Monday, March 31, 2014

Solidariti Khas Buat Mursyidul Am Ikhwan Muslimin -TG Nik Aziz




Beliau seorang yang amat tawadhu' dan memiliki kesabaran yang tinggi. Sosok tubuh yang sentiasa ceria dan suka memberi nasihat menjadi sifat kelaziman dirinya.

Sayyidah Zainab Al-Ghazali pernah menceritakan tentang kehebatan sosok tubuh ini ketika masih berumur dalam lingkungan 20-an katanya

 "pegawai-pegawai penjara telah membawa pemuda tersebut di pintu sel penjaraku lalu mengarahnya secara keras agar mencela dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapku.
"Lalu pemuda tersebut berkata: aku tidak akan caci maki dan hina orang yang pernah mengajarku Al-Quran dan menjaga hafazanku.
"Pemuda itu diseksa dan disebat hampir seribu sebatan namun dihadapinya dengan tabah. Aku tidak sanggup melihatnya begitu dan mengharapkan pemuda tersebut mula mencaci serta menghinaku namun dia tetap berdiam diri dan menghadapi seksaan dengan sabar. Pemuda itu tidak lain tidak bukan ialah Dr Mohamed Badie."

Beliau adalah 'Rijaalun Shadaqu' yang dinyatakan dalam Al-Quran. Semoga Allah meramaikan generasi ini di atas muka bumi yang masih dijajah jahiliah. Hilang seorang daripada mereka akan diganti semula oleh seratus yang lain.

اللهم اجعلنا منهم

(Hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwanul Muslimin oleh regim kudeta tentera Mesir)

Kami di serata dunia menyaksikan
sebuah kecurangan
ini bukan penghakiman;
ini pembunuhan beramai-ramai.

Dalangnya, si bacul yang hanya biasa
menembak rakyat sendiri yang tidak bersenjata;
di depan tentera Israel mereka berlutut tiada bermaya.

Begitu sekali kehormatan direnggut
pejuang yang mesti tersungkur oleh helah para pengecut.

Penindas – mereka tidak lahir daripada kekuatan;
mereka berlaku zalim bagi menyembunyikan kelemahan.

Gugur syuhada disaksi dunia yang terus membisu
dicerca pelbagai dakwaan palsu
dan sang tirani, tidurnya tidak mampu lena
tangan serta wajahnya berdarah dipalit dosa.

Di tali gantung, ratusan nyawa terputus
tetapi kebenaran akan terus
hidup dan bernafas, untuk menunggu kebangkitan seterusnya
oleh ribuan pengganti yang bakal menjelma.

Irfan ES, Mac 2014

Tok Guru N/Aziz Terharu & Terkilan Kunjungan Anwar...

 
KOTA BHARU:  Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendoakan kesejahteraan dirinya agar diberi kekuatan untuk bersama-sama seluruh pemimpin Pakatan Rakyat  bagi menumbangkan Umno dan BN.

Permintaan itu dibuat ketika bertemu Tuan Guru Nik Aziz di Masjid Kampung Pulau Melaka, Sabtu lalu. Anwar menyifatkan  pertemuan itu memberikan inspirasi, kekuatan dan semangat kepadanya bagi menghadapi fitnah dan konspirasi politik yang dihadapinya sejak sekian lama.

"Saya memohon jasa baik Tuan Guru supaya mendoakan kesejahteraan saya bagi menghadapi situasi saya kini," ujar beliau.

Anwar yang hadir di Kota Bharu dalam menjayakan siri ceramahnya berkesempatan bertemu dengan Tuan Guru ketika menunaikan solat Subuh berjemaah. Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir, Adun Gucil, Mohd Roslan Puteh, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR negeri, Muhammad Hisomuddin Bakar dan para pimpinan PKR negeri.

Anwar berkata, bayangan kuasa rejim BN yang hampir jatuh ekoran kebangkitan rakyat dan Pakatan Rakyat menjadi mimpi ngeri Umno dan BN. Katanya, Pakatan Rakyat perlu dilihat kukuh dan mampu meyakinkan seluruh rakyat bahawa ia bersedia mengambil alih kerajaan ekoran kegagalan ketara kerajaan BN sekarang menangani isu-isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

Sementara itu, Tuan Guru begitu terharu dengan kunjungan Anwar malah terkilan kerana tidak dapat turut berceramah bersama Ketua Pembangkang itu kerana keuzuran. Dalam tazkirahnya Tuan Guru berkata, pihak musuh tidak akan senang dengan perjuangan Islam. Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan kekentalan jiwa Anwar yang tabah menghadapi fitnah dilemparkan para pemimpin Melayu sendiri akibat takut hilang kuasa. (HD)

Antara Memali & 500 Dihukum Mati Di Mesir.. -Ahmad Lutfi


by AHMAD LUTFI OTHMAN

Menanti demo sejuta umat dan Memali
SEMASA mendapat panggilan dari nombor antarabangsa yang tidak dikenali, sekitar jam 3 petang Jumaat, 28 Mac lalu, saya dan dua anak lelaki sedang berjalan perlahan menuju Kedutaan Mesir, di Ampang Hilir, Selangor selepas solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Dagang.

Cuaca walaupun panas tetapi tidaklah sampai menggigit kulit, membuatkan lebih 1,000 peserta demonstrasi, yang membantah hukuman mati ke atas 529 penentang kerajaan haram Mesir, tetap bersemangat.

Kebanyakan mereka berarak dari Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang, selepas solat Jumaat di sana. Majoritinya, anak-anak muda, lelaki dan wanita, atau lebih tepat lagi golongan mahasiswa, mahu menzahirkan amarah terhadap kezaliman tanpa batas itu.

(Sejak mendengar khabar duka keputusan mahkamah kanggaru Mesir, beberapa hari sebelumnya, iaitu pada malam Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan destinasi terakhir MH370 adalah di Lautan Hindi, fikiran saya cukup terganggu. Apakah siri penindasan melampau ini akan terus dibiarkan begitu saja? Kita belum lupa bagaimana para demonstran yang berhimpun secara aman di Dataran Rabia Adawiya terkulai ditembusi peluru, malah ada mayat yang dibakar. Penembak tepat pula ditempatkan di menara bagi mencari sasaran khusus).

Kelompok besar dari Jalan Ampang tidak dibenarkan pihak polis untuk masuk merapati pintu masuk kedutaan, dijarakkan sekitar 50 meter, dan kami yang datang dari arah bertentangan, kawasan berdekatan tasik Ampang Hilir, turut dihalang daripada bergabung dengan kumpulan utama.

Pasukan keselamatan melarang laluan di hadapan kedutaan mungkin mahu mempastikan warga di dalamnya tidak diancam peserta himpunan, walhal terbukti suara prihatin petang itu yang membantah pencabulan dahsyat hak asasi, termasuk untuk mendapat keadilan di mahkamah, adalah cetusan nurani yang menyanjung tinggi perdamaian.

Dari jauh, terdengar lantang ucapan wakil parti-parti politik Pakatan Rakyat dan pelbagai NGO, menyifatkan zaman Firaun dan kediktatoran warisan Mubarak-Sadat muncul semula. Disambut seruan takbir dan gema laungan solidariti bersama Ikhwanul Muslimin Mesir, yang kini dilabelkan  beberapa negara Arab sebagai teroris.

Sementara saya meminta izin pihak polis untuk mendekati "pentas pidato" -- sebenarnya sebuah lori di persimpangan jalan - sempat juga meneliti nombor panggilan yang tiga kali tidak dijawab itu. (Selepas memohon ehsan melintasi bangunan kedutaan, dan menunjukkan kad wartawan, barulah dibenarkan).

Tanpa menunggu lama, pemanggil menghantar SMS, empat kali berturut-turut, sambil memperkenalkan diri..., rupa-rupanya Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, tapi dari London.

"Lebih 500 dihukum mati oleh mahkamah Mesir terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin dan para peserta demonstrasi. Sebenarnya, ia bukan satu perbicaraan tapi pembunuhan beramai-ramai oleh kerajaan haram Al-Sisi. Dunia wajib kutuk pembunuhan melalui mahkamah itu," kandungan SMS beliau dipetik.

Seperti mengetahui Kuala Lumpur sedang digegarkan demonstrasi dan beliau tidak berkesempatan untuk memeriahkannya, SMS Mohamad bersambung: "Esok saya cuba pastikan ada himpunan sama di kota London dan akan turut hadir membantah pembunuhan beramai-ramai di Mesir itu.

"Regim Arab yang menyokong kerajaan haram Al-Sisi juga mesti bertanggungjawab atas pembunuhan ala-jahiliyah itu. Rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, harus bangkit menentang tindakan gila yang cukup memalukan ini. Atur strategi dan kaedah berkesan, termasuk di peringkat antarabangsa, untuk menekan Mesir."

Singgungan Mohamad terhadap regim serantau, di Asia Barat dan Teluk Parsi, mengingatkan saya dengan faktor dan peranan politik Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Ikhwan sememangnya sentiasa dimusuhi Saudi. Pada akhir 1980-an, dalam perjalanan ke Memali, saya cukup terkejut apabila seorang ustaz yang lama menetap di Makkah secara selamba menyifatkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas, lama sebelum Bush mengiystiharkan perang dengan teroris!

Berdepan bangunan kedutaan Mesir, yang dikepung pihak polis, saya tidak puas hanya mendengar dari jauh, apatah lagi sebagai wartawan, kita harus jelas butiran yang diucapkan pemidato, selain merasai sendiri situasi. Selepas berbincang dengan seorang pegawai polis, saya bersama anak diiringi untuk menyertai kelompok lebih ramai.

Rupanya delegasi Pakatan dan NGO untuk menyerahkan memorandum langsung tidak dilayan wakil kedutaan. Mereka tidak mahu menerima memo tersebut, sebaliknya minta dimasukkan dalam peti surat sahaja; satu sikap yang menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan. Tiga hari sebelumnya, sekumpulan ahli-ahli Parlimen PAS, antaranya Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Nasrudin Tantawi, yang turut menghantar nota bantahan, juga menerima nasib sama.

Saya maklumkan hal duta yang arogan itu kepada Mohamad Sabu, dan beliau membalas pantas melalui SMS: "Tak terima memo satu perbuatan tak bertamadun. Negara Arab dan negara umat Islam mesti belajar untuk jadi civilised. Apa yang dilakukan duta Mesir itu mengundur jauh ke belakang."

Saya kira, jika bantahan serupa dibuat di Mesir sendiri, dalam keadaan aman, mungkin para demonstran, sekurang-kurangnya akan dihujani tembakan gas pemedih mata dan hayunan keras belantan, namun. Tetapi melihatkan ketakburan wakil kedutaan di Malaysia, saya jangkakan, mungkin saja peserta himpunan di Mesir, yang membantah aksi kejam penguasanya, boleh dibunuh tanpa belas kasihan, menerusi bidikan senjata canggih.

Sejarah politik moden Mesir tidak sunyi daripada rantaian konspirasi elit pemerintahnya terhadap Ikhwan. Tuduhan dan bukti untuk mensabitkan kesalahan boleh direka dengan mudah. Penyeksaan di dalam penjara lebih mengerikan, sehingga tidak pernah terbayang pun oleh fikiran yang waras.

Ya, diktator Mesir sejak zaman Gamal Abd Naser, Anwar Sadat, Hosni Mubarak dan konco-konconya memang cukup "berhati kering", kejam tidak terhingga.

Terbaru, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menyiarkan laporan tentang pukulan teruk, salah laku seks dan renjatan elektrik dilakukan ke atas tahanan, termasuk kanak-kanak dan remaja di Mesir.

Sekurang-kurangnya 200,000 orang ditangkap sejak Presiden Morsi digulingkan tentera. "Nampaknya Mesir sudah kembali semua ke zaman Mubarak yang terbabit dengan penderaan secara sistematik. Lebih banyak penyeksaan dilakukan sekarang kerana semakin ramai yang ditahan. Apa yang berbeza ialah tahap kekejaman yang semakin dahsyat," kata anggota kumpulan aktivis Rangkaian Arab Bagi Maklumat Hak Asasi, Gamal Eid, seperti dilaporkan Berita Harian.

Justeru, saya lega apabila mendengar jaminan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas memo mereka ditolak mentah-mentah, bahawa demonstrasi lebih besar akan terus dianjurkan pada Jumaat berikutnya, ekoran sikap angkuh wakil kedutaan.

Apa pun, persiapan harus diatur lebih rapi, terutama bagi memastikan kehadiran audien dalam demonstrasi akan datang lebih ramai dan menyeluruh, meliputi pelbagai sektor dan melibatkan pemimpin utama.

Bagi setiap demo, saya akan teruja apabila melihat banner dan  poster kreatif - yang motifnya dapat disampaikan lebih jelas pada pandangan awam, dengan rekabentuk menarik dan slogan "mengancam" - dipamerkan, malah risalah penerangan perlu disebarkan kepada "pemerhati dari jauh", khususnya pengguna jalan raya sekitar lokasi perhimpunan.

Mutakhir ini, didapati penganjur himpunan (mungkin lebih baik jika dapat diadakan perarakan raksasa - seperti demonstrasi Bersih - dalam jarak yang agak jauh) kurang mengambil berat soal kain rentang, sepanduk, poster, handbill dan flyer. Kalau adapun, banyak tertumpu kepada poster kecil, saiz A4, yang sukar menggamit perhatian masyarakat yang lalu-lalang.

Sementara itu, asakan berterusan harus disasarkan kepada pihak kerajaan agar mengambil langkah proaktif yang lebih agresif, misalnya bukan saja mengecam keputusan mahkamah yang membelakangkan proses keadilan semulajadi, malah bertindak menggantung hubungan diplomatik jika perlu.

Jika usaha untuk membahaskan usul tergempar di Parlimen pun ditolak, apalah yang boleh diharapkan lagi kepada kerajaan Malaysia?

II.

Saya terpaksa menangguhkan ulasan tentang pendedahan Tun Musa Hitam di Kota Bharu, 27 Mac lalu, mengenai Peristiwa Memali, juga satu tragedi pembunuhan beramai-ramai, yang masih tinggal misteri. Tuduh menuduh dalam Umno, mengenai siapa penyebab utamanya, bukan perkara baru.

Nyawa tok guru dan anak-anak muridnya yang terkorban syahid itu tidak wajar dipersiakan. Sekurang-kurangnya tidak terus menjadi bahan tohmah. Bukan hanya mereka perlu "dibersihkan", malah sejarah ramai lagi "penentang kerajaan", khususnya tahanan tanpa bicara wajar ditulis semula.

Isunya bukan soal sama ada Dr Mahathir Mohamad masih  di dalam negara ataupun sudah berlepas ke China ketika negara dikejutkan dengan pembunuhan 19 November 1985. Ia jauh lebih besar daripada penjelasan Musa, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu. (HD)

Memali: Siasat Semula, Tarik Balik Kertas Putih 1986 -PAS


KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menarik balik kertas putih berkenaan Peristiwa Memali yang telah dibentangkan di Parlimen pada tahun1986 serta menarik balik fatwa Bughah yang dikenakan kepada Ibrahim Libya dan para pengikutnya.

Merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Tun Musa Hitam, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Peristiwa Memali satu konspirasi tersembunyi yang sudah mempunyai skrip.

"Bagaimana Kertas Putih dibentangkan? Sedangkan ia meragukan tetapi perencanaan skrip seolah-olah susah ada.

"Saya minta kerajaan, Najib bawa usul tarik balik ke atas kertas putih 1986. Hanya kerajaan boleh tarik balik,"katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mahfuz turut mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah turut menarik balik fatwa ‘Bughah’ (penderhaka) terhadap Allahyarham Ibrahim Libya serta 14 pengikutnya.

Ini kerana katanya, fatwa itu adalah tidak tepat kerana tidak menyedari kejadian itu terhasil daripada konspirasi halus kerajaan menjadikan fatwa itu boleh dipersoalkan.

Katanya, penarikan balik dua perkara itu bertujuan menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang pada ketika itu ialah Sultan Kedah.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan berkata satu siasatan semula perlu diadakan bagi membersihkan nama baik mereka yang terlibat dalam tragedi berdarah itu.

"Jatuh hukum Bughah, tetapi sebenarnya mereka dizalim," katanya dalam sidang media bersama Mahfuz dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.

Bagi Hatta, Musa mungkin tidak tertanggung dengan fakta Peristiwa Memali menyebabkan beliau sanggup mendedahkan apa yang berlaku di sebalik kejadian itu.

Hatta percaya peristiwa hampir 30 tahun lalu menunjukkan mangsa dianiaya dan paling mengecewakan apabila tidak ada kata maaf daripada kerajaan buat ahli keluarga mangsa.

Peristiwa Memali berlaku ketika pihak polis cuba untuk menahan Ibrahim Libya di bawah ISA kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Pihak polis membuat rempuhan dengan kereta perisai kerana Allahyarham enggan menyerah diri mengakibatkan 18 terbunuh termasuk empat anggota polis pada 19 November 1985. (HD)

Bongkar Semula Kes Memali .. -Bekas Pengarah JSJ, PDRM KL.

Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (dua dari kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.



















Buka semula kes Memali sebelum jadi isu perkauman, kata bekas polis
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menggesa kerajaan membuka semula penyiasatan kes pembunuhan beramai-ramai di kampung Memali, Baling, Kedah pada 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis sebelum ia dijadikan isu perkauman.

Mat Zain berkata, jika kes pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali atau "Batang Kali Massacre" pada 1948 yang melibatkan kaum Cina dan kerajaan British boleh dibuka semula, bukti baru didedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa kejadian dan bukan di China seperti dipercayai sebelum ini, cukup kuat untuk dijadikan asas memulakan semula siasatan.

"Saya berpendapat jika kerajaan gagal atau sengaja enggan membuka semula penyiasatan tragedi Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis, selepas pendedahan mengejut yang dibuat oleh Musa beberapa hari lalu, ia mungkin akan dijadikan isu perkauman yang boleh menggugat ketenteraman awam lebih-lebih lagi dalam suasana politik negara hari ini," katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Sekiranya kes ini tidak dibuka semula, besar kemungkinan ada pihak yang akan menimbulkan persoalan mengapa kerajaan sedia menyiasat semula Batang Kali Massacre dengan semua mangsa yang terbunuh adalah orang Cina, sedangkan kerajaan enggan menyiasat semula tragedi Memali kerana semua mangsanya adalah orang Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, Batang Kali Massaccre dibuka semula selepas 45 tahun laporan dibuat, manakala bagi kes Memali pula, ia ditimbulkan semula hanya selepas 29 tahun kemudian.

"Soal sama ada Dr Mahathir berada dalam negara atau berlepas ke China atau negara lain pada hari kejadian, atau ada di Malaysia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana kedua-duanya, Dr Mahathir dan Musa dipercayai dimaklumkan dan mengetahui operasi Memali sebelum ia dilaksanakan pada 19 November, 1985,” katanya yang juga Ketua Polis Daerah Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah pada ketika itu.

Balai polis itu terletak hampir dengan Balai Polis Daerah Baling, lokasi kejadian tragedi Memali berlaku.

Mat Zain berkata, beliau turut terlibat secara langsung dengan operasi menahan Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Musa yang juga menteri dalam negeri pada ketika itu tidak boleh lari daripada mengambil tanggungjawab tertentu secara persendirian atau secara kolektif, di atas peristiwa berdarah tersebut, sama ada mereka berada di dalam atau luar negara.

"Sebelum peristiwa di Kampung Memali itu, daerah Padang Terap dianggap daerah paling 'panas' di Kedah, setelah tercetusnya peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau pada pertengahan Januari 1985, dengan seorang penyokong PAS terbunuh ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada masa itu.

"Ketika kejadian, saya baru sahaja seminggu mengambil alih jawatan ketua polis daerah Kuala Nerang. Saya yang menangani kes di Lubok Merbau itu. Peristiwa berdarah Lubok Merbau turut diambil kira semasa mesyuarat perancangan Ops Memali tersebut," katanya ketika mengulas artikel disiarkan The Malaysian Insider semalam bertajuk Luka Memali berdarah kembali.

Selepas 29 tahun peristiwa Memali berlaku, Musa mendedahkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.
Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Baru minggu lalu.

Turut serta dalam majlis itu sebagai panel adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.
"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.

Dalam diskusi itu, Musa berkata:"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang."
Peristiwa berdarah Memali mengorbankan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya serta empat polis yang bertugas dalam operasi tersebut.

PAS menyifatkan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya mati syahid manakala Sultan Kedah yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim pernah menziarahi kubur Ibrahim Libya dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka. - 31 Mac, 2014. (TMI)

Menang, Tolak "Politik Tak Bermoral/Tak Bermatlamat" -Erdogan


TURKI: Parti Pembangunan dan Keadilan Turki (AKP) pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menang besar pada pilihan raya tempatan yang diadakan pada Ahad.

Dalam keputusan itu, AKP memperoleh 47 peratus undi berbanding pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP) yang memenangi 28 peratus.

Selain itu, dua lagi parti yang turut bertanding Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) dan Parti Demokrasi dan Keamanan Kurdis (BDP) masing-masing memperoleh 13.28 peratus dan  2.79 peratus.

Erdogan ketika berucap dihadapan penyokongnya di Ankara berkata, keputusan itu merupakan satu referendum rakyat menolak "politik tidak bermoral" dan "politik tidak bermatlamat".

Beliau juga menyifatkan parti yang memperjuangkan demokrasi dan keadilan telah menang pada pilihan raya ini.

"Jangan sesiapa bersedih hari ini, hendaklah tiap-tiap orang daripada 77 juta rakyat tahu bahawa Turki memenangi hari ini.
"Kami akan membawa demokrasi yang lebih kukuh," kata Erdogan disambut sorakan penyokong di ibu pejabat parti itu.

Pilihan raya kali ini berlaku di tengah-tengah tuduhan rasuah dan kebocoran keselamatan yang menggongcangkan pemerintahan 12 tahun AKP. Beberapa siri tunjuk perasaan anti kerajaan dilakukan pada tahun lepas yang dipanggil sebagai protes 'Gezi'.

Penunjuk perasaan Gezi kebanyakannya dilabel sebagai kumpulan pemuda yang tidak puas hati dengan peraturan 12 tahun Erdogan. Bagaimanapun dengan majoriti 52 juta pengundi termasuk yang aktif dalam protes ' Gezi ', ia dilihat sebagai meluluskan peraturan Erdogan .

Dalam pada itu Erdogan turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana menuntut kembali perjuangan 'untuk kebebasan di Turki baru'.

"Anda berdiri untuk cita-cita Turki ... untuk politik, bagi pihak anda dan Perdana Menteri," kata Erdogan. (HD)

Taliban Serang Ibupejabat P'raya Umum Di Kabul.

Taliban serang markas komisi pemilihan umum Afghanistan di Kabul
Taliban. ©Reuters

Militan Taliban semalam menyerang markas suruhanjaya pilihan raya umum Afghanistan di Ibu Kota Kabul meski sudah dijaga ketat , satu minggu menjelang pengundian dan selepas beberapa siri serangan berdarah di bandar itu .

Menurut para pegawai Afghanistan pasukan kecemasan bergegas ke kawasan itu apabila roket - roket dan tembakan - tembakan dilepaskan dari sebuah bangunan di dekatnya , seperti yang dilaporkan oleh laman asiaone.com , Sabtu ( 29 / 3 ) .


" Saya dapat mengesahkan serangan di markas IEC ( Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas ) , " kata jurucakap IEC , Noor Mohammad Noor ." Kami mendengar dua letupan di dalam kompleks IEC , suara tembakan masih berlangsung , tetapi orang - orang selamat dan berada di dalam bilik - bilik selamat dan dijaga ketat , " lanjut dia .


Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu melalui akaun Twitter mereka . Militan Taliban lima hari lalu menyerbu sebuah pejabat IEC lain di Kabul dan menewaskan lima orang .


" Maklumat awal menunjukkan tiga atau empat penyerang telah menduduki satu bangunan dan menembak pejabat IEC , " ujar jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan , Sediq Sediqqi .


Tempat itu sedianya akan mengadakan sidang akhbar tak lama selepas serangan untuk mengumumkan persiapan keselamatan pengundian . Serangan semalam itu berlaku sehari selepas penyerang bunuh diri Taliban menyerbu satu rumah tamu di Kabul yang digunakan oleh petugas antiranjau darat Amerika Syarikat dan menewaskan dua orang .


Serangan itu merupakan yang keempat berlaku pada tahun ini di Kabul yang mensasarkan warga asing atau tempat di mana orang - orang asing berkumpul . Taliban telah bersumpah akan melakukan siri kekerasan untuk mengganggu pilihan raya diadakan pada 5 April akan datang , dan mendesak para pejuang mereka untuk menyerang kakitangan pengundian , para pengundi dan pasukan keselamatan menjelang hari pengundian .


Pada Khamis minggu lalu empat orang bersenjata dari Taliban menyeludup pistol ke Hotel Serena Kabul yang dijaga keselamatan ketat dan menembak mati sembilan orang termasuk empat warga asing . Para korban termasuk wartawan Agence France - Presse ( AFP ) Sardar Ahmad , isterinya dan dua daripada tiga anak mereka .


Serangan itu mengikuti dua insiden sebelumnya yakni penembakan pada siang hari atas seorang wartawan radio Sweden dan serangan pada Januari lalu di sebuah restoran Lubnan yang mengorbankan 21 orang , di antaranya 13 warga asing .


Mengundi untuk memilih pengganti Presiden Hamid Karzai , yang dilarang secara perlembagaan untuk mengupayakan masa jabatan ketiga dirinya , akan menjadi penyerahan kuasa secara demokratik untuk pertama kalinya di Afghanistan .


Tetapi ada kebimbangan berulangnya pertumpahan darah yang menodai pilihan raya 2004 dan 2009 , ketika Taliban memperlihatkan penentangan mereka terhadap pilihan raya sokongan Amerika melalui kekerasan . (IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails