Impak Muktamar Pemilihan PAS Menurut El-Haraki.
Pertama: Impak Kepada DAP
Mengungguli carta sebagai parti paling terkesan dengan keputusan pemilihan PAS. Merekalah yang paling banyak campur tangan dan mengeluarkan kenyataan sebelum, semasa dan setelah pemilihan berlaku.
Rancangan DAP akan terganggu dengan kepimpinan baru PAS. Kepimpinan ini nyata lebih tegas dan mendokong penuh aspirasi Presiden yang tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap perjuangan Islam.
DAP adalah sebuah parti yang tidak percayakan agama sebagai sebuah cara hidup, apatah lagi dalam soal politik. Mereka berfahaman sekular-sosialisme. Antara penentangan keras DAP adalah soal perlaksanaan syariah Islam di Kelantan.
Campurtangan sebelum pemilihan untuk menggantikan Presiden PAS yang baru hanya kerana TGHH komited untuk membawa usul private bill meminda akta mahkamah syariah persekutuan. Justeru, DAP memerlukan suatu rancangan baru apabila melihat mereka tidak mampu lagi mengubah pendirian PAS.
Campurtangan LGE dan LKS hanya menyebabkan ahli bertambah benci terhadap DAP lalu menghukum mereka yang kelihatan mesra DAP. Usul yang dibuat oleh Ulama menambah igau ngeri DAP. Walaupun mereka mungkin masih utuh di Pulau Pinang, mereka perlu memikirkan masa depan DAP di negeri-negeri lain yang banyak bergantung harap kepada rakan PR seperti Kedah, Selangor dan Perak.
Pengerusi DAP Kedah yang mendesak LGE meletak jawatan menandakan parti itu sedang menghadapi krisis halatuju yang agak parah akibat kediktatoran pimpinan atasan. Imej sebenar kepimpinan DAP mula terserlah sebagai Mr. Arrogant, diktator, hipokrit, emosional, dan anti-Islam. Seruan demokrasi dan kebebasan berpendapat ternafi dengan wajah sebenar DAP sekarang.
Dua: Impak Kepada PKR
Parti ini juga tidak begitu selesa. Kekalahan beberapa 'teman rapat' mereka dalam pemilihan membantutkan rancangan memulihkan imej PKR. Umum mengetahui perbezaan pendirian Presiden PAS dan Ketua Umum PKR dalam banyak isu seperti GST, Israel-Palestin, hubungan kaum dan pembelaan Islam.
Dengan pembantu-pembantu baru yang berkongsi pemikiran sama dengan TGHH, PKR perlu memikirkan cara baru untuk memulihkan imej mereka yang kian merosot dengan pelbagai isu sebelum ini terutama Langkah Kajang.
Faktor Anwar di penjara tambah menyukarkan keadaan. Tanpa beliau, kepala-kepala dalam PKR akan bercelaru. Presiden mereka WAWI (Wan Azizah Wan Ismail) hanyalah batu loncatan buat Anwar merealisasikan cita-citanya.
Team Rafizi dan Team Azmin akan terus bertembung, ditambah beberapa pendokong TSKI akan merancakkan lagi gegaran seandainya DAP turut menekan PKR untuk tidak lagi bersama PAS. Ramai pimpinan PKR yang masih percaya kepada TGHH berbanding DSAI. Yang pasti, rancangan DAP terhadap Selangor yang gagal itu telah menyebabkan hubungan dua parti itu tidak lagi semanis dulu.
Dalam isu perjuangan syariat Islam, reaksi PKR agak bercanggah dengan DAP. PKR membidas sikap DAP yang lantang mempertikai Islam kerana bimbang pengundi Melayu memprotes. PKR sebenarnya mengambil pendekatan untuk mendiamkan sahaja isu ini supaya sentimen keagamaan tidak dimainkan musuh.
Atas dasar itu, retak dalaman PR bukan sekadar PAS-PKR, PAS-DAP, tetapi PKR-DAP sudah lama bersengketa.
Impak Kepada UMNO-BN
UMNO juga tidak boleh duduk diam. Walaupun PR retak, sokongan terhadap UMNO masih belum kembali pulih malah semakin parah. Isu Najib-Mahathir membuatkan mereka kelemasan lalu mencari-cari talian hayat dari pihak luar.
UMNO pantas menghulur tangan untuk berbaik dengan PAS mengharap kepimpinan itu boleh menerima. Sebenarnya bukan kali ini, tetapi seawal pengunduran Tun Abdullah lagi UMNO cuba berdamai. Walaupun DSAI menawarkan Konsensus Nasional dan LKS menawarkan Save Malaysia (kesinambungan perundingan sebelum ini), UMNO masih mengharapkan PAS. Semua ini menjadi bukti PAS adalah gergasi politik di Malaysia.
Walaupun harapan rakyat terhadap koalisi PR mungkin sudah rapuh, namun untuk mereka beralih menyokong BN adalah mustahil sama sekali. Korupsi dan kegagalan urus tadbir yang berlaku dalam kerajaan sekarang sudah sampai ke tahap kritikal. Undi teras mereka di pedalaman juga mula beralih kepada PAS seperti yang berlaku di Rompin.
BN tidak mendapat apa-apa keuntungan dari perpecahan PR. Sebaliknya, Umno yang akan tercabar sekiranya perpecahan ini berakhir dengan kemenangan moral buat PAS.
Empat: Impak Kepada Kuasa Barat.
Apa yang berlaku di Malaysia adalah bertentangan dengan apa yang sedang dirancang zionis. Menurut laporan RAND, mereka telah mencipta suatu fahaman yang digelar sebagai post-Islamism, berbentuk kefahaman memperjuangkan politik atas nama Islam, tetapi tanpa menegakkan syariat.
Fahaman ini menular ke hampir setiap gerakan Islam dunia. Tujuannya supaya semangat keIslaman luntur dari hati pejuang Islam, yang akhirnya akan menjadikan parti-parti Islam tidak lagi menjadi ancaman buat kapitalis barat.
Namun apa yang sedang berlaku di Malaysia sebaliknya. Cubaan menyingkirkan TGHH (Tuan Guru Hj Abdul Hadi) sebagai halangan utama post-Islamisme dari tampuk kepimpinan eksekutif PAS bukan sahaja gagal, bahkan pihak yang berkongsi fikrah sama dengan beliau pula yang dipilih. Ini bermakna akar umbi gerakan Islam ini tidak terpengaruh dengan fahaman post-Islamism.
Malaysia sebenarnya antara negara sasaran yang dibimbangi kuasa dunia. Prestasi pemerintah yang semakin merudum dari PRU ke PRU menyebabkan barat mencari-cari agen baru yang boleh menyekat kemaraan Islam. Perkembangan Islam yang amat progresif di Asia Tenggara ini terutama Brunei dan Acheh tambah mendesak Barat untuk mencari pengawal pengaruh mereka yang lebih besar dari Singapura.
Aspirasi TGHH adalah memerintah berasaskan sistem Islam. Inilah punca sebenar PAS diasak oleh AS dan sekutunya.
Lima: Impak kepada Gerakan Islam Dunia.
PAS menjadi harapan baru buat rakan-rakan gerakan Islam dunia. Keunikan PAS yang berada di negara bermasyarakat majmuk menggambarkan keupayaan PAS untuk mengurus kepelbagaian budaya dan agama. Tidak mustahil PAS boleh melahirkan khilafah ketiga umat Islam.
Kehebatan alim ulama dalam PAS terbukti sejak dahulu lagi. Disaat gerakan Islam luar lain diharamkan di negara masing-masing, PAS masih mampu bertahan walau cubaan mengharamkannya dilakukan berbagai cara. Provokasi dan sentimen keagamaan dimainkan untuk menjerat tetapi kekuatan jatidiri ahli yang ditarbiyah dengan baik menyebabkan mereka begitu berhati-hati dalam setiap tindakan.
PAS juga menjadi pujaan apabila berjaya mengekang agenda pemecahan kuasa umat Islam. Sehingga hari ini, PAS menjadi satu-satunya wadah politik Islam berbeza di negara-negara muslim lain termasuk Turki, Pakistan, Indonesia. Usaha memecahkan kesatuan politik ini pernah beberapa kali berlaku, tetapi lenyap begitu sahaja dengan izin Allah dan kebijaksanaan pemimpin PAS.
PAS juga unik apabila membariskan pimpinan saf hadapan dikalangan alim ulama. Ikhwanul Muslimin di Mesir sendiri ketandusan tokoh alim ulama yang mampu terkehadapan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Di luar sana, Ulama lebih berperanan sebagai badan advisori dan legislatif sahaja, bukan eksekutif.
Ijtihad-ijtihad politik PAS dijadikan contoh ikutan. Penubuhan DHPP, meletakkan calon wanita dan bukan muslim serta kajian Tahaluf Siasi antara harta intelek PAS yang sangat dikagumi. TGHH adalah antara arkiteknya. Kemenangan bergaya beliau adalah suatu isyarat, banyak lagi ijtihad-ijtihad baru politik akan tercetus.
Hari demi hari, sentuhan pemikiran TGHH makin ditagih setiap belahan dunia. Beliau diusung ke sana ke mari memberi syarahan dan melontar pendapat untuk memajukan Islam. Universiti, parti politik dan badan NGO semuanya dahagakan pandangan matang dan jauh beliau. Perlu diketahui, selepas kematian Said Hawa, Syed Qutb, Mustafa Masyhur, Mehdi Akif, Fathi Yakan, Gulbudin Hekmatiyar dan ditambah keuzuran Qazi Husain dan Yusof Qardawi, TGHH lah tokoh gerakan Islam paling senior yang masih aktif.