Sunday, May 27, 2018

Pertahan JAKIM Tanggungjawab Umat Islam. Rujuk Yang di-Pertuan Agong. -PGSM


PRESIDEN PGSM, Musa Awang. - Foto NSTP 


KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, menegaskan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan, Islam adalah agama Persekutuan dan penubuhan JAKIM tidak pernah menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan damai.



Selain itu, katanya, Perkara 3(1) menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri, manakala Perkara 3(2) menggariskan Yang di-Pertuan Agong adalah adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
"Perkara 3(5) menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.
"Oleh itu, sebarang gerakan untuk menghapuskan JAKIM harus mendapat perkenan dan dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, terlebih dulu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak kebelakangan ini, media melaporkan wujud desakan yang mendesak supaya JAKIM dihapuskan secepat mungkin, kononnya demi kesejahteraan negara.
Suara sumbang segelintir pihak itu turut menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia.
Musa mengambil pendirian bahawa sebarang usaha didalangi mana-mana pihak untuk menghapuskan JAKIM perlu ditentang oleh seluruh umat Islam negara ini.
Katanya, JAKIM yang ditubuhkan pada 1997 di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian dasar penerapan nilai Islam selepas Perdana Menteri Keempat itu menerajui kerajaan pada 1981.
"PGSM ingin menyebut kembali kenyataan Dr Mahathir pada 6 Februari lalu yang mempertahankan penubuhan JAKIM di bawah pemerintahannya dengan mengatakan ia bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.
"Dr Mahathir juga menjelaskan penubuhan JAKIM selaras matlamat untuk memastikan apa yang kita lakukan dalam pentadbiran tidak bercanggah dengan Islam.
"Selain itu, beliau turut menyuarakan bahawa Pakatan Harapan akan berbincang untuk mengekalkan JAKIM, sekiranya gabungan berkenaan berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.
Mengulas dakwaan agama adalah hak peribadi dan membelanjakan berbilion dana awam terhadap aspek penguatkuasaan dalam masyarakat sekular ialah tidak wajar, Musa menyifatkan, kenyataan itu tidak berasas.
Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Peruntukan itu menggariskan bahawa adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu," katanya. (BH)

Tarbiah Pasca Kemenangan. -Presiden PAS




الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

  • "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat, memberi zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Al-Haj: 41)

Isi kemenangan lebih payah dari mencapai kemenangan.
Walaupun kita kuasai negeri Terengganu, tetapi kita tidak kuasai negara. Namun, kuasa yang terbatas itu tetap mesti diisi.
Untuk menjadi sebuah negeri, ada lima syarat - tanah, rakyat, pemimpin, perlembagaan, kedaulatan.
Tahap kita sekarang ialah menguasai kerajaan negeri, di bawah konsep persekutuan (federalisme), terhad, tapi ada perkara yang kita boleh buat, tanpa merencatkan perjuangan dan matlamatnya.
Menurut kaedah fiqh:
ما لا يدرك كله، لا يترك جله
  • 'Perkara yang tidak didapati semuanya, tidak ditinggalkan sebahagiannya'

Allah berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
  • "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah semampu kamu." (At-Taghabun: 16)

Justeru, kita masukkan ciri-ciri kemenangan Islam dalam negeri yang kita kuasai. Pada tahun 1999, kita letakkan Qur'an, Hadis, Ijmak, Qias sebagai Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu.
Dalam ayat pertama tadi, Allah sebut, pertamanya dirikan solat.
Kerajaan yang dibentuk mesti ada hubungan dengan Allah atau disebut kerajaan Rabbaniyah. Sheikh Ali An-Nadawi, seorang tokoh ulama menyebut sebagai negara hidayah (mendapat petunjuk), bukan jibayah (memungut hasil cukai), tanpa menafikan hasil untuk negara penting.
Inilah rahsianya Allah mulakan Islam lahir di Mekah, lembah tanpa tanaman. Islam meletakkan jadual yang diatur oleh Allah, bermula dengan pembangunan manusia dahulu. Perkara ini tiada dalam agama yang lain. Allah turunkan Quran di Mekah, prosesnya berterusan hingga tegak negara Islam di Madinah.
Solat, bukan sahaja ketika mahu mengerjakan solat, tetapi mengaitkan dengan seluruh hidup manusia. Solat dikaitkan dengan Allah, ada perkara dosa pahala, termasuk dalam pentadbiran, termasuk dalam ucapan kita:
الحمد لله رب العالمين
  • Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Perkaitan inilah yang menjadikan sebuah negara itu mendapat berkat dari Allah.
Allah berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
  • "Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Al-A'raf: 96)

Istilah berkat tiada dalam agama lain, hanya ada dalam Islam.
Kita perintah Kelantan selama 28 tahun. Kita dapat tangani isu rakyat, di mana sifat iman dan taqwa ditanam walaupun hasil negeri kurang, sehingga Kelantan dapat dipertahan. Terengganu masih belum sampai ke tahap seperti Kelantan.
Diisebut dalam ayat itu: iqamatussolati (mendirikan solat), bukan mendirikan masjid sahaja. Allah berfirman:
انَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
  • "Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk." (At-Taubah: 18)

Tanggungjawab kita ialah memakmurkan masjid. Nabi dirikan masjid yang menjadi institusi mengilmukan insan. Apabila manusia ada ilmu yang memimpin mereka, maka tarbiah melalui masjid akan diberi keberkatan.
Perkara kedua ialah zakat. Ia mengajar konsep ekonomi dalam Islam, di antaranya harta tidak beredar di kalangan orang kaya sahaja.
تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
  • Zakat diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)

Konsep nisab (kadar tertentu) berlaku dalam aspek ekonomi secara umum. Hasil lain juga boleh dikenakan zakat menurut pendapat ulama dalam mazhab yang lebih luas.
Konsep cukai di kalangan bukan Islam seperti jizyah (cukai kepala), kharaj dan usyur juga boleh dikenakan. Apabila bentuk ini dibuat, maka tiada (cukai yang zalim seperti) GST, tol, atau bentuk penswastaan.
Kerajaan tidak boleh berniaga dengan rakyat. Apa yang berlaku, kerajaan juga berniaga dengan rakyat. Berlakulah inflasi. Kita juga diperkenalkan dengan welfare state (negara kebajikan). Islam bukan sahaja kebajikan, tetapi berkebajikan.
Perkara berikutnya dalam ayat di atas ialah amar makruf (suruh yang baik). iaitu dakwah ilassolah, mengajak kepada keharmonian, dengan ucapan, tulisan, amalan. Begitu juga dengan cegah mungkar. Ini melibatkan bidangkuasa kerajaan negeri, melibatkan kerajaan dan rakyat juga berperanan.
Nabi SAW bersabda:
من رأى منكم منكرًا، فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان
  • Sesiapa di kalangan kamu melihat satu perkara mungkar, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Rakyat diajar untuk mencegah mungkar. Kita didik rakyat supaya bersama dengan kerajaan dalam menjalankan tugas ini.
Di akhir ayat itu Allah menyebut: "Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
Ini menunjukkan adanya muhasabah di sisi Allah. Kita meyakini bahawa pemerintah yang adil berada di bawah naungan Arasy Allah. Ia disebut sebagai golongan pertama dari 7 golongan dalam sebuah hadis, yang mendapat naungan Allah.
Cabaran luaran pula ialah kita menghadapi golongan Ahzab (Pakatan kumpulan yang berbeza). PAS menang di Kelantan dan Terengganu bersendirian (walaupun berada dalam Gagasan Sejahtera). Ujian Ahzab, di mana semua kumpulan yang tidak setuju dengan Islam menghadapi kita. Kepungan ini menambahkan iman kita kepada Allah.
Kuasa dunia tidak bersama dengan Islam. Parti Islam, Masyumi, pernah menang di Indonesia, namun dikalahkan. Parti Islam di Algeria pernah menang, juga dijatuhkan. Begitu juga Mesir (yang melihat kebobrokan rejim tentera yang sangat zalim, menjatuhkan Mursi).
Kita tidak gopoh dalam pemerintahan, menjadikan kita boleh berterusan dengan Islam. Pemerintahan kita bukan seperti cara Taliban atau ISIS. Kita perintah ikut jadual, kita berjaya Insya Allah.
Intisari ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Tamrin Qiadi PAS Terengganu.
Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.
Jumaat 25 Mei 2018, Kuala Terengganu - HARAKAHDAILY 26/5/2018

Ikhlas Siasat 1MDB Atau...? - Seng Giaw



KERAJAAN diminta berhenti mempolitikkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika benar-benar ikhlas mahu menyelesaikannya.
Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, jika hendak menentu siapa yang salah atau siapa yang betul, maka lakukanlah siasatan dengan telus mengikut lunas undang-undang.
“Kalau hendak menyiasat, siasatlah senyap- senyap dan fokus. Semasa dalam siasatan tidak boleh buat kenyataan, panggil sidang media dan kemudian membuat tuduhan kepada pihak-pihak tertentu.
“Dalam siasatan ada prosedur. Seandainya ada pihak yang didapati bersalah semasa siasatan, dakwa atau lakukanlah pertuduhan kepadanya supaya yang dituduh dapat diadili di mahkamah.



“Bukannya setiap hari panggil sidang media dan dedahkan apa yang kononnya disiasat. Itu bukan siasatan tetapi hendak berpolitik, ada agenda lain. Siasatan dan sidang media adalah berbeza,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tegas Seng Giaw, kempen untuk pilihan raya sudah selesai lebih dua minggu berlalu, lantaran itu, mana-mana pemimpin yang dipilih tidak perlu terlalu terbawa-bawa budaya berpolitik kerana sudah menjadi pemerintah.
“Pilihan raya sudah berakhir, sudah dipilih jadi tadbirkan negara ini dengan cekap berdasarkan kedaulatan undang-undang,” tambahnya.
Menurutnya, berpolitik sepanjang masa dan mempolitikkan semua isu tidak mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul seperti yang uar-uarkan.
Ini terbukti apabila pasaran saham negara jatuh semalam dan hari ini berikutan kebimbangan yang dicetuskan oleh situasi politik di negara ini.
“Kalau banyak cakap, asyik hendak buat siaran berita seperti sekarang hingga menjejaskan nama dan reputasi negara, maknanya tidak sayang kepada Malaysia. Mereka ini hanya sayang pada diri sendiri sahaja,” ujarnya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 11:45 PM

Hairan! Tiba-tiba Ekonomi Negara Berubah. -Najib.


NAJIB hairan cepatnya ekonomi negara bertukar daripada kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU-14, kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh ketika ini.
Bekas Perdana menteri itu berkata beliau hairan dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, kerana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), PH kerap mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan krisis serta negara berkemungkinan muflis.

"Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar daripada kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU-14, kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.
"Cuma dua minggu lebih sahaja (sudah berubah)?," katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Najib turut menyertakan pautan portal berita yang melaporkan kenyataan Guan Eng, semalam yang menegaskan ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun perlu penambahbaikan bagi keadaan fiskal semasa.
Sebelum ini, Guan Eng mengumumkan jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Disember 2017.
Katanya, jumlah itu merangkumi hutang rasmi Kerajaan Persekutuan RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK, jaminan Kerajaan RM199.1 bilion atau 14.6 daripada peratus KDNK, serta pembayaran pajakan untuk projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital berjumlah RM201.4 bilion atau 14.9 peratus KDNK.
Susulan pengumuman itu, Bursa Malaysia mengalami penurunan mendadak tiga hari berturut-turut berikutan reaksi keterlaluan​​​​​​​ terhadap paras hutang negara.(IH/BH)

Hanya 34 dari 314 Hotel Di Melaka Ada Sijil Halal. Pengusaha Disaran Memilikinya..




ALOR GAJAH, 10 Ramadan 1439H, Sabtu – Kerajaan negeri Melaka menyarankan pengusaha restoran dan hotel di negeri itu mendapatkan sijil halal dalam usaha mengoptimumkan industri makanan halal yang semakin berkembang pesat di negara ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pemilikan sijil halal dapat meningkatkan keyakinan pengguna terutama orang Islam dalam memilih makanan yang mematuhi aspek Syariah.
“Kita amat menggalakkan dapur di resort dan hotel mendapatkan sijil pengesahan halal bagi membolehkan umat Islam mengunjungi premis berkenaan tanpa keraguan lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini (yang mana sering diadakan majlis berbuka puasa) sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
“Justeru, kita akan menggiatkan lagi promosi berkaitan produk halal termasuk makanan memandangkan Melaka merupakan negeri pelancongan dengan 16.79 juta pelancong direkodkan berkunjung ke negeri ini tahun lepas,” katanya kepada Bernama pada program Ihya Ramadan Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat negeri di Masjid Al- Qaniteen, Tanjung Rimau Luar di sini malam tadi.
Semalam, Bernama melaporkan hanya 34 daripada 314 dapur di resort dan hotel di Melaka memiliki sijil pengesahan halal setakat ini.
Untuk rekod, daripada jumlah itu hanya dua dapur resort dan hotel bertaraf lima bintang mempunyai sijil pengesahan halal, empat bintang (11 buah), tiga bintang (15), dua bintang (2) dan tiada bintang (4).
Adly sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan orang kurang upaya. Turut hadir Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pembahagian TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad.- Bernama

Tudung Nurul Izzah Terselak, Nampak Buah Dada. Lelaki Itu Dikecam (video)




KUALA LUMPUR – Pengguna laman maya rata-rata berang berhubung tindakan individu yang membuat teguran terbuka terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam program yang disiarkan secara langsung.
Individu berkenaan membuat panggilan telefon ke studio rakaman program FBI Live dan seterusnya menegur tudung Nurul Izzah yang menurutnya terselak.
“YB (Nurul Izzah) kena berhati-hati sebab YB pakai tudung. Tudung YB kadang-kadang terselak. Kadang-kadang ternampak bahagian yang tak sepatutnya,” kata individu berkenaan melalui panggilan telefon.
Nurul Izzah yang kelihatan terkejut mengucapkan terima kasih atas teguran itu dan cuba menamatkan perbualan, namun individu itu terus memberi perincian baju kebaya Nurul Izzah yang menurutnya ‘ketat’.
“Nampak baju dalam semua. Nampak buah dada tu lah,” katanya yang memperkenalkan diri sebagai ‘Azrul’ dan mendakwa pernah berjumpa Nurul Izzah di agensi berita Bernama ketika bertugas.
Klip video rakaman program itu dikongsi semula di media sosial dan pengguna laman maya menyatakan simpati dan sokongan terhadap insiden yang terjadi terhadap Nurul Izzah.
Rata-rata mengecam sikap individu itu dan mempersoalkan bahawa dia seharusnya menggunakan cara yang lebih sesuai jika betul-betul ikhlas dalam tegurannya.
Sementara itu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh tampil mempertahankan Nurul Izzah dan menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai membuli.
“Pembuli datang dalam pelbagai bentuk, termasuk yang bersikap ‘aku lebih mulia daripada kau’. Penganjur sepatutnya masuk campur,” kata Hannah melalui Twitter.
Mengulas perkara itu, Nurul Izzah mengakui beliau tersentak dengan insiden itu namun terharu dengan sokongan yang diterimanya.
“Terima kasih. Mula-mula, saya tersentak. Tapi terharu dengan sensitiviti dan prihatin orang ramai yang mempertahankan wanita di mana-mana.
“Begitulah antara sikap seksis dan gangguan yang perlu dihadapi wanita. Kita perlu melawan, dan lebih menghargai wanita,” katanya melalui Twitter. – Malaysiakini

Syariah Masih Menghalang LGBT Di M'sia – Nisha Ayub Aktivis Transgender.




Hong Kong: LGBT di Malaysia sentiasa menjadi mangsa indoktrinasi di mana agama selalu digunakan untuk menekan puak-puak LGBT dan aktivis LGBT. 

Demikian menurut aktivis transgender, Nisha Ayub dalam temu bual beliau di dalam EconPride “Pride and Prejudice: The path to advocacy” yang diadakan di Hong Kong baru-baru ini. 


The Economist Events


"Supporting  rights is to support your own rights. We need more people from the community to speak up."  founder, Seed Foundation Malaysia shared with   at  Watch live stream:  
Forum yang dianjurkan oleh The Economist dan diadakan di Hong Kong pada 24 Mei 2018 baru-baru ini, mengumpulkan aktivis-aktivis LGBT Asia dan memberikan fokus kepada penglibatan sektor korporat di dalam membantu perjuangan hak kumpulan LGBT di dalam negara masing-masing. 

Nisha Ayub, yang juga salah seorang pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED Foundation), iaitu sebuah pertubuhan komuniti pertama di Malaysia yang diketuai oleh transgender, turut dijemput sebagai salah seorang panel dalam salah satu sesi temu bual utama forum.

Menjawab keterujaan moderator forum yang bertanyakan kepada beliau, seberapa positif Nisha Ayub melihat kemenangan Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu membuka lembaran baru perbincangan mengenai golongan LGBT di Malaysia, beliau menjawab bahawa beliau tidak memberikan harapan yang terlalu tinggi dengan perubahan kerajaan yang baharu ini. 

Beliau mendedahkan bahawa sektor korporat ada yang mahu membantu golongan LGBT, tetapi untuk menunjukkan sokongan secara lebih terbuka, mereka agak sangsi. Isu LGBT di Malaysia menurutnya telah dipolitikkan dengan sebegitu teruk. Beliau mendakwa bahawa golongan LGBT menjadi mangsa indoktrinasi di mana agama telah digunakan untuk menentang golongan mereka. 

Beliau turut menjelaskan kepada moderator forum tersebut bahawa situasi menjadi lebih teruk kerana Malaysia masih mempunyai undang-undang Syariah. Sambil memberi respon kepada pernyataan moderator forum berkenaan undang-undang yang dikenakan ke atas golongan gay, Nisha Ayub menambah, 

“Bukan itu saja, kami juga mempunyai undang-undang Syariah di mana orang seperti saya, seorang transgender wanita beragama Islam, saya boleh ditahan hanya kerana saya menjadi diri saya sendiri.” 

Ketika ditanyakan oleh moderator tentang pendapatnya mengenai negeri-negeri dan kawasan luar bandar seperti Kelantan di mana undang-undang Islam yang lebih konservatif berjalan, beliau mengatakan bahawa semua tersebut berlaku kerana taraf pendidikan yang berbeza. 

Nisha turut menyatakan bahawa beliau juga berasal dari kawasan luar bandar dan berhijrah dari kampungnya di Melaka ke Kuala Lumpur kerana Kuala Lumpur lebih selamat bagi golongan sepertinya. Ini kerana di Kuala Lumpur, mereka mempunyai jaringan dan sekutu. 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sebenarnya, bukan LGBT sentiasa menjadi mangsa indoktrinasi di mana agama selalu digunakan.. Tidak. 

Sebenarnya agama datang menyelamatkan manusia seperti puak-puak LGBT dari 'ketidak tamadunan' kepada kebebasan yang sebenar.(IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails