Sunday, August 10, 2014

Khalid Sanggup Bubar DUN?

 
Peguam Syahredzan Johan berpendapat, pemecatan Khalid tidak menjejaskan kedudukan sebagai menteri besar selagi  mendapat sokongan majoriti di DUN. 

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat dijangka akan menggerakkan usaha untuk meraih sokongan dari kesemua 43 orang wakil rakyatnya, termasuk golongan yang setia dengan Khalid. Pakatan seterusnya boleh mengemukakan usul tidak percaya ke atas Khalid di DUN apabila ia mendapat jumlah sokongan secukupnya, kata Syahredzan. 

Khalid mesti cepat

Khalid bagaimanapun boleh mengatasi keadaan ini dengan memohon kepada sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan, katanya.

"Beliau boleh memohon membubarkan Dewan tanpa mendapat undi tidak percaya atau apa-apa sokongan dari majoriti,” katanya lagi kepada Malaysiakini.

Jika itu pilihannya, Khalid perlu menjalankan usaha tersebut secepat mungkin kerana Malaysiakini difahamkan, baginda akan berangkat untuk kunjungan dua minggu di luar negara selepas majlis dengan menteri besar itu esok. Walaupun raja muda boleh membubarkan DUN ketika pemergian baginda, Syahredzan berpendapat keadaaan itu mungkin tidak berlaku. (MK)

"Saya bayangkan apabila menangani perkara seperti ini, sultan mahu ia dijalankan oleh dirinya sendiri,” kata Syahredzan lagi.

Abdul Khalid dalam kenyataannya lewat petang ini menyebut, beliau akan bertemu dengan sultan untuk mendapatkan pandangan, namun tidak menyebut mengenai pembubaran DUN.

Bukan kerajaan Pakatan

Pakar perlembagaan pula, Abdul Aziz Bari berpendapat, sultan juga mempunyai peranan dan tidak hanya mengikut permintaan menteri besar.

"Apabila menteri besar dipecat dari parti, kemungkinan besar beliau kehilangan sokongan.”

Maka sultan boleh meminta Khalid mendapatkan sokongan majoriti di Dewan dan bukannya memohon untuk membubarkan DUN, katanya. Tambahnya, Khalid kemudiannya boleh meletak jawatan atau dipecat oleh sultan sekiranya Dewan tidak memberi sokongan majoriti. Dan sekiranya Khalid tetap dapat mengekalkan sokongan majoriti ke atasnya?

"Kalau begitu, Khalid boleh kekal sebagai menteri besar, namun kena ingat, dia bukan lagi dalam kerajaan Pakatan.
"Semua anggota exconya juga perlu meletak jawatan kerana kerajaan dibentuk melalui Pakatan Rakyat dan Khalid perlu mengemukakan senarai anggota exco baru kepada sultan,” katanya lagi. (MK)


Sila  lihat..  
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

Khalid Dapat Pegang MB, Semua Bergantung Pada PAS -Datuk Dr Shad Saleem


Pakar: MB bergantung pada sokongan PAS
Tokoh perlembagaan Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berpendapat, nasib Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar terletak di tangan PAS.

Dengan memberikan beberapa senario usul tidak percaya yang boleh berlaku di Selangor, Shad berkata, walaupun Khalid masih boleh memegang jawatan menteri besar, ADUN Pelabuhan Klang itu bagaimanapun perlu bergantung kepada peranan dan undi PAS.

Dalam wawancara yang disiarkan akhbar Berita Harian hari ini, beliau menjelaskan satu usul tidak percaya memerlukan majoriti mutlak daripada jumlah keahlian DUN iaitu sebanyak 29 daripada 56 kerusi. Katanya, dengan melihat keunikan jumlah kerusi di DUN Selangor, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Senario pertama, PKR sendiri diwakili 13 ADUN tidak termasuk Khalid. DAP 15, PAS 15 dan Umno 12. Jika semua bergabung tidak ada masalah untuk menggulingkan Khalid.
"Kedua, Umno boleh menyokong Khalid atau tidak, tetapi semua rakan Pakatan (43) sebulat suara boleh menyokong usul itu dan ia boleh jadi kenyataan.
"Ketiga, PAS boleh dibahagikan kumpulan menyokong dan tidak menyokong tetapi jika seorang ahli PAS menyokong PKR (13) dan DAP (15), usul tidak percaya tidak boleh berjaya kerana masih tidak akan mencapai jumlah majoriti yang diperlukan, iaitu 29," katanya dalam wawancara dengan harian itu.

Selain itu, beliau juga menambah, senario keempat boleh juga berlaku sekiranya PAS yang mempunyai 15 kerusi dan Umno (12 kerusi) bergabung. Bagaimanapun ia masih gagal mencapai majoriti. Malah, katanya, gabungan PKR (13 kerusi) dan DAP (15) kerusi juga gagal kerana kekurangan satu undi.

"Abdul Khalid nampaknya masih dapat memegang jawatan menteri besar. Semuanya bergantung kepada peranan dan undi PAS

"Saya melihat masa depan Selangor ketika ini terletak pada tangan PAS yang selama ini banyak berdiam diri walaupun memiliki kerusi paling banyak dalam DUN, semua terletak kepada mereka dan Abdul Khalid nampaknya menjadi penampan (penghalang) mengimbangi kuasa politik Selangor," katanya lagi. (MK)


Sila  lihat..

E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

Khalid Sertai PAS? Pintu PAS terbuka. Pelawa MB Kelantan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di 'Kursus Perdana Haji' di Masjid Negara di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Ogos, 2014. 
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di 'Kursus Perdana Haji' di Masjid Negara di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Ogos, 2014. 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh menyertai PAS selepas dipecat daripada PKR, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga pemangku ketua Dewan Ulama PAS mengatakan terpulang kepada Khalid untuk menyertai PAS kerana pintu parti Islam itu sentiasa terbuka untuknya.

"Terpulang kepadanya untuk menyertai PAS memandangkan beliau bukan lagi ahli PKR sekarang," katanya selepas menghadiri majlis Hari Raya anjuran Perbadanan Ekonomi Negeri Kelantan di Kota Baru.
"Tetapi, apa pun kita perlu tunggu hasil pertemuannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas menghadap baginda untuk mendapatkan nasihat bagi langkah seterusnya," kata Ahmad dipetik The Star Online hari ini.

Ahmad diminta mengulas isu pemecatan Khalid daripada PKR kerana membantah keputusan parti supaya meletak jawatan dan memberi laluan kepada presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikannya. Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sokongan mereka untuk Khalid kekal sebagai menteri besar hingga hujung penggalnya. Ahmad juga berkata PAS sedia bergerak sendiri sekiranya ahli dan pemimpin parti itu memutuskan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

"Kita ada sejarah bila mana kita bersendiri selepas tidak bersetuju dengan Barisan Nasional (BN) dan Semangat 46. Saya setuju dengan Nik Aziz yang PAS boleh berdiri sendiri sekiranya ia memutuskan untuk keluar Pakatan," kata Ahmad.

Beliau menyeru semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menunggu keputusan akhir parti sama ada untuk kekal di dalam PR atau tidak. Keputusan itu dijangka dibuat minggu depan, menurut The Star. Bagaimanapun, Ahmad yakin PAS tidak akan meninggalkan PR, menambah krisis terbaru ini ujian sama ada sifat kepercayaan dan timbangrasa antara ahli PR kukuh atau tidak.

Katanya, PKR berhak membuat keputusan memecat Khalid dan PAS menyatakan pendirian mereka dalam hal itu melalui Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama. – 10 Ogos, 2014 (TMI)
 
Lihat sebelum ini
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?

Selamatkah K'jaan PR S'gor? Jom Kerosek Infonya Dari Awal..

E-Buku-E-Buku ini mendedahkan semunnya. 
Bermula dari Adun PKR Kajang letak jawatan hinnga kini..
Ini 4 buah buku-bukunya!


PERCUMA 
Dalam E-Buku Weblog Ibnu Hasyim. Sila layari, klik gambar-gambar buku di bawah ini..

1 . E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?

2. E-Buku IH-83: Setelah Anwar Dihukum Penjara 5 Tahun.

3. E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?
4. E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

 
Sedang bersambung lagi ke E-Buku ke 5.. Insya Allah!

Tunggu Arahan Dari Pemimpin -Tuan Ibrahim Tuan Man







KL: Para pemimpin dan ahli PAS diminta bersabar dan bertenang berhubung tindakan PKR memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata para pendukung parti perlu menunggu arahan daripada pemimpin utama berhubung perkara itu.

Beliau juga menyeru para pemimpin parti supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Ahli-ahli PAS juga diingatkan agar tidak menyertai jika ada mana-mana himpunan atau demo yang dianjurkan sama ada pihak yang menyokong atau menentang keputusan pemecatan itu," ujarnya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, ahli-ahli PAS perlu mengambil iktibar suasana yang pernah berlaku di Kelantan apabila berlaku demonstrasi dalam kalangan anggota parti yang menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berpandangan kemelut yang berlaku itu boleh diselesaikan secara keluarga dalam kalangan pemimpin PKR. - HARAKAHDAILY 9/8/2014

Sila  lihat..

E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

Ini Ceramah PKR Malam Tadi, Hentam Khalid Tak Hentam UMNO Lagi.

 
Beberapa jam selepas memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pimpinan tertinggi PKR muncul di ibu negeri Selangor bertemu rakyat  dan buat pertama kalinya, tidak mengkritik kerajaan BN.

Seramai 400 hadirin di Seksyen 19 Shah Alam yang kebanyakannya penyokong PKR sebaliknya mendengar ucapan pemimpin kanan parti menceritakan  "masalah-masalah" menteri besar sejak 2008 yang kini perlu digantikan.

Kebanyakan mereka memberi reaksi terkejut dan bersetuju apabila mendengar satu persatu kesalahan Khalid sepanjang pentadbiran negeri dari masalah jalan berlubang dan sampah sehingga dakwaan beliau bekerjasama dengan tokoh yang rapat dengan Umno untuk menyelesaikan masalah peribadinya.

MP Ampang Zuraida Kamaruddin memanaskan malam dengan menyatakan kegagalan Khalid menyelesaikan masalah jalan raya dan air di kawasan beliau. Beliau yang turut dijangka mempertahankan jawatan ketua wanita PKR pada pemilihan parti ini menyindir Khalid kerana bersikap sombong dan membelakangkan parti dalam pelbagai isu.

"Kita bukan pilih "acong" atau "ane" mana jadi  presiden. Ini Presiden parti pun beliau (Khalid) tidak mahu layan," kata beliau diikuti dengan gelak tawa dan sokongan daripada hadirin yang hadir.

Zuraida berkata Khalid bertindak sombong apabila menyatakan beliau menjadi menteri besar kerana rakyat dan kini melupakan parti. Beliau mengesyorkan agar Khalid menubuhkan parti baru jika ingin terus menjadi menteri besar.

"Saya MP Ampang kalau parti tak letak saya di Ampang adakah saya jadi YB di Ampang?
"Kalau tak nak ikut parti, baik dia buat parti sendiri jadi menteri besar sendiri.
"Tapi, boleh menangkah?" kata beliau dibalas dengan laungan "Tidak!" oleh hadirin.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pengarah strategi parti Rafizi Ramli mengulang kepada hadirin mengapa Khalid patut diturunkan dengan masalah hutang Bank Islam beliau. Bagaimanapun hadirin sedikit kecewa kerana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberitahu sepatutnya datang tidak muncul.

Saifuddin ketika ditemui wartawan selepas ceramah menyatakan Anwar sedang menemui "seseorang yang amat penting." Tumpuan ceramah itu Wan Azizah merupakan satu-satunya pemimpin yang tidak mengulas langsung mengenai Khalid. Bakal menteri besar Selangor itu sebaliknya menceritakan kisah sedih hidup beliau selepas Anwar ditangkap dan dipenjarakan pada ketika permulaan Reformasi PKR.

"Saya tak mahu panjangkan isu menteri besar, biarlah Datuk Saifuddin dan saudara Rafizi menjelaskannya.
"Saya datang jumpa tuan puan malam ini nak berkongsi kehidupan saya. Bagaimana deritanya saya dan anak-anak hidup tanpa suami," katanya. (MK)


Sila  lihat..



E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

Isu Khalid & Bank Islam Terdedah, Forum Kecoh, Penyokong PKR Bertelagah.




Pertembungan pendapat tentang isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebabkan kekecohan semalam selepas soalan diajukan kepada panel berkaitan dengan penyelewengan Khalid dan Bank Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Ogos, 2014.  
Pertembungan pendapat tentang isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebabkan kekecohan semalam selepas soalan diajukan kepada panel berkaitan dengan penyelewengan Khalid dan Bank Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Ogos, 2014. 

 Forum membincangkan krisis Selangor malam tadi yang pada mulanya berlangsung dengan aman, terganggu selepas berlaku kekecohan akibat pertembungan pendapat membabitkan dua kumpulan penyokong PKR mengenai isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kekecohan tercetus selepas Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Rozan Azen Mat Rasip bertindak mengajukan soalan kepada ahli panel untuk menjelaskan laporan penyelewengan menteri besar Selangor penggal kedua itu.

Rozan yang mendakwa Khalid mengabaikan rakyat dalam soalannya itu menimbulkan kemarahan apabila berlakunya cabar-mencabar daripada penonton yang rata-ratanya merupakan ahli Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb).

"Kalau benar Khalid menjaga kebajikan rakyat, bagaimana pula dengan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) apabila menteri besar ini langsung mengabaikan keperluan mereka sehingga ada pelajar yang terpaksa ‘maggie’?” soal Rozan kepada ahli panel forum sehingga menyebabkan anggota Pasmeb marah.

"Jadi bagaimana anda boleh jelaskan ini dan mengapa perjanjian penstrukturan air dilaksanakan juga meskipun pimpinan PKR meminta untuk menangguhkannya buat semen‎tara waktu?" soal Rozan pada program dihadiri lebih 100 orang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun, kea‎daan akhirnya berjaya ditenangkan penganjur forum berkenaan meskipun pertelingkahan hampir tercetus.
Seorang lelaki ditahan oleh orang ramai selepas tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberi oleh Ketua Penerangan Pemuda PKR Rosan Azen Mat Rasip yang menghadiri forum 'Krisis Selangor: Khalid Ibrahim Belot Pakatan?' di Dewan Himpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 10 Ogos, 2014. 
 
Forum bertajuk 'Krisis Selangor: Khalid Ibrahim belot Pakatan menampilkan ahli-ahli panel daripada Pejabat Menteri Besar Selangor, seperti  Eksekutif Komunikasi Shazni Munir Mohd Ithnin, Pegawai Tugas-Tugas Khas, Ekonomi Kewangan Azrul Azwar dan bekas pegawai komunikasi Nathaniel Tan.

Shazni menafikan surat tunjuk sebab PKR terhadap salah laku Khalid yang mendakwa Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Azman Bidin mengesahkan beberapa pertemuan bersama tokoh korporat Umno Tan Sri Rashid Manaf untuk berunding penyelesaian hutang dengan Bank Islam.

"Azman sendiri mengakui tidak wujud pun tuduhan itu, jadi laporan itu tidak sah dan tidak berasas.
"Ini bermakna Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hanya membuat satu tuduhan yang tidak benar kemudian terus menghukum orang itu," katanya.

Azrul yang pernah menjadi Ketua Ekonomi Bank Islam dalam hujahnya pula mengatakan beliau antara yang terlibat dalam urusan penyelesaian hutang Khalid dengan Bank Islam.

"Pada 2008 selepas Pakatan Rakyat memenangi Selangor dan Khalid menjadi menteri besar, bekas bos saya meminta saya untuk menghubungi beliau (Khalid) untuk menyelesaikan isu pinjaman itu di luar mahkamah," katanya.

Menurut Azrul, Bank Islam yang terlebih dahulu menawarkan penyelesaian di luar mahkamah apabila rundingan pertama Khalid di ibu pejabat bank berkenaan tidak berjaya disebabkan menteri besar Selangor itu tidak bersetuju dengan terma perjanjian.

"Kerana itu kita lihat rentetan kronologi sehinggalah ke Mahkamah Tinggi," katanya.
Beliau berkata penyelesaian hutang Khalid bersama Bank Islam tercapai selepas bank itu menerima tawaran dari institusi kewangan Timur Tengah yang cuba menghidupkan semula skim perjanjian jual beli (BBA).
"Oleh kerana institusi kewangan itu cuba mempopularkan semula konsep BBA, maka menawarkan usul kepada Khalid dalam pembayaran jumlah hutang.
"Tawaran itu dilakukan kerana institusi kewangan itu tidak mahu sekiranya Bank Islam kalah dalam mahkamah maka ia akan memberi kesan pada polisi BBA," katanya.

Beliau berkata Khalid akhirnya bersetuju dengan tawaran penyelesaian terbabit dan Bank Islam juga berpuas hati kerana ia tidak merugikan perbankan itu. Manakala Presiden Pasmeb Mazli Saring yang turut menjadi panel pada forum itu berkata punca konflik di Selangor bermula apabila Khalid mengumumkan simpanan rizab negeri itu.

"Ia terjadi akibat ketamakan, apabila Khalid umumkan peningkatan rizab negeri ini,‎ maka masing-masing mula memasang hasrat ingin mentadbir negara ini," katanya.

Semalam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengumumkan pemecatan Khalid dalam parti kerana keengganan memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menggantikannya sebagai menteri besar Selangor. Khalid dalam kenyataannya berkata beliau menerima keputusan itu dan akan memaklumkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai pemecatannya. – 10 Ogos, 2014. (TMI) 
 
Sila  lihat..
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails