Saturday, June 09, 2018

Belum Tentu Lagi Anwar Akan Jadi PM Ke-8 – Mahathir

Belum Tentu Lagi Anwar Akan Jadi PM - Mahathir


MASIH SAMAR… Harapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri yang kelapan menjelang tahun 2020 kini tampak semakin kabur.

Ia susulan pengakuan secara terbuka Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri apabila membayangkan kononnya tempoh dua tahun ditetapkan itu sekadar cadangan dan boleh diubah semula.
Justeru, ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu menjelaskan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada peralihan kuasa perdana menteri kepada ketua umum PKR tersebut boleh dilaksanakan dalam masa dua tahun.
“Dua tahun itu (sebenarnya) bukan tempoh masa. Ia adalah satu cadangan sahaja. Tetapi kita (PH) tidak tetap. Boleh jadi lebih awal dan boleh jadi juga lebih lewat,” kata Mahathir selamba yang dipetik laporan Sinar Harian.
PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bulan lalu pernah menamakan Anwar, yang ketika itu masih lagi menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sebagai calon perdana menteri dalam senarai menunggu.
Mahathir ketika mengulas dengan lebih lanjut memberi dalih konon keutamaan kini adalah untuk mengembalikan kekayaan negara dan menstabilkan ekonomi selain menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 IMBAS KEMBALI… KERATAN MUKA DEPAN UTUSAN MALAYSIA MEMAPARKAN BERITA UTAMA ANWAR DIBUANG JAWATANNYA. – GAMBAR HIASAN
“Kalau boleh dalam masa terdekat, saya hendak atasi masalah-masalah yang dihadapi, itulah tujuan saya. Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting adalah hasil kerja. Jadi inilah yang saya sedang usaha,” katanya.
Untuk rekod, Anwar nyaris jadi perdana menteri kelima tetapi malangnya dipecat Mahathir secara zalim pada 1998 dan kemudian setelah bekas Presiden UMNO itu bersara pada 2003, jawatan ini diisi Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam pada itu, Anwar dipetik media kelmarin melaporkan bahawa beliau tidak tergesa-gesa ambil alih jawatan berkenaan apatah lagi menjadi calon PH dalam Pilihan Raya Kecil di kerusi Parlimen Pandan yang dicadangkan.
Kerusi selamat PKR itu pada ketika ini disandang isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Presiden PKR dan PH selepas ‘lompat jauh’ dari Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Menurut perancangan asal PKR yang diuar-uarkan kepada umum, Wan Azizah akan kekal dengan jawatan tersebut manakala suaminya itu dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu menggantikan Mahathir selepas dua tahun.
Sekiranya rancangan pelik ini berjaya, Malaysia bakal melakar rekod dunia tersendiri apabila pasangan suami isteri dapat mengisi kedudukan sebagai perdana menteri dan timbalannya secara serentak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar sindiran…

Indonesia Lulus Undang-undang Antikeganasan Lebih Ketat.



JAKARTA: Parlimen Indonesia dijangka menerima undang-undang antikeganasan tegas esok ketika negara itu berusaha memerangi militan tempatan selepas serangan paling buruk sejak pengeboman Bali pada 2002.
Menyemak semula undang-undang 2003 menjadi keutamaan negara paling ramai umat Islam di dunia itu selepas pengeboman nekad didakwa dilakukan militan Daesh membunuh lebih 30 di Surabaya bulan ini.
Angka kematian itu adalah yang tertinggi sejak pengeboman kelab malam Bali pada 2002, apabila 202 maut, kebanyakannya pelancong asing.
Indonesia kemudian mencatatkan kejayaan besar menangani militan.
Namun sejak beberapa tahun ini, keganasan militan muncul semula dan ramai rakyat Indonesia mengunjungi Asia Barat untuk menyertai Daesh, dengan ribuan lagi di tahan dipercayai terpengaruh dengan kumpulan itu.
Undang-undang yang disemak semula itu membolehkan polis bertindak awal menahan suspek lebih lama dan mendakwa mereka yang menyertai atau merekrut bagi kumpulan militan.
Agensi penguat kuasa undang-undang mengaku mereka kekurangan kuasa untuk menahan militan yang disyaki merancang serangan kecuali ancaman dibuat atau serangan sebenar dilakukan.
Menurut undang-undang baru, sesiapa yang disyaki merancang serangan boleh ditahan sehingga 21 hari, berbanding seminggu sebelum ini, untuk siasatan awal.
Suspek boleh ditahan untuk siasatan rasmi sehingga 120 hari tanpa perbicaraan dan sehingga 200 hari tanpa kebenaran mahkamah, berbanding 180 buat masa ini. - Reuters
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Di Malaysia baru-baru ini berlaku penolakan rakyat terhadap pemerintah, ledakannya meletup melalui PRU 14, sehingga bertukar kerajaan. Apakah di Indonesia pun begitu, sehingga parlimen Indonesia terpaksa meluluskan undang-undang antikeganasan lebih ketat?

Austria Rancang Tutup 7 Masjid, Usir 40 Imam. Tolak 'Pelampau' Islam?

 Pintu masjid dikunci

VIENNA: Kerajaan berhaluan kanan Austria merancang menutup tujuh masjid dan mengusir sehingga 40 imam dalam apa yang dikatakan tindakan 'permulaan' menolak ideologi pelampau Islam dan kumpulan agama dibiayai pihak asing.
Kerajaan pakatan, sekutu konservatif dan nasionalis, berkuasa tidak lama selepas krisis pendatang di Eropah dengan janji menghalang satu lagi kemasukan dan menyekat manfaat pendatang serta pelarian baharu.
Ketika memegang jawatan terdahulu sebagai Menteri Bertanggungjawab Terhadap Integrasi, Canselor Sebastian Kurz meneliti kelulusan tegas 'Undang-undang berkaitan Islam' pada 2015.
 CANSELOR Sebastian Kurz. - Foto Reuters
Undang-undang itu melarang pembiayaan asing kepada kumpulan agama dan mewujudkan tanggungjawab buat masyarakat Islam supaya memiliki 'pandangan asas positif terhadap Austria dan penduduknya.'
"Masyarakat selari Islam dari segi politik dan kecenderungan radikal tiada tempat dalam negara kami," kata Kurz dalam sidang media menggariskan keputusan kerajaan berdasarkan undang-undang itu.
Austria, negara dengan 8.8 juta penduduk, memiliki 600,000 penduduk Islam, kebanyakannya dari Turki atau keluarga berasal dari negara itu.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, satu komuniti yang menguruskan sebuah masjid di ibu kota ini, dipengaruhi 'Grey Wolves,' kumpulan nasionalis belia Turki, akan ditutup kerana beroperasi secara haram.
Tambahnya, sebuah kumpulan Arab Islam yang menguruskan sekurang-kurangnya enam masjid, juga akan ditutup.
"Ini hanya satu permulaan," kata Naib Canselor nasionalis, Heinz-Christian Strache dalam sidang media diadakan empat anggota kabinet.
Menteri itu berkata, sehingga 60 imam milik ATIB, kumpulan Islam rapat dengan kerajaan Turki, akan diusir dari negara itu atau dinafikan visa atas alasan menerima bantuan dana asing. - Reuters

Masjid ditutup

T/YDP M/Agama Pattani Parah Ditembak Lepas Solat Jumaat

Timbalan YDP Majlis Agama Pattani parah ditembak selepas solat Jumaat

PATTANI: Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani Aduldej Cheknae parah ditembak penyerang tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Jumaat.

Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi yang mengesahkan kejadian berkata, insiden berlaku di hadapan pintu masuk Sekolah Lalowittaya, Kampung Lalo di Pattani kira-kira 1.30 tengah hari (waktu tempatan).

"Ketika kejadian, beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Lalo," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.


Sejurus kejadian itu, Aduldej dikejarkan ke hospital berdekatan dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Mangsa yang juga merupakan Ketua Bahagian Halal Majlis Agama Islam Pattani dilantik ke jawatan baharu itu selepas memenangi pilihan raya jawatan itu November tahun lepas.

Konflik bersenjata di wilayah selatan Thailand sejak 2004 telah menyebabkan kira-kira 7,000 terbunuh terdiri daripada orang awam, militan dan anggota pasukan keselamatan Thailand.
-- BERNAMA

Lagi Kroni Mahathir Bina ‘Airport’ Tioman RM1.2 Bilion?




PANAS… Selepas gempar berita kroni Tun Dr. Mahathir Mohamad bina projek mewah di Langkawi, Kedah bernilai RM30 bilion, kini seorang lagi kenalan beliau muncul dengan satu lagi projek mega.

Bagaimanapun berbeza dengan Tan Sri Ting Pek Khiing yang memajukan projek hartanah Langkawi New City seluas 81 hektar di pulau legenda Mahsuri itu, kali ini Tan Sri Vincent Tan pula tampil membangunkan Tioman, Pahang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya itu dilaporkan media bakal membina sebuah lapangan terbang baharu di pulau berkenaan dengan kos RM1.2 bilion dan mendakwa ia langsung tidak menggunakan sumber dana kerajaan.
Sebaliknya Vincent; yang pernah jadi bahan berita kerana anjur parti hari lahir Mahathir ke-90 dengan gaya mewah pada tahun 2015 lalu, menjelaskan konon projek prasarana itu dibiayai dana dalaman syarikat dan pinjaman bank.
“Kami sedang tinjau projek infrastruktur di Tioman dan akan mencadangkannya kepada pihak kerajaan. Kami mahu biayai sendiri projek ini dengan pinjam daripada bank. Kami cuba tidak mahu membebankan kerajaan,” kata beliau.
Hartawan syarikat perjudian ternama tempatan itu mendakwa kononnya pembinaan lapangan terbang baharu itu bakal melibatkan kerjasama dengan pihak berminat kerana kedudukan kewangan kerajaan ketika ini tidak stabil.
Ironinya, Vincent dilaporkan pada satu sidang media khas di ibu negara semalam berkata, syarikatnya akan ‘swasta’ projek tersebut dan pihak kerajaan pula boleh mengaturkannya untuk memudahkan segala urusan pembiayaan.
Dalam bahasa mudah, beliau membayangkan projek itu adalah percuma kerana pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir tidak perlu keluar duit walau satu sen pun, tetapi masih harap balasan lain daripada kerajaan.
Untuk rekod, Lapangan Terbang Tioman sedia ada di Kampung Tekek yang diuruskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatatkan kurang 10,000 penumpang dan lebih 1,000 penerbangan pesawat ringan setahun.
Secara kebetulan, sebahagian besar pesawat keluar masuk iaitu lima kali seminggu ke pulau itu melibatkan syarikat penerbangan Berjaya Air milik Vincent berpusat di Lapangan Terbang Sultan Abdulaziz Shah, Subang, Selangor.
Syarikat beliau juga terlibat aktif dalam menguruskan Berjaya Hotel di Tioman sekali gus menggambarkan pengaruh besar Vincent sendiri di pulau kecil yang seluas cuma 136 kilometer persegi dengan hanya 1,000 penduduk itu.
Namun, apa jadi persoalan ialah kos lapangan terbang baharu itu amat besar walhal Habsyah, sebuah negara miskin di benua Afrika pula mampu mewujudkan tiga buah lapangan terbang yang moden dengan kos cuma RM300 juta.
Sekadar perbandingan, lapangan terbang antarabangsa Roatan di Honduras, sebuah negara kecil di Amerika Latin yang mampu terima pesawat Boeing 757 pun dapat dibina dengan kos serendah RM4 juta pada tahun 2001 lepas.
Bahkan, kerajaan India dilaporkan media tempatan pernah menyiapkan sejumlah lapan buah lapangan terbang baharu di seluruh negara tersebut dalam tempoh sedekad sahaja dengan kos keseluruhan sebanyak RM200 juta.
Justeru, mungkin kos RM1.2 bilion untuk bina lapangan terbang baharu Tioman mencetuskan tanda tanya sama ada angka itu terlalu besar bagi sebuah pulau yang lebih kecil daripada Langkawi sendiri? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
*Video bawah sekadar hiasan…

Tular Wanita Tanggal Baju Di Stesen MRT S'pura



GAMBAR seorang wanita sedang berbogel di platform stesen tren MRT di Singapura muncul tular menerusi media sosial.

Menurut laporan Today, wanita berusia 35 tahun itu telah ditahan malam Rabu di bawah Akta Kesihatan Mental (Rawatan dan Jagaan) selepas polis dihubungi kira-kira pukul 10.30 malam.
Dia dirujuk kepada seorang pengamal perubatan untuk pemeriksaan di sebuah institusi psikiatri.
Identiti dan negara asal wanita itu masih tidak diketahui, begitu juga individu yang mengambil gambar berkenaan.
Dalam satu gambar yang tular, wanita berkenaan dilihat sedang menanggalkan bajunya dan dalam satu lagi gambar, tidak ada seurat benang pun di badannya.
Turut kelihatan dua lelaki dan seorang wanita berhampiran dengannya dan wanita terbabit dilihat memeluk salah seorang lelaki di situ.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mereka saling mengenali atau pun lelaki itu cuba membantu wanita tersebut.
Pihak pengurusan MRT Singapura tidak dapat dihubungi untuk komen. – Mstar 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Masih tidak sistematik, tidak boleh kawal orang gila di Singapura..
** Sekadar Video Hiasan..

Friday, June 08, 2018

Al-hamdulillah! Buka Lambaran Baru Antara K'jaan &Pembangkang.


Hidupkan kembali konsep federalisme - Presiden PAS


MARANG: Kunjungan hormat delegasi Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membuka lembaran baharu antara kerajaan dengan pembangkang.
Justeru, kata Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pertemuan itu bagi membincangan hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. 
Menurutnya, konsep federalisme dalam amalan berdemokrasi wajar dihidupkan kembali dalam pemerintahan negara ini.
“Alhamdulillah, kunjungan saya kepada Perdana Menteri itu adalah untuk bincang hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat. 
"Hidup baliklah konsep federalisme dan kita (PAS) kerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam perkara yang kita fikir, kita boleh bekerjasama.
“Walaupun kita ada berbeza pendapat, kita cari pendekatan berbeza pendapat itu. Kita ambil titik yang sama dahulu,” ujarnya kepada wakil media selepas Kuliah Mingguan Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Paling penting, kata Presiden PAS itu, konsep federalisme mesti dihidupkan kembali setelah tidak diamalkan secara baik ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Apatah lagi, kita lihat Kerajaan Pusat (hari ini) tidak menguasai semua negeri. (Kerajaan) Pakatan Harapan pula ideologi berbeza antara satu sama lain. 
“Kita lihat masing-masing (parti) membuat kenyataan. Sudah ada Perdana Menteri, Perdana Menterilah buat kenyataan. 
"Jika masing-masing buat kenyataan macam Perdana Menteri (ketawa), saya ingat itu tidak kenalah. Itu perlu diperbetulkanlah. Itu mereka (PH) yang kena betulkan, bukan saya,” tegasnya. 
Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, buat masa ini PAS mengiktiraf kewujudan Kerajaan Pusat dan Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Konsep federalisme bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Pusat (Persekutuan) dan kerajaan negeri. 
Tiap-tiap kerajaan itu mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.
Menjawab persoalan isu royalti, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri itu dan masih menunggu kenyataan rasmi Kerajaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri telah membuat kenyataan (royalti), cuma saya tunggu kenyataan rasmilah. (Sekarang) Dah ada kenyataan rasmi bahawa perjanjian royalti itu akan ikut perjanjian, dipulihkan semula kerana ada perjanjian.
“Ini bukan kerana manifesto, (tapi) ada perjanjian antara negeri-negeri dengan pusat. Perjanjian itu dibuat tahun 70-an lagi, mana-mana negeri yang ada petroleum diserah kepada Petronas dan Petronas hendaklah membahagi royalti 5 peratus kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat (Persekutuan).
“Perjanjian mesti ditunaikan. Tetapi, Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu (telah) membuat keputusan membatalkan royalti itu,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tidak mempertikaikan jumlah 5 peratus bayaran royalti itu kerana termaktub dalam perjanjian tersebut. 
“Kita ‘start’ (mula) dengan 5 peratus dahulah, hal-hal lain kita bincang kemudian. 
“Dengan 5 peratus itu, kita (Terengganu) akan uruskan. Kerajaan Pusat akan melihat laporan-laporan. (Kerajaan) Pusat pun dia hak juga untuk pantau. Bagaimana kita (negeri) gunakan duit (royalti) itu,” ujarnya.
Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini menerima pembayaran Wang Royalti secara tunai menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Tetapi telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan Wang Ehsan atau Dana Khas Persekutuan yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat. 
Pada 4 Jun lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan veteran PAS, Dato’ Mustafa Ali mengunjungi Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. -HARAKAHDAILY 8/6/2018

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails