Tuesday, August 23, 2016

Jelas, Ulamak Tubuhkan Parti Islam Perjuangkan Islam Sebagai Dasar Hidup.

Hari Ini Dalam Sejarah PAS: Ulamak Tubuhkan Parti Islam Untuk Memperjuangkan Islam Sebagai Dasar Hidup (23 Ogos 1951)
PADA hari ini dalam tahun 1951, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang berlangsung di Sultan Sulaiman Klab, Kampung Baru Kuala Lumpur telah meluluskan dua usul, termasuk bersetuju menubuhkan sebuah parti politik Islam, Persatuan Ulamak Malaya yang bertujuan memperjuangkan agama Islam sebagai dasar hidup. Persidangan yang menerima 22 usul dari seluruh negara ini hanya membincangkan dua usul sahaja. Satu lagi usul yang diluluskan ialah untuk merayu kepada Raja-raja Melayu bagi menyelaraskan pentadbiran agama, sedang isu berkaitan dengan Loteri Umno tidak dibincangkan langsung kerana mereka berpandangan isu ini akan diselesai melalui penubuhan Persatuan Ulamak Malaya, setelah Umno tidak mahu tunduk kepada hukum Allah.
Kedua-dua usul yang diputuskan oleh persidangan selama sehari pada 23 Ogos 1953 ini dicadangkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam atas kedudukan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno. Setelah para ulamak yang berjumlah 65 orang dalam persidangan ini berbahas, mereka bersetuju dengan masalah yang ditimbulkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bahawa suara ulamak tidak dipedulikan oleh Umno kerana ulamak tidak bersatu. Pada 15 Jun 1951, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah menyuarakan keluhan beliau dalam Suara Umno dengan tulisan yang bertajuk "Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan." Rungutan beliau inilah yang menjadi sebab Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini. Atas asas ini pula, para ulamak mengambil persetujuan untuk menerima dan meluluskan usul Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno itu bagi menubuhkan sebuah persatuan ulamak sebagai parti politik berasaskan Islam.


Setelah cadangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad diluluskan, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini mengambil beberapa ketetapan berkait persatuan tersebut, iaitu:

I. Sebuah Jawatankuasa yang dianggotai lima ahli ditubuhkan untuk menaja dan merangka undang-undang tubuh persatuan ini;

II. Melantik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja, dengan Syed Mohamad Syafie (Kuala Lumpur) dan Haji Ayub (Perak) sebagai ahli. Dua lagi ahli yang dinamakan oleh Pengerusi Jawatankuasa ialah Haji Mohamad Amin Amran (Johor) dan Sardon Jubir (Singapura);

III. Jawatankuasa ini bertanggungjawab "menjalankan pekerjaan menubuhkan" Persatuan Ulamak Malaya;

IV. Persidangan Persatuan Ulamak Malaya hendaklah diadakan di Pulau Pinang tidak lewat dari Disember 1951 untuk menubuhkan persatuan ini; dan

V. Bahawa Persatuan Ulamak Malaya adalah tidak terikat dengan Umno dan persidangan di Pulau Pinang "tidak di bawah pentadbiran Umno" dan semua perbelanjaan ditanggung oleh pertubuhan yang menyertainya. Sumbangan sebanyak $200.00 telah dikutip untuk membiayai persidangan tersebut.

Dengan keputusan para ulamak untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya ini, maka tertubuhlah secara rasmi sebuah parti politik Islam yang baru menggantikan Hizbul Muslimin yang lumpuh pada Ogos 1948 ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948. Dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Seberang Perai pada 24 November 1951, telah dipersetujui supaya persatuan ini dinamakan secara rasmi sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Pada 14 Ogos 1954, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga telah bersetuju menetapkan bahawa 23 Ogos 1951 sebagai tarikh rasmi penubuhan PAS dan ia perlu diadakan sambutan peringatan secara tahunan.


Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Ogos 2016

Anak Bekas PM Malaysia Pun Menyokong Penghina Islam?

Marina komen isu Namewee



KUALA LUMPUR – Aktivis hak asasi manusia, Marina Mahathir yang merupakan anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil mempertahankan rapper kontroversi, Namewee yang ditahan atas dakwaan menghina Islam.

Namewee dan beberapa individu lain sebelum ini mengundang kecaman umat Islam apabila aksi mereka menyanyi rap dan menari dalam sebuah masjid di Pulau Pinang tersebar melalui sebuah video klip baru-baru ini.

Memetik kenyataannya yang dilaporkan portal FMT, Marina menyifatkan tindakan polis menahan Namewee adalah melampau dan mungkin didorong oleh keperluan untuk memuaskan hati umat Islam yang tersinggung dengan tindakan artis tersebut.

“Kita tidak boleh terus tunduk kepada orang-orang yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka yang tersinggung. Saya rasa agak tersinggung bila mereka tersinggung,” katanya secara berjenaka.

Mengulas lanjut, Marina berpandangan sepatutnya pihak polis tidak perlu sampai ke tahap mengambil tindakan menangkap Namewee.

“Ia tidak sepatutnya diperlakukan begitu. Pihak berkuasa perlu melihat video dengan betul dan mengetahui apa yang undang-undang yang diingkari.

“Hanya kerana orang (umat Islam) yang tersinggung, ia tidak bermakna bahawa ia adalah satu jenayah,” katanya lagi.

Marina sebelum ini pernah mengundang kontroversi apabila mempertahankan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Kristian selain turut mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas kitab Bible berbahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah. 

Demikian SuaraTV. Adakah anak perempuan Dr Mahathir bekas PM Malaysia ini termasuk penyokong penghina Islam? Bapak borek anak rintik.. (IH)

Olimpik: Tahniah Kepada Wira Negara -Muslimat PAS




Sukan Olimpik Rio baru melabuhkan tirainya semalam berjaya membuktikan kepada dunia bahawa kemampuan Malaysia juga dalam melahirkan atlet yang hebat dan bertaraf dunia. 

Kontinjen Malaysia telah membawa pulang lima (5) pingat iaitu empat (4) pingat perak dalam acara badminton perseorangan (L), badminton beregu (L), badminton beregu campuran dan terjun 10 meter platform berirama serta satu (1) pingat gangsa iaitu dalam acara berbasikal keirin (L).

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan penuh kesyukuran dan berbesar hati merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016 yang telah mengharumkan nama negara.

Semangat kesukanan dan cintakan negara yang ditunjukkan oleh para atlet Malaysia perlu dicontohi oleh semua rakyat Malaysia untuk terus berusaha bersungguh-sungguh.

Berusaha melakukan yang terbaik dalam semua perkara seperti yang telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Dewan Muslimat PAS Malaysia yakin dan optimis dengan kemampuan dan semangat kesukanan dalam diri setiap atlet untuk berusaha mengharumkan nama negara di mata dunia pada masa akan datang.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
22 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 22/8/2016

2 Guru Maut, Lemas Dalam Perjalanan Ke Sekolah. Kerajaan Digesa Ambil Perhatian.

KOTA BELUD : Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan penuh hiba mengucapkan takziah kepada keluarga dua orang guru Sekolah Kebangsaan Mantanani, Limun Gamburud (Guru Besar) dan Kamariah Hamdan telah didapati lemas ketika dalam perjalanan menaiki perahu ke sekolah, demikian menurut Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd. Salleh.
Beliau berkata, segala kebaikan mengiringi mereka kerana pemergiannya dalam perjalanan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai guru yang merupakan tugas yang mulia mendidik anak-anak walaupun di mana sahaja.
Jelasnya, mangsa disahkan telah meninggal dunia setelah mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud.
"Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru dan menggesa kerajaan agar menitikberatkan soal keselamatan sama ada penduduk tempatan dengan menyediakan kemudahan prasarana yang bersesuaian dengan keadaan tempat yang mengancam nyawa.
"Kematian tidak mengenal masa, usia dan tempat. Di mana-mana sahaja kematian itu pasti akan bertemu.
"Semoga berita kematian ini menjadi peringatan buat kita yang masih hidup untuk terus beramal dan menyediakan bekal di akhirat nanti," ujarnya. (IH/PAS)

Sejarah UMNO & Loteri.

 Hari Ini Dalam Sejarah PAS: Usul Hukum Loteri Umno Diangkat ke Persidangan Ulamak (22

USUL HUKUM LOTERI UMNO DIANGKAT KE PERSIDANGAN ULAMAK (22 OGOS 1951)

PADA hari ini dalam tahun 1951, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah mengemukakan dua usul atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno kepada Jawatankuasa Sambutan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951. 

Usul paling kritikal yang dikemukakan oleh Pengerusi Bahagian Agama Umno itu ialah tentang Loteri Umno yang sedang hangat diperkatakan oleh para ulamak kerana ia adalah satu jenis perjudian, sedangkan judi diharamkan oleh hukum syarak. Satu lagi usul beliau ialah mencadangkan penubuhan sebuah persatuan ulamak yang dapat menyatukan suara ulamak dalam membela agama di negara ini.

Isu judi loteri telah lama diperkatakan oleh para ulamak dalam Umno. Pada 7 September 1946, seorang ahli Umno, Haji Rejab Kedah telah bertanya kepada Pengerusi Pejabat Perkara Agama Umno tentang hukum loteri, diikuti oleh pertanyaan Setiausaha Agung Perikatan Melayu Perak tentang hal yang sama pada 10 Februari 1947. Pertanyaan-pertanyaan ini mempunyai kaitan dengan penganjuran Loteri MCA sebagai satu cara mengumpul dana politik. Walau bagaimanapun, pada 3 Oktober 1946, Pejabat Perkara Agama Umno yang diketuai oleh Ustaz Salleh Othman telah mengeluarkan fatwa bahawa judi loteri adalah haram pada pandangan Islam.

Walau bagaimanapun, pada 1949, Umno telah merancang untuk memindahkan Pejabat Agungnya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Pembinaan Rumah Umno di Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman) dijangka menelan kos sebanyak $200,000. Untuk mengumpulkan dana ini, telah timbul cadangan supaya Umno menganjurkan loteri, tetapi ditentang oleh para ulamak. 

Ekoran itu, cadangan menganjurkan judi loteri ini dibawa ke Mesyuarat-mesyuarat Agung Umno. Misalnya, pada 5 Januari 1951, akhbar Warta Negara menyiarkan keputusan Umno Kelantan yang bersetuju dengan undian untuk menghalalkan penganjuran Loteri Umno. Ekoran persetujuan cawangan-cawangan Umno ini, Loteri Umno telah dilaksanakan pada pertengahan 1951 dengan mengambil konsep kelab-kelab lumba kuda.

Marah dengan tindakan Umno ini, Persatuan Ulamak Kedah yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hussin Che Dol yang juga Pengerusi Umno Kedah telah membuat ketetapan bahawa Loteri Umno adalah adalah haram di sisi Islam, dan memaklumkan pendirian ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno pada 30 Julai 1951. 

Pada 19 Ogos 1951, satu Persidangan Khas Alim Ulamak Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim telah memutuskan bahawa Loteri Umno adalah haram. Pada 20 Ogos 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Ungku Ismail Abdul Rahman pula menegaskan amalan judi yang dianjurkan oleh Umno sebagai menunjukkan Umno telah tergelincir dari al-Quran dan Sunnah. Sehingga Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang merupakan anggota gabungan Umno dalam mesyuarat agungnya sebelum itu telah menegaskan supaya Umno kembali kepada dasar Islam.

Ekoran desakan keras dari pelbagai pihak ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang juga Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam telah mengangkat satu usul yang berbunyi "(Hukum) Loteri Umno" pada 22 Ogos 1951 kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya. Usul yang dikemukakan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Umno ini adalah salah satu daripada 22 usul yang diterima oleh Jawatankuasa Sambutan Persidangan untuk dibahas oleh Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951. Usul ini menjadi usul yang paling panas dan mendapat perhatian para ulamak ekoran tindakan Umno menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 22/8/2016

Banjir Di K/Jalan Baru, Sistem Saliran P.Pinang Gagal



PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kuala Jalan Baru, Balik Pulau di sini.

Kejadian itu berlaku berpunca daripada keadaan sistem saliran di kawasan berkenaan gagal berfungsi dengan berkesan menyebabkan air dari sungai serta parit di sini melimpah ketika hujan dan membanjiri kawasan tersebut.

Selain beberapa buah rumah dilanda masalah ini, tanaman dan kebun sayur yang diusahakan oleh penduduk tempatan juga turut rosak.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati keadaan sungai yang ditumbuhi rumput tebal dan dicemari dengan sampah sarap serta sistem saliran yang cetek akibat mendapan menjadi punca banjir sering berlaku kawasan ini.

Selain itu keadaan ban yang rendah menyebabkan air sungai di sini mudah melimpah dan menerjah masuk ke perkampungan dan kawasan pertanian penduduk. Selain Kuala Jalan Baru, masalah ini turut menjejaskan Kampung Sungai Rusa dan Kampung Permatang Pasir.

CAP berharap pihak berkenaan memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani punca kejadian tersebut. “Kami kesal walau pun masalah itu sudah lama berlaku namun ia masih berlarutan hingga sekarang”.

CAP meminta supaya parit dan sungai di kawasan ini dibersihkan dan diperdalamkan agar air dapat mengalir lancar ketika hujan. Manakala kedudukan ban yang rendah perlu dibina lebih tinggi bagi mengelak berlakunya limpahan air ke kawasan perkampungan dan pertanian berhampiran.

CAP bimbang jika keadaan dan punca kejadian ini dibiarkan ancaman banjir yang lebih buruk akan melanda kawasan tersebut pada masa akan datang. Lebih kemusnahan harta benda penduduk akan berlaku dan kerugian lebih besar akan dialami mereka.

Justeru CAP mencadangkan agar kerajaan negeri,Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JPS membuat kajian terperinci dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir di sini dan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 22/8/2016

Oh My God', Hina Islam.. Namewee Terus Ditahan Reman..


Namewee tiba di bangunan mahkamah di sini hari ini.

GEORGETOWN - Penyanyi, pengarah filem kontroversi, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 33 tiba di bangunan mahkamah di sini bagi mendapat perintah reman ke atas dirinya.


Namewee yang memakai kemeja T putih diiringi anggota polis tiba di pekarangan bangunan mahkamah kira-kira 10.25 pagi dengan menaiki kereta polis.

Dia yang kelihatan tenang dalam keadaan bergari memberi kerjasama yang baik ketika lebih 30 media merakamkan wajahnya.

Namewee diperintah mahkamah oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zaini untuk ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga 25 Ogos mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Petang semalam, Namewee ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Taiwan.

Sebelum ini, Namewee dikatakan merakam video berdurasi lebih empat minit bertajuk 'Oh My God' dimana klip video berkenaan dirakamkan sekitar kawasan termasuk tokong Cina, masjid serta beberapa lokasi tarikan pelancong.

Dalam klip video berkenaan terdapat empat lelaki berpakaian mengikut agama termasuk paderi, sami Buddha dan orang Islam yang lengkap berpakaian jubah dan berserban di mana lagu dinyanyikan berentak Rap itu turut dirakamkan di dalam kawasan Masjid Terapung, Jalan Tanjung Bungah, di sini.

Terdapat beberapa aksi yang dipercayai berunsur penghinaan dimana perkataan ALLAH disebut beberapa kali dalam lirik lagu termasuk menyentuh gelas minuman, memakai jubah dan serban sambil bermain judi serta menyanyi dan menari di dalam Masjid Terapung Tanjung Bungah. (SH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails