TIDAK cukup ‘Punish A Muslim Day’ di Britain, maruah umat Islam di benua Eropah dicabar pula dengan pengharaman berhijab dalam kalangan murid tadika dan sekolah rendah di Austria.
Lapor Al Jazeera, larangan tersebut diumumkan oleh kerajaan Austria melalui Parti Kebebasan Austria (FPO) baru-baru ini kononnya atas alasan untuk melindungi kebajikan kanak-kanak perempuan di bawah usia 10 tahun.
Menteri Pelajaran, Heinz Fassmann mengatakan draf undang-undang perlindungan kanak-kanak akan disediakan pada musim panas sekali gus menjadi simbolik bagi melindungi budaya Austria daripada pengaruh Islam.
Pengumuman itu dibuat selepas Naib Canselor Heinz-Christian Strache mencadangkan pengharaman hijab demi melindungi gadis di bawah umur 10 tahun bagi membolehkan pihak kerajaan mengintegrasikan masyarakat Austria.
Timbalan Datuk Bandar Salzburg, Anja Hagenauer, 48, berkata, perbuatan menutup kepala menjatuhkan martabat anak perempuan dengan mengandaikan mereka adalah objek seks.
Serentak itu, kumpulan Islam di Austria menyifatkan undang-undang itu tidak produktif kerana hanya sebilangan kecil kanak-kanak di tadika dan sekolah rendah yang memakai tudung.
Daripada 8.75 juta orang penduduk di negara tersebut, kira-kira 700,000 orang dikenal pasti beragama Islam.FPO adalah salah satu daripada sayap kanan yang cuba menunggang gelombang populis, mendekati penduduk Yahudi negara itu dengan harapan pendirian anti-Islamnya dapat disambut baik.
Namun ia tidak sepatutnya mengandaikan perempuan yang berhijab sebagai tarikan seks kerana tudung bertujuan melindungi maruah wanita selain sebagai tuntutan syarak. (IH)
Lihat juga..