by Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr Mujahid Yusof Rawa
Rahmat Yang Hilang...
KERAHMATAN adalah perkataan yang indah namun sukar dinikmati
dan kerana hakikat ini, mengecapi kerahmatan adalah sesuatu yang
merupakan kemuncak perasaan belas dan ihsan kepada ciptaan Allah.
Tidak mungkin kerahmatan ini dihargai jikalau tidak terasas dalam
diri kita sebagai seorang muslim sifat insaniah yang dianjurkan oleh
Islam. Mukadimah di atas membuka ruang untuk saya menyinggung
perkembangan terkini rampasan beberapa ratus naskhah Injil dari premis
PersatuanInjil Malaysia oleh pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais).
MEMBETULKAN SALAH TANGGAP
Adalah jelas di sini pertikaian betul atau tidak tindakan Jais boleh
dibahaskan dari sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak dan inilah
yang berlaku kepada setiap penguatkuasaan yang dilaksanakan. Saya tidak berminat untuk membahas aspek itu kerana Jais pasti akan
mempertahankan tindakannya dan terserahlah kepada pihak pengamal
undang-undang untuk membuat penilaiannya.
Saya lebih cenderung untuk melihat dalam artikel ini dari sisi
prinsip yang memantulkan sifat rahmatan Islam yang mencakupi keseluruhan
alam ini termasuk kepada penganut agama lain. Apa yang saya nyatakan sebelum ini dalam kenyataan saya selepas
peristiwa rampasan kitab Injil itu berpandukan kepada prinsip Islam
dalam konteks hubungannya dengan penganut agama lain supaya kejelasan
kita kepada isu ini tidak diheret dengan sentimen dan emosi buta yang
boleh mencemarkan nama baik Islam.
Saya bimbang dengan sesetengah pihak dari kita yang memandang serong
kepada saya sehingga mereka tidak dapat membezakan apa yang saya katakan
dari kerangka prinsip dan kemarahan mereka yang tidak berasas.
Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip, walaupun dalam keadaan
marah sekalipun, kita memerlukan prinsip untuk memandukan kita dan Islam
sarat dengan prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan
agama lain. Semoga prinsip yang saya akan jelaskan di bawah difahami oleh mereka
yang kenyataan dan tindak-tanduk mereka telah mencemarkan nama baik
Islam.
PRINSIP PERTAMA: RAHMATAN LIL ALAMIN
Prinsip Rahmatan diambil dari kenyataan Al Quran yang mengasaskan
- “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat
ke alam ini” (Al Anbiya' 107).
Sebarang tindakan ataupun undang-undang mestilah tidak bercanggah
dengan sifat Rahmatan yang diasaskan oleh Islam . Demikianlah kita
menentang ISA dan lain-lain akta yang tidak bersandarkan prinsip utama
Syariat.
Bagi sesebuah pihak yang berkuasa yang bertindak atas nama Islam,
prinsip ini lebih-lebih lagi hendaklah diutamakan kerana walaupun
bertindak atas nama Islam tetapi apabila tidak memantulkan makna
Rahmatan maka ia bukanlah daripada Islam.
Makna Rahmatan bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut
dan bersantun dalam memelihara hak Allah kepada manusia walaupun manusia
tidak dapat menerimanya. Hak Allah ke atas hamba-hambanya tanpa mengira keturunan dan agama
ialah menghormati kebebasan mengamalkan agama masing-masing termasuklah
upacaranya dan kitab sucinya.
Islam hanya menentang dan tidak dapat menerima aspek teologinya
(aqidah) dan caranya ialah dengan menjelaskan kepada mereka melalui
dakwah dan berdebat dengan cara yang terbaik. Allah berfirman dalam An
Nahl: 33, yang bermaksud:
- “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan
Allah dan mengatakan bahawa aku adalah dari kalangan muslimin.”
Para musfasir berpendapat bahawa kerana ayat ini turun di Mekah maka
ia adalah ayat tentang tugas Nabi yang besar dalam menerangkan kebenaran
Tauhid melalui hujah dan keterangan dari Allah. Kecuali Aisyah (r.a.h) menyatakan ayat ini ialah pujian kepada para
muazin yang menyeru untuk mendirikan solat (sedangkan azan hanya
disyariatkan selepas hijrah).
Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa
mengira bulu atau agama dan salah satu keadilan yang dibela oleh Islam
ialah hak untuk beragama malah segala keperluan ibadat mereka adalah hak
yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepadamereka.
PRINSIP KEDUA: LARANGAN MENGUTUK AGAMA LAIN
Nabi menunjukkan contoh kepada kita bahawa seorang muslim hanya
bertanggungjawab menyampaikan kebenaran tetapi tidak boleh mengecam
tuhan-tuhan golongan yang tidak beriman kerana balas membalas kecaman
hanya akan mengheret pihak lain akan memaki hamun Allah pula sebagai
tindak balas. Allah berfirman dalam Al An'am:108 yang bermaksud;
- "Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada
Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka
tidak ada pengetahuan tentangNya (Allah), Demikianlah dihiaskan pada
setiap umat (yang menganuti sesuatu agama,mereka amat menyukainya dan
akan mempertahankan apa yang mereka ada) perbuatan mereka, dan kemudian
kepada Tuhan mereka akan dikembalikan dan diberitakan kepada mereka (apa
yang kesesatan yang mereka lakukan, dan kebenaran yang dibawa oleh
Muhamaad s.a.w)”
Ayat sebelum 108, iaitu 107, dengan tegas menyebut bahawa Muhammad
s.a.w bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana
hakikatnya Allah menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan mereka
beriman tetapi Allah tidak berbuat demikian. Nabi dan orang Islam hanya
dituntut dengan penuh hikmah menyeru mereka.
- “Jikalau dikehendaki Allah pasti mereka tidak akan mensyirikkan diri
dengan Allah, Kami tidak jadikan engkau wahai Muhammad sebagai penjaga
mereka(untuk beriman) dan engkau bukanlah penjamin mereka (supaya
beriman).”
PRINSIP KETIGA: TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA
Islam tersebar ke seluruh dunia bukan dengan kekerasan dan pemaksaan.
Telah terbukti bahawa penerimaan Islam berlaku secara pilihan dan
pemerintahan Islam tidak pernah memaksa mana-mana bangsa yang
dikuasainya untuk memeluk Islam.
Malah rumah ibadat dan kitab suci mereka dibiarkan untuk penganut
masing-masing tanpa ada urusan campurtangan dalam urusan agama orang
lain. Sebenarnya umat Islam dipandu dengan prinsip “tiada paksaan dalam
memeluk Islam”.
Ia diasaskan oleh firman Allah dalam Al Baqarah:256 yang bermaksud;
- “Tiada paksaan dalam agama, telah jelas petunjuk dari kesesatan,
barang siapa yang kufur dengan Thagut (selain dari Allah) dan beriman
dengan Allah maka dia telah berpegang dengan ikatan yang kuat, tiada
tercerai daripadanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ini turun di Madinah di kalangan ibu-ibu yang Islam bertanya
kepada Rasulullah s.a.w apakah dizinkan mereka memaksa anak-anak mereka
yang beragama Yahudi untuk peluk Islam?
Menjadi amalan kepada ibu-ibu yang susah mendapat anak untuk bernazar
dengan berkata, “Jikalau aku dapat anak akan ku jadikan anak ini nanti
memeluk agama Yahudi.”
Apabila mereka mendapat anak mereka memenuhi nazar ini lalu setelah
mereka menerima Islam, mereka mahukan anak -anak mereka dipaksa supaya
memeluk Islam.
Dalam riwayat yang lain apabila Bani Nadhir dihalau dari Madinah
anak-anak mereka berada dalam itu lalu untuk menyelamatkan anak mereka,
mereka mahu memaksa anak-anak mereka memeluk Islam, dan turunlah ayat
menerangkan prinsip besar ini iaitu “tiada paksaan dalamagama”.
Prinsip ini konsisten hatta semasa Nabi di Mekah apabila Allah
menegaskan bahawa jika dikehendaki semua orang akan beriman. Sifat Nabi
yang ambil berat kepada kaumnya menyebabkan dia bimbang keengganan
mereka untuk tidak beriman lalu Allah menegur Nabinya dalam Yunus:99,
yang bermaksud;
- "Jika Tuhan mu kehendaki maka akan berimanlah semua yang dibumi, apakah engkau mahu memaksa mereka sehingga mereka beriman?"
Kaedah tiada paksaan menerangkan kepada kita juga tentang perlunya
umat Islam menghormati agama lain termasuk rumah ibadatnya dan segala
apa yang mereka anggap suci termasuklah kitab mereka.
Hormat bukan bererti mengiktiraf mereka tetapi akur kepada realiti
kepelbagaian dan bersikap terbuka lewat interaksi dakwah dan mendorong
mereka ke arah menghayati keindahan Islam. Abu Bakar As-Siddiq menulis
surat kepada Kristian Najran dengan berkata:
- “Dengan nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyang, ini adalah surat dari
hamba Allah Abu Bakar, pengganti Muhammad sebagai pemimpin kamu untuk
penduduk Kristian Najran bahawa aku melindungi mereka dengan
perlindungan Allah dan jaminan Muhammad, Rasulallah ke atas diri mereka
dan tanah mereka, agama mereka, harta mereka, binatang ternakan mereka,
ibadat mereka dan semua yang ada serta uskop mereka, rahib mereka dan
jual beli mereka dan apa yang ada dalam milikan merekasedikit pun tidak
dikurangkan atau diambil dari mereka, tiada uskop yang ditukar dan rahib
yang ditukar” (dalam Kitab Kharaj).
Abu Bakar selaku khalifah Islam pertama meletakkan asas hubungan atas
prinsip “tiada paksaan” menjadi ikutan sepanjang sejarah Islam dalam
hak orang bukan Islam khususnya Ahlul Kitab yang perlu dilindungi oleh
pemimpin Islam.
Tidak pernah dalam sejarah Islam mana-mana kitab suci dirampas atas apa juga alasan kerana ia mencemari prinsip tiada paksaan.
“Tiada paksaan” juga bermakna bahawa setiap penganut mempunyai
caranya tersendiri memahami keperluan agamanya tanpa ada hak untuk kita
mencampuri urusan agama dan kitab suci mereka apatah lagi menentukan apa
yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk mereka kerana merekamempunyai
undang-undang dan cara mereka tersendiri.
Dalam al-Maidah ayat 48 menegaskan (yang bermaksud);
- “...pada setiap
umat Kami jadikan mereka undang undang dan cara masing-masing, jikalau
dikehendaki Allah dijadikan kamu atas satu agama tetapi adalah untuk
menguji kamu apa yang diberikan maka berlumbalah berbuat baik..”
Kitab suci Taurat dan Injil ada undang-undangnya dan caranya walaupun
Islam merangkumi kitab sebelumnya tetapi hakikatnya Injil dan Taurat
masih ada hari ini dan tiada hak untuk kita menentukan apa yang boleh
dan tidak boleh dipakai dalam keperluan kitab mereka kerana itu
jugaadalah satu bentuk paksaan.
PRINSIP KEEMPAT: BERDIALOG
Keindahan Islam dan Rahmatnya kepada agama lain terserlah dengan
jambatan dakwah dan dialog sebagai interaksi Islam dengan bukan Islam.
Walaupun kebenaran Islam tidak diragui lagi, Allah tetap menyatakan
prinsip berdialog dan berbincang dengan cara yang baik seperti firmanNya
dalam An Nahl ayat 125 yang bermaksud:
- “Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh bijaksana dan hikmah dan
jika berdebat maka berdebatlah dengan cara yang terbaik(lembut) Maka
Tuhamu mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk”
Prinsip dialog menuntut supaya dalam apa jua hal maka rundingan dan
dialog adalah lebih baik dalam menentukan hubungan dengan agama lain,
apatah lagi jika berlaku kekeliruan ataupun sesuatu yang sensitif yang
boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.
RUMUSAN PRINSIP
Prinsip-prinsip di atas membentuk Rahmatan Islam kepada keseluruhan Alam dan khususnya dalam hubungan muslim dan bukan muslim. Kita diajar bahawa setiap apa yang kita lakukan tidak boleh
bercanggah dengan prinsip di atas selagi tidak ada apa-apa keadaan dan
situasi yang membolehkan orang Islam bertindak sebaliknya seperti
mempertahankan diri ataupun apabila terbukti sesuatu ancaman itu berlaku.
Adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip juga apabila Islam
cuba mencampuri urusan agama orang lain dengan menentukan mana yang
boleh dan mana yang tidak boleh lalu bertindak ke atas mereka. Premis hubungan muslim dengan bukan muslim diasaskan oleh kedamaian
dan situasi sebaliknya seperti permusuhan adalah sesuatu yang mendatang
atas sebab-sebab yang jelas dan bukti yang nyata.
Dakwaan kristianisasi jika benar hendaklah ditangani dengan bukti
kerana itu bertentangan dengan semangat negara ini yang terbina atas
Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Apa yang berlaku hari ini ialah hubungan dengan bukan Islam
seolah-olah berada di atas premis permusuhan manakala kedamaian adalah
pengecualian.
Asas fahaman ini amat bahaya dalam konteks membina negara bangsa dan
perpaduan nasional kerana ia rapuh dan boleh dirampas perpaduan yang
dibina selama ini oleh pihak-pihak yang sempit gagasan negaranya pada
bila-bila masa.
Saya menyeru kepada mereka yang tidak setuju dengan pandangan saya
bahawa berhujahlah atas prinsip yang saya kemukakan dan jangan berhujah
atas emosi dan amarah apatah lagi tuduhan pro Kristian dan malah ada
yang mempersoalkan keIslaman saya.
Apakah sebahagian kita ini sudah hilang kewarasannya dengan
menyebarkan kejahilan dan kebodohan dan menyerang prinsip dan
menidakkannya atas nama Islam?
Penulis ialah Ahli Parlimen Malaysia merangkap Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau juga merupakan Pengerusi Forum Dialog
Antara Agama Untuk Kedamaian peringkat Asia Tenggara. (mStar)
Lihat Sebelum Ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'