Sunday, August 31, 2014

Exco P.Pg Ditahan Polis Kes Peronda Sukarela

Seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela (berbaju ungu) ditemani polis memasuki balai polis Lebuh Pantai, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Husssain, 31 Ogos, 2014. 
Seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela (berbaju ungu) ditemani polis memasuki balai polis Lebuh Pantai, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Husssain, 31 Ogos, 2014. 

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh ditahan polis jam 6.30 petang ini susulan penangkapan seramai 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di George Town pagi tadi.
Phee sebelum ini mengaku bertanggungjawab sepenuhnya ke atas PPS, badan yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri tetapi tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Anggota PPS ditahan sepasukan polis jam 10.15 pagi sebaik sahaja mereka menyertai perarakan hari kemerdekaan peringkat negeri di Padang Kota Lama.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran akan menangkap anggota PPS sekiranya meneruskan aktiviti mereka, dan menuduh badan itu terpesong dari matlamat penubuhannya empat tahun lalu iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

Mengulas perkara itu, Phee (gambar, kanan) melahirkan kekecewaan terhadap tindakan polis sambil mengaku terdapat dua tuduhan salahlaku melibatkan sebilangan kecil anggota PPS.
Dalam kes pertama, seorang anggota mengaku bersalah dan meminta maaf kerana menyerang seorang wartawan, sementara kes kedua masih dalam siasatan.

"Hanya kerana dua insiden ini, mereka hendak membubarkan PPS," katanya, sambil menambah pasukan itu banyak membantu masyarakat dalam kesusahan dan kecemasan seperti ketika banjir, kebakaran dan kemalangan jalan raya. – 31 Ogos, 2014. (TMI)

Jumpa Di Mahkamah, Kata KM Pada IGP

 

Kerajaan Pulau Pinang bersedia ke mahkamah bagi membuktikan keabsahan pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri apabila 152 anggotanya ditahan polis selepas perarakan hari merdeka pagi ini.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat polis Timur Laut di Jalan Pantai hari ini, ketua menterinya Lim Guan Eng berkata, mereka yakin PPS sebuah badan sah.

Katanya, PPS dibentuk pada 2010 untuk menangani kes bencana alam dan memberikan khidmat masyarakat itu.

Lim juga berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab penuh ke atas PPS, kerana ia dibentuk sebagai badan bawah kerajaan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak perlu memberikan amaran untuk menyerbu rumah anggotanya.

Selepas lebih 150 anggotanya ditahan hari ini, Khalid menulis di Twitter, menggesa anggota PPS selebihnya menyerah diri sebelum polis menyerbu kediaman masing-masing.

Khalid pada 26 Ogos berkata PPS tidak berdaftar bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Justeru, setelah dimaklumkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), polis akan menyiasat aktiviti bawah kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

PPS menjelaskan, ia tidak berdaftar dengan ROS kerana ia bukan pertubuhan, tetapi agensi bawah kerajaan negeri.

PPS mencetuskan kontroversi selepas ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mendakwa diserang dua lelaki berpakaian seragam unit itu di Air Itam minggu lalu. (MK)

Ketua Polis Arah Siasat Tweet ‘biadap’ Selepas Tangkapan Ahli PPS



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Persekutuan memulakan siasatan terhadap pengguna Twitter yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2014. 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Persekutuan memulakan siasatan terhadap pengguna Twitter yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2014. 

Ketua Polis Negara hari ini mahu tindakan diambil atas pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya melalui Twitter berikutan tindakan yang diambil polis terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang pagi tadi.

Dalam tweetnya, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Persekutuan memulakan siasatan segera ke atas kes itu.

"PCIRC @PDRMsia sila ambil tindakan terhadap orang biadap ini yg menggelar IGP 'Anjing BN'" katanya. Tweet tersebut dipercayai dibuat seorang bernama Nasrul Omar (@ennasrul) pada jam 12.50 tengahari tadi.

PCIRC merujuk kepada Police Cyber Investigation Response Centre atau Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis yang ditubuhkan Mac tahun ini di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Khalid, yang akaun Twitternya @KBAB51, juga memetik satu lagi tweet yang dianggap menyakitkan hati di mana dia dibandingkan dengan komander Nazi Henrich Himmler.

Pengguna Twitter menggunakan nama Viktor Wong (@wonghoicheng) menulis: "Bastardization of @PDRMsia. Thanks to the ruthless @KBAB51 Henrich Himmler of Malaysia." (Celaka PDRM. Terima kasih kepada @KBAB51 yang kejam, Henrich Himmler Malaysia)
Khalid menjawab tweet tersebut dengan menulis: "PCIRC @PDRMsia, juga dikesan seorang lagi yang biadap ini untuk diambil tindakan."

Pagi ini lebih kurang 250 anggota PPS ditangkap polis ketika sambutan Hari Merdeka peringkat negeri sedang dijalankan di George Town.
Mereka ditahan sepasukan polis jam 10.15 pagi sebaik sahaja mereka menyertai upacara rasmi perbarisan lalu, sebahagian daripada perarakan tahunan yang diadakan di Padang Kota Lama, dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk disoal siasat.
Pada Jumaat, Khalid berkata polis akan menangkap anggota PPS sekiranya mereka meneruskan aktiviti kerana ia dilihat terpesong dari tujuan asal penubuhannya empat tahun lalu, iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata PPS bukan pertubuhan yang sah kerana ia tidak pernah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempertahankan PPS, menegaskan ia tidak pernah tersasar dari objektif asal dan ia pertubuhan sah di bawah kerajaan negeri, sama seperti Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Beliau juga mengatakan kerajaan negeri akan menyediakan pasukan peguam bagi membela anggota PPS sekiranya ditahan polis dan memberi bantuan kewangan kepada keluarga mereka selama mereka dalam tahanan. – 31 Ogos, 2014. (TMI)

Rumah Guan Eng Dibaling & 'kami serbu kediaman'. Mengapa?


 
KUALA LUMPUR: Rumah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, Georgetown dibaling bom botol molotov cocktail pada kejadian jam 11.48 malam tadi, lapor Bernama.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, kejadian membaling 'molotov cocktail' ke kawasan parkir rumah Ketua Menteri itu dipercayai dilakukan oleh penunggang motosikal. Beliau berkata pemeriksaan forensik mendapati botol itu mengandungi minyak tanah dan ia telah meletup dan terbakar selepas dibaling tetapi tiada kecederaan dan kemusnahan dilaporkan.

Bercakap kepada media, katanya kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah ketua menteri itu akan dikaji untuk mengenal pasti suspek dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada polis. Abdul Rahim berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.

 Menyerah diri sebelum kami serbu kediaman.

Sementara itu menurut Malysiakini, pagi ini, selepas lebih 200 orang ditahan hari ini, polis menggesa anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) selebihnya menyerah diri selepas pasukan itu diisytihar tidak sah baru-baru ini.

“Eloklah mereka yang bertanggungjawab ke atas PPS ini segera menyerah diri sebelum kami serbu kediaman,” tulis Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitter hari ini.

Polis pagi ini menahan kira-kira 250 anggota PPS Pulau Pinang selepas menghadiri perarakan hari merdeka di Esplanade di Pulau Pinang. Khalid pada 26 Ogos berkata PPS tidak berdaftar bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Justeru, setelah dimaklumkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), polis akan menyiasat aktiviti bawah kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang. PPS menjelaskan, ia tidak berdaftar dengan ROS kerana ia bukan pertubuhan, tapi agensi kerajaan negeri negeri.

PPS mencetuskan kontroversi selepas ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mendakwa diserang dua lelaki yang berpakaian seragam unit itu di Air Itam minggu lalu.(IH)


Sebelum ini, lihat..

Sertai Perbarisan Merdeka P.Pg, 250 Ahli PPS Ditangkap


Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang ditahan selepas menyertai perarakan Merdeka di Esplanade. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Husssain, 31 Ogos, 2014.  
Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang ditahan selepas menyertai perarakan Merdeka di Esplanade. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Husssain, 31 Ogos, 2014.

Lebih kurang 250 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang ditangkap pagi ini ketika sambutan Hari Merdeka peringkat negeri sedang dijalankan di George Town.

Mereka ditahan sepasukan polis jam 10.15 pagi sebaik sahaja mereka menyertai upacara rasmi perbarisan lalu, sebahagian daripada perarakan tahunan yang diadakan di Padang Kota Lama.
Mereka dibawa ke balai polis Beach Street yang berhampiran untuk disoalsiasat. Polis mengepong balai polis itu dari dimasuki orang luar dan dikawal Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). – 31 Ogos, 2014.

Menurut Tha Malaysian Insider.



Menurut Malaysiakini pula, pasukan itu, yang berpakaian ungu, dibawa ke balai polis Beach Street, beberapa meter daripada tempat itu, kira-kira jam 10 pagi, menurut Wong Hon Wai, setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Mereka semua diminta ke balai polis untuk memberikan kenyataan,” kata Wong, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Air Itam.

Anggota parlimen Bayan Baru daripada PKR Sim Tze Tzin pula berkata, kumpulan itu tidak ditahan pada masa ini tetapi akan dihantar ke ibu pejabat polis Timur laut supaya kenyataan mereka dapat dirakamkan.

Kumpulan itu dikawal oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap bercota dan berperisai.

Beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat menemani kumpulan itu di balai polis.
(IH)

Ini, Hijab Bukan Penghalang Muslimah Bersukan Kecuali Si Jahil!

Foto
WALAUPUN berhijab, Roqaya (tengah) tetap berjaya mencatat masa terpantas di Sukan Asia Doha 2006. 


SUKAN
Kelibat wanita ini mencuri perhatian peminat olahraga dunia apabila muncul dengan penampilan berbeza di Sukan Olimpik Athens 2004. Mana tidaknya, ketika pelari lain bersedia di garisan permulaan dengan pakaian standard seorang atlet, yang pasti mengikut bentuk tubuh, Roqaya Al Gassra pula hanya mendedahkan muka dan tapak tangannya.

Penampilan atlet Bahrain itu mencetus sensasi tersendiri dan seakan membawa mesej global bahawa tidak semestinya wanita dari dunia Islam yang berhijab tidak boleh terbabit dalam sukan, apatah lagi olahraga.
Malah dia lebih dahulu perlu berdepan tanggapan rantau Arab yang selama ini ‘menghijab’ penyertaan wanita dalam acara sukan. Laporan media menyatakan bahawa Roqaya mendapat tentangan golongan fundamentalis di negaranya sebelum dikenali di pentas olahraga.

Namun mengambil teladan pelari Australia, Cathy Freeman yang menggunakan sut menutup seluruh tubuh untuk memberi kesan aerodinamik sewaktu Sukan Olimpik Sydney 2000, membuatkan imej yang cuba ditampilkan Roqaya bukan sesuatu yang menerbitkan rasa kurang senang.


“Menyarung pakaian tradisi Muslim memberi motivasi buat saya. Ia bukan satu halangan,” kata pemenang 200m Sukan Asia Doha 2006 itu mengimbas kembali aksinya di Athens itu.


“Saya mencatat masa terbaik biarpun berhijab.” Malah, populariti dikecapinya membuatkan Roqaya diberi kepercayaan untuk menjadi pembawa bendera Bahrain di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pada temasya itu, Roqaya hadir menggunakan sut dipanggil Hijood (gabungan hijab dan hood), yang direka khusus oleh syarikat pakaian sukan Australia untuknya.
Menurutnya, ia membolehkan atlet wanita Muslim bertanding dengan menutup aurat, sesuai dengan tuntutan agama.

“Gembira apabila memiliki sebuah sut prestasi tinggi yang membolehkan saya memenuhi keperluan menutup aurat dengan rekaan yang dibuat menggunakan fabrik khusus yang selesa dan mampu mengawal kelembapan,” katanya.
“Sudah pasti ia membantu saya memperbaiki catatan apabila memakai sesuatu yang selesa dan membantu menampilkan aksi terbaik di Beijing.
“Saya berharap pemakaian hijood ini akan memberi inspirasi kepada wanita lain untuk melihat bahawa kewajipan menutup aurat bukan halangan untuk mengambil bahagian dalam acara sukan kompetitif.


Meskipun gagal memenangi sebarang pingat dalam penyertaan di Olimpik, pencapaian Roqaya dalam olahraga masih dianggap baik. Untuk rekod, dia berjaya meraih pingat emas dalam acara pecut 200m dan gangsa dalam acara 100m di Sukan Asia Doha selain memenangi pingat dalam beberapa kejohanan lain.


Roqaya mengundur diri daripada sukan olahraga pada 2009, sewaktu berusia 27 tahun, tetapi legasi yang ditinggalkannya membawa sesuatu yang baru terhadap dunia sukan, memberi ruang untuk golongan Muslimah bergiat aktif dalam sukan tanpa meminggirkan tuntutan syariat.


Kini semakin ramai wanita bertudung bangga mewakili negara masing-masing dalam kejohanan sukan antarabangsa malah pentadbir sukan sudah mula memberi perhatian seperti FIFA yang kini memberi kelonggaran untuk wanita bertudung menyertai kejohanan bola sepak. (myMetro)


Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Hanya negara mengaku Islam tetapi pemimpin-pemimpinnya jahil agama sahaja, yang menghalang atlet wanitanya berhijab. Tolak pemimpin buta agama!

Presiden PAS Dedah Sejarah Merdeka Yang Disembunyikan.


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sejarah negara ini banyak yang disembunyikan terutamanya tentang perjuang asal menuntut kemerdekaan.

Berucap pada Wacana Kemerdekaan di Universiti Selangor (Unisel) hari ini, beliau berkata perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan semula untuk pengetahuan generasi akan datang.

"Perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan, ingat ia bukannya bermula pada tahun 1946 tetapi sejak dari awal lagi.
"Sejarah-sejarah awal perlu kita kaji semula dan kita kena tahu apa yang berlaku sebelum ini, sepertimana perjuangan menentang penjajahan Portugis dan Inggeris di Melaka sewaktu ketika dulu," katanya.

Beliau menekankan nilai kemerdekaan dari perspektif Melayu dan Islam berkata, peranan Islam amat penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

"Di sini peranan perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan semua tempat dan kedudukan. Ini perlu digali semula dan diperbetulkan, janganlah kita dibohongi dengan sejarah sendiri.
"Kita kena tahu dan jangan lupa sejarah sebenar, kita menghargai mereka yang sebenarnya berjuang tetapi dilupai," ucap beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga meminta semua pihak dalam mengisi semangat kemerdekaan mesti bersikap adil dengan semua kaum.

"Banyak perkara timbul dalam suasana sekarang, masalah politik, ekonomi dan paling ketara pengisian dalam masyarakat majmuk.
"Kita kena berlaku adil dengan semua kaum, masyarakat madani dalam Islam perlu diterap dalam masyarakat majmuk sekarang.
"Masing-masing mempunyai kelebihan dan kita perlu saling menghormati serta ketengahkan jangan mengabaikannya.
"Kita punyai titik persamaan, titik persamaan ini digabungkan untuk masyarakat majmuk dalam mencarikan satu kebaikan," sambung beliau.

Sebelum itu, wacana kemerdekaan dibarisi ahli panel Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Mohd Fadli Ghani manakala Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Ilmuan) sebagai moderator.

Merdeka Menurut Lim Kit Siang




Setelah 57 tahun Merdeka, Malaysia masih lagi merangkak dalam usahanya membina sebuah masyarakat yang harmonis tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Lim Kit Siang salah satu tweet menggunakan hashtag tersebut menulis, ‘seandainya iklan Merdeka itu benar, pastilah kerajaan tidak perlu membazir wang mempromosikan 1Malaysia’.

Setakat sekarang, katanya slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri ternyata sekadar penjenamaan, dan hakikatnya tidak membawa maksud apa-apa.

"Kita dapat melihat seolah-olah pendekatan pecah dan perintah warisan penjajah British masih lagi terjadi. Kita masih lagi terpecah-pecah dan tidak bersatu.
"Malah kita masih lagi menggunakan undang-undang British untuk menafikan hak bersuara dan berpendapat seperti Akta Hasutan 1948 dan pelbagai lagi undang-undang yang menindas, sepertimana yang boleh dilihat dari beberapa pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dalam masa sepuluh hari lalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut MB Kelantan

Hayatilah tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan iaitu Nabi Muhammad SAW.

"Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia daripada segala bentuk penjajahan dan perhambaan," tegas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menerusi facebook.

Justeru, kata beliau penjajahan minda, pemikiran, aqidah sehinggalah kepada penjajahan sistem kehidupan sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial perlu dibebaskan sepenuhnya dari anasir yang merosakkan masyarakat bagi mencapai makna hakiki kemerdekaan.

"Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila seseorang itu berjaya melepaskan diri dari belenggu jahiliah dan hasutan jahat diri," jelasnya.

Menurutnya, masyarakat yang merdeka adalah masyarakat yang saling bahu-membahu memastikan terlaksananya kebaikan dengan mencegah kemungkaran, hasilnya lahirlah sebuah negara yang benar-benar merdeka.

Belau berkata, sambutan kemerdekaan tahun ini agak suram dengan nahas pesawat MH17 dan kehilangan pesawat MH370 yang sehingga ke saat ini tiada khabar berita.  Tambahnya, lebih menyedihkan lagi apabila mengenangkan saudara kita di Gaza yang sekian lama dijajah oleh regim zionis.

"Apa erti kemerdekaan kita tanpa lahirkan rasa belas kasihan untuk membantu mereka," ujarnya.
(IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails