeluarkan kerana krisis di Kelantan, bila kerajaan campurtangan dengan membuat darurat macam di Mesir sekarang, mereka ambil alih kerajaan.

“Kita ambil balik pada  tahun 1990 bila kita bersama Semangat 46 pula,"jelasnya.(Hrkh)

22 Perkara, Pemimpin Yang Mengambil Petunjuk... -Abd Hadi.


Abdul Hadi Awang

ALOR SETAR: Sepanjang perjalanan PAS dapat memelihara bahtera perjuangan tanpa bocor dan tenggelam sama ada cabaran dalam bahtera atau cabaran luar iaitu ombak dan gelombang. Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika PAS ditubuhkan berlaku pertembungan antara kaum tua dan muda.

"Kaum muda membawa pemikiran tajdid yang berhadapan dengan penjajah. Ada yang melampau dan ada yang mempermudah-mudahkan. Tapi PAS berjaya mendamaikan antara dua pihak," ujar beliau ketika menyampaikan ucapan penutup pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Berikut ialah petikan ucapan penutup Tuan Guru Abdul Hadi pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia.
"Dan Kami jadikan di kalangan mereka pemimpin-pemimpin yang mengambil petunjuk berdasarkan perintah Kami tatkala mereka terus bersabar."

1. Kita bersyukur menjadi salah seorang pejuang dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS yang merupakan mata rantai gerakan Islam yang tidak berakhir hanya dengan wafatnya Nabi s.a.w.

2. Allah gantikan tugas menyambung risalah nabi-nabi dengan gerakan Islam yang disebut sebgai "taifah" dalam hadis. Kumpulan ini menyambung tugas mendaulatkan pemerintahan Islam.

3. Walau tak ada negara islam berdaulat namun kumpulan Islam tetap muncul kerana cahaya Islam dijanjikan oleh Allah tidak akan padam.

4. Mungkin ada yang tak sedar kalau tidak dibaca sejarah Islam. Alam Melayu adalah negeri awal dijajah di kala negara-negara Arab masih lagi di bawah kuasa khilafah Uthmaniyah dan belum dijajah.

5. Maka ulama Melayu bangkit menentang penjajahan dengan menubuhkan Syarikat Islam 1908. Berkembang cawangan di seluruh Tanah Melayu.

6. Mereka bangkit menentang sekularisma yang memberikan kuasa agama kepada raja manakala kuasa pemerintahan lain kepada penjajah hingga meranapkan kefahaman Islam.

7. Kumpulan Islam menubuhkan pondok dan institusi pendidikan serta mengadakan kuliah di masjid surau mempertahankan Islam.

8. PAS adalah mata rantai gerakan Islam ini. Malah kita lebih awal berhadapan dengan demonstrasi di kala saudara-saudara kita di Asia Barat belum berhadapan dengannya.

9. Ulama mempunyai peranan lebih besar berbanding golongan lain dalam memimpin tanggungjawab ini.

10. Perkataan ‘ulil amri dalam al-Quran disebut dalam kitab tafsir merujuk kepada ulama dan pemerintah dengan maksudnya kedua-duanya mesti ditaati.

11. Ulama adalah uli amri kepada rakyat. Ini disebut dalam kitab-kitab tafsir. Kedudukan ulama ini jangan dilupakan.

12. Perlembagaan PAS adalah al-Quran, hadis, ijmak, qiyas dengan aqidah ahli sunnah. Tiada yang boleh menjaga dasar ini melainkan ulama.

13. Sepanjang perjalanan PAS dapat memelihara bahtera perjuangan tanpa bocor dan tenggelam sama ada cabaran dalam bahtera atau cabaran luar iaitu ombak dan gelombang.

14. Ketika ditubuhkan berlaku pertembungan antara kaum tua dan muda. Kaum muda membawa pemikiran tajdid yang berhadapan dengan penjajah. Ada yang melampau dan ada yang mempermudah-mudahkan. Tapi PAS berjaya mendamaikan antara dua pihak.

15. Fiqh awlawiyyat mesti ditekuni oleh ulama.

16. Ada golongan melampau yang nak laksana Islam serta merta. Ada pula yg meringan-ringankannya hingga tak boleh bercakap tentang hudud dan qisas. Di sinilah ulama berperanan menjadikan PAS istiqamah dengan perjuangan menegakkan Islam.

17. Kita berhadapan cabaran luar yang tak benarkan Islam berkuasa.

18. Barat bimbang dengan perubahan rakyat di Turki dan Mesir

19. BN tahu teras politik ialah Melayu Islam. Mereka tak pedulikan MCA dan MIC Cina dan India kerana bagi mereka teras politik adalah Melayu.

20. Roadmap kita ialah dapat 40 kerusi tapi hanya dapat 21 kerusi. Tapi mendapat pertambahan kerusi di peringkat negeri.

21. Saya harap multaqa ini menjadi muzakarah penting yang tidak habis di sini sahaja tapi dengan melaksanakannya di seluruh pelosok tanah air.

22. Allah tidak bertanya tentang kemenangan tetapi apa yang kita amalkan untuk mendapatkan kemenangan.

(IH)

Vila Kayangan Di Atas Bumbung Kilang

VILA KAYANGAN" yang dibina di atas bangunan kilang di Dongguan, Guangdong, di tengah China.

JOM KREATIF

DONGGUAN - Pengguna internet tempatan kecoh berhubung dua buah vila yang dibina di atas bumbung sebuah bangunan kilang di China.
Mereka menggelarkan kediaman itu "vila kayangan" kerana kedua-dua banglo tersebut cuma disokong oleh 10 buah tiang konkrit. Kediaman dua tingkat itu dibina di atas bumbung bangunan kilang tiga tingkat di sini, dalam wilayah Guangdong, di tengah China.
 
Media tempatan melaporkan "vila kayangan" itu wujud sejak beberapa tahun lalu tetapi tiada dalam pelan asal pembinaan bangunan kilang tersebut. Seorang pegawai tempatan memberitahu, kediaman megah itu adalah menyalahi undang-undang tempatan.

"Kami akan menangani isu ini berlandaskan undang-undang," katanya tanpa mengulas lanjut.
Masyarakat China sebelum ini digemparkan dengan kewujudan empat vila di atas bumbung yang dibina di bandar raya Zhuzhou dalam wilayah Hunan. Sebuah banglo berbentuk bongkah batu yng dibina di atas bumbung bangunan apartmen setinggi 26 tingkat di Beijing turut mendapat perhatian orang ramai dan media asing. - Agensi

Lihat sebelun ini.. 
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

Sunday, September 15, 2013

Nik Aziz Ulas PAKATAN Rugikan PAS?

 KUALA LUMPUR: PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya  jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan  kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno  bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Mahkamah Jerman Wajibkan Siswi Muslimah, Ikuti Kelas Renang.


Pengadilan Jerman Wajibkan Siswi Muslim Ikuti Kelas Renang
Ilustrasi

MAHKAMAH Jerman Rabu 1 September memutuskan bahawa siswi-siswi Muslim wajib mengikuti kelas berenang bersama-sama siswa lelaki, lapor Reuters. Keputusan itu menunjukkan dalam kes-kes selanjutnya, peraturan negara dalam pendidikan anak, boleh dimenangkan atas praktik keagamaan bagi setiap indvidu.

Mahkamah memutuskan, mahasiswa muslimah tidak boleh dikecualikan dalam kelas pelajaran berenang, dan mereka dibolehkan memakai pakaian renang “burkini” yang menutup seluruh tubuh kecuali wajah, telapak tangan dan kaki.

Kes ini bermula dari tuntutan seorang siswi Muslim asal Maroko, yang bersekolah di Hesse, wilayah Barat Jerman. Orangtuanya selama bertahun-tahun berusaha agar anak perempuan mereka dibebaskan dari kelas berenang bersama siswa lelaki. Usia gadis itu masih 11 tahun saat kesnya dibawa ke mahkamah. Sebelum itu, dua mahkamah di Hesse sudah menolak tuntutan keluarga itu agar anaknya dikecualikan dalam pelajaran renang.

Sementara itu di negara tetangga Jerman, Swiss, pada bulan Mei lalu Mahkamah Swiss menolak gugatan serupa dari sebuah keluarga Muslim. Hakim memutuskan, anak perempuan keluarga itu wajib mengikuti pelajaran renang dan tidak boleh pakai burkini. (IH/Hidayatullah)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Begitulah, bagi orang yang beriman, aurat adalah maruah Islam yang wajib dijaga dan dipertahankan. Itulah tarbiah ke arah cara hidup Islam.

Bukan seperti ini.. 


Kahwini Wanita Syiah. Tuntut Mutah & Syiahkan Keluarga..


Foto




Alor Setar: “Kalau abang tak nak cerai, saya akan nikah (secara) mutaah dengan lelaki lain.” Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Azam, 47, walaupun diucapkan bekas isterinya lapan tahun lalu.

“Kata-kata itu akan saya ingat sampai mati. Ia menusuk hati dan menjatuhkan maruah saya sebagai suami,” katanya menceritakan pengalaman mendirikan rumah tangga dengan pengikut tegar Syiah sehingga terpaksa menceraikan wanita itu berikutan perbezaan pegangan dan akidah.


Azam berkata, bekas isteri yang dinikahi pada 1997 itu nekad menuntut cerai kerana terlalu taksub dengan hasutan ‘tok guru’ Syiah selepas dia enggan mengikuti pengajian dan seterusnya menjadi pengikut kumpulan berkenaan.

Malah, dia yakin ugutan bekas isterinya mahu berkahwin lagi secara mutaah walaupun masih menjadi isterinya, diajar ‘tok guru’ Syiah berkenaan.

Menurutnya, selepas pelbagai usaha mengajak bekas isteri kembali ke pangkal jalan gagal, dia terpaksa menceraikannya selepas mendapat nasihat beberapa kaunselor dan tokoh agama yang menyatakan, hanya perceraian dapat mengatasi masalahnya berikutan wanita itu menganuti ajaran yang sangat berbeza dengan umat Islam lain di negara ini.

“Sebelum mengambil keputusan bercerai pada 2004 iaitu selepas tujuh tahun berkahwin, puas saya memujuknya supaya kembali kepada ajaran Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan meninggalkan Syiah yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

“Namun, dia bertegas kononnya Syiah adalah aliran Islam yang terbaik,” katanya kepada Metro Ahad di sini.

Azam berkata, pada awal perkahwinan mereka, bekas isterinya yang juga guru tidak menimbulkan masalah, malah sangat mendokong pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Menurutnya, perangai bekas isterinya berubah selepas berkawan baik dengan seorang guru wanita di sekolahnya dan selepas itu, bekas isteri kerap menceritakan kebaikan secara berlebih-lebih mengenai Ahlul Bait (keluarga Nabi).

“Ketika itu, saya langsung tidak mencurigai kelakuannya. Namun, dia pernah menyatakan mazhab Ahlul Bait (Syiah) adalah terbaik berbanding mazhab muktabar lain, menyebabkan saya mula terasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Tidak lama selepas itu, isteri membawa beberapa naskhah buku, risalah dan nota berhubung ‘mazhab’ berkenaan yang menceritakan kebaikan keluarga nabi.

“Bagaimanapun, risalah itu secara jelas menghina dan mengkafirkan sahabat Rasulullah, terutama Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab,” katanya.

Berikutan itu, dia mula tidak senang dengan tindak-tanduk isterinya kerana sepanjang pengetahuannya, semua khalifah di kalangan Khulafaur Rasyidin dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad SAW kerana perjuangan dan pengorbanan mereka menyebarkan Islam.

Menurutnya, bekas isteri pernah mengajaknya mendengar ceramah disampaikan guru Syiah itu, namun dia mengelak kerana bimbang akidahnya terpesong.

Azam berkata, bekas isterinya mula menunjukkan perubahan akidah yang ketara pada 2000 dan berlarutan sehingga mendapat anak ketiga sebelum rumah tangga mereka gagal diselamatkan lagi apabila terlalu taksub dengan ajaran Syiah.

“Sebelum kami bercerai, bekas isteri mempraktikkan amalan Syiah seperti bersolat hanya tiga kali sehari dan berpuasa mengikut cara kumpulan itu iaitu hanya berbuka selepas tiada lagi sinar matahari, jam 8 malam.

“Tindakannya membuatkan saya tidak selesa, sekali gus meretakkan hubungan kami. Malah, ibu bapa pernah beranggapan bekas isteri tidak sudi berbuka puasa dengan mereka, sedangkan hakikatnya dia berbuka puasa lebih lewat berbanding umat Islam lain,” katanya.

Azam berkata, dia kini bimbangkan tiga anaknya berusia antara 12 hingga 16 tahun yang tinggal bersama bekas isteri.

“Saya risau akidah anak turut terpesong daripada landasan Islam sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jika mengambil anaknya tinggal bersama pada hujung minggu, dia memerhatikan cara mereka bersolat, namun setakat ini mereka dilihat menunaikan ibadat itu mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Bagaimanapun, saya bimbangkan persepsi dan cara mereka berfikir. Saya pernah berbual dengan anak sulung (lelaki) mengenai keadaan politik serta pergolakan di Iran dan Syria. Hasil perbualan itu, saya dapati dia mengagumi dua negara itu.

“Iran negara paling ramai penganut Syiah dan secara tidak langsung ia menggambarkan cara anak saya berfikir dan pasti dia turut mengagumi beberapa pemimpin negara itu yang berpegang teguh pada ajaran berkenaan.

“Kini saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi petunjuk kepada bekas isteri dan melindungi anak daripada terpengaruh dengan ajaran Syiah.

“Pelbagai usaha saya lakukan bagi mengajak bekas isteri kembali ke pangkal jalan, namun ditolak,” katanya. (myMetro)

Buku Terkini Dr Mujahid: Berdialog Dengan Gereja...






PETALING JAYA: Sebuah buku nukilan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berjudul 'Berdialog dengan Gereja sebuah Travelog kedamaian' telah disempurnakan peluncuran awalnya oleh Pengarang Rencana dan Analisis The Malaysian Insider,  Zulkifli Sulong.

Majlis berlangsung di Old Town White Coffee, Seksyen 13, dekat sini, petang semalam.

Buku terkini Dr Mujahid memaparkan pengalaman beliau selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional yang terlibat dalam dialog dengan pihak gereja, khususnya dalam isu kalimah Allah yang mencetuskan provokasi hubungan antara agama di negara ini. Dalam ucapan ringkasnya Dr Mujahid menyatakan bahawa buku ini bersifat santai supaya semua pihak dapat membacanya berbanding dengan penulisan akademik yang agak ketat disiplinnya.

Prof Madya Mat Rofa, seorang pakar metematik yang banyak terlibat dalam dialog antara agama turut dijemput membuat ulasan buku. Menurutnya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memahamkan orang ramai bahawa dialog antara agama adalah jalan ke hadapan dalam melihat hubungan antara agama terpelihara demi kedamaian.

Beliau juga menyebut sifat rahmat Islam adalah ciri utama keperluan dialog ini.

Zulkifli ketika berucap menyifatkan keterlibatan Dr Mujahid dalam dialog isu kalimah Allah bersifat proaktif dan menjelaskan keadaan di mana kisah perjalanan ini dikumpulkan dalam buku ini.

Pengerusi Eksekutif Ilham Books, Hisomudin Abu Bakar dalam ucapannya mengharapakan buku ini dapat memenuhi kehendak pasaran dalam buku-buku bertemakan dialog antara agama. Majlis diakhiri dengan sesi tandatangan dengan berbagai pihak berpusu-pusu untuk mendapatkan buku dan tandatangan penulis.

Buku berharga RM 25.00 itu boleh diperolehi di laman   www.facebook.com/ILHAMBooks atau hubungi  019 6740644 dan email ilhambooks@gmail.com.

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid' E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails