by
TAN SRI ABDULLAH AHMAD
WEST End, London, Rabu 6 November:
SUHU makin dingin,
angin berderu-deru, ada masa kuat; daun mulai luruh. Waktu solat cepat,
pendek. Apa pun saya riang, bersiar, membaca, menonton dan tidur. Orang
kaya mega lebih gembira; gelak ketawa kebank. Selalunya mereka pemodal
pintar dan resilient, ada ketahanan.
Dalam Kelas Dunia Pertama hanya
seorang sahaja keturunan Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan
kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan beragama Islam yang benar-benar
mega kaya. Bukan itu sahaja personaliti ini juga tegas Speaking, “the
guardian and defender of Islam, Malay language and custom in his
nation.” Tuanku Bolkiah, Sultan Brunei, mengikut Christian Sylt dari The
Guardian (Isnin, 4 November) dianggar mempunyai aset 20 bilion Pound
Sterling. Dalam liga bilionair, Pound Sterling atau dolar Amerika, saya
kira baginda berada dalam first division (division pertama).
Waktu saya dalam “buangan” di UK awal 1980an, saya terkejut dan
berasa terhormat Tuanku Bolkiah tegur dan bersalaman dengan saya di
surau pelajar Malaysia di Bryanston Square; dan beberapa tahun selepas
itu berpeluang menghadapnya dalam majlis santapan malam diraja meraikan
hari keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar Pekan. Saya berada di
London apabila Sultan membeli Dorchester Hotel di Park Lane.
Reaksi
saya ketika itu, "delighted that not only Arabs can buy trophy
properties in London”. Saya juga bertanya diri sendiri; kenapa Tuanku
tidak beli Harrods? (dibeli oleh Mohamed Al Fayed). Kenapa Tuanku tidak
beli akhbar? Masa itu The Daily Express dan The Independent berada dalam
market. Saya juga mencadangkan kepada Daim Zainuddin, waktu itu Menteri
Kewangan kita dan Ananda Krishnan membeli sama ada The Independant atau
The Daily Express untuk menjadi “suara kita” di UK dan Eropah Barat.
Satu peluang keemasan terlepas.
Media dan korporat British juga kenalan Mat Salleh saya konsensus
menegaskan Sultan Brunei “overpaid” yakni membeli Dorchester Hotel
terlalu mahal. Saya meradang walaupun mereka tidak berkata demikian
nuansa perkataan dan nada ungkapan mereka seolah baginda “tertipu”!
Darah Melayu saya naik, “you wait and see. The Sultan will have the last
laugh.”
Maksud saya walaupun mereka menyangka demikian saya yakin Tuanku
Sultan Brunei telah melakukan pembelian yang bijak. Hampir tiga dekad
telah berlangsung Sultan Brunei boleh mentertawakan mereka yang
menganggapnya tidak bijak membayar begitu tinggi. Sekarang siapa yang
bodoh! Siapa yang ketawa ke bank! Saya suka menambah sedikit, “He who
laughs last laughs loudest!”
Apabila membaca Financial section of The Guardian -saya jarang
berbuat demikian- lo and behold terpapar tajuk berita “sitting pretty
Dorchester Hotels take record 304 million Pound Sterling.” London kini
mengalami ledakan ekonomi, segala aktiviti melambung... terutama
perhotelan, perumahan, restoran, teater, hiburan apa lagilah di kawasan
elit seperti Mayfair, Belgravia, Knightsbridge, South Kensington,
Chelsea dan Piccadilly. Saya tumpukan kepada satu kawasan sahaja,
Mayfair. Dorchester Group mempunyai 10 hotel berjenama di seluruh dunia
termasuklah Dorchester di Park Lane.
Mustapa Mohamed dan beberapa ahli
rombongan ke Persidangan WIEF telah menginap di Dorchester Hotel.
Dorchester Group telah meraih keuntungan 304 million Pound Sterling
tahun lepas. Sultan Brunei mengikut Sylt, telah menambahkan lagi
bilangan hotel kumpulan Dorchester Group. Di depan Dorchester Hotel, 45
Park Lane, dulu Playboy Club, kini hotel ala Deco (45 bilik) dipunyai
oleh Dorchester Group. Kedua-duanya untung. Sultan Brunei dua bulan
lepas telah membeli Hotel Eden di Rome, hotel kesukaan Tom Cruise dan
Mel Gibson. Selain dari itu baginda mempunyai hotel di New York, Beverly
Hills, Hollywood, Paris, Milan, Singapore dan Kuala Lumpur.
Seronok bergelar seorang bekerja sendiri. Saya seperti orang Korea
Selatan, Jepun, Singapura dan Eropah yang lanjut umur yakni 65 tahun ke
atas terus bekerja kerana berbagai sebab. Pertama tak cukup hidup
sempurna dengan wang pencen sahaja; ditinggalkan terbiar oleh anak
kandungan sendiri (banyak kes seperti ini dalam kalangan orang Melayu
Islam pun. Insiden ini meningkat); bosan atau bored apa lagi setelah
suami atau isteri meninggal.
Sama ada kahwin atau berpartner sesama tua
yang senasib; tidak sanggup, reda menumpang / tinggal di rumah
kebajikan. Ada kerana menjaga maruah tidak mahu membebankan anak-anak.
Orang seperti Dr Mahathir Mohamad tidak tahu apa itu persaraan. Saya
merancang apabila tidak lagi terdaya makan angin, menulis akan duduk
diam-diam di rumah atau dipondok / di masjid. Sebelum itu the world is a
stage!
Anda yang biasa dengan tamadun barat tidak akan terkejut kenapa
Broadway di New York dan West End terus makmur dan segar. Teater dan
show di London adalah antara daya penggerak (driving force) yang menarik
dan membawa ratusan ribu dan million pelancong antarabangsa yang
menjadi UK destinasi favourite mereka. Tahun lepas sahaja tiga juta
pelancong antarabangsa menonton musical, play, ballet dan opera di West
End. Ramai menziarahi tempat kelahiran Shakespeare di Stratford -upon-
Avon di mana kini mereka boleh menonton pementasan Richard 11.
The Lion
King adalah yang paling popular di kalangan pelancong. Anda akan
terkejut lebih ramai pelancong seberang laut pergi ke teater dari
menonton perlawanan bola sepak dan ragbi. Kelmarin (Selasa) di Covent
Garden, West End. Selepas itu pergi ke Waterstone (kedai buku) di
Piccadilly, makan di Mayfair; ke Harrods di Knightsbridge beli ikan
bilis (whitebaits) yang sudah goreng di Food Hall. Kemudian pulang ke
tempat hinggap.
Chrismas - walaupun dua bulan lagi - sudah pun tiba di Harrods, Bond
Street, Regent Street dan juga di Oxford Street yang amat popular dengan
pelancong Malaysia selain dari Queensway. Saya dapati ramai pelancong
Malaysia di Marks and Spencer, Selfridges, Primark, Whiteleys dan di
outlet di Bicester di Oxfordshire.
Harrods, “the best known corner shop in the world” kata Speaking “is
now owned by the Qataris after they paid Al Fayed 1.5 bilion Pound
Sterling three years ago.” Harrods kini begitu untung hingga dapat
memberi dividen sejumlah 100 milion Pound Sterling kepada tuan punyanya
tahun lalu. Seperti Sultan Brunei, saya kira Qataris pintar dan bijak
berniaga dan are laughing their way to the bank!
Anda mahu hantar hamper Harrods kepada siapa-siapa? Kekasih, menteri
atau bos? Tidak mahal bagi OKB-orang kaya baru. Bukan orang Kota Bahru!
Hamper yang termahal pun baru 20,000 Pound Sterling saja! Yang sederhana
dan amat sesuai dengan tok guru, ustaz dan ustazah serta mentor agama
anda adalah minyak zaitun disadur (infused) dengan 24 karat gold flakes
yang boleh dimakan. Harganya murah sahaja -750 Pound Sterling satu
botol!
Saya selalu ke Harrods berjalan kaki mahu selamatkan tambang black
taxi bagi membolehkan saya beli ikan bilis British berharga 4 Pound
Sterling sekali makan (bagi saya) dan masalodeh ala India utara (tidak
begitu garing seperti yang terdapat di Kuala Lumpur). Harganya 1.50
Pound Sterling atau lebih kurang RM7.50 sebiji!
Jumaat lepas, solat fardu di surau kedai makan Khan di Queensway.
Khutbah imam muda Pakistan peranakan London bagus, ringkas dan padat
dalam bahasa Inggeris tanpa pelat. Surah yang dibaca pun pendek sahaja.
Jemaah ramai Melayu, termasuk pegawai Pejabat Pelajar Malaysia dan
pelajar sebab musala di Malaysia Hall dalam renovasi.
“Kita menumpang
bersolat di sini. Zaman Tan Sri dulu surau kita di Bryanston Square luas
dan selesa, sekarang sempit. Kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan
Hadhari” kata seorang diplomat kita kepada saya.
Kerana tidak mahu
memburukkan Kerajaan Hadhari dan pemimpinnya yang kebetulan menghadiri
Persidangan WIEF, saya senyum sahaja.
Habis makan di kedai Khan - nasi putih dan kari ayam dan satu botol
coca cola berharga 4.50 Pound Sterling, harga murah untuk jemaah, saya
pergi ke Whiteleys. Di situ, seorang juru jual, gadis gedempol dari
Rumania memujuk saya membeli sabun kesukaan Siti Nurhaliza. Saya
terpukau kerana si gedempol itu bertutur dalam bahasa Melayu dengan
fasih. Saya pun beli bukan satu jenis barang tetapi tiga!
Saya bertanya
“awak belajar bahasa Melayu di mana?”
Jawabnya “boyfriend orang Brunei
tetapi sudah pulang.”
Tiada sebab dia berbohong kepada saya. Saya puas
hati. Ada jurujual keturunan Melayu di KL pun tidak boleh bicara dengan
begitu pintar dan memukau dalam bahasa kita.
(
TAN SRI ABDULLAH AHMAD/SH)
10 November 2013
HMH STEVIA HERBA
Daun Stevia, Ganti Gula Baik Untuk Diabetes..