BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT
tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan
bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud:
- Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan,
(yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit
dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang
demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu
menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan
melanggar larangan-Nya)….
Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan
haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu
Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan
pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka
diugut.
Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab
tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan
beberapa peristiwa penting.
Antara yang paling diingati dan diraikan
oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan
Mikraj. Peristiwa itu
penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu. Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan
merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan
ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak.
Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan
Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga
falsafah di sebalik peristiwa tersebut. Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya
hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh
Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.
1. Hijrah pertama dalam Islam
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian
atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan
dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada
Allah SWT. Walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14
orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk
menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan
ancaman dan penderitaan saban hari.
Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain. Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di
Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya
didera atau menerima ancaman yang menakutkan. Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan
pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa
mereka keluar dari kota Mekah,” katanya.
2. Israk dan Mikraj
Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati
dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama
kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab. Walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa
terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya
perjalanan Rasulullah SAW itu.
Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi
sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya
sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam. Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas
setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita
kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu
kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga.
3. Peperangan Tabuk
Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan
sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung
Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung
itu.
Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah
itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam
mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.
Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan
tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai
rintangan. Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus
kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan
dan keletihan perjalanan yang jauh itu.
Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu
ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh
Rasulullah SAW.
4. Pembebasan dan kejatuhan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah
Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci
ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan
Islam.
Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan
mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi
merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.
Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab
1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan
secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.
Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat
Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada
tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh
Islam sehingga kini.
5. Lahirnya Imam Syafie
Juga kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah
bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga
kepada umat Islam pada hari ini. Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam
mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti
mengamalkan mazhab Syafie.
Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk
guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata:
- "Imam Syafie
itu ibarat matahari bagi dunia.”
Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai
harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm. (IH)