SHAH ALAM:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sejarah
negara ini banyak yang disembunyikan terutamanya tentang perjuang asal
menuntut kemerdekaan.
Berucap pada Wacana Kemerdekaan di
Universiti Selangor (Unisel) hari ini, beliau berkata perjuangan
kemerdekaan perlu diperbetulkan semula untuk pengetahuan generasi akan
datang.
"Perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan, ingat ia bukannya bermula pada tahun 1946 tetapi sejak dari awal lagi.
"Sejarah-sejarah
awal perlu kita kaji semula dan kita kena tahu apa yang berlaku sebelum
ini, sepertimana perjuangan menentang penjajahan Portugis dan Inggeris
di Melaka sewaktu ketika dulu," katanya.
Beliau menekankan nilai
kemerdekaan dari perspektif Melayu dan Islam berkata, peranan Islam amat
penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
"Di sini peranan
perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan
semua tempat dan kedudukan. Ini perlu digali semula dan diperbetulkan,
janganlah kita dibohongi dengan sejarah sendiri.
"Kita kena tahu dan jangan lupa sejarah sebenar, kita menghargai mereka yang sebenarnya berjuang tetapi dilupai," ucap beliau.
Ahli Parlimen Marang itu juga meminta semua pihak dalam mengisi semangat kemerdekaan mesti bersikap adil dengan semua kaum.
"Banyak perkara timbul dalam suasana sekarang, masalah politik, ekonomi dan paling ketara pengisian dalam masyarakat majmuk.
"Kita kena berlaku adil dengan semua kaum, masyarakat madani dalam Islam perlu diterap dalam masyarakat majmuk sekarang.
"Masing-masing mempunyai kelebihan dan kita perlu saling menghormati serta ketengahkan jangan mengabaikannya.
"Kita
punyai titik persamaan, titik persamaan ini digabungkan untuk
masyarakat majmuk dalam mencarikan satu kebaikan," sambung beliau.
Sebelum
itu, wacana kemerdekaan dibarisi ahli panel Prof Datuk Dr Mohamad Abu
Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd
Taib dan Mohd Fadli Ghani manakala Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Ilmuan)
sebagai moderator.
Merdeka Menurut Lim Kit Siang
Setelah 57 tahun Merdeka, Malaysia masih
lagi merangkak dalam usahanya membina sebuah masyarakat yang harmonis
tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.
Menurut
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Lim Kit Siang salah satu tweet menggunakan
hashtag tersebut menulis, ‘seandainya iklan Merdeka itu benar, pastilah
kerajaan tidak perlu membazir wang mempromosikan 1Malaysia’.
Setakat
sekarang, katanya slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri ternyata
sekadar penjenamaan, dan hakikatnya tidak membawa maksud apa-apa.
"Kita
dapat melihat seolah-olah pendekatan pecah dan perintah warisan
penjajah British masih lagi terjadi. Kita masih lagi terpecah-pecah dan
tidak bersatu.
"Malah kita masih lagi menggunakan undang-undang
British untuk menafikan hak bersuara dan berpendapat seperti Akta
Hasutan 1948 dan pelbagai lagi undang-undang yang menindas, sepertimana
yang boleh dilihat dari beberapa pendakwaan terpilih dan berniat jahat
terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dalam masa sepuluh hari lalu," ujarnya
dalam satu kenyataan.
Menurut MB Kelantan
Hayatilah tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan iaitu Nabi
Muhammad SAW.
"Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat
manusia daripada segala bentuk penjajahan dan perhambaan," tegas
Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menerusi facebook.
Justeru,
kata beliau penjajahan minda, pemikiran, aqidah sehinggalah kepada
penjajahan sistem kehidupan sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun
sosial perlu dibebaskan sepenuhnya dari anasir yang merosakkan
masyarakat bagi mencapai makna hakiki kemerdekaan.
"Kemerdekaan
yang hakiki ialah apabila seseorang itu berjaya melepaskan diri dari
belenggu jahiliah dan hasutan jahat diri," jelasnya.
Menurutnya,
masyarakat yang merdeka adalah masyarakat yang saling bahu-membahu
memastikan terlaksananya kebaikan dengan mencegah kemungkaran, hasilnya
lahirlah sebuah negara yang benar-benar merdeka.
Belau berkata,
sambutan kemerdekaan tahun ini agak suram dengan nahas pesawat MH17 dan
kehilangan pesawat MH370 yang sehingga ke saat ini tiada khabar berita. Tambahnya, lebih menyedihkan lagi apabila mengenangkan saudara kita di Gaza yang sekian lama dijajah oleh regim zionis.
"Apa erti kemerdekaan kita tanpa lahirkan rasa belas kasihan untuk membantu mereka," ujarnya.
(IH)