Sunday, November 24, 2013

Ulama: Jangan Keluar PAS Demi Kerjasama Politik


Majlis Syura Ulama PAS memberi amaran kepada anggota parti hari ini agar mematuhi garis panduan parti dalam mengamalkan kerjasama politik dengan parti dalam Pakatan Rakyat dan juga dengan gerakan Islam tertentu.

Setiausaha jawatankuasa tersebut, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama tidak mahu anggota PAS keluar parti semata-mata untuk bersama dengan parti politik lain atau menunjukkan tindakan ketaatan kepada pertubuhan Islam lain.

Nik Zawawi berkata konsep itu diputuskan berasaskan Al-Quran, Al-Hadis, Ijmak ulama dan Qias dan ia diamalkan berdasarkan pendapat yang disepakati (ijtihad jamai'e) dan menepati kehendak badan tertinggi PAS itu.

"Majlis Syura Ulama menegaskan semua anggota dalam gerakan harakah, jangan sekali-kali kita melanggar garus panduan yang ditetapkan oleh Majlis Syura kerana ia adalah satu juzuk daripada agama sudah tentu ada garis panduan dalam Islam.

"Kita tidak akan berganjak dengan strategi yang besar dan berkesan ini," katanya.
Berucap ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam hari ini, Nik Zawawi menegaskan bahawa kerjasama politik atau dalam istilah Arab 'tahaluf siyasi' itu akan diteruskan.

"Allah menganugerahkan kejayaan mengadakan tahaluf siyasi dan Isya-Allah PAS tidak akan mengkhianati rakan-rakan sepejuangan.

Isu berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat menjadi antara topik utama yang dibangkitkan oleh para perwakilan dalam muktamar tersebut. (MK)

Naib Presiden: Salahuddin, Tuan Ibrahim & Husam



SHAH ALAM: Salahuddin Ayub, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa dipilih sebagai Naib Presiden PAS bagi sesi 2013-2015 pada Muktamar Tahunan PAS ke-59.
Salahuddin memperolehi 917 undi, Tuan Ibrahim (849) dan Husam (520).
Dua calon lagi, Datuk Mahfuz Omar memperolehi 504 undi dan Datuk Abu Bakar Chik (364).

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi jam 10.50 pagi ini.
Jelasnya, jumlah perwakilan yang berdaftar ialah 1,129 sementara yang mengudi 1,086 dengan enam undi rosak.

K-Pop: Kerosakan Budaya, Rakyat Diarah Jadi 'Ulat Bulu'?




HALAMAN HIBURAN 
KL: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) amat kesal dengan sikap kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan  yang akhirnya mengaku memanggil artis K-Pop dari Korea Selatan dengan bayaran RM1.6 juta pada sambutan Hari Belia 2012. Kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar)

Lebih parah beliau menjustifikasikannya dengan menyatakan berjaya memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara iaitu sebanyak RM140 juta. Menteri yang menerajui KBS kini menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap ini sebagai  kejayaan utama yang dapat dinilai dari segi pulangan wang ringgit kepada hasil negara.

"Kami menyelar sikap Menteri tersebut yang sama sekali tidak menghormati Dasar Kebudayaan Kebangsan dan Islam sebagai agama Persekutuan yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama lebih dari soal pulangan wang dan  inovasi dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerajaan.

"Kami mempersoal inovasi apa yang beliau maksudkan dengan mempersembah penari Korea yang berpakaian tidak senonoh untuk menarik belia.

"Inikah darjat pemikiran seorang Menteri yang hendak menerajui pembentukan budaya generasi muda di negara ini? Dengan berjaya menonjolkan budaya asing untuk menarik 2.4 juta pengunjung di Sambutan Hari Belia, ia bukan satu ukuran yang sepatutnya dibanggakan.

"Menarik penaja untuk membiaya K-Pop yang jelas merupakan budaya asing yang bercanggah dengan nilai budaya negara, bagi kami adalah polisi yang sangat memalukan. Kami tidak boleh menerima sama sekali alasan beliau bahawa soal K-Pop hanya salah satu dari 500 acara sambutan dan ia tidak perlu diperbesarkan."

Menurut Mohd Azmi lagi, Menteri beralasan untuk Malaysia ada satu acara ikonik kerana membandingkan dengan  Brazil yang ada Karnival Rio, Jerman ada Oktober Fest, bermakna beliau mempunyai pemikiran yang suka plagiat budaya dan acara orang lain untuk dibawa ke Malaysia.

Bila beliau berkata tiga kumpulan K-Pop yang dipanggil itu merupakan antara 10 kumpulan paling popular di Korea Selatan tetapi untuk mendapatkan tempahan, sejumlah deposit daripada RM900,000 perlu dibayar, ini bererti beliau tidak terfikir sama sekali apa rasional untuk membawa penari bergaya tidak senonoh itu betapa popular sekalipun mereka itu.

Bagi majlis tersebut, ini bukan isu tiada salah laku dalam cara perbelanjaan tetapi adalah soal apa justifikasi  beliau meluluskan membawa penari K-Pop itu. Ini juga bukan isu politik.

"Ini adalah isu kerosakan budaya dan percanggahan nilai dan moral rakyat dan negara yang dibawa sendiri oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat." Ulas Mohd Azmi.

Mapim kesal PAC begitu dangkal dalam menangani isu ini yang hanya dilihat dari segi prosedur bayaran. Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed ternyata tidak memahami kemarahan rakyat bila wang rakyat dibelanja untuk membiayai penari yang tidak ada kena mengena dengan soal pembentukan sahsiah belia di negara ini.

"Kami menyatakan bantahan kami kepada sikap kerajaan yang jelas tidak sensitif dengan soal kerosakan akhlak generasi muda  dengan membawa artis luar negara yang tidak melihat kesan dan imej yang akan terbentuk kepada generasi muda.

"Bila Pengerusi PAC itu berkata bajet yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery untuk Hari Belia 2012 dahulu amat sesuai dengan dasar kerajaan yang mahukan setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberi pulangan sekali ganda atau lebih, bermakna harga nilai moral bagi kerajaan adalah lebih rendah berbanding pulangan nilai wang ringgit.

"Kami berpendirian kerajaan telah melakukan suatu jenayah dan pengkhianatan budaya yang sangat besar bila wang rakyat diguna untuk mengimport persembahan yang rendah moral dan sama sekali bertentangan dengan Dasar Budaya Kebangsaan dan Islam sebagai agama di negara ini." kesal Mapin lagi.



Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Melihat gambar di atas, PM Najib dan penari bogel (dalam ertikata 'berpakaian tetapi telanjang), apakah rakyat Malaysia hendak dibawa menjadi 'ulat bulu' seperti gambar di atas? Ulat bulu naik daun...
(IH)

Diebetes: Daun Stevia Perlu Ganti Gula..



By HMH HERBA

MENURUT International Diabetes Federation (IDF), jumlah pesakit diabetes di Malaysia pada tahun 2012 adalah seramai 2.1 juta dari 371 juta orang pesakit seluruh dunia. Ada juga nas ditulis menyebutkan bahawa 2.6 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun keatas mengidap penyakit diabetes. Diabetes berlaku antaranya disebabkan kadar gula berlebihan dalam badan.

Lantas langkah pengurangan subsidi dengan menaikkan harga gula dilaksanakan serta merta selepas lapan jam pengumuman Bajet 2014 dibuat oleh Perdana Menteri, baru-baru ini. Maka timbullah pandangan perlunya gula diganti dengan daun stevia..

Stevia Daun Pemanis

Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.

Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat  
  • penyakit berkaitan kencing manis, 
  • obesiti, 
  • menurunkan tekanan darah tinggi, 
  • melawaskan kencing 
  • dan merawat luka terbakar.  
Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis amat sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan. Dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara ini.



Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi Dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.

“Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya.

“Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.

“Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula,” katanya

Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis. Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.

“Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan.

“Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula,” katanya.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu. Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Apakah ada potensi stevia sebagai tanaman komersial di negara ini? Bolehkan ia dijadikan industri bahan pengganti gula?

Bersambung.. Insya Allah.

Lihat, untuk dapatkan stevia asli, klik gambar..
Stevia Ganti Gula Dalam Makanan Dan Minuman, Untuk Diabetes.
HMH STEVIA HERBA

Tak rasmi: Tuan Ibrahim, Salahuddin dan Husam Menang N/Presiden


Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenainya hanya akan diumumkan esok di Muktamar PAS.
Menurut sumber, wakil bagi pihak-pihak yang bertanding sudah menandatangani borang pengesahan keputusan itu setelah kiraan kali terakhir dibuat. – 23 November, 2013.(TMI)

Mat Sabu Kekal Timbalan Presiden Pas 

Mohamad Sabu Dipilih Semula Timbalan Presiden PAS


Mohd Amar mengucapkan tahniah kepada Mohamad. (Foto: Nasir Sudin)

SHAH ALAM: Mohamad Sabu dipilih semula sebagai Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2013-2015 pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-59.
Mohamad mendapat 588 undi sementara Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendapat 490 undi.
Manakala bagi jawatan Naib Presiden PAS sedang dikira semula.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi sebentar tadi.

Ahli-ahli Jawatankuasa yang dipilih:

1. Idris Ahmad - 927 undi
2. Mazlan Aliman - 840
3. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - 688
4. Datuk Amiruddin Hamzah - 679
5. Dr Mohd Hatta Ramli - 649
6. Nasrudin Hassan - 645
7. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz - 627
8. Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa - 628
9. Dr Dzulkefly Ahmad - 610
10. Mohamed Hanipa Maidin - 604
11. Datuk Kamarudin Jaffar - 562
12. Khalid Abdul Samad - 547
13. Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh - 518
14. Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - 476
15. Dr Riduan Mohd Nor - 469
16. Datuk Dr Mahfodz Mohamed - 455
17. Dr Siti Mariah Mahmud - 437
18. Nuridah Salleh - 424

Keputusan bagi jawatan Naib Presiden PAS akan diumumkan pagi esok.

Sebelum ini..
 E-Buku IH-80: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 (2)
E-Buku IH-80: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 (2)

Siapa Orang Cina Terlibat Tubuh PAS Pada 1951?

Ibnu Hasyim
RAMAI yang tidak sedar bahawa PAS atau Parti Islam Se Malaysia juga telah ditubuhkan oleh orang yang berbangsa Cina. Beliau adalah  Haji Mansur JP.:

Satu: Nama sebenarnya ialah Haji Mansur bin Haji Hasan. Hj Hasan pernah disebut-sebut sebagai Hj Hasan Kwantung (Canton). Ayahnya beragama Islam, Islam asal dari negara China, berambut panjang bertocang. Rumahnya di tengah pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dua: Beliau mendirikan sistem pendidikan Islam pondok yang pertama di pulau, tidak termasuk Seberang Prai, di kawasan surau simpang 3 Bayan Lepas, Kampung Seronok dan Teluk Kumbar. Surau tersebut masih ada sampai sekarang. (Sumber: temuramah Ibnu Hasyim dengan anak bongsunya Hj Murshid di awal 1990an. Rujuk buku Ibnu Hasyim: Krisis UMNO-PAS, Penyelesaian Menurut Islam ??).

Tiga: Hj Mansur JP berjawatan sebagai Naib Yang Di Pertua Aguang PAS yang pertama selepas penubuhan PAS pada tahun 1951. (Rujuk buku Ibnu Hasyim: 1950-200 PAS Kuasai Malaysia?). PAS waktu itu ada 2 Naib YDP Agung.

Empat: Beliau bermenantukan seorang ulama terkenal di Pulau Pinang waktu itu, iaitu Hj Ahmad Badawi, ayah kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Hj Ahmad Badawi. Ada kenyataan menyebutkan bahawa Hj Ahmad Badawi sendiri (ayah Pak Lah) adalah adalah penaja parti PAS dan menubuhkan Pemuda PAS, serta dilantik menjadi ketua Pemuda PAS yang pertama.

Lima: Sejarah juga menceritakan semasa akan berlaku penubuhan PAS, beberapa perjumpaan antara ahli-ahli UMNO telah diadakan di Johor, Perak dan Kuala Lumpur. Mereka berjaya membentuk sebuah panatia penaja untuk mengusahakan perlaksanaan penubuhan PAS. Antara yang terpilih ialah:

1.Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
2.Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
3.Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota
4.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
5.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
6.Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
7.Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu, iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.

Panitia ini juga memilih UMNO Bahagian Seberang Prai dan Pulau Pinang sebagai tuan rumah persidangan dua hari yang diadakan di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Prai, pada 22 &23 Ogos 1951 bersamaan 21 & 22 Zulkaedah 1370H.

Ada juga yang menyebutkan Ustaz Uthman Hamzah guru Madrasah Ihya As-Syarif juga bekas ahli jawatan kuasa eksekutif Hizbul Muslimin, dan Syed Abdullah Hamid Al-Edrus seorang penulis dan penerbit di Singapura adalah di antara yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PAS. Begitu juga penyokong-penykong terdiri dari guru-guru pondok, ustaz-ustaz, imam-imam dan pelajar-pelajar sekolah agama.

Enam:  Saya pernah menulis..

Pada 23 Ogos 1951, adalah hari perasmian penubuhan Persatuan Ulama Se Malaya di Bangunan Kelab Melayu Bagan, Butterworth. Setelah masing-masing setuju penubuhannya, undang-undang tubuhpun dibahas untuk disahkan.

Seorang perwakilan dari Persatuan Al-Ihya Al-Syarif, Gunung Semanggul Perak, membahas nama yang tertera di rangka undang-undang tubuh tersebut. Beliau adalah Ustaz Uthman Hamzah bekas anggota Hizbul Muslimin dahulu. Beliau mencadangkan nama Persatuan Ulama Se Malaya dipinda kepada Persatuan Islam Se Malaya, atau sebutan ringkasnya PAS.

Alasannya, kerana ahli-ahlinya terbuka kepada umum, yakni orang-orang Islam yang akil baligh (tidak semestinya ulama) dan beberapa alasan lain. Beliau, meragui penyertaan ulama yang kurang memuaskan. Cadangannya tidak diterima oleh jawatankuasa penaja dan Puan Dasimah Dasir yang mewakili Kaum Ibu UMNO, terus menjadi perbahasan. Pengerusi waktu itu adalah Haji Mohd Ghazali Abdullah, yang menghadkan kepada tiga nama sahaja untuk diundi.

Iaitu :

i.Persatuan Islam Se Malaya (PAS) yang mendapat undi sebulat suara.
ii.Persatuan Ulama Se Malaya.
iii.Persatuan Muslimin Tanahair (PERMATA) atau Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA).

Maka PAS ditubuhkan hasil dari muktamar tersebut. Alamat pejabatnya waktu itu: No 721, Kepala Batas, Seberang Prai.

Tujuan-tujuan awalnya ialah:

1. Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
2. Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
3. Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
4. Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
5. Pegawai-pegawai persatuan’ atau pimpinannya terdiri dari;
i.Seorang Yang Di Pertua.
ii.Seorang Timbalan Yang Di Pertua.
iii.3 orang Naib Yang Di Pertua.
iv.Seorang Setiausaha Agung.
v.Seorang Bendahari
vi.12 Ahli Jawatankuasa. Mereka hendaklah dipilih dan dilantik dalam mesyuarat agung, kecuali 1/3 dari ahli jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Yang Di Pertua.

Jawatan mereka hanya setahun, iaitu hingga bertemu mesyuarat agung tahun hadapan. Tugas-tugas dan kewajipan juga terdapat dalam undang-undang tubuh Persatuan Islam Se Malaya tersebut.
 Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:

1.Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
2.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
3.Tuan Haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
4.Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
5.Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan).
6.Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
7.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari.
8.... * (Antara nama yang tertinggal di sini akhirnya difahamkan ialah Haji Mansur JP.:)

Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada:

1.Tuan Haji Yahya Joned
2.Tuan Haji Uthman Talib
3.Tuan Haji Mohammad Nor
4.Tuan Haji Zabidi Ali
5.Tuan Haji Abdul Wahab
6.Tuan Haji Assaiya
7.Muhammad Mahzub
8.Tuan Haji Ahmad Nadur.

Permohonan pendaftarannya dibuat di pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaya, di Pulau Pinang. Apabila hampir pilihan raya kebangsaan 1955, barulah kelulusannya didapati, iaitu pada 31 Mei 1955. Registration no 773 (Penang). Rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.

Begitu, kira-kira.

Oleh Dr Hj Mohd Hasyim 
 (Ibnuhasyim.com) Sempena muktamarPAS ke 59

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-35: Cina Malaya & Malaysia..
E-Buku IH-35: Cina Malaya & Malaysia..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails