SHAH ALAM - Segala spekulasi dan khabar angin terhadap Pas, dengan beberapa dakwaan bahawa parti itu akan bertanding kurang daripada 100 kerusi Parlimen kini telah ditepis, apabila parti berkenaan mengesahkan bahawa mereka mungkin bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau meletakkan sasaran tersebut yang ditandingi oleh partinya di peringkat Parlimen kerana mahu menjadi kerajaan, dan bukan lagi sebuah parti pembangkang sekiranya memenangi PRU14.
“Kemungkinan 130 lebih kerusi dan sekurang-kurangnya (untuk mendapat kemenangan) majoriti mudah. Pas mahu membentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan dan bukan lagi menjadi pembangkang yang lemah,” katanya ringkas semasa sidang media selepas menghadiri Himpunan Fastaqim 2.4 di Kompleks Sukan Seksyen 17, di sini, semalam.
Menurutnya, semua parti yang bekerjasama dengan Pas akan menggunakan logo parti itu ketika PRU14, memandangkan mereka tidak mempunyai logo lagi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan bahawa parti itu akan bertanding lebih 100 kerusi Parlimen di seluruh negara, dengan pihaknya sedang membuat perbicangan dengan rakannya dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) berhubung pengagihan kerusi yang akan ditandingi.
Sementara itu, ketika berucap pada himpunan tersebut, Hadi meluahkan kekecewaannya apabila mengetahui sebahagian besar belia Malaysia yang tidak mahu mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
“Malangnya hari ini, ramai umat Islam dan anak-anak muda menganggap mengundi dalam pilihan raya tidak penting. Tidak mahu mendaftar dan tidak mahu mengundi.
“(Mereka menganggap) undi parti yang mana pun, nasib negara tetap sama. Ini adalah satu tanggapan yang salah,” tegasnya.
Hadi menjelaskan, tanggungjawab mengundi ketika pilihan raya berlangsung adalah tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh umat Islam kerana mereka perlu memilih pemimpin yang akan memimpin kerajaan negeri dan negara.
Undilah PAS!
Lihat juga..