Sunday, December 03, 2017

Siapa 'melukut di tepi gantang', Dalam PAS? -Dr Mohd Zuhdi


Zuhdi akui wujud wakil rakyat 'hati' bersama PH tapi kekal dalam PAS

SHAH ALAM: Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, mengakui bahawa wujudnya individu yang 'hatinya' masih bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi enggan meninggalkan parti gara-gara terikat dengan bai'aih yang dilafazkan sebelum ini.


Ujar beliau, pemimpin dan wakil rakyat PAS yang tidak berpuas hati itu adalah merupakan mereka yang kalah semasa Muktamar Tahunan PAS 2015.
Beliau walau bagaimanapun, enggan mendedahkan nama individu-individu berkenaan.

"Pimpinan dan wakil rakyat yang dikatakan itu adalah 4-5 orang yang kalah dalam pemilihan semasa Muktamar PAS 2015 yang lalu. 
"Mereka ini sememangnya hati mereka sudah bersama PH tapi tidak berani keluar parti disebabkan akan melanggar ba'iah semasa terpilih sebagai calon PAS PRU 13 lalu. Ada atau tidak adanya mereka bersama PAS hanya umpama 'melukut di tepi gantang'," katanya kepada Antarapos melalui aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah yang baru sahaja meninggalkan PAS untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Ahad lalu mendakwa terdapat pemimpin dan wakil rakyatnya di sekurang-kurangnya empat negeri tidak menyokong tindakan PAS membentuk Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang sekaligus memecahbelahkan pembangkang.

Amirudin juga tidak menolak akan ramai yang bakal mengikuti jejak langkahnya meninggalkan parti berteras Islam itu.

Mengulas hal itu, Zuhdi berkata parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak goyang sama sekali sekiranya individu-individu berkenaan bertindak keluar parti.

"PAS sedikitpun tidak tergugat jika mereka ini keluar seorang demi seorang dari PAS selepas ini," tambahnya.

Untuk rekod, pemilihan barisan kepimpinan Muktamar parti itu pada 2015 menyaksikan perwakilan membawa suara yang jelas mahu golongan ulama memimpin parti itu.

Ia memperlihatkan golongan profesional yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS yang kini Presiden parti serpihannya Amanah, Mohamad Sabu kalah teruk. 

Mat Sabu gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Presiden dan Tuan Ibrahim adalah salah seorang golongan ulama.

Amiruddin yang kini bersama parti komponen PH iaitu PPBM, juga pernah tewas pada pemilihan tersebut. (-na-)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cuma nak habiskan kiasan Dr Mohd Zuhdi di atas, dalam bentuk pantun tradisional Melayu..
  • Melukut di tepi gantang
  • buka sanggul cari kutu.
  • Sebab takut akal pun hilang
  • tunggul disangka hantu.
Ertinya, puak-puak 'melukut di tepi gantang ini' sudah dalam ketakutan tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju. Sehingga akal seolah-olah hilang, tidak nampak lagi kemuliaan perjuangan Islam. Pergi terus akan hanyut (tiada perjuangan Islam lagi) dan mati. Tinggal pun, masih dalam serpihan dan akan mati juga, kerana tiada kekuatan.

PAS yang tidak berbuat apa-apa kepada mereka, kini menjadi 'hantu' dalam igauan. Benarkah? Itu pandangan saya..

PRU 14: Khalid Ibrahim Sedia Bantu Umno/PAS, &Kekal Bebas?


Khalid Ibrahim umum pendirian...akan bantu UMNO dan PAS pada PRU14

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.


"Saya akan kerja untuk tolong Umno, saya juga beritahu rakan-rakan dalam PAS. Saya beritahu rakan-rakan PAS yang telah menolong saya, saya tolong juga mereka untuk penyatuan ummah," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagagan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Digesa menjelaskan pendiriannya, Khalid berkata beliau telah mengekalkan hubungan dengan kedua-dua parti itu dengan agenda utama untuk memastikan kemajuan berterusan untuk rakyat Selangor.

"Perpaduan umat Islam maksudnya dualah. PAS saya ada. Umno pun saya ada. Tak ada orang katakan saya asingkan. Saya tolong orang yang bangunkan negeri Selangor," katanya.


Pada masa yang sama, Khalid juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak berhasrat bertanding dalam PRU14 dan akan kekal sebagai anggota parlimen bebas.

Terdahulu, Khalid membuat penampilan mengejutkan di Dewan Merdeka PWTC bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan ucapan perasmian pada acara yang diadakan secara tertutup itu.

Zahid memberitahu pemberita tiada keperluan bagi mana-mana pihak untuk mempersoalkan rasional bagi Umno Selangor melibatkan Khalid, serta bekas MB Selangor yang lain sebagai sebahagian jentera pilihan raya.

"Kenapa perlu pertikai? Tan Sri Khalid kita tahu hatinya tetap merah dan biru.Kita tetap menghargai.

"Tan Sri Muhammad Taib bertukar rumah agam dua kali sebelum ini, akhirnya rumah agam yang dipilih merah," katanya merujuk kepada seorang lagi bekas menteri besar Selangor yang turut hadir semasa sidang akhbar berkenaan.


Muhammad, lebih dikenali sebagai Mat Taib, keluar Umno pada 2013 untuk menyertai PAS. Beliau kemudiannya meninggalkan PAS untuk menyertai PKR pada tahun 2015 sebelum kembali ke pangkuan Umno pada September lalu.

Khalid, yang kini Angota Parlimen Bandar Tun Razak, sebelum ini mengetuai kerajaan Selangor tetapi kemudian dipecat daripada PKR pada tahun 2014.
Sejak itu, Khalid dilihat menghadiri banyak acara PAS termasuk dua muktamarnya, serta perhimpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu pada bulan September.

Pada masa itu, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata ketika beliau menyokong perjuangan PAS tetapi tidak berhasrta menyertai parti itu.

Khalid sebelum ini menjadi ahli Umno selama hampir 30 tahun sebelum menyertai PKR pada 2006. Beliau menjadi menteri besar Selangor yang pertama daripaa PKR selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri itu pada PRU12.


Lihat sebelum ini..

Berhati-hati Memilih Calon Pru 14. Ini Syaratnya. -Presiden PAS.




'Baiah cuma batal jika hukum Allah dilanggar'


KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan wakil rakyatnya supaya berpegang kepada baiah (ikrar setia) selagi pemimpin parti itu mematuhi hukum Allah.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baiah bukan bertujuan mencari keredaan manusia termasuk yang tidak beriman atau semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
"Amalan baiah hanya terbatal jika ada pemimpin menentang hukum Allah, bukan disebabkan berbeza pendapat dan pendekatan.
"Kumpulan Islam mengikat diri dengan baiah apabila berasa tidak cukup sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jemaah dan tawaduk mengadap Allah bagi mencari keredaan.
"Sesiapa yang tidak menyempurnakan baiah, bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang sudah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi pahala besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, mengumumkan keluar PAS yang disertai sejak 1999 untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, amalan baiah dilakukan oleh sahabat Rasulullah, tabi'in (golongan yang hidup selepas Rasulullah) dan generasi yang menyambung perjuangan Islam.
Beliau berkata, ada pihak menyeleweng dengan menganggap baiah sekadar cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.
Katanya, PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihan raya walaupun parti itu bermatlamat melihat kemenangan di dunia sebelum meraih kejayaan akhirat.
"PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganuti atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganuti secara terbuka, bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didengar dan dilihat.
"Golongan awal yang menyertai PAS lebih yakin apabila melihat sendiri nasib golongan yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon.
"Mereka terbabit sudah menerima akibat di dunia, manakala akibat di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya," katanya. (BH)
Lihat sebelum ini..


Undang-undang Larang Penduduk Pakai Niqab Digantung, Di Kanada.

Niqab Di Kanada


TORONTO – Hakim Kanada, semalam menggantung sebahagian daripada undang-undang Quebec yang melarang penduduk memakai niqab, ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Perkembangan itu dilihat sebagai kemenangan kepada beberapa kumpulan hak kebebasan awam yang bertegas, bahawa undang-undang itu bertentangan dengan perlembagaan dan bersifat menindas wanita Muslim.
Hakim Babak Barin menggantung sebahagian daripada akta yang melarang daripada menutup muka sehingga kerajaan mengeluarkan garis panduan bagaimana ia dilaksanakan dan sejauh mana pengecualian boleh diberikan.
Kerajaan di wilayah majoriti berbahasa Perancis, Quebec kini mempunyai peluang menjelaskan bagaimana undang-undang itu akan dilaksanakan secara terperinci.
Undang-undang yang diluluskan pada Oktober lalu itu terpakai kepada semua termasuk guru, pelajar, kakitangan hospital, anggota polis, pemandu bas dan pengguna perkhidmatan kereta api.
Walaupun dasar itu tidak menumpu kepada mana-mana agama, perdebatan sebelum ini tertumpu kepada niqab iaitu penutup seluruh muka yang dipakai majoriti kecil wanita Muslim. – Reuters/BH ONLINE



Lihat sebelum ini..

Jual Kondom Berduri, Wanita Ini Tampil Minta Maaf..


'Saya Bukan Nak Viralkan' - Wanita Dikecam Jual Kondom Berduri Tampil Minta Maaf

Video seorang wanita mempromosikan dan mengajar cara menggunakan 'kondom berduri' viral di media sosial sejak Selasa lalu, mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mengecamnya.

Bagaimanapun, wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan bahawa bukan dia yang viralkan video itu, sebaliknya kenalannya yang berbuat demikian. 

"Saya bukan nak viralkan. Saya buat sendiri video itu dan beri kepada sepupu dan rakan wanita dalam group WhatsApp dengan tujuan untuk menjualnya kepada mereka," katanya memetik kenyataannya dari Harian Metro.

Wanita yang bekerja di kedai menjual barang kosmetik itu berkata, akibat tersebarnya video itu, dia terpaksa menanggung malu dan majikannya turut menerima tempiasnya. 

"Dalam video itu saya juga ada menyebut nama sepupu saya. Video itu bukan untuk tatapan umum tetapi untuk sepupu dan kenalan wanita sahaja. 
"Bagaimanapun sehari selepas saya kongsi video itu dalam group WhatsApp yang hanya ada 10 ahli terdiri daripada sepupu dan rakan wanita saya, terus video itu viral," katanya. 

Ekoran viral itu, dia terpaksa tampil membuat permohonan maaf di Facebooknya. Namun tindakan itu sia-sia kerana video itu semakin tersebar meluas. 

"Bukan saya yang viralkan, harap semua faham. Saya makan gaji dengan tauke kedai kosmetik, dia pun kena tempias dan malu. 
"Apabila saya minta maaf, semakin ramai yang sebarkan," katanya. 

Justeru, wanita itu sekali lagi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas perbuatannya itu dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang. 

Sindiket Pelacuran Di K/Kinabalu, Tunggu!

Imej yang berkaitan


SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia akan menahan beberapa lagi individu yang disyaki terlibat dengan sindiket pelacuran di Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat ini, kata ketua pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata walaupun siasatan masih dijalankan pasukan khas siasatan jabatan itu, namun penglibatan beberapa individu berkenaan dengan sindiket terbabit telah dapat dikesan.

“Kita sedang teliti dan siasat meliputi semua aspek termasuk berkaitan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang serta penggubahan wang haram.
“Apa juga tindakan terhadap kesalahan yang ada, kita akan pastikan ia turut libatkan penguatkuasaan daripada agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai siasatan kes berkenaan dan memaklumkan sebarang perkembangan lain akan diberitahu dari semasa ke semasa.

Dalam operasi ke atas sindiket pelacuran di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Nov lepas, 17 wanita warga Filipina berumur belasan tahun hingga 30-an, dipercayai mangsa sindiket yang didalangi tiga lelaki tempatan diselamatkan jabatan berkenaan.

Hasil operasi itu juga, wang tunai berjumlah RM14.9 juta ditemukan di beberapa lokasi sekitar bandar raya tersebut selain penahanan seorang wanita berumur 46 tahun pada Selasa lepas yang dipercayai isteri kepada dalang sindiket terbabit, menjadikan jumlah tangkapan empat orang setakat ini. – BERNAMA



Lihat sebelum ini..


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails