Tuesday, September 13, 2016

Zika Dan Seks.. Awas. Perlu Tahu Ini!


Segala Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Zika Dan Seks

PENYAKIT deman akibat virus Zika umumnya merebak melalui gigitan nyamuk jenis aedes, namun ia juga boleh merebak melalui hubungan seks dan pemindahan darah.

Kajian mendapati virus Zika ini boleh berada dalam badan manusia dari 21 hari hingga 6 bulan. Jadi, mereka yang dijangkiti virus ini dinasihatkan untuk tidak mengadakan hubungan seks dalam tempoh itu bagi mengurangkan pendedahan risiko kepada pasangan.
Berikut adalah perkara yang perlu anda tahu mengenai Zika dan Seks yang dikongsikan oleh Pengarah D1SC, MIMPA dan Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahesh Appannan:
1. Virus Zika boleh terkandung dalam darah, air kencing, air mani atau cecair faraj. Ada kajian mengatakan virus Zika boleh bertahan dalam badan manusia dari 21 hingga 30 hari, ada pula mengatakan selama lapan minggu malah ada mengatakan ia boleh berada dalam badan selama enam bulan. Tetapi hingga kini, kajian masih dilakukan bagi mengenal pasti tempoh virus Zika dapat bertahan dalam badan manusia.
2. Bagi lelaki, virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan sementara untuk wanita, virus tersebut boleh terkandung dalam ceciar faraj sehingga dua bulan. Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi. Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.
3. Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks. Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks termasuk seks luar tabii dan seks oral, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.
4. Mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika. Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua bulan atau lapan minggu. Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.
Jadi, kepada mereka yang dijangkiti virus ini disarankan menggunakan kondom atau lebih mudah untuk tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama menerima simptom Zika.
Setakat ini, sebanyak tiga kes virus Zika dilaporkan di negara ini termasuk melibatkan seorang wanita hamil di Johor Bahru.
Kes pertama melibatkan virus ini di negara pada awal September lalu, membabitkan seorang wanita dari Klang, Selangor dijangkiti selepas pulang dari Singapura dan kes kedua membabitkan seorang lelaki di Sabah meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Paralimpik : Siti Noor Iasah (Berpakaian Sopan/Sikit) Mara ke Final, Cipta Rekod Asia.


SUKAN

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400 meter T20 wanita (masalah pembelajaran) di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro. 

Dalam peringkat saringan yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio, awal pagi tadi, Siti Noor Iasah memenangi saringan kedua dengan mencatat masa 58.96 saat (S). Catatan pelari jarak pertengahan negara berusia 27 tahun itu sekali lagi memperbaharui rekod Sukan Para Asia iaitu 1:01.33s miliknya, yang dilakukan di Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan pada 2014. 

Siti Noor Iasah sudah memperbaharui rekod Sukan Para Asia ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu dengan catatan masa 60.35s untuk meraih pingat gangsa. Saingan akhir acara 400m T20 wanita akan berlangsung esok, membabitkan lapan pelari terbaik daripada kedua-dua peringkat saringan. - BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Berpakaian Sopan sikit?

Sumber : BH Online

159,725 Anak Haram/Luar Nikah: Pendidikan Islam & Moral Perlu Utama.

Pusat perlindungan anak tidak sah nikah di Kampung Tunku, Petaling Jaya menampung masalah kelahiran tanpa perkahwinan dan buang bayi. ― Foto Malay Mail
Pusat perlindungan anak tidak sah nikah di Kampung Tunku, Petaling Jaya menampung masalah kelahiran tanpa perkahwinan dan buang bayi. ― Foto Malay Mail


KUALA LUMPUR, 13 Sept — Jumlah anak tidak sah taraf menurun tahun lalu selepas memuncak pada 2014 dalam tempoh tiga tahun rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Daripada jumlah 159,725 anak wanita Islam di luar perkahwinan yang dicatat sejak 2013, 51,169 dilahirkan tahun lalu, sementara 54,614 orang lagi pada 2014.
Jumlah tahun lalu menurun sebanyak 3,445 orang setelah meningkat 672 pada 2014 daripada jumlah 53,492 pada tahun sebelumnya, lapor Berita Harian.
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) menakrifkan anak luar nikah atau tidak sah taraf sebagai bayi yang lahir daripada ibu yang tidak berkahwin.
Mengulas isu tersebut, ketua wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata masalah itu berpunca daripada kecetekan ilmu agama dan moral.
“Peningkatan kes anak luar nikah ini amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja Islam. Cetek dalam agama dan ketiadaan nilai moral membawa kepada masalah ini,” katanya.
Beliau mencadangkan mata pelajaran pendidikan Islam dan moral di sekolah diberikan lebih keutamaan dengan menambah jam pembelajaran, lapor akhbar itu lagi.
Norsaleha lebih suka pelajar-pelajar lelaki dan perempuan didedahkan dengan modul pendidikan kesihatan reproduktif dan seks, bukan hanya lelaki seperti disarankan.
Modul pendidikan seks untuk remaja lelaki berusia 16 tahun ke atas itu bakal bermula bulan depan selepas dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. (IH)

Fanatik, Halau Pelanggan Berhijab Disalonnya Didenda RM5,000

pix

OSLO- Pemilik salun di Norway telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak 10,000 kroner (RM5,000) atas kesalahan menghalau seorang pelanggan wanita yang berhijab di salonnya, baru-baru ini.

Mahkamah Daerah Jaeren yang terletak kira-kira 446 kilometer dari ibu kota Oslo itu turut mengarahkan Merete Hodne membayar kos mahkamah sebanyak 5,000 kroner (RM2,500).
Dalam kertas pertuduhan, tertuduh mengeluarkan kenyataan kepada seorang wanita berhijab, Malika Bayan yang premisnya tidak akan melayan perempuan sepertinya dan menghalau wanita itu pergi serta mencari salun lain.
Pihak mahkamah mendapati Merete sengaja mencetuskan diskriminasi terhadap Malika berikutan plaintif merupakan seorang wanita Muslim.
Dalam hujah pembelaannya, Merete berkata dia bukan sengaja menghalau Malika sebaliknya berkata salonnya adalah beroperasi secara unisex, iaitu untuk pelanggan lelaki dan wanita.
Dan ia adalah tidak adil sekiranya dia tidak membenarkan pelanggan lelaki untuk masuk ke premisnya hanya kerana seorang pelanggan wanitanya yang tidak selesa untuk mendedahkan rambut kepada pelanggan yang lain. (IH)


Selamat Hari Raya Korban. Tapi, Ini Cina S'pura Petisyen Sembelih Korban!

Hasil carian imej untuk selamat hariraya korban

BEGINI keadaannya apabila kebebasan bersuara digunakan tanpa batasan waima menyentuh sensitiviti penganut agama lain kononnya ia terpaksa dibangkitkan atas nama hak asasi manusia. 

Bagi yang tahu kisah nasib umat Islam di Singapura, pasti tahu bagaimana peritnya apabila kaum bukan Islam menjadi pemerintah mengharamkan azan dilaungkan menerusi pembesar suara di masjid sejak awal 1970-an. 

Tindakan itu diarahkan perdana menteri republik tersebut waktu itu, Lee Kuan Yew konon ia ganggu masyarakat bukan Islam dan hujah lebih dahsyat, masjid masih tetap tidak penuh jemaahnya meskipun berkumandang azan! 
Hasil carian imej untuk korban hari raya

Hasil carian imej untuk korban hari raya

Terbaharu, ketika umat Islam Singapura bergembira menjalani ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan lalu, seorang bukan Islam dikenali hanya sebagai Nicole L mencetuskan kontroversi di negara pulau kecil tersebut. Wanita tempatan itu dilaporkan media sosial telah menghantar tuntutan menerusi laman petisyen terkenal antarabangsa Change.org untuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengharamkan penyembelihan korban. 

Dia mendakwa kononnya aktiviti tahunan tersebut bukan sahaja kejam kepada haiwan malah tidak sesuai ditonton kanak-kanak kecil, selain bimbang kaedah sembelihan oleh penderma korban itu sebagai kurang berpengalaman. Hujah Nicole nyata dangkal kerana semua tahu kaedah penyembelihan secara Islamlah yang paling tidak kejam dan tidak menyakitkan haiwan, bahkan ada adab-adab tertentu termasuk penggunaan pisau tajam yang bersih. 

Tuduhan jahat wanita itu konon haiwan disembelih sebelah-menyebelah juga tidak berasas kerana Rasulullah SAW mendidik umatnya bersifat ihsan dengan tidak berbuat demikian seperti diamalkan kaum Arab jahiliyyah. 

Begitu juga kehadiran kanak-kanak bukan hendak mengajar mereka ‘brutal’ tetapi mengasuh agar tidak takut melihat haiwan disembelih mengikut syariat Islam sekali gus berani menjadi penyembelih apabila dewasa kelak. Menyentuh kebimbangan konon penderma tidak tahu menyembelih haiwan, ia juga berniat jahat walhal lazimnya penyembelihan dilakukan tukang sembelih diiktiraf MUIS manakala penderma hanya datang melihat korbannya. 

Entahlah kenapa Nicole membuat petisyen menerusi portal berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat itu yang diwujudkan sejak 2007 lalu dan memiliki lebih 110 juta penyokong petisyen di 196 buah negara di seluruh dunia. 

Adakah dia cemburu melihat kejayaan umat Islam di Singapura walaupun kaum minoriti, namun mampu membeli 3,700 ekor haiwan korban diimport dari Australia dan Ireland pada tahun ini, iaitu angka terbesar dalam sejarah. 

Lagipun aktiviti ini dilakukan secara tertutup cuma melibatkan 25 buah masjid sahaja daripada keseluruhan 71 buah rumah Allah di seluruh Singapura serta hanya ketika Hari Raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik selepasnya. Itupun dia tetap ‘bising’ walhal saban masa puluhan ribu ekor babi dipotong yang kaedahnya jauh lebih zalim di republik itu, tetapi umat Islam tidak pernah pun pertikai demi menjaga keharmonian masyarakat tempatan. 

Mujur petisyen itu akhirnya gagal diterima kerana cuma menerima 1,392 sokongan apabila tempoh kempen ditutup, kurang 108 yang diperlukan untuk dibawa secara rasmi kepada pihak berwajib.

Artikel ini telah disiarkan pada 2015. Untuk lihat artikel petisyen, sila layari: www.change.org.

Muzik, Tabligh & Ceramah. Dakwah Rock Kapak Handy Black


3 Cara Unik Dakwah Bekas Rocker Zul Handy Black

HALAMAN HIBURAN

BEKAS vokalis kumpulan rock kapak kumpulan Handy Black yang popular sekitar era 1980-an dan 1990-an dengan lagu Kau Yang Bernama Seri, Zul Handy Black berkata dia menggunakan kaedah tiga cara dalam berdakwah.

Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphia’an Sa’ban berkata sejak berhijrah kepada Muslim sejati beberapa tahun lalu, selepas selesai menyertai program pertandingan Gegar Vaganza anjuran stesen Astro; dia mula mendalami agama untuk menjadi insan lebih baik.
3 Cara Unik Dakwah Bekas Rocker Zul Handy Black
Portal berita AgendaDaily melaporkan, Zul yang turut pernah menjadi pelakon beberapa drama televisyen tempatan memberitahu, dalam usaha untuk menyebarkan fahaman yang dipelajarinya itu, dia berdakwah dengan menggunakan tiga cara berbeza.
"Dalam mengumpul ilmu, saya turut menyebarkan fahaman yang saya pelajari. Saya berdakwah dengan tiga cara iaitu menggunakan pendekatan muzik menerusi Assalam Buskers, bergerak bersama-sama sekumpulan tabligh dan menghadiri sesi ceramah agama.
“Saya bagaimanapun tidak mahu hanya digelar sebagai seorang ahli gerakan tabligh semata-mata kerana fahaman masyarakat mengenainya adalah berbeza-beza. Apa yang saya lalui lebih bersifat secara alami.
“Alhamdulillah, ramai peminat turut menyokong dengan apa yang saya buat sekarang ini,” kata artis tersebut yang kini sudah berusia 41 tahun dan telah meninggalkan kumpulan Handy Black pada 2005 lalu.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu pernah aktif bergiat dalam bidang lakonan, antaranya muncul dalam filem pertamanya, Janji Diana pada 2003 diikuti Santau, Kembar Siang, Mantra, Bini-biniku Gengster, Keramat, Budak Pailang, Taikun dan sebagainya.
Bagaimanpun di skrin TV, Zul muncul dalam drama sulungnya, Halimah Jongangpada 2010 diikuti beberapa drama lagi antaranya Jalan Pinang Sebatang, Cinta Tikar Sejadah, Tiga Serumah, Tok Ompek Simpang Ompek dan Aku Bukan Halimatus Sa’adiah.
Drama terakhirnya, Nyiur Nan Setandan, tahun lalu dan dari situ bermula perjalanan hidup sebagai aktivis tabligh. Aktor filem Longkai itu berkata keinginan untuk berbuat demikian sudah lama tersimpan dalam hati dan sedikit demi sedikit mula mendalami agama.
“Hendak dikatakan saya mendapat hidayah selepas tamat Gegar Vaganza, ia sebenarnya bukanlah begitu. Tetapi, memang daripada keinginan diri saya sendiri mahu mendalami ilmu agama makin membuak-buak sejak dua tahun lalu.
“Sedikit demi sedikit saya mengosongkan waktu bagi menghadiri ceramah agama dan bergaul dengan golongan tabligh. Secara tidak langsung, saya semakin sedar dengan kekhilafan silam dan perlahan-lahan mengubah diri menjadi seorang Islam yang lebih baik.
“Malah sambil menambah pengetahuan agama, saya turut berdakwah mengikut caranya sendiri dengan menubuhkan kumpulan Assalam Buskers, yang turut menyanyi di jalanan dan pada masa sama menyampaikan ilmu agama.
“Selain itu saya turut menerima banyak undangan sebagai tetamu khas dalam pelbagai program keagamaan bagi berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan kepada perubahan tersebut,” katanya lagi.
3 Cara Unik Dakwah Bekas Rocker Zul Handy Black
Ditanya mengenai hala tuju kerjaya seni pula termasuk bidang lakonan, kata Zul, dia tidak akan meninggalkan karier itu. Cuma, dia cuba untuk lebih bersikap teliti memilih terhadap watak yang ditawarkan kelak.
“Begitu juga dengan persembahan nyanyian yang ditawarkan, saya kena lihat jenis penganjuran majlis itu. Dalam mengejar saham akhirat, kerja-kerja di dunia tidak dilupa. Saya begitupun akan bekerja mengikut cara yang dibenarkan.
“Penampilan saya juga berbeza apabila kini saya sentiasa berjubah, memakai kopiah dan berjanggut. Pernah beberapa kali saya disindir hanya kerana saya adalah penyanyi rock tetapi Alhamdulillah ia adalah dugaan untuk saya,” katanya.
Dalam pada itu, Zul berkata, dia bersyukur kerana berkesempatan menggunakan popularitinya sebagai selebriti selama lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni untuk digunakan pula dalam kerja dakwah.
“Keputusan mendekatkan diri dengan tabligh dan kerja amal datang selepas arwah bapa saya meninggal dan ketika itu saya sedar banyak melepaskan masa berkualiti bersamanya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia.
“Alhamdulillah saya berasa amat bersyukur apabila diberi peluang sebegini untuk bersama-sama dengan ahli-ahli agama dalam menjalankan kerja dakwah dan amal,” katanya lagi. – Agensi


K'jaan Rampas Tanah Untuk Buat Masjid.. Ini Keadilan Islam.

kakek yahudi

SUATU ketika di Madinah, Umar bin Khattab RA, presiden Kerajaan Islam waktu itu sedang duduk berihat.  Al Faruq gelaran kepadanya, memilih berihat di bawah pohon kurma dekat Masjid Nabawi.

Namun kemudian ketenangan khalifah itu terusik dengan kehadiran sosok seorang datuk tua. Ia berasal dari Mesir yang termasuk di bawah pemerintahan Umar, datang tergopoh-gopoh menghadap Umar mengadukan persoalan kehidupannya.

Ia lalu bercerita bahawa Amr bin 'Ash-gabenor atau Menteri Besar bagi Mesir, telah meroboh paksa rumahnya untuk digantikan dengan masjid yang mewah. Masjid itu dibina di samping istana Amr yang megah.

Datuk Yahudi itu tak mahu diusir dan rumahnya telah dirobohkan, meskipun Amr memberikan tawaran hingga lima 15 kali ganda dari harga pasaran waktu itu, agar datuk tersebut merelakannya. Datuk itu memang keras kepala. Ia menolak perancangan Amr mentah-mentah. Hasilnya Amr meroboh rumahnya.

Dia mengadu kepada Umar selaku pemimpin Pusat Pemerintahan yang Mesir di bawahnya, dia mengatakan bangunan rumahnya itu didirikan dari hartanya sendiri. Begitu banyak kenangan hidupnya bersama gubuk tua itu.

Wajah Umar menjadi merah, menahan marah. Dia pun meminta datuk Yahudi itu untuk mengambil tulang belikat unta dari tempat sampah. Umar kemudian menggaris tulang itu dengan huruf alif yang lurus dari atas ke bawah. Di tengah calar lurus, dia membuat satu goresan melintang menggunakan hujung pedang. Tulang itu pun diserahkan kepada datuk itu untuk diberikan kepada Amr.

Datuk itu jadi bingung. Dia tak paham apa yang hendak ditunjukkan Umar melalui sepotong tulang. Setibanya di Mesir, datuk itu pun menghadap Amr bin Ash dengan tulang bergores pedang pemberian khalifah. 

Melihat tulang itu, tiba-tiba wajah gabenor bertukar pucat. Tanpa menunggu lama, dia mengumpulkan rakyatnya untuk membongkar kembali masjid yang sedang dibina dan membina semula rumahpondok milik orang Yahudi itu.

"Bongkar masjid itu!", Teriak Gubernur Amr bin Ash gementar.

"Tunggu!" Teriak datuk Yahudi itu kehairanan. 

Datuk itu meminta Amr menjelaskan makna di balik tulang dari Umar. Dijelaskan bahawa tulang itu merupakan amaran keras Khalifah. Melalui tulang, Umar seolah mengingatkan, apa pun pangkat dan kuasa seseorang, suatu saat akan bernasib sama seperti tulang ini.

"Kerana itu bertindak adillah kamu seperti huruf alif yang lurus. Adil di atas dan adil di bawah. Sebab kalau kamu tidak bertindak adil dan lurus seperti calar tulang ini, maka Khalifah tidak segan-segan untuk memenggal kepala saya." jelas Gubernur Amr bin 'Ash.

Orang Yahudi itu tunduk. 

Ia terkesan dengan keadilan dalam Islam. Lepas itu beliau mengikhlaskan tanahnya untuk pembangunan masjid, dan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah. Datuk yahudi keras kepala itu lalu masuk Islam.

Kisah roboh pondok orang Yahudi itu menjadi salah satu prinsip keadilan yang diaplikasikan di dalam Islam. Pemimpin umat dilarang untuk mengambil tanah milik orang lain dengan kezaliman. Rasulullah SAW pernah bersabda. 
  • "Barangsiapa mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapisan bumi." 
(IH)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails