Sunday, June 10, 2018

24 Jasa Mahathir 22 Tahun Perintah Malaysia Dulu..

24 Jasa Mahathir 22 Tahun Perintah Malaysia Dulu


SEPANJANG 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat sebelum ini, pelbagai pembangunan dikecapi termasuk projek mega.

Antaranya pembinaan Jambatan Pulau Pinang, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Litar Antarabangsa Sepang, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Berikut merupakan 24 ‘jasa’ utama Mahathir dalam usaha ‘memajukan’ Malaysia di peringkat antarabangsa.
1. Mahathir memperkenalkan konsep penganugerahan konsesi dan projek lebuhraya bertol direka oleh beliau. Juga dikenali sebagai bapa konsesi negara, konsep yang diguna pakai membolehkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol setiap 3 tahun. Sekiranya kenaikan tersebut ditangguhkan, kerajaan perlu bayar pampasan kepada syarikat konsesi.
2. Antara produk paling popular dikenakan AP adalah kenderaan import. Mahathir menerusi blognya pada 5 November 2009 pernah menjelaskan bahawa AP kepada kenderaan import adalah caranya untuk lindungi Proton daripada menjerumus ke arah bankrap. Tanpa perlindungan (AP) kita tidak akan ada industri kenderaan. Proton pernah mendominasi 80% pasaran pada suatu masa dahulu disebabkan oleh perlindungan ini.
3. IPP diwujudkan pada 1996 selepas tragedi ‘blackout 1992’. Menurut Raja Petra Kamaruddin, kejadian itu adalah rancangan Mahathir untuk menswastakan pengeluar IPP kepada kroninya, Francis Yeoh. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Tan Sri Ani Arope pernah mendedahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pentadbiran Mahathir pernah memaksa TNB menyerahkan tanahnya di Terengganu dan Johor kepada pihak ketiga bagi bina loji janakuasa. TNB sebelum itu menghasilkan elektrik pada kadar 8 sen seunit dan membekalkannya dengan harga 17 sen seunit. Selepas kewujudan pembekal IPP, TNB membeli kuasa elektrik dengan kadar 23 sen seunit dan terpaksa menjualnya kembali dengan harga 30 sen seunit.
4. Sepanjang pemerintahan Mahathir, beliau berjaya mengubah Vincent Tan daripada ‘milionaire’ kepada ‘bilionaire’. Mahathir juga ‘menswastakan’ syarikat perjudian Sports Toto kepada hartawan tersebut. Ia dijual secara rahsia tanpa pengumumman bidaan oleh syarikat lain. 70% pegangan kepada B&B Enterprise milik Vincent pada harga RM28 juta dan bakinya dipegang Raleigh Berhad milik Tun Daim Zainuddin.
5. Laporan media tempatan menyebut, seramai 80 keluarga di Pantai Chenang, Langkawi dihalau keluar pada 1980 untuk beri laluan kepada projek pembangunan pelancongan oleh syarikat milik Vincent Tan. Perkara ini didedahkan oleh ahli DAP, Syerleena Abdul Rashid yang menyebut perkara sama turut berlaku di Pulau Redang, Terengganu. Kesemua penduduk kampung itu menetap di atas tanah rizab Melayu dan diarah meninggalkan kediaman demi projek kroni Mahathir.
6. Projek ini didakwa bagi memenuhi minat Mahathir dalam arena equestrian. Beliau juga mengakui sudah mempunyai 40 ekor kuda import terbaik yang ditempatkan di ladang ternakan kuda di Langkawi.
7. Selama lebih 30 tahun, rakyat Malaysia diberitahu insiden berdarah Memali berlaku selepas polis dapat arahan oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu Tun Musa Hitam untuk menyerang Kampung Memali. Musa menerusi buku ‘Frankly Speaking by Musa’ mendedahkan Mahathir berada di Malaysia sewaktu tragedi itu berlangsung. “Pada hari insiden, Ketua Polis Negara (KPN) pada waktu itu dan saya bertemu dengan Mahathir di pejabatnya dan KPN memaklumkan kepada beliau mengenai apa yang terjadi sewaktu operasi Memali, yang mengakibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam,” kata Musa.
8. Lebih dikenali sebagai ‘Tragedi Pondok Pak Ya’, insiden terburuk pada 1989 itu mengorbankan 27 pelajar perempuan sekolah tersebut. Sejarah hitam di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah itu langsung tidak mendapat bantuan kerajaan pusat.
9. Sebelum kewujudan media sosial, pelbagai perkara disorokkan termasuk pengenaan cukai terhadap komoditi bahan bakar. Mahathir berselindung di sebalik subsidi yang diberikan diperoleh daripada cukai petrol dan diesel yang dijual semula kepada rakyat.
10. Majoriti rakan Mahathir dalam Pakatan Harapan kini pernah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mat Sabu, Azmin Ali, dan ramai lagi. Ops Lalang pada tahun 1987 memberkas 106 rakyat Malaysia termasuk pemimpin pembangkang. Pada waktu itu, cabang bidang kehakiman, legislatif dan eksekutif diletakkan di bawah arahan Mahathir.
11. Antara syarikat yang mendapat ‘faedah’ termasuk Intrakota, ParkMay, Danaharta dan PKFZ. Terdapat juga skandal besar seperti skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kerugian besar Bank Negara Malaysia akibat kegagalan dagangan mata wang asing awal 1990-an. Skandal BMF juga menjadi punca kepada kes pembunuhan salah seorang pegawai Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), Jalil Ibrahim, di Hong Kong.
12. Penerima kontrak berkenaan tidak lain adalah Mirzan Mahathir yang memiliki syarikat perkapalan. Syarikat tersebut pada 1998 meminta jaminan kerajaan bernilai RM2 bilion namun Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang portfolio Menteri Kewangan pada waktu itu cuma meluluskan RM1 bilion sahaja. Mokhzani menerusi syarikatnya Tongkah Holdings juga mendapat kontrak membekalkan peralatan kepada hospital kerajaan. Sementara Mukhriz Mahathir menerusi syarikatnya Opcom Sdn. Bhd. diberikan kontrak membekalkan fiber optik kepada Telekom Malaysia.
13. YTL Power merupakan syarikat yang diberikan kontrak Loji Tenaga Bebas (IPP) oleh Mahathir. IPP itu merupakan antara beban besar pada waktu pentadbiran Mahathir yang hanya menguntungkan pihak konsesi semata-mata. Dua loji YTL siap dibina pada 1994 dan 1995. Tahun 1996 merupakan tahun pertama di mana dua loji beroperasi setahun penuh. Ianya segera disenaraikan di Bursa Malaysia pada awal 1997, membuat keuntungan segera berbilion-bilion ringgit dan antara pelaburnya adalah KWSP sendiri. Pada tahun 1980-an, dividen KWSP sekitar 8% setahun. Namun dua tahun terakhir beliau menjadi Perdana Menteri, dividen KWSP merudum kepada 4.25% pada 2002 dan 4.5% pada 2003.
14. Perkara ini diakui sendiri oleh bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob. Kerajaan pada waktu itu terpaksa menyuntik RM125 juta wang tunai kepada East Vision Leisure Group dalam usaha untuk menyelamatkan Country Heights Holdings Berhad (CHHB).
15. Mahathir menswastakan projek tersebut kepada Ekran Berhad yang berkerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerajaan negeri Sarawak, Sarawak Electricity Supply Corporation (Sesco), dan Malaysia Mining Corporation Bhd (MMC) yang membentuk sebuah konsortium digelar Bakun Hydroelectric Corporation. Projek yang dimulakan pada 1994 itu dijangka siap pada 2004 namun dihentikan pada 1997 akibat krisis ekonomi negara. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah membekalkan pinjaman sebanyak RM5.75 bilion kepada projek
16. Projek ini mula dibina pada tahun 1992 dengan anggaran kos RM1.2 bilion. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan pelbagai pihak dalam melaksanakan pembangunan ini. Bagaimanapun akibat kegawatan ekonomi pada 1997, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2007 terbengkalai. Pemaju juga bertukar tangan tetapi projek itu masih terbengkalai. Kini, kawasan bersebelahan dijadikan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) menempatkan perkhidmatan kerajaan yang beroperasi setiap hari.
17. Sewaktu mengumumkan langkah beliau menswastakan aset-aset kerajaan, Mahathir mendakwa tanpa penswastaan, pelabuhan, stesen janakuasa dan pelbagai lagi kemudahan tidak akan dibangunkan oleh kerajaan. Namun, apa yang membimbangkan adalah penswastaan itu mendapat jaminan kerajaan seperti bantuan kewangan RM1.8 bilion untuk melunaskan hutang syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines. Mahathir juga belanja RM4 bilion membiayai syarikat UEM yang merupakan anak syarikat kepada Renong yang banyak dapat kontrak kerajaan untuk membina lebuh raya.
18. Mantan Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong mendakwa Petronas dipaksa beli tanah di mana terletaknya menara berkembar Petronas kini daripada kroni tersebut pada harga berlipat kali ganda. Tanah tersebut dahulunya merupakan tapak Kelab Kuda Selangor dijual kepada Petronas dengan harga tinggi kerana kroni tersebut teristimewa bagi Mahathir, kata Kee Kwong. Petronas dipaksa beli tanah berharga RM214 kaki persegi sungguhpun harga pasaran pada waktu itu cuma RM26 kaki persegi.
19. Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Selangor seluas 404.7 hektar itu dijual dengan harga RM1.08 juta. Individu yang terlibat adalah bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy yang menghadapi tiga tuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkaitan projek itu.
20. Vincent Tan mendapat kuasa monopoli lesen perjudian selepas Mahathir meluluskan lesen menjalankan Sports Toto tanpa secara sembunyi. Peliknya, tanpa sebarang pengumuman bidaan, Vincent merupakan satu-satunya pembida bagi projek berkenaan.
21. Raja Petra Kamaruddin pernah mendedahkan Mahathir enggan menyerahkan dana bernilai RM200 bilion milik UMNO kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak. Akibat daripada itu, Najib mencari dana tambahan dari luar negara termasuk mendapatkan RM2.6 bilion daripada kerajaan Arab Saudi bagi kerja-kerja parti untuk Pilihan Raya Umum pada 2013.
22. Hampir kesemua perjanjian konsesi tol ditandatangani ketika zaman Mahathir, seperti Maju Expressway yang dibina oleh Abu Sahid, rakan baik dan kroni Mahathir, dan Lebuhraya Senai-Desaru yang dibina kumpulan Ranhill milik Hamdan Muhamad, pada tahun 2004. Kedua-duanya menandatangani konsesi lebuh raya mereka sebelum Mahathir letak jawatan. Perjanjian pembangunan Lebuhraya Senai-Desaru ditandatangani pada penghujung 1990an. PLUS pula pada asalnya dibina oleh kerajaan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia. Dirancang ketika Tun Hussein Onn menjadi PM pada tahun 1977, ianya mula dibina pada tahun 1980, setahun sebelum Mahathir menjadi PM. Dan kebiasaannya, kesemua perjanjian ini diletakkan di bawah OSA.
23. Setelah Terengganu jatuh ke tangan PAS pada 1999, negeri berkenaan tidak lagi mendapat royalti hasil minyak yang digali Petronas selama tempoh sepenggal. Mahathir mengubah royalti kepada wang ehsan. Berbanding royalti yang ditetapkan nilainya setiap tahun, wang ehsan hanya diberikan atas budi bicara Mahathir sendiri.
24. Mahathir menyalahkan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu yang timbul pada 1990-an itu. Juga dikenali sebagai ‘Projek M’, Penasihat DAP Lim Kit Siang menakwa Mahathir berselindung di sebalik hujah bahawa pendatang asing boleh menjadi warganegara jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kata Kit Siang, setelah sekian lama menafikan kewujudan ‘Projek M’, Mahaathir pada 31 Januari 2013 mendakwa Anwar adalah dalang bagi projek berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar sindiran…

Desak Polis Siasat Kadir Jasin, Hishamuddin Rais -PAS Pahang




PAS Pahang menerusi sayap Pemudanya hari ini, membuat laporan polis terhadap Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang didakwa hina Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata sebanyak 15 laporan polis akan dibuat hari ini, di semua Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini bagi mendesak siasatan dilakukan ke atas mereka yang cuba menjatuhkan imej YDPA dan institusi Raja Melayu.
Katanya, selain Kadir dan Hishamuddin, laporan polis juga dibuat ke atas tiga pengguna Facebook atas akaun milik Eloise Cian, Prem Keshan dan Ahmad Ridzuan Shamsuri yang didakwa menulis komen-komen tidak wajar di laman sosial itu.
“Kita melihat ada trend terhadap segelintir masyarakat yang cuba menjatuhkan dan menghina YDPA serta institusi Raja Melayu yang memerlukan pihak terlibat melakukan tindakan tegas bagi mengelakkannya daripada berterusan.
“Provokasi ini perlu dihentikan segera dan institusi Raja Melayu perlu dilindungi supaya tidak menganggu keharmonian negara. Seharusnya semua rakyat menghormati perlembangaan dan institusi tersebut,” katanya.
Andansura berkata demikian selepas menyertai Pemuda PAS Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.
Beliau menambah rakyat seharusnya faham bahawa kebebasan bersuara yang dinikmati perlu selari dengan rasa tanggungjawab dan seharusnya tidak menyentuh perkara sensitif yang boleh menimbulkan rasa tidak senang mana-mana pihak.
“Kita tidak menyekat kebebasan atau hak bersuara individu tetapi mesti ada had. Kebelakangan ini, ada suara suara-suara daripada mereka yang mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri melangkaui batasan dalam hak ini,” katanya.
Kadir dan Hishamuddin menerima kritikan daripada banyak pihak selepas memuatnaik artikel menyentuh mengenai Sultan Muhammad V di laman blog mereka, iaitu www.kadirjasin.blogspot.com dan www.tukartiub.blogspot.com.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Khamis lalu mengesahkan Kadir yang juga tokoh wartawan veteran itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tulisannya.
Manakala Hishamuddin dalam laporan polisnya semalam menafikan ada memuat naik artikel berbau hasutan dan menghina YDPA sebaliknya mendakwa konon blognya itu telah digodam. – BERNAMA

Saturday, June 09, 2018

Mantan Hakim Mahu Perjuang Islam Bersama PAS.


KUALA TERENGGANU: Perjuangan Islam yang menjadi dukungan PAS adalah penyebab utama mantan hakim, Dato' Muhammad Che Zulkifli Jusoh menyertai PAS

“Sebab utama saya masuk sebagai ahli PAS, yang paling utama ialah saya melihat kepada perjuangan Islam itu sendiri.
"Kita kena berhijrah daripada tempat yang tak berapa nak baik kepada tempat yang lebih baik, itu hijrah yang kita nak,” ujarnya yang juga bekas Ahli Parlimen Setiu.

Turut menambat hati beliau menyertai PAS ialah pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu yang tiada kekecohan, bahkan musuh dijadikan kawan, selaim peruntukan dibahagi dan pendekatan ke arah ukhuwah.

Barisan kepimpinan Kerajaan Terengganu sekarang ini juga menurutnya, dilihat mempunyai kekuatan campuran akademik berlatar belakangkan keagamaan dan profesional yang hebat.

“Pada harapan saya, mereka dapat meneruskan pembangunan di negeri Terengganu ini, dapat menjalankan manifesto-manifesto yang diuar-uarkan selama ini,” ujar beliau.

Beliau ditemui selepas Program Motivasi Badar al-Kubra anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Masjid al-Furqan Chendering, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali; Setiausaha Agung PAS, Dato', Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Adun Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menyentuh pandangan mengenai pembentangan semula RUU355, Dato' Zulkifli berpendapat ianya agak sukar dengan keadaan Ahli-ahli Parlimen Muslim yang berkurangan daripada penggal lalu. Beliau turut menyeru kepada semua yang masih berada di luar PAS untuk melihat perjuangan Islam yang dibawakan kerana dasar PAS itu sendiri mengangkat Islam sebagai sesuatu yang utama.

“Sebenarnya kalau kita nak kira, parti ini bukan pilihan yang pertama, parti ini ialah pilihan yang ketiga, tetapi perjuangan Islam itu sendiri.
"Kalau kita nak perjuangkan Islam, tapi tanpa dasar-dasar yang ada dalam sesebuah parti, yang tak mementingkan, mengutamakan kepada Islam, maknanya kita rasakan bahawa PAS adalah yang terbaik.
"Maknanya, dasar-dasarnya ke arah itu (mengutamakan Islam), bukan bila kita sebut parti itu, kita Islam.
"Yang Islam itu yang sebenarnya yang ingin diperjuangkan, tetapi parti ini adalah saluran kita, kita kena ada pertubuhan, baru kita boleh bergerak dan kita kena menang, barulah kita boleh jalankan apa agenda Islam,” tegas beliau.

Beliau yang berkelulusan sarjana muda Undang-Undang pernah menjadi Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah Komersial, Pengarah Mahkamah Terengganu, Hakim Mahkamah Seksyen Kelantan selain daripada jawatan-jawatan lain. -HARAKAHDAILY 9/6/2018

Penyokong Anwar Risau, Dr M Lantik Azmin

Hasil carian imej untuk azmin ali

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengamanahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kuasa untuk mengawasi beberapa syarikat terbesar negara yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion, menurut akhbar Singapura, The Straits Times.

Menurut laporan itu, langkah terkini memberi kuasa kepada Azmin boleh mencetuskan persaingan dalam parti komponen HARAPAN dan membolehkan Mahathir mendapat kelebihan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber yang mengatakan syarikat-syarikat yang diletakkan di bawah pengawasan kementerian akan merangkumi gergasi minyak negara Petronas, dana pelaburan negara Khazanah Nasional dan pengurus hartanah Perbadanan Nasional Berhad.

Selain itu, bidang kuasa menteri hal ehwal ekonomi juga meliputi agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Melayu-Islam seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu.

Felda dan Tabung Haji yang dicemari pelbagai skandal berprofil tinggi semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bidang kuasa ini begitu luas yang merancang untuk menempatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah menteri hal ehwal ekonomi kemungkinan akan dibatalkan," kata sumber yang biasa dengan penstrukturan semula berkenaan.

Laporan itu menyebut bahawa Mahathir telah membuat "isyarat besar" untuk melantik Azmin kerana pemindahan Petronas, Khazanah dan lebih daripada 60 syarikat lain - sebelum mengambil kira mana-mana subsidiari (anak syarikat)- akan menjadi satu proses rumit yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang serta kelulusan parlimen.

Laporan itu mendakwa tindakan Mahathir itu sebagai satu lagi strategi "dasar pecah dan perintah" selain berkata ini kerana partinya BERSATU hanya menang 13 kerusi parlimen manakala PKR mendapat 49 kerusi - kerusi paling banyak di antara parti komponen HARAPAN.

Laporan itu berkata Azmin dilantik jawatan menteri utama walaupun cubaan PKR untuk mendapatkan satu daripada empat portfolio utama - kewangan, kementerian dalam negeri, pertahanan atau pendidikan - ditolak semasa peringkat awal rundingan.

Menurut laporan itu lagi, langkah Mahathir memberi kuasa kepada Azmin telah mencetuskan kerisauan di kalangan penyokong Anwar.

Laporan itu turut mendakwa Azmin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menjadi sebahagian daripada kumpulan pesaing dalam PKR yang menghadapi Anwar dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, Anwar sendiri dalam pertemuan rasmi pertama dengan pemimpin PKR sejak dibebaskan daripada penjara pada awal minggu ini, mengingatkan mereka untuk memberikan sokongan penuh kepada pentadbiran Mahathir.

Selain daripada pelantikan Azmin dan mengukuhkan sokongan parti HARAPAN, The Straits Times juga berkata Mahathir telah mengorak langkah memecah-belahkan barisan pembangkang melalui pertemuan baru-baru ini dengan pemimpin tertingginya - pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

Laporan itu mengatakan langkah-langkah sedemikian mengingatkan strategi Mahathir sendiri yang telah dilaksanakan semasa beliau menjadi presiden Umno.

"Mahathir ialah jaguh catur yang sempurna dalam hal berkenaan.

"Apabila politik perkauman berada pada tahap yang tinggi, beliau memastikan selain daripada orang Melayu, setiap komuniti akan mempunyai dua komponen BN yang bercanggah untuk mewakili suara mereka, bukannya menentang penguasaannya," kata penasihat utama Pacific Research Centre, Oh Ei Sun.
MINDARAKYAT

PAS Sindir K'jaan PH Macam Ada Ramai PM

Datuk Seri Abdul Hadi Awang


SINIS… Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kehairanan dengan tindak tanduk sebilangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sering buat kenyataan seolah-olah mereka Perdana Menteri.

Menurut beliau, perkara pelik tersebut tidak seharusnya berlaku dalam pentadbiran baharu memandangkan negara telah pun secara rasmi mempunyai seorang perdana menteri yang sah, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, beliau meminta perkara tersebut dapat segera diperbetulkan supaya tidak menimbulkan keadaan yang bercelaru dalam urusan kerajaan sendiri sehingga boleh membantut kelancaran pentadbiran kerajaan.
“Dalam PH, mereka mempunyai banyak parti yang bergabung, ideologi dan pendapat pun jelas berbeza, malah masing-masing juga berebut untuk membuat kenyataan. Sepatutnya, kita sudah ada Perdana Menteri.
“Biarlah Perdana Menteri buat kenyataan, sebaliknya apa yang berlaku pemimpin komponen dalam PH pula buat pelbagai kenyataan macam merekalah perdana menteri, perkara ini tidak betul dan kena diperbetulkan,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata demikian kepada para pemberita tempatan selepas beliau hadir untuk menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu semalam.
Ketika diminta pandangan mengenai tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah seperti tidak sabar menjadi Perdana Menteri menggantikan Mahathir, Abdul Hadi enggan beri sebarang ulasan.
Mengena mengulas isu institusi Raja-Raja Melayu diperlekehkan pihak tertentu pula, Abdul Hadi berharap semua pihak supaya akur dengan perlembagaan negara yang menekankan kepada konsep Raja Berpelembagaan.
“Negara kita sudah pun mempunyai konsep Raja Berpelembagaan, jadi kita perlu akur dengan perkara itu dan tidak perlu untuk dibincang atau dipertikaikan,” ujarnya.
Sementara itu Abdul Hadi menyambut baik pendekatan Mahathir cuba menghidupkan semula konsep federalisme membabitkan kerjasama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri termasuk hal-hal berhubung royalti minyak.
Ujarnya, kenyataan Mahathir mengenai royalti minyak kepada Terengganu merupakan perkembangan baik dan berkata: “Kita akur perkara itu, walaupun berbeza pendapat, kita ambil pendekataan dengan titik yang sama dahulu.
” Alhamdulliah Perdana Menteri telah membuat kenyataan mengenai wang royalti minyak untuk Terengganu yang dipulihkan semula. Kita terima perkara ini (agihan lima peratus), hal-hal lain kita akan bincangkan kemudian.
“Tetapi apa yang penting sekarang ialah konsep federalisme kena hidupkan semula, apatah lagi kita lihat kerajaan persekutuan tidak menguasai (pemerintahan) di semua kerajaan negeri,” ujarnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Anwar PM ke-8. Dr M Ulangi Lagi Ada Apa-apa Ke..



Di sebalik keraguan sesetengah pihak, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pengantinya, sekali gus akan menjadi perdana menteri ke-8 Malaysia.

Kata Dr Mahathir, ketetapan itu dibuat sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

“Anwar Ibahimlah akan mengganti saya.
“(Dulu dah putuskan) perdana menteri Dr Mahahir, timbalan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail), yang menunggu jadi perdana menteri Anwar Ibrahim,” beliau dilaporkan sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Dr Mahathir berkata buat masa ini tiada tempoh tertentu untuknya memegang jawatan perdana menteri. Asalnya Pakatan Harapan menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri semasa bersiap sedia menghadapi PRU ke-14 lalu. Ia bukanlah asing kerana nama Anwar dijadikan pilihan pembangkang sejak PRU ke-13 lagi.

Bagaimanapun perkembangan semasa menyebabkan Dr Mahathir meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Pada masa sama Anwar masih berada dalam penjara atas sabitan kesalahan meliwat yang dianggap bermotif politik.

Cuma satu cadangan

Hasil perbincangan dan persefahaman parti komponen HARAPAN mereka kemudian menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri manakala Dr Wan Azizah timbalannya. Percaturan itu menampakkan hasil apabila HARAPAN berjaya mengetepikan BN dari Putrajaya, selain menawan kebanyakan negeri di Malaysia.

Namun wujud kesangsian bahawa Anwar juga akan melepas daripada menjadi perdana menteri sekali lagi berdasarkan hubungan antara beliau serta Dr Mahathir yang membawa kepada tercetusnya gerakan reformasi pada 1998. Anwar sudah mendapat pengampunan diraja baru-baru ini sekali gus membenarkan beliau menyertai politik pada bila-bila masa saja.
Tanggapan awal ialah Dr Mahathir akan diberi masa selama dua tahun untuk mengetuai kerajaan sebelum berundur bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi perdana menteri. Menurut Dr Mahathir pada waktu terdekat ini keutamaan beliau ialah mahu mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi negara termasuk memulihkan ekonomi.

“Dua tahun itu bukan tempoh masa. Dia adalah satu cadangan. Tetapi kita tidak tetap. Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat.
“Keutamaan adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya,” katanya.

Pada 7 Febuari lalu Dr Mahathir berkata tempoh dua tahun cukup untuknya “menyelesaikan masalah yang ditinggalkan” Datuk Seri Najib Razak. Ini kerana, katanya, beliau mempunyai pengalaman memimpin negara selama 22 tahun sejak 1981. Dr Mahathir berkata, mungkin kerajaan baru tidak dapat memperbaiki kerosakan yang dibuat Najib sepenuhnya. Namun beliau yakin sebahagian daripada kerosakan itu akan dapat diatasi terutamanya di kalangan pegawai kerajaan yang dilihat tidak lagi berkhidmat untuk negara sebaliknya parti tertentu.

“Kadang-kadang mereka sampai jadi fanatik, sampai sanggup berkempen, memburukkan parti lawan.

"Tetapi sekarang ini mereka terpaksa bekerja di bawah parti lawan yang mereka cemuh dahulu.
“Jadi untuk ini saya tidak tahu. Nak tak nak pun, orang yang dulu serang kita, kita kena bekerja dengan dia. Sebab jentera itu kalau tak ada orang, jentera tak boleh bergerak.
“Jadi orang itu kalau kita buang semua, kita tiada orang lain. Nak ganti dengan siapa? Kualiti di jentera pekerja kita sudah rosak teruk. Mereka tidak lagi menjalankan khidmat tetapi kepada parti politik yang mereka sokong,” katanya.
MINDARAKYAT

Awas! Kumpulan Islam Tanpa Syariat- Abd Hadi.



HADIS Rasulullah S.A.W:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ. مسند أحمد مخرجا (36/ 485(
Daripada Abi Umamah Al-Bahili R.A daripada Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Demi sesungguhnya akan berlaku, di mana simpulan-simpulan yang mengikat ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu simpulan dirungkai, menjadikan manusia (yang muslim) terpaksa berpegang dengan simpulan berikutnya yang masih ada. Pertama-pertama dirungkai ialah hukum hakam (Syariat) dan yang terakhirnya Solat (Sembahyang).” (Musnad Ahmad 36/485)
Islam yang merangkumi tiga aspek; Aqidah, Syariat dan Akhlak adalah laksana hubungan jasad dan roh atau mata rantai yang bersambungan, tidak terpisah dalam semua lapangan dan keadaan, situasi dan realiti sama ada di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, atau ketika lemah tanpa kuasa dan ketika kuat berkuasa memerintah dalam semua keadaan. Syariat Islam tetap diwajibkan mengikut keadaan dan kemampuan.
Firman Allah:
﴿وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ٤٩ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ٥٠﴾ [المائدة: 48-50]
“Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (48) Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (49) Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal (kepada orang-orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah (50) (Surah Al-Maidah: 48-50)
Firman Allah:
﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾ [النساء: 105]
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah An-Nisa: 105)
Akhir-akhir ini muncul individu atau kumpulan yang memperkenalkan Islam tanpa Syariat dengan alasan memilih aspek kemanusian yang dikatakan ada persamaan di kalangan manusia secara fitrah, tanpa menyebut Syariat Allah dengan alasan untuk menarik kalangan bukan Islam, khususnya yang terus bersikap liar terhadap Islam, maka di atas alasan berhikmah dengan menyembunyikan Islam. Inilah sikap iman yang paling lemah terhadap orang awam yang tidak mampu berhujah dan tidak ada pengaruh dalam masyarakat.
Mereka tidak mengambil kira bahawa persamaan yang ada pada namanya sahaja seperti menentang kezaliman, hak asasi manusia, tanpa peduli adanya perbezaan sandaran aqidah dan perhiutungan dosa dan pahala yang ada dalam Islam, tetapi tidak ada pada yang lain.
Mereka jahil terhadap undang-undang Islam yang ada aspek aqidah dan spiritual yang tidak ada dalam undang-undang yang lain yang sama namanya, seperti undang-undang terhadap kesalahan rasuah dalam syariat Islam dengan undang-undang sivil yang sama menentang rasuah, kerana Islam meletakkan rasuah bukan sahaja salah dari segi undang-undang, bahkan termasuk juga dalam perkara haram yang ada perhitungan dosa dan pahala, perhitungan selepas kematian dan Hari Akhirat. Tetapi undang-undang manusia meletakkan salah dari segi undang-undang dunia sahaja sahaja, menjadikan undang-undang ciptaan manusia itu tanpa roh perhitungan dosa dan pahala selepas kematian dan Hari Akhirat, serta menyebabkan undang-undang ciptaan manusia sekadar deraan yang tidak mendidik masyarakat sehingga menjadi punca kegagalannya.
Di sinilah dengan tegas Allah memerintahkan para Rasul supaya berterus terang bersama Aqidah Islam yang ditegaskan dalam dakwahnya. Firman Allah:
﴿وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ٣٣﴾ [فصلت: 33]
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fussilat: 33)
Firman Allah:
﴿قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ١٠٨﴾ [يوسف: 108]

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada Agama Allah (Islam) dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuff: 108)
Maka para ulama meletakkan Islam menjadi syarat pertama kepada semua amalan, termasuk amalan yang bersifat ibadat. Maka tanpa Islam amalannya tidak sah, apatah lagi amalan keduniaannya tidak menjadi jambatan ke akhirat.
Firman Allah:
﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾ [الشورى: 21]

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah As-Syura; 21)
Sehinggalah dikaitkan dengan Syirik Aqidah terhadap kalangan yang mengadakan undang-undang sendiri dalam urusan yang telah ditetapkan hukum syariatnya oleh Allah.
Firman Allah:
﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾ [النساء: 105]
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah An-Nisa: 105)
Allah juga menegaskan pelaksanaan hukuman yang adil terhadap semua manusia:
﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾ [النساء: 58]
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)
Ayat ini menunjukkan kewajipan melaksanakan hukum syariat Allah yang berkonsepkan adil kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa.
Dan ditegaskan pula dengan Firman-Nya:
﴿ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ٤٥﴾ [المائدة: 45]
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Maidah: 45)
Ada pula kalangan yang meremeh-temehkan syariat Islam kepada semua amalan, lalu bersikap terbuka tanpa asas aqidah dengan menganggap terpentingnya sifat baik walaupun tidak Islam. Maka berlakunya ungkapan bahawa yang baik tanpa Islam lebih baik daripada yang jahat bersama Islam. Tanpa mereka peduli bahawa Allah menolak amal yang baik tanpa Aqidah Islam dengan tiada pahala dan berkat. Adapun yang jahat tetapi ada Islamnya dibuka pintu taubat dan amal baik yang berikutnya dapat menghapuskan dosa kejahatannya.
Firman Allah:
﴿وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ٨٥﴾ [آل عمران: 85]
“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran: 85)
Firman Allah:
﴿وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا٢٣﴾ [الفرقان: 23]
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikannya terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah Al-Furqan: 23)
Maka Islam menjadi syarat pertama kepada semua amalan yang baik. Amal yang baik tanpa Islamnya tidak sah walaupun perkara ibadat.
Firman Allah:
﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ٣٩ أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ٤٠﴾ [النور: 39-40]
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (39) Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturan-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk), maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). (40)” (Surah An-Nur: 39-40)
Sabda Rasulullah S.A.W:
إِنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا نَفْسٌ مُسْلِمَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الفَاجِرِ. صحيح البخاري (4/ 7)
“Sesungguhnya tidak masuk syurga melainkan seorang yang dirinya Islam. Dan (kadang- kadang) Allah menolong agamanya dengan orang yang jahat” (Sahih Bukhari 4/7)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Ramadhan 1439 / 9 Jun 2018 HARAKAHDAILY 9/6/2/2018

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails