Tuesday, June 24, 2014

20% Pelajar Menengah Di Perlis Ketagih Ketum


KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata guru boleh memainkan peranan berkesan untuk membantu pelajar mengatasi masalah ketagihan air ketum.
  
Beliau berkata kajian Jabatan Pendidikan Perlis mendapati 20 peratus daripada pelajar tingkatan satu hingga enam di negeri ini terbabit meminum air ketum.
  
"Kerajaan negeri bimbang peringkat awal pelajar-pelajar ini menagih air ketum tetapi lama-kelamaan mereka menjadi penagih dadah, ubat batuk atau menghidu gam," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri kali ke-43 di Dewan 2020 di sini semalam.
  
Azlan melahirkan kekhuatirannya bahawa pelajar yang menjadi penagih air ketum sanggup melakukan jenayah untuk mendapatkan wang kerana tidak dapat mengawal ketagihan.
  
"Saya sedar tanggungjawab ini bukan mudah untuk dipikul kerana guru juga perlu memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik para pelajar. Namun saya harap guru yang kerap bersemuka dengan mereka mengambil kesempatan itu untuk membantu," katanya.
  
Pada majlis itu, Azlan menyampaikan anugerah Tokoh Guru Perlis 2014 kepada bekas Pengarah Pendidikan Perlis, Dariah Saad, 67, berupa sebuah plak dan wang tunai RM4,000 sumbangan Bank Rakyat. - Bernama

Faraj Gergasi, Apa Hukum Reblika Itu Dalam Islam?

(Picture: Imgur/ Erick Guzman)

SEORANG pelajar dilaporkan telah terperangkap di dalam replika batu faraj gergasi di Tubingen, Jerman. Pelajar pertukaran dari Amerika Syarikat itu tersepit pada marmar faraj gergasi itu ketika cuba memasuki ke dalamnya untuk merakam gambar pada Jumaat.

Berikutan itu, lima kenderaan yang dilangkapi 22 anggota bomba dikerah untuk membebaskan pelajar berkenaan.


Ketika mangsa tersepit, terdapat orang ramai yang merakam gambar dan menyebarnya di laman sosial sebagai kejadian yang memalukan. Selain itu, pihak bomba juga menganggap tindakan lelaki terbabit sebagai memalukan apabila dia cuba memasuki faraj gergasi.
Faraj gergasi itu merupakan hasil seni seorang artis dari Peru, Fernando de La Jara dan telah berada Universiti Tubingen sejak 13 tahun lalu. Replika yang dipanggil Pi-Chacan itu bermaksud berkasih-sayang. - metro.co.uk


(Picture: Imgur / Erick Guzman)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sekadar membuka minda, apa hukum membuat reblika seperti itu dalam Islam?

M'sia Jadi Pusat Dagang Manusia Paling Teruk.



KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara paling teruk menjalankan aktiviti perdagangan manusia, kata Laporan Pemerdangangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Laporan yang dikeluarkan Washington DC pada 20 Jun lalu meletakkan Malaysia di Senarai Pemerhatian Tahap 3.

"Malaysia antara negara yang diturunkan status kepada tahap paling rendah (Tier 3) kerana tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum bagi penghapusan aktiviti pemerdagangan manusia.
"Malaysia turut diletakkan di antara negara yang paling tidak mempunyai undang-undang, bersifat menindas dan tidak berfungsi di dunia," Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 Jabatan Negara Amerika Syarika dipetik baru-baru ini.

April lalu, penggubal undang-undang Amerika Syarikat menggesa pentadbiran Presiden Obama menghukum negara-negara yang tidak mengendahkan aktiviti pemerdagangan manusia termasuk Thailand, Myanmar dan Malaysia sendiri.

Laporan itu juga mendapati Malaysia telah membuat usaha-usaha yang tidak mencukupi bagi mengatasi permasalahan itu dan pengurangan jumlah kes yang disiasat pada tahun 2013 berbanding tahun 2012.

“Negara-negara terlibat juga boleh kehilangan bantuan dari Amerika Syarikat daripada segi bantuan bukan kemanusiaan dan bukan berkaitan dengan perdagangan, dan seterusnya mungkin menghadapi tentangan untuk mendapatkan bantuan daripada institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia,” tegas laporan itu. - KeadilanDaily

Pemilihan PKR, Ada Bergaduh Kerana Girlfriend.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul berkata beliau kecewa dengan kes keganasan melibatkan pemilihan semula di dua cabang di Selangor pada Sabtu dan Ahad lalu.

Beliau bagaimanapun berkata keganasan dan pergaduhan ahli parti tidak semestinya kerana pemilihan kerana banyak faktor lain yang mungkin menyebabkan ahli parti bergaduh.

"Ada yang bergaduh sebab kes girlfriend (teman wanita) dua tahun lepas. Jadi bila jumpa sekarang mereka bergaduhlah. Tak semestinya sebab pemilihan," kata beliau secara berseloroh di sidang media di ibupejabat PKR hari ini.

Johari menjelaskan kes keganasan melibatkan ahli parti ketika pemilihan di Kuala Langat telah diserahkan kepada polis. Menurutnya, kes pergaduhan itu berlaku di luar dewan tempat cabang Kuala Langat mengundi dan ia tidak melibatkan bidang kuasa JPP.

"(Kes) itu kita dah serahkan kepada polis untuk siasatan," katanya yang juga ahli parimen Sungai Petani.

Mengulas insiden pergaduhan di Kota Raja semalam pula, Johari berkata panel aduan dan rayuan yang diketuai Abdul Malek Hussin (bawah)  sedang meneliti bukti dan mengenalpasti individu yang terlibat.

'Serah pada polis'

Ini merupakan insiden pergaduhan melibatkan peti undi kedua yang berlaku di Kota Raja selepas pemilihan asal dibatalkan kerana pergaduhan bulan lalu.

"Kenyataan yang terlibat telah direkod dan dihantar ke jawatankuasa displin untuk tindakan. Jika mereka terbukti bukan ahli, kita akan serahkan kepada polis.
"Dalam insiden dulu ada ahli yang dipecat setelah jawatankuasa displin mengambil tindakan. Sekarang kita nak lihat, jika individu atau kumpulan yang sama terlibat," kata beliau.

Semalam Bernama melaporkan proses pemilihan semula cabang Kota Raja bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan semasa sesi pengundian.

Pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 11 Mei lepas, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang terpaksa menjalani proses itu sekali lagi.

Johari turut mengumumkan 15 cabang terakhir yang bermasalah di Sabah, Sarawak dan Selangor akan melakukan pemilihan semula 28 Jun depan.(MK)

Anwar: Ganti Khalid Bukan Pendirian Rasmi Pakatan


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bukan pendirian rasmi Pakatan Rakyat untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata, sebarang perubahan perlu dilakukan melalui perbincangan antara parti-parti dalam Pakatan dan rundingan dengan Sultan Selangor, dan bukannya melalui khabar angin.

"Itu bukan kenyataan rasmi. Keputusan untuk mengekal atau menggantikan (Khalid) akan dibuat melalui perbincangan dan keputusan Pakatan Rakyat, dan sudah tentu dengan berunding dengan Baginda.
"Jadi keputusan tidak dibuat melalui mendengar khabar angin," katanya ketika ditemui pemberita hari ini. (MK)

12 tahun Pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6
PADA hari ini, 23 Jun 2014, genaplah 12 tahun pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Pemergiannya sewaktu memegang jawatan sebagai Ketua pembangkang di Parlimen sudah tentu memberi kesan kepada perjuangan PAS dalam politik tanah air, khususnya bagi mereka yang aktif dalam gerakan Islam dan dakwah.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.

Moyangnya Tuan Guru Haji Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.

Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga pada tahun 1946 hingga 1949. Pada tahun 1949 beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar sehingga 1958 dan peringkat tinggi bermula 1958 hingga 1962.


Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Sekembalinya dari Mesir pada tahun 1967, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah apabila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.

Ketika di Mesir, Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.

Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihan raya tahun tersebut.

Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.

Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor ketika bersama PAS adalah; Naib Yang Dipertua (1979-1983), Timbalan Yang Dipertua (1983-1989), dan Presiden PAS (1989-2002).

Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.

Dalam perjuangan menegakkan kebenaran, Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.

Pada penghujung tahun 1970-an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram. Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib.

Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak polis tentang sebuah hadith Nabi SAW.

Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain.

Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga. Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.

Lewat malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu.

Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.

Perundingan antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Sekali lagi Ustaz Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun, Kedah. Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu panas di antara PAS dengan Umno di Kedah.

Ustaz Fadzil Noor ditahan semasa berceramah. Beliau ditahan bersama Haji Shaari, YDP PAS Kawasan Jerlun dan dikenakan ikat jamin. Kesnya terus dibawa ke mahkamah.

Walau bagaimanapun kes ini digugurkan berikutan kematian Haji Shaari.

Dalam perjuangan bersama-sama PAS, terutamanya sejak era peralihan kepimpinan, Ustaz Fadzil Noor sentiasa berseiringan jalan dengan Tuan Guru Yusof Rawa.

Selepas pilihan raya tahun 1978 lagi, ketika Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama, Ustaz Fadzil Noor menjadi Naib Yang Dipertua kedua.

Semasa Tuan Guru Yusof Rawa berjaya memenangi jawatan Timbalan yang Dipertua parti dalam tahun 1981, Ustaz Fadzil Noor pula menduduki jawatan Naib Yang Dipertua pertama.

Apabila Majlis Syura Ulama diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Ustaz Fadzil Noor bersama-sama Tuan Guru Yusof Rawa mewakili Jawatankuasa PAS Pusat untuk duduk dalam Majlis Syura Ulama.

Ketika Tuan Guru Yusof Rawa dipilih menjadi Mursyidul Am yang pertama, bebanan tugas Yang Dipertua telah dilaksanakan sebahagiannya oleh Ustaz Fadzil Noor.

Demikian juga semasa Tuan Guru Yusof Rawa uzur menjelang saat-saat akhir beliau memegang jawatan Yang Dipertua, maka Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang menjalankan tugas-tugas teraju utama parti.

Ustaz Fadzil Noor juga menjadi pembantu utama semasa Tuan Guru Yusof Rawa merintas konsep kepimpinan ulama dan mengukuhkan asas-asas harakah Islamiyyah dalam PAS.

Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor menekankan agar golongan ulama hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama mesti disokong dan didaulatkan.

Sejak kepimpinan ulama diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Setelah menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum pilihan raya tahun 1995.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000. Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.

Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.

Ustaz Fadzil Noor meneruskan tradisi perjuangan mengekalkan perpaduan demi menjaga kemaslahatan Islam dan negara yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin awal PAS. Beliau mengikuti jejak langkah Dr Burhanuddin Helmy meneruskan konsep tahaluf siyasi.

Berbekalkan tradisi tahaluf siyasi seperti inilah yang mendorong Ustaz Fadzil Noor mewujudkan pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Kemudiannya dengan Parti Keadilan Rakyat.

Pada hari ini, hasil yang disemai sejak era kepimpinan ulama yang dirintis oleh beliau dan Tuan Guru Yusuf Rawa makin menampakkan hasil.

Justeru, kehadirannya dan gaya kepimpinannya banyak mengubah persepsi masyarakat Malaysia tentang perjuangan Islam dan PAS. Tanggal 23 Jun 2002, bukanlah penamat bagi perjuangan beliau, kerana hari ini ribuan yang telah lahir hasil tarbiah dan didikan beliau dan generasi yang sezaman dengannya. (HD)

Lihat selengkapnya..
E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6
E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6

Wardina Tegur K'jaan Abai OKU. T.Kasih! Baru Terhegeg-hegeh..



Selebriti, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot selar kerajaan gagal beri bantuan secukupnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Gambar fail. Selebriti, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot selar kerajaan gagal beri bantuan secukupnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Gambar fail.






















Selebriti terkenal, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada ibu bapa yang terpaksa mengurung anak Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 15 tahun yang ditemui baru-baru ini.

Melalui laman Instagramnya, Wardina berkata penemuan remaja lelaki OKU yang dikurung dan diabaikan ibu bapanya berpunca daripada kegagalan mendapatkan bantuan kerajaan ekoran kelemahan polisi dalam memberi peruntukan kepada golongan tersebut.

"Ini berlaku salah satunya berpunca daripada ibu bapa remaja OKU itu tidak diberikan bantuan," katanya dipetik daripada laman Instagram.

Wardina yang merupakan salah seorang Ahli Majlis Perpaduan Nasional (MPKN)  turut membandingkan peruntukan dan keistimewaan diberikan negara “kafir” kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU berbanding Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam.

"Ya, itu negara kafir. Anak istimewa dan OKU kita pula? Di mana nilai kita? Terpaksa ibu bapa memikul beban tanpa pertolongan dan sistem sokongan yang padu dari mereka yang sepatutnya. Saya cuma berkongsi realiti, terimalah.
“Saya mahu bandingkan bagaimana kita masyarakat orang Islam melayan anak istimewa ini dengan negara yang kononnya kafir,” katanya.

Wardina memberi contoh negara Australia di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma. Selebriti itu berkata, dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.

“Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU.
“Anak OKU dihantar  terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun," katanya.

Jumaat lalu, rakyat di negara ini dikejutkan dengan insiden penemuan remaja OKU terabai di Flat Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan. Remaja OKU itu dipercayai diabaikan ibunya tanpa memberi makan berdasarkan keadaannya ketika ditemui.
Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui oleh Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi bersepadu 6P di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan. Remaja lelaki itu kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Ibu Firdaus yang ditahan reman oleh pihak berkuasa mendakwa kesempitan hidup dan tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai punca tidak dapat menjaga anaknya. – 23 Jun, 2014. (TMI)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Baru puak-puak bertanggung jawab terhegeh-hegeh bertindak?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails