Monday, May 12, 2014

Pemisah Pro-Rusia Mengatakan Menang Referendum Di Ukraine.


Separatis pro-Rusia nyatakan menang referendum di Ukraina
Warga Ukraine mengikuti referendum di Donetsk kelmarin. ©Reuters

Kumpulan pemisah pro - Rusia semalam menyatakan kemenangan atas hasil referendum diumumkan  di Donetsk dan Luhansk , sebelah timur Ukraine . Bagi para pemimpin pemisah dan media Rusia hasil itu menunjukkan kegemilangan bermakna . Namun buat kerajaan Ukraine dan negara Barat referendum itu dinilai sebagai haram . 

Ketua suruhanjaya pengundian Roman Lyagin tadi malam mengatakan hampir 90 peratus suara di Donetsk memilih membentuk pemerintahan sendiri .

" Angkanya 89 peratus , " kata Lyagin , seperti yang dilaporkan oleh akhbar the Guardian , Ahad ( 11 / 5 ) . Sepuluh peratus suara menolak dan satu peratus tidak sah . Jumlah pengundi mencapai 75 peratus .


Hasil referendum itu menimbulkan keraguan sebab pada kajian bulan lalu hanya 30 peratus warga Donetsk menyokong kemerdekaan dari Ukraine .


Referendum kelmarin diumumkan di tengah masih memanasnya situasi politik Ukraine . Tak ada pemerhati antarabangsa , tak ada senarai maklumat terkini , dan kertas suara juga hanya hasil foto salinan . Sejumlah pasukan bersenjata mengawal tempat - tempat pengundian . (IH)

MB Baru T'ganu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman



Datuk Abdul Razif Abdul Rahman, MB baru.
 

KUALA LUMPUR: Negeri Terengganu dijangka mendapat Menteri Besar baru apabila calon pengganti Datuk Ahmad Said bakal mengangkat sumpah jawatan malam ini.

Jemputan menghadiri majlis angkat sumpah jawatan itu telah dihantar kepada para tetamu termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu.

Istiadat Perisytiharan Perlantikan dan Lafaz Sumpah Jawatan Menteri Besar Terengganu itu akan berlangsung di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu jam 8.00 malam ini.  Kekosongan jawatan Ahmad akan diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman. (IH)

Wacana Hudud: RTM Tangguh Siaran. 5 Soalan -M/Hanipa Maidin


 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin malam semalam mendapat makluman daripada RTM bahawa rakaman wacana yang sepatutnya disiarkan malam tadi telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa rakaman itu masih belum ditonton oleh Menteri Penerangan," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Pada hari Khamis yang lepas (9 Mei) saya telah dijemput oleh RTM untuk menjadi salah seorang ahli panel program wacana nasional dengan tajuk hudud.

Selain saya, wakil DAP iaitu Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong , wakil Umno, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, YB Datuk Che Alwi dan wakil ahli akademik iaitu Dr Zubaidah dari Universiti Malaya juga dijemput menjadi ahli panel. Moderator wacana tersebut adalah Syed Munawwar.

Semasa forum itu saya juga ada menyentuh jika Umno ikhlas dalam isu hudud ini maka Umno perlu jelaskan kepada rakyat mengapakah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibicarakan di bawah undang-undang Islam di Mahkamah Syariah kerana tuduhan ke atas beliau adalah melibatkan kesalahan di bawah undang undang hudud.

Wacana berlangsung selama sejam di mana para ahli panel telah mengemukakan hujah masing masing dan perbahasan meskipun adakalanya panas namun masih dalam suasana yang harmoni dan tidak beremosi.

Saya harus mengucapkan tahniah kepada tuan moderator yang berjaya menghidupkan dan mengawal suasana perdebatan dengan cemerlang.

Selepas selesai program rakaman kami dimaklumkan rakaman wacana tersebut akan disiarkan tanpa penyuntingan (edit) pada 11 Mei (semalam) jam 11 hingga 12 malam.

Pada malam semalam lebih kurang jam 10 malam saya mendapat makluman dari pihak RTM bahawa rakaman yang sepatutnya disiarkan malam tadi telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Saya juga mendapat maklumat bahawa rakaman itu masih belum ditonton oleh Menteri Penerangan.

Saya dengan ini ingin mendapat penjelasan dari Menteri Penerangan tentang perkara perkara berikut:-
  1. Mengapakah siaran wacana tersebut ditangguhkan dan adakah menteri terlibat sama dalam proses penangguhan siaran wacana nasional tersebut?
  2. Adakah rakaman wacana itu akan disiarkan selepas ini dan jika ya, bila ia akan disiarkan?
  3. Adakah jika rakaman wacana tersebut disiarkan selepas ini, menteri akan memberi jaminan ianya akan disiarkan secara penuh tanpa sebarang penyuntingan (edit) terlebih dahulu ?
  4. Adakah menjadi amalan biasa setiap program wacana politik di RTM seperti wacana hudud ini ianya perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pihak Menteri sebelum ianya dibenarkan untuk disiarkan?
  5. Mengapakah RTM enggan mengadakan program wacana seperti hudud ini secara langsung (live) bagi meunjukkan pihak Kerajaan benar-benar berpegang kepada amalan demokrasi yang matang dan terbuka?

Sekiranya saya tidak mendapat jawapan dari pihak menteri di atas soalan-soalan di atas saya akan membangkitkan isu ini di dalam Parlimen yang akan bersidang pada 9 Jun ini. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

Raja Boleh Dilucut Takhta Jika Langgar Hudud -Abdul Aziz Bari

 
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa hudud juga boleh dilaksana ke atas sultan dan raja-raja Melayu, malah golongan itu boleh dilucutkan takhta sekiranya tidak mematuhi undang-undang Islam atau melakukan dosa besar.

Katanya, perkara itu dinyatakan secara tersirat dalam perlembagaan persekutuan dan ada di antara butirannya itu dinyatakan dalam perlembagaan negeri masing-masing.

“Sultan boleh dilucut takhta sekiranya mereka melakukan tindakan yang dianggap sebagai uzur sharie, yang mendedahkan kelemahan peribadi mereka, dari sudut pandangan Islam.
“Faktor ini juga penting untuk menentukan sama ada pewaris takhtanya boleh dilantik sebagai sultan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, majlis perajaan di setiap negeri bagaimanapun terlepas pandang peruntukan tersebut, yang menimbulkan masalah pada hari ini. Keadaan ini menyebabkan kemunculan pemerintah yang personalitinya tidak mengikut tatasusila moral Islam yang tegas.

Abdul Aziz bersetuju dengan pandangan oleh anggota exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya yang berkata hudud boleh dilaksana ke atas sultan dan raja Melayu. Fathul berpendapat, perlembagaan persekutuan tiada peruntukan yang menghalang perkara itu.

“Sebagai ketua agama Islam, tidak perlu dinyatakan lagi bahawa sultan pertama sekali tertakluk kepada undang-undang Islam.
“Ini bermakna tertakluk kepada hudud. Oleh itu sultan tidak boleh melakukan dosa besar termasuk berzina, mencuri dan minum arak,” katanya kepada Malaysiakini.

Pakar perlembagaan itu juga berkata, perlembagaan persekutuan memansuhkan kekebalan raja-raja dan mereka tertakluk kepada undang-undang sivil, ekoran pindaan pada tahun 1993 ke atas Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu dilihat bahawa keistimewaan kekebalan atau dikecualikan dari prosiding perundangan agak terasing dari fahaman mengenai kesamarataan dalam Islam.
“Dari sudut pandangan ini, mahkamah khas itu satu anomali kerana ia meletakkan sembilan raja-raja melebihi undang-undang, kononnya." (MK)

DAP & Bebas 3, BN ??? PRK B/Gelugor.


GEORGE TOWN: Calon DAP, Ramkarpal Singh Deo Karpal Singh sah merebut kerusi Parlimen Bukit Gelugor dengan tiga lagi calon.

Mereka ialah Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, Wan Abu Bucker Sidiq (Bebas) dan Muhamed Nabi Bux Mohamed Sathar (Bebas).

Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Kapten (B) Anuar Yahya mengumumkan demikian, sejurus tempoh menghantar borang pencalonan ditutup pada jam 10.00 pagi tadi.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada 17 April lepas.  

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 21 Mei ini.  

Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 13,597 undi.

Ramkarpal panggil 'kawan-kawan' seperti bapanya. Panggilan "kawan-kawan" yang yang menjadi identiti ucapan mendiang Karpal Singh turut diucap oleh anaknya, Ramkarpal di depan penyokong Pakatan Rakyat tadi, sejurus diumum sah bertanding dalam PRK Bukit Gelugor.

"Kawan-kawan, kita, DAP, PAS dan PKR akan sedaya upaya mempertahan kemenangan di Bukit Gelugor ini untuk melengkapkan usaha rakyat di Putrajaya nanti," ujar Ramkarpal.

Penyokong Ramkarpal menyambut ucapan calon DAP itu dengan laungan "kawan-kawan" dan "I Am Karpal".

Ramkarpal merakamkan penghargaan kepada semua pendukung PAS dan PKR kerana turut memberi sokongan walaupun yang bertanding adalah calon DAP. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

Tarik Balik Perkataan 'Pariah'!

 
Akibat salah faham, sekumpulan anggota DAP dan wartawan berbangsa India hari ini naik angin dan cuba berdepan seorang calon bebas dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

Ia berlaku apabila Abu Backer cuba menjelaskan bahawa beliau antara peguam yang tidak sependapat dengan bekas pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga, dalam isu demonstrasi, yang disertai pelbagai kaum. Beliau bagaimanapun berkata tidak bersetuju dengan sesetengah gelaran yang diberikan kepada mereka seperti Melayu “bangsat”, Cina “tak berguna” dan India “pariah”.

Bagaimanapun, ketika menjelaskan perkara, sekumpulan individu yang marah mara kepadanya dan menuntut penarikan balik kenyataan “pariah” itu.

“Kenapa kamu guna perkataan pariah, kenapa kamu kata pada Ambiga?
“Kami calon, macam mana kamu cakap macam ini? Ini rasis dan menghina,” jerit mereka sambil mengancam membuat laporan polis jika beliau enggan memohon maaf.

Alukan laporan polis

Abu Backer kemudian dengan sabar menjelaskan beliau tidak memberikan gelaran itu kepada Ambiga. Beliau sebalik berkata, hormat pada pihak yang membawa isu secara profesional ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti berkaitan presiden PKR dan ADUN Kajang Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Beliau juga sempat menjelaskan,” kaum India mesti dilindungi kerana menjadi masyarakat yang dipinggirkan...” sebelum kumpulan itu mengganggu dan terus menuntut permohonan maaf. Enggan akur pada tuntutan itu, Abu Backer 'mengalu-alukan' laporan polis dibuat terhadapnya.

Abu Backer bertanding menentang calon DAP Ramkarpal Singh, calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon bebas Mohamed Nabi Bux. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya. DAP memang selesa dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti lebih 40,000 undi. (MK)

Ni, Penyokong Mohd Nabi Bux, Mengapa Sembunyi Balik Posternya?

Gambar Pelik Di Penamaan Calon PRK Bukit Gelugor Sebentar Tadi..
Kelihatan penyokong Muhammad Nabi Bux Bin Muhammad Nabi Sathar memegang sepanduk sebelum penamaan calon Prk Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang sebentar tadi.

Namun cuba perhatikan, rata-rata penyokong Muhammad Nabi Bux cuba mengelak di rakam gambarnya. Jikalau anda semua dipihak yang benar, apa perlu takut? Kecuali mereka-mereka ini ada agenda sebaliknya. (Diangkat dari Blog Addin)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails